Friday, December 30, 2011

Tazkirah Facebook 13 (30.12.11)

Hebatnya kasih Tuhan. Sakit yang diberi-Nya berupa penghapusan dosa. Sakit yang diberi-Nya menjadi petanda perhatianNya ke atas kita. Sakit yang diberi-Nya berupa penambahan pahala, jika kita bersabar. Pahala bersabar pula tidak ada had. Ia berterusan mengalir.

Sakit membuatkan kita lebih berfikir tentang keinsafan dan kebaikan. Sakit membuatkan kita berasa sangat rapat dengan-Nya.

Para nabi juga jatuh sakit. Para wali juga pernah tidak sihat. Bukan kita sahaja yang dirundung ketidakselesaan.

Tanpa sakit, kita mungkin sudah lama melupakan Tuhan, kita mungkin semakin hanyut dari laluan, kita mungkin semakin tenggelam dalam lautan kealpaan.

Maha Hebat Engkau ya Allah.

Friday, December 23, 2011

Tazkirah Facebook 12 (23.12.11)

Hidup pada akhir kepada akhir zaman ini... penuh, malah berlimpahan dengan nikmat. Banyak perkara yang orang-orang terdahulu tidak sempat menikmatinya, tapi kita nikmati sehari-hari. Lihatlah sekeliling kita.

Nikmat peti sejuk, pendingin hawa, televisyen, kenderaan bermotor, pesawat terbang, komputer, kamera, elektrik, makanan pelbagai bangsa, tandas moden, air paip, kasut sukan, telefon, lif, stesen bas... dan pelbagai lagi.

Sepatutnya, lagi bertambah nikmat bertambahlah kesyukuran dan ketaatan. Tetapi yang berlaku adalah sebaliknya. Kita jadi semakin rakus mengejar keduniaan dan sering engkar.

Dengan pelbagai nikmat akhir zaman ini pun, kita masih sering mengeluh, masih berasa banyak yang kurang. Maka terkejar-kejarlah kita dari satu nikmat ke satu nikmat. Padahal nikmat-nikmat yang sudah sedia ada pun kita tidak terfikir untuk mensyukurinya.

Bagi ahli-ahli sufi, dunia ini pun sudah seakan syurga. Terlalu banyak nikmat yang kita kecapi sehari-hari. Kita tidak menyedarinya kerana kita jenis yang tidak tahu bersyukur.

Nikmat memandang, menghirup udara, merasa jenis-jenis makanan, bersuara dan berbual, mendengar, berkenal-kenalan, berkeluarga, berkasih sayang, tidur, buang air, senyum tawa, kenyang...

Ya Allah... alangkah banyaknya nikmat yang sudah Engkau hadiahkan kepada kami selama ini. Ampunkan kami ya Allah, atas sikap kami yang sangat kurang bersyukur.

Tazkirah Facebook 11 (Khamis 22.12.11)

Penglihatan dan pendengaran tak ubah seperti dua buah sungai yang mengalir setiap hari ke kolam hati. Apa yang kita lihat, dan apa yang kita dengar saban hari... akan memenuhi kolam hati kita. Untuk mengetahui apa isi kolam hati kita, kajilah apa isi sungai mata dan sungai telinga yang mengalir masuk setiap hari.

Jika yang mengalir dalam kedua-dua sungai itu kotoran dan racun, maka kolamnya juga akan berisi kotoran dan racun. Jika kedua-dua sungai mengalirkan air mutlak dan penawar, penuhlah kolamnya dengan air mutlak dan penawar.

Kita sebagai orang yang diamanahkan menjaga kedua-dua buah sungai itu, dapat mengawal aliran kedua-duanya.

Terpulang kepada kita untuk mengisi kolam hati kita dengan mengalirkan kotoran dan racun, ataupun air mutlak dan penawar.

Yang pasti, apa pun yang kita alirmasukkan, akan diminta pertanggungjawabannya kelak.

Tazkirah untuk diri sendiri terutamanya. WaAllahua’lam. Jumpa lagi esok, insyaAllah.

Wednesday, December 21, 2011

Tazkirah Facebook 10 (21.12.11)

Apa yang kita cintai? Apa yang PALING kita cintai? Antara tanda cinta itu adalah SELALU TERFIKIR-FIKIR dan selalu TERSEBUT-SEBUT dalam keadaan SUKA. Perkara yang kita suka dan selalu berada di fikiran kita dan selalu bermain di bibir kita, itulah yang kita cintai. Sedar atau tidak, begitulah hakikatnya.

Seseorang yang mencintai seseorang yang lain, tentunya SUKA untuk selalu teringat dan selalu menyebut-nyebutnya.

Renungkan kembali... muhasabah diri... dalam sehari-hari, apakah yang banyak kita ingat dan banyak kita sebutkan tentangnya (dalam keadaan suka)? Apakah yang paling banyak kita ingat dan paling banyak kita lafaz-lafazkan, bual-bualkan (dalam keadaan suka)?

Allah? Rasul-Nya? Agama? Dakwah?

Atau kerjaya? Hobi? Rumah? Kenderaan? Keluarga? Wang? Hiburan? Gossip? Isu semasa? Pelajaran? Sukan? Pasangan?

Yang PALING BANYAK kita suka fikir-fikirkan, lafaz-lafazkan dan sembang-sembangkan... itulah yang PALING KITA CINTAI. Jadi, selama hari ini dalam sehari-hari, mana yang paling banyak, yang PALING kita cintai?

Pesan Nabi : “Tidak beriman seorang dari kamu sebelum Allah dan Rasul-Nya LEBIH DICINTAINYA daripada yang lain-lain.” (Bukhari & Muslim)

Pesan baginda lagi : “Tidak beriman seorang hamba sebelum aku (Rasulullah) LEBIH DICINTAI daripada isterinya, hartanya dan sekelian manusia.”(Bukhari & Muslim)

Mari membetulkan YANG PALING KITA CINTAI.

Tazkirah Facebook 9 (Selasa 20.12.11)

Dalam bidang apa pun, jika kita hendak menjadi antara yang terpilih, kita mestilah mengorbankan banyak masa kita untuknya. Tidak sanggup mengorbankan masa kita? Pendek kata, tak ada harapanlah untuk menjadi antara yang terpilih.

Tanyalah mana-mana ahli sukan, untuk menjadikan diri mereka antara yang terpilih ke peringkat negeri, kebangsaan atau antarabangsa, berapa banyak masa yang sudah mereka korbankan untuk sukan yang mereka ceburi itu?

Bolehkah terus-terus sahaja dipilih sebagai wakil negeri dan negara tanpa mereka mengorbankan banyak masa sebelum itu? Tentunya tidak boleh.

Berapa jam sehari mereka peruntukkan untuk sukan yang mereka ceburi itu? Contohnya sukan badminton, bolasepak, bina badan, tinju, lumba basikal dan lain-lain.

10 minit sehari? Setengah jam sehari? 6 jam sehari?

Sudah berapa lama mereka berbuat begitu sebelum berjaya ke peringkat negari, negara dan antarabangsa? Sebulan? Setahun? Lima tahun?

Mana mungkin bercita-cita untuk bermain sebagai wakil negeri dan negara tanpa mengorbankan banyak masa sebelum itu. Angan-angan kosong namanya.

Begitulah juga cita-cita kita untuk ke syurga. Berapa banyak masa dalam sehari, seminggu, sebulan dan lain-lain yang sudah kita korbankan untuk layak ke syurga?

Cukupkah dengan 10 minit sehari? 1 jam sehari?

Untuk menjadi antara yang terpilih ke syurga, kita mestilah sanggup mengorbankan banyak masa juga untuknya.

Jika tidak, kita seumpama seorang yang berlatih bermain bolasepak sejam sehari, tetapi berangan-angan untuk terpilih bermain di peringkat antarabangsa.

Tazkirah Facebook 8 (Isnin 19.12.11)

Jangan meletakkan kebenaran itu pada masyhurnya nama, tingginya pangkat, besarnya jawatan, banyaknya gaji, ramainya pengikut, banyaknya tulisan, pelbagainya protfolio, berlambaknya kelulusan, panjangnya janggut, besarnya serban, berjelanya sanad, banyaknya hafazan, sedapnya suara mengalun Quran, banyaknya pujian orang, selalunya masuk radio tv, padatnya jadual kuliah, banyaknya mengIslam dan mengislah orang, ada PHD, orang universiti, ber'title' mulia dan seumpamanya.

Kebenaran tetap kebenaran sekalipun seseorang itu langsung tiada nama, pangkat rendah, berjawatan kecil, bergaji sedikit, tiada pengikut, tiada tulisan, tiada sebarang portfolio, sedikitnya kelulusan, nipisnya janggut, tidak berserban, tidak bersanad, sedikit hafazan, suara tak sedap, dihina orang, tak pernah masuk media, tidak mengajar agama, kelulusan Darjah 6 dan sebagainya.

Anda mungkin meminati:

Related Posts with Thumbnails