Showing posts with label KAUNSELING. Show all posts
Showing posts with label KAUNSELING. Show all posts

Sunday, December 14, 2025

Jangan Salahkan Takdir

 

Pertanyaan : Ada seorang hamba Allah yang berkata tentang dirinya sendiri, yang lebih kurangnya bermaksud… dia rasa dirinya mungkin Allah sudah takdirkan jadi “buruk” dalam sudut tertentu. Jadi dia seolah2 menyalahkan takdir Allah pada bahagian itu. Apa pandangan tuan?

 

Jawapannya : Alah ‘Azza wa Jlla berfirman : "Dia (Allah) tidak dipersoal tentang apa yang Dia buat, tetapi merekalah (manusia dan jin) yang akan ditanya (tentang segala yang mereka buat)". (Al-Anbiya’ : 23)

 

Semua yang Allah buat (termasuklah tentang semua yang Dia takdirkan), kita tidak dibenarkan untuk bersibuk2 tentangnya. Dia takdirkan kita jadi macam mana pun, kita jangan sesekali bersibuk2, persoal, bercakap itu ini, berasa itu ini, berpandangan begitu begini – kerana semua itu wilayah kerja Dia, tidak akan dihisab, tidak akan dipersoal, dan tidak akan diminta pertanggungajawaban. Kita yakin takdir Allah itu ada dengan sepenuh hati. Itu sahaja. Isi kandungan takdir itu tidak boleh kita nak bercakap apa2

 

Yang pasti akan dihisab, dipersoal, dan diminta pertanggungjawaban ialah apa yang kita buat. Maka kita wajib bersibuk2 bahagian ini sahaja. Bahagian takdir tadi kita percaya sepenuhnya, serah kepada Allah sepenuhnya, dan berdiam daripada membicarakannya.

 

Contohnya : Allah takdirkan seseorang itu main dadah, atau main perempuan, atau hobi suka berjudi. Segala takdir Alah itu tidak akan diminta pertanggungjawaban, tidak akan ditanya oleh Allah, tidak akan dihisab – kerana itu kerja Dia. Yang akan ditanya, disoal, dihisab, diminta tanggungjawab, diseksa dsb ialah bahagian kerja kita (usaha kita).

 

Contohnya : Seseorang itu jadi macam orang Saduum dan ‘Amuurah (“suka” sesama lelaki di kota Sodom dan Gomorrah). Maka di akan dihisab dengan hisab yang sangat teliti lagi amat lama. Mungkin bertahun2 dan mungkin ribuan tahun.

Apa usaha engkau untuk keluar daripada jadi golongan Saduum dan ;Amuurah?

Sekuat mana usaha engkau itu? Lebih lemah? Level biasa? Level mujahadah?

Bila engkau berusaha tu? Berapa kali? Selama mana usahanya tu?

Engkau ada baca ayat2 Quran dan hadith tentangnya?

Engkau salahkan takdir Aku? Kan Aku dah bagitahu dalam Quran bahwa segala kerja Aku (termasuk takdir Aku) tak boleh dipertikai, tak boleh engkau bersibuk2, tak boleh engkau persalah?

Siapa yang ada engkau jumpa untuk tolong selesaikan masalah engkau ini?

Dan pelbagai lagi hisab yang amat tersentimeter.

 

Jadi, jika seseorang itu berasa yang dia ditakdirkan buruk dalam sesuatu perkara, yang perlu dia fikirkan dan usahakan adalah bagaimana cara untuk dia ubah perkara tersebut. Bukannya dia bersibuk2 pula dengan kerja Allah dengan kata2 (contohnya) : “Ini semua takdir Allah. Aku terima aje.”

Ini sangat berbahaya. Sudahlah dia membiarkan sahaja perkara buruk itu ke atas dirinya, dia tambah pulak lagi dengan bersibuk2 dengan wilayah kerja Allah. Dua kesalahan sekaligus.

 

Yang semestinya dia cakap dan usaha :

Apa aku nak buat? Bila aku nak buat? Siapa yang aku kena jumpa? Macam mana caranya? Dsb. Ini semua akan dihisab. Wallahua’lam.

Tuesday, September 17, 2019

Wanita, Tempat Tinggal dan Kenderaan

WANITA, TEMPAT TINGGAL DAN KENDERAAN


Nabi saw bersabda :
1. Yang bahagia pada wanita ialah ringan mas kahwinnya, mudah mengahwininya dan baik akhlaknya.
2. Yang celaka pada wanita ialah mahal mas kahwinnya, sukar mengahwininya dan buruk akhlaknya.


3. Yang bahagia pada tempat tinggal ialah lapang dan baik jiran tetangga di tempat itu.
4. Yang celaka pada tempat tinggal ialah sempit dan jahat jiran tetangga di tempat itu.


5. Yang bahagia pada kuda (kenderaan) ialah mudah mengenderainya (mudah nak start n nak jalan) dan baik tingkah lakunya (jarang meragam).
6. Yang celaka pada kuda (kenderaan) ialah sukar mengenderainya (selalu menyukarkan pergerakan kita) dan buruk tingkah lakunya (asyik dok meragam).” (Muslim)

Thursday, May 18, 2017

Pesalah Menyalahkan Orang Lain

Selalu berlaku... apabila pasangan berkhalwat ditangkap, kesalahan terbesar yang mereka nampak tidak lain kesalahan adalah kesalahan orang-orang yang menangkap mereka, bukannya kesalahan diri sendiri yang berkhalwat atau berzina. Bagi mereka, sekiranya penangkap-penangkap tidak menangkap, sudah tentu tiada apa-apa masalah timbul.

Selalu berlaku... apabila penghisap dadah diserbu, kesalahan terbesar yang mereka nampak tidak lain - tukang repot., bukannya kesalahan diri sendiri menyalahgunakan dadah. Bagi mereka, sekiranya si perepot tidak merepot, sudah tentu tiada apa-apa masalah timbul.

Selalu berlaku.. apabila penyalahguna terbukti menyalahguna, kesalahan terbesar yang mereka nampak tidak lain - pihak-pihak yang mengesan mereka menyalahguna, bukannya kesalahan diri sendiri menyalahguna. Bagi mereka, sekiranya si pengesan buat-buat tak nampak, sudah tentu tiada apa-apa masalah timbul.

Selalu berlaku... apabila pembuang bayi tertangkap dan terbukit membuang bayi, kesalahan terbesar yang mereka nampak tidak lain - orang-orang yang bertindak terhadap perbuatannya, bukannya kesalahan diri sendiri. Bagi mereka, sekiranya orang-orang lain buat tidak tahu sahaja, sudah tentu tiada apa-apa masalah timbul.

Begitulah seterusnya.
Buat salah di sisi agama (dan di sisi undang-undang dunia juga) satu hal. Memandang kecil kesalahan sendiri satu hal lagi. Menyalahkan orang lain satu hal pula.

Selalu kita lihat dan dengar.


Abu Zulfiqar
14 Mei 2017

Thursday, May 4, 2017

Susahkan Diri, Susahkan Orang

Di akhirat nanti, orang-orang yang bersalah kerana sengaja melanggar peraturan semasa di dunia sedar yang mereka bakal dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa akhirat. Maka orang-orang ini ada yang dengan sedaya upaya mereka akan cuba untuk mengaitkan orang lain, menyalahkan orang lain dan berharap agar kesalahan-kesalahannya dilepaskan begitu sahaja.

Keadaan sebegini tidak berlaku di akhirat sahaja, di dunia ini pun sama. Orang-orang yang didapati bersalah kerana sengaja melanggar peraturan, ada yang akan berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan diri sendiri daripada menanggung akibat perbuatan mereka dengan mengaitkan orang lain, menyalahkan orang lain dan berharap agar kesalahan-kesalahannya dilepaskan begitu sahaja.

Padahal jika kita turut sahaja peraturan yang ditetapkan, diri sendiri tidak susah dan tidak pula menyusahkan orang-orang lain. Janganlah kita menyusahkan diri sendiri, dan yang lebih penting lagi jangan menyusahkan orang lain. Ikut sahaja peraturan yang tersedia. Kita tidak ditimpa kesusahan dan kita juga tidak menyusahkan orang-orang lain.


Thursday, February 2, 2017

Takut Berbuat Dosa

Seorang wanita menulis kepada sahaya :

@ Assalamualaikum ustaz..maaf kalau mesej saya ni mengganggu ustaz..saya cuma keliru dengan hati sendiri..

# Wlksm. Semoga dalam rahmat Allah selalu hendaknya.


@ Saya tak belajar tasauf..saya bukan dari sekolah aliran agama..

# Tak mengapa. Ada ruang dan peluang nanti, belajarlah. Pasang niat, Allah akan bantu insya-Allah. Banyak-banyak doa mohon pada Allah. Insya-Allah ada lorong-lorong yang disediakan oleh Allah untuk kita.


@ Tapi..sejak akhir-akhir ni saya rasa saya perlu buat sesuatu dengan hati saya ni..

# Alhamdulillah, syukur kepada Allah. Yang menyentuh dan mengerakkan hati kita ke arah kebaikan itu tidak lain ialah Allah. Apabila fikiran yang baik-baik itu makin datang kepada kita, maksudnya Allah sedang melorongkan kita ke jalan-Nya tu.


@ Boleh ke kita buat sesuatu tanpa memikirkan dosa dan pahala..?

# Tentunya tidak boleh sesuka hati, kerana kita ada Tuan kita. Kita ini abdi-Nya. Apa-apa yang Tuan kita suka, kita usaha buat. Apa-apa yang Tuan kita tak suka, kita usaha hindar. Kenalah kita berfikir pahala dosanya, baik buruknya, redha-Nya atau murka-Nya, sekadar dengan pengetahuan dan pemahaman yang kita ada. Dari semasa ke semasa, kita tambahlah pengetahuan dan pemahaman kita tu. Allah lebih tahu yang kita ni hamba-Nya yang lemah, baru nak kenal-kenal agama lebih mendalam, banyak yang kita belum tahu ddan belum faham. Jadi, kita terus bersangka baik dengan Allah, nescaya dimudahkan perjalanan keagamaan kita nanti.


@ Kadang-kadang saya rasa tertekan sebab..takut nak buat sesuatu sebab takut berdosa..takut Allah marah..

# Itu antara petanda anda sebenarnya orang yang baik-baik. Pada dasar hati anda ada keimanan, kebaikan dan ada pencegah kepada hal-hal yang tidak baik. Berapa ramai lagi orang lain yang seolah-olah tidak punya pencegah dari dalam dirinya sendiri? Rasa pencegah ini dihantar oleh Allah ke dalam hati kita, antaranya sebagai tanda bahawa Dia sedang memilih kita ke arah kebaikan. Ringkasnya, anda orang yang beruntung. Cuma dasar-dasar hati yang baik di dalam jiwa itu hendaklah dikembangkan potensinya lagi. Cari peluang-peluang menambah ilmu agama, khususnya ilmu tasawuf. Kita kena banyak doa dan usaha agar hati jiwa kita berasa nikmat untuk taat, berasa manis untuk patuh dan berasa lazat untuk mengikut apa-apa yang ditentukan oleh Kekasih kita iaitu Allah SWT dan kekasih-Nya iaitu Nabi Muhammad saw.


@ tapi..kadang-kadang saya buat jugak, sebab kenapa orang lain boleh buat sedangkan saya tak boleh..walaupun dalam hati ada rasa takut Allah marah..takut dosa...

# Kalau selama hari ini sudah terbiasa buat apa-apa yang tidak diredhai Allah, kenalah usaha dihentikan. Jika mampu, berhenti terus serta-merta. Jika tidak mampu, hentikan perlahan-lahan. Kurang dan kurangkan dari semasa ke semasa. Isnya-Allah lama-lama akan berkurangan dan terus berhenti.

Kata hati yang tidak baik, kita lawan dengan kata hati yang baik. Contohnya : Memanglah ramai orang lain buat, tetapi kan ramai juga orang lain yang tidak buat? Mengapa aku jadi lemah dan mudah terpengaruh dengan orang lain yang buat? Padahal boleh sahaja aku jadi kuat dan terpengaruh dengan orang lain yang tak buat. Orang lain yang kurang daripada aku pun mampu tidak buat, takkanlah aku yang lebih berpelajaran, lebih berduit, lebih selesa hidup, lebih baik paras rupa, lebih sihat tubuh badan, lebih bijak berfikir, lebih tahu agama tak dapat kekuataan macam mereka? Aku mesti jadi kuat!


@ Saya nak jumpa Allah dalam keadaan Dia gembira jumpa dengan saya..tapi..akhir-akhir ni ujian tu terlalu berat sampai saya membiarkan diri buat dosa...

# Ya, pastinya begitu. Sebab itulah Dia menganugerahkan kepada kita perasaan bersalah apabila berbuat hal-hal yang tidak diredhai-Nya. Dia hadiahkan kepada kita pencegah ke dalam jiwa kita. Hargailah anugerah-anugerah Dia itu. Jelaslah bahawa kita sedang dalam perhatian Dia. Banyak-banyak kita berasa malu kepada Dia apabila kita terasa hendak melakukan hal-hal yang tidak diredhai-Nya. Dia sentiasa melihat kita dan keadaan kita seluruhnya, 100%.


@ Macam mana saya nak kalahkan hawa nafsu dan bisikan syaitan...saya tak nak Allah tinggalkan saya...

# 1. Langkah awal dan terpenting, mohon kepada Dia. Hati, hawa nafsu, syaitan dan lain-lain semuanya milik Dia sepenuhnya. Hanya Dia yang ada kuasa untuk buat begitu begini terhadap itu semua. Oleh itu, kita minta tolonglah kepada Tuan punya hati, hawa nafsu dan syaitan. Minta agar dia penuhkan apa-apa hajat anda berkaitan masalah yang anda hadapi sekarang. Kena selalu minta. Selepas ini terus sahaja mohon, jangan tunggu-tunggu lagi. Mintalah antara contohnya agar Dia lorongkan kita ke jalan yang baik-baik sahaja. Minta Dia tetapkan hati kita dalam suasana keimanan dan ketaatan. Minta Dia kuatkan hati kita untuk tidak tertarik lagi terjauh daripada hal-hal yang mendatangkan dosa itu.

2. Kurangkan bergaul dengan orang-orang dan suasana (tempat-tempat) yang boleh mendorong kita untuk melakukan hal-hal yang tidak baik. Usaha cari, bina, tambah dan rapat-rapat dengan orang-orang yang kita nampak baik keagamannya. Pergaulan memang mempengaruhi kita.

3. Selain amalan-amalan wajib dan sunat yang biasa dilakukan, banyakkan ingat Allah (berzikrullah). Pelbagai jenis zikir ada. Amallah mana-mana yang dirasakan selesa. Saya cadangkan anda amalkan Zikir Harian. Yang 1000x sehari tu. Pendek-pendek sahaja pun.Tak dapat buat 1000, buat ikut kemampuan asalkan istiqamah (berterusan). 100x sehari pun ok, 300 pun ok, dan seterusnya. Banyak manfaatnya insya-Allah.


@ Adakah cara saya fikir ni salah..? Adakah cara fikir saya ni sesat..? Boleh ustaz tolong saya..?

# Tentunya tidak salah dan tidak sesat, malahan bagus sekali. Semoga dimudahkan Allah segala urusan keduniaan dan keakhiratan anda.Yakin dengan Allah, cintai Allah, malu pada Allah, berserah pada Allah, terus berharap pada Allah. Doa-doakan saya sama. Wassalam.



Abu Zulfiqar
Januari 2017

Monday, June 6, 2016

Sengaja Menolak Lamaran, Antara Fitnahnya

Respon kepada Puan N, beberapa tahun lalu, zaman tafsir mimpi saya masih tajam (bukan seperti sekarang, tafsirnya dah tumpul).Puan N bertanya tentang tafsir mimpi. Mimpinya begini dan begini...................

Saya pun renung-renung...... cuba-cuba ta'bir.....

Saya tanya, dia ada masalah rumahtangga tak? Maksudnya yang berterusan, lebih daripada yang biasa-biasa didengar........ Dia jawab ya!

Rupa-rupanya dia lambat jodoh. Macam-macam hal jadi. Dah dapat jodoh, kahwin n cerai pula. Kahwin lagi, tapi tak bahagia. Dia dan suami berlainan haluan dan cara hidup. Lain yang dicita, lain yang jadi. Anak2 tak menjadi. Fikiran runsing. Lagi berumur lagi rasa tak seronok hidup walau dah usaha berfikiran positif bagai. Padahal kerja bagus dan gaji tinggi. Bla bla bla.....

Saya tanya lagi... sebelum berkahwin dengan suami pertama dulu, ada tak mana2 orang ada menyatakan hajatnya untuk mengambil dia sebagai isterinya? Dan orang itu bagus keagamaannya, tak semestinya wali Allah ke ulama ke maulana ke apa ke, tapi dari segi agamanya kita tahu bagus berbanding orang biasa2, tapi lamarannya itu tidak diterima tanpa sebab2 yang wajar.

Dia terkejut dan tanya, macam mana ustaz tahu?
Daripada mimpi puan le. Betul ke?

KISAHNYA

Memang betul! Kisahnya... walaupun puan N ini dari aliran pendidikan agama, tapi dia tak minat nak kahwin orang agama. Katanya zaman muda2 dulu dia lihat lelaki geng2 agama ini selalunya macam tak menyeronokkan hidup mereka, macam ketinggalan zaman. Maksudnya nanti hidup tak happening lah.

Apabila dia habis sekolah, dia bekerja sementara. Ketika itulah orang pertama yang cakap nak ambil dia sebagai isteri ialah seorang ustaz, kenalannya zaman sekolah agama dulu, tua beberapa tahun. Orangnya memang baik dan keagamaannya bagus. Dari segi rupa paras, tidaklah kacak tetapi sepadanlah dengan Puan N ni.

Oleh kerana tak mahu, dia bagi alasan lambat lagi nak kahwin. Nak bagi stabil dulu akademik dan kerjaya. Ustaz tu kata dia sanggup tunggu. Nak tunggu, tunggu lah, kata Puan N. Tapi sejak itu dia memang tak ambil tahu pun si ustaz dan si ustaz pun memang tak hubungi dia. Masih setia menunggu le kot.

Selepas tu tu ramailah yang datang mengorat bagai, yang biasa ada, yang teruk pun ramai, tapi belum berkenan. Ada je masalah. Makan masa lama, bertahun-tahun. Dalam pada tu dengar-dengar si ustaz dulu dah pun berumahtangga. Sekejap je dapat anak 2-3 orang. Puan N masih solo. Dah jadi andartu le pulak dah. Macam2 orang cakap. Dia buat2 pekak je la.

Selang beberapa tahun kemudian, ada orang (kawan2 sekerja Puan N) cuba kenalkan Puan N dengan seorang lelaki lain. Biasa2 sahaja, bukan agamawan lah. Tengok2 berkenan di hati. Kahwinlah. Maka semakin berpanjanganlah kisahnya sampailah yang diceritakan di awal tadi..........

MENGAPA JADI BEGITU?

Jadi, sefaham saya, berdasarkan ta'bir mimpi Puan N, hidupnya jadi begitu kerana telah ada orang yang baik agamanya meminta dirinya dulu untuk dijadikan isteri TETAPI dia menolaknya tanpa sebab2 yang wajar. Sebab tu ulama2 dulu2 selalu berpesan, kalau ada orang datang berhajat, yang datang tu pula baik agamanya (tak semestinya wali Allah atau ulama), nampak padan dah lebih kurang, eloklah terima. Jika tidak, akan terjadi fitnah. Yang Puan N alami selama hari ini tu, itulah antara fitnah yang dimaksudkan.

Puan N pun cakap yang dia memang pernah baca atau dengar ustaz ustazah cakap macam tu, tapi memang dia tak terperasan langsung hal itu terkena pada dirinya sendiri. Hari itu baru dia tersedar.

APA NAK DIBUAT?

Jadi, bagaimanakah jalan penyelesaiannya? Kata saya, apa yang berlaku sudah pun berlaku. Jadi yang pertama, istighfar sungguh2 banyak2 mohon ampun atas salah silap dahulu. Kedua, mohon dan berterusan agar Allah keluarkan daripada segala kekusutan kepada kesenangan. Ketiga, bimbing mana2 orang muda yang kelihatan macam nak terulang langkah Puan N dulu agar tidak melakukannya. Jangan biar mereka pula menanggung fitnah seperti itu.

Yang saya masih ingat lebih kurang begitulah cerita keseluruhannya.Memang ada lagi part2 yang saya dah lupa dan tertinggal.

SEMALAM

Semalam, Puan N menghubungi saya. Saya dah terlupa pun pasal Puan N ni. Lepas dia kenalkan diri dan imbas sikit2, baru teringat balik.

Katanya hidupnya ada banyak perubahan positif. Dia ucapkan banyak2 terima kasih atas tafsir mimpinya dulu. Pegang jawatan lagi tinggi, gaji lebih besar, anak2 pun bagus2, sudah pergi umrah dengan suami, dan bagai bagai lah. Dan dia selalu nasihatkan orang lain terutama anak2 buahnya sendiri agar tidak terkena fitnah sebagaimana yang terkena pada dirinya dulu. Semoga Puan N sekeluarga mendapat keberkatan daripada Allah SWT.

Wallahualam.


Abu Zulfiqar
5 Jun 2016


Wednesday, May 6, 2015

Nasihat Buat Para Isteri

Sabda Rasulullah saw : “Dunia ini adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita yang solehah. Apabila kamu memandangnya, dia menyenangkan (hati) kamu. Apabila  engkau perintah (arahkan), dia taat kepada (perintah/arahan) kamu. Dan apabila engkau berpergian (ada urusan di luar) meninggalkannya, dia memelihara (kehormatan) dirinya dan menjaga harta kamu.” (Ahmad, An-Nasa’i)

Marilah kita berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi sebaik-baik perhiasan iaitu sebagai seorang wanita yang solehah, dengan berusaha untuk memenuhi ciri-cirinya sebagaimana yang disebutkan hadis di atas.

Jangan sampai suami berasa tidak senang hati apabila melihat kita. Jangan sampai kita mengengkari permintaan suami. Apabila suami tidak ada bersama-sama dengan kita, hendaklah kita menjaga maruah diri dan pergaulan. Harta dan barang-barang suami (rumah, kenderaan, pakaian, peralatan dan sebagainya), kita jagalah sebaik-baiknya.

Ditanyakan kepada Rasulullah saw : Wanita (isteri) yang bagaimanakah yang paling baik?
Baginda menjawab : Yang menyenangkan suaminya apabila suaminya memandangnya, yang mentaati suaminya apabila suaminya menyuruhnya, dan dia tidak menyanggahi suaminya dalam perkara dirinya dan tidak pula pada harta suaminya dengan apa yang tidak disukai oleh suaminya.” (Baihaqi)

Hendaklah kita tidak mudah-mudah menyanggah suami. Jangan sesekali buat perkara yang suami kita tidak suka. Inilah antara ciri wanita yang paling baik menurut agama Islam.

Wanita (isteri) manapun yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk syurga.” (Turmizi, Ibnu Majah)

Alangkah mudahnya untuk seseorang wanita itu mendapat syurga! Keredhaan suamilah kuncinya. Oleh itu, sama-samalah kita ingat-mengingati, janganlah sampai suami tidak redha kepada kita. Sangat besar bahayanya.

“Seandainya aku (Rasulullah saw) dibenarkan memerintahkan seseorang untuk sujud kepada orang lain, sudah tentu aku akan memerintahkan isteri untuk sujud kepada suaminya.” (Turmizi, Ibnu Majah)

 Cuma Allah tidak membenarkan untuk sujud kepada sesama manusia. Namun hadis ini memberi maklumat penting untuk kita menghayatinya.

“Tidaklah boleh bagi seseorang manusia untuk sujud kepada manusia lain. Seandainyalah dibenarkan seseorang sujud kepada orang lain, sudah tentu aku perintahkan isteri untuk sujud kepada suaminya, kerana besarnya hak suami ke atasnya. Demi Zat yang jiwaku berada di tanganNya, seandainyalah pada tapak kaki sehingga ke belahan rambut suaminya ada luka/kudis yang beserta nanah bercampur darah, lalu si isteri menghadap suaminya dan menjilat luka/kudis tersebut, nescaya dia belum sempurna menunaikan hak suaminya.” (Ahmad)

Alangkah besarnya hak Allah ke atas kita! Jangan pula kita terlupa akan hak suami ke atas isterinya.

“Seandainya aku boleh memerintahkan seseorang untuk sujud kepada seorang yang lain, sudah tentu aku akan memerintahkan isteri untuk sujud kepada suaminya. Seandainya seorang suami memerintahkan isterinya untuk pindah dari gunung merah menuju gunung hitam, dan dari gunung hitam menuju gunung merah, si isteri mesti melakukannya.” (Ahmad, Ibnu Majah)

Apa-apa perintah suami, selagi tidak bertentangan dengan ajaran agama Islam, hendaklah kita berusaha mematuhinya.

Tatkala Mu’az pulang dari Syam, dia sujud kepada Nabi saw. Maka baginda menegur Mu’az : “Apa yang kamu lakukan ini wahai Mu’az?”
Mu’az menjawab : “Aku ke Syam, aku lihat mereka (penduduk Syam) sujud kepada paderi mereka. Jadi aku berkeinginan dalam hatiku untuk melakukannya kepada kamu ya Rasulullah.”
Rasulullah saw bersabda : “Jangan engkau lakukan hal itu, kerana senadainya aku boleh memerintahkan seseornag untuk sujud kepada selain Allah, sudah tentu aku perintahkan isteri untuk sujud kepada suaminya. Demi Zat yang jiwa Muhammad berada di tanganNya, seorang isteri tidak (belum) menunaikan hak Tuhannya sehinggalah dia menunaikan hak suaminya. Seandainya si suami meminta dirinya (mengajak berjimak) dalam keadaan dia berada di atas pelana (atas kenderaan), maka dia tidak boleh menolaknya.” (Ahmad , Ibnu Majah)

“Apabila seorang suami mengajak isterinya ke tempat tidurnya tetapi si isteri enggan datang, lalu si suami bermalam (tidur) dalam keadaan marah kepada isteri itu, nescaya para malaikat melaknat si siteri hingga ke pagi.” (Bukhari)

“Mana-mana wanita yang meminta cerai kepada suaminya tanpa ada apa-apa (sebab yang layak untuk itu), maka diharamkan untuknya mencium wanginya syurga.” (Turmizi, Abu Daud, Ibnu Majah, Ibnu Hibban)

Semoga bermanfaat.

Abu Zulfiqar
6 Mei 2015