Saturday, February 23, 2019

Khusus kepada Para Pengamal Tarekat Ghazaliyah

Khusus kepada para pengamal Tarekat Ghazaliyyah,

Berikutan beberapa persoalan yang diajukan kepada kami baru-baru ini, maka kami berpandangan adalah sesuai untuk kami memberikan penjelasan sebagaimana berikut kepada ikhwan Tariqah Al-Ghazaliyyah.

Ikhwan sekelian,

Kalian sepatutnya berasa sangat beruntung kerana :
1.       Kalian punya sukatan pelajaran usuluddin tersendiri, pelbagai aras lagi lengkap hasil tangan PENGASAS tarekat ini sendiri, iaitu Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali. Tulisan-tulisan beliau tentang perkara ini masih ada sampai ke hari ini.
2.       Kalian punya kitab-kitab fekah pelbagai aras lagi lengkap, hasil tangan PENGASAS tarekat ini sendiri.
3.       Kalian punya kitab-kitab tasawuf sufi pelbagai aras lagi lengkap, hasil tangan PENGASAS tarekat ini sendiri.

Tauhid – Fiqh – Tasawuf.
Tiga tungku agama ini disimpan ilmu-ilmunya oleh pengasas tarekat ini untuk kalian.

Karya-karya penting Al-Imam :
-          bukanlah karangan orang lain yang menggunakan namanya.
-          bukanlah karangan beliau yang bercampur dengan karangan orang lain.
-          bukan karangan yang tidak diketahui identiti penulisnya tetapi dinisbahkan kepada beliau.
-          bukanlah karangan yang tidak dapat dipastikan sama ada memang benar penulisan beliau ataupun bukan.

Kesemuanya hasil buah fikiran beliau sendiri, ditulisnya dan disiapkannya sendiri. Bukan buah fikiran muridnya, musuhnya, peminatnya, pengkajinya, dan sebagainya.

Walaupun sudah lebih 1000 tahun, ajaran-ajaran Imam Al-Ghazali sebagai PENGASAS tarekat ini masih kekal terpelihara sehingga kini untuk kalian. Sebab itu, bolehlah dikatakan tariqah kalian masih kekal asli sebagaimana asalnya pada zaman Al-Imam, tiada sebarang perubahan dibuat, tiada penambahan oleh orang-orang (mursyid-mursyid Tarekat Ghazaliyah) yang datang kemudian, dan tiada terusik oleh tangan-tangan yang mahu merosakkannya. Umumnya, sebagaimana tariqah ini pada zaman Al-Imam, sebegitulah pada zaman-zaman kemudian sehinggalah ke hari ini,

Jika ditanya kepada kalian, apakah yang sebenarnya  yang diajarkan oleh pengasas tarekat kalian tentang tauhid, aqidah, usuluddin?
Yah, dokumen-dokumen rasmi hasil tangan pengasas tarekat kalian masih ada berupa kitab-kitabnya.

Jika ditanya kepada kalian, apakah yang sebenarnya yang diajarkan oleh pengasas tarekat kalian tentang tasawuf, sufi, tarekat?
Sama juga, dokumen-dokumen rasmi hasil tangan pengasas tarekat kalian masih ada. Rujuk sahaja di sana.

Maka, ringkasnya tidak timbul persoalan-persoalan di bawah dalam diri para pengamal Tarekat Ghazaliyah :
-          Benarkah PENGASAS tarekat ini yang mengajarkan begini dan begini?
-          Ataupun hal-hal itu sebenarnya ditambah, atau diselewengkan, atau diubahsuai oleh orang-orang kemudian?
-          Apa sebenarnya yang diajarkan oleh PENGASAS tarekat ini sendiri?

Rujuk sahaja karya-karya utama PENGASAS tarekat ini, di sana ada jawapannya. Tidak ada perubahan, tidak ada penambahan kemudian, tidak ada pengubahsuaian. Umumnya seolah-olah kita mendapat malumat terus secara tangan pertama daripada Al-Imam sendiri.

Memang sangat berhikmah pekerjaan PENGASAS tarekat kalian. Beliau meninggalkan karya-karyanya sendiri agar ajaran-ajarannya tidak mudah-mudah ditokok-tambah, diubahsuai atau diselewengkan oleh orang lain.

Semoga dengan jawapan ini, dapatlah memberikan ketenteraman qalbu kepada para pengamal Tariqah Ghazaliyyah khususnya.

Abu Zulfiqar Al-Amsyari
23 Februari 2019

No comments: