Tuesday, April 28, 2020

Ada Diri, Tiada Diri, Hanya Diri


Seluruh kehidupan ini terasa sangat bermakna, kerana semua yang dirancang dan dilaksanakan oleh Engkau itu tiada yang tidak bermakna. Mustahil bagi Engkau untuk ada melaksanakan sesuatu yang sia-sia. Jadi, daku sekadar melalui dan menikmati hasil kerja-Mu yang sempurna itu.

Sukar untuk aku HANYA nampak belukar kehidupan sahaja, kerana :
a)       pada syariatnya, aku nampak (memandang) belukar kehidupan ini, DAN
b)      pada hakikatnya, aku “nampak (memandang) Wajah-Mu”, DAN
c)       pada inti hakikatnya, yang ada hanyalah Engkau Yang Memandang, sementara aku sendiri pun sudah tidak nampak (memandang) lagi.

Ketiga-tiganya ada padaku secara “seimbang” yakni sejahtera (bukannya “sama berat”). Sukar untuk aku jelaskan hal ini dengan kata-kata, cuma aku cuba kongsikan rumus-rumus dan isyarat-isyaratnya sahaja melalui pernyataan kata-kataku ini.

Segala yang ada umumnya indah belaka, sempurna dan sangat bererti. Aku melalui dan berusaha melalui kehidupan ini dengan kenikmatan mencorakkan warna-warna kehidupan. Hal ini kerana, dari satu sudut, para sufi memandang ALAM dunia ini sendiri sudah seakan-akan jannah (syurga), kerana terlalu banyaknya nikmat yang Engkau kurniakan pada kehidupan dunia ini. Tak akan sempat untuk aku syukuri setiap satu nikmat itu walaupun aku dizinkan hidup ribuan tahun.

Umumnya, bagi para sufi – syukur, kecapi, syukur, kecapi, syukur, kecapi…berterusan. Jadi, aku lebih kepada jalan mereka. Dalam hal-hal dukalara pun, tetap terpandang anugerah keindahan dan kenikmatan di dalamnya/padanya.

Ketiga-tiga keadaan/ehwal yang dialami oleh Rasulullah saw dan para sahabatnya itu ada padaku sedikit-sebanyak, sebagaimana ketiga-tiganya ada “pada” Mu, kerana Engkau yang menjadikan ketiga-tiga keadaan tersebut, pada hakikatnya. Tiga ehwal tersebut ialah :
a)       Keadaan aku ada rasa ada diri.
b)      Keadaan aku ada rasa tiada diri.
c)       Keadaan Aku sahaja yang ada rasa dan ada diri.

Oleh itu, ALAM aku berlainan dengan ALAM yang kebanyakan orang ALAMI. Sebab itulah rasanya… sukar untuk aku beri penjelasan dalam ehwal yang aku ALAMI, kecuali kepada AHLI-AHLI sufi.

Antara keadaannya/ehwalnya lagi :
a)       Ketika aku memandang diriku, maka adalah diri aku itu (wilayah syariat)
b)      Ketika aku memandang Diri-Mu, maka adalah diriku (si pemandang) dan Diri Mu (Yang Dipandang).
c)       Ketika aku yang memandang itu pun tiada (terfana’/binasa), maka yang ada hanyalah Diri-Mu.


Ketiga-tiga keadaan ini bersejahtera dan “berimbangan” menurut yang sepatutnya.

@@@@@@@@@@@

Manusia dan jin ini ehwalnya pelbagai. Maka penyelesaiannya juga pelbagai, sekalipun jalan asasnya tetap sama bagi semua orang.

Antara tips yang suka untuk aku kongsikan buat yang lain-lain :
1.       Kiita semualah) sentiasa bersangka baik dengan Allah 100% dalam semua keadaan, di mana sahaja, pada semua masa.
2.       Kita mestilah bertekad untuk melaksanakan tugas “kekhalifahan” yang Dia kurniakan kepada setiap bangsa manusia, yang mesti usaha dilaksana dan diselesaikan sepanjang hidup di dunia ini. Laksanakan tugas/perintah, dan enjoy melaksanakan dan melaluinya.
3.       Feel (hayati) dengan manis akan tiga ehwal akhir tasawuf iaitu cinta kita kepada Allah, cinta Allah kepada kita, dan cinta Allah.

Abu Zulfiqar Al-Amsyari
28 April 2020

No comments: