Wednesday, June 16, 2010

Kembara ke Sidratul Muntaha 6-10









Teluk Batik, Lumut, Perak JUN 2010






Berhijrah ke RFC (Radix Fried Chicken)

Baru dua kali saya dan keluarga berbelanja di Radix Fried Chicken (RFC). Kali pertama di RFC Alor Setar dan kemudiannya di RFC Sungai Petani. Secara peribadi, kami berpuas hati berbelanja di RFC berbanding di tempat lain yang 'sewaktu' dengannya walaupun jauh dari rumah kami di Trong, Perak.
RFC Alor Setar

Setahu saya (jika tersalah maklumat harap dibetulkan) ayam-ayam RFC dipelihara secara organik. Ia tidak disuntik dengan 'ubat cepat besar', maka dapatlah kita menikmati daging ayam sebenar, bukannya daging 'anak ayam' yang digemukkan. Entah sudah berapa ekor anak ayam yang kita makan sehari-hari...

Ayam-ayam ternakan Herba Penawar Al-Wahida (HPA) yang dibekalkan kepada RFC diberi makanan yang halal dan berkhasiat, diuruskan oleh orang Islam keseluruhannya, para pekerjanya dikehendaki berwudhuk dan disembelih secara 'manual' dengan tangan bukan dengan mesin.

Para pekerjanya berusaha menutup aurat dengan sempurna. Makanan dan minuman lain di RFC kesemuanya halal, diusahakan oleh orang Islam (iaitu anak buah HPA juga), tidak menyumbang kepada orang bukan Islam terutamanya musuh-musuh Islam baik dari segi kewangan mahupun populariti. Terasa cukup puas hati apabila wang kita tersalur ke tempat yang betul-betul untuk manfaat umat Islam keseluruhannya tanpa memberi apa-apa keuntungan kepada pihak yang tidak sepatutnya.

Pandangan dari tingkat atas RFC Alor Setar

Pengasas HPA iaitu Tuan Haji Ismail punya satu prinsip yang luar biasa. Dia tidak pernah dan tidak akan membuat sebarang pinjaman bank untuk perniagaan HPA. Mungkin ramai yang belum tahu, HPA dalam berkira-kira untuk menubuhkan bank.

Khabarnya KFC (Kentucky Fired Chicken) USA melalui peguam yang dilantiknya pernah cuba menyaman RFC atas dasar warna merah yang menjadi tema RFC dikatakan menciplak warna tema KFC. Padahal warna merah kedua-duanya ada perbezaan. Untuk tidak memanjangkan masalah, HPA menukar warna RFC kepada jingga.

Sebenarnya ketika itu hanya baru ada satu RFC tetapi sudah berjaya menarik para pengunjung KFC. KFC yang ada berhampiran dipercayai mengalami kemerosotan pendapatan, memperolehi sekitar RM 7000 sahaja dalam sehari berbanding pendapatan harian RFC sebanyak RM 20,000 (ketika itu). Itulah cakap-cakap yang saya dengar. Wallahu'alam.

Dari segi menunya, lebih kurang sama dengan apa yang ada di restoran-restoran seumpamanya. Ayam gorengnya lebih rangup, cuma dari segi rasanya mungkin kalah sedikit. Kalah sedikit itu pun katanya kerana ayam goreng RFC tidak dilambakkan dengan perisa, dan berisi herba-herba yang baik untuk kesihatan pula. Pada saya, itu lebih baik.

Saya percaya RFC bakal jadi pilihan utama orang Islam di Malaysia kerana status halalnya yang begitu diyakini, menyumbang untuk agama dan umat Islam, serta tidak menyumbang kepada pihak-pihak yang menentang Islam. Bahkan kaum Cina juga tidka mustahil akan beralih ke RFC kerana umumnya kaum Cina mengambil berat soal kesihatan. Tentunya mereka suka akan ayam organik dan hidangan yang mempunyai nilai-nilai perubatan.

Mari berhijrah ke RFC : )


Abu Zulfiqar
16 JUN 2010





Tuesday, June 15, 2010

Pengenalan Kuliah Kitab Kifaayatul Muhtaaj (Kisah Israk Mi'raj)

Kitab Kifaayatul Muhtaj karya Syeikh Daud al-Fatani mengisahkan peristiwa Israk Mi’raj secara terperinci dari awal hingga akhir. Usia kitab ini mungkin sudah 100-200 tahun tetapi sehingga kini masih menabur jasa kepada umat Islam khususnya di Nusantara ini. Insyaallah kini giliran kita pula untuk mengambil manfaat daripadanya.

Biasanya kita mendengar kupasan tentang peristiwa Israk Mi’raj ini setahun sekali. Apabila tiba bulan Rejab, sibuklah masjid-masjid dan surau-surau menganjurkan ceramah dan makan-makan bersempena mengenang peristiwa besar itu dalam usaha untuk mengambil iktibar daripadanya. Penceramah pun mengupas kisah tersebut dalam tempoh masa lebih kurang satu ke dua jam.

Dalam tempoh masa sesingkat itu, tidak banyak perkara yang sempat dihidangkan oleh penceramah. Penceramah akan menyentuh serba-sedikit mana-mana bahagian yang dirasakannya sesuai untuk dijamu kepada para pendengar. Kadang-kadang ceramah sempena Israk Mi’raj lebih banyak menyentuh hal ehwal politik. Hal ini menjadikan masyarakat kita umumnya tidak tahu banyak tentang peristiwa besar itu, bahkan berasa diri mereka jauh daripadanya. Padahal setiap hari kita mengerjakan ibadah solat dan bertahiyat di dalamnya, sedangkan ibadah solat dan tahiyat itu ada hubungan yang sangat erat dengan peristiwa Israk Mi’raj. Tidakkah kita berasa rugi apabila bersolat dan bertahiyat saban hari dalam keadaan tidak tahu peristiwa besar di sebaliknya? Bukankah ia dapat mengkhusyukkan lagi hati kita ketika melaksanakan ibadah solat?

Atas dasar itu isi kandungan kitab Kifaayatul Muhtaaj ini dihidangkan kembali ke tengah masyarakat. Tidak sekadar satu dua jam, mungkin puluhan jam diperlukan untuk mensyarahkan keseluruhan kitab ini. Alhamdulillah syukur,teknologi moden banyak membantu. Setiap kuliahnya dirakamkan dalam bentuk audio dan dimuatnaik ke internet. Ini membolehkan para pendengar mengulang-ulang isi kandungan kuliah seberapa kali yang mereka mahu. Tidaklah sekadar mendengar sekali sahaja di masjid/ surau, balik ke rumah tidak boleh diulangkaji lagi. Hasilnya, selang dua tiga hari, tinggallah 10-20 peratus sahaja isi kandungan kuliah di dalam minda.

Selain diberi kemudahan oleh Allah untuk mengulang dengar kuliah seberapa banyak kali yang disukai (supaya benar-benar faham dan tidak ketinggalan walau satu isi kandungan kuliah), pendengar juga boleh bersoal-jawab dengan pengkuliahnya di ruang maya internet. Mana-mana bahagian yang kurang difahami boleh diajukan kembali kepada pengkuliah. Jika ada kelapangan, insyaallah pengkuliah akan memberikan penjelasan lanjut. Kepada mereka yang tinggal berdekatan dengan pengkuliah, boleh bertanya secara bersua muka.

Biasanya jika kita mendengar sesebuah kuliah di masjid/ surau, balik ke rumah sudah tidak boleh mengulangkaji isi kuliah tadi. Untuk bersoal-jawab dengan pengkuliah, tidak ada cara kerana pengkuliah tinggal jauh dan tidak aktif di internet. Terpaksalah tunggu bulan hadapan pula untuk mengikuti kuliahnya. Jika kuliah itu berkaitan Israk Mikraj, mungkin tahun hadapan pulalah dapat bertemu dengan si pengkuliah. Itu pun kalau pihak masjid/ surau menjemput penceramah yang sama. Kalau tidak... habis begitu sahajalah.

Bagaimana pula jika kita ada terlepas sesuatu kuliah? Bulan pertama kita pergi. Bulan kedua kita pergi. Bulan ketiga kita ada urusan penting menyebabkan tidak dapat pergi. Bulan keempat kita pergi, tapi dalam keadaan sudah tertinggal banyak perkara dan termanggu-manggu. Di mana kita hendak dapatkan isi kandungan kuliah kali ketiga itu? Alamatnya, terlepaslah.

Oleh itu, sebagaimana kuliah pengajian kitab Munyatul Musolli, pengajian kitab Kifaayatul Muhtaaj ini akan diusahakan agar semua sirinya dapat dimuatnaik ke internet. Dengan cara ini, para pendengar tidak akan terlepas mana-mana sesi kuliah. Maka pemahaman dapat dimaksimakan. Jika diulang-ulang, akan bertambah mantap pula.

Dalam usaha menyelongkar emas permata daripada kitab tua ini, pengkuliah mengambil sandaran-sandaran lain sebagai pengukuh ataupun pengukur kepada isi kandungannya. Antaranya ialah hadis riwayat Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Baihaqi, pandangan para ulama, pandangan para sejarahwan, pandangan ahli-ahli kasyaf, pandangan dari sudut sains moden dan sebagainya. Kita cuba cari persamaan dan keserasian antara kesemuanya agar maklumat yang kita perolehi itu kukuh, ataupun sekurang-kurangnya boleh dipertimbangkan. Kita berusaha menapis apa yang salah dan apa yang lemah, yang mungkin ada dalam kitab ini. Itu pun sekiranya ada. Tidak mustahil juga keseluruhan kitab ini benar belaka. Biasalah, mana-mana kitab pun tidak terlepas daripada kritikan. Yang penting, apa yang benar kita ambil, yang tiada kepastian kita berkecuali, yang salah kita tolak. Jangan kita terus melulu menerima semua ataupun menolak semua.

Untuk itu, sama-samalah kita berdoa dan berusaha agar maksud kita untuk mengetahui keseluruhan kisah Israk dan Mi’raj dan isi kandungan kitab Kifaayatul Muhtaaj ini dipermudahkan oleh Allah SWT.

Abu Zulfiqar Amsyari

15 JUN 2010



* Taipkan "kifaayatul muhtaaj" di Youtube untuk mencari fail audionya.

Wednesday, June 9, 2010

Kembara ke Sidratul Muntaha 1-5 (kuliah bersiri)

Kitab terbaru yang saya syarahkan ialah Kifaayatul Muhtaaj fi Isra' wal Mi'raaj susunan Syeikh Daud Fatani. Kitab ini mengisahkan peristiwa Isra' Mikraj dari awal hingga akhir. Banyak perkara-perkara menarik yang boleh kita selongkar dan ambil manfaat daripada kitab ini.









Tuesday, June 8, 2010

Soal Jawab - Hendak Belajar Quran Tetapi Mahal

PERSOALAN:

Assalamualaikum..

Lama rasanya saya tidak bertanyakan pendapat atau nasihat dengan saudara tetapi ada sesuatu yang menganggu saya. Minta saudara dapat membantu.

Sebenarnya sudah lama saya menanam minat untuk belajar membaca al-Quran dengan betul tetapi baru sekarang saya nekad untuk betul2 belajar. Kini umur saya 26thn dan saya telahpun berkahwin. Alhamdulillah suami saya tidak membantah dengan niat saya ini dan beliau juga berminat untuk belajar bersama-sama.

Masalah saya sekarang, hati saya selalu berubah-rubah. Kadang nak belajar, kadang rasa tak nak kerana belum bersedia. Saya bertanyakan diri sendiri, sekiranya saya tidak bersedia sekarang, bila agaknya saya bersedia. Ada ke masa tu untuk saya.....Saya ada meluahkan rasa ini kepada suami, perasaan beliau pun sama seperti mana saya. Sebenarnya kami bukan la orang-orang yang hebat dalam agama (contoh : ada meninggalkan sembahyang, mengaji lama dah tinggal) tetapi kami mahu menuju ke jalan yang benar dan yang lebih bermakna.

Sabtu lepas, saya ada berjumpa dengan Ustazah dan anak beliau Ustaz yang bakal mengajar kami di rumah bermula minggu depan. Kami berbincang dan mereka sarankan kami bermula dari Iqra' 1-6 di mana permintaan kami, kami ingin belajar tajwid supaya bacaan kami lancar.

Semasa perbincangan, Ustaz ada mengatakan tempoh pembelajaran Iqra' mengambil masa 6 bulan. Ketika itu saya dan suami agak terkejut jugak (selama ni mmg tak tau tempoh belajar Iqra' sampai 6bulan) kerana memikirkan yuran bulanan yang perlu dibayar sepanjang 6 bulan di mana yuran bulanan RM300 (Untuk 2 orang : selasa & khamis - 8.00~9.30mlm). Sekiranya Iqra' 6 bulan, untuk khatam al-quran berapa lama pulak, semua tu terdetik di hati. Kami sangka ianya mengambil masa 3-4 bulan sehingga khatam.

Kami sangat-sangat ingin belajar tetapi faktor kewangan ni membuat kami berbelah bagi (memandangkan pendapatan kami tidak besar). Melihat kemungkinan tempoh pembelajaran mengambil masa yang lama, kami risau kami tidak dapat membayar yuran dengan baik dalam tempoh tersebut. Kami tidak mahu belajar hanya separuh jalan.

Bagaimana pandangan saudara? Adakah semua yang kami fikirkan itu telah diracun oleh syaitan supaya jangan belajar atau kerisauan kami tadi wajar?

Saya minta nasihat dari saudara dan mungkin kata-kata semangat untuk saya dan suami teruskan niat kami ini.

Terima kasih.


PANDANGAN SAYA:

Wlksm Zuraidah Jamberi Zem,

Alhamdulillah syukur, Tuhan Maha Penyayang. Atas kasih sayangNya dia memilih saudari dan suami untuk berminat mempelajari al-Quran. Ramai lagi orang lain yang belum dipilih-Nya di luar sana. Tahniah saya ucapkan. Semoga niat dan usaha saudari dipermudahkan-Nya.

Saya menyokong fikiran saudari itu. Jika tidak sekarang, bila lagi kita hendak memulakannya kan? Tengah-tengah masih muda, badan sihat, fikiran masih "fresh" inilah waktunya yang sesuai untuk kita mulakan.

Tempoh 6 bulan untuk belajar iqra' rasanya tidak sesuai. Pengalaman saya mengajar iqra', orang yang bermula dari hampir-hampir zero pun, seminggu sekali, boleh dapat cepat. Lagi pun, iqra' ni biasanya orang ajar setakat iqra' 4 sahaja, kerana jika seseorang itu sudah boleh dapat iqra' 4, dia dah boleh dibawa baca Quran. Terus naik Quran, buat apa kita berlama-lama nak habiskan iqra' 5 dan 6, pelajarannya sama macam baca Quran dah pun. Lebih baik terus baca Quran.

Anak kecil saya pun, ustazah ajar di sekolah sampai iqra' 4, dah boleh slow-slow baca Quran. Jadi di rumah, saya ajar baca Quran terus.

Tentang bayaran tu, ustaz tu mengenakan puratanya satu sesi 1 1/2 jam lebih kurang RM 20 lah untuk seorang. Saudari mungkin tinggal di bandar, jadi "rate"nya mungkin begitu. Saya di kampung, biasanya orang ajar percuma ataupun dengan yuran yang kecil, ataupun ada pihak tertentu yang membayar si guru.

Untuk menjimatkan wang, boleh juga suami saudari sahaja yang belajar. Pelajaran iqra' 'ni tak susah, tak macam baca Quran. Selepas ustaz mengajar, minta suami saudari mengajar saudari pula. Saya yakin suami saudari mampu melakukannya. Dengan cara ini, dapatlah dikurangkan RM 150 sebulan. Suami saudari juga akan rasa gembira kerana dapat menjalankan tanggungjawabnya sebagai pendidik isteri. Selain itu, apabila kita belajar sesuatu dengan niat untuk mengajarkannya kepada orang lain, kita akan lebih mengingati pelajaran tersebut.

Tentang khatam Quran. Jika belajar dari muka ke muka, memang makan masa lama. Yang itu tidak saya nafikan.

Seandainya mahu jimat lagi, tak perlulah berguru sampai khatam. Sudah berguru dua tiga juzuk, selepas itu rasanya saudari dan suami sudah boleh baca sendiri. Hanya perlu teruskan/ istiqamah baca Quran setiap hari walaupun sedikit. Dah kita kurang mampu, kita buat sekadar yang termampu sahajalah. Tapi jika dapat sampai khatam, lagi bagus.

Sebagaimana saranan saya tadi, biar suami saudari sahaja yang belajar, biar sampai khatam. Dalam masa yang sama, minta dia ajar saudari pula. Insyaallah RM 150 sebulan selesa sikit untuk kita membayarnya berbanding RM 300.

Kerisauan saudari dan suami itu pada saya memang wajar kerana Tuhan memang suka orang yang merancang dan berhati-hati.

Saya doakan hajat saudari dan suami tercapai.

Wassalam.

8 JUN 2010

Soal Jawab - Nak Belajar Munyatul Musolli

SOALAN

Salam.
Saya nak tanya.

Kalau saya hendak mula belajar kitab Munyatul Musolli, hendak mula dari mana?


Takut nanti lompat2 tak faham pula.

Jazakallah khairan kathira ustaz.


JAWAPAN

Wlksm Axxxx Rxxxxx.

Anda boleh mulakan di http://munyatulmusolli.blogspot.com/ tu. Di sebelah kanan laman itu ada sirinya mengikut urutan. Mulakan dari nombor 1 (Pengenalan- Syeikh Daud Fatoni) dan seterusnya.

Anda juga boleh ke laman Youtube di http://www.youtube.com/watch?v=8nElSwu8yfk&feature=PlayList&p=11ED8954AC10BBA5&playnext_from=PL&index=0&playnext=1 . Ikut nombornya bermula 1 hinggalah sekarang sudah 50 lebih.

Monday, June 7, 2010

Dendangan Rohku Malam Ini

Sebulan dua ini, irama munajat ini jadi dendangan di bibir dan di jiwaku. Pada malam ini, ia lebih memberi erti dan tepat. Pernah kualunkan iramanya dalam kuliah-kuliahku... selalu kurintihkan di rumah... di mana-mana...


Berjuang penuh dengan ranjau duri
Engkau kan disisih dicaci
Seringkali engkau bersedih hati
Namun itu baja penguat diri

Perjuangkan sunnah bukannya mudah
Engkaukan disanggah difitnah
Akhirnya engkau berseorang diri
Namun perjuanganmu jangan mati

Walaupun engkau hilang segalanya
Perjuangan tetap teruskan
Membela Allah dan Rasul-Nya
Sehingga kauhilang nyawa


Berjuang memang perit. Itulah fitrahnya. Para rasul dan nabi tidak terlepas daripada keperitannya. Seseorang nabi itu biasanya ditolak oleh kaumnya, oleh kaum keluarganya. Nabi Nuh ditolak kaumnya, ditolak anak isterinya. Nabi Ibrahim ditolak kaumnya. Nabi Musa ditolak kaumnya. Nabi Isa ditolak kaumnya. Nabi Muhammad sekalipun ditolak oleh kaum keluarganya.

Fitrah ini terus berjalan dan jatuh pada para wali, para ulama, para pendakwah, para pekerja di jalan Allah. Tidak sekadar disisih dalam perkumpulan-perkumpulan dan perhimpunan-perhimpunan, bahkan diperli, dihina, dicaci, dijadikan bahan ketawa... Semua sudah pernah dirasa. Ia jadi pengalaman yang bagus untuk dikenang-kenang dan diambil iktibar.

Apabila malam tiba... bersunyi-sunyian dengan Kekasih... ketika itulah air mata meluncur laju. Kesedihan demi kesedihan yang terkumpul di jiwa diadukan pada Allah. Jarang sekali mengadu pada makhluk, jika ada pun secara berkias-kias. Namun mengadu kepada Khalik sebenarnya merapatkan lagi hubungan kita dengan-Nya.

Banyak manusia tidak suka akan sunnah Rasulullah. Maka memperjuangkannya bukan satu tugas yang mudah. Manusia suka memilih-milih. Mana sunnah yang mendatangkan untung dan sedap pada dirinya, dia terima dan perjuangkan. Mana-mana sunnah Nabi yang dirasakan merugikan dan tidak sedap buat dirinya, ditolak ke tepi. Tidak kurang yang menentangnya pula... ya Allah...

Agama Islam itu syumul. Ia berada di sebalik segala sesuatu dalam kehidupan kita ini. Ia datang dalam satu pakej. Kita diperintahkan untuk menerima keseluruhan pakej itu 100%. Ia bukan untuk dipilih-pilih, diambil yang mana suka dibuang mana yang kita tak suka. Amalkan Islam secara keseluruhan, bukan secara pilih-pilih.

Jika kita perjuangkan dan pertahankan sunnah-sunnah ini, kita akan menerima sanggahan demi sanggahan. Pelbagai alasan dan hujah penolakan akan diberi supaya sunnah-sunnah ini diketepikan. Jika kita berkeras untuk memperjuang atau mempertahankannya, pihak-pihak yang menentang akan membikin fitnah pula. Yang tidak benar dikata benar, yang benar dikata tidak benar. Mereka akan mengolah cerita hinggakan akan kelihatanlah si pejuang sunnah itu berada pihak yang salah.

Sanggahan diterima, fitnah pun diterima. Akhirnya kita tinggal bersendirian. Hendak perjuangkan Islam? Agama? Sunnah? Tinggallah engkau seorang diri. Berjuanglah berseorangan. Inilah yang dirasai dan dilalui.

Agama Islam sebagai ad-din... semua berani sebut. Tapi apabila tiba masa untuk mempraktikkannya... ramai yang lari. Mengapa? Kerana budaya hidup Islam ini dirasakan sebagai penyekat kebebasan, perampas keseronokan, pengganggu keselesaan. Jelas... mereka tidak sabar menunggu hari kebebasan, hari keseronokan dan hari keselesaan di akhirat nanti. Padahal bukan lama lagi pun untuk kita ke sana. Apakah tiada kesabaran untuk menanti?

Kata Nabi, dunia ini ibarat penjara bagi orang-orang mukmin. Jadi... bersabarlah.

Tak mengapalah. Gagal jalan ini, kita cuba jalan yang lain. Gagal perjuangan besar, aku juangkan perkara yang kecil. Juang tetap juang! Rancang tetap rancang! Aku tidak akan mengalah. Sekalipun aku akan kehilangan segala-galanya yang pernah dan sedang kumiliki. Untuk Allah dan Rasul-Nya, semua sanggup kukorbankan (dengan izin-Nya)... insyaallah. Sehinggalah sampainya hari matiku, ketika datang bertamunya hamba Allah bernama Izrail. Mungkin hari ini, mungkin esok, mungkin tahun depan, 50 tahun lagi.... wallahualam.

Apa yang pasti, segala rancangan dan juangku pastinya untuk kebaikan. Aku tidak akan merancang untuk mendapatkan sesuatu yang tidak baik. Apa yang kurancang, semuanya yang boleh dicapai. Aku tidak akan merancang sesuatu yang tidak boleh dicapai. Allah sebagai saksiku.

Nampaknya... irama di atas akan lebih selalu bermain-main di bibirku... pada rohku...



Lagunya pada minit 3:02

Anda mungkin meminati:

Related Posts with Thumbnails