Friday, November 27, 2020

Pertanyaan Tentang Hak Minum Arak

 

PENANYA :

Assalamualaikum. Mohon pencerahan tentang perkara agama Islam membenarkan minuman arak kepada orang-orang kafir atas dalil dan nasnya.


PENJELASAN :

Waalaikumussalam. Persoalan yang diminta jawab ialah tentang “AGAMA ISLAM MEMBENARKAN MINUMAN ARAK KEPADA ORANG-ORANG KAFIR ATAS DALIL DAN NASNYA:.


Jadi, (oleh kerana bahagian) itu sahaja yang disentuh, maka (bahagian) itu sahajalah yang dijawab, supaya tidak terkeluar daripada soalan. (yang selain daripada itu, tidak akan dikaitkan)


(*Kenal pasti kata-kata kunci yang ada dalam soalan tersebut iaitu :

i) Agama Islam

ii) membenarkan

iii) minuman arak

iv) kepada orang-orang kafir

Frasa kuncinya pula ialah “AGAMA ISLAM MEMBENARKAN”)


Jawapannya - AGAMA ISLAM TIDAK MEMBENARKAN minum arak kepada orang-orang kafir, sebagaimana agama Islam tidak membenarkan menyembah selain Allah (yang dosanya lebih besar daripada dosa minum arak) kepada orang-orang kafir.


(*Dalam hal minum arak, salah guna dadah, sembah berhala, dedah aurat dan sebagainya, agama Islam tidak membenarkan sama ada kepada orang Islam ataupun kepada orang bukan Islam)


(*Yang ditanya adalah tentang AGAMA ISLAM, maka djawab tentang AGAMA ISLAM. Tidak disentuh tentang NEGARA ISLAM, NEGARA BUKAN ISLAM, MASYARAKAT ISLAM, MASYARAKAT MAJMUK, dan sebagainya. Harap jelas di situ)


Dalilnya... surah Al-Maidah ayat 90 dan hadith Bukhari Muslim “Setiap yang memabukkan adalah HARAM.”

(*Untuk orang Islam pun haram hukumnya, untuk orang bukan Islam pun haram juga hukumnya)



PENANYA :

Jadi, apa yang diperkatakan oleh saudara kita Takiuddin (*seorang menteri di Malaysia) itu macam mana pulak?


PENJELASAN :

Apa yang diperkatakannya tu?

Cuba tuan tulis semula bahagian yang hendak ditanya.

Kerana berdasarkan pengalaman saya menjawab persolaan-persoalan di internet yang melibatkan video, audio dan artikel sejak 1999 lagi, lebih 90 peratus penanya soalan yang berdasarkan 3 sumber ini, sebenarnya mereka tidak tahu pun apa yang mereka hendak tanya. Melainkan kita minta mereka tulis sendiri bahagian yang hendak ditanya itu, maka barulah mereka sendiri faham apa yang mereka nak tanya sebenarnya.


Jadi, apa yang dikata oleh Takiuddin yang hendak ditanya itu?



PENANYA :

(*Penanya hantar satu screenshot yang agak panjang).

Yang ini.


PENJELASAN :

Banyak tu! Boleh jadi dua buku kalau saya kupas. Satu buku fekah dan satu buku perbandingan agama. Jenoh le saya.


Cuba tuan kod kan satu dulu, kerana terlalu banyak isu di dalam tu.

Kurang-kurang pun, pilihlah satu perenggan dulu. Dalam satu perenggan tu pun dah banyak sudut nak dikupas. Persoalannya terlalu luas kerana tak dispesifikkan yang mana satu.


Tuan pilih perenggan yang mana dulu?



PENANYA :

(*Penanya petik satu bahagian sebagaimana berikut)

...hak itu masih dibenarkan kepada yang bukan Islam kerana ia dibenarkan oleh syariat.”


PENJELASAN :

Ok. Bolehlah...walaupun ayatnya tergantung.


Untuk menjawab persoalan ini, kita memerlukan satu maklumat awal yang sangat penting. Tanpa maklumat awal ini, kita tak akan jumpa arah bagaimana hendak merungkaikan jawapannya.


Maklumat itu ialah..

Sefaham tuan, adakah menyembah berhala, menyembah Jesus, memakai seluar pendek bagi wanita di jalanan, dan memakan daging babi itu merupakan umumnya HAK YANG DIBENARKAN OLEH SYARIAT KEPADA YANG BUKAN ISLAM?


Jawapannya mudah je... ya atau tidak.


Daripada situ barulah senang nak dihuraikan jawapannya.



PENANYA :

...engkau dengan agama engkau, aku dengan agama aku...”

Itu yang saya pegang.


Cuma dalam perkara arak ini, saya tak nampak yang ianya baik untuk kita benarkan kepada yang bukan Islam kerana kita majmuk. Sedikit-sebanyak ia memberi tempias kepada kita orang-orang Islam.


Seperti contoh.. kemalangan jalan raya.



PENJELASAN :

Tak menjawab persoalan tu. Ye atau tidak je.


Adakah menyembah tokong itu HAK YANG DIBENARKAN OLEH SYARIAT KEPADA YANG BUKAN ISLAM.


Yang itu sahaja dulu.


Tentang pegangan kita, tak masuk lagi.

Tentang ia baik atau tidak, tak masuk lagi.

Tentang masyarakat majmuk pun tak masuk lagi.


Sebab kita nak luruskan terlebih dahulu agar HAK yang sedang kita bincangkan ini sama ke dengan HAK yang dimaksudkan oleh Takiuddin itu?


Kalau tak sama, sia-sialah perbincangan kita. Jadi, nak kena samakan dulu.



PENANYA :

(*Jawapannya) Ya.


PENJELASAN :

Kalau begitu, barulah jelas maksud HAK yang tuan maksudkan. Sama le dengan maksud Takiuddin tu.


Oleh kerana menyembah berhala, menyembah Jesus, menyembah tokong (yang semua ini lebih berdosa dan lebih berbahaya di sisi agama Islam berbanding minum arak), makan babi, pakai seluar pendenk bagi wanita di depan umum bagi orang-orang bukan Islam merupakan HAK YANG DIBENARKAN OLEH SYARIAT KEPADA YANG BUKAN ISLAM, maka... nampaknya sama sahajalah dengan kata-kata Takiuddin tu iaitu lebih kurang maksud kata-katanya MINUM ARAK MASIH MERUPAKAN HAK YANG DIBENARKAN OLEH SYARIAT KEPADA YANG BUKAN ISLAM.


Jadi, apa yang tuan nak tanya?

(*Sama sahaja nampaknya pegangan penanya dengan pegangan Takiuddin yang dipersoalkannya itu. Pelik juga.)



PENANYA :

...namun saya tetap berpendapat cara dan kaedah memberi masih perlu diperketatkan sehinggalah kepada pemansuhan. Dan kita sebagai sebuah negara Islam tidak boleh la pulak nak ambil untung daripada urusniaga arak tu... hanya sekadar benarkan mereka minum kerana itu hak, tapi apa yang berlaku dalam negara kita Islam hari ini ialah...kerajaan dah memperniagakan arak. Jadi, di mana kesuciannya Islam di negara kita ini?


PENJELASAN :

Isu 1. Cara dan kaedah memberi masih perlu diperketatkan.


Ulasan : Sangat setuju. Dan nampaknya yang ini memang sedang berjalan sedikit demi sedikit. Sekarang undang-undang penjualan arak semakin diperketatkan, sampaikan jadi isu le pulak, bahkan ada pula yang mahu dilonggarkan kembali termasuklah oleh yang beragama Islam pun ada. Bahagian ini nampaknya sama dengan pendapat tuan. Cantik.


Isu 2. Sehinggalah kepada pemansuhan.


Ulasan : Yang ini juga sangat setuju. Sama juga dengan pendapat tuan. Cantik.


Cuma dari segi logiknya, selagi negara kita :

a) tidak menggunakan SISTEM ISLAM (*keseluruhannya) sebagai SISTEM NEGARA dan SISTEM PERUNDANGAN NEGARA

b) dan selagi ORANG/PIHAK YANG MEMPERJUANGKAN perundangan Islam sebagai perundangan negara itu tidak dapat MENJADI YANG PALING BERKUASA DALAM NEGARA, sekalipun mereka TURUT BERKUASA tetapi BUKAN YANG PALING BERKUASA...


....rasanya tinggal harapan sahajalah. Hampir-hampir mustahil untuk dicapai, melainkan angan-angan kosong.


Untuk menjayakannya, kita sendiri kena berperanan berusaha berhabis-habisan untuk :

a) menjadikan SISTEM ISLAM (keseluruahnnya) sebagai SISTEM NEGARA dan SISTEM PERUNDANGAN NEGARA.

b) menjadikan ORANG/PIHAK YANG MEMPERJUANGKAN SISTEM ISLAM itu sebagai YANG PALING BERKUASA dalam negara ini.


Selama hari ini, setakat mana kita sendiri sudah mengusahakan dua perkara ini?


Isu 3. Hanya sekadar benarkan mereka minum kerana itu HAK.


Ulasan : Ok, tiada masalah. Kita benarkan. Itu hak (*sebagaimana pegangan penanya dan pegangan Takiuddin). Memang inilah yang berlaku selama hari ini pun di negara kita ini. Jadi, tiadalah ulasan lanjut.


Isu 4. Kerajaan perniagakan arak.


