Tuesday, March 29, 2016

Mengapa Dia Bukan Wahhabi Juga?

PERSOALAN :
Ada pandangan ustaz yang berfahaman Salafi Wahhabi (kita sebut sebagai Ustaz W sahaja selepas ini) yang sama dengan pandangan Ustaz S, tetapi mengapa Ustaz S tidak dikategorikan sebagai berfahaman Salafi Wahhabi juga? Sepatutnya Ustaz S pun Wahhabi jugalah.

PENJELASAN :
Ada pandangan agama Hindu yang sama dengan pandangan agama Islam. Mengapa kita tidak kata agama Islam itu juga agama Hindu?
Kerana punya pandangan tertentu yang sama bukan sandaran untuk mengatakan kedua-dua agama adalah sama.

Ada pandangan YB Lim Guan Eng (dari DAP) yang sama dengan pandangan DS Najib Tun Razak (UMNO), tapi mengapa Najib Tun Razak tidak dilabelkan sebagai DAP juga?
Kerana punya persamaan pandangan dalam isu tertentu bukan bukti kedua-dua mereka adalah dari parti yang sama.

Ada pandangan Dr Asri yang sama dengan pandangan Syeikh Nuruddin Al-Banjari, tapi mengapa Syeikh Nuruddin tidak dicop sebagai Wahhabi?
Kerana beberapa persamaan pandangan bukan bukti kedua-dua mereka adalah dari fahaman/aliran yang sama.

Pandangan Imam Asy-Syafi’i banyak yang sama dengan pandangan Imam Malik, tetapi Mazhab Asy-Syafi’I tetap tidak sama dengan Mazhab Maliki.

Maka dalam hal wujudnya pandangan-pandangan tertentu yang sama antara Ustaz dengan Ustaz S, perkara itu tidak boleh sama sekali dijadikan sandaran untuk mengatakan mereka mempunyai fahaman/aliran yang sama. Sebab itulah kita tidak mengatakan Ustaz S berfahaman Salafi Wahhabi sekalipun ada pandangan dia yang sama dengan pandangan Ustaz W.

Seseorang itu dikenalpasti sebagai berfaham Salafi Wahhabi melalui ciri-cirinya. Ada berpuluh-puluh ciri seorang Salafi Wahabi. Macam mana hendak tahu seseorang itu betul Salafi Wahhabi atau bukan melalui ciri-ciri tersebut?

a)      Seandainya orang itu mempunyai banyak daripada ciri-ciri Salafi Wahhabi itu, maka jelaslah dia seorang Salafi Wahhabi sekalipun pun dia bermati-matian tidak mengaku yang dia berfahaman Salafi Wahhabi.
b)      Seandainya orang itu mempunyai hanya sedikit sahaja daripada ciri-ciri Salafi Wahhabi itu, maka dia bukanlah seorang Salafi Wahhabi sekalipun dia bermati-matian mendakwa dirinya seorang Salafi Wahhabi.
c)       Seandainya orang itu mempunya beberapa ciri Salafi Wahhabi tetapi tidak mencapai tahap banyak, maka kita tidak dapat pastikan sama ada dia berfaham Salafi Wahhabi atau tidak. Dalam hal sebegini, kita mendahulukan sangka baik bahawa dia bukanlah berfaham Salafi Wahhabi. Sekiranya pada masa-masa akan datang berlaku perubahan dari segi ciri-cirinya (sama ada bertambah atau berkurang), barulah kita nyatakan secara jelas yang dia berada dalam kategori yang mana.

(*Yang berminat untuk mengetahui antara ciri-ciri orang yang berfahaman Salafi Wahhabi, boleh rujuk dan meneliti tulisan saya di sini http://alexanderwathern.blogspot.my/2016/03/ciri-ciri-salafi-wahabi.html . Baru 40 ciri, ada banyak lagi. Tapi yang 40 ciri ini pun sudah cukup untuk dijadikan senarai semak apabila kita mahu mengenal pasti sama ada seseorang itu berfahaman Salafi Wahhabi ataupun bukan. Pengenalpastian dibuat melalui pengesanan ciri-ciri, bukannya melalui pengakuan atau ketidakmengakuan seseorang)

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan.

Ustaz W sudah kita kenal pasti berfaham Salafi Wahhabi kerana banyak ciri-ciri Salafi Wahhabi padanya. Manakala Ustaz S, hanya ada beberapa ciri Salafi Wahhabi padanya. Maka kita mendahulukan sangka baik bahawa dia tidak berfahaman Wahhabi.

Oleh itu, kita tidak boleh mengatakan Ustaz S seorang Wahhabi juga sekalipun ada pandangan dia yang sama dengan pandangan Ustaz W.

FAHAMI PERMAINAN MEREKA

Apakah strategi para penganut fahaman Wahhabi, mereka yang cenderung kepada fahaman Wahhabi dan mereka yang sudah terkena virus Wahhabi (sama ada sudah disedari atau tidak) dalam permainan ini?

Antaranya, ada orang yang berfahaman Wahhabi tetapi dia mahu mengelak daripada terkena label Wahhabi. Dia mahu menunjukkan bahawa label Wahhabi yang ditujukan kepadanya itu adalah satu kesilapan dan tidak benar.

Oleh itu, dia cuba mencari-cari ustaz-ustaz lain yang tidak diakui sebagai Wahhabi oleh masyarakat dan ustaz itu pernah mengatakan sesuatu yang sama dengan yang dia pegang.

Apabila sudah ditemuinya (dalam perbicaraan kita ini kita contohkan sebagai Ustaz S sahaja), maka dia akan buat kenyataan : “Ada pandangan saya yang sama dengan pandangan Ustaz S. Tapi mengapa Ustaz S tidak diakui sebagai Wahhabi juga?”

Maka sebahagian orang awam akan mudah terjerat dalam permainan ini. Kata sebahagian orang awam : “Betul jugak ye? Ustaz S tak pula masyarakat kata dia Salafi Wahhabi! Yang Ustaz W, orang kata Wahhabi. Padahal ada pandangan mereka yang sama je.”

Hasilnya, orang awam yang jahil dalam hal ini akan membentuk keputusan dalam jiwa mereka, contohnya :
a)      Label Wahhabi ke atas Ustaz W adalah fitnah semata-mata, atau
b)      Ustaz W terbukti bukan Wahabi, atau
c)       Orang yang mengakui Ustaz W sebagai Wahhabi tu tak tahu apa itu Wahabi, atau
d)      Kalau macam tu, Wahhabi ni baguslah sebab Ustaz S kan ustaz yang bagus?
Dan sebagainya.

Begitulah taktik yang mereka gunakan. Taktik ini sudah dibongkar sejak tahun 1999 dan ditulis sudah banyak kali. Namun sampai ke hari ini, masih ada sahaja orang-orang yang terpedaya dengan mudah. Harap-harap inilah kali terakhir saya menulis tentang bahagian ini.

Wallahu’alam.

Abu Zulfiqar

29 Mac 2016

Saturday, March 26, 2016

Suami Kaki Order

Alhamdulillah, syukur……setakat hari ini Allah mudahkan urusan makan dan minum saya. Satu nikmat yang sangat besar dan mesti banyak disyukuri.

Di rumah, hidangan makan berat saya cukup mudah untuk disediakan. Hanya nasi putih dan sayur kobis goreng, ini sudah cukup untuk membuka selera dan mengeyangkan. Lagi pun saya memang jenis yang tidak makan banyak.

Kobis gorengnya pun sangat ringkas. Hanya memerlukan sedikit minyak masak, sedikit bawang, sedikit garam, mungkin sedikit air, dan sayur kobis. Tidak perlu perasa tambahan, kicap, potongan cabai, serbuk kunyit dan lain-lain. Mudah kan? Cuma jika isteri saya memasak, dia akan buat lauk-lauk lain untuk dirinya dan anak-anak. Takkanlah mereka nak makan macam hidangan saya. Jadi, saya pun tumpang-tumpang jugalah lauk-lauk yang ada. Kebetulan isteri saya ni pandia juga memasak. Jika tidak ada pun, saya tidak berasa kurang, kerana sayur kobis goreng sudah cukup. Mudah dan cepat untuk disediakan. Harap-harap Allah terus berikan kemudahan ini kepada saya.

Tadi cerita makan berat, ini cerita makan ringan pula. Maksud makan ringan ni ialah sarapan, minum pagi, minum petang, atau pada bila-bila yang hidangannya tidak seberat makan tengah hari atau makan malam.

Setakat hari ini (untuk masa akan datang wallahua’lam lah), saya tidak main order dengan isteri, apatah lagi dengan anak-anak. Makan minum ringan untuk diri sendiri ni (untuk tetamu/orang lain, lain kiralah), semua saya buat sendiri, kecuali pada waktu tidak sihat. Setahun sekali pun rasanya susah nak dapat keadaan yang saya order : “kopi satu”, “tolong buatkan teh”, “tak buat apa-apa kuih ke?”, “abang berasa nak makan sekian-sekian le”, “tak dak ka cucoq2 ka apa ka?”, “buatkan mi goreng”, atau sebagainya. Apa yang saya nak minum, saya buat sendiri. Apa yang saya nak makan, saya ambil sendiri atau buat sendiri. Lagi pun biasanya saya hanya makan dan minum apa yang tercapai tangan dalam masa yang cepat seperti roti, biskut, air kosong, kopi segera, koko dan sebagainya.

