Monday, December 28, 2020

Menonton Dirilis Ertugrul dan Kurulus Osman

Ada tengok siri Ertugrul dan Osman tak?

Ya. Saya ada menonton siri Kurulus Osman dan Dirilis Ertugrul.


Pada asalnya saya tidak tahu kewujudan siri Osman. Tambahan pula saya memang jenis yang tidak suka menonton televisyen. Kalau cerita bersiri, lagilah tak minat.


Tetapi pada suatu hari (kalau tak salah masa PKP dulu) saya ada terbaca tulisan sahabat kami iaitu Az Abrar tentang siri Osman. Jadi, saya pun cubalah tonton sedikit. Nampak menarik dan ada juga manfaatnya. Sejak itu, saya dan keluarga memang sama-sama menonton siri Osman sehinggalah sekarang. Sudah masuk musim kedua pun.


Kemudian, setelah berkenalan dengan siri Osman, saya pun mencari-carilah maklumat berkaitan di internet. Terjumpa pula siri sebelumnya iaitu Ertugrul. Yang ini saya tidaklah ajak anak isteri menonton sekali, khuatir habis banyak masa ke situ sahaja. Cuma sempena berPKP di rumah, sambil-sambil itu saya pun menonton sekejap-sekejap (tidak sekaligus) siri Ertugrul. Maksudnya tonton sedikit-sedikit bersambung-sambung ikut kelapanganlah. Setelah saya terasa lesu beribadah, mengajar keluarga, mentelaah kitab, mengarang dan sebagainya, saya curi-curi tonton sekejap siri Ertigrul. Dengan izin Allah, habis juga kelima-lima musim siri Ertugrul pada zaman PKP dulu.


Sekarang, anak isteri menyatakan keinginan untuk menonton siri Ertugrul pula. Mahu lebam mata dibuatnya. Insya-Allah akan tonton sesekali, bukan bermarathon, kerana banyak lagi urusan kedunian dan keakhiratan kita yang perlu diselesaikan.


Oh ya! Nak tahu peranan sebenar Imam Al-Ghazali dalam perjuangan (yang kononnya didakwa asyik beruzlah tak peduli masalah umat dan daulah), bolehlah dicontohkan sedikit dengan peranan Syeikh Edebali dalam siri Osman. Banyak kerja-kerja belakang tabirnya berkaitan politik, kerahsiaan dan perang yang jarang-jarang diketahui umum. Tetapi dalam Tarekat Ghazaliyah, kami mendapat sedikit kisah-kisahnya yang diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi oleh guru-guru tarekat ini. Insya-Allah akan saya sentuh dalam buku-buku Tarekat Ghazaliyah yang akan datang.


Semoga ada orang kita pula yang buat siri-siri pembinaan empayar Melaka, Demak, Acheh dan sebagainya dengan memberikan lebih penekanan kepada aspek keagamaan.


Abu Zulfiqar Al-Amsyari

28 Disember 2020

No comments: