Monday, May 27, 2013

Dalil-dalil Jumlah Zikir

PERSOALAN :
Salam. Ustaz, nak tanya. Mengenai anjuran zikir-zikir dalam bilangan tertentu itu, bolehkah saya tahu adakah terdapat apa-apa dalil mengenainya?

PENJELASAN :
Wlksm Mxxxxx Ixxx. Zikir yang mana yang dimaksudkan tu? Ada pelbagai versi zikir yang ada bilangan ni. Contohnya yang lepas solat Subahanallah 33 kali, Alhamdulillah 33 kali, Allahu Akbar 33 kali... dan lain-lain.

PERSOALAN :
Oh. Kalau yang macam sampai bilangan 1000 dan segala bagai yang saya fikir agak sukar orang biasa amalkan itu, adakah dalil zikir dengan bilangan yang sebegitu?

PENJELASAN :
Jumlah zikir-zikir ini tidak ada had. Ada ahli-ahli sufi yang sentiasa dalam keadaan berzikir.

Dalilnya : “Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang SEBANYAK-BANYAKNYA; Dan bertasbihlah kamu KepadaNya pada waktu pagi dan petang.”[Surah Al-‘Ahzab: 41-42].

Maksudnya tidak ada had, tetapi mestilah bersesuaian dengan taraf kita. Orang awam memang nampak macam zikir para ulama itu agak sukar, tapi kalau kita sudah mencapai maqam mereka, terasa senang pula.

Oleh kerana tidak ada had, masing-masing guru menyusun bilangan zikir yang sesuai untuk dirinya dan anak-anak muridnya. Dari situlah timbulnya perbezaan jumlah zikir.

Dalilnya lagi : “Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu telah merasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka dirikanlah sembahyang itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.” [Surah An-Nisa’: 103]

Maksudnya kita dalam keadaan yang bagaimana pun memang dianjurkan untuk berzikir. Sudah tentulah jumlahnya sangat banyak dalam tempoh kita berjaga iaitu dari awal pagi sampailah masuk tidur malam.

Antara zikir yang saya amalkan ialah zikir harian Tariqat Ghazaliyyah yang dinisabhkan kpd Imam Ghazali. Setiap hari diletakkan 1,000 sahaja kerana :
1. 1,000 itu sudah memadai bagi orang-orang yang baru hendak bermula ataupun untuk orang lama istiqamah.
2. 1,000 itu sedikit dan sekejap, supaya tidak mengganggu amalan-amalan lain seseorang tidak kira ia dari aliran/jemaah apa pun (yang biasanya Jemaah-jemaah itu sudah punya zikir/wirid tersendiri). Maksudnya sesiapapun boleh amalkan zikir Al-Ghazali ini.
3. 1,000 itu sebenarnya untuk menunjukkan banyak. Contoh : Walau 1,000 orang datang menyerang, aku takkan lari!" Istilah 1,000 itu untuk menunjukkan jumlah yang banyak dan tidak terhad. Maksudnya sesiapa yang mahu buat lebih walau 24 jam pun, tidak ada salahnya. Tapi jika sampai terganggu lain-lain urusan penting, paling kurang buatlah 1,000 kali.

Kesimpulannya, dalil kepada jumlah-jumlah zikir yang tuan sebutkan itu ialah antaranya dua ayat Quran tadi yang menggalakkan jumlah zikir tanpa had (sebanyak-banyaknya). Jika sebanyak-banyaknya boleh, maka jika kita letakkan jumlah tertentu sebagai had tentulah tidak ada masalah dari sudut agama. Wallahualam.

Abu Zulfiqar
28 April 2013

Siapa/Apa Yang Menghijab?

PERSOALAN :
Dalam wall tu (*salah satu wall Facebook)  nampak macam tak bertepatan penerangannya dengan kehakikatan.
Contoh kalau tak silap ada terbaca dikata bahawa Yang menghijab adalah Allah.
Sedangkan dalam Hikam, Sheikh Ato'illah kata yang menghijab adalah nafsu diri manusia dan Allah tidak pernah menghijab dirinya.
Wallahu a'lam


PENJELASAN :
Yang satu pihak mengatakan : “Yang menghijab ialah ALLAH”. Satu pihak lagi mengatakan : “Yang menghijab adalah NAFSU MANUSIA dan Allah tidak pernah menghijab diriNya.”

Sebenarnya tidak ada apa-apa masalah pada kedua-dua pandangan tersebut, cuma mereka berbeza sudut pandangan. Pihak yang pertama memandang dari sudut hakikat (haqiqat), sedangkan pihak kedua memandang dari sudut syari’at. Kedua-duanya betul.

Memandang dari sudut hakikat maksudnya kita memandang apa yang berlaku itu dari sudut pekerjaan Tuhan. Memandang dari sudut syariat pula maksudnya kita memandang apa yang berlaku itu dari sudut pekerjaan makhluk.

Contohnya : kita jemur pakaian di ampaian lalu pakaian itu kering.

Orang yang memandang dari sudut HAKIKAT (dari sudut pandangan kerja Tuhan) akan mengatakan bahawa Allahlah yang mengeringkan pakaian itu, bukannya mana-mana makhluk kerana makhluk langsung tidak ada kuasa.
Orang yang memandang dari sudut SYARIAT pula (dari sudut pandangan kerja makhluk) akan mengatakan bahawa matahari, atau cahaya matahari, atau bahang matahari, atau anginlah (semuanya makhluk) yang mengeringkan pakaian itu.

Dalam kes yang sedang diperkatakan di atas tadi, jika kita memandang dari sudut hakikat, sememangnya Allahlah yang menghijab, kerana semua makhluk langsung tidak punya kuasa untuk menghijab termasuklah nafsu (yang juga sejenis makhluk).
Jika kita memandang dari sudut syariat (dari sudut pandangan pekerjaan makhluk), maka nafsulah yang menghijab, bukannya Allah.

Kesimpulannya, tidak ada apa-apa yang tidak kena dengan kedua-dua pernyataan tersebut.

Sebagai tambahan, dalam kitab Hikam juga ada dinyatakan sebegini : “Tidak ada sesuatu pun yang dapat MEMBERIKAN MANFAAT KEPADA HATI sebagaimana ‘uzlah…”

Dari segi syariatnya, memanglah ‘uzlah yang memberi manfaat kepada hati, namun dari segi hakikatnya, uzlah langsung tidak ada apa-apa kuasa untuk memberi manfaat kepada hati melainkan Allahlah yang berkuasa memberikan manfaat kepada hati.”

Oleh itu, dalam usaha untuk mengelakkan salah faham, eloklah terlebih dahulu kita kenal pasti bahawa orang yang sedang berkata-kata dengan kita itu sedang berbicara (sedang memandang) dari sudut syariat ataupun dari sudut hakikat. Jika kita membaca artikel, kenal pasti terlebih dahulu sama ada penulis artikel itu sedang berbicara dari sudut pandangan syariatkah ataupun hakikatkah? Insya-Allah dengan cara ini dapat menghindarkan perbezaan pandangan.

Pada saya ada 3 versi kitab Hikam. Satu versi Tok Pulau Manis, satu lagi versi Syeikh Said Hawa dan satu lagi saya ‘save’ dari internet lama dahulu. Saya cuba cari (sepintas lalu je) tadi kenyataan “Yang menghijab adalah NAFSU MANUSIA dan Allah tidak pernah menghijab diriNya.” (ataupun kalimah yang lebih kurang begitu bunyinya) tapi belum terjumpa.  Jika ada maklumat, mungkin boleh kongsikan dengan saya kalimat asal daripada Hikam ataupun lokasinya dalam kitab itu.

Tapi saya ada terjumpa kalimah ini : “Di antara hal yang menunjukkan kepadamu tentang kekuasaan Allah Yang Maha Suci ialah ALLAH MENGHIJABMU DARI-NYA dengan sesuatu yang tidak ada wujudnya di sisi Allah.”

Maksudnya Allah memang ada menghijab.

Wallahua’lam.

Kebetulan pengajian kitab Ihya’ ‘Ulumiddin sekarang memang sedang menyentuh persoalan syariat dan haqiqat. Sudah tiga kali kuliah saya perjelaskan lagi kalam Imam Al-Ghazali tentang hal ehwal syariat dan haqiqat ini.

Semoga bermanfaat.

Abu Zulfiqar
26 April 2013



Friday, May 24, 2013

Cara Kifayatul Muhtaj Dihidangkan


Walaupun ana menggunakan kitab Kifayatul Muhtaj karya Syeikh Daud Al-Fatani sebagai 'modul' utama dalam mensyarahkan peristiwa luarbiasa Isra' wal Mi'raj, tapi maklumat-maklumat di dalamnya disaring dan dibandingkan dengan 4 buah kitab lagi iaitu :
1. Kisah Israk dan Mikraj Nabi Muhammad saw (oleh Sayyid Muhammad bin Sayyid Alawi yang telah meneliti 41 buah kitab tentang peristiwa Isra' Mi'raj karangan ulama-ulama terdahulu).
2. Al-Isra' wa Al-Mi'raj (oleh Imam Jalaluddin As-Sayuti).
3. Isra' Mi'raj (oleh Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani).
4. Isra' dan Mi'raj (oleh Hasan bin Ahmad, dikatakan karya ini siap pada 1946 dalam tulisan jawi).
Kitab 1, 2 dan 3 adalah terjemahan dari bahasa Arab.

Saringan dan perbandingan terpaksa dibuat kerana di dalam karya Syeikh Daud Fatani itu terdapat beberapa kelemahan dan satu dua kesalahan maklumat, namun ia tidaklah sampai membuatkan kitab itu tertolak. Kitab Kifayatul Muhtaj itu tetap masih relevan untuk dihidangkan.

Syarahan kitab Kifayatul Muhtaj itu dibuat pada tahun 2010-2011. Insya-Allah suatu hari nanti, ana bercadang untuk menghuraikan semula peristiwa Isra' wal Mi'raj ini dengan lebih terperinci dan dengan tambahan maklumat-maklumat terkini. Cuma tak tahu bila. Mungkin lagi 15 tahun sekiranya dipanjangkan umur oleh Allah SWT, iaitu selepas tamat ana mengkuliahkan kitab Ihya' 'Ulumiddin :) Paling awal pun lagi 3 tahun, waktu tu mungkin dah lapang sikit.

Selamat mengambil manfaat.

Al-Faqir Abu Zulfiqar Amsyari (AFAZA)
24 Mei 2013

Ujian Peningkatan dalam Tarbiyyah


Tulis seorang sahabat ana yang menggunakan nama Nur Shahil di FBnya : "Tok guru sufi sering menguji muridnya dengan berpura-pura melakukan perkara yang ditegah. Contohnya dia menyuruh muridnya melakukan maksiat pada hal ia mahu melihat apakah tarbiahnya telah meresap ke dalam qalbi muridnya. Dan dalam masa yang sama dia siap siaga mencegah muridnya jika terpengaruh dengan ujiannya itu."

Sambungnya lagi : "Maka jaga-jaga dengan kelakuan aneh tok guru sufi anda kepada anda dan juga rakan sufi bila bersahabat dengan anda. Kerana ada rahsia di sebalik rahsia dia berkelakuan aneh."

"Fikir2 renung2 dan senyum2." (Ini macam slogan dia di setiap penghujung tulisannya).

Ana tidak menafikan hal ini memang berlaku. Tambah-tambah lagi untuk para pejuang agama yang terlibat dengan kerahsiaan gerak kerja dakwah. Anak-anak buah ana dalam tarbiyyah (tak kira tua muda), yang terpilih, memang sedikit-sebanyak akan melalui ujian ini tanpa diberitahu terlebih dahulu. Untuk peningkatan, tentunya kena melalui ujian. Mana boleh senang-senang nak naik maqam. Ada yang lulus, ada yang gagal. Tapi biasanya mereka yang sabar, teguh keimanan, berusaha mendahulukan snagka baik dan berfikiran panjang dapat lulus dan terus mendaki tangga demi tangga.

Wallahua'alam.

Abu Zulfiqar
23 Mei 2013

Wednesday, May 22, 2013

Nak Sedut Fail-fail Syarah Ihya Ulumiddin?


Dialog pagi ini (19 Mei) di FB :
“Saya nak sangat dapat semua syarahan uztaz dalam blog tu (syarah kitab Ihya’ ‘Ulumiddin http://syarahihya.blogspot.com) tapi komputer saya ni cap ayam. Kalau download slow sangat. Jadi kalau tuan tidak keberatan, saya nak beli semua video dan visual yang ada dalam simpanan tuan berapa harga pon saya tak kisah ....boleh ke tuan?”

“Kalau tuan tinggal dekat dengan saya senang, boleh datang n sedut dari laptop. Semua 489 fail audio/video kitab Ihya' tu dalam 24GB. Percuma je.”

“Saya dok di Kelantan , Gua Musang”

“Jauh tu.”

“Kalau tuan tidak keberatan saya poskan pen drive untuk tuan boleh ke?”

“Boleh. Cuma pastikan cukup untuk 24GB. Kalau yang 8GB, kena 3 pendrive. Tapi, boleh ke hantar pendrive melalui pos? Saya ni tak biasa urusan-urusan pos ni. Kalau tak menyalahi undang-undnag dan memang boleh sampai, ok.”

“Boleh tuan. Allah permudahkan nanti.”

Insya-Allah akan dilaksanakan.

Kepada orang-orang dekat, sekiranya berminat, boleh mai sedut audio/video kuliah kitab Ihya’ ‘Ulumiddin dari laptop saya…..percuma (ilmu milik Allah, kita sekadar tempat laluan/perantaraan). Cuma pastikan pendrive/external harddisk anda ada ruang kosong untuk 24GB. 

Audio kuliah-kuliah lama (kitab Kifayatul Muhtaj, Kimia’ As-Sa’adah, 40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman, dan Munyatul Musolli) belum dapat saya kumpulkan setempat, kerana berselerak di pelbagai lokasi dalam laptop. Sebahagiannya gagal ditemui pun, mungkin nak kena download semula fail-fail yang hilang tu dari internet. Maka belum boleh disedut.

Semoga bermanfaat.

Abu Zulfiqar
19 Mei 2013

Sunday, May 12, 2013

Ana dan Ikmalia



Seorang hamba Allah bertanyakan pandangan saya tentang slogan "Melayu Sepakat, Islam Berdaulat". Pada saya, satu slogan yang bagus tetapi secara peribadi saya lebih suka jika dalam konteks Malaysia, slogannya berbunyi : “Muslim Malaysia Sepakat, Islam di Malaysia Lebih Berdaulat”.  Itu lebih tepat dan lebih berkesan. Jika dalam konteks global pula : “Muslim Sepakat, Islam Lebih Berdaulat.” Setiap perkataan itu berperanan penting.

Sebenarnya slogan ini digunakan oleh Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), sebuah NGO dalam kempen pilihanrayanya di bawah nama Parti Berjasa.

Beberapa hari kemudian, seorang sahabat dari ISMA sendiri (saya pernah aktif dengan ISMA selama 7-8 tahun, jadi ramai kawan baik di dalamnya yang pernah susah senang sekali) pula bertanya tentang bunyi seruan dalam kempen  ISMA yang sering kedengaran iaitu “Undilah calon Muslim berwibawa”.

Sama juga, saya katakan ia satu seruan yang baik, tapi masih boleh dimurnikan. Hal ini kerana walau sewibawa manapun seseorang calon Muslim itu tetapi jika tidak kena dengan tempatnya, mana boleh kita seru orang lain untuk mengundinya? Kenalah calon Muslim itu KENA DENGAN TEMPATNYA/situasinya/keadaannya. Oleh itu seruan itu boleh kita murnikan lagi kepada : “Undilah calon Muslim berwibawa, yang kena dengan tempatnya.”

Selamat maju jaya kepada seluruh jemaah Islam, termasuklah ISMA. Begitulah antara seruan dakwah Tajdid Segar, Tajdid Sebenar.

Apabila cerita ini saya kongsikan di Facebook, sahabat-sahabat bertanya pula : “Macam mana boleh terlibat dengan ISMA dulu?” Panjang cerita.

Ringkas ceritanya (walaupun tidaklah ringkas benar), saya memang tidak ada niat untuk aktif dengan ISMA, tapi telah diminta untuk membantu ISMA yang ketika itu baru berubah temanya daripada satu perkumpulan siswazah (asal namanya ialah Ikatan Siswazah Muslim Malaysia) kepada perkumpulan yang terbuka untuk orang ramai. Oleh itu ISMA perlukan satu lonjakan untuk membuka sel-sel usrah baru bagi menarik orang ramai kepada ISMA, juga mempromosikan ISMA khususnya kepada remaja dan golongan dewasa. Apabila saya dan kawan-kawan menolak, permintaan ditukar kepada seakan-akan arahan. Sebahagian menurut dan sebahagian sebaliknya. Mahu tak mahu kami yang menurut pun berjuanglah bersama-sama ISMA.

Ada antara yang menolak terus bertindak memisahkan diri (dengan cara baik, kami tak pernah bermusuh). Maksudnya ada yang bersama-sama JIM (Jemaah Islah Malaysia) yang kini bernaung di bawah IKRAM, ada yang bersama PAS (Parti Islam Se-Malaysia), ada yang bersama Hizbut Tahrir (dengar-dengar khabarnya begitu, tapi tak tahulah sejauhmana kebenarannya  kerana sahabat yang seorang ini agak berahsia), ada yang jadi geng mengaji kitab dari masjid ke masjid, dan entah macam manalah ada seorang sahabat yang terlorong jalan ke majlis-majlis kaum Salafi Wahhabi. Tapi sahabat ini bukan jenis yang membid’ahkan sesama umat Islam kerana dalam majlis-majlis  yang biasanya ditolak oleh kaum Salafi Wahhabi, dia masih boleh turut serta.  Dan sepanjang kenal dengannya, dia tidak pernah menghentam kita yang tidak berfaham Salafi Wahhabi, cuma katanya dia lebih selesa dengan “dakwah salaf”, katanyalah.

Selepas lebih kurang 3-4 tahun bersama-sama ISMA dan ISMA pun berkembang pesat lagi stabil, datang berita bahawa ‘arahan’ kepada sahabat-sahabat ‘underground’ sudah pun ditarik balik. Maksudnya , sesiapa yang mahu bersama-sama ISMA boleh teruskan, dan sesiapa yang tidak mahu boleh mendapatkan tugasan lain. Oleh kerana sudah rapat sangat dan selesa dengan ikhwan ISMA, saya pun mengekalkan diri walaupun saya sudah lama punya perjuangan yang tersendiri bersama-sama beberapa orang sahabat, iaitu Dakwah Tajdid Sebenar.

Lebih kurang pada tahun ke-6, timbul seruan untuk sahabat-sahabat ‘underground’ bersatu semula sebagaimana sebelum zaman ISMA. Saya menolak kerana sudah ada perancangan lain dan sefaham saya usaha itu kurang berhasil. Tak tahulah kalau-kalau di luar pengetahun saya jadi sebaliknya. Wallahua’lam.

Lebih kurang dalam tempoh itu jugalah bertiup kencang angin yang membawa benih-benih perjuangan Ikhwan aliran Syria dan Jemaah An Nur (dari Turki) yang diasaskan oleh Badiuzzaman Said Nursi ke negara ini. Memang sudah jadi tugas kami untuk menyemarakkan semua jemaah Islam yang benar, namun saya menolak dengan baik pelawaan yang pertama memandangkan di negara ini sudah lama bertapak Ikhwan aliran UK dan kemudiannya Ikhwan aliran Mesir. Saya tak nampak keperluan untuk mewujudkan aliran Syria. Namun saya tetap akan membantu sekiranya  benar-benar mahu diwujudkan. Akhirnya tak jadi pun usaha itu. Pelawaan Jemaah An-Nur pun saya tolak dengan baik, kerana tidak nampak pun yang mereka mahu membesarkan perkumpulan mereka melainkan hanya mahu kita menyertainya sahaja.  Jika kami masuk pun, tidak dapat banyak membantu.

Selepas 7 atau 8 tahun bersama ISMA, saya pun memisahkan diri dengan baik. Sampai sekarang pun hubungan saya dengan sebahagian teman dalam ISMA dulu masih rapat.

Ketika bersama-sama ISMA, kami sempat membuat satu risalah bulanan setebal lebih kurang 20 mukasurat dengan nama “Ikmalia”. Walaupun edarannya terhad di sekitar negeri Perak, tetapi pernah juga sampai ke Pulau Pinang dan Selangor, dibawa oleh “students”. Isi kandungannya tidak bercerita tentang ISMA secara langsung, tetapi para pembaca khususnya remaja memang dipandu secara senyap ke arah itu. Melalui risalah ini saya dan rakan-rakan berjaya menarik ramai remaja kepada ISMA. Nama “Ikmalia” itu seolah-olah nama bunga atau wanita, tetapi sebenarnya ialah “Ikatan Muslimin Malaysia” (terbuka rahsianya hari ini). Sempatlah dalam 30 keluaran. (Sebelum itu ketika membantu perjuangkan Jemaah Islah Malaysia, kami pernah menghasilkan risalah dengan tajuk “Pusaka Serigala” tetapi edarannya terhad di sekitar Taiping sahaja).

Ada juga sebuah blog yang saya sendiri hasilkan tetapi sudah lupa namanya kerana sudah dipadam pada sekitar tahun 2010. Isi blog ini juga sebenarnya untuk menarik pembaca ke arah ISMA, secara tidak langsung/secara senyap-senyap. Blog ini secara keseluruhannya kurang berjaya kerana saya sangat kekurangan masa untuk mengendalikannya kerana dalam masa saya turut menguruskan beberapa belas blog lain yang juga bersangkutan hal ehwal agama.

Rehatnya saya daripada aktiviti-aktiviti ISMA, maka dapatlah saya memberi lebih masa untuk mendalami dan mengamalkan ilmu perubatan nabawi, ilmu perubatan alternatif, ilmu hakikat, ilmu tasawuf, ilmu tafsir mimpi, ilmu perbandingan agama, ilmu tentang agama-agama dunia dan kitab-kitabnya, sejarah, mengajar kitab-kitab dalam kuliah-kuliah umum, mencipta lagu-lagu Islami, gerakkan team menentang ajaran-ajaran sesat dan sebagainya yang sukar untuk saya sediakan masa untuk mendalami dan mengamalkannyanya jika terus sibuk dalam aktiviti-aktiviti ISMA yang padat.

Sekitar dua tahun yang lalu, pernah anak kepada Presiden ISMA bertanya sebab-sebab saya tidak aktif lagi dengan ISMA. Perenggan di atas tadilah lebih kurang jawapan ringkas saya. Saya mahu mempelajari dan mempraktikkan perkara-perkara yang sukar untuk saya pelajari dna praktikkan jika masih terus aktif dengan ISMA. Soal jawab itu berlaku di Facebook (di akaun “Abu Zulfiqar Amsyari”), maka seringkas itulah jawapan saya. Dan pada hari ini, dengan artikel ini maka terjawablah secara panjangnya pula.

Rehat daripada ISMA, tidak bererti rehat sepenuhnya daripada membantu dakwah kumpulan-kumpulan Islam. Sekurang-kurangnya ada dua lagi jemaah yang saya terlibat membantu selepas berehat daripada ISMA. Oleh kerana masih baru, maka belum sesuai untuk diceritakan. Insya-Allah suatu hari nanti kita cerita. Tapi rakan-rakan saya yang masih muda-muda memang terus aktif. Cuma sebagaimana salah satu saranan Tajdid Segar, kami memang tidak terlibat membantu mana-mana perkumpulan yang JELAS-JELAS membawa 6 Virus Dalaman iaitu :
1.       Syi’ah.
2.       Salafi Wahhabi (Wahabi).
3.       SIPLIS/Siplisme (Sekularisme,Pluralisme, Liberalisme)
4.       Ajaran-ajaran sesat.
5.       Golongan Anti-Hadith.
6.       Ahmadiyyah Qadiyyani.

…….. terkenang zaman kami membantu menyemarakkan usaha-usaha dakwah jemaah Tabligh (sekitar 1993), Parti Islam (sekitar 1999), satu aliran Tariqat Naqsyabandiyyah (sekitar 2000), Jemaah Islah Malaysia (sekitar 1998-2002), satu halaqah yang tidak ada nama khusus (sekitar 1998), satu lagi halaqah seorang ulama yang ketika itu baru hendak dikenali, sekarang sudah top (2007)……..

Memang pengalaman yang menarik lagi bermanfaat.

Selamat maju jaya kepada seluruh jemaah-jemaah Islam. Para pejuang Tajdid Sebenar (Tajdid Segar) akan terus menyokong  dan membantu. Pandang global, mari bergerak sebagai satu umat.

http://www.youtube.com/watch?v=HIdCUw8vfYs Fahami dan hayati liriknya.
Lagu ini saya siapkan sejurus selepas berehat daripada ISMA. Dah ada masa, bolehlah curi2 ruang untuk buat sekalipun tidak sesempurna mana. Sekurang-kurangnya ia dapat menceritakan sedikit daripada harapan dan matlamat kita.


Abu Zulfiqar
2 Mei 2013


Tambahan (sebuah puisi lama saya, 2007) :




PABILA KUAMBIL SESUATU…

Pabila kupetik untaian puisi Ustaz Ashaari
Itu bukan bermaksud temanmu ini ahli Rufaqa’
Jika kunyatakan kebaikan poligami
Bukan hujahnya aku pengikut al-Arqam

Pabila kulilit serban hitam di kepala
Itu bukan bererti aku pengikut Syiah
Kalau kaulihat aku menyokong Saidina Ali
Tidak bermakna temanmu ini pendokong Syiah Imamiah

Pabila mataku dihiasi celak
Apa buktinya aku seorang karkun?
Kaulihat jubahku seperti jubah Maulana Mustaqim
Jangan kauhukum aku ahli jemaat Tabligh

Pabila kusering mencontohi al-Banna
Tidak semestinya aku banyak menyetujui Qardhawi
Memang buku-buku Ikhwan rujukanku
Mana kalian tahu aku salah seorang saudara mereka?

Pabila tazkirahku bernada tazkirah Dato’ Nik Aziz
Mestikah aku bertaqlid penuh Ustaz Hadi Awang?
Kelibat aku selalu ada di ceramah
Tidak semestinya PAS platform perjuangan utamaku

Pabila tasauf kesufian menjadi bualan harianku
Tidak semestinya aku orang tariqat
Penampilanku yang biasa berjubah dan berserban
Jangan anggap kumenolak tali leher dan t-shirt

Pabila aku mengendalikan usrah
Bukan ABIM dan JIM saja yang berusrah
Ma’thurat menjadi aurad harianku
Adakah ISMA naunganku?

Pabila anak-anakku berpakaian tentera
Takkanlah aku terus menjadi al-Qaeda?
Ketika kumenulis kebaikan Taliban
Mestikah aku pendokong gerakan mereka?

Pabila kusokong Lasykar Jihad
Tidak kusokong wadah Wahhabi
Kalau kusokong beberapa fatwa Saudi
Ketahuilah temanmu ini bukan Salafi Lapok

Pabila kukagumi Syeikh Bahauddin
Takkanlah itu menunjukkan aku pentaksub Syeikh Nazeem
Kaulihat hatiku berzikir khafi Allah Allah
Bukan maksudnya kudatang dari Naqsyabandiyyah

Pabila kuberbaik dengan pimpinan dan ahli UMNO
Janganlah anggap temanmu ini pengundi Barisan
Seandainya kusokong langkah-langkah baik pemerintah
Jauh sekali untuk aku berfaham sekular

Aku…
Mengambil apa yang baik dan relevan
Yang berkesan buat diriku dan umat Islam

“PANDANG GLOBAL, BERGERAK SEBAGAI SATU UMAT”

Abu Zulfiqar
3 JUN 2007
 

Kuliah Kembara ke Sidratul Muntaha (Israk Mikraj)



Siri kuliah Kembara ke Sidratul Muntaha (syarahan Kitab Kifaayatul Muhtaj fil Isra’ wal Mi’raaj karya Syeikh Daud al-Fatoni) terdiri daripada 123 fail dalam bentuk audio (sebenarnya dalam format video tetapi tidak bergambar), yang boleh didengar di Youtube. Melalui siri kuliah ini, peristiwa ajaib Isra’ dan Mi’raj dihuraikan secara terperinci dari awal hingga akhir. Kuliahnya bermula pada bulan Jun 2010 dan tamat pada bulan Februari 2011. Tamat dalam 23 kali kuliah.

Sehingga  12 Mei 2013, dianggarkan lebih kurang 14,000 orang pernah mendengar audio kuliah Kembara ke Sidratul Muntaha ini. Secara keseluruhannya, kesemua 123 fail audio ini sudah didengar sebanyak 166,993 kali. Alhamdulillah, syukur.

Sekiranya tuan-tuan ingin mendengar kesemua 123 fail ini di satu tempat, kami ada menyediakan satu blog khusus untuknya iaitu “Kembara ke Sidratul Muntaha” beralamat di http://syarahisrakmikraj.blogspot.com .

Kami melihat kecenderungan pendengar adalah lebih kepada fail yang ke-1, 2, 11, 41, 47, 64, 77, 110 dan 113. Mungkin ada sesuatu yang menarik perhatian pendengar di dalamnya. Apa pun, peristiwa Isra’ wa Mi’raaj ini memang sangat penting untuk kita umat Islam menerokainya kerana dalam peristiwa inilah ibadah utama kita iaitu solat fardhu diperintahkan. Ibadah-ibadah lain diterima oleh Rasulullah saw di bumi, manakala ibadah solat fardhu nun jauh melepasi pintu-pintu langit-langit.

Selamat mengambil manfaat.

Abu Zulfiqar
12 Mei 2013

Friday, May 10, 2013

Kenangan Zaman Kecil

*Tulisan ini sudah lama, tahun 2006.  Selongkar punya selongkar fail-fail lama dalam laptop, terjumpa. Dah lupa dah pun karangan ni. Dulu diletak dalam blog lama (blog tu dalam bentuk forum, bukan dalam bentuk blogspot). Selepas blog itu rosak terkena virus ke spyware ke apa entah, semua maklumat di dalamnya turut terkorban. Banyak juga karya-karya saya tentang agama dan  dakwah yang tidak sempat diselamatkan, itu yang ruginya. Selepas itulah saya buka blog baru di bawah blogspot iaitu Debunga Teratai Syurgawi pada tahun 2008. Tulisan ini berkisar tentang pengalaman hidup pada waktu kecil.


Aku dilahirkan di Hospital Besar Ipoh, Perak Darul Ridzuan. Lahir-lahir saja aku terus dipelihara dan diasuh oleh nenekku yang kupanggil Mak walaupun ketika itu ibubapaku tinggal bersama-sama kami. Adikku S lahir setahun kemudian. Ketika usianya lebih kurang dua minggu, dia dihantar ke rumah orang untuk diasuh.

            Dengan izin Allah SWT Yang Maha Mengetahui, aku dapat mengingati banyak perkara seawal usiaku setahun lebih. Sebab itu susah untuk orang menipu tentang kisah silamku pada masa kecil. Pernah kutanyakan kepada adikku, tapi katanya dia langsung tidak ingat apa-apa sebelum usianya tujuh tahun. Inilah yang hendak aku kongsi bersama kalian. Manalah tahu mungkin ada manfaatnya sedikit-sebanyak. Namun hal-hal sensitif tidaklah aku sentuh, biarlah ia menjadi sebahagian daripada koleksi di pusat sumber mindaku. Kalau kuceritakan nescaya air mataku bahkan air mata kalian akan mengalir.

            Ketika usiaku setahun lebih, ibubapa kami bercerai. Aku menjadi milik ibu walaupun nenek yang memeliharaku. Adikku pula menjadi milik bapa walaupun dia dibela orang lain. Agaknya itu adalah keputusan bersama ibu dan bapa kami yang kami sayangi. Selepas bercerai bapaku tidak lagi tinggal di rumah nenek.        

            Sewaktu bapaku masih tinggal di rumah nenek, aku mampu mengingati beberapa perkara. Ketika itu pastinya usiaku setahun lebih. Masih kuingat seorang kenalan ibuku bernama Kak N bertanya, “Papa mana papa?” Aku yang baru belajar menyebut perkataan menjawab, “Papa broom broom” sambil tanganku menggayakan orang bawa motosikal- untuk memberitahu bahawa bapaku pergi kerja. Aku masih ingat motosikalnya yang diletakkan di dalam rumah, jenis skuter atau yang seumpama dengannya.

            Aku masih ingat dengan amat jelas sewaktu adikku masih merangkak, maksudnya usiaku setahun lebih. Ibu pulang lalu masuk ke bilik untuk menyalin pakaian. Bilik itu terletak di ruang atas rumah papan nenek yang tingginya mungkin separas paha orang dewasa. Ada tiga atau empat anak tangga batu di depannya. Kami kesukaan apabila melihat ibu yang kami sayangi pulang. Aku memanggil adikku untuk mengintai kaki ibu melalui ruang kecil di bawah pintu. Kami pun melepak di tangga batu tersebut. Sesekali ternampak kelibat kaki ibu, aku menjerit kesukaan sambil menunjukkannya kepada adik, “Tuu kaki Mama!”. Adikku pun terintai-intai.
           
            Ibuku berkahwin lain, dengan seorang pegawai tentera. Tak lama selepas itu ibu pun mengikut suami barunya tinggal di merata-rata tempat sebagaimana anggota tentera yang lain. Setahun selepas kelahiran adikku, lahir pula adik tiriku yang pertama bernama FQ. Adik tiriku ini kemudiannya diserahkan pula kepada ibu bapa kepada bapa tiriku untuk dipelihara, tapi aku tidak tahu sejak bila dia diserahkan kepada mereka. Adakah lahir-lahir terus diserahkan atau lewat lagi daripada itu, namun paling lewatpun ketika usianya setahun. Ini kerana setahun selepas itu lahir pula adik tiriku yang kedua bernama FZ, dan dialah yang dipelihara terus hingga dewasa oleh ibu dan bapa tiriku. Lebih kurang dua belas tahun kemudian ibu dapat lagi seorang anak bernama AS, satu-satunya anak perempuan ibu, adik perempuan kami. Mereka berdualah yang dipelihara sampai dewasa. Walaupun hidup terpisah dan jarang bertemu, tapi hubungan kami lima beradik tiri memang baik. Pada musim cuti sekolah (biasanya akhir tahun) kami berkumpul dan bermain bersama-sama.
           
            Bapaku sejak perceraian itu membawa haluan sendiri. Sejak aku bersekolah sehinggalah aku tamat sekolah menengah, mungkin empat lima kali saja aku berjumpa dengannya. Dia juga berkahwin lain dan memperolehi tiga orang anak. Kemudian bercerai lagi, berkahwin lagi dan mendapat pula dua orang anak lagi. Jadi kesemuanya aku ada sepuluh orang adik-beradik (campur yang tiri). Sehingga sekarang hubungan saya dengan adik-adik semua ok.

            Sesekali adikkku S dibela seketika oleh nenek bersama-samaku. Aku masih ingat kalau waktu malam, aku tidur bersama nenek di atas katil besi manakala adikku tidur di bawah meja makan. Meja makan itu diserkup dengan kelambu. Sebelum terlena, dalam keadaan berbaring aku selalu mengajak adikku bersembang dalam kegelapan yang disinari lampu pelita minyak tanah. Ketika itu kami belum mengerti apa-apa, maka tidak timbul sebarang kesedihan, semua yang dilalui terasa menyeronokkan saja. Begitulah cara Allah memelihara hati dua orang anak kecil bersama seorang nenek tua.

            Entah berapa tahun usianya (mungkin 3-4 tahun) barulah kami adik-beradik benar-benar terpisah setelah adikku diambil oleh bapa, tidak lagi dipelihara orang atau nenek. Antara lain yang masih kuingat ialah kami pernah mempunyai baju tidur yang sama warna, biru cerah berjalur nipis biru gelap. Kami dibawa nenek berjalan ke rumah orang di belakang kedai runcit Pak Mud. Di bawah rumah itu ada banyak tiang, maka kamipun berkejar-kejaran mengelilingi tiang. Seronoknya bukan kepalang. Begitulah kenangan bersama adik kandungku pada masa kecil kami.

            Selepas berpisah dengan adikku, Mak Long yang hidupnya susah juga meletakkan dua orang anak perempuannya iaitu SR dan NT untuk dipelihara nenek. SR enam tahun lebih tua daripadaku manakala NT tiga tahun lebih muda. Bertahun-tahun lamanya kami tinggal empat beranak. Mak Long memang tidak tinggal bersama kami. Ketika NT baru tinggal bersama kami, dia sering menangis dan kulitnya banyak berkudis. Kalau SR dipukul nenek, NT juga akan menangis sekali, biasalah budak-budak.

            Ingin kuceritakan latar tempat dan persekitaran kisah ini. Rumah nenekku ada yang papan semua dan ada yang papan sekerat. Ada rumah atas dan ada rumah bawah Lantainya hitam berkilat, licin dan sejuk. Tak pernah lagi aku nampak lantai simen seperti itu sekarang. Rumahnya kecil dan selalu tiris apabila hujan. Setelah aku besar sedikit, rumah kami itu selalu pula dimasuki air banjir. Halaman depannya ketika itu separuh rumput (ibarat padang kecil) dan separuh pasir yang cantik- selalu dibuang rumputnya. Banyak pacat berumah dalam rumput-rumput itu.

            Walaupun rumah lot tetapi suasana kampung cukup terasa. Hampir semua rumah tidak berpagar. Kalau dari hujung sini hendak ke hujung sana, kita boleh lalu di bawah rumah-rumah orang. Jalannya tanah merah dan berdebu. Mulanya nenek ada membela beberapa ekor ayam, siap dengan rebannya yang comel. Tapi kemudiannya nenek malas membela ayam lagi akibat selalu kecurian.

            Tandas kami tandas tong. Sewaktu buang air besar, nampaklah segala yang di bawah sana dengan segala harumannya menusuk hidung. Tapi ketika itu terasa biasa saja. Ada seorang pekerja berbangsa India yang datang mengangkut yang kami sebut “Hindu Angkat Taik”- sebutan orang kampung.

            Nenek memasak menggunakan dapur minyak. Sesekali kalau nenek membakar bengkang, dia menggunakan dapur arang yang diperbuat daripada batu di luar rumah. Seronok sungguh menghidu bau bahan bakar bercampur bau bengkang sambil melihat asap berkepul-kepul naik ke udara.

            Televisyen kami besar, hitam putih, berkaki dan ada pintu yang cantik. Hanya beberapa orang saja yang ada peti tv di situ. Hendak tukar siaran kena pusing tombolnya macam buka penutup botol. Aku selalu menonton tv jarak dekat. Mungkin sebab itulah mataku cepat rosak hingga terpaksa bercermin mata.

Antara perkara yang masih kuingat dalam usiaku lima tahun dan ke bawah ialah:

1.       Adik tiriku FQ dibawa dari Kuala Lumpur ke rumah nenek. Dia berambut keriting dan ditidurkan dalam buaian di ruang tengah. Wajahnya comel. Beberapa kali aku menjenguk FQ tidur dalam buaian.

2.       Aku bermimpi melihat seekor kucing berwarna oren berlari ke arahku dengan senyuman yang menakutkan. Lariannya macam filem yang digerakkan perlahan (slow motion). Aku yang belum faham apa itu mimpi merasakan perkara itu benar-benar berlaku. Aku ceritakan kepada nenek. Lucu rasanya.

3.       Aku selalu meniru suara ayam jantan berkokok. Bunyiku ,”Ok ok ok okkkkk…”.

4.       Menjelang hari raya, nenek dan mak long biasa buat kuih di pangkin di bawah rumah. Selalu kami tidur di pangkin ini. Sejuk berangin rasa berbaring di situ. Di sebelah rumahku ada surau yang kami panggil meneksah (madrasah). Dengar saja bunyi azan aku berdiri di tanah lalu menirunya. Nenek dan mak long menegur aku dengan alasan tidak baik berbuat demikian. Tapi Alhamdulillah syukur, apabila dewasa aku memang selalu melaungkan azan dan menjadi imam solat.

5.       Bilik air rumah nenek jenis “open” tiada berbumbung, dipagari zink setinggi bahu atau lebih sedikit, tiada pintu, lantainya papan bersusun, airnya dari tempayan- sejuk dan menyegarkan. Kalau kita mandi pada waktu pagi, naik asap daripada papan akibat terkena air. Di bawah lantai papan itu biasanya ada katak. Hampir setiap harilah nampak katak-katak. Rasanya orang sekarang tak sanggup lagi mandi di tempat begitu.

6.       Pada usia 1 atau 2 atau 3 tahun aku dibawa nenek berjalan-jalan ke rumah Pak Long Hamzah di Pahang. Di bawah rumah Pak Long H ada seekor anak kambing. Anak kambing itu disuap susu botol. Aku masih ingat lagi bunyi suaranya. Di Pahang juga aku dapat seorang mak angkat yang kupanggil “Mama”, sama seperti panggilan untuk ibuku. Wajahnya tidak kuingat lagi tapi bayangan orangnya masih ada.

7.       Kakak SR pandai melukis. Aku berjaya menirulukis wajah manusia dalam usia 5 tahun agaknya. Biasanya kulukis di dinding almari bermediakan air kosong dan berus warna SR. Mudah, tak perlu dipadam kerana lukisan kita akan terpadam sendiri apabila kering. SR terkejut kerana aku boleh melukis muka manusia walaupun belum pernah bersekolah sedangkan kebanyakan orang yang bersekolahpun hanya melukis orang lidi.

8.       Suatu malam aku bermimpi haus dan hendak minum air. Dalam mimpi itu aku cuba beritahu “Maaak, nak air”. Sebaik sahaja aku terjaga secara automatik ayat tersebut keluar daripada mulutku. Terus saja nenekku yang sedang tidur itu bangun lalu mendapatkan air untukku. Apabila mengenangkan hal ini hatiku menjadi sayu. Aku yakin ibu-ibu baik yang lain juga begitu, sanggup bersusah-payah walaupun sedang nyenyak tidur di tengah malam.