Ulasan : Itulah, sudah dikatakan... selagi dua perkara dalam point no. 2 tadi tidak menjadi kenyataan, rasanya hampir-hampir pasti hal ini akan berterusan dari dulu, kini dan selamanya walau siapa pun yang berkuasa dan PALING BERKUASA di negara kita ini.


Kita kena bina peranan kita sendiri untuk mencapai kedua-dua hal tersebut. Selama hari ini, sudah seberapa banyak kita berkorban untuk mendapatkan kedua-duanya?


5. Di mana kesuciannya Islam di negara ini?


Bab ini meluas skopnya.

Salah satu kesuciannya yang paling jelas ialah Islam menjadi sistem kepada negara ini dan pihak-pihak yang paling berkuasa itu ialah mereka yang berjuang mahu mendaulatkan Islam sebagai sistem negara ini. Jika ini berjaya, barulah lebih nampak kesucian Islam. Mengapa kesucian bahagian ini kita tidak pula kita uar-uarkan?


Namanya negara umat Islam, umat Islam paling ramai, pemimpin Islam paling ramai, tiba-tiba.... sistem negara dan perundangan negara bukan bukan yang (100 peratus) Islam tetapi yang Barat, yang universal dan yang bercampur-campur (termasuklah yang daripada Islam sedikit). Mengapa pada bahagian ini kita tak timbulkan pula isu “di mana kesuciannya Islam di negara kita ini”?


(*Bahagian ini ditimbulkan sekadar untuk menyeimbangkan cara memandang penanya, namun sudah tiada tanggapan selanjutnya daripada penanya)



PENANYA :

Surah Al-Maidah ayat 90.... Dalam ayat 90 ni, Allah rangkum sekali... arak, judi, berhala, nasib dsb dilarang... tapi dalam kenyataan Takiuddin tadi, dia kata arak boleh, judi tak boleh. Takiuddin kata tak ada agama yang membenarkan judi.


PENJELASAN :

A. Katanya (Takiuddin) : “Tiada agama yang membenarkan judi.”

B. Katanya juga : “Arak, sebahagian agama membenarkannya.”


Setakat yang saya tahu, memang tak ada agama yang membenarkan judi. Kalau saya ada terlepas pandang, wallahu’alam.


Tentang arak, sefaham saya, memang ada sebahagian agama yang membenarkannya.


Jadi, pada bahagian mana yang ada isunya?



PENANYA :

(*Memberikan satu video, yang saya tidak buka pun)

Boleh dengar semula kata-kata Takiuddin tentang perkara arak dan judi tu.


PENJELASAN :

Macam yang saya kata sebelum-sebelum ini le...saya tak buka video, tak dengar audio dan tak baca artikel yang diminta jawapan, kerana lebih 90 peratus penanya soalan tak tahu pun apa yang dia persoalkan. Melainkan jika si penanya tu cakap sendiri atau tulis sendiri apa yang dia nak tanya.


(*Contohnya si penanya sendiri. Dia mempertikaikan “hak” yang dikatakan oleh menteri itu, tetapi rupa-rupanya pegangannya tentang “hak” itu sama sahaja dengan pegangan pihak yang dipertikaikannya).


Selalu orang bagi kepada saya video puluhan minit dan ada yang sampai dua jam setengah, lepas tu dia tanya...

- Apa pandangan ustaz? Atau..

- Betul ke apa yang penceramah ni kata? Atau...

- Ustaz komen sikit.

Dan seumpamanya.


Muntah hijau le saya dibuatnya. Kita pulak yang jadi kerja nak tolong tonton dan tolong kupas. Almarhum. Hehe.


Melainkan si penanya menunjukkan yang dia faham tentang isi kandungan video, artikel atau audio itu dan menzahirkannya dalam bentuk kata-katanya atau tulisannya sendiri. Lepas itu barulah saya akan jawab berdasarkan soalan itu, kerana soalan itu menunjukkan pemahaman si penanya terhadap video, audio atau artikel yang disuruhnya kita semak itu.


Hari ini sahaja di facebook ada dua video dan satu artikel panjang, minta pandangan saya. Satu video tu 1 jam 40 minit. Minta maaf le. Tak terdaya nak membantu, melainkan si penanya keluarkan sendiri apa isunya dan apa yang hendak ditanya. Kalau tidak, arwah dah sahabat tuan ini (kerana lelahnya).



PENANYA :

Hi hi hi.

(*Soal jawabnya terhenti di situ sahaja. Maka tidaklah sahaya panjangkan lagi. Entahlah apa niat sebenarnya tiba-tiba bertanya tentang fiqh dan politik, kerana selama hari ini sahaya lebih berada di bidang 'aqidah dan tasawuf).


Abu Zulfiqar

26 November 2020

No comments: