Monday, August 27, 2012

Tasauf?


SOALAN :
Mengapa perlu bertasauf...penting sangat ke tasauf dalam kehidupan...tasauf ni apa sebenarnya ya?

JAWAPAN RINGKAS :
Ringkasnya... tauhid = membetulkan sembahan agar tak tersalah sembah, fiqh = tahu cara-cara berabdi/beribadah, dan tasauf = mencantikkan tauhid dan fiqh tadi. Di situ letaknya kepentingan tasauf

Contoh - hendak menjala ikan. Tauhid = tahu dan kenal mana satu jala dan mana satu tempat yang ada ikan. Maka betullah alat dan betullah lokasi tujuannya.

Fiqh = tahu cara-cara menebar jala.

Tasauf = tahu tempat mana yang paling mudah dapat ikan banyak, dan mahir pula menebar jala hingga kembang cantik membulat.

Hasilnya... ikan yang diperolehi pada peringkat tasauf adalah lebih banyak dan lebih cepat. Begitulah tamsilannya. WA.

Abu Zulfiqar
27 OGOS 2012

*Untuk mendapatkan huraian lanjut, bolehlah mengikuti audio dan video kuliah saya tentang kitab Ihya’ ‘Ulumiddin di Youtube.

Sunday, August 26, 2012

Ajaran Aziz Lombok - Isu Nama Al-Mahdi

Dalam tempoh lebih kurang 20 hari diasak oleh para mujahid dari Malaysia dan Indonesia, semakin banyak kesalahan-kesalahan ajaran Abd Aziz Lombok (yang mengaku dirinya sebagai Al-Mahdi Cucu Nabi Ibrahim, Pemuda Bani Tamim, dan Ka’abah dibina oleh Nabi Ibrahim untuk dirinya) terkeluar.

Antara yang terkini, dulunya mereka menolak hadith-hadith tentang nama Al-Mahdi (iaitu Muhammad/Ahmad) kerana katanya palsu. Maklumlah, nama Al-Mahdi utama mereka iaitu Al-Mahdi Cucu Nabi Muhammad ialah Nasser (ada dua Al-Mahdi dalam ajaran Nasser Mohamed Yaman dan Abdul Aziz Lombok ini) dan Al-Mahdi sampingan mereka iaitu Al-Mahdi Cucu Nabi Ibrahim ialah Abdul Aziz (konsep DUA AL-MAHDI ini memang menyukarkan mereka mendapat sokongan umat Islam). Mereka menolak hadith-hadith berkenaan kerana yakin Nasser tahu hadith mana yang palsu mana yang tidak melalui ilmu ghaib,  tanpa menggunakan kajian ilmu mustalah hadith.

“Dunia ini tidak akan hancur sehinggalah (muncul) seorang lelaki dari kalangan kaum keluargaku (ahlul bait, keturunanku), yang NAMANYA SEPERTI NAMAKU (iaitu Muhammad), memerintah seluruh bangsa Arab.” (Turmizi)

“Dunia tidak akan kiamat sehinggalah Allah mengutus seorang lelai yang NAMANYA SEPERTI NAMAKU, dan NAMA BAPANYA SEPERTI NAMA BAPAKU.” (Thabrani, Al-Hakim, Abu Syaibah)

“Nama yang dikenakan Al-Mahdi ialah NAMAKU (iaitu Muhammad), perawakannya seperti perawakanku, akhlaknya seperti akhlakku, dan kuniyahnya ialah Abu Abdullah.” (Abu Daud, Abu Nu’aim)


Tapi tiba-tiba sekarang Aziz Lombok mengaku pula pada namanya dan nama Nasser ada nama "Muhammad/Ahmad". Sekejap aja hadith-hadith palsu boleh bertukar jadi hadith-hadith yang diterima pula setelah ajaran mereka diasak bertubi-tubi oleh para pejuang. Jadi, ke mana perginya ilmu ghaib Nasser Mohamed dan ke mana pula perginya keyakinan mereka bahawa Nasser tahu mana hadith yang palsu dan mana yang bukan? Nampaknya ajaran mereka semakin runtuh dan terus runtuh.
.
Ini kata-kata Tuan Aziz Lombok pada 18 Ogos : "Kenapa ALLOH subhanahu wata'ala tidak kasi tau saya tentang nama imam mahdi di tahun 2002 ??? karna nama beliau ada di nama saya #(ABDUL AZIZ MUHAMMAD) + (NASER AHMAD)# jadi dua-duanya nama rasul di ambil MUHAMMAD dan AHMAD sallallohu alaihi wa sallam."

Sudah saya balas, tapi tiada penjelasan lanjut dari Aziz Lombok : "Namanya Abdul Aziz, dari mana datangnya Muhammad? Nama Nasser itu Nasser Mohamed, dari mana datangnya Ahmad?"

Hal ini kerana nama Al-Mahdi Cucu Nabi Ibrahim/Pemuda Bani Tamim Lombok ini ialah Abdul Aziz. Nama bapanya Muhammad Nasir/Nashir. Setelah kedudukannya semakin goyah, tiba-tiba pula mahu mengaitkan nama sang bapa dengan namanya, agar nampak ada “Muhammad”nya di situ. Nama Al-Mahdi utama iaitu Cucu Rasulullah pula ialah Nasser Mohamed/Muhammad. Dari mana pula Abdul Aziz mengatakan nama Si Nasser ialah Nasser Ahmad? Takkanlah nama imam sendiri pun boleh terkeliru?

Padahal dulunya mereka menolak hadith-hadith tentang nama Al-Mahdi, siap dengan slogan yang maksudnya lebih kurang : "Lihat ilmunya, bukan namanya." Slogan ini dibuat supaya umat Islam tidak mengaitkan hadith-hadith tentang nama Al-Mahdi iaitu Muhammad/Ahmad dengan Nasser Al-Yamani. Sekarang sudah mula berubah, hendak mengaitkan pula. Sudah jelas bagai matahari, pegangan mereka ini terumbang-ambing, tiada kestabilan dan kacau-bilau. Beginikah ajaran Al-Mahdi dan Pemuda Bani Tamim?

Abu Zulfiqar
26 OGOS 2012

Wednesday, August 22, 2012

Cara 2 Khalifah Berbelanja


Dalam tempoh masa enam bulan pertama bertugas sebagai khalifah, Saiyidina Abu Bakar tidak menerima  apa-apa bayaran atau gaji.  Untuk menyara hidup diri dan keluarganya, Saiyidina Abu Bakar menggunakan setengah harinya untuk berniaga. Pekerjaan berniaga ini memang kerjayanya sebelum diangkat sebagai khalifah.

Tugas sebagai seorang khalifah memang berat. Oleh itu Saiyidina Abu Bakar mengambil keputusan untuk berhenti berniaga. Keputusan ini tidak dibuatnya secara berseorangan, melainkan mellaui mesyuarat dengan para sahabat besar yang lain. Hasil mesyuarat itu juga memperuntukkan 6,000 dirham setahun kepada Saiyidina Abu Bakar, yang cukup untuk menyara diri dan keluarganya, tidak cukup untuk bermewah-mewah. Begitulah kehidupan seorang khalifah, ketua umat Islam seluruh dunia walaupun jawatan khalifah ini jauh lebih besar daripada jawatan presiden, raja atau menteri pada hari ini.

Sudahlah begitu, Saiyidina Abu Bakar menganggap gajinya itu sebagai hutang, padahal dia memang berhak menggunakannya. Dia berpesan kepada keluarganya agar membayar kembali gajinya itu setelah kematiannya, menggunakan harta-hartanya yang masih tinggal.

Ketika hampir mati, Saiyidina Abu Bakar berpesan kepada anaknya Saiyidatina ‘Aisyah : “Sesungguhnya sejak kami diangkat menjadi khalifah, kami tidak pernah mengambil walau satu dinar atau satu dirham pun harta umat Islam, tetapi kami memakai kain kasar (*sebagaimana) mereka dan memakan makanan tumbuk kasar (*juga sebagaimana) mereka. Kini tidak ada lagi sisa harta padaku kecuali seorang hamba ini, seekor unta ini dan sebatang sayur qatifah ini. Kalau nanti aku sudah meninggal dunia, wahai Aisyah, kirimkan semua ini kepada Umar sebagai pembayar hutangku.”

Saiyidina Umar yang diangkat sebagai khalifah baru menangis tersedu-sedu menerima pemberian Saiyidatina Aisyah itu lantas berkata : “Semoga Allah merahmati Abu Bakar. Seseungguhnya dia telah membuatkan penggantinya menjadi letih.”

Abdul Rahman bin Auf r.a. yang melihat betapa sedihnya Saiyidina Umar telah mengusulkan agar semua itu dikembalikan kepada keluarga Saiyidina Abu Bakar. Saiyidina Umar menjawab dengan tegas : “Tidak! Demi Allah yang telah mengutus Muhammad, ini tidak boleh terjadi dalam pemerintahanku. Abu Bakar tidak pernah menyeleweng dari Allah, dan aku akan mengikut jejaknya.”

Maka gaji Saiyidina Abu Bakar selama 14 bulan itu pun dikembalikan kepada kerajaan Islam.

Seperti Saiyidina Abu Bakar, selama berbulan-bulan Saiyidina Umar tidak dibayar gaji walaupun dia memegang jawatan tertinggi dalam dunia. Mesyuarat pun dibuat. Kata Saiyidina Umar : “Seluruh waktuku telah kugunakan untuk urusan kaum Muslimin. Apakah gerangan yang wajib bagiku dalam hal ini?”

Saiyidina Usman dan Said bin Zaid r.a. menjawab serentak : “Engkau mesti makan (*untuk dirimu) dan memberi makan(*kepada keluargamu).”

Oleh kerana Saiyidina Ali berdiam, Saiyidina Umar bertanyakan pendapatnya. Jawab Saiyidina Ali : “Ambillah sekadar cukup untuk makan siang dan malam. Harta rakyat ini hanya boleh engkau ambil sekadar cukup untuk makanan engkau dan keluarga engkau. Itu pun dengan cara yang maaruf.”

Saiyidina Umar bersetuju. Terdengar sahabat yang berbisik : “Apa pula yang halal bagi Amirul Mu;minin daripada harta Allah?”

Jawab Saidina Umar : “Aku akan menceritakan kepada kamu apa yang akan aku halalkan daripada harta Allah ini. Adalah halal bagiku dua potong (*helai) kain iaitu sepotong pada musim dingin dan sepotong pada musim panas, sekadar perbelanjaan aku menunaikan haji dan umrah, sekadar makanan sederhana untukku dan keluargaku, sebagaimana makanan seorang Quraish biasa.”

Setiap hari Umar mengambil 2 dirham untuk keperluan hidupnya. Untuk menunaikan ibadah haji, dia mengambil sebanyak 180 dirham.


Abu Zulfiqar
22 OGOS 2012

RUJUKAN :


A.      Hasjmy. (1970). Di Mana Letaknya Negara Islam. Singapura : Penerbitan Pustaka Nasional.

Thursday, August 16, 2012

Menghujah Pentaksub Abdul Aziz Lombok


ALBI NAGAE MENULIS :
Tidak ada yang mustahil bagi Allah. Dialah menciptakan segala sesuatu baik di langit mahupun di bumi, apa lagi sekedar menempel, masuk di dada orang itu sangat mudah bagi Allah. Apa pun yang Allah mahu, itu sangat mudah baginya. Tidak ada yang tidak mungkin tapi kalau Abu Zulfiqar berpikirnya malah sebaliknya,, sangat sempit sekali pikirannya.!

ABU ZULFIQAR MENULIS :
Tuan Albi Nagae, sila belajar dan memahami ilmu tauhid terlebih dahulu. Sebenarnya, banyak perkara yang mustahil bagi Allah. Antaranya :
1.      Mustahil bagi Allah untuk membuang mana-mana makhluk keluar daripada kerajaan-Nya.
2.      Mustahil untuk Allah menciptakan satu kuasa yang lebih kuat daripada-Nya.
3.      Mustahil bagi Allah untuk mempunyai anak.
4.      Mustahil bagi Allah untuk wujud selepas kewujudan mana-mana makhluk terlebih dahulu, kerana Dia sedia ada sejak azali.
5.      Mustahil bagi Allah untuk lebih miskin daripada mana-mana makhluk-Nya.
6.      Mustahil bagi Allah untuk dipengaruhi oleh ruang, tempat, lokasi, posisi, arah, sempadan, batas, tepi dan lain-lain (kerana semua itu makhluk, mana mungkin Allah terpengaruh/dipengaruhi oleh makhluk). Apatah lagi untuk masuk ke dalam dada Abdul Aziz yang mengaku sebagai Pemuda Bani Tamim dan berkata-kata di dalam dadanya.
7.      Mustahil bagi Allah untuk diperintah-perintah oleh mana-mana makhluk.
8.      Mustahil bagi Allah untuk mematikan diriNya… dan banyak lagi perkara yang mustahil bagi Allah.

Ajaran yang mengatakan : “Tidak ada yang mustahil bagi Allah” ialah ajaran yang salah di sisi agama Islam. Ajaran yang dikehendaki Islam ialah “Ada yang tidak mustahil bagi Allah, dan ada yang mustahil bagi-Nya”.

Sudah banyak kali saya ulangi, silakan pergi belajar ilmu tauhid terlebih dahulu. Di sana nanti tuan akan dapat melihat dengan lebih jelas betapa tidak punya ilmu tauhid dan betapa dustanya Si Abdul Aziz Muhammad Nasir di Lombok, Indonesia yang mengaku sebagai Pemuda Bani Tamim, merangkap Al-Mahdi ke-2 iaitu Al-Mahdi Cucu Nabi Ibrahim (Al-Mahdi utama menurut ajaran ini ialah Al-Mahdi Cucu Nabi Muhammad iaitu Nasser Mohamed di Yaman), sebagaimana yang didakwanya.

Tuan sendiri mengatakan : “Dialah menciptakan segala sesuatu baik di langit mahupun di bumi”. Tuan fahamkah erti kata-kata ini. Maksudnya segala sesuatu diciptakan oleh Allah SWT termasuklah ruang, lokasi, arah, posisi, tempat, warna, gelap, terang, sempadan, batas, tepi dan semestinya juga diri Abdul Aziz Lombok, anggota tubuhnya dan dadanya. Semua itu diciptakan Allah daripada tiada kepada ada. Semua itu makhluk. Semua itu baharu. Semua itu lemah

“ALLAH YANG TERAWAL dan yang terakhir.” (Al-Hadid : 3)


Maksudnya, sebelum semua itu wujud, Allah sudah sedia ada sejak azali tanpa dipengaruhi oleh semua makhluk-makhluk itu. Dia bersifat qadim. Dan sebagaimana yang kita sedia maklum juga, Zat Allah mustahil mengalami sebarang perubahan. Sekiranya berlaku walau satu perubahan pada Zat Allah, maka dia tidak bersifat baqa’.

Oleh itu, sebelum wujudnya seluruh makhluk termasuklah ruang, lokasi, arah, posisi, tempat, warna, gelap, terang, sempadan, batas, tepi dan juga diri Abdul Aziz Lombok, anggota tubuhnya dan dadanya, Zat Allah sudah sedia ada tanpa terpengaruh atau dipengaruhi oleh semua itu. Bagaimana semua itu mampu mempengaruhi Allah kerana semua itu belum wujud, belum diciptakan-Nya?

Kemudian, apabila Allah SWT menciptakan makhluk termasuklah semua yang disebutkan tadi, Zat Allah masih kekal sebagaimana ketika azali juga. Dia tidak mengalami sebarang perubahan sampailah bila-bila pun. Mustahil bagi dirinya mengalami perubahan sama ada sebelum wujudnya makhluk ataupun selepas diciptakan-Nya makhluk. Jika berlaku walau sekelumit perubahan pada Zat Allah, maka dia bukanlah Tuhan. Yang mengalami perubahan hanyalah makhluk yang bersifat baharu. Yang mengalami perubahan hanyalah makhluk (yang dijadikan/diciptakan) bukan Khaliq (Yang Menjadikan/yang Menciptakan).

“Segala sesuatu pasti rosak (mengalami perubahan) melainkan WajahNya.” (Al-Qasas : 88)

Maka apabila Abdul Aziz Lombok (iaitu kononnya Pemuda Bani Tamim dan Al-Mahdi Cucu Nabi Ibrahim) mengaku ada sesuatu yang masuk ke dalam dirinya, menyakitkan dirinya, berkata-kata dalam dadanya, boleh pula keluar masuk tubuhnya, sesuatu itu mengaku sebagai Allah, Abdul Aziz meyakini memang itu Allah, menyebarkan pengalamannya itu (yang entah betul entahkan tidak) dan mahu umat Islam mempercayai benda yang amsuk ke dalam dadanya itu memang betul Allah, jelas sekali dia sudah berTuhankan makhluk, bukannya berTuhankan Allah Yang Esa.

Lihat buktinya iaitu pengalaman Abdul Aziz Lombok sendiri :
“Kemudian ibunya (ibu Abdul Aziz Lombok)  bertanya kepadanya (kepada Abdul Aziz Lombok): “Kenapa kamu nak?Ada apa denganmu?” Dia menjawab “ada sesuatu yang masuk dalam dadaku dengan melafazhkan: Alqiyamah, Alqiyamah”.

Kisah Abdul Aziz lagi :
“Sesuatu yang memasuki dirinya menjawab: “Akulah Allah Yang Maha Suci dan Agung, Tuhanmu dan Tuhan Semesta Alam”.

Alangkah dustanya semua ini.

Mustahil untuk berlaku sebagaimana yang di atas kepada Allah Yang Esa. Jika itu berlaku, maksudnya Zat Allah sudah dipengaruhi oleh perubahan, ruang, lokasi, arah, posisi, tempat, warna, gelap, terang, sempadan, batas, tepi dan juga diri Abdul Aziz Lombok, anggota tubuhnya dan dadanya. Mana mungkin Allah tertakluk/terpengaruh dengan semua makhluk itu.

Kaji semula iktiqad anda, iman anda, tauhid anda apabila anda meyakini kata-kata anda ini : “Dialah menciptakan segala sesuatu baik di langit mahupun di bumi, apa lagi sekadar MENEMPEL, MASUK DI DADA ORANG itu SANGAT MUDAH BAGI ALLAH.”

Mana mungkin Allah menempel pada makhluk. Mana mungkin Allah keluar masuk tubuh manusia. Mana mungkin Allah masuk ke dalam dada Abdul Aziz Lombok.

Tuan Albi Nagae, silalah koreksi semula semua pegangan tuan di bawah ini :
1.      Tuan meyakini bahawa tidak ada yang mustahil bagi Allah. Sebenarnya ada yang mustahil dan ada yang tidak mustahil bagi Allah.
2.      Tuan meyakini Allah boleh keluar masuk tubuh/dada Abdul Aziz Lombok dan berkata-kata di dalam dadanya. Padahal perkara itu mustahil bagi Allah.
3.      Tuan meyakini bahawa yang keluar masuk dada/tubuh Abdul Aziz dan berkata-kata di dalamnya itu ialah Allah. Hakikatnya, yang keluar masuk dada/tubuh Abdul Aziz Lomboki dan berkata-kata di dalamnya itu tidak lain ialah syaitan dari bangsa jin, dan diperkuatkan pula oleh khayalan-khayalan yang direka-reka olehnya. Tuan boleh lihat maksud Surah An-Naas, siapakah yang berkata-kata di dalam dada manusia? Allah ataupun syaitan?

“Aku berlindung dengan Rabb manusia, Penguasa manusia, Ilah manusia, daripada kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam, YANG BERKATA-KATA KE DALAM DADA MANUSIA, dari kalangan jin dan manusia.” (Surah An-Naas)

Ambillah pelajaran daripada semua ini wahai Tuan Albi Nagae. Kembalilah ke pangkuan Ahli Sunnah wal Jamaah dan dalamilah ilmu tauhid.

“Dan tiadalah mengambil pelajaran melainkan orang-orang yang MENGGUNAKAN AKAL FIKIRANNYA.” (Al-Baqarah : 269).

Abu Zulfiqar
15 OGOS 2012

Menjawab Akuan Sumpah Abdul Aziz Lombok


ABDUL AZIZ YANG MENGAKU SEBAGAI PEMUDA BANI TAMIM MENULIS KEPADA SAYA :
Kalau kalian ingin saya bersumpah dengan sumpah yang tak pernah terucap dari siapa pun maka saya akan bersumpah.

Tapi ingat sumpah saya tidak bermanfaat sedikit pun jika kalian tidak percaya kepada bayan (keterangan) dari alqur'an oleh Imam Naser Muhammad AlYamani

ASYHADU ANLA ILAHA ILLALLOH
WA ASYHADU ANNA MUHAMMADAN RASULULLOH
WA ASYHADU ANNA NASIR MUHAMMAD ALYAMANI HUA AL-MAHDI AL-MUNTAZHAR AKHIRU KHULAFAAILLAHI FIL ARDH

Aku bersumpah demi Alloh yang Agung jika dakwahanku atas diriku adalah dusta maka aku sangggup dan rela ditempatkan di jantung neraka yang terpanas selama-lamanya, dan aku sanggup menanggung seluruh dosa orang-orang yang meyakini Imam Naser sebagai AlMahdi AlMuntazhar dan aku sebagai Pemuda Bani Tamim jika ternyata di kemudian hari imam dan aku bukanlah seperti yang mereka yakini.
Saksikanlah sumpahku ini oleh kalian dan Alloh juga adalah saksi atas sumpahku..

dan sumpah ini sebarkan ke siapa saja yang kalian kenal

(Abdul Aziz Muhammad Nasir Ahmad Abdul Ghani Al-Anfenani Al-Indunisiy)
Tanda tangan saya (4JJI) ..
---------------------------------------

Ustadz Zulfikar silahkan anda bersumpah bilang saja kami ini pendusta dengan sumpah kamu dan kamu jamin pengikutmu seperti saya menjamin pengikut saya dan pengikut Imam Naser.



JAWAPAN KEPADA ABDUL AZIZ :
Tuan Abdul Aziz.

Kaedah bersumpah seperti ini memang agenda biasa pada mana-mana ajaran sesat apabila ternyata Al-Quran dan As-Sunnah tidak menyokong ajaran mereka, lebih-lebih lagi apabila hujah-hujah mereka sudah longgar lalu runtuh.  Untuk pengetahuan anda, sudah banyak kali saya berhadapan dengan pelbagai bentuk ajaran sesat, maka banyak lenggok silat mereka sudah saya sedia maklum. Cara ajaran-ajaran sesat itu berhujah lebih sama sahaja. Kaedah bersumpah seperti ini pun sebenarnya satu taktik yang sudah sangat kuno. Di Malaysia ada seorang yang mengaku dan diangkat sebagai rasul, dan salah satu sandaran yang digunakannya ialah kaedah bersumpah juga. Hal ini kerana :

“Yang benar sudah datang dan yang bathil sudah lenyap. Sesungguhnya yang bathil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap.” (Al-Isra’ : 81)

Dengan kaedah bersumpah murahan seperti ini wahai Abdul Aziz, anda memang boleh menarik orang-orang awam yang jahil, namun orang-orang yang berfikir panjang tidak akan terpedaya.

Bukankah Allah sudah mengatakan :
 “Dan tiadalah mengambil pelajaran melainkan orang-orang yang MENGGUNAKAN AKAL FIKIRANNYA.” (Al-Baqarah : 269).

Orang-orang yang tidak mahu menggunakan akal fikirannya, tetapi BERTAQLID BUTA kepada Nasser Mohamed dan anda wahai Abdul Aziz, memang akan menjadi lembu tunggangan kalian.

Satu hal yang pasti, kami yang menolak dakyah anda tidak meminta pun kamu bersumpah. Kami minta hujah-hujah yang ilmiah yang mesti kalian bentangkan, sebagai menjawab segala kesalahan dalam ajaran yang kamu bawa ini. 

“Berikanlah keterangan-keterangan kamu, jika kamu orang yang benar.” (Al-Baqarah : 111)

Sehingga kini anda dan para pendukung anda masih gagal memberi penjelasan, sebaliknya hanya mampu memberi sumpah seranah, ancaman azab, atau beri link ke forum Si Nasser sahaja.  Kemudian menghina seluruh ulama Ahli Sunnah wal Jamaah kononnya mereka memecah-belahkan umat Islam dengan mengadakan mazhab-mazhab. (Bukankah kalam Si Imam Nasser sendiri mengatakan diri dan pengikutnya bukan Ahli Sunnah wal Jamaah (Sunni)? ) Itu sahaja yang pemuda Bani Tamim mampu lakukan? Bagaimana mahu membawa panji-panji Al-Mahdi?

Allah sudah berpesan kepada kita :
“Dan janganlah engkau patuhi setiap orang YANG SUKA BERSUMPAH dan suka menghina.” (Al-Qalam : 10)

Sebab itu sumpah murahan anda ini tidak ada nilainya bagi kami. Kami tahu, anda sudah tergugat dengan pembongkaran-pembongkaran yang kami lakukan. Sebab itu kini anda mempraktikkan teknik bersumpah sebagai perisai kamu, dengan harapan kami akan mengatakan : “Wahhh, hebatnya Si Abdul Aziz! Kalau sebegitu hebat sumpahnya, maka nyatalah dia orang yang benar!”

Malangnya… hal itu tidak akan berlaku, kerana kami sudah masak benar dengan helah-helahmu, sebagaimana yang diterangkan oleh Allah SWT sendiri :
“Mereka MENJADIKAN SUMPAH-SUMPAH MEREKA SEBAGAI PERISAI, lalu mereka menghalangi dari jalan Allah. Sungguh, betapa buruknya apa yang telah mereka kerjakan. Yang demikian itu sesungguhnya mereka telah beriman, kemudian menjadi kafir, maka hati mereka dikunci, sehingga mereka tidak dapat mengerti.” (Al-Munaafiquun : 2-3)

Kami yakin, sebelum menganut ajaran Si Nasser, dulunya anda dan orang-orang anda menganut faham Islam Ahli Sunnah wal Jamaah. Tapi sekarang kalian sudah berubah.

MENAMBAH SYAHADAH seperti yang anda lakukan wahai Abdul Aziz juga bukan daripada ajaran Islam. Apabila anda meletakkan kalimah “wa” (yang bermaksud “dan”), itu penambahan syahadah yang mungkar. Jika anda tidak meletakkan “wa” di situ, masih boleh dipertimbangkan. Maka apabila berlaku penambahan syahadah sebegitu, jelas-jelas anda sedang menganut ajaran sesat.

Perlakuan seperti ini dikisahkan oleh Allah SWT sebagai :
“Maka pernahkah kamu melihat orang-orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya, dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmunya, dan Allah sudah mengunci mati pendengaran dan hatinya, dan meletakkan penutup atas penglihatannya.” (Al-Jaasiyah : 23)

Kepada para peminat Nasser dan Abdul Aziz, tinggalkanlah kaum-kaum yang suka-suka hati menyelewengkan syahadah seperti ini. Biarkanlah mereka berdua sahaja  yang sesat, kalian kembalilah ke pangkal jalan, ke pangkuan Ahli Sunnah wal Jamaah. Kepada anda wahai Abdul Aziz, pulanglah ke pangkuan ASWJ. Tinggalkan Si Nasser itu. Dan jika anda berkemampuan, dakwahkan agar Si Nasser juga kembali ke dalam pelukan ASWJ.

Dalam Islam, kaedah bersumpahnya juga tidak melalut-lalut seperti yang anda pamerkan. Cukup dengan “Wallahi” dan jika perlu cukup dengan tambahan “laknat Allah ke atas aku.” Saya faham, anda mengarang sumpah yang sebegitu dengan harapan dapat meraih simpati dan menakluk hati-hati orang lain. Ia tidak lebih daripada kata-kata manis untuk mengaburi mata.

Yang akhirnya, jika kamu kepingin benar hendak mendengar saya bersumpah, yah, saya akan berikan satu, iaitu pada bahagian yang paling penting, iaitu dari sudut aqidahmu.

Daripada tulisan-tulisan sebelum ini, kita sedia faham yang ada SESUATU masuk ke dalam diri anda hinggakan anda berasa sakit, dan benda itu berkata-kata di dalam diri anda. Kita petik tulisan berkaitan :
“Kemudian ibunya (ibu kepada Abdul Aziz) bertanya kepadanya (Abdul Aziz) : “Kenapa kamu nak (anak)? Ada apa denganmu?” Dia menjawab : “Ada SESUATU YANG MASUK DALAM DADAKU dengan melafazkan : “Alqiyamah, Alqiyamah.”

Kemudian SESUATU yang masuk ke dalam badan anda itu berkata :
“Kamu adalah CUCU (keturunan) NABI IBRAHIM yang membangun Ka’abah. Dia (Nabi Ibrahim) membangun Ka’abah ini UNTUKMU.”

Hebat! Anda tiba-tiba menjadi cucu Nabi Ibrahim. Adakah cerita tentang cucu Nabi Ibrahim di akhir zaman ini dalam Al-Quran dan hadith? Lebih hebat lagi, Nabi Ibrahim membina Ka’abah itu adalah untuk anda! Dalam Quran, adakah kisah yang mengatakan Nabi Ibrahim membina Ka’abah itu untuk Abdul Aziz yang akan datang pada akhir zaman nanti?

Kemudian anda dinampakkan satu makhluk besar bersayap yang memukul air laut yang diyakininya sebagai Malaikat Jibril. Terjadi lagi dialog antara anda dengan SESUATU yang masuk ke dalam diri anda:

“Jika (yang bersayap) itu adalah Jibril, maka siapakah engkau (yang sedang berada dalam diriku ini)?” Di sinilah SESUATU yang memasuki dirinya menjawab : “AKULAH ALLAH YANG MAHA SUCI DAN AGUNG, TUHANMU DAN TUHAN SEMESTA ALAM.”

Oleh itu, saya mengatakan :

“Wallahi, yang masuk ke badan anda dan berkata-kata dengan anda itu, yang anda akui sebagai Tuhan itu bukanlah Allah.”

Allah SWT tidak terpengaruh dengan tempat, posisi, luar dalam, keluar masuk, arah, sempadan, batas, tepi dan lain-lain. Yang terpengaruh dengan itu semua tidak lain ialah makhluk, yang mengaku sebagai Allah.

“Aku berlindung dengan Rabb manusia, Penguasa manusia, Ilah manusia, daripada kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam, YANG BERKATA-KATA KE DALAM DADA MANUSIA, dari kalangan jin dan manusia.” (Surah An-Naas)

Makhluk inilah yang masuk dan berkata-kata di dalam dadamu, lalu mengaku sebagai Allah, wahai Abdul Aziz.

Wahai Abdul Aziz dan para penyokong Abdul Aziz, kembalilah kalian ke jalan yang lurus, jalan Ahli Sunnah wal Jamaah. Saya bukan suka bersumpah-sumpah seperti anda, tapi sekadar untuk anda mengerti, saya tidak gentar mempertahankan kebenaran. WaAllahua’alm.

Abu Zulfiqar
14 OGOS 2012
1.52 a.m.

Jawapan Sulung Abdul Aziz Lombok


Apakah jawapan pertama Abdul Aziz Lombok yang mengaku sebagai Al-Mahdi Cucu Nabi Ibrahim merangkap Pemuda Bani Tamim kepada saya? Jom baca.

“Kalian belum tahu siapa yang mengajar Imam Naser menafsirkan seluruh ayat Alqur'an dan melacak (*menyaring/mengetepikan) hadis hadis yang palsu. Yang mengajar Imam Naser untuk menafsirkan Al-Qur'an adalah ALLOH SUBHANAHU WAT'ALA. Dialah tuhan kami dan guru kami.””

“Apakah tafsir ALLOH SWT sama dengan tafsiran ulamak, yang mereka memake (*menggunakan) zhon/prasangka atau ijtihad untuk menafsirkan ayat ayat Alqur'an??????????????????????”

“Dan kalian belum kenal betul dengan Tuhan kalian akibat hadis palsu yang kalian meyakininya sahih (*Nasser Yaman, Abdul Aziz Lombok dan para pengikut mereka menolak semua hadith yang tidak selaras dengan Nasser Yaman sekalipun sahih atau hasan. Bagi mereka semua itu hadith palsu kerana kononnya Nasser tahu yang mana haditrh paslu yang mana bukan melalui ilmu ghaibnya, bukan melalui kaedah ilmu mustalah hadith) dan akibat kalian tidak rujuk kepada Al-Qur'an. Siapa saja yang meyakini bahawa ada shafa'at Nabi kelak di akhirat maka dia telah shirik. Buktikan saja besok (*akan terbukti nanti) apakah saya benar atau tidak, tunggulah kalian tidak lama lagi.”

“Terserahlah (*kepada) kalian mahu memenangkan Al-Mahdi (*iaitu Nasser Muhammad dari Yaman) atau tidak. Kami tiada butuh (tidak memerlukan) dan kami tidak rugi. Kenapa? Karna (*kerana) cukup dengan tuhan kami. Dialah yang akan memenangkan kami dalam satu malam saja . Buktikan saja (*akan terbukti) tidak lama lagi.”

Itu sahaja jawapannya kali pertama. Para pembaca bolehlah membuat penilaian sendiri.

Anda mungkin meminati:

Related Posts with Thumbnails