9.       Masa bayi badanku tembam berlipat-lipat. Terkejut aku melihat fotoku semasa bayi. Tapi kemudiannya aku, maksudnya kami semua hidup kekurangan zat bertahun-tahun lamanya. Air teh merupakan air terlazat yang kami minum selepas air masak. Air sirap pun hanya beberapa kali sahaja setahun. Lauk kami biasanya ikan masin goreng. Hari ini nenek goreng dua tiga ekor ikan masin, itulah lauk kami, beserta sisa minyak gorengannya. Untuk esok dan lusa, kami hanya berlaukkan sisa minyak gorengan ikan masin dari dalam kuali. Hari keempat, nenek goreng lagi dua tiga ekor ikan masin lagi. Begitulah seterusnya berulang-ulang. Maklumlah, nenek tidak bekerja.

10.   Kalau Mak Longku balik, dapatlah kami makan sedap sedikit. Aku yang paling kurus kerana aku memang tidak suka makan, satu suap berselang dengan empat lima teguk air. Maka airlah yang banyak.

11.   Aku merampas topi SR lalu dia mengejarku. Aku lari ke parit di depan halaman, kucampakkan topinya. Nasib baik parit kering. SR marah lalu memukulku, aku pun lari mengadu kepada nenek. Kemudian SR panjat buaian besi dalam rumah dan menyelitkan topinya di bumbung.

12.   Pak Ngahku pemandu teksi. Pernah beberapa kali dia datang menziarahi nenek dan memberikan gula-gula kepadaku. Lemah-lembut saja gayanya. Umurnya tidak panjang. Ketika dia hampir-hampir meninggal dunia, kami menziarahinya. Aku ingat lagi keuzurannya dan mayatnya.

13.   Jiran di belakang rumahku ada anak lelaki. Enon nama panggilannya. Kami berkawan baik. Di belakang rumah kami ada limbah. Untuk pergi ke rumah Enon kami meniti batang kayu ataupun papan. Sebelum kami sempat bersekolah, Enon dan keluarganya berpindah.

14.   Semasa kecil kakiku tidak berapa kuat, salah sikit letak kaki maka terjatuhlah aku. Banyak kali aku jatuh terlentang dan terhempas bahagian belakang kepala. Nenekku risau kalau-kalau fikiranku tercedera, tapi nasib baiklah tidak apa-apa. Peristiwa selalu jatuh ini memang sangat kuingat.

15.   Aku pernah ada sepucuk pistol mainan berwarna hijau dalam usia 2 atau 3 tahun. Setelah besar sedikit, beberapa kali aku dibelikan senapang mainan tapi selalu saja patah kerana tersangkut di pintu sewaktu berlari-lari.

16.   Kawanku yang tinggal di sebelah rumah Shima namanya tapi kupanggil Noha. Kami ada bermain bersama-sama dan selalu berlawan cakap, aku bercakap dari jaring-jaring di depan rumahku manakala Noha dari tingkap rumahnya. Sebelum kami bersekolah, Noha juga pindah dari situ.

17.   Aku bahasakan diriku “Abang” kepada nenek yang kupanggil “Mak” itu. Suatu malam sewaktu kami berbaring hendak tidur, kukatakan kepadanya, “Maak, abang nak tidur dengan Mak saammpai besar”. Nenekku menjawab, “Mana boleh…esok besar abang mesti nak tidur sendiri, sempit.”

18.   Kakak sepupuku bernama H yang baru berkahwin datang menziarahi nenek. Sewaktu mereka hendak pulang aku beria-ia nak ikut. Kuikut mereka sampai ke jalan. Kemudian mereka kata, “Kalau nak ikut, kena pi sikat rambut dulu.” Aku pun masuk ke dalam rumah lalu menyikat rambut. Nenek melihat gelagatku. Apabila aku pergi ke jalan semula, kulihat mereka sudahpun berjalan jauh, melambai-lambai. Lucu rasanya.

19.   Aku memanjat sesuatu (rasanya motosikal bapaku) tanpa berpakaian. Jiran depan rumahku Pakcik Z buat-buat memarahiku dari jauh. Aku ketakutan lalu berlari masuk ke ruang tengah. Sejak itu aku berasa gerun dengannya.

20.   Suatu hari aku dan nenek berziarah ke rumah kawannya. Rumah kawannya adalah antara rumah terbesar di kampungku. Sampai saja ke pintu dapur kulihat ada seorang budak lelaki sedang buang air kecil sambil berdiri di tepi pintu itu. Air kencingnya jatuh ke tanah. Dia tidak pula segan silu. Budak lelaki itu (AK) akhirnya menjadi salah seorang kawan baikku. Setelah dewasa pun hubungan kami masih akrab. Keluarganya membela seekor kucing yang sangat besar, hampir-hampir sebesar anak kambing berwarna hitam putih tapi putihnya tidak bersih. Pernah kuceritakan peristiwa dia kencing berdiri itu tapi sudah tidak diingatinya, dikatanya aku membuat lawak pula.

21.   Rambut nenekku putih hampir kesemuanya. Suatu hari sedang dia membasuh kain di bilik mandi kami yang canggih itu, aku berdiri di muka pintu dapur lalu bertanya kepadanya, “Oo Mak, Tuhan tu macam mana rupa dia?” Aku lupa apa jawapan nenekku tapi jawapannya tidak memuaskan aku lalu aku berkata, “Tuhan tu macam Mak la”. Ini kerana aku beranggapan Tuhan itu putih rambutnya he he he. Begitulah fikiran budak-budak.

            Begitulah serba sedikit pengalaman hidupku ketika berusia lima tahun dan ke bawah yang masih kuingat dan sesekali bermain di ruangan fikiran. Semuanya menjadi kenangan yang sangat indah buatku. Ketika menyiapkan tulisan ini, aku gagal menahan air mataku yang berkali-kali keluar meskipun bahagian-bahagian yang perit tidak aku sentuh. Adakalanya air mataku meluncur kerana sedih dan ada kalanya kerana terlalu gembira mengenangkan semua ini. Suatu yang pasti, Allah memberi kelebihan kepadaku untuk mengingati semua ini kerana memang besar gunanya setelah aku dewasa. Terima kasih Tuhan…

            Bagaimana dengan anda? Dapatkah anda mengingati peristiwa-peristiwa sebelum umur anda enam tahun?

Abu Zulfiqar
18 Disember 2006

*Tamat imbas kembali :)

Anda mungkin meminati:

Related Posts with Thumbnails