MIMPI HAMBA ALLAH BERKAIT AL-MAHDI
Kisah seorang hamba Allah. Pengalamannya mungkin bermanfaat buat kita.
Pada tahun 2016, ada seorang hamba Allah meminta sahaya mentafsirkan mimpinya. Secara ringkasnya di sini, dia bermimpi berada di dalam kubur, dalam gelap dan dalam kesedihan. Dengan izin Allah, sahaya menta’birkan mimpinya dan menyampaikan peringatan2 daripada mimpi tersebut iaitu dia mestilah berusaha bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan segala tanggung jawab, banyakkan bersabar, jangan mudah berputus asa, dan berusahalah menyelesaikan sebarang kesulitan dengan cara yang bijaksana. Semua hal itu perlu dilaksanakannya bermula hari itu juga.
Selepas itu kami tidak lagi berhubung selama bertahun-tahun. Sehinggalah baru-baru ini pada Disember 2020 (lebih kurang selepas 4 tahun), dia menghubungi sahaya dan meminta pandangan tentang satu lagi mimpinya. Mimpinya kali ini berkait dengan Al-Mahdi.
IMBAS KEMBALI
Selepas sahaya mentafsirkan mimpinya pada tahun 2016, ternyata benar dia melalui detik-detik hidup yang sukar. Namun dengan izin Allah, dia teguh hati melaluinya.
2016 - Dia mula mengalami penyakit kronik.
2017 – Amalan-amalan, keimanan dan akhlaknya mulai merosot.
2020 pada Disember – Dia kembali dengan semangat yang baharu.
Dulu dia pernah aktif dengan jemaah Tabligh. Selepas jatuh sakit, dia berhenti kerja. Dalam sakit-sakit itu dia berusaha keluar 40 hari di Kelantan. Hal itu dilakukannya kerana dia pernah berniat untuk keluar 40 hari. Dia khuatir jika penyakitnya bertambah teruk nanti, dia mungkin tidak dapat keluar 40 hari lagi.
Sahaya fahamlah sedikit sebanyak hal ehwal dunia jemaah Tabligh kerana memang pernah aktif juga dengan Tabligh sekitar tahun 1992-1994 dulu. Dan dalam Tarekat Ghazaliyah ini, memang tedapat beberapa orang karkun (aktivis jemaah Tabligh) yang menjadi murid-murid sahaya dan mengamalkan Tarekat Ghazaliyah sehinggalah sekarang.
Berbalik kepada sahabat kita ini, selepas selesai keluar 40 hari, dia terus tinggal di madrasah Sri Petaling. Di sana dia melakukan “khidmat” sambil mempelajari Al-Quran selama 5 bulan.
Sakitnya makin menjadi walaupun pelbagai ikhtiar sudah dilakukan. Keperluan kepada kewangan pun mendesak juga. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk pulang ke kampung. Selama setahun dia tidak dapat bekerja.
Dengan izin Allah, penyakitnya mulai mereda walaupun masih ada sehingga sekarang. Setelah agak reda, dia pun berusahalah mencari kehidupan kembali. Dia juga berusaha memperbaiki kesihatannya dengan menjaga pemakanan dan melakukan senaman.
DUA TIGA MINGGU TERAKHIR INI
Menurutnya, dalam beberapa tahun ini dia memang mengikuti tulisan2 saya di internet terutamanya yang berkaitan dengan Tarekat Ghazaliyah. Cuma dalam dua tiga minggu ini (Disember 2020) dia baru mula istiqamah mengamalkan Zikir Harian Tarekat Ghazaliyah yang 1000 kali sehari itu. Selain itu, amal-amal yang lain pun ditambahnya juga. Dia semakin kerap mengerjakan solat secara berjemaah dan mula banyak melakukan solat tahajud. Begitulah dalam 2-3 minggu ini sehinggalah dia mendapat suatu mimpi.......
MIMPINYA
Pada suatu hari, dia bermimpi. Satu mimpi yang panjang.......
Dia berada di masjid. Dia berjalan di dalam masjid itu untuk mengambil tempat.
Kemudian dia ternampak dua orang budak madrasah Sri Petaling (biasanya dikaitkan masyarakat dengan jemaah Tabligh) yang dikenalinya. Dia pun mengangkat tangan sebagai menyapa mereka. Mereka senyum kepadanya. Lalu dia pun pergi mencari tempat untuk duduk.
Datang pula dua orang budak madrasah lagi tetapi tidak dikenalinya. Mereka duduk di sebelahnya. Mereka pun beramah mesralah.
Kemudian, dua orang budak madrasah yang tidak dikenali ini bangun dan pergi mencari kawan-kawan mereka. Setelah itu mereka pun datang kembali. Kali ini berempat. Rupa-rupanya kawan mereka tidak lain ialah dua orang budak yang mula-mula tadi. Mereka pun pakat duduk.
Tiba waktu solat, mereka bangun berdiri. Hamba Allah ini berada pada kedudukan ke-2 daripada 5 orang tadi. Sebaik sahaja mahu mula bersolat, dia ternampak ada najis di bajunya. Setelah diperiksa, dia pun berundur ke belakang.
Selesai solat, mereka bertanya kepadanya tentang perlakuannya tadi. Dia pun menceritakannya. Mereka fahamlah.
Tamat bahagian ini.
Kemudian, tiba-tiba dia berada di dalam sebuah kelab malam. Dia bertemu dua orang lelaki tidak dikenali yang sedang enjoy. Mereka merayu-rayu memanggilnya menyuruh dia mengambil sebotol arak. Selepas didesak, dengan berat hati dia pun memintanya daripada penjaga bar.
Salah seorang lelaki itu minum separuh botol. Seperti ada cabaran untuk minum sebotol sekaligus tetapi tidak berjaya. Bakinya separuh lagi diberikan kepada yang bermimpi. Dia kembalikan sahaja botol arak itu ke bar.
Seterusnya dia berjalan ke belakang, ke penghujung bar. Tiba-tiba di sana ada 4 orang budak madrasah itu. Mereka sedang duduk di atas kerusi dan makan kacang panggang (macam kacang pagoda).
Dia berasa hairan melihat mereka di situ. Dia pun sengajalah bertanya adakah mereka mahu minum arak? Mereka menolak. Salah seorang daripada mereka mengambil air mineral dan menunjukkannya kepada si pemimpi. Cukup itulah minumannya.
Dia bertanya tentang tujuan mereka. Mereka mengatakan yang mereka sedang dalam perjalanan ke tempat Imam Mahdi untuk dibai’ah. Dia pun terfikir tempatnya iaitu di Ka’abah. Kata mereka lagi, Al-Mahdi akan muncul sekitar tahun 2022-2025. Mereka pergi sekarang kerana mahu menunggu Al-Mahdi pada saat kemunculannya nanti. Lalu dia pun ikut serta dengan mereka.
Tamat mimpinya.
TA’BIR MIMPI INI
Secara ringkasnyalah, sebenarnya mimpi sahabat sahaya ini berkaitan dengan perjalanan hidupnya bermula daripada mimpi pertama sehinggalah ke mimpi kedua. Yang akan datang, hanya Allah sahajalah Yang Maha Tahu.
i) Dia pernah berada di landasan agama.
ii) Kemudian dia ditimpa masalah kesihatan dan kewangan. Bertahun-tahun.
iii) Kemudian dia hidup dalam kemerostoan keagamaan. Bertahun-tahun.
iv) Akhirnya kini dia bertekad untuk kembali semula ke landasan agama.
Menurutnya (sebelum dia bermesej tentang mimpi kedua itu dengan sahaya lagi yakni dalam 2-3 minggu terakhir ini) dia bertekad untuk mencari ilmu2 Imam Al-Ghazali dan mahu fokus dengan Tarekat Ghazaliyah. Dia pun mendapat mimpi lalu berkongsi dengan sahaya. Begitulah kisahnya. Wallahua’alam.
(*Yang tidak punya ilmu menta’wil, menta’bir dan mentafsir mimpi, janganlah cuba meneka-neka dan mereka-reka isi kandungan kedua-dua mimpi tersebut kerana dikhuatiri akan tersalah. Umumya isi kandungan mimpi itu bukanlah sebagaimana yang tertera dalam mimpi itu tetapi mimpi sahabat kita ini jenis mimpi yang perlu dita’wil, dita’bir dan ditafsir. Mimpi akan burung tidak bererti burung, mimpi akan berlari tidak bererti berlari, mimpi akan Tun Perak tidak bererti Tun Perak. Begitulah contohnya)
Semoga ada sedikit-sebanyak manfaat kepada kita. Dan tolonglah doa-doakan kita semua khususnya sahabat sahaya ini agar beroleh kejayaan di dunia dan kejayaan di akhirat. Terima kasih semua.
Abu Zulfiqar Al-Amsyari
31 Disember 2020
*Inilah tulisan sahaya yang ke-150 sepanjang tahun ini di blog sahaya Debunga Teratai Syurgawi.