Wednesday, December 9, 2020

Mengapa Buku Tarekat Ghazaliyah Ditulis?

 

Mengapa ditulis buku Terbit yang Melimpahkan Cahaya Naungan ke atas Tariqah Al-Ghazaliyyah (ringkasnya disebut buku Cahaya Naungan) ini?


i) Kerana ramai yang bertanyakan tentang Tarekat Ghazaliyah. Dengan adanya buku ini, tidak perlulah pihak Tarekat Ghazaliyah memberi penerangan yang sama berulang-ulang kali.


ii) Kerana ramai juga yang tidak bertanya tetapi mereka ingin tahu tentang Tarekat Ghazaliyah, mengikut niat masing-masing.


ii) Untuk memudahkan majlis penerangan Tarekat Ghazaliyah. Majlis penerangan ini diadakan apabila ada orang yang mahu mendengar tentang Tarekat Ghazaliyah, tidak kira sama ada selepas itu mereka mahu mengambil Tarekat Ghazaliyah atau pun tidak. Majlis ini biasanya berlangsung antara 1 ke 2 jam dan dibuat secara percuma, mengikut kelapangan dan kesediaan pihak Tarekat Ghazaliyah. Buku ini sangat bagus dibaca sebelum hadir ke majlis penerangan kerana dapat memudahkan, memendekkan dan meringkaskan majlis tersebut.


iv) Untuk memudahkan pihak-pihak yang mahu menyiapkan tugasan akademik yang berkaitan dengan tasawuf, sufi dan tarekat khususnya Tarekat Ghazaliyah. Pihak Tarekat Ghazaliyah selalu diminta penerangan dan diwawancara dalam hal ini terutamanya oleh pelajar-pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT).


v) Sebagai kayu ukur, pegangan dan rujukan untuk generasi akan datang. Dengan cara begini tarekat in tidak akan mudah-mudah cuba dipinda, diubahsuai, diselewengkan, digunakan untuk kepentingan peribadi dan pihak-pihak tertentu, disalahertikan, dan sebagainya. Keasliannya sejak zaman pengasasnya iaitu Imam Al-Ghazali akan cuba dikekalkan.


vi) Sebagai koleksi perbadi bagi yang berminat, memandangkan risalah-risalah tentang Tarekat Ghazaliyah ini sangat sukar untuk diperolehi.


Kesimpulannya, kehadiran buku ini memang membantu memudahkan urusan banyak pihak terutamanya kami daripada Tarekat Ghazaliyah sendiri, dengan izin Allah. Wallahua’lam.


Abu Zulfiqar Al-Amsyari

8 Disember 2020

No comments: