Monday, March 16, 2020

Musim Wabak (bah. 2)


Sudah beberapa orang bertanya kepada sahaya, lebih kurang persoalannya, apa SARANAN PIHAK Tarekat Ghazaliyah ketika (musim wabak) ini?

Dengan sekian banyak saranan yang bagus-bagus yang dikeluarkan oleh pelbagai pihak, maka kita ikut sahajalah saranan-saranan tersebut.


Bagaimana dari segi AMALAN?

Pun sudah banyak yang dikongsikan oleh pelbagai pihak. Umumnya BAGUS-BAGUS BELAKA. Pilih dan amalkanlah mana-mana amalan yang sesuai dan mampu dibuat. Istiqamahkan.


Kami nak juga ustaz syorkan sesuatu amalan, walaupun mungkin amalan itu sama dengan yang disyorkan oleh orang lain.

Kalau begitu, sahaya suka untuk syorkan satu amalan yang sangat MUDAH dan RINGKAS, iaitu perbanyakkan beristighfar (dengan hati kita bertaubat bersungguh-sungguh tidak mahu lagi melakukan hal-hal yang bertentangan dengan kehendak agama yang kita lakukan selama hari ini, bukan sekadar banyak menyebut istighfar sahaja). Jadi, beristighfarlah sebanyak-banyaknya.

Dalam kitab induk Ihya’ ‘Ulumuddin khususnya pada Kitab Zikir dan Doa, Imam Al-Ghazali bercerita tentang keutamaan dan kelebihan beristighfar dengan agak panjang.

Membanyakkan istighfar bukan sekadar untuk mendapatkan pengampunan dosa-dosa, tetapi juga untuk mendapatkan KEMAQBULAN DOA-DOA. Ringkas kata, apabila dosa-dosa kita dihilangkan oleh Allah, maka mudahlah pula doa-doa kita untuk dimaqbulkan-Nya, termasuklah doa-doa yang berkaitan dengan musim wabak ini. Dengan izin Allah, membanyakkan beristighfar sebenarnya menjadi jalan kepada selesainya pelbagai masalah.

Berikut sahaya petik keutamaan membanyakkan beristighfar daripada buku Terbit Yang Melimpahkan Cahaya Naungan Ke Atas Tariqah Al-Ghazaliyyah. Semoga bermanfaat.


KEUTAMAAN BERISTGHFAR       
(*Perhatikan perkatan-perkataan yang berhuruf besar sebagai titik fokus)

Allah SWT berfirman : “Maka aku katakan kepada mereka, beristighfarlah kamu kepada Rabb-mu, sesungguhnya Dia  Maha Pengampun. Nescaya Dia akan mengirimkan HUJAN LEBAT kepadamu (*untuk musim kemarau), dan MEMBANYAKKAN HARTA (*untuk semua ornang khususnya yang terlibat dengan PERNIAGAAN) dan anak-anakmu (*untuk MENDAPATKAN ANAK), dan mengadakan untukmu kebun-kebun (*UNTUK PARA PETANI) dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai.” (Nuh: 10-12).

Firman-Nya : “Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhanmu dan bertaubat kepada-Nya. Nescaya Dia akan memberi KENIKMATAN yang baik (terus menerus) kepadamu sehinggalah pada waktu yang telah ditentukan dan Dia akan memberikan kepada setiap orang yang mempunyai keutamaan (balasan akan) keutamaannya. Jika kamu berpaling, maka sesungguhnya aku takut kamu akan ditimpa seksa Hari Qiamat.” (Hud : 3).

Allah berfirman : “Dan (Nabi Hud as berkata): “Wahai kaumku, mohonlah ampun kepada Rabb-mu lalu bertaubatlah kepada-Nya, nescaya Dia menurunkan hujan lebat kepada kamu, dan Dia akan MENAMBAHKAN KEKUATAN kepada kekuatanmu, dan janganlah kamu berpaling dengan berbuat dosa”. (Hud : 52).

Firman-Nya Azza wa Jalla : “(Nabi Soleh) berkata: “Wahai kaumku, mengapa kamu minta disegerakan keburukan sebelum (kamu minta) kebaikan? Hendaklah kamu meminta ampun kepada Allah, agar kamu MENDAPAT RAHMAT”. (An Naml : 46).

Firmannya : “Dan Allah sekali-kali tidak akan mengazab mereka (kaum musyrik Makkah yang mencabar Allah turunkan hujan batu ke atas mereka) sedangkan engkau berada dalam kalangan mereka. Dan TIDAKLAH (pula) Allah akan MENGAZAB MEREKA sedang mereka meminta ampun.” (Al-Anfal : 33)

Sabda Rasululah saw : “Sungguh Allah lebih gembira dengan taubat hamba-Nya daripada kegembiraan salah seorang daripada kalian yang menemui untanya yang hilang di padang pasir.” (Bukhari dan Muslim).

Sabda Nabi saw : "Barangsiapa yang senantiasa beristighfar, maka Allah akan memberikan KEGEMBIRAAN dari setiap kesedihannya, dan KELAPANGAN bagi setiap kesempitannya, dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.” (Abu Daud, Ibnu Majah, Ahmad).

”Sesungguhnya seseorang hamba itu boleh tertahan rezekinya kerana dosa yang dilakukannya.” (Ibnu Majah, Ahmad, Ibnu Hibban)

”Apabila seorang mukmin melakukan suatu dosa, maka tercoretlah titik hitam di hatinya. Apabila dia bertaubat, meninggalkannya dan beristighfar, maka bersihlah hatinya.” (An-Nasa’i, Ibnu Majah, Turmizi, Ibnu Hibban).

“Demi Allah, sesungguhnya aku minta ampun kepada Allah (beristighfar) dan bertaubat kepada-Nya dalam sehari lebih daripada 70 kali’.” (Bukhari).

“Allah telah berfirman, "Wahai hamba-hamba-Ku, setiap kalian pasti berdosa kecuali yang Aku jaga. Maka beristighfarlah kalian kepada-Ku, nescaya kalian Aku ampuni. Dan barangsiapa yang meyakini bahawa Aku punya kemampuan untuk mengampuni dosa-dosanya, maka Aku akan mengampuninya dan Aku tidak mengira (beberapa banyak dosanya).” (Ibnu Majah, Turmidzi)

“Sesungguhnya syaitan telah berkata,”Demi kemuliaan-Mu ya Allah, aku terus-menerus akan menggoda hamba-hamba-Mu selagi jiwa mereka ada dalam badan mereka (masih hidup).” Maka Allah menimpalinya,”Dan demi kemuliaan dan keagungan-Ku, Aku senantiasa mengampuni mereka selama mereka memohon ampun (beristighfar) kepada-Ku.” (Ahmad, Al-Hakim).

“Barangsiapa yang duduk dalam satu majlis lalu di dalamnya banyak salah dan silap, kemudian sebelum dia mningalkan majlis itu dia membaca (istighfar) :
”Subhanakallahumma wabihamdika. Asyhadu allaa ilaaha illa anta. Astaghfiruka wa atuubu ilaik.”
(Maha suci Engkau ya Allah dan aku memuji-Mu dan aku bersaksi bahwa tiada Allah melainkan Engkau, aku meminta ampun dan bertaubat kepada-Mu.),
nescaya akan diampuni kesalahan-kesalahan yang diperbuatnya selama dalam majlis itu.”
(Turmizi).

“Barangsiapa beristighfar secara rutin, pasti Allah memberinya JALAN KELUAR DARIPADA KESEMPITAN dan memberi REZEKI YANG TIDAK TERHINGA kepadanya.” (Abu Daud).

”Sesungguhnya Allah akan mengangkat darjat seorang hamba di syurga. Hamba itu bertanya,’Wahai Allah, dari mana aku dapat kemuliaan ini?” Allah menjawab, “Kerana istighfar anakmu untukmu’.” (Ahmad)

Ibnu Shabih berkata,”Hasan al-Basri pernah didatangi seseorang dan mengadu bahawa LADANGNYA KERING TANDUS, dia (Hasan) berkata, “Perbanyaklah istighfar”. Lalu ada orang lain yang mengadu bahawa KEBUNNYA KERING, dia berkata, ‘Perbanyaklah istighfar’. Lalu ada orang lain lagi yang mengadu bahawa dia BELUM PUNYA ANAK, ia berkata, “Perbanyakkanlah istighfar”. (Kitab Fathul Bari: 11/98)


Alangkah banyaknya kelebihan istighfar. Tentunya sangat bermanfaat kepada kita terutamanya pada musim-musim wabak ini.


Bagaimana kalau terkena wabak juga?

Hal itu dalam urusan Allah (wilayah haqiqat), maka urusan/kerja Allah janganlah kita persoalkan. Nabi-nabi dan para sahabat pun ada yang terkena penyakit sekalipun amalan mereka tinggi melangit. Kerja kita adalah yang dalam wilayah syariat iaitu kita mesti berusaha dan berikhtiar, dan wilayah inilah yang akan dipersoal kelak.

Allah SWT berfirman : “Dia (Allah) tidak akan dipersoal tentang apa-apa yang dikerjakan-Nya/dilakukan-Nya (wilayah haqiqat), tetapi merekalah (kitalah) yang akan dipersoal (tentang usaha dan ikhtiar kita, iaitu wilayah syariat).” (Al-Anbiya’ : 23)

Abu Zulfiqar Al-Amsyari
16 MAC 2020

No comments: