Wednesday, May 29, 2019

Ada Apa dengan Nama Tok Janggut Putih tu?


Datang satu soalan kepada sahaya : “Mengapa gunakan nama Tok Janggut Putih? Apakah maksud di sebaliknya?”

Jawapannya – Nama “Tok Janggut Putih” tu sahaya gunakan di satu akaun Facebook sahaya sebagai nama sampingan. Sahaya mula masukkan nama tersebut agaknya antara 2010 ke 2012, tak berapa ingat. Ketika itu sahaya berusia dalam lingkungan 37-39 tahun.

Maksud penggunaan nama itu :

“Tok” biasanya menunjukkan sudah tua.
“Janggut” pun sebahagian orang kaitkan dengan “tua”.
“Janggut putih” memanglah kita kaitkan dengan “sudah tua”.

Jadi, nama “Tok Janggut Putih” itu adalah untuk mengingatkan diri sahaya sendiri supaya bersedia untuk melalui alam tua (selain daripada mengajak ingat akan kematian). Dalam tarbiyyah sufi yang sahaya lalui sejak zaman remaja, hal ini memang dianjurkan agar kita jangan takut lagi bersedia untuk tua (dan mati). Maka sahaya sekadar menurut jalannya sahajalah, sekadar yang sahaya termampu.

Kebetulan Allah jadikan sahaya cepat beruban pada janggut tetapi lambat sedikit pada bahagian rambut. Sehingga ke hari ini mungkin sudah 80-90 peratus berwarna putih walaupun rambut masih banyak yang hitam. Maka, sesuailah nama tu.

Selain itu, dalam keluarga sebelah sahaya, sekitar tahun 2010-2012 itu saya sudah pun bergelar Tok Long, kerana sudah mempunyai beberapa orang anak buah berpangkat cucu saudara. Memang padanlah rasanya nama sampingan “Tok Janggut Putih” tu.

Kesimpulannya, nama itu bukanlah untuk menampakkan hebat tetapi untuk sentiasa menyedarkan diri. Wallahu’alam.

Abu Zulfiqar
29 Mei 2019

No comments: