Thursday, December 24, 2020

Sanad2 Tarekat Ghazaliyah dalam Kedua2 Buah Buku Tarekat Ghazaliyah

Ulama-ulama silam mempunyai banyak sanad keagamaan mereka. Bolehlah dikatakan bahawa dengan hampir kesemua guru-guru mereka, ada sanad masing-masing. Cuma sanad-sanad mereka ada yang disampaikan halnya kepada generasi yang datang kemudian dan ada yang tidak. Namun begitu, sanad utama atau sanad rasmi mereka biasanya dipelihara dan disampaikan kepada para penerus mereka, sama ada secara bertulis atau pun secara lisan.


Sanad-sanad ini ada pada setiap tungku agama yang tiga iaitu fekah, akidah dan tasawuf. Dalam fekah, ada sanad-sanad mereka. Dalam akidah, ada sanad-sanad mereka. Dalam tasawuf pun, ada sanad-sanad mereka. Umumnya semua sanad ini bersambungan terus ke atas sehinggalah sampai kepada Rasulullah SAW.


Imam Al-Ghazali sendiri mungkin memiliki berbelas-belas (atau mungkin juga berpuluh-puluh) sanad dalam tasawuf sahaja memandangkan sedemikian ramainya guru-guru beliau dalam ketiga-tiga tungku agama. Daripada sekian banyak sanad Imam Al-Ghazali yang daripada Rasulullah SAW sampai kepada beliau, ada 5 sanad yang tersisa dalam catatan guru kami. Salah satunya ialah sanad utama atau sanad rasmi bagi jalur kami ini. Jalan rasmi Al-Ghazaliyyah ini merupakan jalannya Huzaifah ibnu Yaman r.a.


Selain daripada sanad utama yang bersambungan terus kepada Rasulullah SAW, tarekat ini juga mempunyai sanad secara keruhanian apabila salah seorang syeikh tarekat ini iaitu Sayyid Ahmad al-Dayurbi ada bermimpi bertemu dengan Imam Al-Ghazali, Imam Ahmad al-Ghazali dan Syeikh ‘Ainul Qudhat sekaligus sekalipun zaman mereka terpisah jauh.


Namun begitu, sanad secara pengalaman keruhanian tidak menjadi hujah dalam tarekat ini melainkan sekadar pengkayaan kepada sanad utama sahaja. Setiap mursyid atau muallim Tarekat Ghazaliyah yang sah mestilah melalui proses pengijazahan dan bai’ah melalui sanad yang zahir, tidak memadai dengan sanad secara pengalaman ghaib sahaja.


Sanad utama dan sanad keruhanian ini telah kami nyatakan dalam karangan kami Terbit yang Melimpahkan Cahaya Naungan ke atas Tariqah Al-Ghazaliyyah 1 (Pengenalan). Bolehlah dirujuk di sana.


Selain daripada itu, terdapat juga tiga sanad lagi yang datang daripada Rasulullah SAW sehinggalah sampai kepada Imam Al-Ghazali. Namun menurut guru kami, sanad-sanad ini dikira sebagai sanad-sanad sampingan sahaja. Sanad-sanad ini tidaklah menjadi hujah bagi Tarekat Ghazaliyah kerana ia dipandang sebagai sangat lemah.


Tiga sanad itu setiap satunya datang melalui jalan Saiyidina Abu Bakar, Saiyidina Umar, dan Saiyidina Ali. Sanad-sanad sampingan ini telah kami muatkan dalam karangan kami Terbit yang Melimpahkan Cahaya Naungan ke atas Tarekat Ghazaliyah 2 (Lanjutan). Bolehlah dirujuk di sana.


Hanya itulah sahaja lima sanad Tarekat Ghazaliyah yang tersisa untuk kami pada zaman akhir ini. Wallahua’alam.

 

"Jika kita sanggup berusaha dengan gigih dan sanggup berkorban pada jalan Allah, insya-Allah banyak perkara yang akan kita perolehi."


Abu Zulfiqar Al-Amsyari

24 Disember 2020


No comments: