Sunday, March 28, 2010

Di Mana Wira Seperjuangan?

Memang sangat susah untuk mendapatkan teman seperjuangan
yang sama-sama memperjuangkan banyak perkara
dan sama-sama menolak banyak perkara.

Kadang-kadang kita datang dari sarang yang sama.
Bertahun-tahun diasuh di sarang, modul yang sama.
Sama-sama tahu apa yang hendak diperjuang
dan apa yang tidak diperjuangkan.

Apabila tiba masa yang ditetapkan Tuhan
ujian pun datang.

Kita sokong, kita ingatkan dia pun sokong.
Rupa-rupanya dia tak sokong!

Kita boikot, ingatkan dia tentu boikot juga.
Dia tak boikot!

Kita mengharamkan sesuatu yang layak diharamkan
kita yakin, sudah tentu dia akan meneguhkan lagi kita.
Malangnya dia sebaliknya pula
meruntuhkan lagi kita!

Kita melangkah, terasa seakan-akan dia melangkah sama.
Padahal dia tidak bergerak!
Bahkan ada waktunya dia berundur pula ke belakang!

.......
Walaupun sesarang selubuk sekubang
dan masih seperti itu pada zahirnya
...terasa berjuang berseorangan.

Bersendirian rupa-rupanya pejuang kerdil ini.

Kita sama-sama melihat barisan tentera musuh
beberapa rantai di hadapan barisan kita.
Ketika itu kita berada dalam satu barisan.
Kita sama-sama berikrar
untuk menentang apa saja yang datang daripada pihak musuh.

Hamba sendiri sebagai komandernya.
Melengkapkan teman-teman hamba
dengan pelbagai ilmu pertempuran.
Teman-teman pula menerima bersungguh-sungguh
tanpa sebarang penolakan.
Ini membuatkan hamba yakin.

Apabila musuh mula bergerak
kita menyerbu bersama-sama ke medan
dengan uniform perang yang seragam.

Apa yang mendatang, hamba tebas bermati-matian
tanpa berpaling ke belakang lagi.
Hamba yakin para sahabat pun begitu.

Tiba-tiba terasa diri ini dikeronyok musuh.
Padahal tentera musuh itu kelas bawahan sahaja.
Sudah biasa sangat kita sama-sama
menghenyak tentera seperti itu
sekalipun mereka 20 kali lipat jumlahnya.

Dalam keronyokan mereka
hamba sempat menoleh ke belakang.

Kelihatan seorang teman hamba
sudah pun menyarungkan kembali pedangnya
sambil berbual-bual dengan tentera musuh
dengan senyum mesra.

Seorang lagi
yang gagah perkasa
sudah menukar uniformnya
kepada pakaian kebanggaan pihak musuh.

Seorang lagi pula
meraikan pihak musuh dan si gagah
dengan jamuan dan juadah
dengan penuh keriangan di muka.
Dilaung-laungkan pula pekerjaan dirinya itu
dengan penuh kebanggaan.

Walaupun dikeronyok
hamba sempat meloloskan diri
mengasingkan diri ke hutan.

Bukan kerana takut mati.
Teman-teman pun sedia tahu...
seorang diri saja pun hamba sanggup
untuk berhadapan dengan keseluruhan tentera musuh.
Hamba tidak akan lari dikejar musuh
dan tidak akan mengejar musuh yang lari.

Tapi jadi begitu kerana
hamba sudah hilang semangat juang.

Bukan hilang kerana besarnya bencana bawaan musuh
tetapi kerana kecilnya jiwa teman-teman sesarang.
Bukan kerana hebatnya tentera musuh
Tetapi kerana malu kepada musuh-musuh
yang tertawa mengejek
akan kelemahan barisan tentera kita.

Dahulu mereka kagum akan kita.
Mereka tahu yang kita tidak akan goyang
walau dilanggar seribu rata
walau dimanjanik seribu ketul batu.

Sekarang mereka sedar
Dengan hembusan asap rokok sajapun
kita sudah longlai.
Ditolak dengan lidahpun
kita akan tumbang terhempap.

Di hutan
hamba tidak berdiam diri.
Hamba berusaha mengatur strategi
untuk terus menentang musuh
sekalipun hamba sedar
diri sangat lemah
dan langkah hamba seterusnya nanti
hanya seperti gigitan nyamuk sahaja tarafnya
kepada pihak musuh.

Apa kebenaran yang hamba pegang dulu
sekarang pun seperti itu juga.
Hamba tidak akan berganjak
dan sama sekali tidak akan
memberi kemenangan kepada Iblis dan para syaitan.

Sesiapa yang berhati teguh
ataupun yang suka untuk berhati teguh
hamba nanti di pinggir hutan.

Selamat datang wahai wira-wira seperjuangan sejati.

Tidak ada sesiapa?...

Tidak mengapa.

Jika hati sudah bersama-sama Tuhan
ketika berseorangan pun dirasakan ramai.
Waktu berseorangan terasa ramai.
Perjuangan tetap diteruskan.



*Pencerahan pada 2.4.10 :
Nukilan ini tidak ditujukan kepada rakan-rakan di internet, tetapi kata hati saya kepada sebahagian mereka yang berada di sekeliling saya sekarang, iaitu di alam nyata... yang selalu saya jumpa secara bertentang mata.
Mohon maaf atas sebarang kekeliruan - Abu Zulfiqar

Friday, March 26, 2010

Nikmat Syurga

Istana kaca di dalamnya
Pepohon rimbun naungannya
Bidadari-bidadarinya
setia, suci dan sebaya.

Bunga-bunganya dan unggasnya
Buah-buahan dan sungainya
Keindahan tiada tara
Tiada tergambar di minda

Sedikit Tentang Kuliah Kitab Musolli

Assalamualaikum wbt,

Setiap kelas pengajian ada ruh, aura dan aromanya yang tersendiri. Begitu banyak kuliah kitab Munyatul Musolli di luar sana yang jauh lebih hebat daripada kuliah di laman ini. Namun kuliah kerdil ini mempunyai sedikit keistimewaan dan keunikannya yang tersendiri walaupun masih jauh ketinggalan berbanding kelas-kelas di luar sana. Antara kelainan yang mampu kami sajikan ialah:


DARI SUDUT KELUASAN PENGETAHUAN PENDENGAR

Ada guru-guru yang mengajar sesebuah kitab, hanya isi kitab itu sahaja yang dihidangkan. Jarang-jarang ia dikaitkan dengan kitab-kitab lain. Belajar satu kitab, dapat satu kitab. Alhamdulillah syukur, bertambah pengetahuan kita.

Berbanding dengan pengajian ini, walaupun kitab Munyatul Musolli dijadikan teks utama namun kitab-kitab tua alam Melayu lain seperti Sullamul Mubtadi, Wishahul Afrah wa Isbahul Falah, Zadul Muta’allim, Hidayatus Subyan dan lain-lain sering dijadikan rujukan dan dihidangkan sama dalam penyampaian. Secara tidak langsung pendengar turut belajar sebahagian daripada isi kandungan kitab-kitab tersebut. Belajar satu kitab, tapi dapat tahu banyak kitab. Insyaallah.


DARI SEGI KESERONOKAN PENDENGAR MENGIKUTI KULIAH

Ada pengajaran dan pembelajaran kitab tua agak membosankan dan sesuai untuk orang-orang tua sahaja. Yang mendengarnya golongan tua, golongan muda tidak tertarik untuk mengikutinya.

Caragaya penyampaian/ pendekatan kuliah Munyatul Musolli ini sedikit berbeza kerana ia sesuai dengan jiwa orang tua-tua bahkan iiwa golongan remaja sekaligus. Ada sedikit jenaka dan hiburan Islami sebagai selitan.


DARI SEGI PEMAHAMAN PENDENGAR

Selepas habis sesuatu sesi kuliah, para pendengar tidak dapat mengulang kembali isi kuliah itu. Pendengar tidak berpeluang untuk memantapkan pemahaman mereka kerana kuliah itu tidak dirakam ataupun ditekskan. Jika terlepas mana-mana bahagian pada sesi itu, si guru tidak akan mengulangnya kembali. Pada waktu kesibukan ataupun ada urusan penting, mungkin ada pendengar yang terlepas kelas pengajian.

Kuliah Munyatul Musolli dirakamkan (walaupun sekadar audio), malah isi kuliah dihidangkan dalam bentuk teks. Pendengar yang ada kemudahan internet boleh mengulang-ulang mendengar audio ataupun membaca teks, ataupun kedua-duanya sekaligus pada bila-bila masa, seberapa kali yang mahu.


DARI SEGI PENGKAYAAN ILMU PENDENGAR

Biasanya kuliah fekah hanya akan menyentuh hal ehwal fekah. Seandainya ada disentuh cabang-cabang lain, perkara yang disentuh itu umumnya sudah biasa didengar oleh orang awam, cuma cara menghurainya yang berbeza.

Kuliah Munyatul Musolli akan diselitkan dengan hal ehwal kesufian dan yang sehampir dengannya. Perkara ini jarang-jarang dihidangkan. Sesekali dikeluarkan, akan terasa betapa berlainan dan nikmatnya. Petikan daripada kitab-kitab seumpama itu akan dimuatkan pada tempat-tempat yang bersesuaian sepanjang kuliah, terutamanya hasil karangan Hujjatul Islam Imam al-Ghazali seperti Ihya’ Ulumiddin, Kimia as-Saadah, Misykatul Anwar, Risalah al-Laduniyyah dan al-Munqiz min adh-Dhalal.

Hanya sekadar itu kelainan yang dapat kami sajikan.

Wassalam.



Silakan ke http://munyatulmusolli.blogspot.com/

Tuesday, March 23, 2010

Fatihah

Dengan namaMu Yang Maha Pemurah
dan Yang Maha Mengasihani.
Segala puji untuk-Mu Allah,
Tuhan bagi seluruh alam.

Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,
Penguasa hari akhirat.
Engkau yang kami sembah, kami berabdi,
tempat memohon pertolongan.

Tunjukkan kami (Tuhan) jalan yang lurus,
jalan orang-orang pilihan.
Jalan orang yang Kauberikan Tuhan
nikmat-nikmat dan kejayaan.

Bukan jalan mereka yang Engkau murka,
yang tersesat pun bukan juga.
Perkenankanlah doa kami semua
wahai Tuhan alam semesta.

Alhamdulillah Rabbul 'alamin.
Ya Rahmaan ya Rahiim.

Berikan keselamatan di dunia di akhirat.
Jauhkan kami semua dari azab neraka.
Segala puji hanya untuk-Mu.

Jauhkan kami semua Tuhan dari azab neraka.
Segala puji bagi Allah.



(Abu Zulfiqar/ Abu Zulfiqar)

Friday, March 19, 2010

Menyokong Kebenaran Kerana Apa?

TULISAN SAHABAT:

BismiLLAH, AlhamduliLLAH..

Mungkin ini satu mekanisme yang baik.
(Tujuan saya tulis bukan hendak bersetuju 100% dengan semua tindakan kerajaan, bersabit isu korupsi @ penyalahgunaan kuasa dsb).

Sekadar berkongsi…


“Selama ini rakyat Malaysia rata-rata mendapat banyak penyakit yg disebabkan oleh pemakanan tidak sihat. Sebagai contoh, beras (nasi @ pulut), gula, minyak adalah punca penyebab utama penyakit diabetis, jantung, kegemukan dan barah akibat daripada pengambilannya melebihi kadar yang sepatutnya.”

“Bukankah kenaikan harga barang makanan adalah mekanisme yang baik untuk kita mengawal corak pemakanan kita? Paling tidaknya, kita berpuasa. Kurang-kurang 4@5 hari sebulan. Disamping menjimatkan, berpuasa juga menambahkan pahala. Lain dari itu, dengan bacaan Quran juga kita boleh menjadi kenyang dan dicukupkan rezeki untuk kita (bukan apa, jika kita menyibukkan diri dengan urusan akhirat, nescaya kita tidak ada masa untuk memikirkan tentang dunia).”


PANDANGAN SAYA:

Jika dilihat dari sudut kesihatan, mungkin ada benarnya. Masalahnya, kesan kenaikan ini bukan melibatkan makanan dan kesihatan sahaja. Belanja sekolah, harga rumah, belanja pengurusan aktiviti jemaah-jemaah dakwah, pengurusan rumah anak-anak yatim persendirian, belanja perubatan orang-orang miskin dan banyak lagi. Ringkasnya, kita tidak boleh berseronok dengan satu dua manfaat berbanding sepuluh dua puluh mudarat yang datang sekaligus. Lainlah halnya jika yang datang itu lebih banyak manfaat berbanding mudarat.


Datangnya Tsunami membuatkan rakyat Acheh lebih dekat dengan Tuhan. Ini tidak bermakna kita menyokong kedatangan tsunami sekali lagi. Penjajahan Zionis menjadikan rakyat Palestin yang dulunya leka kini rata-rata berjiwa syuhada’. Ini tidak bermakna kita kena menyokong penjajahan Zionis. Begitulah pandangan saya.



TULISAN SAHABAT:
“Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa dalam hal ini. Cuma saya beri solusinya. Jika saya sokong kerajaan sekali pun, saya bukan makan duit gaji kerja dengan kerajaan. Jika saya sokong kerajaan sekali pun, kerajaan tidak memberi biasiswa untuk saya belajar ketika di universiti. Jika saya menyokong kerajaan sekali pun, saya tidak akan mendapat tawaran jawatan yang tinggi. Jika saya menentang sekali pun, apa yang saya dapat? Melainkan dengan tangan saya sendiri, saya merombak dan mengubah segala kepincangan yang ada dalam kerajaan. Namun, mudahkah kerja itu??”


PANDANGAN SAYA:

Sebenarnya kita menyokong ataupun menolak sesuatu pihak sama sekali tidak didasarkan kepada:

  1. Apakah kita PERNAH mendapat sebarang imbuhan daripada mereka?
  2. Apakah kita AKAN mendapat imbuhan daripada mereka?

Kita menyokong ataupun menolak sesuatu pihak atas dasar kebenaran dan tanggungjawab yang Tuhan beri kepada kita. Banyak pihak yang tertindas, maka kita bertindak untuk keselesaan mereka, bukan KESELESAAN SENDIRI sahaja. Begitulah pandangan saya yang dhaif ini.


Tentang apa yang akan kita dapat, kembali kepada saranan dakwah Ikhwanul Muslimin yang turut digunakan oleh Dakwah Tajdid Segar iaitu ‘Perjuangan Nafas Panjang’. Kita usaha sekarang biarpun hasilnya akan diperolehi 100 tahun lagi, ketika itu kita pun sudah tidak ada. Allah lebih melihat usaha berbanding hasil. Samalah seperti menanam pokok durian daripada bijinya. Tanam sekarang, yang makan ialah cucu kita. Kita sudah masuk kubur. Yang pentingnya- tanam.


Jika kita tanam, boleh jadi akan ada hasilnya. Jika tak tanam langsung? Sudah pasti tidak ada hasil. Begitu jugalah dalam hal minyak ini. Kita tolak apa yang tidak sesuai, boleh jadi ada hasilnya. Mungkin harga minyak akan diturunkan. Tapi jika semua orang tidak menolak/menentang? Sudah pasti tidak ada hasil (yakni tak akan diturunkan).


Sebab itu apa-apa usaha pun, kita kena bergerak secara berkumpulan (berjemaah). Usaha bersendirian tidak akan sampai ke mana.

Wallahualam.



TULISAN SAHABAT:
“Hendak kita minta orang berlaku adil kepada kita, cukup adilkah kita kepada tuhan? Jika kita adil kepada tuhan, saya yakin tuhan juga akan adilkan manusia terhadap kita, insyaAllah. Jom kita renungkan bersama.. :D “


PANDANGAN SAYA:

Tengah dok renung ni Zxxxx. : ) Kadang-kadang musibah yang didatangkan Allah tidak mengira sama ada kita adil kepada Tuhan ataupun tidak. Contohnya para Nabi, para aulia dan solehin. Mereka adalah antara manusia yang paling adil kepada Tuhan, tapi tetap terkena musibah, tetap diperlakukan tidak adil oleh orang lain. Banyak juga ulama yang adil kepada Tuhan di negara kita ini, tetapi musibah kenaikan harga bahan bakar tetap kena pada mereka juga.


Namun begitu, memang betullah kita semua kena muhasabah balik ilmu, iman dan amal kita termasuklah yang Zxxxx cakapkan iaitu keadilan kita kepada Tuhan.



TULISAN SAHABAT:
Mari kita fikirkan secara matang.

Saya juga ada pandangan tersendiri, mungkin kerana Pulau Batu Putih sudah tergadai kepada Singapura, maka pemimpin kita benar-benar mahu menghalang rakyat Singapura dari membeli minyak dengan harga yang murah di negara kita.
Kita juga kena terima, sekarang era gawat, harga beras dunia melambung tinggi, harga minyak dunia melambung tinggi, maka kita kena bijak menanganinya..
Jom kita kaji dan selidik solusinya melalui sunnah nabi jua kitab panduan agung yakni al-Quran. (saya hanya beri saranan biarpun yang sebenarnya saya sendiri masih jauh dari faham secara keseluruhannya - tapi saya yakin kedua-duanya ada memberi jawapan).

wallahu'alam...


PANDANGAN SAYA:

Ringkasnya, manusia yang masih hidup bersama-sama kita hari ini, yang lebih memahami Al-Quran dan sunnah ialah para ulama. Jadi, kita yang dhaif ini ikut sajalah para ulama itu. Mustahil para ulama bersepakat atas sesuatu kejahatan/ kesalahan.


Wallahualam.



Abu Zulfiqar Amsyari

Hukum Mewarna Rambut dengan Inai

SYAHEERA:

Apakah hukum mewarnakan rambut dengan inai dengan tujuan untuk menyihatkan kulit kepala dan supaya rambut tidak putus pada usia muda?


PANDANGAN:

Untuk perubatan dan kesihatan tidak mengapa, terutamanya kepada yang memang ada masalah berkaitan. Lagi pun inai tidak menghalang laluan air. Maksudnya wudhuk dan mandi wajib beres. Yang jelas tidak boleh ialah jika diwarnakan dengan tujuan untuk mempamerkannya kepada mereka yang bukan mahram. Wallahualam.



Abu Zulfiqar Amsyari

Maklumat Tentang 'Jemaah'

MUJAHIDIN MENULIS:

Salam perkenalan dari ana buat anta,

Ana masih mentah apatah lagi dalam bab-bab keagamaan....khususnya bab-bab pegangan, kepercayaan, kefahaman jemaah-jemaah yang ada di Malaysia hingga ke hari ini.

Ana sedar begitu banyak jemaah seperti tumbuhnya cendawan..lepas satu, satu lagi timbul..dan adakalanya ada persamaan antara sesuatu jemaah itu, dan ada pula yang berbeza-beza tidak kira dari segi ucapan, perbuatan, amalan dan sebagainya (terlalu luas untuk dibincangkan).

Namun, pada ana..mungkin seperti anta juga, tidak terlalu taksub dengan mana-mana jemaah, mana yang baik, ana ambil mana yang tidak baik pada ana, ana tinggalkan..dan mana yang ana tidak pasti diatas kejahilan ana, ana cuma pegang....tidak amal..dan berdiam diri.

Sekarang ini, terlalu banyak blog-blog....ciptaan manusia di internet..yang tidak tahu akan kesahihan dan autoritinya....tetapi ana baca, sebagai informasi yang berguna.... termasuklah blog anta.....

Dan ana hairan..tersangatlah hairan, mengapa begitu banyak fitnah memfitnah berlaku antara satu jemaah dengan satu jemaah yang lain....masing-masing dengan hujah-hujah masing-masing....yang ini, ada hujahnya, yang itu, ada hujahnya.....yang ini ada buktinya, yang itu tidak kurang juga bukti-buktinya..... Ana ingin tahu pada pandangan peribadi anta mengenai jemaah-jemaah ini..... Mungkin anta boleh memberi serba sedikit maklumat secara ringkas yang boleh kita berkongsi bersama.....yang mana anta ikuti dan boleh dipercayai khususnya di Malaysia.. Ana ambil 4 sahaja kerana ianya banyak dibahaskan:

1) Wahhabi
2) Salafi
3) tabligh
4) tareqat

Semoga mendapat jawapan dari tuan. Terima kasih.



PANDANGAN SAYA:


Wlksm Tuan Mujahidin. Berbanyak maaf kerana begitu lewat membalas.


Ana tertarik dengan kata-kata anta yang berbunyi:

tidak terlalu taksub dengan mana-mana jemaah, mana yang baik, ana ambil mana yang tidak baik pada ana, ana tinggalkan..dan mana yang ana tidak pasti diatas kejahilan ana, ana cuma pegang....tidak amal..dan berdiam diri.


Pegangan sebegini punya banyak persamaan dengan saranan dakwah Tajdid Segar.


Fitnah-memfitnah tidak dapat kita elakkan kerana memang sebegitulah dunia akhir zaman. Cuma ana lebih selesa jika kita tidak meletakkan perkataan “fitnah-memfitnah” kerana ada kalanya hanya satu pihak yang memfitnah, bukan kedua-duanya. Tapi ana percaya kata-kata anta itu bersifat umum.


Seterusnya pandangan ana tentang jemaah-jemaah yang anta senaraikan. Sebenarnya ada perbezaan antara jemaah dengan fahaman dan aliran. Wahhabi dan Salafi itu ialah fahaman. Tabligh ialah jemaah. Manakala tareqat ialah lebih kepada aliran ataupun kaedah.


Contohnya tareqat Naqshabandiah. Ia satu jemaah tetapi terlalu umum. Pecahan-pecahan di bawahnya seperti Naqshabandiah Haqqani, Naqshabandiah Khalidi, Naqshabandiah Aliah, Naqshabandiah Qadiriah dan lain-lainnya bolehlah dikatakan satu jemaah. Itu pun kadang-kadang mereka bergerak dalam jemaah yang berasingan, tiada hubungan khusus sesama mereka terutamanya kerana faktor geografi.


Tabligh misalnya ialah satu jemaah. Tidak kira di pelusuk dunia mana pun, mereka saling bersangkutan dan berqiblatkan kepimpinan maulana tertinggi jemaah Tabligh.


Dari keempat-empat nama itu, ana tidak mengikuti mana-mana satu pun secara terus. Secara umumnya ana menyokong jemaah Tabligh dan aliran-aliran tareqat yang benar, dan menolak fahaman Salafi Wahabi. ( Untuk memahami Salafi Wahabi yang ana tolak itu, anta boleh merujuk kepada tulisan ana di http://satuumat.blogspot.com/2009/11/definisi-wahabi.html dan mendengar kuliah ana tentangnya di http://www.youtube.com/watch?v=zc4mqt3q098 (ada 7 fail) Hal ini penting kerana ana tidak menolak “Salafi” ataupun “Wahabi” yang selain daripada itu ).

Wallahualam.


Abu Zulfiqar Amsyari

Wednesday, March 17, 2010

Kuliah Munyatul Musolli 31-34







1 Lelaki 50 Wanita (Kuliah Akhir Zaman)





Daripada Anas ra berkata:
Akan aku ceritakan kepada kamu sebuah hadis yang tidak ada orang lain yang akan menceritakannya setelah aku. Aku mendengar Rasulullah saw bersabda:
Di antara tanda kiamat ialah sedikit ilmu, banyak kejahilan, berlaku banyak perzinaan, ramai kaum perempuan dan sedikit kaum lelaki, sehingga nantinya seorang lelaki akan mengurus lima puluh orang perempuan.
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Keterangan

Nabi kita Muhammad saw menerangkan, bahawa di antara tanda hampirnya kiamat ialah sedikit ilmu agama, banyak kejahilan, banyak berlaku perzinaan, sedikit kaum lelaki dan ramai kaum perempuan.

Perangkaan penduduk dunia pada hari ini menunjukkan bahawa jumlah kaum perempuan adalah lebih ramai daripada jumlah kaum lelaki. Di sesetengah negara terdapat nisbah bagi bilangan setiap lelaki berbanding dengan sebelas wanita (1:11) dan kalau kita meneliti di merata tempat, kita akan dapat membuat kesimpulan bahawa perempuan adalah lebih banyak daripada lelaki.

