Thursday, August 22, 2019

Tawakal dalam Berubat


Tawakal dalam Berubat

Apabila terdapat bahagian diri kita yang mulai melemah, merosak dan tidak sihat, kita memerlukan usaha dan ikhtiar untuk menguatkan, memulihkan dan menyihatkannya kembali. Usaha-usaha untuk menghilangkan atau mengurangkan kelemahan, kerosakan dan ketidaksihatan itu terbahagi kepada beberapa keadaan iaitu :

a)      Usaha yang dari segi logiknya kita yakin PASTI akan berlaku perubahan. Contohnya minum air biasanya pasti akan dapat menghilangkan rasa haus dan makan roti (atau makanan ruji yang lain) biasanya pasti akan menghilangkan rasa lapar. Kaitannya sangat jelas. Sesiapa yang sengaja meninggalkan makan dan minum dengan alasan untuk bertawakkal, hal itu bukanlah tawakal. Sekiranya dengan meninggalkan makan minum itu boleh membawa kepada kematian, perbuatan itu adalah haram.

b)      Usaha yang dari segi logiknya akan berlaku perubahan tetapi TIDAK KUAT KEPASTIANNYA sebagaimana keadaan pertama tadi. Contohnya dengan berbekam, minum ubat, dan dalam hal ehwal kedoktoran yang lain. Kaitannya agak jelas. Apabila kita melakukan usaha sebegini, hal ini tidaklah bertentangan dengan tawakal.

c)      Usaha yang dari segi logiknya TIDAK akan membawa perubahan. Contohnya berubat melalui ilmu tenung/tilik dan mentera-mentera. Tiada kaitan.

Jelasnya berubat tidaklah berlawanan dengan tawakal. Buktinya adalah daripada sunnah Rasullah saw sendiri.

“Tidaklah daripada suatu penyakit pun melainkan ada ubatnya, yang diketahui oleh orang yang tahu, dan yang tidak diketahui oleh orang yang tidak tahu, keuali as-sam (mati).” (Ahmad, Thabrani)

“Berubatlah wahai hamba Allah! Sesungguhnya Allah menjadikan penyakit dan ubat.” (Turmizi, Ibnu Majah)
Jelas bahawa Rasulullah saw menyuruh kita berusaha berubat.

“Tidaklah aku melalui suatu jemaah pun daripada malaikat melainkan mereka mengatakan : “Suruhlah umatmu berbekam.” (Turmizi, hadith hasan gharib)
Hadis ini menunjukkan anjuran agar berubat.

Nabi saw bersabda kepada Ali ra yang ketika itu sedang sakit mata : “Jangan engkau makan yang ini (ruthab – kurma yang belum kering). Makanlah yang ini (siliq – sejenis tumbuhan yang dimasak dengan tepung syair). Sesungguhnya yang ini lebih sesuai untuk engkau.” (Abu Dawud, Turmizi)

Perilaku Rasululah saw dalam hadis ini menunjukkan baginda memang mengajurkan agar kita berusaha mengelakkan sesuatu yang kurang baik untuk kesihatan dan agar kita berusaha mencari sesuatu yang baik untuk kesihatan.

No comments: