Tuesday, April 21, 2020

Dah Makrifat Tak Perlu Solat? (1)


DAKWAAN : Kami tidak mengerjakan solat fardhu sebagaimana arus perdana kerana kami belum ma’rifah, belum kenal, belum mengenal Allah.
Kalau tak kenal Allah, takut2 nanti tersalah sembah.
Apabila dah tersalah sembah, kita akan menyekutukan/mensyirikkan Allah. Kita dah tersembah selain Allah.
Dah kenal/ma’rifat barulah boleh sembah.

PENCERAHANNYA :
Kita kena sedar dan faham :

1. Solat fardhu arus perdana itu bertaraf ARAHAN MESTI atau PERINTAH MESTI, bukannya pilihan. Ia sudah jadi PERATURAN/UNDANG2 lagi WAJIB. Bahkan FARDHU.
Maksudnya mesti dibuat.

2. Peraturan agama yang bertaraf FARDHU mesti kita laksanakan, tak kira kita sudah kenal (sudah ma’rifah) atau belum.

3. Kita TAHU adanya ketua JPJ dan ketua polis trafik negara kita, tapi kita TAK KENAL. Bolehkah (dibenarkankah, diterimakah) jika kita melanggar undang2 kenderaan dan undang2 jalan raya?

4. Kita pergi hospital, kena ambil nombor. Mengapa kita ikut arahan tu sedangkan kita tak kenal pun Pengarah Hospital tu? Kita cuma tahu, hospital tu tentu ada boss paling besar (pengarah). Boleh tak jika kita tak mahu ikut arahan tu (atas alasan kita tak kenal)? Apa akan jadi kalau kita tak mahu ikut?

5. Orang yang sengaja tidak mahu menunaikan solat fardhu arus perdana, diterimakah jika dia menggunakan hujah “belum kenal”? Oleh kerana ARAHANNYA BERTARAF WAJIB, maka kita kenal ke, tak kenal ke, mesti ikut peraturan. Mesti buat, tak boleh tinggal. Jika tak dibuat, yang belum kenal pun kena, yang dah kenal lagilah kena.

6. Contohnya kita hidup zaman dahulu. Kita tahu negeri kita tu ada raja, tapi kita tak kenal pun. Suatu hari kita diperintahkan oleh raja dengan perintah level WAJIB agar datang menghadap ke istana. Tiba2 kita engkar dengan alasan belum kenal raja. Diterimakah?

7. Rasulullah saw dan para sahabat dakwahkan kepada orang lain agar masuk Islam. Mereka ada disyaratkan kena kenal Allah dulu tak? Ada dia tahan tak bagi masuk lagi, kena tunggu ma’rifah dulu? Begitu jugalah, mereka ada suruh ma’rifah dulu ke baru suruh solat?

8. Islam ini bermaksud MENYERAH, TUNDUK, PATUH. Jadi, apabila seseorang itu masuk agama Islam, bererti dia setuju untuk berserah, tunduk dan patuh kepada Allah. Padahal majoriti orang yang nak masuk Islam ini belum ma’rifah, belum kenal Allah.

Oleh kerana mereka belum ma’rifatullah, mereka hendak berserah kepada siapa? Hendak tunduk kepada siapa? Hendak patuh kepada siapa? Kan mereka belum kenal?

Jika mereka masuk Islam juga, tidakkah nanti akan jadi tersalah tunduk, syirik, dan menyekutukan Allah?

Bukankah sepatutnya Nabi Muhammad saw tahan dulu mereka, jangan bagi masuk Islam lagi, tapi suruh mereka belajar ilmu mengenal Allah terlebih dahulu? Dan selepas dah kenal, barulah boleh masuk Islam.

Tapi mengapa Rasulullah terus Islamkan orang itu sekalipun orang itu belum mengenal Allah?
Kalau tidak, seronoklah orang-orang bukan Islam, kerana tuntutan memeluk agama Islam itu tak terkena pada diri mereka, disebabkan mereka belum mengenal.

Dan orang-orang yang sedia Islam pula bebas untuk keluar daripada Islam kerana mereka belum mengenal, maka takut tersalah tunduk.

Kata mereka contohnya : “Kami terpaksa keluar daripada Islam kerana kami belum kenal, takut tersalah tunduk dan berserah. Kami tak tunduk kepada yang kami belum kenal. Kami tak berserah kepada yang kami tak kenal. Nanti apabila kami dah mengenal, barulah kami masuk Islam semula.”

- Antara isi kandungan Pengajian KItab Ihya' Ulumuddin kali ke-49 untuk Surau Sg Kerang https://www.youtube.com/watch?v=TP91n5REhm8
. Lanjutannya dalam kuliah.

No comments: