Monday, March 16, 2020

Musim Wabak (bah. 3)


Pada musim wabak menular dengan MARAKNYA, para pejuang agama dianjurkan untuk melebihkan uzlah dan mengurangkan bercampur-gaul. Jangan risau kerana beruzlah juga punya banyak kelebihan. Antara faedah2 beruzlah :


Faedah 1 : Dengan ber’uzlah, engkau dapat SELESAIKAN IBADAH DENGAN SELESA, boleh banyak bertafakur, dan dapat berjinak-jinak hati dengan bermunajah (berbisik-bisik/bermesra) dengan Allah. Engkau juga dapat waktu untuk menyingkapkan sir (rahsia) Allah Taala tentang urusan dunia dan akhirat, alam langit dan bumi yang tak terlihat oleh pancaindera (alam malakut). ‘Uzlah membuatkan kita lebih fokus.


Faedah 2 : Ber’uzlah membuatkan engkau TERSELAMAT DARIPADA MELAKUKAN DOSA-DOSA yang biasa berlaku apabila kita bercampur-baur dengan manusia lain.

Perbuatan maksiat tersebut ialah mengumpat, lalat merah (namimah, membawa-bawa cerita), berdiam daripada melakukan amar ma’ruf nahi munkar dan sebagainya.

Sangat sukar bagi engkau untuk mengelak daripada mengumpat apabila kita bercampur gaul dengan orang ramai. Kebanyakan manusia memang berasa lazat mengumpat.

Jika engkau bercampur dengan mereka dan bersetuju dengan perbuatan mereka yang mengumpat itu, nescaya engkau berdosa. Sebaliknya jika engkau berdiam diri pula, nescaya engkau adalah sekutu mereka. Orang yang mendengar merupakan salah seorang daripada mereka yang megumpat.

Jika engkau membantah atau menegur mereka, mereka akan marah dan umpatan mereka akan beralih pula kepada engkau nanti. Keadaan sebegini memang menyusahkan.

Apabila engkau bercampur dengan orang ramai, engkau tidak akan terlepas daripada melihat kemungkaran- kemungkaran. Jika engkau berdiam diri terhadap kemungkaran-kemungkaran itu, engkau telah menderhakai Allah. Jika engkau membantah akan kemungkaran-kemungkaran itu, engkau akan mendapat pelbagai kemudaratan.


Faedah Ketiga : Ber’uzlah membuatkan engkau TERLEPAS DARIPADA SEGALA FITNAH PERMUSUHAN. Sedikitlah negeri-negeri (kawasan-kawasan) yang terlepas daripada sifat taksub, fitnah dan permusuhan. Maka, orang yang mengasingkan diri dapatlah memperoleh keselamatan.

Abu Sa’id al-Khudri meriwayatkan daripada Rasulullah saw yang bersabda : “Hampirlah sudah sebaik-baik harta seorang muslim ialah kambing yang diikutinya bersama-sama kambing itu ke puncak-puncak bukit dan tempat-tempat iringan unta. Ia lari dengan agamanya daripada segala fitnah, dari satu daratan tinggi ke satu daratan tinggi.” (Bukhari)


Faedah Keempat : Ber’uzlah membolehkan engkau TERLEPAS DARIPADA KEJAHATAN-KEJAHATAN MANUSIA.

Manusia akan menyakitkan engkau sama ada dengan umpatan, buruk sangka, tuduhan dengan perlakuan lalat merah (namimah) atau dusta. Apabila engkau mengasingkan diri daripada mereka, tak perlulah engkau untuk menjaga diri daripada itu semua.Sesiapa yang bercampur-baur dengan orang ramai, nescaya tidaklah terlepas ia daripada dengki dan musuh yang berburuk sangka.

Ada yang mengatakan  : “Bergaul dengan orang-orang jahat akan mewariskan buruk sangka terhadap orang-orang yang baik-baik.”


Faedah Kelima : Terputuslah harapan manusia daripada engkau dan harapan engkau daripada manusia.

Apabila engkau ber’uzlah, orang ramai tidaklah mengharap-harapkan engkau dalam pelbagai hal, maka kehidupan engkau lebih tenang. Engkau juga tidak terharap-harap akan orang ramai, maka kehidupan engkau juga akan lebih tenang.


Faedah Keenam : Engkau akan TERSELAMAT daripada menyaksikan orang-orang yang buruk perangainya dan kurang akal fikirannya. Terlepaslah engkau daripada kekasaran kebodohan dan budi pekerti orang-orang seperti itu, kerana melihat orang yang buruk kelakuannya itu merupakan buta kecil.

Inilah antara faedah-faedah ber’uzlah sebagaimana yang dipetik daripada Angerah Berwangian Cinta untuk Orang-orang di Taman Cahaya, yang diringkaskan daripada kitab induk Ihya’ ‘Ulumuddin pada Kitab Uzlah.

Abu Zulfiqar Al-Amsyari
16 MAC 2020

No comments: