Tuesday, July 31, 2012

Tanggungjawab Mesti Diteruskan


Encik X mendirikan rumahtangga pada tahun 1995. Ketika itu pendapatannya RM 2,000. Pendapatan isterinya pula RM 1,200. Dengan jumlah pendapatan keluarga RM 3,200 pada tahun 1995 (dan tentunya akan meningkat dari tahun ke tahun), Encik X yakin dia mampu mempunyai anak seramai 12 orang dengan selesa. Encik X pun berusahalah dengan sebaik-baiknya membuat perancangan dan menjalankan perancangannya.

Sehingga tahun 2010, Encik X sudah dianugerahkan Tuhan 10 orang anak. Ketika itu pendapatannya sudah RM 6,000 manakala isterinya RM 4,000. Dengan RM 10,000 sebulan dan tinggal di bandar kecil, kehidupan Encik X boleh dikatakan begitu selesa.

Tiba-tiba, Encik X mendapat musibah. Dia teraniaya. Hasil kesalahan orang lain yang bekerja di bawahnya, dia dan isterinya turut menanggung beban. Encik X dan isterinya dibuang kerja. Maksudnya mereka kehilangan RM 10,000 sebulan. Untuk menyambung kehidupan, mereka pulang ke kampung dan membuka sebuah kedai makan. Hasilnya, dapatlah sekitar RM 1,500 sebulan. Dengan pendapatan baru yang jauh lebih kecil, dan bilangan anak-anak seramai 10 orang yang berusia di bawah 15 tahun, tentulah kehidupan Encik X sangat terhimpit.

Persoalannya, adakah kerana pendapatan barunya hanya sesuai untuk membesarkan 3 orang anak dengan selesa, maka Encik X hendaklah membesarkan 3 orang anak sahaja manakala anak-anak yang lain terpaksa diabaikan, dilupakan ataupun diserahkan kepada orang begitu sahaja?

Tentunya tidak. Encik X mestilah bertanggungjawab memperjuangkan kesemua anak-anaknya sekalipun dalam keadaan yang kurang sempurna.

Tamsilan ini dibawa untuk dikaitkan dengan sebahagian pekerja pada jalan Allah. Dahulunya mereka mempunyai kemampuan semasa dan potensi hari muka yang cerah. Oleh itu mereka mengusahakan tarbiyyah dan dakwah yang hebat. Suatu ketika, usaha mereka diruntuhkan orang sehingga ruang tugas mereka menjadi kecil. Namun ini tidak bermakna mereka boleh dengan senang hati melepaskan ruang-ruang lain yang sudah mereka usahakan dengan berkata : “Jadilah, syukurlah, ada jugak sisa-sisa tarbiyyah dan dakwah yang masih kita boleh buat. Yang lain-lain tu lupakan sahajalah”. Lari dari tanggungjawab namanya.

Apabila kita sudah menghasilkan ‘anak-anak’ dalam kerja keagamaan kita, selamanya kita bertanggungjawab kepada mereka, sekadar kemampuan yang kita ada. Mana boleh membuang dan melupakan begitu sahaja ‘anak-anak’ yang sudah kita lahirkan.  (‘Anak-anak’ di sini tidak terhad kepada manusia, tetapi lebih kepada medan-medan tarbiyyah dan dakwah yang sudah kita jalankan).

WaAllahua’lam.

Abu Zulfiqar
31 JULAI 2012

Thursday, July 26, 2012

Tazkirah Facebook 21 (26.7.2012)


Banyakkanlah rakan-rakan yang agamawan, bukannya yang tak ketahuan.

Kita mudah terpengaruh dengan persekitaran, maka usahakanlah membentuk persekitaran yang positif. Salah satunya ialah dengan berusaha membanyakkan rakan-rakan yang agamawan.

Mempunyai ramai rakan yang agamawan, memanglah bukan kayu ukur kepada keimanan. Namun begitu, sekurang-kurangnya mereka membentuk suasana persekitaran kita. Bukankah kita mudah dipengaruhi oleh suasana persekitaran?

Sudahkah kita mempunyai ramai rakan-rakan rapat yang agamawan? 
Ataupun lebih ramai lagi rakan-rakan rapat yang tak ketahuan?

Tazkirah Facebook 20 (24.7.12)

TAZKIRAH FB 20 (24.7.12) - 
Menutup aurat, sudah ramai yang buat. 
Membalut aurat, lagi ramai yang buat. 
Tapi... menutup aurat dengan sempurna, jenis ini yang sukar dicari.

Soal Jawab Batal Puasa


SOALAN :
Assalamualaikum. Saya ingin bertanya, adakah puasa saya dikira batal jikalau air mazi saya keluar dari kemaluan saya apabila terangsang?

ABU ZULFIQAR :
Wlksm. Keluar air mazi tidak membatalkan puasa. Yang membatalkan puasa ialah mengeluarkan air mani dengan sengaja. WaAllahua’lam.

SOALAN :
Terima kasih. Bagaimana pula kalau isteri saya yang sedang datang bulan menghisap kemaluan saya yang sedang berpuasa tetapi tidak sehingga mengeluarkan mani saya. Adakah ianya dikira batal? Maaf kalau soalan saya ini agak melampau. Saya cuma musykil.

ABU ZULFIQAR ;
Selagi tidak keluar air mani, tidak batal puasa (si suami). Namun yang terbaik, elakkan perlakuan sedemikian ketika berpuasa.


* Soal jawab ringkas.

Monday, July 23, 2012

Tazkirah Facebook 19 (23 Julai 2012)

TAZKIRAH FACEBOOK 19 (23.7.12) - Memasukkan ilmu--ilmu agama ke dalam diri sangatlah bagus dan tidaklah sesusah mana. Tapi... menyeimbangkan kemasukan ilmu-ilmu itulah yang sukarnya, menyebabkan seseorang itu tenggelam dalam ilmu-ilmu agama kesukaannya sahaja, menghukum seluruh permasalahan dengannya sahaja, dan sering tertipu kerana merasakan dirinya sedang berada di landasan yang terbaik.

Ilmu-ilmu agama Islam ini begitu banyak juzuk-juzuknya. Berusahalah untuk menyeimbangkan input ilmu-ilmu ini ke dalam diri, kerana ia akan membentuk jiwa dan pemikiran. Jangan mudah berasa senang hati dengan juzuk-juzuk ilmu agama Islam yang sudah atau sedang dikuasai, banyak lagi yang mesti diterokai.

Jauh bezanya antara hukuman yang datang dari seorang yang berpengetahuan dalam pelbagai juzuk ilmu agama, berbanding hukuman orang yang menguasai 1-2 juzuk sahaja lalu berhukum dengannya.
Seimbangkan input ilmu-ilmu agama ke dalam diri kita mulai hari ini.

Saturday, July 21, 2012

SJ - Baca Quran Tak Betul Tajwid


PERSOALAN :
Salam ustaz..boleh ke saya membaca Al Quran walaupun tajwidnya tak berapa betul..sebab saya ingin membacanya di bulan puasa ini...Terima kasih ustaz.

JAWAPAN :
Wlksm tuan. Boleh, (malah) dapat 2 kali ganjaran pahala. 1 kerana membaca Al Quran. 1 lagi kerana berusaha membacanya.

Kata Nabi Muhammad saw : "Seorang yang mahir Al Quran akan berada dalam kalangan malaikat, yang mana para malaikat itu merupakan para pencatat yang mulia dan benar. Dan seorang yang tidak lancar dalam membaca Al Quran dan terpaksa bertungkus-lumus mempelajarinya, akan mendapat ganjaran dua kali ganda." (Bukhari, Muslim dll)

Syaratnya tuan hendaklah berusaha mempelajari dan memperbaiki bacaannya apabila ada kesempatan. WA.

Abu Zulfiqar
1 Ramadhan 1433
21 Julai 2012

Anda mungkin meminati:

Related Posts with Thumbnails