a) Kita mesti yakin
sepenuh hati (100%) bahawa Allah memang ada (wujud).
b) Kita mesti yakin
sepenuh hati bahawa Zat Allah itu qadim, maksudnya sudah sedia wujud sejak
azali, sedia ada sebelum terciptanya ruang dan masa, Dia tidak diadakan, Dia
tidak ada permulaan, dan Dia tidak dilahirkan.
c) Kita mesti yakin
sepenuh hati bahawa Zat Allah itu baqa’. Dia kekal, sebagaimana dahulu
sebegitulah sekarang dan seperti itu jugalah sampai bila-bila pun. ZatNya
langsung tidak mengalami sebarang perubahan kerana ZatNya sempurna sejak azali,
sekarang dan sampai bila-bila pun. ZatNya tidak bertambah dan tidak juga
berkurang kerana ZatNya sudah sedia sempurna. Dia sentiasa ada, tidak pernah
tidak ada walau sedetik.
d) Kita mesti yakin
sepenuh hati bahawa Zat Allah itu bukanlah jauhar (benda). Hal ini kerana semua
jauhar sifatnya bertempat sedangkan Zat Allah tidak terpengaruh dengan tempat.
ZatNya sudah sedia ada sebelum Dia menjadikan tempat dan ruang. Maka mustahil
ZatNya dipengaruhi pula oleh tempat dan ruang.
Semua makhluk berada dalam satu keadaan sama ada sedang berdiam atau
sedang bergerak. Sebaliknya Zat Allah langsung tidak dipengaruhi oleh diam atau
gerak. Alangkah ajaibnya!
e) Kita mesti yakin
sepenuh hati Zat Allah Taala itu tidak berjisim (tidak bertubuh/berjasad).
ZatNya sudah sedia ada lagi Maha Sempurna sebelum Dia menciptakan jisim.
Selepas Dia menjadikan jisim, ZatNya masih seperti itu juga yakni sedikit pun
tidak dipengaruhi oleh jisim, sampai bila-bila pun.
f) Kita mesti yakin
sepenuhnya yang Zat Allah bukanlah ‘aradh (sifat). ZatNya sudah sedia ada lagi
Maha Sempurna pada azali, yakni sebelum Dia menjadikan sifat-sifat. Zat Allah
langsung tidak sama dengan suatu apa pun, dan tidak ada suatu apa pun yang sama
dengan ZatNya.
g) Kita mestilah yakin
sepenuh hati bahawa Zat Allah tidak dipengaruhi oleh arah dan posisi seperti di
tengah, di tepi, di atas, di bawah, di kiri, di kanan, di hadapan, di belakang
dan sebagainya. Hal ini kerana ZatNya sudah sedia sempurna sejak azali, iaitu
sebelum arah dan posisi dijadikan-Nya. Oleh kerana ZatNya bersifat baqa’
(kekal), maka mustahillah tiba-tiba ZatNya berubah lalu dipengaruhi oleh arah
dan posisi pula.
h) Kita mestilah yakin
sepenuh hati bahawa Allah Taala beristiwa’ atas ‘Arasy-Nya dengan erti yang
dikehendaki oleh Allah, yang tidak berlawanan dengan sifat keagunganNya dan
tanpa terkena kepada-Nya tanda-tanda baharu atau tanda-tanda makhluk.
Ahli kebenaran (ahlul haq) memerlukan kepada penta’wilan sebagaimana
ahli kebatinan (ahlul batin) memerlukan kepada penta’wilan firman Allah :
“Dia (Allah) bersama-sama dengan kamu di mana sahaja kamu berada.” Kerana
dengan sepakat difahami firman tersebut sebagai meliputinya ilmu Allah.
Begitu juga dengan sabda Nabi saw : “Hati orang beriman itu di antara
dua anak jari daripada anak-anak jari Tuhan Yang Maha Pengasih.” Ini
dimaksudkan kepada qudrah dan keperkasaan Tuhan.
Dan sabda Nabi saw : “Hajarul Aswad (batu hitam) itu adalah tangan
kanan Allah di bumi-Nya.” Hal ini diertikan sebagai kemuliaan dan keagungan
Hajarul Aswad, kerana kalau dibiarkan maksud yang zahirnya (iaitu batu hitam
itu adalah tangan Allah) nescaya hal itu mustahil (kerana batu hitam itu adalah
makhluk ciptaan-Nya).
Begitu jugalah dengan istiwa’. Jika dibiarkan ertinya sebagai menetap
dan bertempat, maka tentulah yang bertempat itu jisim yang bersentuh dengan
‘Arasy yang adakalanya seperti ‘Arasy, atau lebih besar, atau lebih kecil. Itu
adalah mustahil.
i) Kita mestilah yakin
sepenuh hati bahawa Zat Allah itu langsung tidak terpengaruh oleh bentuk,
batasan, had, sempadan, tepi, dan penjuru.
j) Kita mestilah yakin
sepenuh hati bahawa Allah Taala itu Maha Esa. Dialah satu-satunya, tiada yang
selain Dia.
No comments:
Post a Comment