a) Kita
mestilah yakin sepenuhnya bahawa semua yang baharu (seluruh makhluk) adalah
af’al (perbuatan) Allah.
Firman-Nya : “Allah pencipta segala sesuatu.” (Ar-Ra’d : 16)
Firman-Nya : “Allah yang menjadikan kamu dan (menjadikan) apa yang
kamu buat.” (As-Saffat : 96)
b) Kita mestilah yakin
sepenuhnya bahawa dari segi hakikatnya segala gerak geri dan perlakuan hamba
dijadikan oleh Allah sendiri. Pada hakikatnya, tidak ada yang ada kuasa melainkan
Dia sahaja. Tidak ada yang melakukan kecuali Dia sahaja, pada hakikatnya.
c) Kita mestilah yakin
sepenuhnya bahawa segala usaha dan ikhtiar hamba itu tidaklah sama sekali
terkeluar daripada kehendak Allah sejak azali. Sebagaimana yang Dia mahukan,
sebegitulah yang terjadi. Tidak terubah walau sedikit pun.
d) Kita mestilah yakin
sepenuhnya bahawa Allah SWT berkuasa mutlak lagi bebas. Oleh itu, tidak ada
apa-apa pun yang jatuh wajib ke atas-Nya. Jadi, tidaklah wajib bagi Allah untuk
memberikan taklif (sesuatu perintah yang diwajibkan ke atas seseorang mukallaf
untuk melakukan sesuatu yang sukar baginya, contohnya ibadah solat) ke atas
hamba-Nya.
e) Kita mestilah yakin
sepenuhnya bahawa jaiz (tidak wajib dan tidak juga mustahil) bagi Allah untuk memikulkan
ke atas makhluk sesuatu yang tidak disanggupi oleh makhluk itu.
Contohnya Allah tetap menyuruh Nabi Muhammad saw berdakwah kepada Abu
Jahal sekalipun Allah sedia tahu yang Nabi Muhammad tidak akan mampu menjadikan
Abu Jahal beriman. Begitu juga dengan dakwah Nabi Musa kepada Fir’aun.
f) Kita mestilah yakin
sepenuh hati bahawa Allah Taala Maha Adil. Mustahil Allah bersifat zalim.
Sesungguhnya akal fikiran kita yang lemah untuk memahami sepenuhnya kerja dan
kuasa Tuhan. Oleh itu kita mestilah sentiasa bersangka baik terhadap Allah SWT.
g) Kita mestilah yakin
sepenuh hati bahawa Allah Taala bebas melakukan apa sahaja terhadap makhluk-Nya
mengikut kehendakNya.
h) Kita mestilah yakin
sepenuh hati bahawa mengenal Allah (ma’rifatullah) itu wajib dan taat kepada
Allah itu juga wajib.
i) Kita mestilah yakin
sepenuhnya bahawa Allah memang mengutuskan wakil-wakilnya berupa para nabi ke
dunia ini.
j) Kita mestilah yakin
sepenuhnya bahawa Allah memang ada mengutuskan Nabi Muhammad saw. Bagindalah
kesudahan segala nabi. Kedatangannya membatalkan (memansukhkan) syariat-syariat
sebelumnya seperti syariat Yahudi, Nasrani, Majusi dan sebagainya.
Nabi Muhammad saw dikurniakan dengan pelbagai mukjizat dan mukjizat
terbesarnya ialah Al-Quran.
No comments:
Post a Comment