Thursday, June 30, 2011

Monolog Israk Mikraj

Dalam kesepian malam...dalam kepekatan gelap malam dan kedinginannya... kekasihku menaiki kenderaannya membelah angin dengan begitu pantas, menuju destinasi yang tidak diketahuinya... dibawa oleh seorang teman...

Dengan kenderaan terbaik, yang sangat canggih sepanjang zaman... membuatkan kekasihku sangat selesa dan berasa bahagia. Lopak, batu-batan, rerumput... bahkan lurah, cerun dan gegunung dilewatinya dengan licin lagi lancar.

Sepanjang perjalanan, dilihatnya pelbagai gambaran dan peristiwa yang luar biasa... sedangkan ketika itu belum adanya panggung wayang, televisyen, satelit...

Kekasihku tiba di suatu kompleks lama yang diberkati Tuhan sekitarnya. Halaman suci itu dikenali sebagai Masjidil Aqsa. Kekasihku sangat teruja dan sangat bersyukur...

Lenyap terus kesedihannya kehilangan bapa saudara dan isteri tercinta. Asyiknya dia menyaksikan kebesaran Tuhan. Kemudian...

,,, dia dikunjungi pula oleh sahabat-sahabatnya yang mulia dan suci, lagi jernih wajah dan peribadi mereka...iaitu para nabi... Aduh... meriahnya majlis pada malam itu... Ada lagikah majlis lain seumpamanya di dunia ini...?

Seandainyalah boleh dilihat Rasulullah pada malam yang gemilang itu, tentu kita akan nampak bercahaya bersinar dari kejauhan baginda membelah malam gelap dan sunyi... indah dari kejauhan...

Belum habis keasyikannya, kekasihku diperlihatkan pula mikraaj yang sangat indah. Pengembaraannya kini menuju ke atas... apa pulalah rahsia dan keindahan di atas sana... yang jauh lebih gelap hitam daripada malam di muka bumi ini...

Kekasihku bertemu dengan seorang yang mulia lagi hebat peribadinya. Ismail namanya...PENJAGA LANGIT DUNIA! Ribuan malaikat bawahannya... MasyaAllah...

Lepas imigresen langit dunia, masuklah kekasihku ke dunia Langit Pertama... Alam langit penuh keajaiban wahai tuan... manusia pertama, raja pertama, nabi pertama, suami pertama, bapa pertama...iaitu leluhur kita yang mewariskan urat darah tulangnya kepada kita semua...ada di sana... alam Langit Pertama.

Itulah bapa manusia... Nabi Adam. Bayangkan tuan... pertemuan makhluk teragung si kekasih kita dengan manusia pertama...

Kekasihku bermi'raj lagi... masuk ke alam lain yang lebih tinggi... semakin jauh kembaranya. Dua susuk pemuda yang cemerlang ditemuinya. Seorang pernah dipenggal kepalanya, seorang pernah cuba hendak disalib. N. Yahya dan N. Isa.

Itulah orang-orang langit. Masih ramai lagi tuan... Naik lagi... kekasihku berhadapan pula dengan manusia paling tampan... yang matahari, bulan dan bintang merendah kepadanya…

………………… tamat di situ sahaja nukilan saya pada malam itu.

Sebenarnya pada malam itu, aura dan aroma peristiwa bersejarah Isra’ dan Mi’raaj betul-betul menusuk kalbu, entah mengapa. Secara spontan tangan ini menulis di Facebook (Abu Zulfiqar) apa saja yang dirasakan ketika itu, meluahkan perasaan sendiri, bermonolog melalui tulisan.

Di luar dugaan, nukilan ‘simple’ menerawang begini mendapat maklum balas yang cukup baik dari teman-teman FB. Ramai orang suka membacanya kerana sejarah Isra’ Mi’raaj dihidangkan dalam bentuk yang berbeza daripada sebelumnya.

Bahagian yang tidak menariknya… nukilan saya terhenti setakat itu sahaja, kerana ‘feel’ dan kesayuan ke atas peristiwa besar itu sudah menghilang. Teman-teman minta disambung lagi, tapi saya khuatir tidak akan menjadi. Nanti rosak pula nukilan pendek ini kalau di sambung : )

Jadi, sekadar itu sahajalah. Mungkin bersambung tahun depan pulak kot : )

SELAMAT MENGHAYATI ISRA’ WAL MI’RAAJ.

Abu Zulfiqar

29 JUN 2011

Tuesday, June 21, 2011

SJ - Yahudi, Kitab2 Suci, Sembelihan Ahli Kitab

GP BERTANYA:

Saya percaya anda seorang yang arif tentang agama..just nak tahu..zaman sekarang..ada lagi tak Yahudi yang baik-baik? Ada lagi tak kitab Taurat, Injil dan Zabur yang asal pada zaman kita? Ada lagi tak ahli kitab? Kalau ahli kitab ni ada..kenapa kita boleh makan sembelihan mereka..tolong la jawab persoalan yang selalu bermain-main dalam minda saya ni..tq.

JAWAPAN:

Pada pandangan saya, masih ada lagi Yahudi yang baik-baik tetapi jumlahnya sangatlah kecil. Jawapan saya ini SECARA UMUM sahaja kerana saya kurang jelas akan maksud istilah ‘baik’ yang anda gunakan. Apakah baik dari segi moralnya? Agamanya? Tauhidnya? Ataupun yang lain-lain? Jika anda dapat memberi penjelasan lanjut tentang pengertian perkataan “baik” yang digunakan itu, mungkin saya akan dapat memberikan penerangan lanjut.

Kitab Taurat, Injil dan Zabur yang asal BOLEH JADI masih wujud, boleh jadi juga sudah tidak ada lagi di dunia ini. Tapi kitab yang dikatakan Taurat, Zabur dan Injil YANG BERADA DALAM BIBLE HARI INI (yang dibaca oleh jutaan orang di seluruh dunia itu) secara keseluruhannya bukanlah yang asli, tetapi sudah bercampur aduk antara:

1. Wahyu Tuhan,

2. Kata-kata para nabi,

3. Tulisan ahli sejarah,

4. Tulisan orang-orang yang tidak diketahui.

Tentang ahli kitab, para ulama Islam berbeza pandangan. Ada yang mengatakan mereka masih ada, dan ada yang mengatakan mereka sudah tidak wujud. Bahagian ini agak panjang untuk dihuraikan.

Ada beberapa sebab orang Islam boleh memakan sembelihan Ahli Kitab. Antaranya:

1. Untuk MEMUDAHKAN UMAT ISLAM BERGERAK ke serata dunia, kerana lebih mudah memperolehi makanan. Hal ini kerana di mana-mana pelusuk dunia pun hari ini terdapat Ahli Kitab terutamanya penganut agama Kristian/ Nasrani.

2. Antara manfaat sembelihan menurut agama Islam ialah haiwan itu mati dengan cepat (tidak menyeksanya) dan kesemua benda/unsur tidak baik buat manusia (yang terkandung dalam darah haiwan itu) dikeluarkan. Oleh kerana sembelihan Ahli Kitab ADA PERSAMAAN MANFAAT, maka umat Islam dibolehkan memakannya.

3. Untuk menjalinkan hubungan rapat antara umat Islam dengan Ahli Kitab kerana agama para Ahli Kitab itu yang paling hampir dengan ajaran Islam. Hal ini juga sebagai salah satu usaha dakwah ke atas mereka.

4. Sebagai SALAH SATU panduan untuk umat Islam mengenalpasti Ahli Kitab yang masih ada pada hari ini. Hal ini kerana Ahli Kitab asli pasti akan MENYEMBELIH atau MEMAKAN DAGING HAIWAN YANG DISEMBELIH.

Ahli Kitab asli tentunya tidak akan mematikan haiwan dengan cara mengetuk, memesin hidup-hidup hingga hancur, menyuntik racun, memulas kepada, menghempas, melemaskan dalam air, menembak mati dan sebagainya melainkan dengan MENYEMBELIH.

Begitulah PENJELASAN RINGKAS dari saya, dengan harapan ada manfaat buat diri anda.

Abu Zulfiqar

19 Jun 2011

Sunday, June 19, 2011

Teks Kuliah Syarah Ihya 7

http://www.youtube.com/watch?v=9Z7n5FaLsUc



Hadirin yang dirahmati Allah sekelian,

Sekarang kita masuk (kepada) kitab Ihya’ ‘Ulumiddin kita, ataupun ringkasannya kitab Bimbingan Mu’minin. Seawal-awal kitab ini ada ditulis : “Sesungguhnya hal yang demikian itu menjadi pengajaran bagi sesiapa yang mempunyai hati.”

Kita tengok ya. ‘Start start’ kitab dia terus cakap begitu : “Sesungguhnya hal yang demikian itu menjadi pengajaran bagi sesiapa yang mempunyai hati.” Ini di permulaan kitab, bukannya di akhir kitab. ‘Start start’ kitab dia kata : “Apa-apa yang kita cerita tadi itu adalah pengajaran bagi orang-orang yang berakal.”

Kenapa dia mulakan kitab ini dengan cara begini? Ini yang kita (berasa) pelik, seolah-olah dia sudah bercerita panjang dah. Sepatutnya ayat ini diletak di belakang. Sudah habis dia ulas semua, barulah dia kata : “Sesungguhnya hal demikian itu jadi pengajaran...” Ini tidak. Di awal kita lagi dia terus bawa keluar ayat Al-Quran ini, dari surah Qaaf ayat 37. Hal ini ada rahsianya.

Sebenarnya Imam al-Ghazali tidak mahu panjang-panjang cerita, dia terus bagi ayat yang ke-37. Salah satu tujuannya ialah supaya kita ambil tahu ayat pertama sampai ayat ke-36. Ada banyak pengajaran dan nasihat-nasihat yang boleh kita ambil dari ayat nombor 1 sampai 36, tapi tidak dimasukkan di sini (dalam kitab Ihya’ ini).

Jadi secara ringkasnya... saya pun tidaklah tafsirkan 36 ayat itu... secara ringkanya kita tengok dalam nota itu pengajaran pertama, di bahagian kanan sebelah bawah. Di sanalah (hasil) saya tengok Surah Qaaf sepintas lalu, saya ambil dia punya pengajaran.

Pengajaran yang pertama daripada Surah Qaaf ini, pelajarilah isi kandungan al-Quran dan berpeganglah padanya dengan penuh percaya, penuh yakin. Orang bawa marilah macam mana punya hukum pun, kita tetap berpegang dengan hukum Quran. Tidak ada dolak-dalik lagi.

Yang kedua, kita kena percaya pada Hari Kebangkitan, iaitu Hari Akhirat. Selepas kita hidup ini kita mati, kemudian kita akan hidup balik. Sebab apa, benda ini ‘gerenti’ berlaku. Apabila tahu ia pasti berlaku, kita kenalah buat persediaan. Persedian-persediaannya kita kenalah buat di dunia ini.

Pengajaran daripadaSsurah Qaaf yang ketiga, percayalah bahawa semua amal makhluk dan segala peristiwa direkodkan oleh Tuhan sejak azali. Sejak makhluk mula-mula dicipta, ketika itu sudah ‘berjalan’ dah, sudah direkod apa yang akan berlaku, apa yang sedang berlaku, sudah direkod. Dalam Surah Qaaf itu ada diceritakan.

Yang keempat, Surah Qaaf juga meminta kita supaya mengkaji langit dan bumi, dan isi kandungan di dalamnya, ambil pelajaran. Khususnya pelajaran untuk mendekatkan kita kepada Tuhan.

Yang kelima, Surah Qaaf minta kita jangan mengikut perlakuan buruk kaum-kaum terdahulu, yang mana kaum-kaum ini dilaknat oleh Tuhan. Dalam Surah Qaaf itu ada diceritakan.

Dan yang keenam, percayalah, tempat terakhir kita iaitu syurga ataupun neraka.

Inilah enam pengajaran utama daripada surah Qaaf ayat 1 sampai ayat 36. Barulah sesuai kita baca ayat ini : “Sesungguhnya hal yang demikian itu menjadi pengajaran bagi sesiapa yang mempunyai hati.” Yang enam pengajaran tadi, sesiapa ada akal fikiran, benda-benda yang saya sebutkan tadi, dia ambil berat. Itu maksudnya. Kalau tidak kita (akan berasa ) pelik, kenapa ‘start start’ kitab ini, terus dia masukkan ayat yang seolah-olah dia sudah menceritakannya.

Itulah... dalam kitab Ihya’ ini ada banyak rahsia, kita bongkarlah satu-persatu insyaAllah. Cuma yang malangnya, Imam Al-Ghazali ada buat satu kitab tafsir Al-Quran, setengah pendapat mengatakan ada 40 jilid., kalau ada kitab tafsir itu bolehlah kita tafsirkan dariapada ayat pertama sampai ayat ke-36. Tapi malangnya ketika Baghdad, Iraq diserang oleh orang-orang Monggol, tentera Ya’juj Ma’juj ini menyerang, memusnahkan bandar itu, cukup ramai orang yang mati dan buku-buku ini mereka buang ke dalam sungai. Sampaikan sungai di Baghdad itu jadi hitam airnya dengan dakwat buku-buku itu. Di situlah (kita) kerugian. Banyak kita punya buku dilempar ke dalam sungai dan mungkin juga ketika itulah hilangnya tafsir Al-Quran yang dibuat oleh Imam Al-Ghazali sebanyak 40 jilid.

Kalau ada kitab itu sekarang, sedaplah kita tafsirkan ayat 1 sampai ayat 36 Surah Qaaf. Malangnya tidak ada. Tapi tidak mengapalah, kita ambillah pelajarannya yang tadi (iaitu) belajar isi kandungan Al-Quran, pegang sungguh-sungguh, percaya adanya Hari Kebangkitan, percaya bahawa kita punya amal semua sudahpun direkod, kemudian kita kajilah langit dan bumi, ambil pelajaran daripada alam sekitar, jangan kita ikut contoh kaum-kaum terdahulu yang dimusnahkan oleh Tuhan, dan akhirnya kita percaya syurga itu ada neraka itu ada, dan di sanalah tempat terakhir kita. Itulah pengajaran daripada Surah Qaaf.

Bismillahirrahmanirrahim. Ini perkataan Imam Al-Ghazali.

“Pertama-tama aku memuji Allah, pujian yang banyak, berturut-turut walaupun amat kecil pujian pemuji-pemuji itu, kurang dari hak keagungan-Nya.”

Mula-mula “Alahamdulillah” dulu lah, sebagaimana yang kita petik daripada kitab Sirajul Huda karya Syeikh Muhammad Zainuddin as-Sambawi. Alhamdu... puji ini ada empat jenis puji. Yang kita selalu kata “Alhamdulillah”, “Alhamdu” ini ada empat jenis puji. Mengikut kita Sirajul Huda : “Alhamdu itu puji dengan perkataan atas perbuatan yang elok yang dibangsakan bagi ikhtiar, maka iaitu empat bahagi.”

Di dalam alam ini ada empat jenis puji:

1. Yang pertama, Qadim puji Qadim. Maksudnya Tuhan puji DiriNya sendiri.

2. Yang kedua, Qadim puji baharu. Maksudnya Tuhan memuji makhluk.

3. Yang ketiga, baharu puji Qadim. Maksudnya makhluk puji Tuhan.

4. Dan yang keempat, baharu puji baharu. Makhluk puji sama-sama makhluk.

Contohnya Tuhan puji Diri-Nya sendiri, sebagaimana yang termaktub dalam Al-Quran: “Wahai Musa, sesungguhnya Akulah Allah, Pemelihara sekelian alam.” Tuhan memuji DiriNya sendiri. Tuhan kata, Aku ini Penjaga, Pemelihara sekelian alam. Tuhan puji DiriNya sendiri = Qadim puji Qadim. Khaliq puji Khaliq. Khaliq ini Pencipta, kalau makhluq – yang dicipta. Itu contoh yang pertama.

Contoh yang kedua, Qadim puji baharu. Tuhan puji makhluk. Contohnya dalam surah Al-Anbiya’ ayat 80: “Dan (Nabi) Ismail dan Idris dan Zulkifli. Semuanya itu daripada kalangan orang-orang yang soleh.” Dia puji makhluk ciptaan-Nya iaitu Nabi Ismail, Nabi Idris dan Nabi Zulkifli sebagai orang-orang yang soleh, ornag baik-baik. Ini Tuhan puji makhluk.

Apabila Tuhan puji makhluk, puji itu pergi ke mana? Inilah ilmu tasawuf. Apabila Tuhan puji makhluk, Dia kata Nabi Ismail itu baik, pujian itu pergi ke mana? Baik itu pergi ke mana? Pada hakikatnya baik itu pergi kepada Tuhan balik. Sebab apa? Yang bagi Nabi Ismail baik ini siapa dia? Tuhanlah. Nabi Ismail suka tolong orang, berdakwah, dia tidak fikir benda-benda yang buruk-buruk... semua itu Tuhan yang buat.

Teks Kuliah Syarah Ihya' 6

Teks Kuliah Syarah Ihya' 6


http://www.youtube.com/watch?v=2oAwlDt34hA

Alhamdulillah, segala puji-pujian bagi Allah SWT kerana pada malam ini Dia sekali lagi memilih kita untuk sama-sama berada dalam satu majlis, majlis pengajian kitab Ihya’ ‘Ulumiddin ataupun ringkasannya – kitab Bimbingan Mu’minin.

Pertamanya kita lihat, apakah kelebihan-kelebihan datang ke majlis ilmu sebagaimana yang dicatatkan dalam kitab Ihya’ ‘Ulumiddin ini?

Dalam satu hadith riwayat Imam Muslim, kata Nabi Muhammad, mafhumnya : “Barangsiapa melalui suatu jalan untuk menuntut ilmu, maka dianugerahkan Allah kepadanya jalan ke syurga.”

Berdasarkan hadith ini nampaknya para hadirin yang datang pada malam ini insyaAllah dipermudahkan jalan ke syurga, kerana ini memang janji Nabi Muhammad, memang janji Allah.

Seterusnya dalam hadith riwayat Imam Ahmad, Ibnu Hibban dan Al-Hakim, yang juga dipetik daripada kitab Bimbingan Mu’minin ini : “Sesungguhnya malaikat itu membentangkan sayapnya kepada penuntut ilmu, tanda rela akan usahanya itu.”

Jadi sebenarnya kita sekarang sedang berada di bawah naungan sayap para malaikat, cuma kita tidak nampak sahaja. Kalau kita nampak mungkin kita lari, sebab hebatnya rupa malaikat-malaikat ini. Eloklah tidak nampak. Cuma kita kena faham, kita sekarang sedang berada di bawah naungan sayap para malaikat, yang mana malaikat-malaikat tadi mereka suka, sebab kita datang ke majlis ilmu.

Hadith ketiga, yang dipetik daripada kitab ini juga, hadith riwayat Imam Ibnu Hibban dan Ibnu Abdul Birri : “Satu bab daripada ilmu yang dipelajari seseorang, adalah lebih baik baginya daripada dunia dan isinya.”

Itu baru satu bab. Sepanjang kita belajar kitab ini nanti tak tahulah berapa banyak bab ilmu. Satu bab ilmu sahaja pun sudah lebih baik daripada dunia dan isinya, di sisi Allah SWT. Cuma kita tidak nampak.

Dan hadith yang keempat, yang dipetik daripada kitab Ihya’ ini juga, maksudnya : “Bahawa sesungguhnya engkau berjalan pergi mempelajari satu bab daripada ilmu, adalah lebih baik daripada engkau melakukan solat 100 rakaat.”

Kita datang ke sini, dia punya kelebihan itu mengalahkan orang yang duduk di rumah yang sembahyang sunat 100 rakaat. Kita memang tidak larat hendak buat solat sunat 100 rakaat, tapi datang sahaja ke majlis ilmu, dapat lebih lagi daripada solat sunat 100 rakaat.

Begitulah antara kelebihan-kelebihan orang yang datang ke majlis ilmu sebagiamna yang termaktub dalam kitab Ihya’ ‘Ulumiddin. Yang pertama tadi, dimudahkan oleh Allah SWT jalan kita ke syurga. Yang keduanya, para malaikat rela dengan kita dan mereka membentangkan sayapnya. Selain itu, daripada hadith-hadith lain dikatakan para malaikat ini sebenarnya sentiasa memohonkan doa supaya kita yang berada dalam majlis ini diampunkan dosa-dosa kita. Yang ketiganya, satu bab daripada ilmu yang kita belajar adalah lebih baik daripada dunia dan isinya. Dan yang keempat, kita datang ke sini belajar statu bab daripada ilmu, lebih baik daripada melakukan solat sunat 100 rakaat. Jadi tidak payah susah-susah sembahyang sunat 100 rakaat,cukup dengan datang ke majlis ilmu.

Hadirin yang dirahmati Allah sekelian,

Begitulah tadi beberapa hadith yang kita petik daripada kitab Ihya’ ‘Ulumiddin, ataupun ringkasannya (iaitu) Bimbingan Mu’minin.

Sebelum kita pergi lebih jauh, saya hendak mengimbas sedikit pelajaran dalam kuliah yang lepas. Antara isi kandungannya, kita telah melihat maksud nama kitab Ihya’ ‘Ulumiddin ini. Kitab ini maksud namanya ialah Menghidupkan Ilmu-ilmu Agama. Kemudian kita sudah melihat nama penuh Imam al-Ghazali. Namnya berulang-ulang. Abu Hamid Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ahmad al-Ghazali. Itu namanya. Kemudian kita sudah melihat beberapa banyak kita-kitab yang dikarang oleh tuan syeikh kita ini. Kita tidak (ulang) sebutlah kali ini.

Seterusnya kita juga mendengar kisah salah seorang murid kepada Imam al-Ghazali, namanya Muhammad bin Tumart. Suatu ketika, ada sebuah kerajaan mengharamkan kitab Imam al-Ghazali dan memerintahkan bakar jika terjumpa kitab ini. Apabila cerita ini sampai kepada pendengaran Imam al-Ghazali, Imam al-Ghazali dengan pandangan kasyafnya dia berkata (sekadar contoh) : “Kerajaan itu akan dikoyak sebagaimana mereka merobek kitabku.” Kebetulan muridnya yang bernama Muhammad bin Tumart ini berada di situ. Muridnya berkata (sekadar contoh) : “Doakanlah kerajaan mereka ini robek ditangan aku.” Dan memang betul, kerajaan yang anti dengan kitab Ihya’ ‘Ulumiddin ini telahpun dijatuhkan oleh satu kumpulan pejuang yang diketuai oleh Muhammad bin Tumart. Itulah ringkasnya.

Kemudian kita melihat dengan agak panjang lebar juga sejarah Imam al-Ghazali, dari dia kecil sampailah dia meninggal dunia. Dan yang penting di sini (ialah) doa bapanya. Bapanya berdoa kepada Tuhan supaya dikurniakan anak-anak yang soleh, yang bakal jadi ulama. Jadi semestinya kita pun kena berdoa begitu. Doa supaya anak ini (jadi) soleh berada di atas sekali berbanding doa yang lain-lain. Panjanglah cerita Imam Al-Gahzali ini, kita tidaklah (ulang) cerita lagi di sini.

Jadi secara ringkasnya, sepanjang hidup Imam Al-Ghazali, dia menghabiskan masanya dengan berdakwah dan belajar, dan mengembara. Semuanya kerana ilmu kerana agama. Memang sesuailah. Sebab apa? Dalam banyak-banyak nikmat di dunia ini, boleh kata semua nikmat kita boleh kecap di akhirat. Di dunia kita boleh minum, di akhirat kita boleh minum. Di dunia kita ada isteri, di akhirat pun kita ada isteri. Di dunia kita ada kebun-kebun, di akhirat pun kita ada kebun-kebun.

Tapi nikmat berjuang? Di akhirat tidak ada. Nikmat berjuang ada di dunia sahaja. Begitu juga dengan nikmat bersusah-payah. Nikmat berkorban kerana Allah, ada di dunia sahaja. Inilah yang kita hendak rebut. Masuk syurga nanti, nikmat berjuang tidak ada, nikmat bersusah-payah (dan) letih kerana memperjuangkan Allah tidak ada, nikmat berkorban kerana agama Allah pun tidak ada.

Sebab itu sebagaimana yang kita faham, orang-orang yang mati syahid kalau boleh dia minta dihidupkan balik, dan dia hendak berjuang dan mati syahid lagi. Dia sudah masuk syurga dah sepatutnya. Mati syahid, mati kerana berperang pada jalan Allah. Tapi kalau boleh dia hendak minta hidup (balik) ke dunia, minta mati syahid lagi. Kemudian sudah mati, minta hidup lagi, minta mati syahid lagi.

Sebab apa tu? Apakah syurga itu tidak cukup nikmat? Sudah sangat-sangat nikmat, tapi di syurga sana tidak ada nikmat berjuang. Sebab itu para pejuang memilih untuk berkorban di dunia. Di dunia inilah nikmat berjuang, nikmat bersusah-payah, nikmat berkorban kerana Allah dan Rasul-Nya.

Wednesday, June 15, 2011

Pontian - Klang - Shah Alam - Kajang - Seremban

Dari Pekan Nanas, menyinggah di Ayer Itam. Ayer Itam ni terkenal sebagai tempat membeli-belah. Ramai orang. Dari segi kehadiran, memang pasar biasanya mengalahkan masjid dan surau.... pada zaman ini : )


Beginilah suasana di lorong utamanya. Jom kita 'window shopping' : )

Banyaknya pilihan! Rambang mata dibuatnya. Ada barang-barang tertentu yang memang murah berbanding di tempat lain.


Melihat-lihat di sebuah kedai ikan tepi Wet Land di Shah Alam (tepi tasik berhampiran Masjid Shah Alam. Banyak betul ikan dan cantik-cantik. Kura-kura dan hamster pun ada. Ikan kelisa banyak, memukau mata.

Badan ikan-ikan kecil ini seperti ada lampu. memang cantik. Rasa nak duduk lama lagi melihat-lihat makhluk ciptaan Allah kat sini, tapi hari dah petang. Bawa anak-anak bermain di taman, lepas tu solat Maghrib di Masjid Shah Alam yang gah itu. Ada poster kuliah Syeikh Nuruddin di dinding-dinding masjid.


Ikan naga ke apa entah ni. Punyalah besar. Lebih panjang daripada ana nih.

Menikmati Char Koey Tiau di Kedai Bob, Klang dengan keluarga abang ipar. Boleh tahan rasanya.

Makan tengah hari di restoran masakan ala Melaka, pekan Kajang.

Makan malam di Restoran Lazeez, Arabian style. Ada gambar Kaabah yang besar. Ada juga gambar-gambar orang-orang soleh dan ustaz-ustaz dalam 'frame' tergantung di dinding, terutamanya mereka yang pernah ke sini.

Makanan di sini meeemang sedap. Nasinya lembut terurai. Makan nasi sahaja pun sudah cukup enak. Dimakan banyak pun perut tak berasa sengkak. Daging kambing dan ayamnya... mmm nyam nyam : )

Minuman orang Arab, diimport dari sana katanya.

Menjamu selera di Seremban Parade. Budak ni... abi punya 'sizzling mee' dikebasnya.

Selepas menjamu selera, bermotor dan berkereta pula : ) Untuk anak-anak je. Kalau abi n umminya naik, mampoih digelak dek orang : )


Bermain dengan kambing-kambing yang jinak di Ampangan, Seremban. Jinak sampai masuk ke dalam rumah ni. "Embekkkk... ekau mengato den ye?"

Ke Madrasah Aliyah


Sudah beberapa kali kami berkunjung ke Madrasah Aliyah dan bermalam di sana.


Mihrab surau Madrasah Aliyah.

Suasana ruang tamu yang begitu menarik hasil gubahan Ustazah Adawiyah.

Dalam salah sebuah kelas.

Salah satu bangunan kelas.

Ustaz Soffhan - mudir madrasah (jubah hitam)

Al-Ustaz kecik Muhammad Zulfiqar al-Amsyari sedang menge'test' serban ala Naqsyabandi bapa saudaranya. Madrasah ini penuh dengan ratusan/ribuan kitab/buku Arab dan Melayu.

Akh Sepaidemen dan Akh Sepancebob merajuk kerana tak diterima jadi pelajar madrasah : )

Anak sedang bermain dengan teman-teman barunya (pelajar madrasah). Bangunan di sebelah kanan itu ialah kolah untuk berwudhuk ala Melaka.

Saturday, June 11, 2011

Gambar2 Lama Sekitar Rasulullah saw

Rumah kelahiran Rasulullah (sudah diubahsuai)

Pelan rumah Rasulullah bersama Khadijah

Makam Khadijah isteri Nabi

Makam Ibrahim bin Muhammad ar-Rasulullah

Makam Saiyidina Uthman

Makam Abu Talib bin Abdul Mutalib

Biara rahib Buhaira


Lagi gambar biara rahib Buhaira.


Pandangan dari dalam biara rahib Buhaira.



Monday, June 6, 2011

Perkahwinan Adik Ipar di Johor

Purple. Suhaina & Reza.

Panjang aih doa depa Aku dah tak sabaq dah ni!

Juru kamera professional ... Mr. Qamarul Lizan. Di belakangnya Encik Kamal.



video video

Thursday, June 2, 2011

Pendengar Baru : Nak Dengar Yang Mana Dahulu?

Akhir-akhir ini semakin ramai pendengar baru mula mengikuti kuliah-kuliah saya yang dimuatnaik ke internet. Timbul masalah apabila mereka tidak tahu hendak dengar yang mana terlebih dahulu?

Saya sarankan anda ikuti siri kuliah syarah kitab Kifayatul Muhtaj iaitu "Kembara ke Sidratul Muntaha" terlebih dahulu. Habiskan kesemua 123 fail yang ada. Kemudian terus beralih kepada siri kuliah syarah kitab Ihya' 'Ulumiddin iaitu "Wangian Hikmah Al-Ghazali". Boleh juga jika anda hendak mendengar siri kuliah syarah kitab Munyatul Musolli yang terdiri daripada 59 fail sebelum berpindah ke syarah Ihya'.

Teks Kuliah Syarah Ihya' 5



... Hebatnya kitab Ihya’ ‘Ulumiddin.


Muhammad nama empunya diri,

Abu Hamid juga dikenali,

Hujjatul Islam gelar diberi,

Itulah Tuan Imam Ghazali.


Al-Ghazali itu gelaranya. Dia punya pangkat di sisi para ulama ialah Hujjatul Islam. Muhammad namanya, Abu Hamid sempena nama anaknya, Hujjatul Islam gelarannya. Gelaran itu disebabkan fakih dan hebatnya dia dalam ilmu agama. “Al-Ghazali” ialah gelaran sempena nama tempat (asal)nya.


Seorang mujaddid, seorang sufi,

Ilmunya banyak, hikmahnya tinggi,

Mengarang kitab rajin sekali,

Ihya’ ‘Ulumiddin kita pelajari.


Kitab Ihya’ ini sebenarnya yang dalam terjemahan bahasa Melayu ada 8 jilid. Kalau kitab Bimbingan Mu’minin iaitu ringkasannya, ada 2 jilid (ada juga yang sejilid sahaja). Bimbingan Mu’minin itu pun sudah sangat tebal. Dalam kitab Ihya’ dan dalam kitab Bimbingan Mu’minin, ia terbahagi kepada 4 bahagian.

Yang pertama, kita akan jumpa bahagian ibadah. Selepas bahagian ibadah, yang keduanya bahagian aktiviti seharian. Semuanya dihurai daripada ayat Quran, hadith dan kalam para ulama. Bahagian yang ketiga, perbuatan-perbuatan yang membinasakan kita. Binasa dunia, binasa akhirat. Apa benda? Nanti kita akan jumpa. Dan bahagian yang keempat, perbuatan-perbuatan yang menyelamatkan kita. Inilah 4 bahagian kitab Ihya’ dan kitab Bimbingan Mu’minin.

Pada zaman Imam al-Ghazali, masalah utamanya ialah penyokong-penyokong fiqh dengan penyokong-penyokong tasawuf bertelagah. Ahli fiqh dengan caranya, ahli tasawuf dengan caranya. Yang kedua, dunia ilmu-ilmu Islam pada zaman itu diserapi oleh falsafah dari Rom. Falsafah Socrates, Plato, Aristotle masuk. Bahagian yang betul tidak mengapa, tapi ada juga bahagian yang salah meresap. Jadi tugas Imam Al-Gahzali ialah untuk menyelesaikan dua perkara ini. Yang pertama, dia hendak menyatukan antara golongan fekah dengan golongan tasawuf. Yang kedua, dia hendak membersihkan kembali dunia Islam ini daripada ilmu falsafah yang salah.

Jadi apa yang rosaknya ahli-ahli fekah, ulama-ulama syariat pada zaman itu? Zaman itu ulama-ulama fekah ini asyik tumpu pada hukum-hakam. Asyik berdebat, mengkaji, mencari berkaitan hukum-hakam. Di situlah (asyik sibuk) berdebat pasal hukum-hakam. Yang itu halal, yang ini haram, ini sah, ini tidak sah... sampaikan mereka ini kurang dari segi akhlak. Katanya ulama, ulama fiqh, tetapi garang, cakapnya kasar. Dari segi akhlak kurang, dari segi kerohanian pun kurang terisi (kerana) asyik tumpu pada (urusan) hukum-hakam sahaja.

Penyokong ahli tasawuf pula, yang rosak disebabkan mereka ini tumpu bahagian rohani sahaja, ‘bahagian dalam’ sahaja pula. Menjaga hati, menjaga sifat mahmudah, mengeluarkan sifat mazmumah... asyik tumpu yang itu sahaja sampaikan dari segi hukum hakam, dari segi syariat, sudah terbengkalai pula. Ada yang remehkan sembahyang, sunat, remehkan sembahyang... macam-macam lagi. Maka kedua-dua kumpulan ini pun ‘rosak’. Kumpulan yang di tengah-tengah, selamat.

Jadi Imam al-Ghazali hendak menarik ulama fiqh ini supaya memberatkan juga bahagian rohani dan kumpulan-kumpulan tasawuf ini juga pun mengambil berat soal-soal syariat. Kitab Ihya’ ini sebenarnya menyatukan antara dua golongan ini.

Jadi hari ini kita tidak buka lagi kitab kita, setakat muka depan sahaja. InsyaAllah dalam kuliah akan datang barulah kita selak mukasurat di dalamnya. Bab yang pertama menceritakan tentang ilmu. Kita akan sentuh nanti. Hari ini kiranya muqaddimahlah, sekadar pendahuluan. Kita mengenal tuan kitabnya, mengenal kitabnya, maka banyaklah berkisar tentang fakta. InsyaAllah dalam kuliah akan datang, kita tengok apa cerita Imam al-Ghazali dalam bahagian yang pertama, cerita tentang ilmu.

Rasanya sekadar itu sahaja. Dan sebelum kita tutup majlis kita, ada perkara berbangkit (tentang) persoalan tahiyyat. Sebagaimana yang kita biasa dengar, bacaan dalam tahiyyat ini dikaitkan dengan peristiwa Mi’raaj. Nabi Muhammad naik ke langit, di sana dia berdialog dengan Tuhan. Tapi sebelum ini saya cari tak jumpa (sandaran yang baik), dan saya pun tidak menyentuhnya dalam pengajian kitab Kifaayatul Muhtaaj kita hari itu.

Balik (ke rumah) saya cari sekali lagi. Cari cari masih tidak jumpa juga tentang asal bacaan tasyahhud tadi. Cuma yang dijumpai hadith ini, hadith riwayat Imam Muslim, satu hadith sahih. Kata sahabat : “Sewaktu kami bersembahyang di belakang Rasulullah saw, kami membaca, “Assalamu’alallah, assalamu ‘ala fulan”. Kemudian pada suatu hari Rasulullah bersabda kepada kami : “Sesungguhnya Allah adalah As-Salam.”

Kita “salam” sejahtera kepada Allah, Allah itu sudah sedia As-Salam. NamaNya pun As-Salam, sudah selamat sejahtera, tidak perlu salam kepada Dia lagi.

“Jadi apabila salah seorang daripada kamu duduk sembahyang, hendaklah dia membaca......,” iaitulah bacaan tahiyyat.

“Apabila dia membacanya, nescaya keselamatan itu turun sama dikurniakan kepada semua hamba Allah yang soleh, sama ada di langit ataupun di bumi.”

“Assalamu ‘alaina wa ‘ala ‘ibadillahissalihin.” Untuk orang-orang soleh pun dapat doa keselamatan juga. Itu sahaja cerita yang ada.

Kemudian hadith yang kedua riwayat Imam An-Nasa’i, Ad-Daraqutni dan Baihaqi : “Sebelum diwajibkan membaca tasyahhud (sebelum diperkenalkan bacaan tahiyyat itu), biasanya kami membaca, “Assalamu ‘alallah, assalamu ‘ala Jibril, assalamu ‘ala Mikail... (ini bacaan tahiyyat yang asal). Kemudian Rasulullah bersabda : “Jangan ucap yang itu. Ucapkanlah, “At-Tahiiyyat... (dan seterusnya).”

Bacaan tasyahhud yang kita baca selama hari ini, ada dalam sebuah hadith lain iaitu hadith riwayat Imam Muslim dan Abu Dawud. Bacaan tahiyyat ini ada beberapa versi. Baca yang mana-mana pun betul. Tapi Mazhab Syafi’i biasanya memilih yang daripada riwayat Imam Muslim dan Abu Dawud, iaitu yang kita baca sehari-hari itulah : “At-Tahiyyatul mubarakatus...” itulah.

Saya cuba cari kaitannya dengan peristiwa Mi’raaj, masih tak jumpa juga. Boleh jadi ada kaitan, boleh jadi tidak ada kaitan. Jadi kita tidak berani buat keputusan kerana tidak jumpa. Nanti kita kata tidak ada kaitan, tiba-tiba orang jumpa (kaitannya), niaya kita.

Cuma ada seorang menulis dalam internet, dia pun cari juga dan katanya dapat satu hadith mengatakan Nabi Muhammad berdialog dengan Tuhan, yang (tahiyyat) itulah dialognya. Tapi katanya hadith itu hadith palsu. Dia tak tunjuk hadith itu, cuma saya terbaca tulisan dalam tu.

Jadi keputusan kita, kalau orang tanya, “Ada kaitan tak bacaan tahiyyat dengan Isra’ Mi’raaj?” Kita kata : “Tak jumpa sandarannya. Ada kaitan ataupun tidak, tidak diketahui.” Begitu caranya.

Jadi rasanya sekadar itu sahaja, kita jumpa lagi. Salah dan silap saya harap dimaaf.

Anda mungkin meminati:

Related Posts with Thumbnails