Pernah beberapa kali isteri saya bertanya, yang saya ni tak mahu ke minta dia buatkan apa-apa hidangan ringan atau minuman? Selagi saya boleh bangun buat, tidak terlantar sakit, insya-Allah semua saya buat sendiri. Nak seronokkan isteri, mungkin setahun sekali saya order le jugak. Makanan yang ringkas-ringkas sahaja pun macam cucur tepung manis. Ye lah, sifat rata-rata isteri, sesekali mereka berasa rindu untuk menyediakan sesuatu hidangan kepada suami mereka.

Makan malam dan tengah hari memang kena minta jasa baik orang rumah memasaklah, kerana saya tidak punya kesempatan. Pada zaman-zaman punya kesempatan dulu, selalu jugak saya buat walaupun sekadar lauk yang mudah-mudah. Lagi pun kami jarang makan tengah hari bersama kerana masing-masing bekerja. Malam pula kadang-kadang sahaja makan berat. Biasanya sama ada beli makanan di kedai ataupun makan di kedai. Hari cuti pula memang biasanya keluar dan akan singgah makan di mana-mana.

Beberapa tahun lepas, pernah seorang hamba Allah bertanya, mengapa saya suka sediakan sendiri, tidak order-order? Bagi dirinya, biasa sahaja dia minta kopi, kuih, goreng-goreng dan lain-lain kepada isterinya. Hal itu bukanlah suatu kesalahan malah perkara biasa sahaja dalam masyarakat kita.

Saya mengiyakan kata-katanya. Hal itu bukan satu kesalahan pun. Tapi sebenarnya, saya membiasakan diri berbuat demikian kerana saya lebih suka jika masa yang digunakan oleh isteri saya untuk menyelesaikan order-order saya itu digunakannya untuk :

a)       urusan-urusan agama untuk dirinya (seperti membaca dan membuat nota buku-buku agama, menyelesaikan zikir-zikir harian, menonton kuliah-kuliah agama, membaca Al-Quran dan membaca maksudnya, menambah hafazan, menambah amal-amal sunat, berlatih perubatan nabawi dsb), dan
b)      urusan-urusan agama untuk umat Islam (seperti menyebarkan dakwah melalui media-media, merancang pengisian program usrah, menguruskan dokumen-dokueman gerak kerja, menguruskan akaun gerak kerja, mentarbiyyah anak-anak dsb).

Makan minum saya, usah khuatir. Saya boleh cari sendiri. Lebih baiklah masa itu digunakannya untuk hal-hal yang lebih berfaedah di atas. Saya tidak ada berasa kecil hati, bahkan sangat gembira.

Hamba Allah itu tidak memberi sebarang respon setelah mendengar jawapan saya. Nak kata ya pun tidak, tidak pun tidak. Angguk pun tidak, geleng pun tidak. Tak tahulah bagaimana penerimaan dia. Selepas terdiam beberapa lama, perbualan kami pun berpindah ke topik lain.

Saya bercerita ini bukannya apa, sejak kecil dah banyak pengalaman tengok suami yang jenis order-order ni. Sampaikan kita lihat isterinya dah macam tukang masak atau tukang bancuh air kedai kopi. Kita pulak yang kesian. Yang si isteri pun, menurut sahajalah walaupun kadang-kadang tu tengah dalam kepayahan.  Tak dilayan, suara di suami mula nak meninggi pulak.

Sudah lama tak jumpa situasi ini, tapi baru-baru ini ada terjumpa, suami yang asyik oooorder pagi petang malam. Dari situlah timbul ilham hendak menulis ni. Order-order tak salah, cuma kena berpatut-patutlah. Kan gitu?

Abu Zulfiqar
24 Mac 2016

Wednesday, March 2, 2016

Usaha Atas Makrifah dan Cinta



“Dia (Allah) mencintai mereka dan mereka pun mencintai-Nya.” (Al-Ma’idah : 54)

Usaha atas ma’rifah dan cinta

Ma’rifah dan cinta ini Allah yang punya. Dia beri kepada sesiapa sahaja yang Dia mahu dan Dia tidak beri kepada sesiapa yang Dia tidak mahu. Dari segi hakikatnya, semuanya ikut kehendak Dia. Semuanya sudah Dia rancang dan Dia tetapkan sejak/pada azali. Segala rancangan dan ketetapan Dia, tidak akan pernah berubah sama sekali, kerana Allah tidak pernah tersilap. Perancangan Dia sempurna 100%. Pelaksanaan perancangan Dia pun sempurna 100%.

Tetapi, sebagai seorang yang berlandaskan fahaman ASWJ, dari segi syariatnya kita mestilah :
i.                     berterusan berdoa agar Dia memilih kita dan terus memilih kita.
ii.                   berterusan berusaha mencari dan menambah cinta Allah.

“Dan mereka yang bermujahadah kepada Kami, sesungguhnya Kami tunjukkan jalan Kami kepada mereka. Bahawasanya Allah beserta orang-orang yang muhsin (baik).” (Al-Ankabut : 69)

“Berdoalah, nescaya akan Aku perkenankan bagimu.” (Al-Mu’min : 60)

Ma’rifah dan cinta Allah ini bukan kita seorang yang punya, tapi semua orang punya. Sebenarnya kita berkongsi ma’rifah dan cinta Allah.  Oleh sebab itu, janganlah kita usaha untuk diri kita seorang sahaja. Sudah semestinyalah kita hendak juga orang lain lebih-lebih lagi orang-orang yang kita sayang dapat sama cinta Allah ini.

Takkanlah kita hendak biarkan sahaja orang-orang yang kita sayang seperti ibu bapa kita, adik-beradik kita, anak cucu kita, saudara-mara kita, kaum kerabat kita, sahabat-sahabat kita, jiran-jiran kita, kenalan-kenalan kita, orang-orang yang pernah berjasa kepada kita tidak mendapat nikmat ma’rifah dan cinta?

Nikmat ma’rifah dan cinta ini lautan yang tidak bertepi, sangat banyak, sangat luas. Tak mahukah kita berkongsi dengan orang-orang yang kita sayang? Tak mahukah kita ajak mereka mengecap nikmat yang luas tidak berhabis ini bersama-sama?  Takkanlah kita hanya mementingkan kebahagian dan kenikmatan diri sendiri sahaja?

Rasulullah saw ialah orang yang paling berma’rifah dan paling mencintai Allah, malah dia sudah dijanjikan syurga. Tetapi dia masih sangat gigih bersusah-payah menyebarkan ma’rifah dan cinta Allah. Padahal kalau dia duduk seorang diri melayan ma’rifah dan cintanya itu pun sudah sangat selesa. Oleh itu, kita mestilah mencontohi baginda dengan menyebarkan ma’rifah dan cinta Allah ini.

“Serulah (semua manusia) kepada jalan Rabb kamu dengan hikmah dan pengajaran yang baik.” (An-Nahl : 125)

Ikhlas kenderaan kita

“Berkata (Iblis) : “Demi kekuasaanMu, aku akan menyesatkan mereka semua. Kecuali hamba-hamba-Mu yang ikhlas dalam kalangan mereka.” (Sad : 82-83)

Kita dakwah, kita sebar, paling kurang pun kita contohkan atau isyaratkan kepada orang lain tentang ma’rifah dan cinta Allah ini. Kita usaha agar lebih ramai orang ‘masuk’ pada jalan Allah.

Umumnya nikmat Islam dan iman semua orang Islam sudah dapat. Tetapi nikmat ma’rifah dan cinta, sangat ramai yang belum dapat. Sebab itulah kita mesti menyampaikan nikmat ma’rifah dan cinta ini kepada saudara-saudara kita yang lain.

Jalan Allah ini hak semua orang. Jadi kita ajak semua orang masuk pada jalan Allah. Marilah masuk pada jalan Allah dan kekal di atasnya.

Namun kita tetap beringat! Kita mendakwahkan orang agar masuk pada jalan Allah supaya kita dan mereka dapat tahu Allah, dapat kenal Allah (ma’rifatullah) dan dapat cinta Allah. Kita membawa atau memandu diri sendiri dan orang lain kepada Allah semata-mata, bukan mengajak mereka kepada diri kita, bukan mengajak mereka kepada perkumpulan/jemaah/gerakan kita, bukan mengajak mereka mengikut  gerak kerja geng kita, tidak mengajak mereka menjadi anggota kita, walau apa perkumpulan yang kita masing-masing sertai.

Mereka yang tidak menyertai mana-mana perkumpulan, silalah dengan keselesaannya. Mereka yang dengan perkumpulan-perkumpulan, silalah dengan keselesaannya.

Kita berniat mengajak diri dan orang lain kepada mengenal dan mencintai Allah. Itulah kerja kita. Itulah perjuangan kita. Satu kerja yang menyeluruh kepada seluruh umat. Kita berdakwah bukan untuk mengumpulkan pengikut. Kita menyampaikan bukan untuk memperbesarkan jemaah. Kita mempromosi bukan untuk berlumba-lumba dengan mana-mana individu atau perkumpulan. Kita mentarbiyyah bukan untuk meramaikan ahli. Kita tidak terlibat dengan persaingan, perlumbaan dan perbezaan antara perkumpulan/jemaah. Dalam dakwah atas ma’rifah dan cinta Allah ini, jangan sesekali kita tarik-menarik dan saling berebut pengikut dan penyokong.

Inilah dakwah atas ma’rifah dan cinta Allah. Inilah dakwah kita. Dakwah kita adalah untuk semua. Dakwah yang tidak punya sebarang kepentingan peribadi atau kepentingan perkumpulan. Namun, janganlah pula dihalang atau dilarang sekiranya terdapat mana-mana individu yang selesa dan suka untuk bersama-sama dengan kita.

Yakinlah! Allah mencintai orang-orang yang berusaha membawa dirinya dan orang lain untuk mengenal dan mencintai-Nya.

Kehebatan ma’rifah dan cinta

Hebatnya ma’rifah dan cinta Allah ini, untuk mendapatkannya kita tidak berebut-rebut sesama sendiri, berdengki-dengkian, jatuh-menjatuh, cantas-mencantas, bermusuhan dan sebagainya sebagaimana kita mahu mendapatkan keduniaan (seperti wang, kedudukan, pangkat, kemewahan, nama, pengikut, nama, projek-projek dan sebagainya).

Mengapa? Kerana ringkas cakap, ma’rifatullah dan cinta Allah ini luas tidak bertepi, tidak berhingga. Kautlah sebanyak mana yang dimahukan.

Tetapi kalau dalam hal keduniaan? Umumnya semua sikap mazmumah yang disebut di atas tadi ada. Mengapa? Kerana dunia ini sangat sempit dan sedikit manakala akhirat itu sangat luas dan banyak. Syurga itu sendiri seluas langit dan bumi.

“Berlumba-lumbalah kepada keampunan Rabb kamu dan (berlumba-lumbalah kepada) Jannah yang seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman dengan Allah dan Rasul-Nya, itulah adalah limpah kurnia Allah yang diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah mempunyai limpahan kurnia yang besar.” (Al-Hadid : 21)

Duit di dunia ini sangat sedikit, sebab itu orang berebut-rebut dan sanggup jatuh-menjatuh. Kedudukan, nama dan pangkat di dunia ini sangat sempit, sebab itu manusia sanggup berdengki-dengkian dan fitnah-memfitnah. Semua yang ada di dunia ini sangat kecil, tidak sampai sebelah sayap nyamuk di sisi Allah, sebab itulah orang-orang bertarik-tarikan dan bertolak-tolakan untuk mendapatkannya.

“Kalaulah dunia ini sama (nilai dan kehebatannya) di sisi Allah dengan sehelai sayap nyamuk, nescaya Allah tidak memberi minum kepada orang kafir walau seteguk air.” (Turmizi, Ibnu Majah, Al-Hakim)

Benarkah engkau berma’rifah dan mencinta?

Sebagai seorang pelajar kesufian, salik, orang yang masuk ke jalan Allah atau sebagainya, tentunya perlakuan rohani dan perlakuan jasmani kita lebih baik atau sekurang-kurangnya tidaklah lebih buruk berbanding orang-orang lain. Kalau tidak, seakan-akan tak bermanfaatlah ilmu-ilmu yang kita pelajari ini kepada diri kita sendiri. Kita sudah ada serba-sedikit ilmu dan amal tasawuf, tetapi kelakuan rohani dan jasmani lebih kurang sama sahaja dengan orang-orang biasa. Patutkah?

“Adakah kamu menyeru manusia akan kebaikan sedangkan kamu lupa akan diri kamu sendiri? Padahal kamu membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?” (Al-Baqarah : 44)

         i.            Jika benar kita mengenal dan mencintai Allah, sudah pastilah kita akan banyak mengingat akan Dia (berzikir).
       ii.            Jika benar kita mencintai Allah, sudah pastilah kita akan banyak berinteraksi dengan kitab-Nya yakni Al-Quran.
      iii.            Jika benar kita mencintai Allah, sudah pastilah kita mencintai Nabi Muhammad saw, mencintai serta meniru sunnah-sunnahnya.
     iv.            Jika benar kita mencintai Allah, sudah pastilah kita akan menambah amalan-amalan sunat kita sehari-hari.
       v.            Jika benar kita mencintai Allah, sudah pasti kita akan berakhlak dengan akhlak yang disukai-Nya.
     vi.            Jika benar kita mencintai Allah, sudah pasti kita akan menyukai rumah-rumah-Nya (masjid dan seumpamanya) dan majlis-majlis di dalamnya (solat berjemaah, majlis-majlis ilmu dan sebagainya).
    vii.            Jika benar kita mengenal dan  mencintai Allah, sudah tentu kita akan berusaha untuk berfikir yang baik-baik, berkata yang baik-baik dan berbuat yang baik-baik sahaja.
  viii.            Jika benar kita mencintai Allah, sudah pasti kita mencintai hamba-hamba yang dikasihi-Nya (para ulama).
     ix.            Jika benar kita menegnal dan mencintai Allah, nescaya kita akan berusaha untuk mempamerkan akhlak yang baik kepada seluruh alam (tembus kepada Dia kerana sebenarnya kita sedang mempamerkan akhlak yang baik kepada Dia).
       x.            Jika benar kita mencintai Allah, sudah tentulah kita akan menyeru atau mengajak manusia lain kepada Yang Kita Cintai Itu.
     xi.            Jika betullah kita mencintai Allah, sudah tentulah kita akan berusaha untuk mengamalkan apa yang kita tahu dalam pelajaran agama ini (mengikut kemampuan kita).

Inilah antara tanda-tanda seseorang itu sudah melangkah ke alam sufi walaupun sekadar baru beberapa langkah. Benarkah kita ini sufi?

Luaskanlah dan seimbangkanlah

Pelajaran tasawuf ini hanyalah salah satu juzuk daripada ilmu-ilmu agama Islam. Janganlah tumpu kepada pelajaran kesufian sahaja sedangkan pelajaran-pelajaran agama yang lain kita abaikan.

Mengenal dan mencinta Allah bukan bermaksud boleh duduk diam-diam seorang diri melayan cinta, kerana kenal dan cinta itu ada tuntutan-tuntutannya sebagaimana yang telah dicontohkan oleh Rasulullah saw sendiri,  para Khulafa’ Ar-Rasyidin dan para penerus mereka.

Imam Al-Ghazali berpesan dalam Ihya’ ‘Ulumuddin pada Kitab Ilmu : “Ilmu pengetahuan itu bantu-membantu. Sebahagiannya terikat dengan sebahagian yang lain.”

Tingkatkan kemahiran membaca dan memahami Al-Quran, pelajarilah ilmu-ilmu hadis, tambah hafazan, kayakan dengan ilmu perbandingan agama, perkemaskan ilmu dan amal ibadah-ibadah fardhu ‘ain, tambah pengetahuan ilmu-ilmu yang fardhu kifayah, ilmu-ilmu dakwah dan sebagainya. Luaskanlah dan seimbangkanlah.

Penutup

Kesimpulannya, usaha atas ma’rifah dan cinta ini adalah suatu pekerjaan yang sangat mulia lagi bersih suci. Sudah sewajarnyalah ada sekurang-kurangnya satu golongan yang mengusahakannya pada sesuatu tempat, agar kerja Rasulullah saw ini terus hidup dalam masyarakat umat Islam khususnya dan ke serata alam amnya. Marilah kita bermohon bersungguh-sungguh agar Allah memilih dan menetapkan kita atas usaha dan jalan ini buat selama-lamanya.

Abu Zulfiqar
2 Mac 2016

Tuesday, March 1, 2016

Bicara Yang Tidak Engkau Peduli



Setiap hari alam ini menjadi saksi
dan berbicara kepada kita.

Bahkan alam ini
sentiasa menjadi saksi dan berbicara.
Cuma kita yang tidak menyedari
apatah lagi untuk memahami.

Hal ini hanya disedari
oleh mereka yang mempelajari
(oleh mereka yang Dia pilih untuk sedar).

Alam ini berbicara
dengan bahasanya yang tersendiri.
Bahasa yang hanya dimengerti
oleh mereka yang mempelajari
(oleh mereka yang dipilih oleh-Nya).

Bahasa yang hanya dapat difahami
akan tuntutan-tuntutannya
oleh mereka yang melalui jalan ini
(oleh mereka yang dilorongkan-Nya ke jalan ini).

Dan jika dipandang sebelum alam,
selepas alam, di sebalik alam,
makin jelas dan tidak ternafi pulalah lagi,
bahawa yang berbicara itu pada hakikatnya
bukanlah alam yang tiada apa-apanya ini
melainkan Dia sendiri.

Dia sentiasa bersaksi.
Dia sentiasa berbicara kepadamu
namun engkau yang tidak peduli.
Sampainya hati…
Sombongnya diri…

Ampunkan kami,
ampunkan kami,
ampunkan kami,
wahai Allah Yang Maha Mengasihani.

Abu Zulfiqar
1 Mac 2016

Ciri-ciri Salafi Wahabi



Ada ke salafi wahhabi (wahabi) ni?
Ada.

Apa yang kita tolak daripada ajaran/fahaman salafi wahabi itu? Keseluruhannyakah yang kita tolak?
Kita hanya menolak APA YANG SALAH dan APA YANG MELEMAHKAN AGAMA & UMAT ISLAM sahaja.
APA YANG BENAR daripada ajaran/fahaman salafi Wahhabi, tidak pernah kita tolak, malah kita sokong 100%.

Macam mana kita nak kenal orang tu salafi wahabi ni?
Kita nak kenal apa sahaja pun, adalah melalui CIRI-CIRINYA. Sama juga, nak kenal salafi Wahhabi adalah melalui ciri-cirinya.

·         Kalau ada banyak ciri-ciri salafi wahhabi padanya, wahabilah itu sekalipun dia tidak mengaku dirinya wahabi.
·         Kalau ada sangat sedikit ciri-ciri wahabi padanya, bukan wahabilah tu sekalipun dia mengaku dirinya wahabi.
·         Kalau ada beberapa ciri wahabi padanya, tak dapalah dipastikan. Boleh jadi wahabi, boleh jadi bukan.

Contoh : Seorang anak kecil yang belum pernah melihat itik secara berdepan, datang beritahu ada ternampak seekor haiwan dan dia rasa-rasa haiwan itu ialah sejenis itik.
Bagaimana kita nak tahu betul itik ke tidak?
Mestilah berdasarkan ciri-cirinya.

Jika ada banyak ciri-ciri itik, maka betullah itik, sekalipun ia bermati-matian tidak mengaku dirinya itik tetapi buaya, ketam, pacat atau sebagainya.
Jika ada sangat sedikit ciri-ciri itik, maka bukan itiklah tu sekalipun ia bermati-matian mengakui dirinya Wahabi.
Jika ada beberapa ciri itik, maka belum pasti. Boleh jadi itik dan boleh jadi bukan itik.

Anak kecil itu pun beritahu ciri-ciri haiwan yang ditemuinya :
·         Badan berbulu pelepah macam burung.
·         Jalannya terkedek-kedek lambat.
·         Ada sayap
·         Tidak terbang.
·         Suka menyudu-nyudu.
·         Ada paruh yang lebar, bukan macam paruh ayam.
·         Berbunyi kuek kuek.
·         Kakinya dua.
·         Kakinya macam kasut penyelam.
·         Boleh berenang terapung-apung di atas air.
·         Anak-anaknya berwarna kuning berbaris mengikut ibunya.

Macam mana kalau haiwan tu tak mengaku dirinya itik tetapi buaya?
Dia tetap itik, kerana dia punya begitu banyak ciri-ciri itik dan sangat sedikit ciri-ciri buaya.

Apakah ciri-ciri seseorang itu berfahaman salafi Wahhabi?
Ada banyak. Antaranya :
1.       Biasanya TIDAK SUKA melakukan doa qunut ketika solat subuh (tetapi tidak semestinya yang tidak berqunut itu wahabi).
2.       Biasanya SUKA untuk tunjukkan kepada orang lain yang dia tidak buat qunut subuh.
3.       Biasanya SUKA untuk mengajak agar orang lain jangan buat qunut subuh.
4.       Biasanya TIDAK SUKA kepada tasawuf, sufi, tariqat dan yang sewaktu dengannya (tetapi tidak semestinya yang menolak tasawuf, sufi, tariqat dll itu wahabi).
5.       Biasanya SUKA menghukum BID’AH SESAT DAN KE NERAKA kepada tasawuf, sufi, tariqat dan sebagainya.
6.       Biasanya SUKA mengajak orang lain agar menolak dan menentang ajaran tasawuf, sufi, tariqat dll.
7.       Biasanya sewaktu solat berjemaah, SUKA terkangkang lebih dan mengenakan tepi kakinya dengan kaki orang di sebelah kiri dan kanannya (tetapi tidak semestinya yang suka terkangkang sebegitu wahabi). Sepatutnya berdiri lurus, bukan terkangkang.
8.       Biasanya SUKA mengajak orang lain untuk solat terkangkang kaki.
9.       Biasanya TIDAK SUKA berzikir dan berdoa beramai-ramai selepas solat fardhu (tetapi tidak semestinya yang tidak buat itu wahabi).
10.   Biasanya SUKA mengajak orang lain agar tidak berzikir dan berdoa beramai-ramai selepas solat fardhu
11.   Biasanya TIDAK SUKA pelajaran tauhid/usuluddin Sifat 20, aliran usuluddin Asya’irah dan Maturudiyyah.
12.   Biasanya SUKA menghukum BID’AH SESAT KE NERAKA pelajaran Sifat 20, aliran usuluddin Asya’irah dan Maturudiyyah.
13.   Biasanya belajar dan mengamalkan ajaran Tauhid 3 Serangkai iaiatu Tauhid Uluhiyyah, Tauhid Rabbubiyyah dan Tauhid Asma wa as-Sifat (tetapi tidak semestinya yang berpegang dengan ajaran Tauhid 3 Serangkai ini ialah wahabi).
14.   Biasanya SUKA mempromosikan Tauhid 3 Serangkai.
15.   Biasanya ANTI Imam Al-Ghazali dan kitab Ihya’ ‘Ulumuddin (tetapi tidak semestinya yang anti Imam Al-Ghazali dan Kitab Ihya’ itu ialah wahabi).
16.   Biasanya SUKA mengajak orang lain untuk menolak Imam Al-Ghazali dan kitab Ihya’.
17.   Biasanya TIDAK SUKA buat solat sunat terawih 20 rakaat.
18.   Biasanya SUKA buat solat sunat terawih 8 rakaat.
19.   Biasanya mereka sangat SUKA mengikut  dan mempromosikan pegangan-pegangan Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim al-Jauzi (tetapi tidak semestinya yang suka ambil pandangan2 Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim itu wahabi).
20.   Biasanya sangat SUKA mengambil pegangan-pegangan Muhammad bin Abdul Wahhab, Al-Albani, Utsaimin, Fauzan, Ben Baaz dan lain-lain.
21.   Biasanya MENOLAK jemaah-jemaah Islam seperti Tabligh, Ikhwanul Muslimin, Naqsyabandiyyah, Al-Ghazaliyyah, Ahmadiyyah Idrisiyyah, parti-parti politik Islam dan lain-lain.
22.   Biasanya mengumpan orang-orang baru dengan mempamerkan diri mereka sebagai penentang Syiah dan ajaran-ajaran sesat.
23.   Biasanya tidak mampu membezakan yang mana ajaran syiah dan yang mana ajaran tasawuf sufi. Mereka merasakan kedua-duanya sama.
24.   Biasanya TIDAK SUKA kepada keturunan Rasulullah saw (keturunan ahlul bait, para habaib, para sayyid dll).
25.   Biasanya TIDAK BOLEH MENERIMA keputusan khilaf.
26.   Biasanya TIDAK mengikut mana-mana mazhab fiqh sama ada Hanafi, Maliki, Syafi’i atau Hanbali.
27.   Biasanya mereka tidak bermazhab, atau bermazhab tokoh-tokoh pujaan mereka, atau bermazhab campur-campur, atau bermazhab ikut fikiran diri sendiri. Maka ada sangat banyak mazhab.
28.   Biasanya menghukum BID’AH SESAT KE NERAKA akan sambutan Maulidur Rasul, qasidah, talkin, tahlil dan lain-lain.
29.   Biasanya hanya terima hadis sahih. Mereka tolak hadis hasan dan hadis dhaif . (tetapi tidak semestinya yang menolak hadis hasan dan hadis dhaif itu wahabi).
30.   Biasanya orang-orang yang menolak apa yang salah dan apa yang melemahkan daripada ajaran mereka, mereka akan cuba kaitkan dengan syi’ah atau ajaran sesat.
31.   Biasanya bid’ah dianggap seolah-olah salah satu hukum, semua bid’ah adalah berdosa dan akan ke neraka, tidak ada bid’ah yang baik (bid’ah hasanah).
32.   Biasanya cenderung untuk memahami ayat-ayat Al-Quran, hadis2 Nabi dan kata-kata ulama berdasarkan zahir teks ayat, sedangkan apa yang di sebalik teks diabaikan.
33.   Biasanya menganggap lafaz “usolli…” sebelum solat adalah bid’ah yang berdosa.
34.   Biasanya menganggap perlakuan menyapu muka dengan tangan selepas solat sebagai bid’ah yang berdosa.
35.   Biasanya menganggap zikir dan selawat yang dilaungkan antara solat terawih adalah bid’ah yang berdosa.
36.   Biasanya menganggap perlakuan bersalam-salaman selepas solat adalah bid’ah yang berdosa.
37.   Biasanya menganggap solat sunat qabliyyah sebelum fardhu Jumaat sebagai bid’ah yang berdosa.
38.   Biasanya menganggap kebiasaan umat islam membaca Surah Yaasin pada malam Jumaat sebagai bid’ah yang berdosa.
39.   Biasanya menganggap perlakuan berzikir dengan menggunakan tasbih adalah bid’ah dan berdosa.
40.   Biasanya menyokong tokoh-tokoh salafi Wahhabi tempatan.

Anda mungkin meminati:

Related Posts with Thumbnails