Monday, January 6, 2014

Kitab Kifaayatul Muhtaaj dalam Tulisan Rumi

Alhamdulillah, syukur… sahabat kita Ustaz Muhamad Rauf bin Minhat dari Melaka sudah berjaya menghasilkan pemindahan tulisan kitab Kifaayatul Muhtaaj karya Syeikh Daud Al-Fatoni dari tulisan jawi ke tulisan rumi. Dia menghadiahkan sebuah kitab itu kepada saya bersama-sama sebuah lagi kitab iaitu Badrut Tamaam karya Syeikh Wan Ahmad Al-Fatoni, yang turut dirumikan. Baru tadi siang sampai. Ribuan terima kasih diucapkan. Semoga mendapat keberkatan daripada Allah SWT.



Antara keistimewaan naskah yang dihasilkan oleh Ustaz Muhammad Rauf ini ialah :
1.       Cantik, kemas, tersusun, mudah dibaca.
2.       Disertakan sanad kitab ini sampai kepada Ustaz Muhammad Rauf.
3.       Disertakan riwayat ringkas Syeikh Daud Al-Fatoni.
4.       Disertakan scan keseluruhan kitab Kifaayatul Muhtaaj bertulisan jawi di bahagian belakangnya.

Buku ini diterbitkan oleh Menuju Puncak Supply & Services, Melaka. Sesiapa yang berminat bolehlah berhubung dengan Ustaz Muhammad Rauf di blognya Dalail Khairat http://alraufi.blogspot.com/ . Kitab-kitab lain yang turut tersedia ialah Dalail Khairat, Faridatul Faraid, Qasidah Burdah, dan pelbagai lagi.

Kitab Kifaayatul Muhtaaj ini pernah saya syarahkan suatu ketika dahulu, tamat dalam 23 kali kuliah. Kesemua rakaman audionya masih boleh didengar di Kembara ke Sidratul Muntaha http://syarahisrakmikraj.blogspot.com/ . Dengan adanya naskah bertulisan rumi ini, akan lebih mudahlah kita mengulangkaji.

Semoga bermanfaat buat semua.

Abu Zulfiqar

6 Januari 2014

Saturday, January 4, 2014

Tajdid Sebenar dalam BerTabligh

PERSOALAN :
Salam,
Mohon pandangan terhadap jemaah Tabligh.
Saya ada baca beberapa artikel yang memburukkan jemaah ni….
Saya berminat nak join diorang untuk cari ilmu…


JAWAPAN :

PENDAHULUAN

“Kita terima apa sahaja yang benar daripada sesiapa pun, dan kita tolak apa sahaja yang salah dan apa sahaja yang melemahkan (agama dan umat Islam) daripada sesiapa pun.”

“Kewarasan menghapuskan ketaksuban, ketaksuban menghapuskan kewarasan.”

“Bukan aku yang terbaik, bukan kami yang terbaik, tetapi KITA yang terbaik.”

“Setiap jemaah atau perkumpulan ada kekuatan dan ada kelemahan. Tidak ada satu jemaah atau perkumpulan pun yang tidak punya kelemahan. Oleh itu kita hendaklah berusaha untuk saling isi-mengisi dan bergerak sebagai satu umat.”

“Kebenaran tetap kebenaran tidak kira siapa pun yang menyatakannya. Hal-hal yang nampak hebat atau memang hebat (seperti panjangnya janggut, ramainya pengikut, banyaknya sanjungan, banyaknya jasa, besarnya serban, hebatnya pakaian dan perhiasan, tingginya kelulusan, tingginya martabat dan pangkat, besarnya jemaah, luasnya medan dakwah, mulianya keturunan, besarnya jawatan agama, banyaknya menghafal, bertimbunnya kitab karangan, banyaknya link, jutaannya zikir dan sebagainya) bukanlah bukti kepada kebenaran dalam sesuatu isu.”

Ini lima saranan Dakwah Tajdid Sebenar yang sangat cantik untuk dikaitkan dengan persoalan yang diajukan.


TABLIGH

“Tabligh” ada banyak erti, tetapi tabligh yang kita maksudkan dalam konteks bicara kita ini (sebagaimana yang ditanyakan) ialah satu perkumpulan umat Islam yang bergerak sebagai satu jemaah, diasaskan oleh Maulana Muhammad Ilyas dan begitu sinonim dengan majlis ijtima’ di Tongi, Bangladesh. Apabila ia datang datang bentuk organisasi dan dalam bentuk pakej (ada peraturan, adab dan gerak kerja tertentu) maka jelaslah bahawa perkumpulan Tabligh ini ialah salah satu daripada sekian banyak jemaah gerak kerja umat Islam di dunia ini.

Jemaah Tabligh satu perkumpulan yang bagus (*saya sendiri mula “kenal agama” melalui jemaah Tabligh lebih 20 tahun yang lalu dan sehingga kini masih membacakan kitab Fadhail ‘Amal selepas solat fardhu ‘Asar dan Maghrib jika saya menjadi imam). Sekiranya anda berminat untuk menyertai jemaah Tabligh dan aktiviti-aktivitinya, saya memang menggalakkan. Ada kekuatan tertentu yang ada pada jemaah ini tetapi tidak ada pada jemaah lain yang boleh kita dan umat Islam manfaatkan.

Namun begitu kita sedia maklum bahawa semua perkumpulan termasuklah jemaah Tabligh tidak terlepas daripada kesilapan dan kelemahan. Cuma janganlah kerana beberapa kesilapan dan kelemahan itu kita jadikan kayu ukur untuk menghukum jemaah Tabligh sebagai negatif dan tidak wajar untuk disertai. Jemaah Tabligh sangat bagus untuk disertai. Carilah ilmu, iman dan amal melalui jemaah ini tetapi jangan sampai terikat ketat dan jangan sampai taksub.

Dalam saranan Dakwah Tajdid Sebenar, melibatkan diri dengan jemaah Tabligh dan aktivitinya memang digalakkan, tetapi hanya sebagai salah satu daripada juzuk tarbiyyah, dan bukan satu-satunya ruang untuk perjuangan hidup mati kita. Banyak lagi juzuk-juzuk tarbiyyah yang perlu dilalui oleh seorang yang berminda tajdid sebenar. Maksudnya tidak digalakkan untuk menjadikan Tabligh sebagai jemaah kita seumur hidup. Hal ini kerana ada banyak lagi perkara yang perlu kita ketahui, alami dan kita usahakan sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah saw dan para sahabatnya.

Namun begitu tidaklah menjadi kesalahan sekiranya  seseorang itu mahu menjadikan Tabligh sebagai jemaahnya seumur hidup asalkan mindanya berminda dakwah tajdid sebenar. Lebih-lebih lagi jika dirasakannya melalui jemaah Tablighlah ilmu, iman dan amal-amal solehnya paling meningkat berbanding jika dia menyertai jemaah-jemaah lain ataupun jika dia tidak menyertai mana-mana jemaah.

Sebab itu dalam halaqah-halaqah usrah Dakwah Tajdid Sebenar, para naqib/naqibah tidak memestikan peserta halaqah usrah itu bergabung dengan jemaah/perkumpulan yang dianggotai oleh naqib/naqibah. Sebaliknya para naqib/naqibah memerhatikan keadaan si peserta dan membuat saranan untuk si peserta menyertai jemaah yang paling sesuai dengan diri dan keadaan si peserta.

Bukan semua orang paling meningkat ilmu, iman dan amal-amalnya melalui jemaah kita sahaja. Ada orang yang lebih baik ilmu, iman dan amal-amalnya jika dia menyertai jemaah lain. Kita tidak boleh bersikap mementingkan diri dan pihak kita sahaja. Tidak sesuai untuk kita memaksa peserta masuk ke dalam jemaah kita. Tidak ada pemahaman bahawa : “Jemaah/perkumpulan kamilah yang terbaik, tersunnah, yang sunnah, paling afdhal, paling benar dan sebagainya.” Dakwaan-dakwaan sebegini sangat bertentangan dengan prinsip-prinsip tasauf.


PANDUAN UNTUK BERJEMAAH MENURUT DAKWAH TAJDID SEBENAR

1.       Silakan sertai jemaah-jemaah umat Islam dan aktivitinya (termasuklah jemaah Tabligh).

2.       Cintai dan taatilah pimpinan dan jemaah pilihan kita, tetapi jangan sampai terikat ketat dan taksub dengan pimpinan dan jemaah itu. 

“Kewarasan menghapuskan ketaksuban, ketaksuban menghapuskan kewarasan.”

3.       Ambil tahu juga aktiviti dan peranan tokoh-tokoh dan jemaah-jemaah Islam yang lain, dan jika berpeluang sesekali sertailah aktiviti-aktiviti mereka juga, asalkan janganlah sampai mengganggu peranan kita dalam jemaah yang sedang kita anggotai. Menambah ilmu, pengalaman, keimanan dan amal-amal soleh BUKAN HANYA ADA melalui jemaah/perkumpulan yang sedang kita anggotai sahaja.

4.       Teruslah meneliti dan mengkaji pandangan, pegangan dan aktiviti jemaah yang sedang kita anggotai. Tidak ada salahnya berfikiran kreatif dan kritis asalkan bersesuaian dengan keadaan. Apabila kita menyertai sesuatu perkumpulan, bukan bermaksud kita menjadi hamba abdi, robot atau lembu yang dicucuk hidung yang 100% menurut sahaja tanpa pertimbangan dan soal-soal lagi.

5.       Berusahalah untuk mewujudkan hubungan baik lagi mesra dengan jemaah atau perkumpulan umat Islam yang lain dan cuba wujudkan usaha dan kerjasama dalam hal-hal yang disepakati.

Umat Islam ibarat satu tentera. Tidak boleh hanya mengharapkan jemaah askar marin sahaja untuk berjuang dan menang. Tidak boleh jemaah askar berkereta kebal mendakwa merekalah yang terbaik. Tidak boleh jemaah askar perisikan mengatakan jemaah-jemaah askar yang lain mesti menyertai mereka. Tidak boleh jemaah askar pejalan kaki mendakwa “kamilah yang mengikut sunnah (maksudnya yang lain-lain tidak mengikut sunnahlah)”. Tidak boleh jemaah askar yang memandu jet pejuang mengakui bahawa merekalah yang paling berjasa. Begitulah seterusnya.

Sebaliknya, usaha sama antara kesemua jemaah askar itulah  yang akan menjadi gerombolan tentera pejuang yang terbaik. Memanglah kesemua jemaah itu tidak dapat bekerjasama dalam segala bidang, tetapi dalam hal-hal dan keadaan yang disepakati, mereka boleh bergerak bersama-sama. Malangnya hal ini tidak diambil berat.

“Bukan aku yang terbaik, bukan kami yang terbaik, tetapi kita yang terbaik.”
“Bukan (jemaah/perkumpulan/usaha/method/kaedah) aku yang terbaik, bukan (jemaah/perkumpulan/usaha/method/kaedah)kami yang terbaik, tetapi (usaha sama antara jemaah-jemaah umat Islam) kita yang terbaik.”

“Setiap jemaah atau perkumpulan ada kekuatan dan ada kelemahan. Tidak ada satu jemaah atau perkumpulan pun yang tidak punya kelemahan. Oleh itu kita hendaklah berusaha untuk bergerak sebagai satu umat.”

6.       Kita dan jemaah kita tidak semestinya sentiasa benar dan tidak semestinya sentiasa lebih benar berbanding orang atau jemaah lain. Maksudnya kenalah bijak dalam membuat pertimbangan dan penilaian, bukan hanya “terima dan patuh” (kecualilah jika melibatkan bidang intelligence/perisikan yang dalam keadaan-keadaan tertentu para da’i hendaklah “terima dan patuh” tanpa soal, tetapi yang terlibat dalam bidang ini pada mana-mana jemaah pun jumlahnya hanya sedikit).

7.       Jemaah atau perkumpulan mana pun yang kita sertai, jangan sibuk dengan gerak kerja fardhu kifayah sahaja sehingga terabai atau kurang ambil berat dengan yang lebih utama bagi setiap manusia dan jin iaitu ilmu-ilmu yang fardhu ‘ain, iaitu ilmu mukasyafah dan ilmu mu’amalah.  Inilah yang biasa terjadi. Puluhan tahun sibuk dengan gerak kerja mengajak orang masuk jemaah kita, berdakwah, buat kerja-kerja kebajikan dan kemasyarakatan, anjur program, jayakan kem-kem tarbiyyah, berkempen, buat perhimpunan, majlis motivasi, ceramah dan sebagainya, tetapi jauh tertinggal dalam hal-hal fardhu ‘ain khususnya ilmu mukasyafah dan ilmu mu’amalah. Keadaannya seperti orang yang berusaha keras mahu menaikkan orang ramai yang kelemasan ke atas kapal, tetapi dirinya sendiri masih berada di dalam air.

PENUTUP

Begitulah jawapan yang agak ringkas kepada persoalan yang diajukan. Kesimpulannya, sertailah mana-mana jemaah atau perkumpulan pun, tetapi dalam keadaan kita berminda tajdid sebenar. Semoga bermanfaat.

“Kebenaran tetap kebenaran tidak kira siapa pun yang menyatakannya. Hal-hal yang nampak hebat atau memang hebat (seperti panjangnya janggut, ramainya pengikut, banyaknya sanjungan, banyaknya jasa, besarnya serban, hebatnya pakaian dan perhiasan, tingginya kelulusan, tingginya martabat dan pangkat, besarnya jemaah, luasnya medan dakwah, mulianya keturunan, besarnya jawatan agama, banyaknya menghafal, bertimbunnya kitab karangan, banyaknya link, jutaannya zikir dan sebagainya) bukanlah bukti kepada kebenaran dalam sesuatu isu.”

“BerTuhankan Allah, Bersyari’atkan Syari’at Muhammad Rasulullah”
“Pandang Global, Bergerak Sebagai Satu Umat”

Abu Zulfiqar

4 Januari 2014

Tajdid Sebenar dalam Berjemaah

PERSOALAN :
Saya dan suami berbincang tentang perjuangan dalam xxxxxxxxxx (salah sebuah jemaah Islam). Saya katakan banyak kepincangan dalam barisan kepimpinan sama ada di peringkat akar umbi atau tertinggi. So perlukah kita berjuang atas nama xxxxxxxxx? Bagi saya xxxxxxxx hanyalah wadah perjuangan. Kalau kita berjuang atas dasar agama tanpa xxxxxxxxxx, juga kita masih boleh menegakkan agama. Yang penting kita memperjuangkan agama.

Pendapat saya ini disanggah oleh suami habis-habisan. Katanya dia sangat bertuah dipilih Allah duduk dalam xxxxxxxxx. Ada ayat quran menyatakan bahawa kita harus berjuang dalam jemaah. (saya katakan ya, tapi kalau bukan jemaah xxxxxxxxxx pun, masih dikira jemaah kan, asal saja mendukung aspirasi Islam)

Katanya lagi, pada zaman Rasulullah pun, Rasulullah memilih pahlawan yang akan turut berjuang di medan perang terdiri daripada golongan yang terjaga solat malamnya. Ini menunjukkan pada zaman Rasulullah pun sudah ada perbezaan tingkat iman seseorang.
Apatah lagi zaman ini. Tidak dapat dinafikan bahawa ulama dan pemimpin dalam xxxxxxxxxxx juga ada pelbagai sudut pandang. Ini tidak bermakna kita harus keluar daripada jemaah.

Saya terus-terusan mengatakan berjuang tidak mesti dalam xxxxxxxxx. Kita pergi mengaji pun bukan belajar tentang kepimpinan xxxxxxxx, kita belajar tentang agama kita sedalam-dalamnya. Cuma aspirasi xxxxxxxxx itu selari dengan kehendak agama. Dan xxxxxxxxx itu hampir dengan kita maka kita memilih xxxxxxxxx sebagai wadah perjuangan.

Mohon pandangan dalam hal ni. Jzkk.


PENJELASAN :
Pandangan saya begini…

“Banyak kepincangan dalam barisan kepimpinan…….”
Yang ni tidaklah kita nafikan. Dan kita pun sedia maklum bahawa dalam mana-mana perkumpulan atau jemaah pun akan ada kepincangan barisan kepimpinan. Cuma dalam xxxxxxxxxx ni, kepincangan tu kuranglah sikit kalau nak dibandingkan dengan kebanyakan perkumpulan/jemaah lain yang sewaktu dengannya.

“Perlukah berjuang atas nama xxxxxxxxxxxx?..........”
Bahagian ini saya rasa perlu tak perlu tu mengikut keadaan individu tu lah. Contohnya :
1.       Ada orang yang kalau bergerak dalam xxxxxxxxx, keadaan ilmu, iman dan amal dia paling melonjak. Tapi kalau dia bergerak dalam perkumpulan lain, ataupun dia tak ikut mana-mana perkumpulan… ilmu, iman dan amal dia meningkat dengan kadar biasa sahaja ataupun tak meningkat…. Jenis ni, eloklah berjuang melalui platform xxxxxxxxxxxx.
2.       Ada jugak orang yang kalau dia bergerak dengan xxxxxxxxxx… ilmu, iman dan amal dia meningkat tapi, lebih meningkat lagi jika dia berjuang dalam jemaah/perkumpulan lain, eloklah dia sertai jemaah/perkumpulan yang lain tu. Begitu jugak, kalau dengan bergerak sendiri tanpa secara rasminya berjuang atas platform mana-mana pihak… ilmu, iman dan amal dia lebih melonjak, eloklah dia tak sertai mana-mana perkumpulan secara rasmi.

“Perjuangkan agama tidak semestinya melalui xxxxxxxxxx…….”
Saya bersetuju. Ada banyak laluan untuk kita perjuangkan agama, dan melalui xxxxxxxxxx ialah salah satunya.

“Bertuah kerana dipilih Allah untuk berjuang dalam xxxxxxx…..”
Memang betul. Bukan ramai mana sangat orang yang Allah pilih untuk berjuang. Tak ramai juga yang dipilih untuk berjuang dalam jemaah. Dan tak ramai juga yang dipilih untuk berjuang dalam jemaah xxxxxxx. Keadaan begitu adalah jauh lebih baik daripada tidak bergerak memperjuangkan Islam langsung. Kita kena bersyukur banyak-banyak kerana dipilih Allah untuk berjuang, tak kiralah dalam perkumpulan/jemaah yang mana pun, termasuklah dalam jemaah xxxxxxxxxxx.

“Ayat Quran yang mengatakan kena berjuang dalam jemaah….”
Memang benar, tapi sebagaimana katanya le…… tak semestinya dengan jemaah xxxxxxxxx. Ada pelbagai jemaah/perkumpulan Islam lagi. Konsep “jemaah” tu pun luas. Kalau dapat bergerak dalam satu organisasi macam Jemaah An-Nur, PAS, Haluan, Ikhwanul Muslimin, ISMA, Muafakat, Nahdatul Ulama, ABIM, IKRAM dan sebagainya termasuklah organisasi-organisasi yang tak khusus macam halaqah-halaqah usrah, kumpulan-kumpulan pengajian dan sebagainya… memang sangat bagus. Tapi kalau berjuang tanpa organisasi pun ok jugak, cuma dari sudut kekuatan tu kuranglah, maklumlah kita sendiri-sendiri.

“Rasulullah memilih pahlawan yang akan berjuang…..”
Memang benarlah.

“Tingkat keimanan kita berbeza…..”
Benar juga.

“Perbezaan pandangan pemimpin tidak mengharuskan kita keluar dari jemaah……”
Yang ni pun benar jugak. Para sahabat pun berbeza pandangan, tapi mereka sangat menjaga perpaduan. Salah silap pimpinan dan perbezaan pandangan mereka sekiranya tak sampai ke peringkat bahaya, eloklah kita terus bersama-sama jemaah kerana hal itu akan sentiasa wujud. Tapi kalau teruk sangat kesilapan dan perbalahan, ada ketikanya mungkin lebih sesuai jika kita tidak aktif dalam jemaah (sama ada menyertai jemaah lain ataupun tidak aktif dengan mana-mana jemaah). Sahabat Nabi iaitu Abu Zar Al-Ghifari pun pernah diperintahkan pindah dan tidak aktif dengan jemaah para sahabat kerana ada perbezaan pandangan dengan salah seorang khalifah yang 4.

“Berjuang tidak semestinya dalam xxxxxxxx……”
Setuju. xxxxxxxxxxx ialah salah satu wadah perjuangan daripada sekian banyak wadah perjuangan Islam yang ada.

“Pergi mengaji tetapi isinya bukan tentang hal ehwal xxxxxxxx…..”
Memang benar. Pengajian-pengajian umum memang tidak menyentuh xxxxxxxxx secara langsung. Hal ehwal kepimpinan xxxxxxxxx dsb ni disentuh dalam majlis-majlis khas seperti usrah ataupun taklimat. Masalahnya dalam xxxxxxxx, liqa usrah ni kurang mantap dan kurang berjalan. Jemaah-jemaah lain ada yang seminggu sampai dua tiga kali.

“Aspirasi xxxxxxxx selari dengan kehendak agama…..”
Ya, umumnya begitulah kerana agama menjadi teras xxxxxxx. Susahlah nak jumpa mana-mana agenda perjuangan xxxxxxxxx yang bertentangan dengan Islam.

“Xxxxxxxxx hampir dengan kita, maka kita pun pilih xxxxxxxxx…”
Betul juga. Di kawasan kita ni nampaknya xxxxxxxxlah jemaah perjuangan Islam yang lebih aktif. Dan kawan-kawan kita pun ramai yang menjadi menyertai xxxxxxxx. Jadi… senang untuk kita bergerak dan berjuang.

Yang saya perhatikan, suami anda kalau bersama-sama dengan xxxxxxxxx, memang dia rajin buat kerja dan bersemangat. Mungkinlah xxxxxxxx platform perjuangan yang paling baik untuk dia. Seandainya dia tak aktif dengan xxxxxxxx pun, (sama ada dia join perkumpulan lain ataupun tak join mana-mana), ada kemungkinan usaha dan semangat dia akan menurun, lalu lama-kelamaan jadi orang-orang biasa yang tak ada saham dalam perjuangan agama. Rugi le pulak.

Dari sudut kekeluargaan… sangat penting, ada beberapa kategori :
1.       Suami dan isteri aktif dengan organisasi dakwah tertentu. Yang ni memang terbaik. Contohnya dua-dua orang aktif dengan ABIM. Dapat bergerak sekali, dan hala tuju pun sama.
2.       Suami dan isteri aktif dengan organisasi jemaah yang berlainan. Yang ni akan bawa banyak masalah, sebab sukar nak bergerak sekali, sukar nak berbual dan mungkin juga ada perbezaan pandangan antara organisasi. Contohnya suami Tabligh isteri ISMA. Elakkan.
3.       Suami dan isteri tak aktif pun. Yang ni pun kacau jugak, hidup tak ada perjuangan.
4.       Suami aktif dengan organisasi dakwah tertentu, isteri tak aktif dengan mana-mana. Seorang je yang berjuang secara rasmi. Yang ini pun masih ok, insya-Allah rumahtangga bahagia juga. Cuma si suami sesekali rasa kurang selesa jugak sebab tak dapat bergerak sekali dengan isteri, dan isteri pun sesekali rasa kurang selesa jugak sebab suami asyik ada program je. Contohnya suami aktif IKRAM, isteri biasa-biasa je.
5.       Suami tak terlibat dengan usaha dakwah, tapi isteri aktif dengan organisasi dakwah tertentu. Tak berapa ok le jugak. Isteri ada komitmen tertentu dengan organisasi sedangkan suami jenis tak mahu libatkan diri. Contohnya suami biasa je, isteri aktif Tarikat Naqsyabandiyyah.
6.       Suami isteri atau salah seorang aktif dengan hal ehwal agama, tapi tidak secara rasmi terikat dengan mana-mana organisasi, ok le jugak.
7.       Dan pelbagai jenis lagi lah.

Jenis 1 - memang terbaik.
Jenis 2-  elakkan.
Jenis 3-  janganlah jadi macam tu.
Jenis 4 – ok le jugak.
Jenis 5 – elakkan.
Jenis 6 – ok jugak.

Kesimpulannya, kita hendaklah ada saham dalam urusan agama ni sama ada kita berorganisasi secara rasmi, atau secara tak rasmi ataupun berjuang sendiri-sendiri. Berorganisasi ataupun tidak, mengikut keadaan masing-masing. Lain orang lain situasinya. Tak sesuai kita paksa seseorang tu mesti aktif dengan organisasi yang mana. Tapi kalau dapat bergerak secara berorganisasi (perkumpulan atau jemaah), tentulah lebih bagus. Cuma kita elakkan sikap taksub dengan organisasi kita sahaja. Wallahualam.

Salah silap mohon maaf.

Abu Zulfiqar

1 Disember 2014

Anda mungkin meminati:

Related Posts with Thumbnails