Saturday, October 17, 2020

Sukatan Jumlah Amal Harian

 

Mengapa amalan lafaz-lafaz amalan harian dalam Tarekat Ghazaliyah ini sedikit sahaja? Lafaz Zikir Hariannya pendek-pendek dan hanya 1000 kali sahaja. Bacaan 10 juga hanya 100 sahaja. Bolehkah jika hendak dibuat banyak?


Boleh, tidak salah, malahan berpahala, tetapi tidak digalakkan. Tentunya ada sebab-sebab sesuatu amalan itu sukatannya dianjurkan sebanyak sekian-sekian jumlah sahaja.


Dalam kehidupan kita sehari-hari, bukan zikir 1000 dan bacaan 10 itu sahaja yang kena kita selesaikan, tetapi ada banyak lagi hal-hal yang kena diselesaikan juga.


Contohnya, jika lafaz yang 1000 kita buat 10,000 dan bacaan yang 100 kita buat 1000, banyak masa kita akan habis di situ.

Maka, di mana kita hendak letakkan amalan membaca Al-Quran satu juzuk sehari?

Bila pula masanya kita hendak selesaikan baca (wiridkan) kitab Ihya’ pada setiap sehari?

Solat-solat sunat? Takkanlah kurang daripada 10 rakaat sehari?

Zikir nama Kekasih kita di dalam hati iaitu “Allah” yang tidak berhad jumlahnya itu pula?

Menyampaikan dakwah?

Menambah ilmu-ilmu agama pada setiap hari?

Yang lain-lain lagi?

Bila masanya kita hendak selesaikan semua ini?


Jika kita tidak ikut sukatan, susahlah hendak selesaikan kesemua amalan harian. Sebab itulah kita sangat dianjurkan agar ikut sahaja sukatan yang diwariskan.


Yang sukatannya 1000, eloklah dibuat 1000. Yang sukatannya 10, eloklah dibuat 10. Insya-Allah cukup waktu untuk selesaikan kesemuanya. Melainkan ada urusan-urusan tertentu yang memerlukan kita buat lebih.


Amalan-amalan yang dianjurkan dalam Tarekat Ghazaliyah ini adalah untuk hari-hari kita bekerja, bukan pada hari-hari cuti. Jika bermuhasabah pada hari-hari cuti, memanglah kita jaguh kerana biasanya kita tidak dalam kesibukan. Hendak menghitung amalan, cuba bermuhasabah pada hari-hari kerja. Baru tahu yang kita sebenarnya jaguh beramal atau tidak.


Keismpulannya, ikutlah sukatan yang ditetapkan agar lebih sejahtera. Tetapi jika masih boleh dicapai semua walaupun setelah ditambah sukatan jumlahnya, hal itu sangatlah bagus.


Abu Zulfiqar Al-Amsyari

17 Oktober 2020

No comments: