Sunday, November 8, 2015

Aktifkan Sayap Kerohanianmu



Semua manusia dianugerahi “sayap kerohanian” untuk “terbang ke langit tinggi”. Ada beberapa golongan manusia dalam hal ini :

i)                    Golongan yang selama ini tidak pernah tahu pun mereka ada sayap kerohanian dan boleh terbang ke langit tinggi. Jika kita berada dalam golongan ini, kita mestilah dengan segera berusaha mencari.

ii)                   Golongan yang dapat tahu, tapi tidak berminat untuk tahu cara-cara menggunakan sayap kerohanian itu. Golongan ini sebenarnya tidak menyedari betapa besar kerugian yang mereka alami. Jika mereka mengetahuinya, pasti mereka akan berusaha keras untuk mencari.

iii)                 Golongan yang tahu dan hendak menggunakannya dan mahu ke langit tinggi, tetapi tidak tahu cara-caranya. Golongan ini hendaklah berusaha mencari ilmu tentangnya, guru, atau apa sahaja yang berkaitan yang dapat membantu penerbangannya dengan betul.

iv)                 Golongan yang tahu lalu menggunakannya, tetapi tersesat ke alam lain. Golongan ini tersalah fikir, tersalah guru, tersalah ilmu atau tewas dengan nafsu. Kena segera berpatah balik walau seberat mana rasa hendak meninggalkan apa-apa yang diperolehi selama ini.

v)                  Golongan yang tahu dan betul cara gunanya. Golongan ini dapat pergi ke alam langit tinggi dan menikmati keindahan-keindahan dan kelazatan-kelazatan yang ada, mengikut rezeki masing-masing.

Wallahua’alam.

Terjumpa Lagi Awan Berbentuk Kalimah Allah




2-3 tahun lepas, saya berdiri di kaki lima sebuah bangunan tingkat satu. Ternampak awan membentuk kalimah Allah. Dua hari lepas, kebetulan saya berdiri di tempat yang sama, dan ternampak lagi awan dalam bentuk kalimah Allah, tapi kali ni lebih tebal dan besar awannya. Tempatnya di langit tu pun lebih kurang sama juga.

Pencapaian2 Kita dalam Cinta Allah



Semuanya adalah kerja Allah, termasuklah pencapaian kita dalam pelajaran Kitab Cinta Allah ini. Sebab itulah :

i)                    Ada orang yang tidak dipilih oleh Allah untuk dapat tahu. Maka selamanyalah dia tetap tidak akan pernah tahu.
ii)                   Ada yang dipilih oleh Allah untuk dapat tahu (belajar/menerima ilmu tentangnya), tapi tidak dipilih oleh Allah untuk faham.
iii)                 Ada yang dipilih Allah untuk faham, tapi tidak diberi-Nya kesedaran.
iv)                 Ada yang dipilih untuk dapat kesedaran, tapi tidak dipilih-Nya untuk mendapat amal.
v)                  Ada yang dipilih-Nya untuk mendapat amal, tapi tidak dipilih oleh-Nya sebagai orang yang memperolehi penghayatan.
vi)                 Ada yang dianugerahiNya penghayatan tapi tidak diizinkan-Nya mendapat kemuncak cinta Allah.
vii)               Ada pula orang yang dipilih-Nya untuk mendapat kemuncak cinta Allah.

Apabila kita sudah memahami haqiqat ini, langkah utama kita ialah dengan selalu memohon Allah anugerahkan cintaNya kepada kita. Dia sahaja yang mampu memberi, tidak ada selain Dia.

Batiniyyah, Syiah, Falsafah Berbeza dengan Tasawuf, Sufi



Golongan batiniyyah, syi’ah dan falsafah membuatkan golongan tasawuf/sufi dipandang negatif oleh sebahagian masyarakat. Hal ini kerana seringkali puak-puak batiniyyah, syi’ah dan falsafah ini turut mendakwa bahawa mereka juga kaum tasawuf/sufi.

Keadaan ini diburukkan lagi apabila rata-rata ahli masyarakat kita memang tidak ada ilmu untuk membezakan antara kaum batiniyyah/syi’ah/falsafah dengan kaum tasawuf sufi, termasuklah sebahagian lulusan agama sendiri. Maka golongan tasawuf dan sufi yang benar pun dianggap sebagai golongan berfahaman batiniyyah/syi’ah/falsafah, dan golongan batiniyah/syi’ah/falsafah pula dianggap sebagai aliran tasawuf/sufi. Semua dianggap sama, padahal jauh berbeza.

 Namun yang paling malang sekali apabila ada lulusan agama yang jahil dalam hal ini ataupun yang memang berniat jahat, cuba mempengaruhi masyarakat agar menolak dan memusuhi kaum tasawuf dan sufi dengan cara menyamakan atau mengaitkan tasawuf sufi dengan puak batiniyyah/syi’ah/falsafah.

Oleh itu orang ramai mestilah sangat berhati-hati. Jika sedar yang diri belum ada ilmu dan kemahiran untuk membezakan yang mana batiniyyah/syi’ah/falsafah dan yang mana tasawuf/sufi, janganlah menulis, memperkatakan, mengisyaratkan, atau mengkongsikan sesuatu yang kita tidak ada pengetahuan tentangnya. Orang yang bijaksana tentunya tidak akan mudah-mudah mempercayai segala dakwaan yang dibuat walau oleh sesiapa sahaja.

Alam tasawuf alam yang bersih. Bukan sekadar bersih luaran, tetapi yang lebih diutamakan ialah bersih yang dalaman. Selagi dalaman tidak banyak yang bersih, selagi itulah sebenarnya kita masih memerhati tasawuf dari jauh, walaupun kita sangkakan kita sudah banyak belajar/ambil tahu tentang tasawuf. Ringkas kata, sesuatu yang tidak bersih tidak akan dapat bertempat pada yang bersih.

Abu Zulfiqar
8 November 2015


Thursday, November 5, 2015

Benarkah Para Wali Tidak Bekerja?



SOALAN : Benarkah jika seseorang itu wali Allah, dia mestilah tidak bekerja kerana tawakkalnya kuat dan rezekinya datang tanpa diduga? Benarkah juga dakwaan mengatakan bahawa jika seseorang itu bekerja, maka tawakkalnya lemah dan tidak layak menjadi wali Allah?

JAWAPAN : Tentunya tidak! Ramai auliya’ (para wali) yang bekerja mencari nafkah seperti :
i.         4 orang dalam Khulafa’ ar-Rasyidin. Merekalah wali-wali paling afdhal selepas Rasulullah saw.
ii.       Huzaifah ibnu Yaman (bekerja sebagai Gabenor Kufah, Gabenor Parsi).
iii.      Abu Hurairah (bekerja sebagai Gabenor Bahrain, Gabenor Madinah).
iv.     Khalifah Umar Abdul Aziz (bekerja sebagai Khalifah, bahkan menjadi Gabenor Madinah pada zaman Hajjaj Yusuf As-Saqafi jadi Gabenor Iraq).
v.       Imam Asy-Syafi’i (pernah bekerja sebagai Mufti Yaman dan Menteri Najran).
vi.     Imam Al-Ghazali (bekerja sebagai pengetua Madrasah Nizamiyah).
vii.    Imam Ahmad al-Ghazali (bekerja sebagai pengetua Madrasah Nizamiyah).
viii.  Sultan Muhammad Al-Fateh (Khalifah Turki Uthmaniyyah).
ix.     Syeikh Shamsuddin al-Wali (bekerja sebagai penasihat di istana Sultan Al-Fateh).
x.       Salahuddin al-Ayyubi (bekerja sebagai Gabenor Mesir, Perdana Menteri Daulah Islam).
Dan ramai lain.

Adakah mereka semua tidak kuat tawakkal dan tidak layak menjadi auliya’ Allah?

Ilmu tasawuf , ilmu haqiqat, ilmu ma’rifat, ilmu mukasyafah ini adalah ilmu yang halus-halus lagi seni-seni. Oleh itu, cara syaitan hendak menGgelincirkan kita pun halus-halus dan seni-seni juga. Sebab itu ramai juga orang-orang yang tersalah jalan. Kita mestilah sangat berhati-hati.

Anda mungkin meminati:

Related Posts with Thumbnails