Thursday, May 18, 2017

Pesalah Menyalahkan Orang Lain

Selalu berlaku... apabila pasangan berkhalwat ditangkap, kesalahan terbesar yang mereka nampak tidak lain kesalahan adalah kesalahan orang-orang yang menangkap mereka, bukannya kesalahan diri sendiri yang berkhalwat atau berzina. Bagi mereka, sekiranya penangkap-penangkap tidak menangkap, sudah tentu tiada apa-apa masalah timbul.

Selalu berlaku... apabila penghisap dadah diserbu, kesalahan terbesar yang mereka nampak tidak lain - tukang repot., bukannya kesalahan diri sendiri menyalahgunakan dadah. Bagi mereka, sekiranya si perepot tidak merepot, sudah tentu tiada apa-apa masalah timbul.

Selalu berlaku.. apabila penyalahguna terbukti menyalahguna, kesalahan terbesar yang mereka nampak tidak lain - pihak-pihak yang mengesan mereka menyalahguna, bukannya kesalahan diri sendiri menyalahguna. Bagi mereka, sekiranya si pengesan buat-buat tak nampak, sudah tentu tiada apa-apa masalah timbul.

Selalu berlaku... apabila pembuang bayi tertangkap dan terbukit membuang bayi, kesalahan terbesar yang mereka nampak tidak lain - orang-orang yang bertindak terhadap perbuatannya, bukannya kesalahan diri sendiri. Bagi mereka, sekiranya orang-orang lain buat tidak tahu sahaja, sudah tentu tiada apa-apa masalah timbul.

Begitulah seterusnya.
Buat salah di sisi agama (dan di sisi undang-undang dunia juga) satu hal. Memandang kecil kesalahan sendiri satu hal lagi. Menyalahkan orang lain satu hal pula.

Selalu kita lihat dan dengar.


Abu Zulfiqar
14 Mei 2017

Mengambil Tarekat Ghazaliyyah

PERSOALAN :

Mengapa orang-orang Tarekat Ghazaliyyah tidak mengajak orang lain mengambil Tarekat Ghazaliyyah? Sesekali terkeluar juga daripada mulut mereka serba-sedikit tentang tarekat ini tetapi mereka tidak pula mempelawa. Mengapa agaknya?

PENJELASAN :

Satu hal yang sangat penting untuk diluruskan, kita bukan tidak suka atau tidak mahu mengajak, sebaliknya kita sangat suka lagi mengalu-alukan, tetapi kerana :

1. Tarekat Ghazaliyyah tidak bermatlamat meramaikan ahli, apatah lagi untuk berebut ahli.

2. Kita tidak mahu orang mengambil tarekat ini kerana terkesan dengan ajakan kita dan bukannya atas kemahuan sendiri dan keikhlasan hati. Mereka mungkin menerima ajakan kita tetapi atas dasar segan akan kita, berasa serba-salah, khuatir kita akan terasa hati jika mereka menolak, berasa terpaksa, atau sebagainya.

3. Tarekat Ghazaliyyah umumnya masih kekal sebagaimana aslinya iaitu tarekat induk yang bersifat “jalan” dan bukannya organisasi. Maka isi kandungan pelajarannya menyebar kepada seluruh umat Islam secara begitu sahaja tanpa perlu orang ramai mengambil tarekat ini.

4. Oleh kerana ia umumnya tidak bersifat organisasi, maka bolehlah dikatakan bahawa sebenarnya tidak ada pun istilah ahli atau anggota. Bagaimana mahu jadi ahli atau anggota sedangkan tidak wujud pun kumpulan atau organisasinya? Yang ada hanyalah para pengamalnya yang tersebar ke serata dunia.

5. Majlis pengijazahan dan bai’ah tidak menjadi pemberatan dalam tarekat ini. Sesiapa yang tahu, silakan mengamalkannya. Begitulah turun-temurun sejak zaman pengasasnya - Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali.

Sebab itulah ikhwan Tarekat Ghazaliyyah tidak mempelawa. Tetapi bagi sesiapa yang mahu, tentunya boleh sahaja.



Abu Zulfiqar
5 Mei 2017

Thursday, May 4, 2017

Susahkan Diri, Susahkan Orang

Di akhirat nanti, orang-orang yang bersalah kerana sengaja melanggar peraturan semasa di dunia sedar yang mereka bakal dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa akhirat. Maka orang-orang ini ada yang dengan sedaya upaya mereka akan cuba untuk mengaitkan orang lain, menyalahkan orang lain dan berharap agar kesalahan-kesalahannya dilepaskan begitu sahaja.

Keadaan sebegini tidak berlaku di akhirat sahaja, di dunia ini pun sama. Orang-orang yang didapati bersalah kerana sengaja melanggar peraturan, ada yang akan berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan diri sendiri daripada menanggung akibat perbuatan mereka dengan mengaitkan orang lain, menyalahkan orang lain dan berharap agar kesalahan-kesalahannya dilepaskan begitu sahaja.

Padahal jika kita turut sahaja peraturan yang ditetapkan, diri sendiri tidak susah dan tidak pula menyusahkan orang-orang lain. Janganlah kita menyusahkan diri sendiri, dan yang lebih penting lagi jangan menyusahkan orang lain. Ikut sahaja peraturan yang tersedia. Kita tidak ditimpa kesusahan dan kita juga tidak menyusahkan orang-orang lain.