Menurut Imam Ibnu Hajar sebab bilangan perempuan lebih ramai dari kaum lelaki adalah akibat dari peperangan yang berlaku, kerana yang banyak terbunuh dalam peperangan adalah kaum lelaki bukannya perempuan. Dan juga Allah SWT menghendaki kebanyakan yang lahir di dunia ini adalah perempuan dan sedikit sekali dari kalangan lelaki.

Syair Syeikh Fahmi Zamzam

Sedikit ilmu banyak yang jahil,
Akibat zina banyak yang hamil,
Banyak terjadi perkara ganjil,
Di sana sini besar dan kecil

Jumlah lelaki kian sedikit,
Wanita ramai berhimpit-himpit,
Wanita kerja mencari duit,
Peluang lelaki menjadi sempit.

Tuesday, March 9, 2010

Bahaya Arak dan Sekutunya (Kuliah Akhir Zaman)









Contoh kisah-kisah bahaya arak.
Kisah Barsisa (salah satu versi).
Ujikaji cacing dan arak (bukan kisah sebenar).
Apakah alasan-alasan orang hisap ganja?
Bagaimana keadaan orang kena ganja?
Ibnu Sina halalkan arak!
Imam al-Ghazali vs Ibnu Sina.
Orang-orang yg dirubah menjadi kera dan babi.
Bagaimana perangai kera dan babi yang diikuti manusia?
Apakah khamar-khamar moden?
Najiskah khamar?
Apa pengertian minuman keras?
Apa hukuman ke atas pemabok?
Mana lebih zalim - hukum rejam ataupun buang bayi?

Hukum Alat Muzik dan Nyanyian (Kuliah Akhir Zaman)







Saturday, March 6, 2010

Peminat Isu Salafi Wahabi

Kepada para peminat isu ini, saya kesuntukan masa untuk terus membahaskannya. Oleh itu dipersilakan menikmati dua buah kuliah lama saya tentangnya. Insyaallah pemahaman kita akan sedikit luas berbanding sebelumnya.

1. FITNAH DARI TIMUR MADINAH (NAJD)
http://www.youtube.com/watch?v=qb0rTNkvWs8

2. MENGENAL KAUM SALAFI WAHABI
http://www.youtube.com/watch?v=zc4mqt3q098

Dengar mengikut tertib. Mulakan dengan kuliah no.1 sebelum berpindah ke kuliah no.2. Ia berkesinambungan sebenarnya.
Itu daripada saya.


Seterusnya tuan-tuan boleh meneroka pula kuliah-kuliah lain yang sewaktu dengannya:

1. BONGKAR FAHAMAN WAHABI - Ustaz Mahfuz Muhammad
http://www.youtube.com/watch?v=UiGrGL715Jo

2. GERAKAN WAHABI- SEJARAH DAN IMPLIKASI - Ustaz Shahul Hamid
http://www.youtube.com/watch?v=MsLK_dJWBuY&feature=related

3. MAZHAB SALAFI WAHABI - Tuan Guru Hadi Awang
http://www.youtube.com/watch?v=hxibDPkSTOo&feature=related

Thursday, March 4, 2010

Port Dickson 2010

Pemandangan dari bilik di kondo PD Perdana. Harga berpatutan. Ada 'swimming pool' yang agak luas.
Teluk Kemang. Banyak aktiviti menarik di sini.
Muzium Tentera- patung bertopeng gas. Puas hati ke muzium ni.
Zaman Melaka- sangat menarik! Gerbang A Famosa pun ada kat dalam ni. Bahagian yang paling saya gemari.
Memandu kereta perisai untuk melenggek tentera Israel, biar penyet!
Banyak kereta perisai di sekitar muzium, juga kapal terbang dan helikopter.
Kalau bawa balik main 'time' bulan puasa 'best ni abi!
Motosikal klasik angkatan tentera.
Brooom broom... kepeh kepeh kepeh! Laa... awat bunyi lagu tu?
Mau rempit ka? Jom!
Terowong komunis- bilik pembedahan. Betul-betul masuk bawah tanah ni.
Bilik mesyuarat PKM dalam terowong.

Kuliah Munyatul Musolli 30

Anda mungkin meminati:

Related Posts with Thumbnails