Monday, April 30, 2018

Ucaptama Ijtimak Tarekat Ghazaliyah 2018


_UCAPTAMA & DOA IJTIMA’ TARIQAH AL-GHAZALIYYAH kali ke-2 (2018)


1.       MUQADDIMAH

Assalamu’alaikum w.b.t.

“Dan berilah peringatan, sesungguhnya peringatan itu mendatangkan manfaat kepada orang-orang beriman.” (Adz-Dzariyat : 55)

Alhamdulillah. Kita sangat bersyukur kepada Allah SWT atas segala kurniaan-Nya.

Ribuan terima diucapkan kepada semua pihak sama ada secara individu ataupun secara berkumpulan yang membantu dalam menjayakan Majis Pertemuan Setahun Sekali Pengamal-pengamal Tariqah Al-Ghazaliyyah bagi kali yang ke-2 ini.
·         Terima kasih kepada yang menyumbangkan tenaga.
·         Terima kasih kepada yang menyumbangkan doa.
·         Terima kasih kepada yang menyumbangkan idea.
·         Terima kasih kepada yang menyumbangkan masa.
·         Terima kasih kepada yang menyumbangkan belanja.
·         Terima kasih kepada yang menyumbangkan harta benda.
·         Terima kasih kepada yang menyumbangkan sokongan.
·         Sama ada yang menyumbang secara langsung mahupun yang menyumbang secara tidak langsung.
·         Tidak dilupakan, terima kasih kepada semua yang hadir kerana kehadiran kita ini juga satu sumbangan yang sangat besar kepada majlis kita ini.
Hanya Allah sahajalah yang sebenar-benar yang dapat membalas segala budi baik tuan-tuan semua.

Firman Allah SWT :
“Dan tolong-menolonglah kalian dalam hal kebaikan dan taqwa, tetapi janganlah kalian bertolong-tolongan dalam hal dosa dan pelanggaran.” (Al-Maidah : 2)

Insya-Allah kitalah antara golongan hamba-hamba-Nya yang sedang melaksanakan tuntutan dalam ayat ini.


Hadirin yang dirahmati Allah sekelian,

Majlis dan ucaptama ini umumnya adalah untuk semua orang,
dan khususnya untuk para pengamal tasawuf,
dan lebih khusus lagi buat para pengamal tarekat,
dan tentunya yang paling khusus adalah kepada para pengamal Tarekat Ghazaliyyah.
Sememangnya kita mengharapkan manfaatnya adalah untuk semua.

Ucapan ini sebenarnya lebih berupa ucapan kesyukuran dan berterima kasih yang diisi dengan seruan-seruan cinta, yang berisi ajakan-ajakan kepada cinta dan memperingatkan tentang cinta. Bersesuaian dengan dasar/jalan/tariq bagi Tarekat Ghazaliyah ini iaitu cinta, yakni cinta Allah. Maka ucapan ini bukanlah pengajian agama atau penyampaian ilmu-ilmu agama yang khusus sebagaimana selalunya kita mengaji kitab.

Sebab itulah slogan majlis perhimpunan kita ini bunyinya : “Berhimpun – Berkenalan – Bersaudara”.
Kita berhimpun kerana Allah, kita berkenal-kenalan pada jalan Allah, dan kita membina
persaudaraan juga kerana Allah.

Firman Allah SWT :
“Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara.” (Al-Hujurat : 10)


2.       IMAM AL-GHAZALI, IHYA’ ‘ULUMUDDIN & TARIQAH GHAZALIYYAH


Hadirin yang dirahmati Allah sekelian,

Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali, kitab induk Ihya’ ‘Ulumuddin dan Tariqah Al-Ghazaliyyah ini bolehlah jika hendak dikatakan sebagai rahmat bagi seluruh umat Islam. Ibarat air hujan lebat yang turun ke serata pelusuk bumi, semua orang boleh mengambil manfaat daripadanya.  
Yang mahu menakung airnya, silakan.
Yang mahu mengalirkan airnya, silakan.
Yang mahu menumbuhkan tumbuh-tumbuhan, silakan.
Yang mahu menghilangkan dahaga, silakan.
Yang mahu menyuci dan membersihkan, silakan.

Mukjizat teragung bagi Rasulullah saw ialah kitab suci Al-Quran, maka karamah teragung bagi Imam Al-Ghazali tidak lain ialah kitab Ihya’ ‘Ulumuddin.
Kitab suci Al-Quran merupakan kitab induk bagi segala hal termasuklah hal-hal hati atau qalbu. Maka kitab Ihya’ merupakan kitab huraian yang sangat penting bagi soal-soal hati qalbu yang dirumuskan dalam Al-Quran. Rumusannya dalam Al-Quran, huraiannya dalam Ihya’.
Kitab Ihya’ inilah yang menjadi ‘pakaian diri’ bagi ikhwan Tarekat Ghazaliyah.

Sekiranya suatu hari nanti kitab Ihya’ ini mengalami kelemahan, kelumpuhan atau kematian, faktor penyebab utama dari segi syariatnya bukanlah kerana musuh-musuh yang datang menyerang dan yang datang merubah, tetapi kerana :
i)                    Kita sendiri yang tidak berusaha untuk belajar.
ii)                   Kita sendiri yang tidak berusaha untuk menyebar.
iii)                 Kita sendiri yang tidak berusaha untuk mengajar.
iv)                 Kita sendiri yang tidak berusaha untuk mengamal.

Tuan-tuan yang dikasihi sekelian.


3.       SERUAN-SERUAN CINTA

Cintai Allah, cintai Kitabullah
Cintai Rasulullah, cintai As-Sunnah
Cintai diri, cintai ummah
Cintai ibadah, cintai dakwah.

Inilah 8 medan atau 8 bangsa kecintaan yang selalu kita tegaskan dalam tarbiyyah dan dakwah kita.


3.1   MARILAH KITA MENCINTAI ALLAH

Mengapa kita mesti mencintai Allah?

Allah SWT Taala berfirman :
“Orang-orang yang beriman itu sangat cinta kepada Allah.” (Al-Baqarah : 165)

Bukankah kita orang-orang beriman?

Bersabda pula Rasulullah saw : “Tidak beriman seseorang kamu sebelum Allah dan Rasul-Nya LEBIH DICINTAINYA daripada yang lain-lain.” (Bukhari, Muslim)

Maqam cinta Allah merupakan maqam tertinggi.
Berkata Imam Al-Ghazali : “Sesungguhnya maqam CINTA ALLAH merupakan matlamat/tujuan paling jauh (paling akhir) daripada maqam-maqam yang ingin dicapai dan merupakan darjat tertinggi daripada darjat-darjat. Tidak ada selepas maqam cinta suatu maqam pun lagi melainkan buah (hasil) daripada buah-buahannya dan ikutan (kesan) daripada pengikut-pengikutnya.” (Ihya’ ‘Ulumuddin : Kitab Cinta Allah)

Sama ada kita sedrar atau tidak :
·         Semua pemberian makhluk kepada kita, pada hakikatnya ialah pemberian Allah.
·         Semua pertolongan makhluk kepada kita, hakikatnya ialah pertolongan Allah.
·         Semua kasih sayang makhluk kepada kita, hakikatnya ialah kasih sayang Allah.
·         Semua budi baik makhluk kepada kita, hakikatnya ialah budi baik  Allah.
·         Semua sanjungan makhluk kepada kita, hakikatnya ialah sanjungan Allah.
·         Segala jasa makhluk kepada kita, hakikatnya ialah jasa Allah.
Semuanya daripada Allah, kepada kita.
Alangkah tidak patutnya jika kita tidak mencintai Dia!

Banyak antara kita ini yang dahulunya tidak pernah terfikir pun untuk menjadi seorang ahli tasawuf, ahli sufi, ahli tarekat dan ahli kerohanian, tetapi hari ini kita berada dalam golongan itu. Siapakah yang memilih, siapakah yang melorongkan, siapakah yang mentakdirkan kita ke situ jika bukan Allah SWT? Tidakkah kita nampak betapa besarnya kasih sayang Allah kepada kita? Bukankah semestinya kita mencintai Dia dengan secinta-cintanya?
Maka, banyakkanlah bersyukur dan tambah naikkan suhu cinta kita kepada Allah SWT.


Bagaimana kita mahu mendapatkan cinta Allah?

Berkata Imam Al-Ghazali : “Cinta itu ialah buah (hasil yang terbit) daripada makrifah (maksudnya cinta itu terhasil selepas daripada kenal) . Maka cinta itu tidak ada apabila tidak adanya makrifah. Cinta itu lemah apabila lemahnya makrifah. Cinta itu kuat apabila kuatnya makrifah.”

Maka, untuk mendapatkan cinta Allah, kita mestilah mendapat makrifah terlebih dahulu. Apakah makrifah yang dimaksudkan? Ma’rifah itu ialah mengenal Allah.

Ma’rifatullah ini tersusun atas beberapa lapis mutu atau kualiti. Yang lemah ma’rifahnya, lemahlah mahabbahnya. Yang kuat ma’rifahnya, kuatlah mahabbbahnya.

Ringkasnya, cinta tidak akan datang sebelum kenal.
Kenal tidak akan datang sebelum tahu.
Tahu tidak akan datang sebelum kita berusaha untuk mengambil tahu.

Kita hanya akan dapat mengenal apa yang kita sudah tahu.
Kita hanya akan dapat mencinta apa yang kita sudah kenal.
Maka, sejauh mana kita mengenal Allah, sejauh itulah kita bermahabbah.

Inilah pentingnya ilmu dan amal tentang mengenal (ma’rifatullah).


Untuk mendapatkan cinta Allah, kita mestilah selalu memohon doa kepada Allah agar dia kurniakan cinta-Nya kepada kita, kerana hanya Dia sahaja yang ada kuasa untuk mengurniakan cinta. Pada hakikatnya, selain daripada Dia tidak ada sesiapa atau apa pun yang ada kuasa untuk memberi cinta. Makan, bermohonlah kepada Dia.

Seterusnya, untuk mendapatkan cinta Allah, kita kenalah selalu duduk-duduk dengan orang-orang yang mencintai Allah, barulah kita mendapat serba-sedikit suasana orang-orang bercinta dan orang-orang yang dicinta.

Selain itu, kita kenalah berusaha belajar ilmu tentang cinta Allah. Tanpa ilmu, bagaimana kita hendak tahu tentang cinta Allah?

Kita kenalah mengamalkan ilmu-ilmu tentang cinta Allah. Tanpa amal, bagaimana kita hendak merasa dan mengalami akan cinta Allah?

Kita kenalah banyak berzikir yakni banyak ingat akan Allah. Tanpa mengingat, bagaimana mahu mencinta?


Apakah tanggungjawab atau tugasan kita dalam cinta Allah ini?

Kita kenalah menggalakkan orang-orang lain untuk tahu akan Allah, kemudian kenal akan Allah, dan seterusnya cinta akan Allah. Dari tahu datangnya kenal. Dari kenal datangnya cinta.

Apabila kita ada mendapat tahu, ada mendapat kenal dan ada mendapat cinta sedikit-sebanyak, janganlah kita berseronok sendiri sahaja dan bersikap mementingkan diri seorang. Serulah orang-orang lain sama kerana mereka juga berhak untuk mendapatkan tahu Allah, kenal Allah dan cinta Allah. Cinta Allah ini milik semua, bukan milik kita seorang atau kita sekumpulan sahaja.

Kita sebarkanlah walau dengan sekadar isyarat kepada orang-orang yang kita sayang, orang-orang di sekeliling kita, dan sesiapa sahaja. Kita sedia maklum, bukan orang awam sahaja banyak yang tidak mengenal dan mencintai Allah, dalam kalangan yang berilmu agama pun banyak.


3.2    MARILAH KITA MENCINTAI KITABULLAH

Mengapalah agaknya kita mesti mencintai Kitabullah?

Allah SWT berfirman : “Alif Lam Mim. Kitab ini tidak ada langsung sebarang keraguan padanya, (kitab ini merupakan) PETUNJUK bagi ORANG-ORANG YANG BERTAQWA. (Orang-orang yang bertaqwa itu ialah) mereka yang beriman akan hal-hal ghaib, yang mendirikan solat dan menginfakkan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Dan mereka beriman kepada yang diturunkan kepada kamu (wahai Muhammad, iaitu kitab Al-Quran ini), dan kitab-kitab yang diturunkan sebelum kamu, dan mereka percaya akan Hari Akhirat. Merekalah ORANG-ORANG YANG MENDAPAT PETUNJUK daripada Rabb mereka, dan merekalah ORANG-ORANG YANG BERUNTUNG.” (Al-Baqarah : 1-5)

Kitab Al-Quran inilah petunjuk untuk kita, yang merupakan panduan kepada kita untuk menajdi orang-orang yang bertaqwa dan orang-orang yang beruntung. Sebab itulah kita mesti mencintai Kitabullah.

Nabi Muhammad saw bersabda : “Ahli Al-Quran ialah ahlullah (orang-orang Allah) dan orang-orang yang dikhususkan oleh-Nya.” (An-Nasa’i)

Bukankah dalam perjalanan kerohanian ini kita memang bercita-cita untuk menjadi ahlullah atau orang-orang yang khusus?
Maka, cintailah Al-Quran!

Sabda baginda saw : “Manusia yang paling baik dalam kalangan kamu ialah (mereka) yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya.” (Bukhari, Abu Daud dll)

Kata Imam Al-Ghazali pula :
Sesiapa yang beriman kepada Al-Quran, nescaya mendapat taufik.
Sesiapa yang berkata-kata dengan Al-Quran, nescaya benarlah dia.
Sesiapa yang berpegang teguh dengan Al-Quran, nescaya dia mendapat petunjuk.
Sesiapa yang bertindak menurut Al-Quran, nescaya dia mendapat kemenangan.
(Ihya’ ‘Ulumuddin : Kitab Adab Tilawah Al-Quran)

Apabila kita mendapat surat/warkah/mesej daripada pihak-pihak yang kita sayang dan yang kita harap-harapkan, bukankah kita berasa sangat teruja, sangat berbesar hati, kita ulang-ulang membacanya, kita teringat-ingat akan isinya dan terasa hendak selalu ada di sisi kita?

Dengan Al-Quran tentulah lebih lagi. Ia ibarat warkah daripada Allah kepada kita. Pengirimnya ialah yang paling kita cintai dan paling kita harap-harapkan, bahkan dari segi hakikatnya Dialah satu-satunya cinta dan harapan kita. Sudah semestinyalah kita berasa sangat teruja akan Al-Quran, sangat berbesar hati, suka mengulang-ulang membacanya, teringat-ingat akan isi kandungannya dan mahu sentiasa dekat dengannya. Itulah antara tanda-tanda kita salah seorang pecinta Al-Quran.

Selain itu, sudah semestinyalah kita ada rasa bangga, takjub dan terpesona terhadap kitab suci Al-Quran ini atas hal-hal yang umum sedia maklum. Antaranya :
         i.            Inilah satu-satunya kitab suci yang tidak berjaya dirubah oleh tangan-tangan manusia dan jin.
       ii.            Inilah kitab suci yang paling banyak dihafal manusia secara keseluruhannya. Sepanjang zaman, sudah jutaan orang yang menghafal keseluruhannya dan yang menghafalnya sebahagian-sebahgian tidak terhitung banyaknya.
     iii.            Inilah kita suci yang tidak jemu-jemu dibaca.
     iv.            Inilah kitab suci yang di dalamnya dinyatakan secara jelas dan banyak kali akan nama sebenar Tuhan iaitu Allah.
       v.            Inilah kitab yang tidak dapat ditiru atau direka walau satu ayat pun.
     vi.            Inilah kitab induk yang menjadi sumber ma’rifat dan mahabbah.
    vii.            Old Testament yang diyakini Yahudi, sudah tercemar. New Testament yang diyakini Nasrani, juga sudah tercemar. Maka datanglah penutup segala kitab lagi terpelihara kesuciannya yakni Al-Quran, yang boleh juga jika kita mahu katakan sebagai The Last Testament. Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru sudah berlalu. Perjanjian Terakhir masih kekal begitu.

Tetapi mestilah diingat, mencintai Al-Quran itu bukanlah sekadar menyebut cinta atau menyangka cinta, tetapi mestilah dengan bukti-buktinya yakni perbuatan kita.


Bagaimana kita hendak mendapatkan jiwa yang mencintai Kitabullah?

Berdoa, sudah tentu.

Membaca Al-Quran, bacalah terjemahannya sama. Biar kurang muka surat tetapi bertambah maklumat.
Mampu hafal, hafal.
Mampu syarah, syarah.
Mampu terjemah, terjemah.
Mampu tafsir, tafsir.
Mampu kaji, kaji.

Selalulah duduk-duduk berkualiti dengan orang-orang yang mencintai Al-Quran.

Tahukan kalian, ada 3 tingkatan bagi para pembaca Al-Quran?
         i.            Tingkat al-ghafilin iaitu tingkat orang-orang yang lalai.
       ii.            Tingkat ashabul yamin iaitu tingkat orang-orang golongan kanan.
     iii.            Tingkat al-muqarrabin iaitu tingkat orang-orang yang dekat di sisi Allah.

Pelajarilah maklumat tentang tingkat-tingkat ini di dalam Kitab Adab Tilawah Al-Quran daripada kitab induk Ihya’ ‘Ulumuddin.

Berazamlah! Aku mesti mencintai Al-Quran.


3.3    MARILAH KITA MENCINTAI RASULULLAH SAW

Mengapa kita mesti mencintai Rasulullah?

Allah Taala berfirman : “Katakanlah (kepada mereka wahai Muhammad) : “Sekiranya benar kamu mencintai Allah, ikutlah aku, nescaya KAMU AKAN DICINTAI OLEH ALLAH dan DIAMPUNI-NYA DOSA KAMU.” (Ali Imran : 31)

Firman-Nya : “Nabi itu lebih utama bagi orang-orang beriman berbanding diri mereka sendiri.” (Al-Ahzab : 6)

Sabda Rasulullah saw : “Tidak beriman seseorang hamba sebelum AKU LEBIH DICINTAINYA berbanding isterinya, hartanya dan manusia seluruhnya.” (Bukhari, Muslim)


Masihkah ingat panduan yang dinyatakan pelajaran Tariqah Ghazaliyyah ini?

Rumus yang pertama :
“Mencintai yang dicintai itu dicintai.”
Ertinya, jika kita mencintai orang yang dicintai oleh Allah terutamanya Rasulullah, maka kita akan dicintai oleh Allah.

Rumus yang kedua :
“Mencintai yang mencintai itu dicintai.”
Ertinya, jika kita mencintai orang yang mencintai Allah terutamanya Rasulullah, kita juga akan dicintai oleh Allah.

Maka mencintai Rasulullah itu menjadi jalan untuk kita dicintai oleh Allah SWT.


Bagaimana mahu menjadi pencinta Rasulullah?

Berdoalah kepada Allah. Mohon bersunguh-sungguh lagi kerap agar Dia kurniakan kecintaannya kepada kita, lalu membolehkan kita mencintai kekasihnya iaitu Rasulullah saw.

Amalkanlah segala sunnah-sunnah baginda yang dalam lingkungan kemampuan diri kita masing-masing. Kuatkan azam dan berusahalah untuk mengamalkan sunnah-sunnah baginda yang besar-besar, sunnah yang kecil-kecil, mahu pun sunnah baginda yang seni-seni.
Cuba dulu. Jika malu atau mahu elak fitnah, buat sendiri-sendiri dulu.

Rajin-rajinlah untuk selalu duduk-duduk dengan orang-orang yang mencintai Rasulullah saw, nescaya wangi-wangian cinta Rasul yang ada pada mereka terkena juga sedikit-sebanyak pada diri kita.

Berbanggalah dengan Rasulullah saw. Sebarkan tentang dia ke seluruh alam. Perkenalkan baginda kepada semua orang.


3.4    MARILAH KITA MENCINTAI AS-SUNNAH

Mengapa kita mesti mencintai as-sunnah?

Allah SWT berfirman : “Sesungguhnya sudah ada pada diri Rasulullah itu contoh teladan yang baik untuk kamu (iaitu) bagi orang yang mengharapkan Allah dan Hari Akhirat serta dia banyak ingat akan Allah.” (Al-Ahzab : 21)

Untuk berubah menjadi yang baik dan terbaik, tentunya melalui sunnah-sunnah baginda, khususnya hadith-hadith.

Alangkah banyaknya orang-orang yang berfikir dan berusaha untuk mengubah manusia tetapi sangat kurang orang-orang yang turut berfikir dan berusaha untuk mengubah dirinya sendiri.
Oleh itu, mulakanlah perubahan ke arah maqam yang lebih baik melalui sunnah-sunnah baginda bermula dengan diri sendiri, dan dalam masa yang sama usahkana untuk orang-orang yang hampir dengan kita, dan dalam masa yang sama usahakan terhadap masyarakat, umat dan daulah Islam.


Bagaimana kita mahu mencintai sunnah?

Janganlah kita berasa malu untuk belajar dan mempraktikkan sunnah. Jika malu berseorangan, usahakan secara berjemaah, maksudnya berkawan-kawan.
Kekuatan untuk mengamalkan sunnah ini sangat elok dibuat secara berjemaah kerana kita akan punya lebih semangat dan kekuatan. Maka selalu-selalulah berdamping, selalulah berada bersama-sama dan beraktiviti bersama orang-orang yang banyak mengamalkan sunnah.
Kita niatkan untuk contohkan sunnah atau sebarkan sunnah, sekurang-kurangnya secara tidak langsung. Insya-Allah dimudahkan-Nya.

Untuk mendapatkan kesejahteraan dan kebahagiaan dunia dan akhirat, ikut sahaja aturan-aturan Al-Quran dan As-Sunnah, sama ada dalam hal-hal yang kita suka ataupun dalam hal-hal yang yang kita tidak suka.


3.5    MARILAH KITA MENCINTAI DIRI

Mengapalah kita kena mencintai diri?

Kerana diri kita adalah amanah daripada Allah terutamanya diri yang sebenar kita iaitu qalbu. Disebabkan anugerah diri inilah maka dari segi syariatnya kita berasa ada. Berasa ada ini satu nikmat dan kelazatan yang sangat besar, bagi orang-orang yang bermata hati.

Kita mempertikai orang itu dan orang ini akhlaknya kurang baik atau tidak baik. Adakah akhlak kita baik? Kita hanya mahu orang lain menjadi contoh yang baik sedangkan kita sendiri bersenang-senang dengan keburukan kita. Sepatutnya kita kena jadikan diri kita contoh yang baik juga, sekadar kemampuan kita.

Orang yang gagal memimpin hatinya sendiri, dia juga akan gagal memimpin hati-hati yang lain.
Orang yang gagal menasihati hatinya sendiri, dia juga akan gagal menjadi penasihat kepada hati-hati yang lain.

Fahamlah kita bahawa mencintai diri tidak salah, bahkan memang diperintah.


Bagaimana mahu mencintai diri?

Doa. Yang ini tidak boleh ditinggal. Dalam doa ada pengiktirafan dan dalam doa juga ada kerendahan diri. Dua hal ini sangat disukai oleh Allah.

Cantikkan dalaman dan luaran kita.
Bukankah Allah SWT telah berfirman : “Wahai anak Adam, pakailah pakaian kamu yang indah di setiap masjid, makan dan minumlah, tetapi janganlah berlebih-lebihan.” (Al-A’raf : 31)

Maka, pakailah pakaian yang indah di masjid-masjid, tetapi jangan berlebih-lebihan.
Makan dan minumlah, tetapi jangan berlebih-lebihan.

Pakaian yang baik adalah untuk memelihara luaran tubuh badan diri.
Makan dan minum adalah untuk memelihara dalaman tubuh badan diri.
Manakala sikap mulia tidak berlebih-lebihan itu pula ialah sifat mahmudah untuk memelihara qalbu diri.

Inilah antara amalan bagi orang-orang yang mencintai dirinya.
Aspek zahirnya dijaga, aspek dalamannya dijaga, aspek batinnya juga dijaga.

Marilah kita bersama-sama berusaha untuk membaguskan wajah luaran dan membaguskan wajah hati. Bak kata orang tua-tua : “Wajah di muka, tilikan makhluk. Wajah di hati, tilikan Tuhan.” Kedua-duanya pun penting untuk diuruskan.

Orang yang mencintai dirinya pasti akan sangat menghargai anugerah Tuhan kepada dirinya berupa anggota yang zahir dan anggota yang batin.

Gunakan otak untuk berfikir.
Gunakan nafas untuk berzikir.
Gunakan tangan untuk mentadbir.
Gunakan kaki untuk bermusafir.

Telinga mendengar yang baik-baik.
Mata melihat yang baik-baik.
Mulut berkata yang baik-baik.
Anggota kerjakan yang baik-baik.


Seterusnya, orang-orang yang mencintai diri sudah tentu akan memelihara dan meningkatkan kebersihan dan kesucian diri.

Berkata Imam Al-Ghazali dalam Ihya’ pada Kitab Rahsia Bersuci, sesungguhnya bersuci itu 4 tingkatan :
i)             Tingkat satu - mensucikan diri yang zahir daripada segala hadas, segala kotoran dan segala benda yang menjijikkan. Yang ini boleh kata semua orang buat.
ii)            Tingkat dua - mensucikan anggota badan daripada segala perbuatan jahat dan dosa. Yang ini, ramai juga orang yang buat.
iii)           Tingkat tiga - mensucikan hati/qalbu daripada segala sifat yang tercela dan sifat-sifat rendah yang terkutuk, yakni sifat-sifat mazmumah. Yang ini kurang orang nak buat.
iv)           Tingkat empat - mensucikan sirr daripada sesuatu selain Allah Taala, iaitu bersucinya hati para nabi dan para siddiqin. Yang ini, sangat kurang orang nak buat, dan sangat kurang pula orang yang tahu tentangnya.

Tingkat tiga dan tingkat empat inilah maksud atau matlamat para sufi.


3.6    MARILAH KITA MENCINTAI UMMAH

Mengapa kita mesti mencintai ummah?

Siapa lagi yang hendak menjaga keselamatan umat Islam jika bukan umat Islam sendiri?
Siapa lagi yang hendak menjana kemajuan umat Islam jika bukan umat Islam sendiri?
Adakah kita hendak mengharapkan orang-orang bukan Islam?
Adakah kita hendak mengharapkan musuh-musuh Islam?
Jika kita sendiri tidak mencintai ummah ini, adakah orang lain yang akan mencintai ummah kita ini?

Sebab itulah kita mesti mencintai ummah.


Bagaimana cara untuk kita mencintai ummah?

Yang paling penting bagi kita dan ummah tidak lain ialah aqidah, fekah dan tasawuf. Inilah tiga tungku agama yang menjadi teras kepada kejayaan dan kesejahteraan hidup kita di dunia yang sementara ini dan di akhirat yang kekal selama-lamanya itu nanti.

Ambil tahulah masalah ummah terutamanya yang 3 tungku itu tadi mengikut kemampuan kita, mengikut ruang-ruang yang kita ada.  Janganlah kita mementingkan kesejahteraan diri sendiri sahaja kerana orang lain pun mahu sejahtera juga. Mereka juga berhak untuk mendapat sejahtera.

Khabarnya ajaran tasawuf, ajaran sufi dan ajaran tarekat membawa sejahtera. Tetapi mengapa kita pendamkan begitu sahaja tanpa disebarkan kepada umat?

Apa sahaja masalah yang melanda ummah, biarlah hendaknya kita turut ada rasa walau sedikit. Kita tetap sebahagian daripada ummah sama ada kita suka ataupun tidak.

Mencintai umat bererti mencintai segala peribadi yang berada di dalamnya. Dalam umat ada ibu bapa,  dalam umat ada adik-beradik saudara-mara, dalam umat ada pasangan hidup, anak-anak, jiran tetangga dan sebagainya.


Tentang mencintai ibu bapa :
Allah SWT berfirman : “Berbuat baiklah kepada kedua-dua orang ibu bapa.” (An-Nisa’ : 36)
“Hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa.” (Al-Isra’ : 24)
“Kami wajibkan manusia berbuat kebaikan kepada kedua-dua orang tuanya.” (Al-Ankabut : 8)

Tentang mencintai isteri atau pasangan hidup :
Nabi saw bersabda : “Yang paling baik dalam kalangan kamu ialah yang paling baik melayani isteri-isteri mereka.” (Turmizi, Ibnu Hibban)

Tentang mencintai suami pula :
Sabdanya saw : “Sekiranya aku boleh menyuruh seseorang untuk sujud kepada seseorang, nescaya aku akan menyuruh wanita sujud kepada suaminya.” (Turmizi)

Tentang mencintai kawan-kawan :
Sabdanya saw dalam sebuah hadith qudsi yang Allah berfirman : “Di manakah orang-orang yang berkasih sayang kerana kemuliaan Aku? Pada hari ini (Hari Akhirat) Aku lindungi mereka di bawah naungan-Ku pada hari yang tidak ada naungan selain naungan Aku.” (Muslim)

Tentang tetangga, kaum kerabat dan orang Islam lain :
Sabdanya saw : “Tidak sempurna iman seseorang daripada kalian sehingalah dia mencintai bagi saudaranya apa yang dicintai untuk dirinya sendiri.” (Bukhari, Muslim)

Sedarlah, bahwa dari segi tauhid dan tasawufnya, diri orang lain itu juga diri kita. Semuanya datang daripada Diri Yang Satu. Amat salah keyakinan segelintir orang yang hanya mahu mengusahakan dirinya sendiri sahaja lalu dia buat tidak tahu tentang diri-diri yang lain. Orang sebegini sebenarnya terkurung mindanya lagi tebal hijabnya kerana dia hanya terpandang sekelumit sahaja daripada diri yang sebenar. Dia berhabis seluruh masa hayatnya dengan diri yang sekelumit itu sahaja dan tersia-siakan yang lain.

Sabda Nabi saw : “Seorang mukmin kepada mukmin yang lain seumpama satu bangunan, yang satu bahagian dengan bahagian yang lainnya saling berpadu kukuh-mengukuhkan.” (Muttafaqun ‘alaih)

Seterusnya :
Marilah kita mencintai semua jemaah Islam yang benar.
Marilah kita mencintai semua tarekat Islam yang benar.
Marilah kita mencintai kesemua aliran kerohanian Islam yang benar.

Ketepikanlah perasaan “aku terbaik”.
Ketepikanlah perasaan “kami terbaik”.
Marilah kita mewujudkan perasaan “kita semua terbaik”.

Janganlah ditambah lagi perpecahan dan kerenggangan kepada umat yang sudah sedia banyak berpecah dan renggang ini. Biarlah kita menjadi penjernih, pendekat, pendamai, dalam keadaan kita tidak meninggalkan perjuangan menolak kemungkaran.


3.7    MARILAH KITA MENCINTAI AMAL IBADAH

Mengapakah kita mesti mencintai amal ibadah?

Allah SWT berfirman :

“Tidaklah Aku menjadikan jin dan manusia melainkan untuk berabdi kepada Aku.” (Ada-Dzariyat : 56)

Ibadah bukan sekadar amalan tetapi sebenarnya pengabdian.

Berabdilah kepada Allah dengan sepenuh hati, iaitu dengan berusaha gigih untuk melaksanakan segala yang diperintahkan-Nya dan berusaha gigih untuk menjauhi segala yang dilarang-Nya. Sebagai abdi, janganlah pandai-pandai dan senang-senang hati kita memilih apa-apa yang kita suka dan meninggalkan apa-apa yang kita tidak suka, melainkan kita kenalah menurut sahaja segala aturan yang tersedia, sama ada yang hati kita suka atau pun tidak. Begitulah sifat seorang abdi.

