Showing posts with label NOVEL. Show all posts
Showing posts with label NOVEL. Show all posts

Tuesday, January 10, 2012

Novel Islamik PANAH SIDI ARAB Bab 17

BAB 17 - Kematian

“Tu la Abang Man... Era dah cakap... tak mau ‘dating’ kat sini,” remaja wanita itu melepaskan perasaannya dengan suara terputus-putus, termengah-mengah. Dia masih berlari-lari anak di belakang temannya. Sesekali dia menoleh ke belakang. “Auww!” lagi pipinya tergores dek tumbuhan hutan. “Aduuhhh, sakitnya! Habis muka Era!”

“Lari terus Era! Yang penting... nyawa kita selamat!” balas temannya. Tangannya juga habis calar-balar menyelak tumbuhan untuk membuka laluan.

“Ni mesti... Tuhan marah kat kita ni bang!”

“Itu le... ‘dating’ tu kan maksiat?... Nasib baik tak mati!”

“Lepas ni tak mahu le ‘dating-dating’ dah bang... Era... takut le!”

“Ye lah... kalau Tuhan... selamatkan kita kali ni... lepas ni...tobat tak mahu ‘dating’ dah!”

Sudah sepuluh minit pemandu berbangsa Melayu itu meredah hutan kecil tetapi masih gagal mendapatkan orang-orang yang dicarinya. Nampaknya budak-budak itu sudah terlepas. Satu keadaan yang berbahaya, tapi apa boleh buat. Dia mengambil keputusan untuk berpatah balik, keluar ke padang peringatan.

Dari ekor matanya, si pemandu terperasan pepohon kecil di kanannya sejarak lebih kurang dua puluh meter bergoyang-goyang keras. Pasti budak-budak itu, fikirnya. Secepat kilat tubuh dan tangannya beralih ke arah rimbunan itu. Empat das tembakan dilepaskan ke arah itu. “Arghhhhh!” tembakan ke empat menemui sasarannya. “Yesss!” kata si pemandu agak kuat. Dia bergerak meredah hutan dengan pantas untuk melihat hasilnya.

“Oh, noo... Paul!” jerit si pemandu sebaik-baik sahaja tiba di rimbunan tempat dia melepaskan tembakan tadi. Tersandar di perdu pokok ialah rakannya si lelaki India. Bahu kiri lelaki India itu terkena tembakan. Pakaiannya di bahagian lengan dan dada dimerahi darah.

“Arghhhh!” Paul mengerang kesakitan. Peluru tidak bermata. Bahu kirinya dibaham keras sebutir peluru dari muncung pistol sahabatnya sendiri. “Deen, apa you sudah buat? You buta ka?”

“I’m very very sorry Paul. Memang aku tak nampak! Aku ingat diaorang tadi!” balas rakannya. Selepas meneliti luka Paul buat beberapa ketika, si pemandu mengangkat Paul lalu memapahnya keluar dari hutan kecil itu. Bersusah-payah mereka bergerak. Tiba di padang peringatan, Paul disandarkan ke salah sekeping batu peringatan itu, yang kebetulan tertera padanya nama ‘Paul’ juga. Ketika itu juga kenderaan mereka di tebing jalan menderum. Si pemandu mengangkat kepalanya melihat ke arah jalan. Kelihatan budak Cina yang mereka kejar tadi berada di tempat duduk pemandu. Kemudian kenderaan mereka meluncur laju lalu menghilang. Derumannya semakin sayup.

Marahnya si pemandu bukan kepalang. Habis segala sumpah seranah keluar dari mulutnya. Ditendangnya salah satu batu peringatan, terbelah dua dibuatnya.

@@@@@@@@@@

Sebaik-baik sahaja budak bertiga itu menghilang dalam hutan di kaki bukit, kenderaan besar pacuan empat roda tiba. Kenderaan itu berhenti di hadapan kereta Mitsubishi Galant berwarna putih. Dari kenderaan itu turun dua orang lelaki. Mereka kelihatan tergesa-gesa. Tanpa menoleh ke arah pasangan suami isteri di gigi air itu, mereka terus berlari-lari anak masuk ke jalan yang dilalui oleh budak-budak bertiga tadi. Di dalam kenderaan itu masih ada dua orang. Pedal minyak ditekan keras, berdesup kenderaan itu bergerak lalu membelok ke kanan, seolah-olah sedang mengejar sesuatu. Pasangan suami isteri di gigi air tadi berpandangan sesama sendiri. Mungkin mereka berasa bingung dengan keadaan kelam-kabut sebegitu.

@@@@@@@@@@

“Ni Piyan, aku nak pi bawah sat, nak kencing la pulak! Aku boh beg kat batu besaq ni ha,” kata Seman lalu meniti dari batu ke batu menghilir sungai. Lincah gerakannya.

“Ok,” jawab Piyan ringkas. Beg galasnya yang berisi peralatan memasak masih tergalas di belakangnya. Dalam beberapa saat bayang Seman pun hilang.

Air di lubuk membuak kecil. Terpacul kepala Khairi. Tercungap-cungap dia memenuhkan paru-parunya dengan udara segar. Dia cuba mencari Seman atau Piyan, tapi tidak kelihatan. Tiba-tiba matanya membulat. Tanpa berfikir panjang, cepat-cepat dia menarik nafas panjang lalu menenggelamkan tubuhnya ke dalam air kembali.

“Bamm! Bamm!” dua das tembakan menghentam Piyan yang sedang leka melihat aliran air dari arah belakang. Dengan sebutan “Allah!”, tubuh Piyan terdorong ke depan lalu jatuh tertiarap di atas batu-batu kecil di gigi air. Serta-merta air sungai bertukar menjadi warna merah. Tubuh Piyan diam tidak bergerak-gerak.

“Piyan! Ya Allah!” pekik Seman dari bawah. Sambil itu matanya mencari-cari arah punca tembakan. Ya, Seman sudah dapat. Dilihatnya dua orang lelaki bergerak pantas dari dalam hutan kecil menuju ke arahnya. Apa lagi, Seman berpaling lantas meluru turun ke arah hilir anak sungai. Begitu tangkas dia meloncat dari batu ke batu dan meredah anak-anak pokok.

Seman terdengar tiga das tembakan dari arah belakang, tapi tidak ada satu pun yang mengenainya. Zikir khafi Seman tidak terputus. Doa pun doa, usaha pun usaha. Ternyata dua orang lelaki itu bukan tandingan Seman yang penuh stamina. Semakin lama semakin jauh dia meninggalkan mereka.

Selepas meredah hutan, Seman tiba di jalan tar menuju ke empangan air besar di kaki Bukit Larut. Jalan rata menambahkan keyakinannya untuk selamat. Dia berlari sekuat-kuatnya agar dapat sampai ke jalan besar.

“Hangpa nak kejar aku kat sini ya? Sorry la brader! Jalan macam ni aku yang punya!” kata Seman dalam hatinya, berisi kegeraman. Tapi memang benar, kedua-dua orang pengejar berhenti termengah-mengah di jalan tar sebelum menyambung kejaran mereka, sedangkan larian Seman semakin kemas dan lancar.

“Allamak, apa pulak yang makcik dengan pakcik ni buat kat sini? Naya betoi la depa ni!” hati Seman bermonolog lagi ketika melihat pakcik berkopiah putih dan makcik berkain batik berdiri di jalan tar lebih kurang dua puluh meter di depannya. Pasangan suami isteri itu kelihatan tercangak-cangak menyaksikan Seman yang sedang berlari dengan bergayanya, seolah-olah sedang dalam satu pertandingan larian jarak sederhana.

“Pakcik, makcik, larghi!” pekik Seman. “Laghi pakcik, makcik, ada oghang jahat!” katanya lagi. Seman memperlahankan lariannya. Tiba sahaja di depan pasangan itu, Seman memegang tangan kedua-duanya lalu cuba menarik mereka untuk melarikan diri. Namun tangan Seman ditepis.

“Pakcik, makcik, bahaya! Baik laghi cepat!”

“ Dengar sini baik-baik!” kata si pakcik, tegas. Kedua-dua belah tangannya memegang bahu Seman. “Kamu boleh memandu kereta tak?” Seman terpinga-pinga, tapi dia mengangguk. “Baik. Sekarang pergi ke kereta saya, kunci kereta ada kat situ, ‘start’ kereta, dan tunggu kami datang.” Seman ternganga mendengar arahan si pakcik.

Sementara itu si makcik menyelak sedikit baju Kedahnya di bahagian belakang, memasukkan tangan kanannya, dan mengeluarkan sepucuk pistol. Nganga Seman bertambah luas, melebihi tahap maksima. “Pap!” muka Seman ditempeleng oleh si makcik. “Pergi sekarang kalau nak selamat!” Bagaikan terpukau Seman terus berlari menuju kereta putih milik pasangan itu.

Sebaik-baik sahaja Seman pergi, suami isteri itu mengambil tempat di kiri kanan jalan, dalam semak samun. Si pakcik turut mengeluarkan sepucuk pistol dari dalam bajunya. Mereka menanti penuh waspada.

Dua lelaki yang mengejar sudah datang. Ketibaan mereka disambut meriah oleh gerutu bunyi peluru dari kiri kanan jalan. Lelaki yang berada di hadapan terus rebah ke bumi. Rakannya di belakang membalas tembakan dengan dua pucuk pistol sekaligus. Pakcik makcik terpaksa merendahkan diri mencari perlindungan. Lelaki itu melihat temannya yang rebah berlumuran darah. Hendak dibawa lari memang mustahil. Kalau ditinggal dan tidak mati, tentu pecah rahsia. Mahu tak mahu dia terpaksa menamatkan riwayat temannya. Dengan satu tembakan di kepala, temannya terus diam bagaikan kayu. Kemudian dia terus menghujankan peluru ke arah pakcik makcik.

“Berundur!” arah si pakcik. Kedua-duanya bangun dan melepaskan beberapa das tembakan balas walaupun mereka tidak pasti kedudukan pihak musuh. Kemudian pakcik makcik berlari sekuat hati menuju ke kereta. Letupan pistol terus berbunyi di belakang mereka.

“Jalan terus!” arah si pakcik kepada Seman sebaik-baik sahaja masuk ke tempat duduk hadapan. Si makcik masuk melalui pintu belakang. Seman pun terus memecut walaupun dia kurang mahir memandu kereta.

@@@@@@@@@@

Perlahan-lahan muka Khairi muncul di permukaan air. Kali ini hanya bahagian mukanya sahaja yang bersentuhan dengan udara, kepala dan badannya masih berselimut air lubuk jernih kehitam-hitaman itu. Diperhatinya sekeliling dengan cermat. Lebih kurang dua minit juga dia mengapungkan dirinya begitu. Setelah tidak mengesan sebarang pergerakan ataupun bunyi yang mencurigakan, Khairi keluar dari lubuk. Berderai air berjatuhan dari badannya ke atas batu-batu sungai. Di tangannya ada busur sakti.

Tadi Khairi tidak jadi menimbulkan dirinya kerana dia ternampak dua orang lelaki berpistol susup-sasap di dalam hutan. Ketika dia menenggelamkan dirinya kembali, dia terdengar dua das tembakan. Entah siapa sasarannya.

Dengan terjengket-jengket Khairi menyusup masuk ke hutan kecil di hadapannya. Dia duduk bertinggung di sebalik rimbunan dedaun dan anak-anak pokok. Senyap. Matanya liar memerhati sekeliling. Tiada siapa. Sayup-sayup Khairi terdengar bunyi berbalas tembakan di kaki bukit. Perutnya yang sedia kecut bertambah kecut.

Lima minit berlalu. Khairi belum berani keluar. Badannya masih tergigil-gigil kesejukan dek air lubuk. Mulutnya kumat-kamit membaca ayat-ayat Al-Quran dan doa. Setelah berasa yakin, Khairi bangun dan memantau sekelilingnya. Dia berlari-lari anak lalu melompat ke atas sebiji batu besar. Dia ternampak sesuatu!

Khairi melompat turun ke tanah. Dia berlari ke satu arah. “Allahu Akbar! Piyan! Allahu Akbar!” Khairi segera mendapatkan tubuh Piyan yang tertiarap di atas batu-batu kecil. Sebahagian tubuh Piyan berada di dalam air yang kemerah-merahan. Khairi mengangkat badan Piyan lalu menyeretnya ke darat. Sahlah dua das tembakan yang didengarnya dari dalam air tadi mensasarkan Piyan.

“Innalillah.......”

@@@@@@@@@@

Novel Islamik PANAH SIDI ARAB Bab 16

BAB 16 – Pembantu Diburu

“Hei, sebenarnya haa... lu olang mau pigi mana?” tanya Ah Wai kepada Khairi dan kawan-kawannya yang sedang berbaring terlentang di bahagian belakang van. Bahagian belakang van itu memang biasa dikosongkan kerana ia digunakan untuk mengangkut kain. Bapa Ah Wai ialah pemilik kilang kain tempat Piyan bekerja. Ketika di sekolah menengah, Ah Wai pernah sekelas dengan Khairi. Hubungan mereka memang baik sejak zaman kanak-kanak sehinggalah sekarang. Van itu membelok ke kanan, masuk ke jalan di tepi padang bola Tupai, Taiping.

“Kita orang mau pergi ‘camping’ la Ah Wai. Boring la... sudah tiga hari duduk rumah. Mau keluar rumah pun tak boleh, polis tak kasi,” jawab Khairi.

“Aiyaa, itu la lu olang, selalu mau siasat siasat! Mau jadi James Bond! Itu pasai la ala olang jahat mau kasi lu olang mampui,” kata Ah Wai lalu tertawa kecil. Dia memang sedia maklum hobi budak-budak bertiga itu. Sejak kecil mereka suka merapak ke sana ke mari, kononnya menyiasat. Tapi tak pernahlah terlibat sampai sejauh ini, sampaikan melibatkan nyawa.

Perkenalan mereka bermula melalui permainan layang-layang ketika semua masih bersekolah rendah. Apabila tiba musim bermain layang-layang, kanak-kanak pelbagai kaum akan menaikkan layang-layang masing-masing. Meriah ruang udara Pokok Asam. Ketika itu sibuklah budak-budak membuat ‘benang kaca’. Benang tebal disalut dengan kaca tumbuk campur gam kayu campur telur dan diwarnakan mengikut kesukaan.

Setelah layang-layang berada di udara, pertarungan memutuskan sesama layang-layang sering berlaku. Keadaan ini disebut ‘cut’(potong). Kemahiran menarik dan menghulur benang, mengawal layang-layang dan tentunya ketajaman benang kaca masing-masing akan jadi penentu. Layang-layang yang terputus akan jadi milik sesiapa sahaja yang berjaya mendapatkannya.

Suatu hari ketika layang-layang Ah Wai di pekan Pokok Asam berada di udara, angin membawa layang-layangnya dekat dengan layang-layang Zali, budak Kampung Potong Pinang. Zali sangkakan layang-layang budak Cina Pokok Asam mahu ajak ‘cut’, dia pun menyauk layang-layang itu dengan layang-layangnya yang dijunamkan. Ah Wai pula tidak bercadang untuk ‘cut’ kerana layang-layangnya jenis yang susah untuk dibuat, dikenali sebagai wau burung. Layang-layang Zali pula hanyalah layang-layang biasa, rugilah kalau bertempur. Ah Wai cuba melarikan wau burungnya tetapi sudah terlambat. Benang kaca Zali yang terkenal sebagai yang tertajam di Kampung Potong Pinang sudah pun dihulur laju dan memutuskan benang wau burung Ah Wai. Apa lagi, budak-budak kampung dan anak-anak Cina Pokok Asam pun berkejaran ke arah jatuhnya layang-layang Ah Wai.

Layang-layang itu jatuh berhampiran sekolah Melayu. Yang mendapatnya ialah Atan, budak Kampung Aman. Belum lama Atan meraikan kejayaannya, sampai Ah Wai dan kawan-kawannya dengan berbasikal. Ah Wai pun menceritakan situasi sebenar dan meminta layang-layangnya kembali. Memang kalau mengikut undang-undang tidak rasminya, layang-layang yang terputus dalam ‘cut’ tanpa kerelaan masih kepunyaan tuan layang-layang.

Ketika Atan hendak memulangkan layang-layang itu, sampai pula Zali dengan budak Potong Pinang yang lain. Zali yang memang jenis panas baran terus merampas layang-layang itu lalu merenyuk dan mematah-matahkannya. Ah Wai turun dari basikal dan terus bertumbuk dengan Zali. Budak-budak lain sakan bersorak.

Kebetulan Khairi, Piyan, Seman, Selvam dan Ah Hock melalui simpang tiga di tepi sekolah Melayu itu. Mereka baru pulang dari ‘tikam’ poster Stallone Rambo di kedai beret panjang, berhampiran Masjid Pokok Asam. Dengan pantas Khairi turun dan meleraikan pergaduhan tersebut. Zali terpaksa berhenti kerana dia ada perasaan gerun sedikit dengan Khairi, saingannya sejak zaman sekolah tadika lagi. Khairi pun bersoal jawab dengan kedua-dua belah pihak.

Keputusannya... Khairi, Seman dan Ah Hock berkongsi duit membayar ganti rugi kepada Ah Wai. Mereka dapat kumpulkan enam ringgit, satu jumlah yang cukup besar pada awal tahun 80-an bagi kanak-kanak. Selepas mengucapkan terima kasih, Ah Wai dan kawan-kawannya beredar. Zali mencemuh sikap Khairi yang dianggapnya sebagai pengecut, tetapi tidak pula dia sanggup bertentang mata dengan Khairi.

Petang esoknya, Ah Wai dan kawan-kawannya berbasikal masuk ke Kampung Potong Pinang. Mereka mencari Zali di padang permainan berhampiran surau. Kecoh sekejap budak-budak, mereka sangkakan pergaduhan besar akan berlaku. Sebaliknya Ah Wai datang membawa dua buah wau kangkang yang agak besar sebagai hadiah kepada Zali dan Khairi. Zali yang berasa terharu terus menghadiahkan gulungan benang kaca pada tin di tangannya. Terjalin persahabatan antara kaum. Sejak itu jika layang-layang budak Melayu dan Cina berhampiran, mereka akan saling menghantar utusan untuk memastikan kedua-dua pihak mahu ‘cut’ atau tidak.

Van kekuning-kuningan itu melintasi Taman Tasik Taiping menuju ke kaki Bukit Larut.

“Ok, sikalang aaa lu olang boleh bangun maa. Tak dak olang la sini tempat. Sulah mau sampai pun,” umum Ah Wai. Budak-budak bertiga itu pun bangun.

“Lu banyak baik la Wai. Terima kasih banyak. Sori la susahkan lu,” kata Piyan.

“Talak apa maa. Kita sudah lama kawan. Lu olang pun sudah banyak tolong gua.” Sememangnya Ah Wai seorang yang baik hati. Dia menganut agama Kristian Unitarian, mengikut salah seorang abangnya. Walaupun keluarganya beragama Tao, tetapi perbezaan agama tidak mengganggu hubungan sesama ahli keluarga mereka.

Beberapa meter sebelum sampai ke simpang tiga kaunter tiket di kaki Bukit Larut, Ah Wai memberhentikan vannya di tepi jalan. Di kiri kanan jalan itu ada sungai kecil yang sering dikunjungi orang ramai pada hari-hari cuti. Oleh kerana hari masih awal, kawasan itu lengang sahaja.

Sebaik-baik sahaja Khairi dan kawan-kawannya turun, sebuah kereta Mitsubishi Galant berwarna putih dan kelihatan agak buruk datang dan terus berhenti di belakang van Ah Wai. Berdebar-debar juga dalam dada mereka. Dari dalam kereta itu, keluar sepasang suami isteri dalam lingkungan akhir 40-an. Si suami berkopiah putih, berbaju kemeja lengan pendek dan berseluar hitam. Isterinya pula bertudung, memakai baju seakan-akan baju Kedah tapi berlengan panjang dan berkain batik. Mereka tersenyum kepada Khairi dan kawan-kawannya. Senyuman mereka berbalas.

But belakang kereta putih itu dibuka. Suami isteri itu mengeluarkan barang-barang mereka.

“Nak berkelah rupanya,” bisik Seman kepada Khairi, berisi nada kelegaan. Khairi tersenyum meleret. Mereka menggalas beg masing-masing.

“Ok Wai! Terima kasih banyak!” kata Khairi kepada Ah Wai melalui tingkap cermin yang dibuka.

“Ok, ok! No problem! Nanti lagi dua jam gua mali sini angkat lu olang,” balas Ah Wai.

“Baik.”

Ketiga-tiga orang sahabat memerhatikan van itu bergerak dan mengambil simpang ke kanan. Dari arah belakang, terdengar bunyi deruman kenderaan. Besar bunyinya. Mungkin lori.

“Woih, ada kenderaan datang! Jom cepat, sebelum lagi ghamai orang nampak kita kat sini,” kata Khairi sambil melangkah menuju ke lorong kecil di sebelah kiri. Khairi sempat menoleh ke arah pakcik dan makcik yang sudah mengambil tempat di bawah sebatang pokok berhampiran gigi air. Mereka memerhati arah budak-budak itu. Hairan agaknya kerana budak-budak itu menuju ke dalam hutan.

@@@@@@@@@@

“Mesti nak kena teghejun daghi ataih dahan pokok tu jugak ka?” tanya Piyan kepada Khairi. Khairi sudah pun melepaskan beg galasnya dan bersedia untuk memanjat pokok yang dahannya merentangi atas anak sungai itu.

“Ya la. Lubuk tu dalam. Kalau menyelam daghi bawah ni, takut tak cukup napaih,” jawab Khairi sambil membetul-betulkan urat dan otot tubuhnya.

“Buatnya kat dalam tu ada ulaq sawa melingkaq...” usik Seman.

“Hoi, hang doa la yang baik-baik!” balas Khairi. Gerun juga dia mendengar usikan Seman tu. Lubuk tu sudahlah dalam, gelap pula airnya. Buatnya ada ular sawa betul di dalam tu...

“Cuba hang teghejun tighuk tengok Khairi,” usik Seman lagi.

“Nak mampoih buat la! Lubuk tu bukan besaq mana! Hang nak sughoh aku berenang mengundoq ka naik ke ataih balik?” Mereka semua tertawa kecil. Khairi terus memanjat batang pokok itu. “Hangpa tengok-tengok sama... kot-kot la si mat saleh botak tu mai.Manalah tau,” Khairi memperingatkan.

“Huh, kalau dia mai... aku hempuk kepala dia dengan batu! Lepaih tu aku pegang kepala dia, aku taghik lubang hidung dia daghi ataih, aku cungkei naik biaq terkoyak hidung mancung dia tu,” balas Piyan, dengan gaya-gayanya sekali.

“Nih tuan tabib, cakap la besaq lagi! Cakap la!” balas Seman, tapi sebenarnya dia tertawa juga mendengar jenaka Piyan. “Satgi..kena macam kat Bukit Naga dulu... baghu hang tau langit tinggi ghendah,” Seman mengingatkan pula. Mereka tertawa bersama-sama.

“Kecebum!” bergolak air di lubuk apabila tubuh sasa Khairi menjunam masuk dengan didahului bahagian kakinya. Permukaan air berkocak kuat dan menghasilkan buih-buih sementara selepas tubuh Khairi hilang ditelan air sungai. Ikan-ikan tengas yang sedang berenang melawan air di sekitar itu pun bertempiaran melarikan diri.

@@@@@@@@@@

Ah Wai memandu dengan tenang. Telinganya melayan lenggok lagu kumpulan Beyond yang menghambur keluar dari radionya. Jalan keluar dari kaki Bukit Larut ke Taman Tasik Taiping itu agak lengang. Jalannya pula lurus. Jadi Ah Wai memandu ala lenggang kangkung sahaja.

Tangan kanan Ah Wai menarik turun cermin pandang belakang. Melalui cermin itu dia meneliti rantai emas leper selebar jari kelingking orang dewasa yang melekap di lehernya. Dia tersenyum puas. Rantai itu baru dibelinya semalam menggantikan rantai lamanya. Hampir tiga ribu ringgit harganya.

Ah Wai membetulkan semula cermin pandang belakang itu ke posisi asalnya. Sekilas itulah Ah Wai ternampak sebuah kereta pacuan empat roda yang besar ragam datang dari arah belakangnya dengan lajunya. Dalam masa tidak sampai dua saat itu, van Ah Wai sudah dirempuh dari belakang dengan kuatnya. Ah Wai tidak dapat mengawal vannya lalu van itu terlencong melulu ke padang rumput di kiri jalan. Vannya hampir-hampir terbalik ketika ia berhenti di tepi batu-batu peringatan.

Kenderaan pacuan empat roda itu berpatah balik lalu berhenti di tepi jalan, kira-kira dua puluh meter dari van Ah Wai. Dari sebelah tempat duduk pemandu, keluar seorang lelaki India, dengan pistol di tangan. Pemandunya yang bercermin mata hitam tidak keluar tetapi memandang tepat ke arah van Ah Wai.

Nampak sahaja pistol di tangan lelaki India itu, Ah Wai terus merendahkan dirinya ke kusyen. Tindakannya memang tepat dengan ketikanya. Sambil berjalan ke arah Ah Wai, lelaki India itu melepaskan beberapa tembakan. Bahagian van yang terkena tembakan itu habis berlubang. Cermin pintu bahagian pemandu pecah berderai dihentam peluru. Tayar depan van Ah Wai juga meletup terkena tembakan.

Setelah betul-betul hampir, lelaki India menyuakan pistolnya melalui tingkap yang sudah tidak bercermin untuk menamatkan kerjanya. Terkejut betul dia kerana Ah Wai tiada di situ. Pintu van sebelah sana terbuka. Kelihatan Ah Wai berlari tunggang-langgang di celah-celah batu peringatan menuju ke arah tugu salib besar di hujung padang. Padang itu dipenuhi batu-batu peringatan yang mengandungi nama-nama orang-orang yang terkorban pada era Perang Dunia. Batu-batu itu disusun dalam barisan. Ia kelihatan seakan-akan kawasan perkuburan orang-orang Kristian, tetapi sebenarnya tidak ada mayat pun dikebumikan di situ, hanya batu tanda kepada mereka yang hilang.

Lelaki India itu dengan berangnya terus mengatur langkah mengejar Ah Wai. Sambil mengejar, sambil melepaskan tembakan. Dua buah batu peringatan pecah terkena tembakannya.

“Aiyaaa!” Ah Wai terus berlari terbongkok-bongkok. Dia tiba di tugu salib besar di hujung padang. “Aiyaaa!” sekali lagi ‘aiyaa” terkeluar dari mulut Ah Wai kerana di sebalik tugu itu terdapat sepasang remaja sedang duduk berhimpit-himpit ketakutan. Pastinya mereka kecut habis selepas mendengar tembakan bertalu-talu dan ternampak adegan kejar-mengejar . Ini mesti kes berdua-duaan ni, fikir Ah Wai.

“Lu olang sini pun bikin plojek aaa? Aiyaa!” kata Ah Wai lalu menyelinap ke dalam hutan kecil.

Lelaki India tadi tiba di belakang tugu salib besar. Dia juga terperanjat melihat sepasang remaja sedang berpelukan. Pucat lesi muka mereka. Lariannya dihentikan. Dia berpatah balik ke arah pasangan remaja itu. Mereka saksi yang kuat akan persitiwa yang sedang berlaku. Saksi tidak boleh disimpan. Saksi mesti dihapuskan. Apatah lagi saksi-saksi itu sudah melihat wajahnya dengan jelas.

Dalam jarak lima meter, muncung pistol dihalakan ke arah muka remaja lelaki.

“Tolong encik, jangan bunuh kami!” terkeluar kata dari mulut remaja lelaki, tetapi jari telunjuk lelaki India itu terus bertindak. “Klik!” Satu kali. “Klik! Klik” Tiga kali. Peluru habis!

Remaja lelaki bingkas bangun. “Lari Era!” tegasnya sambil menarik tangan pasangannya. Masa yang diperlukan oleh lelaki India untuk mengisi peluru dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Kedua-dua orang remaja itu berlari ke arah hutan kecil di kiri padang.

Pemandu kenderaan pacuan empat roda itu nampak situasi di hujung padang, di tugu salib besar. Dengan pantas dia turun dari kenderaannya dan terus berlari laju mengejar budak-budak tadi. Di tangannya juga terdapat sepucuk pistol. Hentakan tapak kakinya membenamkan rumput-rumput yang terpijak.

Kedudukan pasangan remaja itu agak jauh. Si pemandu teragak-agak untuk melepaskan tembakan. Mereka berjaya masuk ke dalam hutan di kiri padang, susup-sasap dan terus menghilang. Si pemandu menghentikan lariannya. Dia mengalihkan pandangannya ke arah tugu salib besar. Sahabatnya sudah tidak kelihatan. Dia pasti sahabatnya sedang menjejak budak Cina yang memandu van tadi. Dia mengambil keputusan untuk mengejar pasangan remaja.

@@@@@@@@@@

Friday, December 16, 2011

Novel Islamik PANAH SIDI ARAB bab 15

BAB 15 – Serang-menyerang

“Kita mesti hormati dan sayangi guru-guru kita, lebih-lebih lagi guru-guru agama,” ujar Ustaz Abu kepada isteri dan anak-anaknya. Malam itu majlis usrah keluarga mereka. Sesekali dalam seminggu Ustaz Abu peruntukkan satu malam khusus untuk liqa’ dan tarbiyyah keluarganya. Pada malam-malam lain, dia hanya mengadakan majlis taklim ringkas kerana dia pun ada usrah lain yang perlu dikendalikan, baik usrah dewasa mahupun usrah remaja. Selain itu, dia juga mengajarkan kitab di masjid dan surau.

“Manusia ialah makhluk yang paaaling mulia di bumi Allah ini, dan yang paaaling mulia pada diri manusia ialah hatinya,” sambung Ustaz Abu. “Hati yang dimaksudkan di sini bukanlah daging hati ataupun daging jantung kita ini, tapi... hati yang kita tidak boleh nampak, yang berkait dengan ruh, fikiran, perasaan, jiwa, akal dan lain-lain itu.”

“Guru-guru agama... melakukan kerja yang paaaling mulia. Kerana apa? Kerana mereka mentarbiyyah perkara yang paaaling mulia pada makhluk yang paaaling mulia. Apa dia yang paling mulia pada makhluk yang paling mulia?”

“Hati,” jawab Syakirah, yakin.

“Alhamdulillah, syukur! Betul jawapan kakak. Begitulah lebih kurang huraian Imam Al-Ghazali dalam kitaaab...? Kitab apa yang abi ajar di surau tu dik?”

“Kitab Ehyalumuden,” jawab Zulfaqar.

“Ihya’ ‘Ulumiddinnn,”pintas kakaknya membetulkan.

“Oleh itu, jasa guru-guru kita khususnya yang menurunkan ilmu agama kepada kita... hendaklah kita kenang dan hargai. Terima kasih guru... Maafkan salah silap saya guru... Halalkan segala ilmumu guru... Doakan saya guru...” sambung Ustaz Abu lagi. “Adakah sebegini adab kita dengan guru-guru pentarbiyyah hati kita?”

“Kadang kala, dari sudut-sudut tertentu... guru-guru agama kita lebih besar jasanya kepada kita berbanding ibu bapa kita sendiri.”

“Macam mana boleh jadi begitu abi?” tanya Syakirah.

“Kebanyakan ibu bapa, lebih mengambil berat dan risau akan keselesaan hidup anak-anak mereka di dunia. Kalau boleh... mereka hendak beri apa sahaja yang terbaik untuk anak-anak mereka di dunia ini. Pada hal hidup di dunia saaangatlah sekejap, sekadar tujuh puluh lapan puluh tahun. Tetapi itulah yang ibu bapa risaukan sangat-sangat. Pelbagai usaha dilakukan untuk memastikan anak-anak mereka mendapat yang terbaik di dunia yang sangat sekejap ini. Sebaliknya, guru agama pula... dia lebih mengambil berat dan risau akan keselesaan hidup anak-anak muridnya di akhirat, yang berjuta-juta tahun itu, yang selama-lamanya itu. Mereka akan berusaha sedaya upaya untuk mencerahkan peluang anak-anak didik mereka mendapat keselesaan hidup di akhirat.”

Ustaz Abu mencapai terjemahan kitab Ihya’ ‘Ulumiddin di atas meja kecil di sebelah kanannya. Dia menyelak beberapa halaman. Dia berhenti pada halaman 213, kemudian dia membaca : “Kerana itu, hak seorang guru adalah lebih besar besar daripada hak ibu bapa. Ibu bapa menjadi sebab lahirnya anak itu dan dapat hidup di dunia yang fana ini. Sedangkan guru menjadi sebab anak itu memperoleh hidup kekal. Kalau tidak adalah guru, maka apa yang diperoleh si anak itu daripada orang tuanya, dapat membawanya kepada kebinasaan terus-menerus.”

“Guru yang dimaksudkan di sini... ialah guru yang mentarbiyyah hati menunju ke arah Tuhan, khususnya guru-guru agama.”

“Susah di dunia tapi selesa di akhirat, adalah jauhhh lebih baik daripada selesa di dunia tapi susah di akhirat.”

“Sungguhpun begitu, kita mestilah berusaha agar dapat hidup selesa di dunia dan selesa di akhirat. Jangan pula kita membuang terus dunia.” Ustaz Abu menarik nafas panjang, dalam-dalam, lalu dilepaskannya perlahan-lahan.

“Untung le kami abi, ummi. Sebab... abi dengan ummi ialah ibu bapa kami. Dan... abi dan ummi juga guru rohani kami,” celah Syakirah.

“Alhamdulillah,” balas Ustaz Abu lalu mencium dahi Syakirah, dan kemudiannya dahi Zulfaqar.

Ustaz Abu mengalihkan perhatiannya kepada isterinya Sarina. “Kenapa Rina?”

“Entahlah bang. Rasa sakit sangat dalam dada di. Bukan sakit...tapi... peeedih sangat, macam kena sayat dengan pisau,” jawab Sarina. Tangan kanannya masih mengurut-urut bahagian dada.

“Pedih macam mana?” tanya Ustaz Abu lagi. Berkerut sedikit dahinya.

“Tak tahu le nak cakap bang, tapi...pedih le.”

“Sejak bila pedihnya?”

“Masa maghrib tadi dah mula rasa pedih dah. Saya doakan segelas air, saya minumle. Tapi makin lama makin pedih pulak. Sekarang ni pedih sangat rasanya.”

Ustaz Abu terdiam sebentar, berfikir. “Rina ada hidang makan minum ke kepada pompuan dua orang tadi?”

“Ada. Air kopi dengan bihun sup.”

“Rina makan sekali ke?”

“Tak, minum je.”

“Abang rasa Rina kena racun ni,” kata Ustaz Abu. Wajahnya serius.

“Kena santau ke bang?”

“Boleh jadi. Kita berhentilah usrah kita malam ni. Syakirah, tolong ambil minyak penawar racun kat dalam beg rawatan abi. Zul, buah kelapa muda yang abi petik pagi tadi ada lagi tak?”

“Tak ada. Adik dengan kakak habiskan petang tadi sebijik. Sebijik lagi kami hantar ke rumah opah,” jawab Zulfaqar.

“Macam nilah Rina. Malam ni abang ruqyah minyak penawar racun, Rina minum satu sudu. Lepas tu sapu di dada, leher dan belakang badan. InsyaAllah esok abang buatkan penawar santau dengan air kelapa muda.”

“Syakirah. Syakirah ada wudhuk lagi tak?” Syakirah mengangguk. “Syakirah buat solat sunat dua rakaat, dan doakan minta keluarga kita, terutamanya ummi selamat daripada segala bahaya.”

“Baik abi.” Syakirah terus mengambil tindanan sejadah yang digunakan untuk melapik Al-Quran ketika usrah tadi. Diambilnya sehelai. Dibentangkannya di ruang tamu lalu terus mengangkat takbir.

Ustaz Abu meletakkan botol minyak penawar racun ramuan Tabib Haji Ismail itu di hadapannya. Dia membacakan ayat-ayat suci Al-Quran selama lebih kurang lima minit. Kemudian minyak itu diserahkan kepada Sarina.

“Kenapa abi? Siapa yang racun ummi?” tanya Zulfaqar. Perlahan sahaja suaranya.

“Makcik-makcik yang datang tengah hari tadi,” sampuk kakaknya yang baru selesai berdoa.

“Isy, apa le kakak ni? Kita tak tahu lagi siapa yang buat. Belum ada bukti. Cuma, ada kemungkinan mereka yang buat,” balas Ustaz Abu.

“Adik nampak makcik tu tadi,” kata Zulfaqar pula.

“Bila?” tanya Ustaz Abu, kehairanan.

“Masa kita usrah tadi.”

“Masa kita usrah tadi?” serentak pertanyaan keluar dari mulut Ustaz Abu dan Syakirah.

“Iyeee. Adik nampak dia keluar dari bilik ummi. Lepas tu dia berjalan pergi ke dapur.”

“Eh, hang ni biaq betoi pakcik oi! Makcik-makcik tu dah lama balik tengah hari tadi oi!” kata Syakirah, memperkonon adiknya.

“Betul le! Adik nampak! Dia tutup kepala dia dengan kain batik.”

“Adik nampak dia melintas dari bilik ibu ke dapur?” tanya Ustaz Abu lagi.

“Betul bi,” jawab anak kecil itu.

Ustaz Abi termenung seketika. Pelik, fikirnya. Mereka berusrah dekat benar dengan pintu bilik tidur, tapi hanya Zulfaqar sahaja yang nampak.

“Rina.”

“Ye bang?”

“Tadi ada pompuan-pompuan tu sentuh anak-anak tak?”

“Zulfaqar ada le. Dia kan terlebih ramah? Kakak dia pemalu, duduk jauh.”

“Apa yang diorang buat?”

“Salah sorang tu usap-usap kepala Zulfaqar ni. Banyak kali jugak dia buat macam tu.”

“Syakirah,abi nak minta tolong lagi le. Kakak ambilkan air kosong saju jag, lepas tu kakak bacakan ayat-ayat ruqyah. Abi nak ruqyah adik kejap.”

Ustaz Abu tidak ada banyak masa. Lagi pula dia memang agak letih malam itu. Dia membenteng dirinya dengan salam ke atas para nabi Ulul Azmi, kemudian dia meletakkan tangannya di atas ubun-ubun Zulfaqar. Dia terus mulakan dengan ayat-ayat pembakar daripada Al-Quran, diakhiri dengan Selawat Ibrahimiyyah dan Selawat Syifa’. Tidak ada sebarang reaksi daripada Zulfaqar.

“Sekejap lagi adik minum sikit air yang kakak buat ye,” pesan Ustaz Abu kepada anak lelakinya itu.

Ustaz Abu bangun dan berdiri di tengah-tengah rumah. Dia menyuarakan tiga kali ancaman, setiap satunya berselang dalam tempoh masa tertentu. Sambungnya lagi, “Baiklah, aku sudah beri amaran sebanyak tiga kali. Jika selepas ini aku dapat tahu kamu semua masih di sini, jangan salahkan aku atas apa yang terjadi.” Terus Ustaz Abu melaungkan azan tetapi tidaklah kuat.

Sarina memerhati sahaja perlakuan Ustaz Abu dari tempat duduknya. Habis azan, mulut Ustaz Abu terkumat-kamit membacakan sesuatu. Kemudian Ustaz Abu melepaskan jentikan jari telunjuknya ke udara. Dua kali dia berbuat demikian. Syakirah tahu, Ustaz Abu secara ma’rifat sedang memberi amaran awal kepada para penyihir terbabit.

@@@@@@@@@@

“Addooooiiiii!” terpacul keluar dari mulut Hashina. Kedua-dua belah tangannya memegang bahagian hidungnya.

“Hah, awatnya tu?” tanya kakaknya dari dalam bilik.

“Sakit betoi la hidung oghang, macam nak patah batang hidung!” jawab Hashina. Air matanya bercucuran turun.

“Awatnya hang ni? Hang teghantuk apa?” suara Hashima yang berdiri di muka pintu bilik.

“Tak tau la kak oi. Tiba-tiba ja.”

“Jangan-jangannn....” Hashima menduga-duga...

“Pasai apa kak?” tanya Hashina sambil mengesat air mata dan air liurnya dengan tisu.

“Hah, hang kenapa pulak?” jerkah Hashima ke sebelah kirinya. Tidak ada orang di situ.

...............................................

“Ooo... celaka punya Ustat Abu Zulfaqar! Beghani dia main pukoi-pukoi daghi jauh pulak!” kata Hashima penuh geram. “Oi, Shina! Hang mesti tak pasang ‘bodyguard’ tadi. Betoi dak? Aaapa la hang ni? Ada ‘bodyguard’ tak pasang betoi-betoi! Hang tau dak, Ustat Abu yang seghang kita tadi. Dia bagi amaran la kononnya tu, supaya kita jangan kacau dia lagi. Peeraaah!”

Celotehnya di sambung lagi. Tadi tu baru muqaddimahnya. “Nasib baik aku aku dah pasang Si Koyeng ni. Kalau dak, kemik hidung aku dijentik Ustat Abu. Hang pun Koyeng, kena jentik hidung pun boleh tumbang ka?”

...........................................

“Hahahaha! Padan muka hang!”

“Koyeng kata apa kak?”

“Koyeng ni kata, jentik telunjuk Ustat Abu tu mai besaq batang pokok pinang! Patut la kawan terpelanting! Hahahaha.” Hashina turut tersengih mendengar penjelasan kakaknya.

“Jah Kemuah hang pi mana Shina?” tanya Hashima.

“Laa...kakak jugak yang sughoh saya hantaq pi mengacau kat ghumah Ustat Abu?”

“Adoii... lupa la pulak aku! Patut la hang tak dak ‘bodyguard’. Hang pun ... kalau dah tau macam tu, awat tak pasang yang lain?” Hashina diam sahaja.

“Hah, dah balik pulak! Oi, Jah! Shina hantaq hang pi sana, awat hang balik ni?”

......................................................

“Eeleh... Pak Abu tu bagi amaran kosong ja pun, hang dah laghi balik?” bebel Hashima lagi. “Bongok la hang ni!”

“Ni Jah... Tok Cuat apa ceghita?” tanya Hashima ke arah ruang kosong di depannya.

...................................

“Paaatut la tak dak habaq beghita. Ghupa-ghupanya Ustat Abu dah pemati duit syiling tempat Tok Cuat tu menumpang,” kata Hashima kepada adiknya. “Dah tu bukan gheti nak balik. Pi meghayau la tu. Aku nak panggey dia balik. Lepaih tu, aku nak tambat kat pokok jambu belakang ghumah tu. Biaq dia bekawan dengan keghengga. Bengap punya jin! Oi, Jah Kemuah! Lebih baik hang pegi balik ghumah Ustat Abu. Satgi aku luku... berlubuk kot kepala hang!” Marah betul Hashima.

Hashima berjalan ke arah ruang tamu. Ada dua orang remaja lelaki dan dua orang remaja perempuan. Tiba di sofa satu, Hashima menghempaskan tubuhnya.

“Apa hal mahaguru? Riuh aje dengar?” tanya salah seorang remaja lelaki, takut-takut.

“Tak ada apa-apa!” jawabnya, mencuka. Anak-anak ‘usrah’nya tidak lagi berani bersuara.

@@@@@@@@@@

Thursday, December 15, 2011

Novel Islamik PANAH SIDI ARAB bab 14

BAB 14 - Permainan Ghaib

Di Pulau Pinang ini Al Mayonis lebih selamat. Di sini ada ramai pelancong asing yang terdiri daripada mat-mat dan mek-mek saleh. Ke mana-mana pun dia pergi, dia tidak jadi tumpuan orang. Apatah lagi sekarang dia memakai rambut palsu. Kad pengenalan diri? Juga yang palsu dan baru siap dua hari lepas.

Sudah tiga hari dia melarikan diri dari Trong ke Pulau Pinang ini. Semua kecederaan di tubuhnya sudah dirawat dengan baik dan sedang dalam pemulihan, cuma bekas gigitan anjing di kakinya yang dijangkiti kuman. Kepalanya masih berdenyut sakit. Sebelah matanya masih kurang jelas memandang.

Kini Al Mayonis tinggal di salah sebuah rumah temannya, seorang wakil rakyat di Pulau Pinang. Temannya itu bertaraf darjah ke-25 dalam Nosameerf dan mempunyai hubungan baik dengan beberapa orang tokoh penting yang bernaung di bawah kongsi gelap Itanimulli. Pihak berkuasa tidak akan mengesyaki keberadaannya di situ.

Baru sebentar tadi dia dikunjungi oleh dua orang wanita bertudung litup dan berjubah serba hitam. Hashima dan Hashina. Begitulah nama panggilan mereka. Dari segi penampilan, kelihatan mereka berdua seperti dua orang muslimah yang cantik, bersopan santun dan lemah lembut. Tetapi di sebaliknya ...

“Seratus ribu ringgit untuk Ustaz Abu... dua puluh ribu setiap seorang untuk isteri dan anak-anak dia... seratus ribu ringgit untuk itu Piyan... dan seratus ribu ringgit untuk itu Seman,” kata Al Mayonis kepada kedua-dua orang wanita di hadapannya.

“Khairi Fatwa?” tanya Hashima.

“Dia tidak boleh mati! Kalau dia mati, saya punya kerja langsung tidak ada guna lagi. Kalau kamu orang berjaya bawa dia ke sini hidup-hidup.... dua ratus ribu ringgit,” umum Al Mayonis sambil mengangkat keningnya. “Semua sekali ... lima ratus enam puluh ribu ringgit. Lebih setengah juta.”

“Wow, harga yang sangat menarik tu tuan! Belum pernah kami dapat tawaran sebesar ini, walaupun kami diminta membunuh... ataupun menyeksa ahli-ahli politik, atau jutawan penting,” kata Hashima. “Sebenarnya... kami bakal berkhidmat dengan siapa ni tuan? ‘Besar’ bunyinya ni?” tanyanya pula dengan nada menduga.

“He he he. Kamu orang tidak perlu tahu. Sekarang saya beri wang pendahuluan sebanyak tiga puluh ribu ringgit seorang. Selesai kerja, saya bayar lagi lima ratus ribu ringgit. Tapi jumlah itu akan berkurangan, bergantung kepada sejauh mana kejayaan kamu orang.”

“Kami faham, kami faham,” sahut Hashina sambil tersenyum dan menjeling ke arah kakaknya, Hashima.

“Dengar kata orang....kamu orang tak pernah gagal?” tanya Al Mayonis.

“Hmm... bolehlah dikatakan begitu,” jawab Hashima.

“Apa maksud kata-kata kamu itu?”

“Memang kami tak pernah gagal mencelakakan orang. Sudah lebih sepuluh tahun kami buat kerja-kerja macam ni. Tapi dalam tiga empat tahun lepas, kami pernah gagal menyantau satu orang. Haji Majid nama dia. Santau gagal, pukul jarak jauh gagal...”

“Hantar ‘sahabat-sahabat’ kami pun gagal,” sampuk Hashina.

“Bahkan... dia pulangkan balik serangan santau kami. Teruk jugak adik saya ni kena. Enam bulan baru baik sepenuhnya.Tinggal isi dengan kulit je,” sambung Hashima.

“Dah tu... kami punya sahabat pun lesap entah ke mana dua ekor,” sampuk Hashina lagi.

“Wow, cerita yang menakjubkan!” puji Al Mayonis.

“Tuan tak percaya ke?” tanya Hashima.

“Owh no, no,no, no, no! Kalau Raffles, Light, Crawfurd, Maxwell, Rodger dan lain-lain percaya hal-hal sebegini... mengapa saya mesti menolaknya? Sudah tentu saya percaya,” balas Al Mayonis.

“Err... maaflah tuan, kami ni sekolah tak tinggi. Kami tak tahu pun nama-nama yang tuan sebutkan tu. Tapi Francis Light tu pernah le dengar.”

“Oh, tidak mengapa! Ha ha ha ha. Mereka ini... tokoh-tokoh Inggeris zaman dahulu, yang begitu besar jasa mereka dalam memajukan nusantara ini. Apa yang saya cuba sampaikan tadi... kalau orang Barat zaman dahulu pun percaya, orang Barat zaman sekarang seperti saya pun tentulah percaya. Lagi pula saya beragama Islam,” jelas Al Mayonis.

Hashima dan Hashina mengangguk-angguk, mengiyakan kata-kata Al Mayonis.

“Stamford Raffles dengan John Crawfurd, pernah cuba saling membunuh. Mereka upah orang Melayu. Secara kebetulan kedua-dua orang Melayu ini berkenalan dalam perjalanan. Selepas mendapat tahu tujuan masing-masing, mereka pun beradu senjata. Dua-dua orang pun mati.”

“Kenapa mereka nak bunuh satu sama lain? Kan dua-dua orang pun bekerja untuk Inggeris?” tanya Hashina.

“Sebenarnya mereka berebutkan hikayat-hikayat Melayu. Ada banyak rahsia dalam hikayat-hikayat Melayu tau. Salah satu yang mereka kaji... ialah ilmu-ilmu ghaib alam Melayu. Kemuncak perbalahan antara mereka berlaku ketika mereka berebutkan Hikayat Banjar, yang diambil dari Sultan Pontianak.”

“Hi hi hi. Sultan Pontianak pun ada ke tuan?”

“Hahahaha! Bukan Pontianak yang itu. Ini Pontianak... nama satu kesultanan di Kalimantan.” Mereak sama-sama tertawa lagi.

“Mmm... baiklah tuan Ali. Kalau dah tak ada apa-apa lagi, kami nak beredar,” kata Hashima.

“Oh, ya!” Al Mayonis yang kini menggunakan nama Ali Watson mengeluarkan mengambil dua sampul tebal di sisinya. Sampul-sampul itu diletakkan di atas meja. “Sixty thousand ringgit, cash!” katanya. Dengan pantas kedua-dua orang tukang sihir adik-beradik itu menyambar sampul masing-masing. Mereka menjenguk ke dalamnya. Masing-masing tersengih lebar.

“Ok tuan, kami mintak diri,” kata Hashima.

“Errr... tak mahu kira dahulu?” tanya Al Mayonis.

“Eh, tak pe! Kami yakin dengan Tuan Ali.”

“Ok.”

Kedua-dua orang tukang sihir itu berjalan pergi.

“Aku bukan tak mau duduk lama lagi Ina, tapi... nanti lagi panjang pulak syarahan mat salehkeh muallap tu. Kita bukannya tu sangat pasai-pasai sejarah ni.”

“Betoi tu kak. Kita ni kalau pasai-pasai menyantau, menyantet, menuju-nuju...apa lagi ye...” kata Hashina.

“Memukau, menyembelih, mengerat lapan belas.... kita tau la,” sambung Hashima.

“Hahahahaha!” mereka tertawa mengilai.

@@@@@@@@@@

“Kalau adik nampak lagi atuk botak tu... adik nak lastik kat mata dia. Biar dia buta,” kata Zulfaqar. Dia menenang sebatang pokok pisang yang terletak lebih kurang lima belas meter darinya. Getah lastik ditariknya panjang-panjang, kemudian dengan lafaz Bismillah, dia melepaskannya. Biji gulinya meluru laju bak peluru ke batang pisang pilihannya. Kena! Meletup bunyi batang pisang dihentam guli, tetapi tidak tepat pada sasaran. Sasaran Zulfaqar ialah dua kertas bulat besar sedikit daripada duit syiling lima puluh sen yang dilekatkannya ke batang pisang dengan jarum tudung ibunya. Dua kertas bulat itu disusunnya rapat seolah-olah dua biji mata manusia.

“Kalau kakak pulak kan, kakak nak cucuk bontot dia dengan tiga dart sekaligus,” kata Syakirah pula.

“Hi hi hi hi! Mesti dia terangkat macam roket kan kak?” Kedua-dua adik-beradik itu tertawa panjang.

“Sudahlah tu kakak,adik. Tak payah harap-harap macam tu. Lebih baik kita berdoa, mintak Tuhan jangan temukan kita dengan orang tu lagi. Lagi selamat,” kata Sarina pula. Dia baru selesai menjemur pakaian di ampaian. Zulfiqar memerhati sahaja ibunya melintasi mereka menuju ke pintu dapur.

“Kesian kat ummi kat kak? Pipi ummi warna hijau lagi.”

“Ye le, penumbuk atuk botak tu ‘power’ tu! Sampai hari ni pun pipi ummi dok lebam lagi,” balas kakaknya. “Adik doa tak minta Tuhan bagi ummi baik cepat?”

“Doa!”

“Bagusss adik kakak!”

“Rinaaa! Ooo Rinaa!” panggil Ustaz Abu dari atas rumah.

“Kenapa bang?”

“Ni ada orang datang ni! Pompuan! Mai la tengok ni!”

“Siapa pulak yang datang tengah hari macam ni?” cetus mulut Sarina dengan nada mengeluh dan mempersoal. Dia memijak anak tangga satu persatu dan tiba di ruang tengah rumah. Terus berjalan laju ke ruang tamu.

“Siapa dia bang?”

“Entah! Katanya nak jumpa Rina. Kawan Rina le kot. Abang malas nak bersembang panjang, yang datang tu perempuan. Elok le Rina yang bercakap dengan diorang. ”

@@@@@@@@@@

“Amboi bang! Lain macam aje Rina tengok diorang tu jeling abang! Abang pun, lain macaaam je tengok diorang. Berkenan ke?” Rina mengusik suaminya. Kedua-dua orang wanita itu baru sahaja berlalu dengan kereta mereka.

“Hisy, awak ni! Abang tengok muka diorang tu bukan sebab berkenan...”

“Manalah tahu... diorang tu cantik-cantik,” pintas Sarina. Makin lebar senyumnya.

“Abang rasa... pandangan diorang tu... bukan pandangan orang biasa tu,” kata Ustaz Abu.

“Maksudnya?”

“Lain sangat pandangan mata diorang tu.”

“Ada ‘apa-apa’ ke bang?” tanya Sarina. Suaranya mula merendah dan berbau kerisauan.

“Tak tahulah nak kata. Apa-apa pun, amalan harian Ikhtiar Muslim kita jangan tinggal. Manalah tahu...” Ustaz Abu melangut ke langit. “Jomlah naik.”

“Abiii, adik ada iniii!” kata Zulfaqar dengan nada gembira. Di tangannya ada sekeping syiling sebesar syiling lima puluh sen. Warnanya seakan-akan syiling satu sen.

“Eh, adik ambil kat mana ni?” tanya Ustaz Abu. Diambilnya syiling itu dan diperhatinya cermat-cermat. “Ini... ini duit apa ni? Takpernah tengok pun,” kata Ustaz Abu.

“Mari Rina tengok,” kata Rina sambil tangannya bergerak untuk menyentuh syiling itu.

“Nanti dulu!” kata Ustaz Abu. Syiling itu dilarikannya ke kanan. “Jangan-jangan...”

“Guli adik terjatuh tadi. Adik cari le tepi dinding tu, kat tikar getah. Lepas tu adik ternampak duit tu,” cerita Zulfaqar.

“Diorang sengaja tinggal ke bang?” tanya Sarina. Dahinya berkerut.

“Boleh jadi le Rina,” balas Ustaz Abu. “Syakirah, tolong ambilkan air kosong segelas.”

“Baik abi.” Syakirah berlari ke arah tangga ke dapur.

Seminit kemudian air segelas pun sampai. Ustaz Abu duduk bersila lalu membaca Bismillah Penyelamat tiga kali. Kemudian dia membaca surah Al-Fatihah, Ayat Kursiy, Lau anzalna... Ditiupnya ke arah air. Duit syiling tadi dimasukkannya ke dalam air, direndam buat seketika. Akhirnya Ustaz Abu menjentik dari jauh ke arah syiling di dalam gelas sambil berzikir. Diniatkannya agar segala anasir jahat yang menumpang pada syiling itu hilang, sekiranya ada.

“Syiling ni pun tak ada apa-apa kegunaan untuk kita. Elok buang ajelah,” ujar Ustaz Abu. “Syakirah, buat pendinding diri ringkas, lepas tu pergi buang syiling ni kat tempat bakar sampah.”

@@@@@@@@@@

Novel Islamik PANAH SIDI ARAB bab 13

BAB 13 – Dua Peristiwa Mengejutkan

Kedengaran bunyi motosikal Ustaz Abu membelah kesunyian malam masuk ke halaman rumah. Makin lama makin dekat. Akhirnya bunyi itu berhenti di bawah rumah. Enjin motosikal dimatikan. Terdengar bunyi tongkat motosikal ditegakkan.

“Abi dah balik dari surau!” kata Syakirah kepada adiknya. “Jom kita gempar abi nak tak?”

“Jom!” balas Zulfaqar. Dengan segera dia memasukkan lastik yang sedang dibelek-beleknya tadi ke dalam poket baju melayunya sebelah kanan. Beberapa biji guli di lantai dikaut dan dimasukkan ke dalam poket kiri. Kemudian dia berlari ke arah langsir panjang berwarna kuning coklat dan menyorok di sebaliknya.

Syakirah pula mencabut tiga batang dart yang dilemparnya ke sasaran di dinding tadi, lalu pergi ke belakang almari. Dia tahu bapanya akan marah jika mengetahui dia bermain dart pada waktu malam. Kini dia dan adiknya bercadang untuk mengejutkan bapa mereka. Memang sesuai kerana ibu mereka baru sahaja masuk ke bilik untuk menunaikan sembahyang fardhu Isya’. Senyap sunyilah jadinya.

Tiga kali Ustaz Abu memberi salam, tiada jawapan. Dia tahu, mesti anak-anaknya menyorok. Dia tersenyum sambil mengeluarkan kunci rumah. Kunci pun diputar.

Zulfaqar menjengukkan kepala. Dia berasa hairan kerana bapanya masih belum masuk-masuk sedangkan lubang kunci sudah lama diputar. Dia melihat ke arah tempat persembunyian kakaknya. Kakaknya memberi isyarat supaya dia kembali menyorok. Dia pun kembali bersembunyi.

Sebenarnya Syakirah juga berasa hairan. Adakah bapa mereka punya rancangan tertentu untuk mengenakan mereka pula?

Pintu rumah dibuka. “Allah!” terkeluar dari mulut Ustaz Abu. Syakirah melihat bapanya terhumban ke hadapan lalu terhempas tertiarap di atas lantai rumah. Di belakangnya berdiri seorang lelaki kulit putih, kurus tinggi berkepala botak. Di tangan lelaki botak itu ada sepucuk pistol yang nampak canggih. Lelaki botak itu menutup pintu. Kemudian matanya liar memandang ke arah setiap sudut rumah. Tiada orang, fikirnya.

“Siang tadi engkau terlepas ya?” kata lelaki botak kepada Ustaz Abu yang masih tertiarap. Lelaki botak mengacukan pistolnya ke kepala Ustaz Abu. “Sekarang beritahu aku, di mana anak panah itu? Cepat!”

“Lailahaillallah,” ucap Ustaz Abu perlahan. Hendak melawan dia masih belum mampu.Tadi kepalanya sudah diketuk dengan hulu pistol. Kemudian ditolak dengan kasar sehingga tertiarap. Lemah segenap tubuhnya.

“Hei, aku tanya, anak panah itu di mana?” lelaki botak semakin geram.

“Lailahaillallah,” kata Ustaz Abu.

“Ooo... engkau sudah bersedia untuk mampus ya? Baik!” lelaki botak bersedia untuk menembak.

“Laailahailallah,” ucap Ustaz Abu, bibirnya mengukir senyum. Kalau sudah sampai ajalnya hari itu, dia tidak berasa janggal pun untuk mati, apatah lagi dengan “Laialahaillallah” sebagai kalimah terakhirnya.

“Ouwww!’ terpacul kata-kata bernada kesakitan dari mulut Al Mayonis. Dirabanya belakang kepalanya dengan tangan kiri. Dicabutnya benda yang melekat di situ. Dibawanya ke depan muka... sebatang dart. Dia menoleh ke belakang. Sebatang dart lagi melayang ke arahnya. Dia cuba menepis tetapi agak terlambat. Dart itu terpacak di pipi kanannya.

“Arghh!” mengaduh si botak. Dicabutnya dart kedua itu lalu dilemparkannya ke lantai. Dilihatnya si pelempar itu hanyalah seorang budak perempuan. Budak itu segera meniarap di tepi dinding. Bijak.

Geram betul hati Al Mayonis. Dia mengambil keputusan untuk menembak budak itu terlebih dahulu. Diacukannya pistol, dia cuba melepaskan dua tembakan sekaligus seperti biasa tetapi hanya sempat satu das sahaja. Itu pun tersasar dua kaki dari tubuh Syakirah kerana ada suatu benda keras hinggap di tepi dahi kirinya. Itulah dia biji guli yang dilastikkan oleh Zulfaqar. Berpinar sekejap mata Al Mayonis. Dia terhoyong-hayang sebentar lalu membongkok sedikit, tapi masih dapat melihat seorang budak lelaki kecil berserban di tepi dinding. Budak itu menghilang di sebalik langsir.

Belum sempat dia meluruskan badannya, satu sengatan berbisa pula hinggap di punggungnya. Dia menjerit lagi. Rupa-rupanya Syakirah baru sahaja membenamkan dartnya yang ketiga. Syakirah terus ke tepi dinding dan meniarap kembali. Marahnya Al Mayonis bukan kepalang.

Ketika itu Ustaz Abu sudah boleh bangun walaupun belum begitu kuat. Dengan pantas dia mencekak siku tangan kanan Al Mayonis yang bersenjata itu. Cekak Silat Papan Sekeping itu walaupun nampak ringkas tetapi sebenarnya mengunci gerak musuh. Al Mayonis cuba melepaskan diri tetapi gagal. Semua geraknya dikawal oleh tangan Ustaz Abu. Kemudian Ustaz Abu menumbuk telinga kanan Al Mayonis. Sakitnya tidak terkira, siap dengan dengungnya. Al Mayonis meronta sekuat hati dengan menolakkan badannya ke arah Ustaz Abu. Kuat betul Al Mayonis ini. Cekakan Ustaz Abu terlepas dan Ustaz Abu terhumban ke tengah rumah, tapi pistol Al Mayonis turut terlepas.

Al Mayonis menapak ke arah pistolnya, membongkok dan cuba mencapainya. Ketika itu, “Pssssttttt!” Secara tiba-tiba Sarina isteri Ustaz Abu yang bertelekung menerpa dari dalam bilik dengan sebotol penyembur racun serangga. Disemburnya ke arah muka Al Mayonis. Al Mayonis menjerit kesakitan kerana sebelah matanya begitu pedih. Separuh mukanya basah dengan bahan semburan serangga. Sarina tidak berhenti di situ sahaja. Dia memegang botol tin penyembur racun serangga di bawah sedikit. “Kongg!” diketuknya ke kepala botak Al Mayonis.

Al Mayonis tidak mudah mati akal. Dia bukan perisik murahan. Dia melepaskan satu tinju cangkuk dan tepat kena pada pipi kiri Sarina. Sarina terhumban ke tepi dinding dan terus senyap, pengsan. Tinju cangkuk Al Mayonis bukan calang-calang, memang ‘berat’. Orang lelaki pun kalau kena, kalau bukan KO pun, tentu TKO. Inikan pula Sarina yang lemah lembut.

Selepas menggosok-gosok mata, Al Mayonis cuba mencari pistolnya. Ustaz Abu menyepak pistol itu ke arah meja makan.Pistol itu masuk ke bawah almari di tepi meja makan. Ustaz Abu berdiri lurus berhadapan dengan Al Mayonis, menanti penuh sedia. Di kanan Ustaz Abu ialah Zulfaqar dengan lastiknya yang sedia untuk dilancarkan. Di kirinya pula ialah Syakirah dengan dart yang sedang menghala ke arah Al Mayonis.

Al Mayonis mengubah fikiran. Nampaknya ketika itu kelebihan berada di pihak Ustaz Abu dan anak-anaknya. Sangat rugi kalau Al Mayonis bertempur dengan mereka. Dia terpaksa berundur. Dia merempuh dinding di sebelah kiri rumah, pecah. Dia sendiri terhumban ke tanah. Tujuh kaki juga tingginya, tapi bagi Al Mayonis yang lasak itu, keadaan seperti itu bukan satu masalah buatnya. Dia bingkas bangun dan terus berlari ke kawasan yang gelap. Meletup seketul guli lagi dari lastik Zulfaqar di tengah belakangnya tapi tidak dihiraukannya langsung. Biarlah sakit sedikit asalkan dapat menyelamatkan diri, sekurang-kurangnya buat masa ini. Dia terus berlari tanpa menghiraukan sebatang dart yang masih melekat di punggungnya tadi.

@@@@@@@@@@

Dia seorang perisik yang terbilang. Walaupun membesar di Jordan, dia direkrut oleh ejen-ejen Sinoiz. Dia sering keluar masuk negara haram Learsi sebelum ditugaskan ke Malaysia untuk mencari panah sakti Sidi Arab. Banyak tugas-tugas bahaya yang pernah dilakukannya di Jordan untuk Sinoiz, tetapi belum pernah dia kena seteruk ini.

Pertama – belakang kepalanya dilempar batu sebesar penumbuk orang dewasa. Berdarah, bengkak, sakit dan sakit hati dibuatnya. Kedua – betis kaki kirinya digigit anjing. Sakitnya pun bukan main. Ketiga – muka kanannya tercedera ketika melarikan diri daripada tembakan bertalu-talu dua orang anggota polis. Walaupun tembakan mereka tidak menganinya, tetapi salah satu tembakan itu telah membuatkan batang pokok terkopak dan serpihannya terpelanting ke arah mukanya. Keempat – dia menerima tiga tusukan dart. Satu di belakang kepala, satu di pipi dan satu di punggung. Walaupun sakitnya tidak seberapa tetapi tiga batang dart itu sangat menyakitkan hatinya. Kelima – dahi kirinya dilastik dengan biji guli. Berdarah,bengkak dan lebam sebagai hadiahnya. Tengah belakangnya juga sempat diguli, tetapi tidaklah apa-apa. Keenam – sebelah mukanya disembur dengan racun serangga. Sebelah matanya masih kelabu dan pedih sampai sekarang. Ketujuh – kepala botaknya diketuk dengan tin botol racun serangga. “Kongg!” bunyinya. Walaupun tin itu yang kemik dan bukan kepalanya, tetapi hatinya sangat kemik kerana berasa begitu terhina diperlakukan sedemikian. Kelapan – telinganya masih bengang kerana ditumbuk oleh Ustaz Abu.

Beginikah nasib seorang perisik tinggi dalam kerajaan Sinoiz sedunia? Beginikah rupanya seorang yang mempunyai darjah tertinggi dalam Nosameerf, salah satu cabang kongsi gelap terbesar dunia tajaan pengganas-pengganas Sinoiz di bawah tauke-tauke Iduhay?

Malam semalam dia berjaya melepaskan diri walaupun kesemua jalan keluar masuk mukim Trong dikawal ketat oleh pihak polis. Segala pelusuk hutan Trong sehingga ke kaki Gunung Bubu diredahi pihak berkuasa dengan anjing-anjing pengesan. Kepungan pihak berkuasa Jordan ke atas sebuah bandar di tengah padang pasir pun berjaya dilepasinya, apalah sangat dengan negeri berhutan rimba seperti ini.

Selepas dibelasah teruk di rumah Ustaz Abu malam tadi, dia terus ke jeti Sungai Kerang. Tidak sukar baginya untuk mencuri sebuah bot, ‘macam makan kacang’ kata orang Jordan. Dari alur-alur laut berpaya bakau di Sungai Kerang, Al Mayonis meluncur laju di atas permukaan air ke laut lalu mendarat di Kuala Sepetang. Tidak ada siapa yang akan mengganggunya di Kuala Sepetang. Dari arah laut memang dekat kedudukan Sungai Kerang dengan Kuala Sepetang. Kalau menggunakan jalan darat, , lebih kurang lima puluh kilometer. Kemudian dia menelefon seorang sahabatnya di Pulau Pinang. Dua jam kemudian sahabatnya datang lalu membawanya pergi.

Begitu mudah Al Mayonis menyelamatkan diri. Ketika itu pihak berkuasa baru sibuk mengadakan sekatan jalan raya, pencarian dan rondaan di mukim Trong. Orang baru hendak sibuk-sibuk, dia sudah terlepas jauh.

Selepas menghubungi rakannya di Pulau Pinang, Al Mayonis melakukan satu kerja zalim yang memang tidak disangka-sangka langsung oleh orang lain. Dia menelefon isterinya di rumah mereka di Simpang, Taiping. Isterinya mengangkat telefon tetapi lain yang ditanya, lain yang dijawab oleh isterinya. Al Mayonis tahu, pasti ada orang di rumah mereka. Ya, memang isterinya sedang disoal siasat oleh dua orang anggota polis wanita. Sebab itu isterinya terpaksa berpura-pura sedang bercakap dengan orang lain. Al Mayonis menyuruh isterinya meneruskan lakonan sambil dia memberikan arahan tertentu kepada isterinya.

Al Mayonis meminta isterinya masuk ke dalam bilik dan mencari sebuah beg hitam di atas almari mereka. Beg itu mempunyai nombor siri tertentu. Isterinya diminta membuka beg itu dan menekan satu butang berwarna merah. Menurut Al Mayonis, alatan dalam beg itu akan memancarkan isyarat kepada orang-orang besar tertentu yang akan menyelamatkan mereka berdua pada malam itu juga. Butang itu mesti ditekan sekarang.

Selepas habis berbual di telefon, isteri Al Mayonis meneruskan sesi soal jawabnya dengan dua anggota polis tersebut. Dia mahu keadaan nampak seperti biasa, tidak ada apa-apa yang berlaku. Selepas lima minit, dia meminta izin untuk ke tandas di dalam bilik tidur. Kedua-dua orang anggota polis itu pun tidak mengesyaki apa-apa.

Masuk sahaja ke dalam bilik, isteri Al Mayonis terus mencapai beg hitam keras di atas almari. Diletakkannya beg itu di atas katil. Kemudian dia membetulkan nombor siri yang diberikan oleh suaminya tadi. 24434. “Ckak!” terus pengunci beg itu terbuka dengan sendirinya. Sebelum sempat isteri Al Mayonis menolak tutup beg itu ke atas... “Kbooommmmmmmmmm!” Beg itu meletup dengan kuatnya. Tubuh isteri Al Mayonis turut meletup dan berkecai. Letupan itu bersinar putih terang sampai ke ruang tamu. Bumbung dan dinding rumah Al Mayonis runtuh, begitu juga dengan bumbung rumah di kiri dan kanan.

Al Mayonis terpaksa membunuh isterinya sendiri kerana isterinya punya sedikit-sebanyak maklumat penting yang tidak boleh jatuh ke tangan orang lain sama sekali. Begitulah arahan yang diterima daripada bossnya melalui rakannya di Pulau Pinang dalam telefon tadi. Bagi Al Mayonis, kematian isterinya bukan satu kehilangan besar. Selama ini pun dia punyai ramai wanita lain dan sering melanggan pelacur kelas atasan. Isterinya hanya sebagai ‘cover’ untuk dia bebas bergerak dalam masyarakat Melayu Islam di negara ini. Itu sahaja.

@@@@@@@@@@

Selepas Subuh tadi, Pak Ngah Halim pergi ke jeti. Botnya hilang. Setelah puas mencari dengan beberapa orang nelayan lain, Pak Ngah Halim yakin botnya sudah pergi jauh. Pada pukul sembilan pagi Pak Ngah Halim pergi ke Balai Polis Padang Gajah untuk membuat laporan. Pada pukul sebelas pagi, barulah pihak polis secara sah mengaitkan kehilangan bot itu dengan kehilangan Al Mayonis. Ketika itu Al Mayonis boleh berada sangat jauh, malah mungkin sudah berada di luar negara. Operasi mengesan secara besar-besaran di mukim Trong pun dikendurkan, tetapi diperluaskan ke seluruh negara.

Anggota polis yang ditembak di kaki Bukit Naga masih selamat, tapi berada dalam unit jagaan rapi di Hospital Taiping. Isteri Ustaz Abu sekadar pengsan.

Rumah Al Mayonis di Simpang ranap. Begitu juga dengan rumah di kiri kanannya. Selain isteri Al Mayonis yang hancur, mayat dua orang anggota polis wanita juga hampir-hampir hancur. Penghuni rumah di sebelah kanan terselamat kerana semua keluar makan malam. Di rumah bujang sebelah kiri, seorang pemuda maut dihempap runtuhan manakala seorang lagi cedera parah. Dapur rumah belakang juga turut rosak teruk tetapi tiada sebarang kecederaan. Ini hasil amokan bom berkuasa tinggi. Bom biasa tidak sekuat ini.

Pihak berkuasa sedar yang mereka sedang berhadapan dengan sesuatu yang besar, bukannya penjenayah biasa. Cuma mereka masih belum tahu punca hal ini boleh jadi ‘besar’. Mengapa ya? Kerana baik Ustaz Abu ataupun Khairi dengan kawan-kawannya, mereka tidak pernah menceritakan tentang panah sakti Sidi Arab kepada sesiapa pun.

@@@@@@@@@@

Novel Islamik PANAH SIDI ARAB bab 12

BAB 12 – Perangkap

“Sila buat pilihan. Sama ada kamu berikan anak panah itu kepada saya... dan selepas itu saya tembak kamu satu-persatu... ataupun... saya tembak kamu semua satu-persatu...dan selepas itu saya ambil anak panah itu?” tanya Al Mayonis alias Kadiaq dengan sedikit loghat mat saleh. Pistol berpenyengap berwarna hitam teracung ke arah Khairi dan kawan-kawannya. Khairi dan rakan-rakannya saling berbalas pandangan, yang jika boleh bersuara, akan berbunyi : “Apa kita nak buat sekarang?”

“Lebih baik kamu jangan cuba buat apa-apa. Saya mahir menembak. Pistol ini pun... automatik. Dalam masa tidak sampai dua saat, saya boleh tembak kamu bertiga... dan pasti kena,” ancam Al Mayonis lambat-lambat sambil mengukir senyuman mengejek. Khairi dan kawan-kawannya serba salah. Dalam keadaan segenting itu, memang sang idea susah untuk memunculkan dirinya dalam kotak pemikiran mereka.

“Masih belum ada sebarang keputusan? Lambatnya... Kalau begitu, saya akan kira sampai tiga. Dan... saya anggap kamu memilih pilihan yang kedua.”

Masih senyap. Pilihan yang dicadangkan tidak membawa apa-apa perubahan. Al Mayonis tetap akan membunuh mereka pada petang itu juga.

“Ok... saya mula mengira ya? Satu... “

“Nanti! Saya pun hendak beri kamu dua pilihan!” kata Khairi tiba-tiba.

“What?” Al Mayonis begitu terkejut dengan jawapan Khairi. Jawapan yang memang tidak disangka-sangkanya sama sekali. Beberapa saat kemudian, Al Mayonis ketawa terbahak-bahak.

“Baiklah. Apa pilihan yang kamu hendak beri kepada saya? Ha ha ha.”

“Pilihan pertama....... Encik Kadiaq berikan pistol kepada kami... ikut kami ke balai polis...dan Encik Kadiaq tak perlu sakit kepala.”

“What? Apa yang kamu cakapkanni? Kamu main lawak dengan saya ye? Baik!” Al Mayonis mengacukan pistolnya ke arah Khairi, bersedia untuk menembak...

“Tubbb!” Seketul batu sebesar penumbuk orang dewasa singgah sebentar di bahagian belakang kepala Al Mayonis. Dia terhoyong-hayang buat beberapa saat. Khairi menerpa dan melepaskan satu tendangan lurus ke dada Al Mayonis. Al Mayonis terdorong ke belakang lalu terjatuh ke dalam semak-samun di lereng bukit. Sempat lagi Al Mayonis melepaskan dua tembakan rambang ke udara sebelum tubuhnya betul-betul mendarat di tepi lereng, lebih kurang lima meter ke bawah. Salah satu tembakannya berdesing di tepi telinga Khairi.

“Cepat, lari!” pekik Ustaz Abu dari belukar di atas bukit. Dialah yang melemparkan batu sebentar tadi. Sebenarnya Khairi sudah terperasan akan Ustaz Abu lalu berusaha melambat-lambatkan tindakan Al Mayonis. Mereka berlari sekuat hati. Kalau tadinya Seman di balakang sekali, kali ini dia yang terkehadapan. Bab lari serah padanya. Jarak dekat, jarak jauh semua dia sapu.

“Stop woi, stop!” pekik Khairi setelah mereka berlari sejuah lebih seratus lima puluh meter. Keempat-empat lelaki itu memperlahankan larian lalu berhenti.

“Kenapa Khairi?” tanya Ustaz Abu, termengah-mengah.

“Kita perangkap dia kat sini!” tegas Khairi.

“Perangkap? Macam mana?” tanya Piyan. Khairi pun memberi penjelasan seringkas mungkin. Semua mendengar dengan bersungguh-sungguh. Setelah masing-masing faham rancangannya, mereka menyusup ke dalam belukar di kiri kanan jalan.

Tidak berapa lama kemudian, kedengaran tapak kaki orang berlari dari arah belakang. Al Mayonis. Cepat betul lariannya. Di tangannya masih tergenggam kemas pistol tadi.

“Sekarang!” pekik Khairi. Mereka berempat menyerbu keluar dari tempat persembunyian masing-masing lalu berlari dengan sekuat hati. Al Mayonis terkejut melihat mereka. Dia pun melajukan lariannya sementara tangannya dihalakan ke hadapan, bersedia untuk menembak. Dia melepaskan dua tembakan tetapi jauh dari sasaran. Lagi pun pistol seperti itu bukannya sesuai untuk menembak dalam jarak lima puluh meter.

Ustaz Abu dan budak-budak bertiga melintasi rumah tauke kebun yang beranjing itu. Hentakan kaki mereka mengejutkan dua ekor anjing di belakang rumah. Anjing-anjing inilah yang mengejar Khairi dank wan-kawannya awal pagi tadi. Anjing-anjing itu mula menyalak dan tidak lama kemudian muncul dari sisi kiri rumah, meluru dengan lajunya.

“Allahu Akbar!” jerit Ustaz Abu. Dia berlari dengan sekuat hati walaupun dia yang terkebelakang. Badannya yang semakin montel itu memang memberatkan. Anjing-anjing itu tiba di pintu pagar selepas lima saat Ustaz Abu melintasinya.

“Sikit lagi ustaz! Anjing-anjing ni kejar separuh jalan je!”jerit Khairi sepuluh meter di depan Ustaz Abu. Memang benar. Tidak berapa jauh mengejar, anjing-anjing itu pun berhenti. Kedua-duanya menyalak-nyalak galak. Tapi... Al Mayonis baru sampai! Terdengar sahaja hentakan kaki Al Mayonis di belakang mereka, anjing-anjing itu pun berpaling dan menerpa ke arahnya. Perangkap Khairi menjadi. Al Mayonis yang sedang berlari sekuat hati tidak sempat untuk memberhentikan lariannya. Terbeliak matanya melihat dua ekor anjing itu. Dia sempat melepaskan satu tembakan ke arah anjing-anjing itu. Kena seekor lalu jatuh terseret di jalan tar. Seekor lagi...ia lebih dahulu membaham bahagian hadapan betis Al Mayonis. Kali ini dia terjatuh dan pistolnya tercampak ke atas jalan.

“Arghhh!” Al Mayonis menjerit kesakitan. Sungguhpun begitu, sebagai seorang perisik yang berpengalaman, Al Mayonis tidak mudah mengalah. Dia mencabut pen dari poket bajunya, membuka penutupnya lalu menikam kepala si anjing. Terpacak pen di kepala sang anjing. Si anjing kesakitan lalu melepaskan gigitannya. Terus ia berlari masuk ke dalam pagar kebun tuannya.

Ketika itu tauke kebun dan anak isterinya sudah ke luar rumah untuk menyiasat riuh-rendah di depan rumah mereka. Al Mayonis tak boleh tunggu lagi. Dia mesti pergi. Dengan susah payah dia bangun, mencapai pistolnya lalu menyelinap ke dalam hutan di seberang jalan.

@@@@@@@@@@

Mereka keluar seolah-olah berbaris dari dalam Balai Polis Padang Gajah. Mereka melihat sahaja tiga anggota polis menaiki motosikal keluar ke jalan besar, membelok ke kiri menuju ke Kampung Jawa.

“Harap-harap diorang dapat tangkap si Mayonis tu,’ ujar Ustaz Abu kepada Khairi dan kawan-kawannya. Mereka baru sahaja selesai membuat laporan kepada pihak polis.

“Saya nak terus ke rumah tok khadi, kamu semua nak ikut ke?” tanya Ustaz Abu.

“Tak apalah ustaz. Sekejap lagi bapa saya datang ambil kami. Nak sampai dah tu,” jawab Khairi.

“Kalau macam tu, saya pergi dululah ye.”

“Baik ustaz.” Mereka bersalaman dan mencium tangan Ustaz Abu. Ustaz Abu bergegas ke keretanya.

“Fuh, memang geghak daghipada Allah betoi la! Nasib baik Dia hantaq Ustaz Abu. Kalau tidak... dah arwah dah kita tadi,” kata Piyan.

SEbenarnya tadi Ustaz Abu dalam perjalanan menuju ke rumah tok khadi di Kampung Air Terjun. Ketika sampai di simpang Surau Kampung Jawa, dia ternampak kereta lama berwarna cerah yang dilihatnya bersama budak-budak itu di Restoran Sharif tempoh hari. Kereta itu membelok masuk ke jalan menuju Bukit Naga. Seingat Ustaz Abu, hari itu memang Khairi dan kawan-kawannya mendaki Bukit Naga. Dia mula berasa curiga. Tergerak hatinya untuk mengikut kereta itu.

Ustaz Abu memberhentikan keretanya apabila kereta yang dikutinya berhenti. Dilihatnya pemandu kereta itu keluar dari keretanya. Perlahan-lahan Ustaz Abu mengundurkan keretanya agar terselindung di sebalik selekoh. Ketika menoleh ke belakang untuk mengundurkan kereta, dia ternampak teropong mainan anaknya Zulfaqar di kerusi belakang. Boleh guna juga ni, fikirnya. Tak ada rotan, akar pun jadi.

Ustaz Abu keluar dari keretanya dengan membawa teropong. Pemandu berkepala botak itu sedang berdiri di tepi keretanya. Ustaz Abu pun mendekatkan teropong tadi ke matanya untuk melihat dengan lebih dekat. Terkejut betul dia apabila melihat si pemandu sedang mengenakan penyengap pada sepucuk pistol. Cepat-cepat Ustaz Abu berzikir. Hatinya berdebar-debar. Kemudian secara senyap-senyap dia mengikut si pemandu dari jarak jauh.

Ketika si botak menahan Khairi dan kawan-kawannya, Ustaz Abu dengan segera menyelinap ke atas lereng bukit. Khairi terperasan Ustaz Abu.Tajam betul mata Khairi. Ustaz Abu memberikan isyarat agar Khairi bercakap, supaya melambatkan sedikit tindakan si botak. Muslihatnya berjaya. Seterusnya Ustaz Abu mencapai seketul batu sebesar penumbuk. Batu itu dilontarnya dengan agak kuat tetapi berhati-hati, disertai zikir.

Lontaran Ustaz Abu tepat mengenai belakang kepala si botak, menyebabkan si botak pening lalat sekejap sebelum diterajang oleh Khairi sehingga terjatuh ke bawah lereng. Sememangnya Ustaz Abu berkemahiran dalam melontar ke arah sasaran sejak kecil. Anak perempuannya si Syakirah dilatihnya bermain dart. Anak lelakinya si Zulfaqar dilatihnya melastik. Memang bakat Ustaz Abu turun kepada anak-anaknya. Kedua-duanya mahir dalam bidang masing-masing.

Selepas berjaya memerangkap si botak dengan anjing-anjing tauke kebun, Ustaz Abu dan tiga orang remaja itu menaiki kereta Ustaz Abu menuju ke Balai Polis Padang Gajah.

@@@@@@@@@@

Seorang anggota polis sedang menyoal siasat tauke kebun dan keluarganya. Mereka berbual di halaman kebun berpagar milik tauke itu. Dua orang lagi anggota meneliti tempat kejadian, di jalan tar menuju ke Bukit Naga.

Darah Al Mayonis yang digigit anjing masih jelas kelihatan di atas jalan walaupun tidak banyak. Kesan darah itu membawa dua orang anggota polis itu ke hutan di tepi jalan. Mereka bergerak perlahan-lahan meredah hutan mengikut arah tumbangnya pokok-pokok kecil yang diredah oleh Al Mayonis. Pistol mereka tergenggam erat di tangan, menghadapi sebarang kemungkinan.

Selepas sepuluh minit menjejak, mereka keluar semula ke jalan tar. Nampaknya Al Mayonis sudah keluar ke jalan tar. Dia bersembunyi sekejap sahaja di kawasan hutan kecil itu. Kedua-dua anggota polis berpatah balik ke motosikal mereka. Kemudian mereka bertiga beriringan bermotosikal ke arah kereta Al Mayonis lebih kurang lapan puluh meter dari situ.

Kereta Al Mayonis kosong. Maksudnya Al Mayonis masih ada di sekitar kawasan itu.Kalau dia cuba pergi pun, tidak jauh. Salah seorang anggota polis membuang angin dari tayar kereta Al Mayonis, agar kereta itu tidak boleh digunakan untuk melarikan diri.

Seorang anggota lagi berjalan ke arah belukar di sebelah kanan. Dia tunduk melihat sesuatu. Darah. “Eh, ni ada...” Sebelum sempat dia menghabiskan kata-katanya, dua butir peluru hinggap di depan bahunya. Terpercik darah ke udara dan dia terlentang ke belakang.

“Mat!” jerit rakannya yang masih di atas motosikal. Dia melepaskan motosikalnya, mencabut pistol lalu meluru ke arah kereta Al Mayonis mencari perlindungan. Sahabatnya yang sedang mengeluarkan angin dari tayar sudah pun mengambil posisi dan mengacukan pistol ke arah belukar di hadapan mereka, tapi dia tidak melepaskan apa-apa tembakan kerana belum tahu kedudukan musuh.

“Dia kat mana Din?”

“Aku tak tau. Pistol dia kan tak berbunyi kuat?”

“Mat, hang macam mana Mat?” jerit Lan kepada rakan mereka yang masih terlentang di atas tanah. Mat tidak menjawab apa-apa tapi dia masih bergerak ke kiri dan ke kanan menahan kesakitan.

“Hang baring terus Mat, jangan bangun! Bahaya!” jerit Lan lagi.

“Prang!” cermin kereta Al Mayonis pecah terkena tembakan. Cepat-cepat mereka merendahkan diri.

Sudah lima minit mereka berlindung di sebalik kereta itu. Tiada sebarang pergerakan. Mereka masih belum berani keluar. Sahabat mereka si Mat juga turut senyap. Entah pengsan entah mati.

“Macam mana ni Din? Takkan nak duduk kat sini ja?”

Kedengaran riuh-rendah suara orang dari arah atas Bukit Naga. Tidak lama kemudian kelihatan beberapa orang remaja. Makin lama makin ramai. Budak-budak pengakap sudah turun kembali.

“Hoi! Semua tunduk!” jerit Lan ke arah para pelajar itu sambil memebri isyarat tangan. Budak-budak itu terkejut melihat anggota polis berpistol sedang berlindung di sebalik kereta. Dari arah atas, mereka dapat melihat dengan jelas situasi di bawah. Mereka juga nampak seorang anggota polis berlumuran darah, terlentang di atas tanah dan tidak bergerak-gerak.

“Semua tunduk! Jangan bergerak! Ada penjenayah bersenjata!” jerit Lan lagi.

“Tu dia encik, kat pokok tu!” jerit salah seorang pengakap. Memang mereka boleh melihat seorang berkepala botak dari paras dada ke atas dari kedudukan mereka. Ketika itu juga belukar yang dimaksudkan bergerak-gerak. Ya, sasaran sudah dikenalpasti. Kedua-dua anggota polis melepaskan tembakan demi tembakan ke arah yang dimaksudkan. Belukar-belukar itu terus bergerak. Semakin lama semakin jauh dan akhirnya pergerakan itu hilang di hutan yang agak tebal. Keadaan senyap seketika.

“Dia dah pergi.”

“Ya, dia dah pergi. Kita jangan kejar dia. Nanti unit khas sampai kejap lagi. Mereka ramai dan guna M-16. Kerja kita sekarang uruskan Mat dan pastikan budak-budak ni selamat.”

“Baik.”

@@@@@@@@@@

Novel Islamik PANAH SIDI ARAB bab 11

BAB 11 – Kemunculan ‘Naga’ di Bukit Naga

Perjalanan pulang tidaklah begitu sukar kerana mereka bersetuju untuk menggunakan jalan tar yang sudah tidak berapa jauh pun dari situ. Selepas meredah hutan selama lima belas minit, sampailah mereka di jalan tar. Mereka tidak berhenti rehat kerana terlalu seronok dan tidak sabar-sabar hendak sampai ke bawah.

Dalam perjalanan turun, mereka terserempak dengan sekumpulan pengakap dari Sekolah Menengah Kebangsaan Tat Beng yang sedang dalam perjalanan ke atas. Kebetulan Piyan kenal dengan guru pasukan pengakap itu. Mereka berhenti dan berbual sebentar. Kesempatan ini digunakan oleh Khairi dan Seman untuk duduk dan meneguk air.

Melihatkan budak-budak pengakap itu, Seman terkenangkan rombongan kumpulan Silat Gayongnya ke puncak Gunung Bubu pada hujung tahun lepas. Yang lebih dikenangnya ialah seorang srikandi bernama Nur Azlina. Entah bagaimana hati Seman begitu terpikat dengan Azlina. Padahal Seman bukannya jenis jiwang. Dia tidak pernah terfikirpun tentang perempuan, cinta, kahwin dan yang sewaktu dengannya. “No women, no cry” kononnya. Cadangnya, apabila sudah tiba masa untuk mendirikan rumahtangga, ketika itulah dia akan mencari anak mana-mana karkun sebagai pasangannya.

Segala-galanya bermula apabila gelanggang Silat Gayong yang disertai Seman mengadakan aktiviti mendaki Gunung Bubu. Sepanjang perjalanan itu Seman banyak duduk di bahagian belakang sekali. Yang untungnya berada di belakang sekali ini, apabila ’take five’, Seman akan berjalan terus lalu berhenti rehat di hadapan sekali. Apabila orang lain mula bergerak kembali, Seman boleh meneruskan rehatnya sampailah habis kesemua 37 orang melintasinya. Kemudian barulah dia bergerak. Sambil-sambil itu dia boleh menegur kawan-kawan dan melihat gelagat ahli rombongan yang lain.

Dalam ramai-ramai ahli rombongan, Seman merasakan ada seorang gadis yang unik, lain dari yang lain. Gadis itu ialah Nur Azlina, tetapi ketika itu Seman belum mengetahui namanya. Bahkan serasa Seman, itulah kali pertama dia melihat gadis itu dalam kumpulan mereka. Padahal seminggu dua kali mereka bergelanggang. Tapi memang patut pun. Seman kalau di gelanggang, dia tidak ambil hirau pun kawasan pesilat wanita berlatih. Yang dia tahu, datangnya ke gelanggang itu ialah untuk bersilat. Hal-hal lain dia tidak ambil peduli.

Apa yang uniknya Si Azlina ini pada pandangan Seman? Orangnya bergaya sederhana. Gerak dan tuturnya sopan. Di sepanjang perjalanan mereka yang mencabar itu, tidak pernah Seman melihat Azlina mengeluh ataupun berubah muka. Walaupun sangat keletihan, wajahnya biasa sahaja, memaparakan ketenangan. Tidak ada gaya kepura-puraan atau dibuat-buat. Malahan sering kali mengukir senyum kalau ditegur dan berkata-kata. Padahal ketika itu orang lain sudah ada yang menghempas-hempas barang, bergaduh, merungut, marah-marah, mengeluh.. dan bermacam-macam kerenah lagi. Mana tidaknya, sudahlah letih, barang yang dibawa banyak, terpaksa bergilir-gilir membawanya. Sampai di laluan yang curam,mulalah terasa hendak putus nafas. Laluan dari Ulu Kenas ke kemuncak gunung memang mencabar. Ada satu tempat yang kecuramannya hampir-hampir 90 darjah. Terpaksa berpaut pada akar-akar untuk naik ke atas.


Sungai Ulu Kenas di kaki Gunung Bubu.


Azlina? Dia tetap ‘cool’. Sesiapa yang menegurnya, dibalasnya dengan sopan,pendek dan dengan sedikit senyuman terlukis. Orang sebegini sukar untuk dicari, fikir Seman. Sejuk mata memandang, sedap telinga mendengar. Perempuan sebeginilah yang sesuai untuk dibuat pasangan hidup.

Seman sudah jatuh hati, tetapi perasaannya itu tidaklah dia panjang-panjangkan. Setiap kali malam latihan silat, Seman akan mencuri-curi memerhati perilaku Azlina. Seman bertambah yakin. Oleh itu dia menyimpan suatu niat. Seandainya suatu hari nanti dia sudah bersedia untuk mendirikan rumahtangga, dan seandainya ketika itu Azlina masih belum berpunya, Seman akan melamarnya. Tapi sekiranya Azlina sudah berpunya, Seman tidak ada apa-apa masalah. Dia akan berusaha mencari seorang wanita yang mempunyai cirri-ciri positif sebagaimana Azlina juga. Selesai masalah. Tidak perlu memberat-beratkan fikiran. Yang penting ialah doa dan usaha, bukan doa sahaja, dan bukan usaha sahaja.

Sebaik-baik sahaja Piyan selesai berborak, mereka bertiga kembali mengatur langkah menuruni bukit melalui jalan tar. Laluan ini lebih sunyi daripada laluan dalam hutan. Tidak ada sebarang bunyi unggas rimba. Yang kedengaran hanyalah detapan tapak kaki mereka di atas jalan tar dan sesekali bunyi dedaun bergeseran ditiup angin. Hendak berbual, masing-masing sudah kurang nafas. Jadi, diam sahajalah.

Khairi mengisi kekosongan itu dengan zikir langkahan pendekar yang diajarkan malah diasaskan oleh Ustaz Abu kepada anak buah usrahnya yang terpilih, termasuklah Piyan dan Seman. Tidaklah masa terbuang begitu sahaja. Langkahan ini berisi amalan membaca “Laa IlaahaillAllaah” dengan empat hayunan langkah. Sedap rasanya, seperti orang sedang berkawad.

Ketika melewati satu kawasan lereng yang cerah tanpa pokok-pokok besar, mereka dapat menyaksikan pemandangan luas indah dari Bukit Naga itu ke arah Kampung Matang Raja, Kampung Panchor dan pekan Pantai Remis. Khairi bertakbir, menyahut seruan sunnah bertakbir di tempat-tempat tinggi. Kedua-dua orang rakannya turut berbuat demikian.


Pemandangan ke arah pekan Pantai Remis dari atas Bukit Naga. Di sinilah Khairi dan kawan-kawannya berhenti dan menjamu mata mereka dengan pemandangan indah.


Jam sudah hampir pukul tiga setengah petang. Mereka bersetuju untuk menunaikan solat fardhu Zohor di situ. Mereka memiih tempat redup di seberang jalan. Nampaknya sebuah dusun. Ada sebuah pondok tinggi. Menggunakan air dari dalam botol yang dibawa oleh Seman, mereka mengambil wudhuk dengan cermat dan jimat. Menggunakan kompas Khairi, mereka mencari arah kiblat.Mereka pun solat berjemaah berimamkan Khairi.

Perjalanan diteruskan.

“Piyan, kata la naga tu tiba-tiba melintaih kat depan kita, apa hang nak buat?” cetus Seman.

Piyan menoleh ke arah Seman, tersengih, “Aku tanya la kat dia... apa keputusan pertandingan gusti antagha dia dengan ulaq kat laut tu dulu?”

“Hah ha ha ha!” Seman tertawa. Tidka disangkanya Piyan akan menjawab secara berjenaka.

“Woi, aku tengah letih-letih ni hangpa jangan dok buat lawak. Tak laghat aku nak gelak satgi. Stamina dah la tinggai ciput ja ni,” kata Khairi.

“Kalau dia tak mau jawab?” tanya Seman, menduga Piyan.

“Kalau dia tak mau jawab... aku penyepak (penampar) sekali. Lepaih tu aku koyak mulut dia besaq-besaq...” dengan gaya mengoyak mulut buaya... “... aku taghik gigi dia bawak keluaq, aku pintai-pintai lidah dia macam peghah kain basah.”

“Haa ha hahaa,” ketawa Seman. Khairi turut tertawa kecil sambil menepuk dahinya.

“Allahu Akbar!” jerit mereka bertiga serentak. Terkejut betul mereka apabila seekor ular muncul dari semak-semak di kanan jalan dan melintas. Khairi melompat ke belakang manakala Piyan sudah berkuda-kuda. Seman? Berdiri lurus dalam kekagetan.

Memang begitulah biasanya bunyi latahan mereka. Susah hendak mendengar budak-budak bertiga ini melatah “aduh”, “alamak”, “ops”,”oi mak hang”, “ohpocot” dan lain-lain. Apatah lagi yang mencarut-carut. Tarbiyyah Ustaz Abu memang melekat di hati mereka. Menurut Ustaz Abu, sekiranya kita ditembak, dibom, tercucuk kayu tajam dan sebagainya, biarlah kalimah terakhir kita sekurang-kurangnya “Allahu Akbar” kalau pun tidak sempat mengucapkan “Lailahaillallah”.

Si ular tadi melintas perlahan-lahan. Kemudian ia menghilang dalam semak-semak di kiri jalan. Khairi,Piyan dan Seman saling berpandangan. Kemudian...bersembur ketawa mereka memecah kesunyian Bukit Naga hari itu. Khairi ketawa sampai mengalir air mata. Piyan pula sampai terduduk. Seman membongkok seperti sedang rukuk manakala tangannya memegang perut yang mengeras.

“Tu laa... sembang deghaih sangat! Kan dah kena?” ucap Khairi sebaik-baik sahaja tawa mereka mereda.

“Hang la Piyan! Nak koyak mulut la, nak taghik gigi bawak keluaq la...” sambung Seman.

“Last-last ulaq lidi ja pun melintaih!” balas Khairi. Tertawa kecil.

“Siap pasang kekuda silat pulak tu!” perli Seman.

“Tu bukan kekuda silat tu. Tu nama dia kekuda siap nak laghi. Silat Seribu Langkah,” pintas Khairi. Mereka semua tertawa lagi.

“Tu dia baghu hantaq dia punya prebet baghu, belum kapten dia lagi, hang dah kelam-kabut,” kata Seman.

“Kapten dia mau dua pemeluk punya besaq,” sambung Khairi.

“Dah la tu woi, aku dah tobat dah ni. Lepaih ni tak mau cakap besaq lagi dah,” balas Piyan sambil menghembuskan nafas kelegaan. Sisa-sisa ketawa masih ada pada diri masing-masing.

Beberapa minit kemudian tibalah mereka di kaki bukit. Beberapa meter lagi mereka akan menjejakkan tapak kasut di jalan mendatar. Selamat tinggal jalan curam. Perjalanan akan jadi lebih mudah dan lebih ‘rileks’.

Tiba-tiba dari belukar di sebelah kanan mereka, keluar menerpa satu lembaga. Kali ini besar jasadnya, bukan ular lidi lagi. Lebih tinggi daripada Khairi dan rakan-rakannya. Mereka bertiga terhenti serentak tanpa sebarang bunga silat dan kekuda seperti tadi. Masing-masing terpaku dan terpukau.

“Naga betul dah datang......!”cetus Khairi perlahan.

@@@@@@@@@@

“Abi nak pergi mana bi?” tanya Zul kepada bapanya. Budak kecil berusia tujuh tahun itu sedang meniarap melihat kakaknya melukis.

“Abi nak pergi rumah tok qhadi kejap,” jawab Ustaz Abu sambil mengenakan serban hitamnya di hadapan cermin. Cara lilitannya ada persamaan dengan cara pemakaian serban oleh para pengikut Darul Arqam. Ekor serbannya diletakkan di sebelah kiri, depan. Setelah melihat rupanya di cermin buat seketika, Ustaz Abu menolak ekor serbannya ke belakang. Yah, lebih selesa.

“Yang duduk di Kampung Air Terjun tu ye?” tanya Syakirah, anak perempuannya yang berusia sebelas tahun.

“Ye, ada orang nak berubat, minta abi tolong ubatkan.” Ustaz Abu mengambil beg galasnya di atas meja.

“Kerasukan ke abi?” tanya Syakirah lagi. Dia tahu, dalam beg galas bapanya sudah tersedia alatan untuk berbekam, minyak burung but-but, minyak penawar racun, sarung tangan palstik, pisau kecil dan beberapa barang lagi. Beberapa tahun dulu Syakirah dan adiknya suka menyelongkar beg rawatan bapanya itu.

“Agaknyalah. Abi suruh datang ke rumah kita. Kalau tak mahu, ke surau pun boleh. Tapi diorang nak berubat di rumah tok kadhi jugak. Anak buah tok kadhi tu le, dari Johor. Segan katanya nak datang sini.”

“Abi kata tak mahu merawat orang dah. Tak mahu jadi mu’allij,” sambung Syakirah. Dia memang seorang yang petah berkata-kata.

“Bila pulak abi kata tak mahu? Abi masih merawat, tapi tak mahu aktif macam dulu sangat dah. Banyak sangat tanggungjawab abi dalam kerja-kerja agama ni, tak ter’cover’ dah. Itu sebabnya abi nak ‘slow’ sikit bab merawat ni.”

“Ooo...,” balas Syakirah. Dia menyambung lukisannya semula.

“Abi, nak ikut!” kata Zul pula. Dia bangun duduk.

“Isy,tak payahlah! Abi nak merawat orang, bukan nak pergi berjalan-jalan.”

“Adik nak ikuttt... adik nak lawan dengan hantu.”

“Eh, adik kecik lagi! Esok ni abi ajar adik ye?”

“Bila? Esok ke?” tanya Zul lagi.

“Bukan le esok. Maksudnya... esok-esok ni le, bila Zul dah besar nanti.”

“Bila? Masa adik umur sepuluh tahun ke?”

“Isy,nantilah! Tak tahu lagi.”

“Yea, yea! Nanti adik nak lawan dengan syaitan! Adik nak baca ayat Quran!”sorak Zul sambil melompat dan bertepuk tangan.

“Ye lah tu,” balas kakaknya.

“Abi, adik doakan abi berjaya.Ya Allah, Engkau bagilah abi aku menang mengalahkan syaitan-syaitan. Amin.”

Ustaz Abu tertawa kecil melihat gelagat anak kecilnya itu.

“Abang tak mahu makan cucur durian dulu ke bang?” laung Sarina dari dapur. “Tinggal nak goreng je lagi ni.”

Ustaz Abu berhenti di tengah pintu depan. “Cucur durian?... Tak pe la Rina. Makanlah dengan anak-anak. Abang nak pergi dah ni.”

“Tak pe ummi, bahagian abi biar kakak aje yang makan,” sahut Syakirah.

“Abi,adik nak main lastik boleh tak?” pinta Zul.

“Jangan lastik burung, haiwan-haiwan, orang... Pergi lastik sasaran yang abi buat kat belakang rumah tu aje.”

“Ok, abi. Terima kasih abi. Jom kakak!”

“Tak mahu. Kakak nak main dart.Kakak tak suka main lastik-lastik.”

“Ok lah, nak pergi dah. Assalamu’alaikum,” kata Ustaz Abu.

@@@@@@@@@@