Thursday, February 9, 2017

Patut Le Pun

Terjumpa seorang sahabat lama (beragama Islam) zaman remaja. Zaman remaja dulu tidaklah rapat, tetapi berkawan2lah jugak. Sekarang dia bekerja berkaitan lori2 ni. Kami banyak bersembang tentang kenangan2 dulu2lah. Saya pun memang lebih suka sembang hal itu berbanding hal2 lain.

Entah macam mana dia celahmasukkan ehwal undang2 Islam. Dia punyalah menentang pelaksanaan undang2 Islam. Antara hujahnya....undang2 Islam ni zaman para sahabat pun dah dibuat, tetapi umat Islam tak aman pun. Zaman tu berbunuh-bunuhan, berebut kuasa, tak semaju mana pun kerana asyik berbalah sesama sendiri, jenayah banyak, munafik ramai dll. Jadi, jelas pelaksanannya tak berkesan. Maka tak perlulah diperjuangkan dan diheboh2kan.

2-3 hari lepas tu, baru saya dapat tahu daripada sahabat kami sezaman remaja dulu juga, rupa2nya teman saya itu kerjanya berkaitan lori2 pembekal arak ni. Dah berbelas tahun kerja, gaji cantik.

Patut le pun......

Thursday, February 2, 2017

Antara Tokoh Pengamal Tariqat Ghazaliyyah

Antara Tokoh Pengamal Tariqat Al-Ghazaliyyah

1. Imam Al-Ghazali.

2. Imam Ahmad Al-Ghazali.

3. Syeikh ‘Ainul Qudhat al-Hamadani (anak murid Imam Ahmad Al-Ghazali)

4. Abu Najib As-Suhrawardi (anak murid Imam Ahmad Al-Ghazali yang kemudiannya mencetuskan organisasi Tariqat As-Suhrawardiyyah))

5. Abu Hafs Umar As-Suhrawardi (anak murid Abu Najib As-Suhrawardi, juga anak saudara kepada Abu Najib As-Suhrawardi yang kemudiannya mengasaskan organisasi Tariqat As-Suhrawardiyyah)

6. Ibnu Tumart (anak murid Imam Al-Ghazali yang menjadi pencetus kepada tertubuhnya Kerajaan Muwahhiddun di Afrika Utara)

7. Syeikh Abdus Samad Al-Falimbani (ulama besar Nusantara)

8. Syeikh Muhammad bin Abdullah as-Suhaimi (ulama besar Nusantara yang kemudiannya mengasaskan organisasi Tariqat Muhammadiyyah)

9. Abu al-Fadl Abdullah Sufi Al-Baghdadi (anak murid Imam Ahmad Al-Ghazali)

10. Ibnu Sharashub (anak murid Imam Ahmad Al-Ghazali)

11. Ruzbihan Misri (anak murid Imam Ahmad Al-Ghazali)

12. Abdul Wahid Amedi (anak murid Imam Ahmad Al-Ghazali)

13. Abdullah bin Muhsin Al-Washanrisi (anak murid Ibnu Tumart yang merupakan panglima tertinggi kepada Ibnu Tumart)

14. Abdul Mu’min bin Ali (anak murid Ibnu Tumart yang menjadi khalifah pertama Kerajaan Muwahhiddun di Afrika Utara dan Sepanyol)

15. Syeikh Ibnu Faris (anak murid Imam Al-Ghazali)

16. Ibnu Laban (anak murid Imam Al-Ghazali)

17. Syeikh Muhammad bin Yahya An-Nisaburi

18. Syeikh Abu Hasan Asy-Syazili (yang kemudiannya mengasaskan organisasi Tariqat Syaziliyyah)

19. Syeikh Ahmad Ad-Dayurbi (orang yang bertanggungjawab menzahirkan semula Tariqat Al-Ghazaliyyah kepada khayalak umum kaum muslimin)

20. Syeikh Ismail bin Muhammad Salim.

*Antara mereka ada yang mengambil lebih daripada satu tariqat.


Takut Berbuat Dosa

Seorang wanita menulis kepada sahaya :

@ Assalamualaikum ustaz..maaf kalau mesej saya ni mengganggu ustaz..saya cuma keliru dengan hati sendiri..

# Wlksm. Semoga dalam rahmat Allah selalu hendaknya.


@ Saya tak belajar tasauf..saya bukan dari sekolah aliran agama..

# Tak mengapa. Ada ruang dan peluang nanti, belajarlah. Pasang niat, Allah akan bantu insya-Allah. Banyak-banyak doa mohon pada Allah. Insya-Allah ada lorong-lorong yang disediakan oleh Allah untuk kita.


@ Tapi..sejak akhir-akhir ni saya rasa saya perlu buat sesuatu dengan hati saya ni..

# Alhamdulillah, syukur kepada Allah. Yang menyentuh dan mengerakkan hati kita ke arah kebaikan itu tidak lain ialah Allah. Apabila fikiran yang baik-baik itu makin datang kepada kita, maksudnya Allah sedang melorongkan kita ke jalan-Nya tu.


@ Boleh ke kita buat sesuatu tanpa memikirkan dosa dan pahala..?

# Tentunya tidak boleh sesuka hati, kerana kita ada Tuan kita. Kita ini abdi-Nya. Apa-apa yang Tuan kita suka, kita usaha buat. Apa-apa yang Tuan kita tak suka, kita usaha hindar. Kenalah kita berfikir pahala dosanya, baik buruknya, redha-Nya atau murka-Nya, sekadar dengan pengetahuan dan pemahaman yang kita ada. Dari semasa ke semasa, kita tambahlah pengetahuan dan pemahaman kita tu. Allah lebih tahu yang kita ni hamba-Nya yang lemah, baru nak kenal-kenal agama lebih mendalam, banyak yang kita belum tahu ddan belum faham. Jadi, kita terus bersangka baik dengan Allah, nescaya dimudahkan perjalanan keagamaan kita nanti.


@ Kadang-kadang saya rasa tertekan sebab..takut nak buat sesuatu sebab takut berdosa..takut Allah marah..

# Itu antara petanda anda sebenarnya orang yang baik-baik. Pada dasar hati anda ada keimanan, kebaikan dan ada pencegah kepada hal-hal yang tidak baik. Berapa ramai lagi orang lain yang seolah-olah tidak punya pencegah dari dalam dirinya sendiri? Rasa pencegah ini dihantar oleh Allah ke dalam hati kita, antaranya sebagai tanda bahawa Dia sedang memilih kita ke arah kebaikan. Ringkasnya, anda orang yang beruntung. Cuma dasar-dasar hati yang baik di dalam jiwa itu hendaklah dikembangkan potensinya lagi. Cari peluang-peluang menambah ilmu agama, khususnya ilmu tasawuf. Kita kena banyak doa dan usaha agar hati jiwa kita berasa nikmat untuk taat, berasa manis untuk patuh dan berasa lazat untuk mengikut apa-apa yang ditentukan oleh Kekasih kita iaitu Allah SWT dan kekasih-Nya iaitu Nabi Muhammad saw.


@ tapi..kadang-kadang saya buat jugak, sebab kenapa orang lain boleh buat sedangkan saya tak boleh..walaupun dalam hati ada rasa takut Allah marah..takut dosa...

# Kalau selama hari ini sudah terbiasa buat apa-apa yang tidak diredhai Allah, kenalah usaha dihentikan. Jika mampu, berhenti terus serta-merta. Jika tidak mampu, hentikan perlahan-lahan. Kurang dan kurangkan dari semasa ke semasa. Isnya-Allah lama-lama akan berkurangan dan terus berhenti.

Kata hati yang tidak baik, kita lawan dengan kata hati yang baik. Contohnya : Memanglah ramai orang lain buat, tetapi kan ramai juga orang lain yang tidak buat? Mengapa aku jadi lemah dan mudah terpengaruh dengan orang lain yang buat? Padahal boleh sahaja aku jadi kuat dan terpengaruh dengan orang lain yang tak buat. Orang lain yang kurang daripada aku pun mampu tidak buat, takkanlah aku yang lebih berpelajaran, lebih berduit, lebih selesa hidup, lebih baik paras rupa, lebih sihat tubuh badan, lebih bijak berfikir, lebih tahu agama tak dapat kekuataan macam mereka? Aku mesti jadi kuat!


@ Saya nak jumpa Allah dalam keadaan Dia gembira jumpa dengan saya..tapi..akhir-akhir ni ujian tu terlalu berat sampai saya membiarkan diri buat dosa...

# Ya, pastinya begitu. Sebab itulah Dia menganugerahkan kepada kita perasaan bersalah apabila berbuat hal-hal yang tidak diredhai-Nya. Dia hadiahkan kepada kita pencegah ke dalam jiwa kita. Hargailah anugerah-anugerah Dia itu. Jelaslah bahawa kita sedang dalam perhatian Dia. Banyak-banyak kita berasa malu kepada Dia apabila kita terasa hendak melakukan hal-hal yang tidak diredhai-Nya. Dia sentiasa melihat kita dan keadaan kita seluruhnya, 100%.


@ Macam mana saya nak kalahkan hawa nafsu dan bisikan syaitan...saya tak nak Allah tinggalkan saya...

# 1. Langkah awal dan terpenting, mohon kepada Dia. Hati, hawa nafsu, syaitan dan lain-lain semuanya milik Dia sepenuhnya. Hanya Dia yang ada kuasa untuk buat begitu begini terhadap itu semua. Oleh itu, kita minta tolonglah kepada Tuan punya hati, hawa nafsu dan syaitan. Minta agar dia penuhkan apa-apa hajat anda berkaitan masalah yang anda hadapi sekarang. Kena selalu minta. Selepas ini terus sahaja mohon, jangan tunggu-tunggu lagi. Mintalah antara contohnya agar Dia lorongkan kita ke jalan yang baik-baik sahaja. Minta Dia tetapkan hati kita dalam suasana keimanan dan ketaatan. Minta Dia kuatkan hati kita untuk tidak tertarik lagi terjauh daripada hal-hal yang mendatangkan dosa itu.

2. Kurangkan bergaul dengan orang-orang dan suasana (tempat-tempat) yang boleh mendorong kita untuk melakukan hal-hal yang tidak baik. Usaha cari, bina, tambah dan rapat-rapat dengan orang-orang yang kita nampak baik keagamannya. Pergaulan memang mempengaruhi kita.

3. Selain amalan-amalan wajib dan sunat yang biasa dilakukan, banyakkan ingat Allah (berzikrullah). Pelbagai jenis zikir ada. Amallah mana-mana yang dirasakan selesa. Saya cadangkan anda amalkan Zikir Harian. Yang 1000x sehari tu. Pendek-pendek sahaja pun.Tak dapat buat 1000, buat ikut kemampuan asalkan istiqamah (berterusan). 100x sehari pun ok, 300 pun ok, dan seterusnya. Banyak manfaatnya insya-Allah.


@ Adakah cara saya fikir ni salah..? Adakah cara fikir saya ni sesat..? Boleh ustaz tolong saya..?

# Tentunya tidak salah dan tidak sesat, malahan bagus sekali. Semoga dimudahkan Allah segala urusan keduniaan dan keakhiratan anda.Yakin dengan Allah, cintai Allah, malu pada Allah, berserah pada Allah, terus berharap pada Allah. Doa-doakan saya sama. Wassalam.



Abu Zulfiqar
Januari 2017

Anda mungkin meminati:

Related Posts with Thumbnails