Tuesday, September 29, 2009

Soal Jawab - Wujudkah Hantu?

SOALAN:

Wujudkan hantu? Tidakkah syirik atau khurafat mempercayainya?


JAWAPAN:

Hantu memang wujud. Sama ada syirik, khurafat ataupun tidak, bergantung kepada pemahaman kita.

Pertama- Untuk menjelaskan hal ini kita mengambil masyarakat Melayu sebagai contoh terhampir.

Kedua- Kita kena mengenal apa yang disebut ‘hantu’ oleh masyarakat Melayu. Sekurang-kurangnya ada empat bangsa hantu yang dikenal di alam Melayu iaitu:


1. Daripada bangsa jin

2. Daripada bangsa manusia

3. Daripada bangsa haiwan

4. Daripada bangsa alam


Perkataan ‘jin’ mungkin sekali berasal daripada bahasa Arab, dibawa masuk ke alam Melayu bersama-sama kedatangan agama Islam. Sebelum itu orang Melayu menyebut jin dengan nama yang lain dan salah satunya ialah ‘hantu’.


Jin terdiri daripada pelbagai jenis dan rupa. Masyarakat Melayu menamakan jin-jin itu mengikut jenis-jenisnya. Jin yang besar dan kuat disebut hantu raya, jin yang buah dadanya panjang disebut hantu kopek, jin yang seperti rupa kanak-kanak kecil disebut hantu toyol, jin perempuan yang mengilai-ngilai dipanggil hantu langsuir atau hantu pontianak, jin yang digunakan untuk merasuk orang dipanggil hantu polong ataupun hantu pelesit, jin yang tinggal di tanah disebut jin tanah, jin yang tinggi melangit disebut hantu galah dan macam-macam lagi.


Semua jenis jin ini dicipta oleh Tuhan dan kita mesti percaya akan kewujudannya kerana ia termasuk dalam perkara-perkara ghaib. Bukan orang yang percaya itu yang salah tetapi yang tidak percaya akan kewujudan makhluk inilah yang salah. Bukankah dalam al-Quran pun ada disebut tentang jin? Itu kan bukti kewujudannya dan bukti Tuhan mahu kita percaya akan kewujudannya?


Hantu yang kedua ialah daripada bangsa manusia. Antaranya orang-orang yang menuntut ilmu-ilmu salah hingga menjadi orang minyak, hantu harimau, serigala jadian, hantu penanggal dan lain-lain. Kadang-kadang manusia misteri yang nampak menakutkan juga disebut hantu termasuklah makhluk asing.


Hantu jenis ketiga ialah dari kalangan haiwan. Contohnya haiwan ganjil yang menakutkan orang ramai. Juga bigfoot.


Jenis keempat ialah alam. Biasanya jenis ini disangkakan hantu. Bahagian belakang daun pisang yang terkena cahaya pada waktu malam gelap akan kelihatan seperti lembaga yang menakutkan. Ia disebut hantu. Ada gua-gua yang menerima tiupan angin dan menghasilkan bunyi yang mengerikan, disebut juga bunyi hantu. Dahan dan ranting pokok yang melambai-lambai ada juga disebut hantu.


Kesimpulannya, hantu memang wujud dan mempercayai kewujudannya tidaklah khurafat ataupun syirik, bahkan memang dituntut agama supaya percaya.


Kepercayaan ini akan jadi khurafat dan syirik jika kita percaya 4 jenis bangsa hantu di atas tadi mampu memberi manafaat ataupun mendatangkan mudarat pada hakikatnya. Pada syariatnya, memang makhluk-makhluk Allah mampu memberi bekas seperti pisau yang menghiris, anjing yang menggigit, tanah runtuh yang mempenyet dan melemaskan, bau cempaka yang mengharumkan, langgaran kereta yang menyakitkan dan sebagainya. Tetapi pada hakikatnya Allah yang berkuasa memberikan kesan.


Monday, September 28, 2009

Memberock

Pada kesempatan cuti musim perayaan baru-baru ini, aku berkesempatan bertemu dengan Akam, seorang teman lama sejak dari zaman belum bersekolah lagi. Pertemuan itu mengingatkan aku akan zaman ‘rock’ yang sudah berbelas tahun kutinggalkan. Sesekali mengenang zaman jahiliyyah ada juga menariknya. Ustaz Akhil Hayy (kumpulan D’Riyadh) dan Ustaz Radzi (kumpulan Melissa) pun selalu terkenangkan zaman muda mereka.

Aku, Akam dan beberapa orang teman lagi pernah punya sebuah kumpulan muzik kecil-kecilan. Akam ialah pemain gitar bass dalam kumpulan kami manakala aku sendiri berperanan sebagai ketua kumpulan, pencipta lagu dan pemain gitar utama. Kami banyak pengalaman pahit manis bersama. Berjalan ke sekolah rendah bersama-sama, bermain segala macam jenis permainan kampung, menangkap ikan di parit-parit, mencari lokan di lombong, sesekali bergaduh, basikal BMXnya sering kupinjam, melepak sampai pukul 2-3 pagi, memancing ikan keli, ke bukit mencari cempedak, berlumba lari (dia pelari terpantas sekolah rendah kami) dan sebagainya. Di atas pentas, kami berdualah yang paling ligat bergerak ke sana ke mari. Kadang-kadang sampai terlanggar sesama sendiri.

Itu cerita dulu. Kini Akam menjadi seorang penjual burger yang berjaya, siap boleh pakai pekerja lagi. Memang laku burgernya. Banyak juga kawan-kawan kami yang pernah menjal burger, tapi bertahan setakat setahun dua saja. Si Akam ni sudah berbelas tahun dan mampu hidup dengan bisnes ini. Mungkin warung burgernya ialah yang paling laris dan stabil di seluruh bandar Taiping dan Kamunting, wallahualam. Selalu saja pelanggan datang ke warungnya, kami hendak bersembang pun susah walaupun berjumpa puratanya setahun 2-3 kali saja. Dia berkecimpung dalam bidang ini sejak kami masih bermain muzik lagi. Dari segi imej dan penampilan, memang tak jatuh- menjadikan dia otai ori generasi rock. Masih bujang walaupun usia kami semakin menghampiri angka 40. : )

Vokalis kami bernama Pejo. Orangnya kacak dan berkulit putih. Idolanya Awie Wings, menjadikan lenggok suaranya pun ada iras-iras penyanyi itu. Rumahnya di belakang rumahku saja. Aku tidak pernah tahu kebolehannya menyanyi sehinggalah pada suatu hari aku terdengar dia tarik lagu Gugurnya Bunga Cinta (kumpulan Laksamana) dari dapur rumahku. Memang ‘power’ suaranya. Aku menawarkan posisi penyanyi kepadanya walaupun dia sudah ada band. Sejak itu kami berkawan rapat, terasa seperti adik-beradik. Merayau dan makan-makan di sekitar bandar Taiping menjadi kegemaran kami.

Kami sama-sama bekerja di sebuah kilang kain. Pejo kemudiannya bertukar kerja ke Genting Highland beberapa tahun. Kemudian dia kembali ke Taiping apabila dapat tawaran bekerja di taman tema air di Bukit Merah. Penghijrahan demi penghijrahannya menjadikan hubungan kami semua semakin renggang. Seterusnya berpindah ke Kuala Lumpur, menyebabkan hubungan kami terputus sampailah sekarang. Ada khabar-khabar angin mengatakan Pejo kini berada di Pulau Pinang. Sudah berkahwin dan mungkin punyai 2-3 orang anak. Sudah belasan tahun kami tidak bertemu muka.

Pemain gitar kedua ialah Acek, adik kepada Pejo. Kacak dan berkulit cerah seperti abangnya. Aku banyak ‘mentarbiahkan’ ilmu bermain gitar kepada Achek. Achek turut berhijrah ke Genting. Kemudian kudengar dia berkahwin dan dapat anak. Dia antara yang paling awal mendirikan rumahtangga. Juga sudah belasan tahun tidak ketemu.

Aswat nama pemain dram. Asalnya pelajar sekolah agama tapi tak berapa berjaya dalam akademik, namun keluarganya memang orang berada. Peminat setia kumpulan thrash Metallica. Mungkin Aswat yang paling awal berkahwin iaitu dalam usia 18-19 tahun kalau tak silap. Setahu aku, dia jadi tauke perniagaan ayam mentah. Dengar khabar, badannya yang gempal kini sudah jadi sasa kerana Aswat aktif dengan kelab bina badan. Bertahun-tahun tidak bertemu.

Selepas Aswat mengundur diri, tempatnya digantikan dengan Emi. Aku tidak sempat bergaul lama dengan Emi. Entah ke mana perginya si Emi ni.

Kami punya seorang pemain bass simpanan. Nama gelarannya Man Doraemon, kerana dia suka meniru-niru suara Doraemon. Puluhan tahun depan rumahnya jadi tempat lepak anak muda kampung pada waktu malam. Pernah membuka sebuah kedai runcit tetapi kurang berjaya. Kini menjadi peniaga di pasar malam dan aktif dengan parti politik UMNO. Sudah berkahwin dan punya anak, berapa orang tak tahulah. Kali terakhir terjumpa di pasar malam sekitar 4-5 tahun lepas.

Aku, Akam, Pejo dan Achek pernah simpan rambut panjang separas belakang badan. Pakaian kami biasanya berwarna hitam dan ada gambar hantu tengkorak mak nenek semualah. Sebab itu mereka yang mengenali kami terutamanya orang kampung terkejut kung fu cengkadak melihat perubahan diriku. Mereka agak pening juga melihatkan seorang bekas kutu era rock kini berceramah, mengajar kitab, mengendalikan usrah-usrah, berjubah, memelihara janggut, berserban, menjadi imam solat mereka dan lain-lain yang bersangkutan dengan keagamaan. Begitulah kerja Tuhan yang Maha Berkuasa.

Sekarang kita ke bahagian kemuncak nukilan ini.

Aku pernah banyak kali ke ceramah Ustaz Akhil Hayy. Suatu waktu dahulu, sesekali dalam ceramahnya Ustaz Akhil turut mengundang Ito Blues Gang sebagai penceramah pertama. Jenaka Ustaz Akhil lebih kurang, “Ito ni dulu bekas tok guru kami le dalam muzik. Dia le yang jadi pemimpin ‘usrah-usrah setan’ kami.”

Aku mengaitkan kata-kata Ustaz Akhil ini dengan diriku sendiri. Untuk ‘usrah-usrah’ band kami, akulah pemimpinnya, akulah naqibnya. Malang betul! Apa saja keburukan yang pernah kutarbiahkan dan jika kini masih jadi pegangan Akam, Pejo, Achek, Aswat dan Man, saham negatifnya tetap masuk ke akaunku. Akaunku itu pula akan dibuka di depan Tuhan nanti. Bagaimana pula jika ajaran-ajaranku itu mereka salurkan pula kepada orang lain, kepada anak-pinak mereka? Semakin panjanglah senarai di sebelah kredit akaunku...

Elok sangatlah Tuhan tidak menjadikan kami sebuah band yang ada nama. Jika tidak, entah berapa juta jiwa yang sedikit-sebanyak akan terpesona dan terpengaruh dengan aspek-aspek negatif kami zaman-berzaman.

Sebab itu aku berasa sangat gentar melihatkan para artis hari ini terutamanya yang wanita. Sudah berapa ramai wanita lain yang termotivasi untuk menjadi seperti para artis wanita itu, dan memotivasikan pula orang lain untuk meniru artis kegemaran mereka? Berapa banyak yang terikut-ikut gaya penampilan mereka yang tidak menutup aurat dengan sempurna? Berapa banyak pula kaum lelaki yang pernah mereka jamukan sebahagian daripada aurat mereka?

Ketika kita ‘menyebarkan’ memang seronok, tapi apabila kita sudah tua ataupun di anjung halaman malaikat maut, banyak perkara akan kita fikir. Bila masanya kita hendak menarik balik tarbiah negatif yang kita sebarkan ataupun contohkan selama ini? Mampukah kita untuk menemui dan mentarbiahkan semula ribuan atau jutaan orang yang pernah meminati kita itu? Jika kita dengan sengaja menjadi ‘punca’ seseorang itu termotivasi ke arah negatif, segala perlakuan negatif yang mereka amalkan dan mereka sebarkan itu akan masuk juga ke akaun akhirat kita, tidak berkurang walaupun sedikit. Bahaya betul!

Nasib baik jugalah jahat aku hanya dalam muzik rock, ilmu itu sajalah yang pernah kuperturunkan kepada ikhwah usrah kami. Segala benda-benda khayal, mabuk, rokok, perempuan, jenayah dan lain-lain tidak pernah kujadikan silibus usrah, bahkan aku sendiri tidak pernah terlibat dengan itu semua. Sebab itu jugalah antara sesama kumpulan rock, band kami agak tersisih dari segi sosialnya kerana imej kami yang ‘clean’ ala-ala white metal gitu. Biasalah, orang baik-baik payah dapat kawan. : )

Beberapa kali juga aku terfikir, bagaimanalah caranya untuk aku menebus silibus ‘usrah’ku dahulu? Kalaulah Tuhan izinkan kami semua berkumpul semula dan tinggal berdekatan, sudah tentu aku akan bawa mereka ke alam usrah Islami. Akan kutuang air keagamaan banyak-banyak ke dalam bekas hati mereka yang pernah kuisi dengan air hiburan tidak Islamik itu. Insyaallah lama kelamaan air hiburan itu akan melimpah keluar juga jika dituang air keagmaan berterusan. ‘Qiamullail’ pukul 3-4 pagi dulu mahu kugantikan dengan qiamullail sebenar. Aku yakin rasa hormat mereka kepadaku selaku ‘naqib rock’ mereka dulu masih ada bisa-bisanya.

Tapi hal itu hampir-hampir mustahil berlaku. Mana mungkin kami dapat duduk semeja lagi ramai-ramai selalu seperti dahulu kala...

Ya Allah... ampunkan aku... Amin...

Pengajaran utama nukilan ini ialah... jangan sesekali melibatkan diri dalam hal-hal yang tidak selaras dengan agama, apatah lagi jika ia jadi contoh kepada orang lain. Apabila kita mendapat kesedaran suatu hari nanti, ketika itu kita sedar bahawa memang tidak ‘tercover’ balik apa yang pernah kita sebarkan.



Saturday, September 26, 2009

Sesekali Usaha Tidak Menjadi...

Mulai raya kedua, jika ada masa saya terus mengasingkan diri dan menyiapkan sedikit bahan dakwah untuk remaja di IPT. Selama tiga hari tiga malam menulis, mengumpul, menilai dan menyusun sedangkan orang lain menghabiskan masa dengan bergembira. Maklumlah, minggu perayaan. Pada hari ke-4, keluar pula 30 kilometer cari tempat untuk fotostat yang agak berkualiti. Dengan kuasa Tuhan, setelah berpusing-pusing akhirnya ditemukan jodoh dengan sebuah kedai yang mengenakan bayaran 3 sen semuka, dan berkualiti. Seingat saya, di sini paling rendah pun 4 sen. Sudah lama tidak kedengaran kedai yang menawarkan 3 sen.

Pada hari ke-5, sepatutnya bahan-bahan dakwah ini sudah bergerak. Malangnya ia tersangkut, dan mungkin akan terperam untuk 2 ke 3 bulan lagi sebelum boleh menemui sasarannya. Padahal ia sudah siap 100% dan memang berkaitan dengan Ramadhan dan Syawal.

Begitulah fitrah dalam dakwah. Ada kalanya ujian yang datang agak berat. Terasa letih pada 2, 3, 4 dan 5 Syawal menjadi berganda kerana apa yang kita usahakan tidak sempurna pengakhirannya. Suasana raya kita korbankan, masa gembira kita korbankan, wang, tenaga..... usaha kita boleh terbatal dengan sebegitu mudah.

Ini bukan keluhan menyesal, tapi satu perkongsian. Mana boleh kita berhiba hati berlebih-lebihan kerana kesemuanya adalah gerak Allah. Namun dari satu sudut, benda-benda sebegini memang jadi satu cabaran yang menarik untuk disahut. Kita nak lawan (usaha terus) ataupun mengalah? Tuhan beri kita ikhtiar untuk memilih.


Lagi ini menasihatkan kita agar teguh menghadapi ujian Tuhan. Para nabi jauh lebih teruji tetapi mereka sabar.

Friday, September 25, 2009

Khutbah Aidil Fitri 1430 Hijrah

* Khutbah tahun lepas lagi 'power', bersemangat tahap maksima ketika membacanya. Walau bagaimanapun, khutbah kali ini tetap punya isi-isi yang begitu penting untuk diketengahkan. Sebenarnya khutbah raya ini, kita kena buat sedikit latihan di rumah. Sekurang-kurangnya kita tahu di mana tempat-tempat yang sesuai untuk berhenti, yang perlu bernada tinggi, yang perlu dibaca agak lambat dan sebagainya. Orang kampung sebelah baca khutbah yang sama. Tapi oleh kerana tok khatibnya tidak buat latihan, para pendengar merungut tidak faham. Yang mereka dapat tangkap hanyalah cerita tentang H1N1. Selain kisah H1N1 itu, mereka tidak dapat memahami ke mana hala tuju khutbah tersebut. Tak mengapalah, kita kongsi khutbah yang saya sampaikan pada pagi Aidil Fitri lalu.

Tajuk khutbah- Erti Kemenangan di Pagi Syawal

Kaum muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,

Dengan rahmat serta kasih sayang Allah, kita bersama menikmati suasana 1 Syawal 1430 Hijrah. Ramadhan telah kita tinggalkan. Apakah ibadah puasa kita selama sebulan telah diterima Allah? Apakah dengan berakhirnya bulan Ramadhan yang penuh dengan rahmah dan maghfirah ini, dosa-dosa yang telah kita lakukan telah terampun? Apakah nafsu amarah yang bersarang di hati kita selama ini sudah kita tundukkan sehingga taat sepenuhnya kepada perintah Allah?

Tujuan kita berpuasa adalah untuk membebaskan diri kita daripada belenggu hawa nafsu yang menjauhkan kita dari rahmat Tuhan. Kenapa kita masih terbelenggu dengan nafsu? Nafsu kita, kita suburkan pada bulan Ramadhan dengan berpesta makanan dan minuman. Ibadah puasa yang kita lakukan tidak lebih daripada menahan diri dari makan dan minum serta perhubungan seksual pada siang hari. Tetapi mata kita, telinga, mulut, tangan dan kaki dibiarkan terdedah dengan maksiat. Apabila nafsu kita masih lagi subur, ertinya puasa yang kita lakukan tidak dapat melahirkan sifat taqwa sepertimana firman Allah yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu, supaya kamu bertaqwa.” (Al-Baqarah: 183)

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, wa lillahilhamd.

Muslimin dan muslimat yang dikasihi sekelian,

Berbagai-bagai jenis ibadah yang kita lakukan dalam bulan Ramadhan hanya menjadi tradisi ketika Ramadhan sahaja. Selepas Ramadhan berlalu, sembahayang berjemaah kita tinggalkan, qiamullail kita tinggalkan, membaca al-Quran kita tinggalkan dan bersedekah tidak lagi menjadi amalan. Sepatutnya semua bentuk ibadah tersebut merupakan latihan untuk kita meneruskan kehidupan pada sebelas bulan yang akan datang, sehingga kita bertemu Ramadhan berikutnya.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, wa lillahilhamd.

Sidang jemaah yang dirahmati Allah sekelian,

Pada bulan Ramadhan, syaitan yang menjadi musuh manusia telah dirantai. Kita hanya perlu mengekang nafsu dari melakukan perkara yang dilarang Allah. Jika nafsu yang ada dalam diri kita tidak dapat kita tundukkan, ini bererti kita akan kecundang dalam sebelas bulan yang akan datang. Nafsu akan sentiasa mendorong kita supaya jauh dari Allah dan rasul-Nya.

Sepatutnya pada bulan puasa kita dapat rasakan sifat kehambaan dan rasa berTuhan yang mendalam sehingga kita rasa bersalah dan insaf kerana banyak melakukan dosa seperti mengumpat, memfitnah, pergaulan bebas, mencuri, minum arak, menghisap dadah, tidak menutup aurat dengan sempurna, membiasakan diri dengan hiburan-hiburan yang tidak selaras dengan Islam dan berbagai-bagai maksiat yang lain.

Tanpa kita sedari kita melakukan dosa, sombong dan angkuh kerana tidak mahu menerima syariat Allah sebagai panduan hidup. Kita mengambil perintah Allah yang sesuai dengan selera dan nafsu kita sahaja. Yang kita rasa tidak sesuai, kita tinggalkan. Ini bererti kita tidak menerima Islam secara keseluruhannya. Hanya nafsu yang membuat pilihan untuk kita.

Bagi orang-orang yang beriman dan bertaqwa, mereka sentiasa patuh dan taat kepada syariat Allah kerana Allah adalah segalanya bagi mereka.

Hayatilah firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 23-24 yang berbunyi:

“Dan jika kamu masih di dalam keraguan tentang al-Quran yang kami wahyukan kepada hamba kami (iaitu Muhammad), buatlah satu surah sahaja yang seperti al-Quran itu, dan ajaklah penolong-penolong kamu selian dari Allah jika kamu orang-orang yang benar. Maka jika kamu tidak dapat membuatnya, maka peliharalah dirimu dari neraka yang bahan bakarnya ialah manusia dan batu- yang disediakan bagi orang-orang kafir.”

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, wa lillahilhamd.

Kaum muslimin dan muslimat yang berbahagia,

Untuk keselamatan manusia di dunia dan di akhirat, serta mendapat rahmat dan kasih saying Allah, manusia tidak dapat lari daripada menerima segala peraturan dan undang-undang Allah. Allah Maha Mengetahui segala kelemahan dan kekurangan hamba-hamba yang diciptakan-Nya. Demi keselamatan manusia di dunia dan di akhirat, Allah sediakan peraturan dan undang-undang, yakni sunnatullah yang wajib dipatuhi.

Peraturan Allah yang disunnahkan Allah kepada manusia itu ada dua peringkat. Pertama- karhan. Kedua- tou’an.

Karhan adalah satu peraturan yang dijadikan Allah kepada manusia di mana manusia mesti menerimanya. Sekiranya manusia menolak, akan mendatangkan kemusnahan dengan segera. Sunnatullah itu ialah seperti- manusia yang sudah disunnahkan untuk bernafas dengan oksigen. Kalau diganti dengan air, manusia akan mati. Begitu juga- berjalan dengan kaki, melihat dengan mata dan sebagainya. Jika ditukar, manusia akan binasa dengan segera.

Oleh itu tidak ada manusia dari dahulu hingga sekarang menganggap orang yang bernafas dengan oksigen itu kolot dan ketinggalan zaman. Manusia terpaksa menerima dan berpuas hati seperti mana yang disebutkan dalam surah ar-Ra’d ayar 15:

“Dan kepada Allah jualah sekelian makhluk yang ada di langit dan di bumi tunduk patuh, sama ada dengan sukarela ataupun dengan terpaksa, dan (demikian juga) bayang-bayang mereka pada waktu pagi dan petang.”

Manakala peraturan kedua iaitu tou’an, manusia tidak dipaksa menerimanya seperti sunnatullah, kalau manusia ingin selamat, mereka mestilah menyembah Allah dan meninggalkan larangan-Nya. Melaksanakan perintahnya seperti sembahyang, menutup aurat dengan sempurna, berpuasa pada bulan Ramadhan, membayar zakat, menunaikan haji dan lain-lain ibadah lagi.

Oleh kerana sunnatullah yang berbentuk tou’an ini kebinasaannya lambat datang, maka kebanyakan manusia tidak bersungguh-sungguh mengamalkannya. Ada pula yang terus menolaknya.

Akibat dari penolakan ini, akan berlaku kemusnahan dalam tempoh yang tidak dijangka oleh manusia. Akan berlau berbagai gejala maksiat seperti keruntuhan akhlak remaja mahupun penyuburan dosa. Ia adalah hasil yang kita tanam sebelum ini. Umpama buah yang berduri dan beracun, yang tidak member manafaat kepada kita. Hanya merosakkan jika ada orang yang sudi memakannya.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, wa lillahilhamd.

Sidang jemaah yang dirahmati Allah sekelian,

Hari ini kita telah dikejutkan dengan berbagai-bagai bala bencana. Bencana alama seperti banjir, ribut taufan dan gempa bumi. Sebelum ini wabak selsema burung merebak ke seluruh dunia, kini wabak Influenza A- H1N1 pula. Doktor seluruh dunia bertungkus-lumus mengkaji dan mencipta vaksin untuk merawat penyakit ini. Sebenarnya kita tidak perlu terlalu panik dengan situasi ini kerana setiap bala bencana yang menimpa manusia adalah ujian Allah kepada manusia yang membuat dosa supaya kembali kepada-Nya. Firman Allah yang bermaksud:

“Setiap manusia pasti akan Kami uji dengan ujian ketakutan, ujian kelaparan, kekurangan harta benda, jiwa dan hasil tanaman. Berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar apabila ditimpa musibah, mereka berkata dari Allah dia datang dan kepada Allah dia kembali.”

Segala bentuk wabak yang didatangkan Allah kepada kita adalah merupakan sebab dan akibat, di mana sebab dan akibat itu semua adalah datangnya daripada Allah. Sebab dan akibat tidak memberi bekas.

Kenapa umat Islam hari ini terlalu takut dengan bala yang berbentuk hissiy, yakni bala yang berbentuk lahiriah iaitu bala yang nampak dengan mata sedangkan kalau kita redha dan sabar dalam menghadapinya, ia merupakan penghapusan dosa dan peningkatan darjat di sisi Allah. Penderitaan tidaklah hebat jika dibandingkan dengan azab Allah di akhirat kelak. Tetapi bala yang berbentuk lahiriah inilah yang menjadi keresahan setiap golongan sama ada pemimpin mahupun rakyat jelata.

Manakala bala yang berbentuk maknawi tidak diambil kira. Bala maknawi sebenarnya ialah bala hilang iman, bala hilang rasa berTuhan, hilang rasa kehambaan di hati manusia, tiada rsa kasih saying sesama manusia, meninggalkan solat, meninggalkan puasa, tidak membayar zakat, tidak mengerjakan haji dan lain-lain ibadah. Bala ini menyebabkan kita berdosa. Dosa-dosa itu kalau tidak diampunkan Allah, akan menyebabkan kita dihumban ke neraka. Nauzubillah.

Hasil daripada kita melanggar perintah Allah yang berbentuk bala maknawi ini, maka Allah datangkan bala hissiy, iaitu bala yang berbentuk lahiriah supaya manusia yang engkar dan mungkir akan diseksa di dunia sebelum seksaan yang lebih berat di akhirat.

Mudah-mudahan dengan bala bencana yang menimpa manusia itu, mereka akan sedar supaya kembali bertaubat dan menyerah diri kepada Allah. Firman Allah dalam surah ar-Ruum ayat 41 yang bermaksud:

“Lahirlah kerosakan di daratan dan di lautan hasil usaha manusia, dengan Allah mendatangkan azab, supaya manusia kembali ke jalan yang benar.”

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, wa lillahilhamd.

Muslimin dan muslimat yang berbahagia,

Demikianlah juga segala amalan lain dalam kehidupan, termasuk kepada amalan dan perbuatn mencari rezeki dan nafkah bagi menyara hidup, sehingga kepada memenuhi keperluan diri dan peribadi seperti makan dan minum, pernikahan dan sebagainya. Semuanya mesti ditunaikan demi ketaatan kepada Allah Subhana wa Taala.

Para ulama menyebutkan- hendaklah usaha mencari rezeki dilakukan kerana hendak mentaati Allah Subahanahu wa Taala dan dilakukan kerana menurut perintah-Nya yang menyuruh hamba-hamba-Nya mencari nafkah dan rezeki.

Malangnya manusia hari ini mencari rezeki dan sara hidup demi keperluan peribadi dan demi hawa nafsu, dan menunaikan kehendak hidupnya tanpa ada apa-apa ikatan kepada ketaatan kepada Allah Subhanahu wa Taala. Lalu bagaimanakah mereka ini mendakwa sebagai hamba Allah yang menunaikan ketaatan kepada-Nya?

Hari ini kita mencari wang ringgit kerana kita memerlukannya. Kita perlu bekerja kerana kita mesti mendapatkan wang ringgit bagi membolehkan membeli sesuatu barangan dan memiliki sesuatu keperluan ataupun perkhidmatan yang diingini.

Di manakah ketatatan kita kepada Allah Subhana wa Taala?

Para salafus soleh dahulu, para aulia’ Allah subhanahu wa Taala, para nabi dan mereka yang beriman sebaliknya berusaha bekerja semata-mata kerana Allah Subhanahu wa Taala. Mereka mencari kerja demi menunaikan ketaatan kepada Allah yang memerintahkan hamba-Nya supaya berusaha. Apabila mendapat sesuatu pekerjaan, mereka menunaikannya demi untuk melakukan ibadah kepada Allah Subahanu wa Taala dan mereka menjalankan kerja tersebut sebagai ibadah kepada Allah Subahanahu wa Taala. Lalu setelah itu mendapat hasil kerja dalam bentuk wang ringgit, barangan dan keuntungan sebagai ganjaran dari ketaatan kepada Allah, yang disampaikan dalam bentuk duniawi iaitu wang ringgit dan lain-lain, dan mereka membeli barangan dan makanan demi ibadah kepada Allah supaya berjual beli dan bermuammalah sesama manusia, kemudian mengisi perut kerana ketaatan kepada Allah.

Mukmin yang hakiki makan dan minum untuk menghilangkan kelaparan dan dahaga demi ketaatan kepada Allah Subahanahu wa Taala. Tetapi manusia yang mengaku Islam hari ini makan dan minum kerana hawa nafsu, mahu menikmati rasa yang lazat dan kesedapan makanan.

Muslim dahulu yang bergelar salafus soleh bernikah dan berkahwin demi menjaga agama, untuk berjuang dan keperluan fitrah dengan memilih wanita yang solehah. Tetapi muslim hari ini bernikah dan berkahwin dengan wanita yang cantik dan yang menarik semata-mata, sehingga pernikahan dilangsungkan semata-mata demi syahwat, bukan demi ketaatan dan perjuangan.

Pekerjaan yang dilakukan pada hari ini dengan kita semua masing-masing memiliki pekerjaan khusus, dengan harapan beroleh wang ringgit, lalu semua perkara dipergantungkan kepada wang, bukan kepada Allah Subhanahu wa Taala lagi.

Pemilihan pekerjaan juga dilakukan kepada yang mana satukah yang lebih memberikan keuntungan dan ganjaran wang yang lebih besar, bukan dipilih perkerjaan kepada yang mana satukah yang lebih memberikan ketaatan yang besar kepada Allah Subhanahu wa Taala dan dapat menunaikan ibadah yang lebih kepada Allah Subhanahu wa Taala.

Terdapat beberapa kesimpulan dan iktibar dari khutbah ini:

Pertama- segala perbuatan dan tindak tanduk kita mestilah untuk mendapat keredhaan Allah Taala.

Kedua- Ramadhan adalah bulan mengumpul bekalan untuk perjalanan hidup sebelas bulan akan datang.

Ketiga- Hawa nafsu boleh ditewaskan dengan mengingati Allah.

Keempat- Syawal adalah bulan kemenangan dan membina silaturrahin sesama umat Islam.

Firman Allah Taala dalam surah al-Fajr ayat 27-30 yang bermaksud:

“Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati lagi diredhai (di sisi Tuhanmu), serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hamba-Ku yang berbahagia, dan masuklah ke dalam syurga-Ku.”

KHUTBAH KEDUA

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, wa lillahilhamd.

Muslimin dan muslimat yang berbahagia,

Pada hari yang mulia ini marilah kita bermaaf-maafan. Buangkan yang keruh, ambil yang jernih. Merapatkan kembali hubungan sanak saudara yang terputus disebabkan perselisihan dan pergaduhan. Banyakkah berdoa memohon keampunan kepada Allah atas dosa-dosa yang telah kita lakukan terhadap diri kita, ibu bapa, ahli keluarga dan sanak-saudara. Juga tidak kita lupakan bermaaf-maafan sesama sahabat handai, jiran tetangga.

Marilah kita mengadakan silaturrahim. Kunjung-mengunjung sesama kita, bersedekah dan berkorban kepada yang tiada. Mengadakan jamuan serta eratkan kasih sayang sesama kita. Yang tua mengasihi yang muda, yang muda menghormati yang tua. Hapuskan segala dendam kesumat yang boleh memecah-belahkan perpaduan. Carilah titik persamaan menuju keredhaan Allah. Mudah-mudahan kita dikurniakan rahmat dan kasih sayang Tuhan, serta mampu untuk bergerak sebagai satu umat.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, wa lillahilhamd.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dimuliakan,

Di dalam bulan yang berbahagia ini satu perkara yang sepatutnya tidak dapat kita lupakan iaitu ibu bapa kita yang telah kembali ke rahmatullah, meninggalkan kita buat selama-lamanya. Jangan kerana kesibukan kita menyambut hari raya sampai kita melupai kedua-dua ibu bapa kita yang menunggu doa dan sedekah pahala daripada anak-anak yang tercinta. Ketika itu ruh kedua-dua ibu bapa kita akan kembali ke alam barzakh memohon agar ada dalam kalangan anak-anak akan mendoakan keselamatannya di dalam kubur. Tetapi sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi.

Anak-anak yang diharapkan berdoa paa pagi 1 Syawal ini menyambut kedatangan hari raya dengan melakukan maksiat, hanyut dalam melakukan kemungkaran seperti mendedahkan aurat, bergaul bebas antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, meninggalkan sembahyang, ada yang berjudi dan minum arak bagi memuaskan nafsu yang terhimpun di bulan Ramadhan.

Hasil dari itu, ibu bpa bertambah derita dan tersiksa di dalam kubur. Ini telah dijelaskan oleh Allah dalam surat al-Ahkhaaf ayat 15 yang bermaksud:

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada ibu bapanya. Ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah-payah, dan telah melahirkannya dengan menanggung susah-payah. Sedangkan tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah dia besar sampai ke peringkat umur 40 tahun, berdoalah dia dengan berkata: Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal salih yang Engkau redhai. Dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Mu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepada-Mu).”

Marilah kita meluangkan masa buat seketika untuk menziarahi pusara kedua-dua ibu bapa kita. Namun ia bukan sekadar untuk menimbulkan kesedihan yang membawa kepada ratapan, tetapi untuk mendatangkan keinsafan kepada setiap diri. Bahkan mereka akan bergembira dengan kedatangan kita.

Doakan mereka: “Wahai Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, ampunilah dosa kedua ibu bapa kami dan dosa-dosa kami. Kasihanilah mereka seperti mana mereka mengasihi kami sewaktu kami masih kecil. Masukkanlah ruh mereka ke dalam syurga dengan rahmat dan kasih sayang-Mu, dan lapanganlah kubur mereka dan jadikanlah kubur mereka daripada taman-taman syurga. Dan jadikanlah setiap amalan baik yang kami lakukan sebagai pengampunan dosa bagi mereka. Wahai Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Peliharakanlah kedua ibu bapa kami daripada fitnah serta huru-hara siksaan di dalam kubur.”

“Ya Allah ya Rahmaan ya Rahiim, ampunkanlah segala dosa kami, dosa isteri-siteri kami dan anak-anak kami, dosa saudara-saudara kami, datuk nenek kami serta dosa pemimpin-pemimpin kami yang memperjuangkan kebenaran, sama ada yang masih hidup ataupun yang sudah mati.”

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, wa lillahilhamd.

Anda mungkin meminati:

Related Posts with Thumbnails