Tuesday, May 31, 2016

Mengapa Poster Kuliah Ada Gambar Ustaz?

Mengapa poster untuk beberapa kali kuliah belakangan ini ada gambar uztaz? Dulu-dulu susah kan susah nak ada? Apa matlamatnya?

Sebenarnya bukan sahaya yang nak letak gambar, tapi ada anak-anak murid, hadirin kuliah dan orang-orang di internet yang mengikuti rakaman pengajian kitab Ihya’ ‘Ulumuddin ini yang menyarankan begitu. Kata mereka, balik-balik asyik gambar pemandangan, bunga-bungaan dan angkasa lepas. Dah bosan! Gambar orang bagi kuliah susah nak ada sekali. Padahal boleh kata semua poster kuliah ada gambar para pengkuliahnya sekali. Kuliah sahaya je yang tak ada.

Jadi buat masa ini akan adalah gambar sahaya sekali, sampailah nanti orang dah jemu pulak tengok muka sahaya, sahaya gantilah balik dengan pemandangan, bunga-bungaan dan dedauan, serta gambar planet-planet, seperti sebelum-sebelum ini.


Abu Zulfiqar
31 Mei 2016

Ujian, Pelepasan dan Rezeki

PERSOALAN :

Assalamualaikum ustaz.. saya ada kemusykilan agama..

“Barangsiapa bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezki dari arah yang tiada disangka-sangkanya.” (QS. Ath Tholaq: 2-3).

Dalam ayat ini diterangkan bahwa Allah akan menghilangkan bahaya dan memberikan jalan keluar bagi orang yang benar-benar bertakwa pada-Nya. Allah akan mendatangkan padanya berbagai manfaat berupa dimudahkannya rizki.

Tetapi.. terdapat dalil yang seterusnya pula.. seperti ini: "Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan: Kami telah beriman, sedang mereka belum diuji?" (QS Al-Ankabut:2-3).

Dan hadist.. "Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku mencintaimu." Maka Rasulullah saw menjawab, "Bersedialah untuk miskin." Orang lelaki berkata, "Aku mencintai Allah Taala." Rasulullah saw bersabda, "Bersedialah untuk menghadapi bala(cobaan)."(HR Tirmidzi dari Abdullah bin Maghfal)

Jadi... jika kita tafsir secara pandangan kasar.. seumpama berbeza maksud kedua dalil ini.. adakah jalan taqwa itu membahagiakan.. atau penuh onak duri?.. tapi saya percaya pasti ada maksud yang sebenarnya.


JAWAPAN :

Wlksm. Dalam Surah At-Tholaq itu Allah beritahu yang Dia akan MEMBERI JALAN KELUAR daripada sesuatu yang tidak kita ingini, bukannya Allah beritahu yang Dia TAK AKAN KENAKAN KE ATAS KITA sesuatu yang tidak kita ingini (termasuklah ujian dari-Nya). Maksudnya, kadang kala sesuatu yang tidak kita ingini itu (termasuklah ujian dari-Nya) akan berlaku juga tetapi ALLAH AKAN MENYEDIAKAN JALAN KELUAR daripada sesuatu yang tidak kita ingini itu. Pada diri Rasulullah saw sendiri banyak berlaku sesuatu yang tidak diingininya.

Begitu juga dengan ayat seterusnya iaitu Allah akan memberi rezeki melalui jalan yang tidak disangka-sangka. Hal ini bukan bermaksud Allah tidak akan memberi kekurangan langsung kepada orang-orang bertaqwa. Nabi Muhammad saw, ahli keluarganya dan para sahahatnya pun ada juga mengalami kekurangan.

Tentang ayat Surah Al-Ankabut itu, tidaklah bertentangan dengan ayat Surah At-Tholaq. Memang benarlah Allah menguji kita, tetapi Dia juga menyediakan jalan keluar daripada kegagalan dalam ujian itu. Antara jalan keluar yang disediakannya termasuklah rezeki melalui jalan yang tidak disangka-sangka oleh kita. Syaratnya, kita mesti bertaqwa dalam menghadapi ujian-Nya itu.

Tentang hadis Rasulullah saw itu, baginda hendak mengelakkan salah faham sebahagian orang yang menyangkakan apabila kita mengamalkan ajaran Islam, SUDAH TENTU kita tidak akan miskin (mustahil untuk miskin) dan SUDAH TENTU kita tidak akan diuji oleh Allah lagi (terbebas daripada cubaan Tuhan). Fahaman sebegini jelas salah. Nabi Isa sendiri miskin tidak berharta dan Nabi Musa sendiri diuji dengan ujian-ujian yang berat walaupun mereka jauh lebih bertaqwa berbanding kita.

Jadi, dengan berpegang kepada agama Islam, peluang untuk kaya pun ada, risiko untuk miskin pun masih ada. Jangan beranggapan kalau kita Muslim, maka MUSTAHIL untuk jadi miskin. Jangan juga beranggapan kalau kita Muslim, maka MUSTAHIL akan terkena cubaan daripada Allah. Orang-orang Islam Palestin ramai yang bertaqwa tetapi tetap ada yang miskin dan masih terus dicuba oleh Allah sampailah sekarang.

Kesimpulannya, jalan taqwa itu adalah sebagaimana jalannya Rasulullah saw, iaitu tetap ada dugaan tetapi ada jalan keluar dan rezeki tidak disangka-sangka. Wallahualam.


Abu Zulfiqar
31 Mei 2016

Selepas Kuliah Kitab Ihya

Situasi 1

Selepas salah satu kuliah Kitab Ihya', seorang hamba Allah datang bertanya. Dia seorang polis, minat sukan bina badan, badannya pun memang nampak tegap kemas. Aktif sukan bina badan sekadar hobi, bukan hendak masuk pertandingan. Untuk kesihatan dan kepuasan diri.

Persoalannya, dia ada pos gambar-gambarnya di media sosial tapi dalam keadaan tertutup antara pusat dan lutut. Bolehkah? Boleh saja, cuma jangan berasa hebat, nak menunjuk-nunjuk, riya', ujub dan lain-lainlah.

Kemudian saya tanya, ada tak pos gambar-gambar pembina badan lain yang terbuka aurat mereka? Gambar dia mungkin terpelihara aurat, tapi bagaimana dengan gambar-gambar orang lain yang tak terhijab aurat mereka (yang dia pos)?

Soalan ini nampaknya cukup untuk membuat dia terfikir, dan dia katakan akan ambil respon.

Memang sering kita lihat tukang pos seorang yang memelihara auratnya, jika yang wanitanya bertudung elok dan tidak bertabarruj, tetapi mereka sering pula poskan gambar-gambar orang lain khususnya sesama Muslim yang terdedah auratnya, dan jika yang wanitanya = bertabarruj. Yang kita, kita tutup. Yang muslim lain, kita dedah. Maksudnya kita masih juga mendedahkan aurat.


Situasi 2

Selepas kuliah, seorang hamba Allah minta pandangan. Dia ada kawan. Kawannya ada belajar ilmu yang didakwa sebagai ilmu makrifat. Masalahnya kawannya tu memang tinggalkan syariat. Bolehkah orang seperti itu dibetulkan balik?

Jawapan saya, jika sudah kukuh pegangan dia dalam hal itu (sudah ekstrem/taksub), biasanya sudah tidak dapat ditarik balik. Dia akan terus dengan pegangannya itu. Kita hanya dapat mendoakan dia sahajalah. Jika ada peluang sembang, cuba selit-selit sahajalah.

Tapi jika belum sampai ke tahap taksub, masih mahu diajak bertukar-tukar fikiran secara adil, maka memang luas lagi peluang nak tarik semula.


Abu Zulfiqar
31 Mei 2016


Rindu Allah Sepanjang Hayat

Orang-orang yang menolak kewujudan cinta Allah, sudah pastilah mereka menolak kewujudan rindu Allah. Hal ini kerana cinta adalah pintu kepada rumah rindu, kulit luar kepada buah rindu, tangga kepada tingkat rindu, dan jalan ke lebuhraya rindu.

Sebenarnya cinta dan rindu Allah memang ada. Bukti-bukti kewujudan cinta dan rindu ini jelas terdapat pada ayat-ayat Al-Quran, hadith-hadith, kata-kata ulama dan hujah-hujah akal.

Apa pun yang kita cinta/suka, akan kita rindui sekiranya ia tidak ada di hadapan kita, atau ketika tidak kita perolehi. Rindu itu akan hilang apabila yang kita rindui itu sudah ada dengan kita. Yang kita rindui pastinya kita terharap-harap, tercari-cari, tertunggu-tunggu, tersebut-sebut dan terkenang-kenang. Semua ini disebut asyik.

Walau sema’rifah mana pun seseorang itu akan Allah di dunia ini, rindu akan Allah tidak akan terpadam geloranya di dunia ini, melainkan di akhirat nanti.

Kata Imam Al-Ghazali : “Bahawa setiap apa yang terang bagi orang yang berma’rifah, dari urusan-urusan keTuhanan, walaupun ada pada penghabisan terang, maka itu seakan-akan dari balik tirai yang tipis (*maksudnya maish tetap ada hijab walaupun sudah terlalu nipis). Maka tidaklah ia terang dengan penghabisan terang. Akan tetapi, adalah bercampur dengan campuran-campuran kekhayalan.”

“Sesungguhnya kekhayalan-kekhayalan itu tidak lesu di alam ini, daripada tamsilan, percontohan bagi semua yang diketahui. Dan itu mengeruhkan bagi ma’rifah yang menyempitkan. Seperti demikian pula, bertambah kepadanya pengganggu-pengganggu duniawi.”

“Bahawa kesempurnaan terang itu dengan penyaksian (al-musyahadah) dan sempurnanya kecemerlangan at-tajalli (nyata dan terangnya sesuatu). Dan tidak ada yang demikian itu selain di akhirat.”

Sebab itulah orang-orang yang benar-benar cinta akan Allah, mestilah rindu akan Allah pada sepanjang hidup mereka di dunia ini.

“Allah Tuhanku. Sesungguhnya aku bermohon kepada-Mu akan redha sesudah qadha’, kedinginan hidup sesudah mati, kelazatan memandang kepada WajahMu Yang Mulia dan kerinduan kepada menemuiMu.” (Ahmad, Al-Hakim)


Abu Zulfiqar
15 Mei 2016

Petikan daripada Kitab Rahsia Puasa

Apakah kelebihan2 berpuasa?

“Setiap kebaikan pahalanya 10 kali sehingga 700 kali melainkan puasa. Maka puasa itu adalah bagiKu dan Aku akan membalasnya.” (Bukhari, Muslim)

“Sesungguhnya orang-orang yang berhati teguh (sabar, termasuklah orang2 yang bersabar ketika menjalani ibadah puasa) itu akan dibayar pahalanya dengan tiada terbatas.” (Az-Zumar : 10)

“Allah Taala berfirman : “Sesungguhnya orang yang berpuasa itu meninggalkan hawa nafsu, makanan dan minuman kerana Aku. Maka puasa itu untukKu dan Aku akan membalasnya.” (Bukhari, Muslim)

“Syurga itu mempunyai sebuah pintu yang dinamakan Ar-Rayyan, yang tidak masuk melalui pintu itu selain orang-orang yang berpuasa. Dan dijanjikan dengan menemui Allah Taala pada balasan puasanya.” (Bukhari, Muslim)

“Orang yang berpuasa itu mempunyai dua kesenangan (kegembiraan) : (iaitu) kesenangan ketika berbuka dan kesenangan ketika bertemu Tuhannya.” (Bukhari, Muslim)

“Sesungguhnya syaitan berjalan pada anak Adam pada tempat jalan darahnya. Maka sempitkanlah tempat jalannya dengan lapar.” (Bukhari, Muslim)


Bagaimanakah tingkatan2 dalam berpuasa?

Puasa terdiri daripada 3 tahap :

1. Puasa umum.
2. Puasa khusus.
3. Puasa yang lebih khusus.


Tahap puasa umum (puasa orang2 awam, muslim)
Mencegah perut dan kemaluan daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa.

Tahap puasa khusus (puasa para solehin, mukmin)
Ditambah dengan mencegah pendengaran (telinga), penglihatan (mata), percakapan (lidah), tangan, kaki dan seluruh anggota daripada melakukan perkara-perkara dosa.

Tahap puasa lebih khusus (muhsin)
Ditambah dengan mencegah hati daripada segala cita-cita/ keinginan/ kehendak yang hina. Juga mencegah segala fikiran keduniaan. Yang lebih tinggi ialah mencegah hati daripada selain Allah Taala.
Inilah tingkat puasa para nabi, orang-orang siddiq dan orang-orang muqarrabin.

“Banyaklah orang yang berpuasa yang tidak ada baginya puasa itu selaian lapar dan dahaga.” (An-Nasa’i, Ibnu Majah)



Tentang Malam Al-Qadar

Imam Al-Ghazali berkata : “Malam Al-Qadar ialah malam yang terbuka padanya sesuatu dari alam malakut.”

Kata Imam al-Ghazali : “Sesiapa yang menjadikan antara hatinya dan dadanya tempat tampungan makanan, maka dia terhijab daripadanya. Dan sesiapa yang mengosongkan perutnya, maka yang demikian itu belum mencukupi untuk mengangkatkan hijab, sebelum cita-citanya kosong daripada selain Allah ‘Azza wa Jalla. Dan itulah urusan seluruhnya. Dan pangkal semuanya itu ialah menyedikitkan makanan.”


Seputar Puasa

Kata Imam Al-Ghazali : “Niat. Dan tidak boleh tidak (berniat puasa Ramadhan) pada setiap malam, berniat pada waktu malam yang tentu lagi yakin. Jika diniatkan berpuasa bulan Ramadhan sekali niat nescaya tidak mencukupi.”

Kata Imam Al-Ghazali : “ Janganlah membanyakkan makanan yang halal ketika berbuka, hinggakan rongganya penuh melimpah.Maka tidak adalah karung yang lebih dmarahi Allah ‘Azza wa Jalla daripada perut yang penuh dengan yang halal. Bagaimanakah hendak mendapat faedah daripada puasa, memaksakan musuh Allah (syaitan) dan menghancurkan hawa nafsu, apabila didapat oleh yang berpuasa ketika berbuka apa yang tidak diperolehnya pada siang hari? Kadang2 bertambah lagi dengan pelbagai macam warna makanan, sehingga berjalanlah kebiasaan dengan menyimpan segala macam makanan itu untuk bulan Ramadhan. Maka dimakanlah segala makanan itu di dalam bulan Ramadhan apa yang tidak dimakan pada bulan2 lain.”

“Tujuan berpuasa ialah mengosongkan perut dan menghancurkan hawa nafsu untuk menguatkan jiwa kepada bertaqwa.”

“Apabila perut ditolak dengan makanan dari pagi hari sampai sorenya, sehingga perut itu bergolak keinginannya dan bertambah kuat kegemarannya, kemudian disuguhkan dengan makanan yang lazat2 dan kenyang, nescaya bertambahlah kelazatan dan berlipat-gandalah kekuatannya serta membangkitlah dari nafsu syahwat itu apa yang diharapkan tadinya tenang, jikalau dibiarkan di atas kebiasaannya.”

“Maka jiwa dan rahsia puasa ialah melemahkan kekuatan yang menjadi jalan syaitan dalam mengembalikan kepada kejahatan. Dan yang demikian itu tidak akan berhasil selain dengan menyedikitkan makanan iaitu memakan makanan yang dimakan setiap malam jikalau tidak berpuasa.”

“Apabila dikumpulkan apa yang dimakan pada pagi hari kepada apa yang dimakan pada malam, maka tidaklah bermanfaat dengan puasanya itu.”

“Bahkan sebahagian daripada adab berpuasa ialah tidak membanyakkan tidur pada siang hari, sehingga dirasainya lapar dan haus, dan dirasainya lemahnya kekuatan. Maka jernihlah ketika itu hatinya serta berkekalanlah pada tiap2 malam sekadar kelemahan, sehingga ringanlahmengerjakan solat tahajjud dan wirid2nya. Maka semoga syaitan tidak mengelilingi hatinya lalu dapat ia memandang ke alam tinggi.”

* Petikan daripada KItab Rahsia Puasa dalam Kitab Ihya' 'Ulumuddin karya Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali


Abu Zulfiqar
30 Mei 2016





Pengorbanan Orang Muda Menuntut Kitab Ihya Ulumuddin

Terharu dengan kegigihan anak-anak muda menuntut ilmu agama, khususnya pengajian kitab Ihya’ ‘Ulumuddin ini. Ada yang datang setiap minggu sejauh 40 kilometer, bahkan ada yang sejauh 60 kilometer. Datang petang, pulang dalam gelap malam.

Ada yang bekerja malam. Satu malam mungkin dua tiga ratus masuk (agakan sayalah). Sebelum ini memang dalam seminggu, satu malam cuti. Maksudnya sudah hilang dua tiga ratus.

Sekarang tambah satu malam lagi cuti, sebab mahu menuntut ilmu. Ertinya hilang lagi dalam dua tiga ratus. Besar punya pengorbanan. Berapa ramai yang sanggup hilang dua tiga ratus pendapatan sehari hanya untuk menghadiri majlis ilmu agama setiap minggu?

Allah pilih mereka untuk melakukan pengorbanan yang besar. Memang kita risau kalau-kalau pengisian yang kita beri tidak setimpal dengan pengorbanan mereka. Semoga Allah mudahkan segala urusan keduniaan dan keakhiratan kita semua khususnya anak-anak muda ini.


Abu Zulfiqar
31 Mei 2016

Wednesday, May 18, 2016

Tazkirah FB AZA Sepanjang Mei 2016






Nabi Musa Melihat Allah?

Ada seorang hamba Allah yang mengajarkan ilmu yang sulit-sulit mengatakan bahawa Nabi Musa melihat Allah di dunia ini. Hamba Allah itu berhujah menggunakan ayat Al-Quran pada Surah Al-A’raaf ayat 143. Benarkah ayat ini bercerita tentang Nabi Musa melihat Zat Allah?

Jom kita teliti ayat tersebut!

“Dan ketika Nabi Musa datang pada waktu yang Kami telah tentukan itu, dan Rabbnya berkata-kata dengannya, maka Nabi Musa berkata : “Wahai Rabbku! Perlihatkanlah kepada aku supaya aku dapat melihat-Mu.” Allah berfirman : “Engkau sama sekali tidak akan sanggup (tidak akan mampu) melihat Aku, tetapi pandanglah kepada gunung itu. Maka kalau ia (gunung itu) tetap berada di tempatnya (masih kekal tidak terusik), nescaya engkau akan dapat melihat Aku.” Setelah Rabbnya tajalli (menyata) kepada bukit itu, bukit itu hancur lebur dan Nabi Musa pun jatuh pengsan. Setelah ia sedar semula, berkatalah ia : “Maha Suci Engkau, aku bertaubat kepadaMu, dan akulah orang yang awal beriman.” (Al-A’raaf 7 : 143)

Dalam ayat ini, Allah meletakkan satu syarat. Sekiranya syarat itu dipenuhi, barulah Nabi Musa dapat melihat-Nya. Apakah syarat itu? Syaratnya ialah gunung itu tetap seperti sedia ada. Sekiranya gunung itu tidak seperti sedia ada, maka Nabi Musa tidak dapat melihat-Nya.

Apakah yang berlaku kepada gunung itu? Ternyata gunung itu tidak seperti sedia ada, malahan runtuh hancur lebur. Bahkan Nabi Musa sendiri pun pengsan.

Apakah ertinya? Ertinya Nabi Musa tidak melihat Allah, kerana syarat yang ditetapkan oleh Allah tidak terpenuhi. Oleh itu ayat ini bukan saksi bukti untuk mengatakan bahawa Nabi Musa as melihat Allah.

**********

Saya terfikir......kisah ini kisah yang sangat penting dan berkait dengan Nabi Musa. Maka Allah melorongkan saya untuk mencari kisah ini di dalam kesan-kesan kepada Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa, iaitu dalam Bible.

5 kitab pertama dalam Bible dipercayai sebagai Torah atau Taurat oleh penganut agama Yahuni dan Kristian. Saya pun menjelajah ke sana ke mari dalam kitab-kitab itu mencari peristiwa Nabi Musa bertemu dengan Tuhan. Berpinar mata dan mengambil masa yang agak lama.

Dengan izin Allah SWT, jumpa! Saya pun membandingkanlah ayat-ayat seputar kisah ini menggunakan beberapa Bible/Alkitab. Memang kena buat semakan beberapa Bible/Alkitab untuk mendapatkan maksud yang paling dekat dengan teks asalnya (yang entah di mana itu). Terjemahan berbahasa Inggeris (Bible) dan berbahasa Melayu (Alkitab) mungkin benar, tetapi tidaklah setepat kehendak teks asal Taurat.

Banding punya banding, saya pilih teks daripada Bible versi New King James Version (NKJV) kerana versi ini boleh dikatakan yang paling popular dalam kalangan penganut agama Kristian.

Biible New King James Version mengatakan :

“You cannot see My Face, for no man shall see Me and live.”

Terjemahannya : “Engkau tidak dapat (tidak boleh) melihat WajahKu, kerana tidak ada manusia yang melihat Aku dan (dia) hidup.
Pandangan saya, terjemahan yang mungkin lebih hampir ialah : “Engkau tidak dapat (tidak boleh, tidak mampu, tidak sanggup) melihat Zat-Ku, kerana tidak ada manusia yang melihat Aku dan (dia) hidup.”

“Here is a place by Me, and you shall stand on the rock.”
Terjemahannya : “Di sini ada tempat di sisi Aku (yang Aku pilih), dan engkau bolehlah berdiri di atas batu itu.”

“So it shall be, while My Glory passes by, that I will put you in the cleft of the rock, and will cover you with My Hand while I pass by.”
Terjemahannya : “Jadi yang akan berlaku ialah apabila KemuliaanKu melintas, Aku akan letakkan engkau di celahan batu itu dan akan memelihara engkau dengan TanganKu ketika Aku melintas.”
Pandangan saya, terjemahan yang mungkin lebih hampir ialah : “Apa yang bakal berlaku ialah apabila ZatKu menyata (tajalli), Aku akan menempatkan engkau di celahan batu itu dan akan memelihara engkau (daripada binasa akibat kehebatan ZatKu) dengan TanganKu (dengan kekuasaanKu) ketika Zat Aku menzahir (tajalli).”

“Then I will take away My Hand, and you shall see My Back, but My Face shall not be seen.”

Terjemahannya : “Kemudian Aku akan melepaskan TanganKu, dan engkau akan dapat melihat belakang Aku, tetapi WajahKu tidak akan dapat terlihat.”
Pandangan saya , maksud yang mungkin lebih hampir ialah : “(Apabila ZatKu sudah tidak menyata lagi) kemudian Aku akan melepaskan TanganKu (menarik semula perlindungan istimewa yang dibuatNya ke atas Nabi Musa agar Nabi Musa tidak hancur lebur sewaktu ZatNya bertajalli tadi), dan Engkau akan (hanya) dapat melihat nelakang Aku (kesan-kesan atau akibat-akibat peninggalan tajalli Zat Tuhan ketika ZatNya menzahir tadi sahaja),tetapi WajahKu (ZatKu) tidak akan dapat terlihat (oleh engkau wahai Musa).”

Nampaknya berdasarkan tinggaln-tinggalan Taurat pun menunjukkan Nabi Musa tidak melihat Zat Allah ketika itu.

Wallahua’alam.


Abu Zulfiqar

17 Mei 2016


Thursday, May 12, 2016

Majoriti Ulama Bersepakat dalam Kesalahan dan Kesesatan?

PERSOALAN :

Assalamualaikum ustaz. Ada sedikit persoalan.

Bolehkah ayat Al-Quran di bawah ini dijadikan hujah untuk membuktikan yang MAJORITI ULAMA boleh bersepakat dalam sesuatu yang salah?

“Jika engkau (Muhammad) taat kepada majoriti yang berada di dunia maka mereka akan sesatkan engkau dari jalan Allah” [Al-An'am: 116]

Maksudnya, kita boleh tidak taat kepada majoriti ulama di dunia ini kerana mereka akan sesatkan kita dari jalan Allah. Benarkah?

Dan adakah ayat ini membuktikan yang MAJORITI ULAMA boleh tersalah, yakni bersepakat dalam sesuatu yang salah?


PENJELASAN :

Wlksm. Majoriti yang dimaksudkan dalam ayat ini bukanlah majoriti umat Islam, apatah lagi jika mahu dikaitkan dengan MAJORITI ULAMA ISLAM.

Yang dimaksudkan oleh ayat ini ialah MAJORITI MANUSIA termasuklah penganut agama musyrik Arab, penganut agama Majusi, penganut agama Kristian, penganut agama Sabi’in,penganut agama-agama orang asli Arab, Hindu, Norse, Yunani, Mesir Kuno, orang-ornag tidak beragama dan sebagainya di seluruh muka ini.

Memanglah kalau kita mengikut majoriti manusia yang disebutkan di atas (iaitu peratusannya jauh lebih tinggi daripada peratusan umat Islam), kita akan disesatkan. Jadi, ayat ini bukan hujah untuk membuktikan yang MAJORITI ULAMA ada bersepakat dalam kesalahan.

Kita lihat pula satu ayat lain sebagai perbandingan :
“Alif laam miim raa. Inilah ayat-ayat Kitab. Dan yang diturunkan kepada kamu daripada Rabb kamu itu adalah benar, tetapi MAJORITI manusia tidak beriman.” (Ar-Ra’d : 1)

Ayat ini menunjukkan MAJORITI YANG TIDAK BERIMAN DENGAN AL-QURAN itu ialah majoriti manusia, bukannya majoriti orang Islam atau majoriti ulama Islam. Jauh sekali untuk dikatakan sebagai majoriti umat Islam zaman ayat ini diucapkan Rasulullah saw, iaitu para sahabat.

Siapa yang majoriti dalam ayat ini? Ayat ke-5 menceritakan :
“Dan jika engkau berasa hairan, maka sungguh menghairankan perkataan MEREKA YANG KAFIR ITU........”.

Jadi yang MAJORITI dalam ayat itu ialah orang-orang kafir, bukannya MAJORITI ULAMA ISLAM.

Nabi saw mengingatkan kita :
“Sesungguhnya umat aku tidak akan bersepakat dalam kesalahan.” (Ibnu Majah, Tabrani, Abu Nu’aim)

Yang tidak akan bersepakat dalam kesalahan itu ORANG-ORANG JAHIL agamakah? Tentunya bukan! Kerana orang-orang jahil biasa sahaja kita temui bersepakat dalam kesalahan-kesalahan.

Jadi, siapa yang mustahil untuk bersepakat dalam kesalahan itu? Tidak lain ialah orang-orang yang berlawanan dengan orang-orang jahil tadi.

Siapakah yang tidak jahil itu? Tentunya para ulama, para solehin.

Begitu juga dengan kata Ibnu Mas’ud :
“Apa-apa yang dipandang baik oleh orang Islam, maka ia baik jua di sisi Allah. Dan apa-apa yang dipandang buruk oleh orang Islam, ia adalah buruk di sisi Allah.” (Ahmad)

ORANG ISLAM yang dimaksudkan dalam atsar ini bukanlah orang-orang Islam yang jahil, yang ahli maksiat, yang munafik dan sebagainya, tetapi orang-orang berilmu (ulama), para solehin.

Oleh itu, MAJORITI yang dimaksudkan dalam ayat ke-116 surah Al-An’am itu ialah MAJORITI ULAMA. MAJORITI ULAMALAH yang dijanjikan oleh Rasulullah tidak akan bersepakat dalam kesalahan. Paling-paling lekeh pun, pandangan dan pegangan mereka adalah tidak tepat, bukannya tidak benar atau salah.

Kesimpulannya, ayat Al-Quran itu yang cuba dijadikan hujah untuk :
A) boleh tidak mahu menurut MAJORITI ULAMA,
B) untuk mengatakan MAJORITI ULAMA akan sesatkan kita, ATAU
C) untuk membuktikan yang MAJORITI ULAMA boleh bersepakat atau bersetuju beramai-ramai dalam kesalahan dan kesesatan,

adalah tidak benar sama sekali.

Wallahua’lam.


Abu Zulfiqar

12 Mei 2016


Tuesday, May 3, 2016

Mencintai dan Merindui Allah

ADAKAH CINTA?


Ada pihak-pihak yang menolak kewujudan cinta Allah kepada makhluk dan kewujudan cinta makhluk kepada Khaliq.


Antara pihak-pihak itu ada yang berpandangan bahawa :

- yang ada hanyalah taat. Berusahalah untuk melaksanakan segala perintah Tuhan dan meninggalkan segala larangan Tuhan. Itu sahaja, tidak lebih.

- Tuhan menjadikan makhluk, selepas itu Dia tidak ada apa-apa urusan lagi dengan makhluk. Makhluk pun tidak ada apa-apa urusan lagi dengan Tuhan. Oleh itu, mana perlu wujudnya cinta?

- makhluk khususnya manusia hanyalah robot. Lalui sahaja apa kehendak Tuhan (sebenarnya mengikut gerak hati sendiri). Tak perlu ada cinta-cinta.

- cinta-cinta ini hanyalah sesama makhluk. Antara Tuhan dengan makhluk atau makhluk dengan Tuhan, tidak ada cinta-cinta.

Dan sebagainya.


BUKTI-BUKTINYA


Padahal memang ada cinta Allah kepada makhluk dan cinta makhluk kepada Allah. Bahkan bukan setakat cinta akan Allah, ada juga yang sampai ke peringkat rindu akan Allah.


“Dia mencintai mereka, dan mereka pun mencintai-Nya.” (Al-Maidah : 54)


“Orang-orang yang beriman itu sangat cinta akan Allah.” (Al-Baqarah : 165)


“Tidak beriman seorang kamu sebelum Allah dan Rasul-Nya lebih dicintainya daripada yang lain-lain.” (Bukhari, Muslim)


PERBEZAAN CINTA DAN RINDU


Cinta (menurut bawaan kitab Ihya’ ‘Ulumuddin ini) membawa maksud suka. Apabila kita suka akan sesuatu, keadaan itu membawa maksud cinta. Cinta ini hadir setelah kenal. Mana mungkin cinta hadir sebelum kenal. Suka ini tidaklah sampai selalu teringat-ingat, terkenang-kenang, tersebut-sebut dan asyik. Contohnya, Abu suka makan ikan goreng dan air minum sirap. Tetapi tidaklah sampai ikan goreng dan air sirap itu selalu bermain di hatinya. Keadaan ini menunjukkan Abu memang suka tetapi tidaklah sampai ke peringkat rindu.


Rindu pula membawa maksud sangat suka sampaikan selalu teringat-ingat, terkenang-kenang, tersebut-sebut lagi asyik. Contohnya Abu berpisah jauh daripada anak isterinya. Sepanjang berada di kejauhan, selalu sahaja anak isterinya diingat-ingat dan disebut-sebut oleh Abu. Keadaan ini menunjukkan Abu cinta malah rindu.


Ringkasnya, rindu adalah lebih kuat daripada cinta. Maqam rindu adalah lebih tinggi daripada maqam cinta. Mazhab rindu adalah lebih atas daripada mazhab cinta.


SEJAUH MANAKAH RINDU?


“Sesiapa yang suka untuk ‘bertemu’ dengan Allah, Allah (pun) suka ‘bertemu’ dengannya.” (Bukhari, Muslim)


Bertemu dengan Allah dalam hadis ini ialah pertemuan yang berlaku setelah seseorang itu berjaya memasuki Jannah (syurga). Nikmat teragung di Jannah ialah memandang Allah sendiri. Inilah sebenar-benar pertemuan dengan Allah. Rindu seseorang itu akan Allah semestinya berlaku sejak dari alam dunia lagi.


Alam dunia ini berlalu dalam tempoh puluhan atau ratusan tahun. Kemudian kita ke alam kematian. Kemudian dibangkitkan semula di Mahsyar, ke timbangan, ke titian dan sebagainya dan akhirnya sampailah ke Jannah. Setelah masuk ke dalam Jannah dan kemudiannya melihat Allah, ketika itulah baru hilang rindunya.


Maksudnya, tempoh masa merindu itu sebenarnya panjang dan jauh.


TIADA RINDU?


Bagi golongan yang menolak kewujudan cinta ini, sudah pastilah mereka menolak juga kewujudan rindu. Hal ini kerana rindu datang hanya selepas cinta. Mana munkin tidka ada cinta tiba-tiba ada rindu! Alhamdulillah, syukur. Kita yang melalui tariq ini meyakini adanya cinta dan rindu, malah kita sedang mengusahakannya selama ini.


CINTA DAN RINDU UMAT


Bolehlah dikatakan bahawa semua umat Islam cinta akan Allah, tetapi yang rindu kepada-Nya adalah sedikit. Yang suka tetapi tidak rindu = ramai.

Yang suka tetapi belum rindu = ramai juga.
Yang suka tetapi tak tahu pun adanya rindu = tak kurang ramai.
Yang suka dan rindu = tidak ramai.


Tarbiyyah tasawuf antaranya bertujuan hendak membawa manusia daripada sekadar suka/cinta akan Allah kepada rindu akan Allah. Daripada maqam suka naik ke maqam rindu. Daripada mazhab cinta kepada mazhab rindu asyik gelora. Ehwal ini menjadi sukatan pelajaran terpenting dalam tarbiyyah kesufian. Bukan sekadar sukatan pelajaran penting, apatah lagi jika sekadar sentuh-sentuh sambil-sambil sahaja.


Cinta dan rindu akan Allah ini bukannya boleh dibuat-buat, didakwa-dakwa, direka-reka, dirasa-rasa atau dicipta-cipta begitu sahaja, tetapi ada sukatan pelajarannya. Dan sukatan pelajaran cinta dan rindu ini pula, yang tersusun dan yang terperinci hanya berada dalam mata pelajaran ihsan, iaitu tasawuf.


MUHASABAH DIRI


Muhasabah diri. Kita sendiri, bagaimana pula?

- Kadang-kadang rindu, kadang-kadang tidak.
- Lebih banyak tak rindu berbanding rindu.
- Lebih banyak masa tak ingat Allah berbanding masa ingat.
- Ada yang tidak sedar pun kewujudan maqam rindu.

Oleh sebab itu, kita mestilah terus berusaha melalui jalan tasawuf ini.


Orang-orang yang tidak melalui tarbiyyah tasawuf, biasanya mereka akan tersangkut pada maqam suka dan maqam taat sahaja. Tidak sampai ke maqam rindu atau maqam asyik. Manakala orang-orang yang melalui jalan atau tariq tasawuf, biasanya mereka dapat sampai ke maqam rindu dan asyik. Jauh berbeza peratusannya.


JALAN-JALAN LAIN PUN BOLEH?


Bukankah perihal tasawuf ini ada juga disentuh sedikit dalam juzuk mata pelajaran lain seperti dalam ilmu fiqh, ilmu dakwah, ilmu bahasa Arab, ilmu mustalah hadis, ilmu haraki, ilmu perbandingan agama, ilmu hafaz-menghafaz, dan sebagainya? Cukuplah tu! Rasa-rasanya tak perlulah kita nak masuk ke kelas khusus tentang ilmu tasawuf lagi.


Kita buat tamsilan untuk memahami situasi di atas. Ada seorang hamba Allah yang memang tidak pandai melukis gambar pemandangan yang cantik. Namun dia teringin untuk berupaya menghasilkan sendiri lukisan-lukisan pemandangan yang cantik. Dia mahu belajar ilmu melukis pemandangan yang cantik.


Apabila diajak untuk masuk ke kelas ilmu lukis-melukis, rupa-rupanya dia tidak mahu. Alasannya, dia sudah setuju untuk masuk ke kelas mata pelajaran sains, sejarah, bahasa Melayu dan lain-lain yang turut menyentuh tentang lukis-melukis. Dalam pelajaran sains ada tugasan melukis gambarajah daun dan katak yang dibedah. Dalam pelajaran sejarah ada tugasan melukis peta dan rekabentuk kapal pedagang zaman dahulukala. Dalam pelajaran bahasa Melayu ada tugasan melukis gambar pokok kelapa dan bahagian-bahagiannya. Begitulah seterusnya.


Adakah hamba Allah ini akan dapat melukis satu pemandangan yang cantik menggunakan warna air, yang di dalamnya ada gambar langit waktu dhuha, sawah padi menguning keemas-emasan, tali air jernih pemantul bayang-bayang, bukit-bukau biru hijau di kejauhan, gugusan pohonan kelapa yang kelihatan hidup dan lain-lain? Ringkas cakap, dia tidak akan mampu melakukannya. Jika disuruh dia cuba, lukisannya memang tidak cantik. Penggunaan warna dan campuran warna-warnanya memburukkan lagi lukisan itu.


Mengapa ya? Bukankah dia ada juga belajar melukis dalam mata pelajaran yang lain? Malah bertahun-tahun?


Kerana ilmu menggambar, melukis dan mewarna dalam semua mata pelajaran itu tidak memadai untuk dia mencapai maqam boleh menghasilkan sebuah lukisan pemandangan yang cantik. Dia memang ada ilmu melukis tetapi jauh daripada mencapai matlamat yang diidam-idamkannya.


Begitu jugalah halnya dengan orang yang enggan mencari ruang untuk masuk ke kelas ilmu mata pelajaran tasawuf dengan alasan ilmu ma’rifah (mengenal), ilmu mencinta (mahabbah) dan ilmu merindu Allah ini sudah ada disentuh juga dalam mata pelajaran lain seperti dalam ilmu fiqh, ilmu dakwah, ilmu tajwid, ilmu bahasa Arab, ilmu mustalah hadis, ilmu haraki, ilmu melau Al-Quran, ilmu perbandingan agama, ilmu hafaz-menghafaz, dan sebagainya. Memang ada disentuh tetapi sangatlah sedikit. Jauh daripada hendak mencapai matlamat mengenal, mencinta dan merindu Allah. Akhirnya nanti, tidak mustahil diri terperasan sudah mencapai ma’rifatullah, cinta dan rindu, padahal sebenarnta jauh ketinggalan.


Oleh itu : “Bertanyalah (belajarlah, bergurulah) kepada ahli zikir, sekiranya kamu tidak tahu.” (An-Nahl : 43)


BELAJAR TETAPI TIDAK MENCAPAI


Ada juga orang-orang yang belajar tentang cinta, rindu dan asyik akan Allah ini, tetapi diri mereka sendiri tidak sampai ke maqam-maqam ini? Aapakah sebabnya?


Antaranya :

- kerana mereka ambil sekadar ilmu sahaja, sekadar untuk tahu sahaja, bukan untuk amal, lalui dan hayati. Mereka boleh berbicara/bersembang tentang hal ehwal maqamaqam ini kerana mereka belajar tentangnya tetapi mereka sendiri tidak mengamal, melalui dan menghayati maqam-maqam tersebut.

- kerana mereka tidak banyak tahu tentang apa yang bakal mereka perolehi sekiranya berjaya melalui, mengalami dan menghayati maqam-maqam ini. Mereka anggap kenikmatannya tidaklah sehebat mana. Asal dapat syurga (iaitu makhluk sebagai matlamat utama) pun sudah ok sangat. Oleh itu mereka pun tidak termotivasi/tidak ghairah untuk berusaha menaiki tangga demi tangga dalam maqam-maqam ini.

- kerana tidak sedar seberapa banyak yang mereka rugi apabila tidak mengusahakan maqam-maqam ini.

- kerana guru-guru, pemimpin-pemimpin dan jemaah-jemaah yang mereka sertai tidak mentarbiyyah mereka dalam hal ini. Perkara yang sangat penting ini tidak menjadi salah satu juzuk penting pun dalam sukatan tarbiyyah mereka. Orang-ornag mereka pula berpadangan bahawa apa-apa yang tidak ditekankan dalam tarbiyyah mereka pastinya tidak penting atau kurang penting. Maka tidka pelrulah diambil berat. Malangnya.


BILAKAH RINDU BERAKHIR?


Perasaan rindu hanya akan hilang apabila yang kita rindui itu ada di depan mata, atau sudah perolehi. Selagi belum ketemu, selagi belum dapat, selagi itulah perasaan rindu itu ada. (Rindu akan tamat setelah Yang Dirindu tajalli kepada kita).


Begitulah halnya dengan rindu akan Allah. Rindu kepadaNya ini akan berterusan dan hanya akan tamat apabila kita bertemu dengan Allah di akhirat nanti. Maksudnya apabila kita diberi peluang di Jannah nanti untuk melihat Allah, berhadap-hadapan, berpandang-pandangan, apabila zat Allah tajalli kepada kita. Itulah kenikmatan teragung yang kenikmatan syurga/jannah pun tak terbanding.


“(Ada) wajah-wajah pada hari (akhirat) itu yang berseri-seri. Kepada Tuhannyalah mereka melihat/memandang/menatap.” (Al-Qiyamah : 22-23)


Kerinduan hanya akan tamat di sana. Oleh itu, sepanjang tempoh itu, kita tetaplah seorang yang sedang dalam perjalanan.


“Dan sesungguhnya negeri (kehidupan) akhirat itulah kehidupan yang sebenar-benarnya, kalaulah mereka mengetahuinya.” (Al-Ankabut : 64)


Wallahua’alam.




Abu Zulfiqar

3 Mei 2016

Anda mungkin meminati:

Related Posts with Thumbnails