Dalam amal ibadah ada cinta dan kasih sayang Allah.
Dalam amal ibadah ada keredhaan Allah.
Dalam amal ibadah ada pahala daripada Allah.

Dalam amal ibadah juga ada kesihatan, ada ketenangan, ada kerehatan, dan sebagainya.


3.8    MARILAH KITA MENCINTAI DAKWAH

Mengapa kita mesti mencintai dakwah? Mengapa kita mesti menyampaikan dan menyebar?

Tidak lain kerana dakwah merupakan kerja Rasulullah saw, kerja para rasul Ulul Azmi, kerja para rasul dan kerja para sahabat radhiallahu anhum. Sehebat-hebat jalan kerohanian kita, tetap tidak akan mengatasi maqam Rasulullah saw, para rasul Ulul Azmi dan maqam para rasul.

Rata-rata antara kita sedia maklum bahawa terdapat 4 sifat terpenting pada diri kekasih kita Rasulullah saw. Sifat-sifat itu ialah sifat siddiq, amanah, tabligh dan fatanah. Bagaimana kita yang mengakui sebagai mengikut jalannya Nabi saw dan mencontohinya, tiba-tiba kita meninggalkan sifat tabligh yakni sifat dakwah yang ada pada diri baginda?

Bukankah salah satu kerja utama Rasulullah saw dan para sahabat adalah mempromosikan Allah ke serata alam? Bagaimana dengan kita?

Allah SWT telah berfirman :
“Siapakah yang lebih baik lagi kata-katanya berbanding orang YANG MENYERU KEPADA ALLAH dan dia melakukan amalan yang soleh?” (Al-Fussilat : 33)

Tidakkah kita mahu jadi orang yang terbaik?

Islam tidak akan tersebar ke serata dunia jika bukan melalui dakwah.
Kita dan tok nenek kita orang Nusantara ini mungkin masih belum Islam jika bukan kerana dakwah.
Bayangkan tuan-tuan jika semua orang menumpukan kepada ibadah diri sendiri sahaja dan mengabaikan dakwah. Apakah yang akan terjadi kepada agama Islam? Apakah yang akan terjadi kepada umat Islam?

Tidak cukup dengan kita mengharap, bertawakal dan berserah sahaja. Jika benarlah begitu caranya, sudah pasti Rasulullah saw dan para sahabat akan duduk diam-diam dan tumpu kepada hakikat makrifat sahaja. Tetapi sirah membuktikan dengan jelas bahawa baginda dan para sahabatnya berdakwah di jalanan, berdakwah mengetuk pintu-pintu rumah, berdialog dengan manusia, menemui para pembesar, menulis surat kepada raja-raja, berkontra dengan yang salah dan sebagainya.

Marilah kita mengambil tamsilan.

Ada dua orang manusia.
Orang pertama yang ROHANINYA SANGAT HEBAT bolehlah kita umpamakan sebagai satu UNGGUN API di sebuah rumah.
Orang kedua yang ROHANINYA AGAK HEBAT pula bolehlah kita umpamakan sebagai satu API LILIN sahaja di rumah yang lain.

Sememangnya cahaya satu unggun api lebih hebat daripada cahaya satu api nyalaan lilin, tetapi unggun api itu hanya dapat menerangi sebuah rumah sahaja kerana ia tidak menyucuh dan menyalakan api-api untuk orang lain. Ia besar tetapi hanya dapat menerangi satu ruang.

Lihat pula api sebatang lilin. Ia kelihatan kecil tetapi apabila ia menyucuh dan menyalakan lilin-lilin yang lain, bukan rumahnya sahaja diterangi, tetapi seluruh kampung-kampung yang lain pun diterangi juga.

Kita boleh buat renungan dan perbandingan sendiri, seluas manakah cahaya satu unggun api yang besar berbanding cahaya ribuan lilin walaupun kecil.

Satu unggun api yang tidak menyucuh, ia tidak menyalakan unggun api atau lilin-lilin yang lain.
Tetapi satu api lilin yang kecil apabila ia menyucuh, ia bukan sahaja boleh menyalakan lilin-lilin yang lain, bahkan dapat menyalakan unggun-unggun api yang lain.

Begitulah perbadingannya antara sufi yang berdiam diri dengan sufi yang menyalakan hati-hati manusia yang lain.

Oleh itu kita mestilah berdakwah, malah mencintai dakwah.

Iblis dan syaitan-syaitan pun tidak jemu-jemu berdakyah, takkanlah kita yang sufi jemu berdakwah!

Jelaslah kepada kita bahwa Tarekat Ghazaliyah tidak mentarbiyah untuk kepentingan diri sendiri sahaja, tetapi juga untuk diri-diri yang lain. Jika benar kita ahli keruhanian, tentu kita sedar bahawa diri-diri orang lain itu juga sangat berkait rapat dengan kita. Bukankah pada hakikatnya yang ada hanyalah satu diri? Bagimana kita boleh berjuang untuk menguruskan diri yang pada kita sahaja? Apakah diri-diri yang lain itu mahu dibiarkan sahaja?


Bagaimana kita mahu mencintai dakwah?

Mohonlah kepada Allah agar dia menjadikan kita orang yang suka dan cinta akan dakwah.

Kita sendiri pula mestilah berusaha dan berikhtiar untuk berdakwah. Barulah kita dapat mengecapi kemanisan dan kelazatan dakwah. Barulah kemudiannya kita dapat mencintai dakwah.

Bacalah dan dengarlah kisah perjuangan berdakwah para nabi, para wali, para sahabat dan para pendakwah. Insya-Allah akan bertambah kekuatan kita untuk mencontohi jalan mereka.


Jadi, apakah tindakan kita sekarang?

Dakwahlah dengan perbuatan, dengan kata-kata, dengan isyarat , dengan tulisan, dengan pelbagai media mengikut kemampuan dan ruang yang termampu. Imam Al-Ghazali sendiri seorang yang sangat gigih berdakwah melalui penyampaian-penyampaian dan karangan-karangannya.

Semoga Allah menjadikan kita orang yang ‘abid, dan orang ‘alim, dan orang yang da’i.
‘Abid – ‘Alim – Da’i. Inilah tiga kualiti yang mesti kita ambil berat.

Sesungguhnya nikmat berjuang, berletih-letihan dan berkorban pada jalan Allah ini hanya ada di dunia, tidak ada di syurga sana. Sebab itulah orang-orang yang sedar akan berlumba-lumba untuk mengecapinya. Kecapilah ia sementara masih punya kesempatan. Berlazat-lazatlah dengannya sebelum putus nyawa.


      3.9 PENUTUP 8 BANGSA KECINTAAN

Begitulah 8 bangsa kecintaan yang selalu kita seru-serukan.
Pada hakikatnya, kesemua 8 bangsa kecintaan ini hanya kena pada Allah sahaja.

Mencintai Allah, kena pada Allah.
Mencintai Al-Quran, kena dan tembus pada Allah.
Mencintai Rasulullah, kena dan tembus pada Allah.
Mencintai As-Sunnah, juga kena pada Allah.
Mencintai diri, kena dan tembus pada Allah.
Mencintai ummah, kena pada Allah.
Mencintai ibadah, memang kena pada Allah.
Mencintai dakwah, pun kena pada Allah.

Kerana itulah majlis-majlis Tariqah Al-Ghazlaiyyah ini selalu juga disebut-sebut sebagai “majlis cinta Allah”.

Bagi yang sudah berma’rifah tentunya sedia faham bahawa semua 8 bangsa kecintaan ini juga datangnya daripada Allah.

Silalah bawa pulang nanti segala kecintaan ini, tanam, jaga, suburkan, hadiahkan, dan sebarkan.


4.       SERUAN-SERUAN UMUM

Pada kesempataan yang sangat berharga ini, saya menyeru kepada diri saya sendiri terutamanya, dan juga kepada diri-diri yang lain.

Jadikanlah diri kita sebagai contoh yang baik kepada orang-orang lain dari segi akhlak perbuatan hati dan akhlak perbuatan anggota, mengikut kemampuan dan ruang masing-masing.

Bukankah kita selalu mengulang-ulang kalam Imam al-Ghazali dalam kitabnya Al-Munqiz min Adh-Dhalal, sebagaimana kata Al-Imam : “Aku yakin bahawa orang-orang sufi ialah golongan yang mengikut jalan yang semata-mata menuju Allah. Cara hidup mereka adalah sebaik-baik kehidupan, tariqat yang mereka lalui adalah jalan yang paling tepat, dan akhlak mereka adalah sebersih-bersih akhlak.”

Sabda junjungan kita Nabi Muhammad saw : “Tidak ada satu perkara pun yang paling berat diletakkan dalam neraca hamba pada Hari Akhirat kelak yang lebih daripada akhlak yang mulia.” (Abu Dawud, Turmizi)

Indahkanlah akhlak kita.
Indahkanlah pemikiran kita.
Indahkanlah gerak-geri kita.
Indahkanlah penampilan kita.
Indahkanlah kata-kata kita.

Melalui diri kita :
·         bawalah nama yang cantik kepada agama Islam,
·         bawalah imej yang menawan kepada sufi,
·         bawalah gambaran yang menarik kepada tasawuf,
·         bawalah pandangan yang indah kepada tarekat,
·         bawalah paparan yang memikat kepada Imam Al-Ghazali,
·         dan bawalah rupa yang cemerlang kepada Tarekat Ghazaliyyah dan tarekat-tarekat lain.
Janganlah kerana akhlak kita yang tidak baik, semua yang disebutkan tadi dipandang buruk oleh umat.

Orang ramai akan menilai melalui akhlak kita.
·         Ini ke Islam?
·         Macam ni ke yang dikatakan sufi?
·         Tasawuf macam ni ke?
·         Yang ini ke yang disebut-sebut sebagai tarekat tu?
·         Betul ke ini ajaran Imam Ghazali? Lain macam aje aku tengok!
·         Macam ini perangai orang Tarekat Ghazaliyyah?

Maka sama-samalah kita mengambil ingatan dan tindakan.

Sekiranya engkau berpeluang dalam kehidupan di dunia ini,
jadilah seorang
yang apabila orang terpandang atau teringat akan dirimu,
mereka akan teringat akan Allah.
Ataupun sekurang-kurangnya
mereka teringat akan agama dan kebaikan.

Teruskanlah membawa akhlak yang terpuji agar menjadi bekalan kita di akhirat nanti di samping dapat dijadikan ikutan yang baik oleh orang lain.

Kita semua merindui
orang-orang yang berakhlak terpuji,
yang berakhlak dengan akhlak nabi-nabi.
Hati halus kita tidak dapat menafikan.
Namun
sangat sukar untuk memperoleh
orang-orang yang sedemikian.

Apatah pula
kita sendiri lebih senang mengharapkan
agar ada orang lain yang membawa akhlak terpuji itu,
sedangkan kita sendiri
tidak berusaha pun untuk menjadikan
diri kita semakin berakhlak terpuji.
Kita lebih selesa dengan akhlak sedia ada
sekalipun kita sedar
ia tidak terpuji.

Bukankah Allah SWT ada berfirman : “Wahai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap masjid, makan dan minumlah tetapi jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak suka orang yang berlebih-lebihan.” (Al-‘Araf : 31)

Sabda Rasulullah saw pula : “Sesungguhnya Allah Taala itu indah dan suka akan keindahan.” (Muslim)

Berazamlah untuk setiap hari :
Zikir Harian tetap dibuat.
Solat sunat walau dua rakaat.
Baca Al-Quran dengn menatap, walau satu ayat.
Sampaikan dakwah walau sekadar dengan 1 isyarat.
Pada setiap hari.

Sesungguhnya kesedaran itu terbukti dengan tindakan.
Yang tidak beserta dengan tindakan, itu namanya sekadar tahu, belum punya kesedaran.
Berbeza antara orang yang sedar dengan orang yang sekadar tahu.

Teruskan sikap murni lagi terpuji yang kita terapkan dalam tabiyyah Tarekat Ghazaliyyah ini.
Jangan ada perasaan kita terbaik, kita terhebat, kita terbesar, kita tertinggi, kita tersunnah. Apatah lagi perasaan hanya kita yang baik, hanya kita yang hebat, hanya kita yang syar’i, hanya kita yang sunnah.

Selalulah beringat, bahawa akan sentiasa ada orang yang lebih daripada kita. Ingatan yang sebegini akan membantu menyelamatkan kita daripada terkena kotoran sifat-sifat mazmumah.

Teruslah membina hubungan yang baik lagi mesra dengan para pengamal tarekat yang lain, dengan jemaah-jemaah Islam yang lain dan dengan seluruh umat Islam. Sesungguhnya kita SATU UMAT.

Berusahalah untuk mempelajari, menggali dan mendalami kitab-kitab karangan Imam Al-Ghazali.


Dalam seruan-seruan ini, bolehlah jika kita mahu simpulkan bahwa semua ini adalah antara peranan ahli-ahli tasawuf, sufi, dan tarekat kepada agama dan umat, daripada sekian banyak peranan dan fungsi mereka.

Maksudnya di sini,  sudah terjawablah persoalan :
Apa gunanya tasawuf, sufi dan tarekat serta ahli-ahlinya kepada agama dan umat Islam?
Apa kepentingannya, peranannya, fungsinya, manfaatnya, faedahnya, kebaikannya, keperluannya, dan tanggung jawabnya?


5.       HARAPAN

Semoga sekiranya di majlis ini ada sesuatu yang bermanfaat untuk dibawa pulang, ibaratkanlah ia sebagai anak-anak benih pokok yang sudah berdaun kecil. Pulang nanti, jangan biarkan ia lemah tidak berjaga, jangan juga sekadar ia dibiar sebesar itu sahaja. Tetapi bajalah, siramlah dan jagalah sehingga ia sekurang-kurangnya lebih besar daripada yang kita dapat di sini.

Di air jernih kita bersampan,
Berenang ikan di tepi dayungnya;
Biji benih jangan disimpan,
Sebar-sebarkan, banyak manfaatnya.

Berenang ikan menjelang senja,
Menyusur lembah menuju kuala;
Sufi bukan di sini sahaja,
Sampai ke rumah, sampai bila-bila.

Semoga Tarekat Ghazaliyyah akan terus menjadi satu taman indah yang mendekatkan hubungan dalam kalangan umat Islam sama ada yang berbeza jemaah dan berbeza tarekat, termasuk juga bagi umat Islam yang tidak menganggotai mana-mana jemaah atau tarekat.

Diharapkan agar perhimpunan setahun sekali ikhwan Tariqah Ghazaliyyah ini akan dapat diadakan lagi pada tahun-tahun akan datang, insya-Allah. Kadang-kadang kita buat usaha agama tetapi tidak berjaya, hal itu tetap seronok. Apatah lagi apabila berjaya, berganda-gandalah seronoknya.

Harapan kita - semoga segala isi kandungan ucapan pada malam ini dapatlah dijadikan sebagai peneman perjalanan kita sekurang-kurangnya sehingga ke pertemuan pada tahun yang akan datang.

Selamat berhimpun, selamat berkenal-kenalan, selamat bersaudara.


6.       DOA

Akhirnya, marilah kita bersama-sama berdoa kepada Allah SWT.
Umumnya apabila Allah membuatkan kita berdoa, hal itu bermaksud Dia sedang membuka jalan-jalan pemberian kepada kita.


Bismilahirrahmanirahim.

(*Apa-apa doa yang biasa dibaca ada awal)

Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim,
Sembuhkanlah segala penyakit dan kelemahan yang menimpa rohani dan jasmani kami,
kuatkanlah rohani dan jasmani kami,
dan selamatkanlah rohani dan jasmani kami daripada segala bencana di dunia dan di akhirat.
Kurniakanlah kepada kami kesembuhan, kekuatan dan keselamatan.

Keluarkanlah daripada hati kami ini segala sifat-sifat mazmumah.
·         Jauhkanlah daripada kami perasaan hasad dengki.
·         Jauhkanlah daripada kami sifat mencintai keduniaan.
·         Jauhkanlah daripada kami sifat bermewah-mewah dan bermegah-megah.
·         Jauhkanlah daripada kami sifat kedekut.
·         Jauhkanlah daripada kami sifat menunjuk-nunjuk.
·         Jauhkanlah daripada kami perasaan hebat diri.
·         Jauhkanlah kami daripada fitnah terpesona akan dunia.

Engkau pilihlah kami ya Allah :
·         Agar kami suka bertaubat dan selalu bertaubat.
·         Agar kami banyak bersabar dan sentiasa bersyukur.
·         Agar kami sentiasa takut dan harap kepada-Mu.

Kami bermohon kepada-Mu wahai Allah Yang Maha Mengatur :
·         Jadikanlah kami orang yang zuhud.
·         Jadikanlah kami orang yang kuat tauhid dan kuat tawakal.
·         Jadikanlah kami orang yang cinta dan rindu pada-Mu.
·         Jadikan kami orang yang ikhlas.
·         Jadikan kami orang yang selalu muhasabah diri.
·         Jadikan kami orang banyak bertafakur
·         Dan jadikan kami orang yang selalu ingat akan mati.
Inilah sifat-sfat mahmudah yang menjadi maqsud kami pada jalan ini.

Kuatkanlah rasa persaudaraan antara sesama kami.
Limpahkanlah perasaan berkasih sayang kepada hati-hati ini.
Teguhkanlah tautan dan ikatan antara hati-hati kami ini.
Sesungguhnya kami bersaudara kerana-Mu ya Allah,
kami bersaudara pada jalan-Mu ya Allah.
kami bersaudara untuk mendapatkan redha-Mu ya Allah.

Ampunkanlah dan hapuskanlah segala dosa-dosa kami, dosa pandangan mata kami, dosa pendengaran telinga kami, dosa penghiduan hidung kami, dosa perkataan lidah kami, dosa riak wajah kami, dosa makan minum mulut dan perut kami, dosa perbuatan tangan kami, dosa syahwat kami, dosa langkahan kaki kami, dosa seluruh anggota zahir kami dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki, serta seluruh dosa diri batin kami yakni hati qalbu kami.

Ampunkanlah juga wahai Allah Yang Maha Pengampun akan dosa orang-orang tua kami, guru-guru kami, kaum keluarga kami, sahabat-sahabat kami, dan seluruh umat Islam sama ada yang masih hidup ataupun yang sudah mati. Hakikatnya, hanya Engkaulah satu-satunya yang ada hak untuk mengampunkan.

Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim, kasihanilah kami yang serba lemah ini,
kasihanilah orang-orang yang kami sayang,
kasihanilah seluruh umat Islam.

Selamatkanlah kami umat Islam daripada penderitaan.
Selamatkanlah umat Islam daripada penindasan.
Selamatkanlah umat Islam daripada perpecahan.
Selamatkanlah umat Islam daripada kemiskinan.
Selamatkanlah umat Islam daripada fitnah keduniaan.

Akhirnya Ya Allah, matikanlah kami nanti dalam keimanan dan masukkanlah kami ke dalam Jannah-Mu.
Matikanlah kami dalam kecintaan kepada-Mu, kurniakanlah kepada kami redha-Mu, dan masukkanlah kami ke dalam golongan yang dapat memandang-Mu di akhirat kelak.

(*Doa-doa lazim)

Salam.


28 April 2018