Wednesday, August 21, 2019

Adab2 Orang Faqir


Adab Sopan Orang Faqir 

a)      Orang faqir tidak boleh membenci kefaqiran yang diuji oleh Allah ke atasnya itu. Contohnya orang yang dibekam. Ia tidak suka (membenci) kesakitan (dan kesusahan) akibat berbekam itu. Tetapi ia tidak pula membenci perbuatan bekam dan tidak juga membenci si tukang bekam. Hal ini kerana ia tahu kebaikan berbekam itu sekalipun ada menyakitkan tubuhnya.

b)      Orang faqir mestilah baik akhlaknya, taat akan Rabbnya, tidak mengadu-ngadu kesusahannya (berusaha menutup kefaqirannya), dan bersyukur kepada Allah atas kefaqirannya. Tidak boleh berakhlak buruk, mendurhakai Rabbnya, banyak mengadu, dan marah dengan qadha’ Allah. Maksudnya, bukan semua orang faqir dikira terpuji dan mendapat pahala di sisi Allah. Yang terpuji dan mendapat pahala hanyalah mereka yang tidak marah lagi redha. Jangan sampai harga diri kita merudum di hadapan orang lain.

c)      Orang faqir janganlah menghinakan dirinya kepada orang-orang kaya. Jangan “berminyak air” (bermuka-muka) kerana mengharapakan pemberian orang-orang kaya itu.

d)      Orang faqir mestilah terus melaksanakan segala amal ibadah. janganlah amal ibadahnya jadi lemah kerana hidup faqir.
e)      Orang faqir juga masih boleh memberi, bersesuaian dengan keadaannya. Bukannya apabila kita hidup faqir, kita tidak perlu lagi memberi kepada orang lain dan hanya menanti pemberian sahaja.


32.2.2 Adab Menerima Pemberian

a)      Pertama : Hadiah. Hadiah boleh diterima. Menerima hadiah itu termasuk sunnah Rasulullah saw. Tetapi sekiranya  ada risiko untuk diungkit-ungkit oleh pihak yang memberi pada kemudian hari, maka lebih baiklah menolaknya.

b)      Kedua : Sedekah atau zakat. Apabila ada orang mahu memberikan sedekat atau zakat kepada kita, kita nilaikan diri kita terlebih dahulu sama ada taraf kita memang layak untuk menerima sedekah atau zakat itu. Jika kita berasa ragu-ragu, hal itu menjadi syubhat. Hal yang syubhat eloklah dielakkan. Jika kita tidak layak, janganlah diambil.

c)      Ketiga : Pemberian dengan tujuan yang tidak terpuji. Contohnya pemberian itu bermatlamatkan menunjuk-nunjuk, riya’, untuk mendapatkan kemasyhuran, atau ada udang di sebalik batu. maka sayugialah ditolak.


32.2.3 Adab Meminta

Meminta itu dibenarkan sekiranya darurat atau ada hajat keperluan yang penting yang menghampiri darurat. Sikap suka meminta-minta itu haram kerana perbuatan itu tidak terlepas daripada tiga perkara yang diharamkan, iaitu :

a)      seolah-olah menunjukkan kita mempertikaikan (memprotes) kadar nikmat yang Allah berikan kepada kita itu.

b)      kita menghinakan diri kita kepada selain Allah, sedangkan kita hanya boleh menghinakan diri kepada Allah sahaja. Meminta-minta membuatkan kita menghinakan diri kita kepada orang lain.

c)      kita akan menyakitkan (membuat tidak selesa) orang yang diminta. Ada orang yang tidak bersedia untuk memberi, tetapi dia terpaksa memberi kerana malu jika tidak dapat memberi. Ada juga yang memberi kerana mahu menunjukkan yang dia mampu. Maksudnya, tidak ikhlas memberi. Hal-hal sebegini puncanya ialah si peminta. Jika dia tidak meminta, sudah tentu hal itu tidak berlaku.

No comments: