Tuesday, April 9, 2019

Perbendaharaan Tersembunyi


PERSOALAN :

Assalamualaikum ustaz.
Saya ada kemusykilan untuk bertanya.

Hadis qudsi dalam kitab-kitab tasawuf antaranya Sirrul Asrar Syeikh Abd Qadir Jailani yang berbunyi seperti berikut :
“Aku adalah perbendaharaan yang tersembunyi. Aku cinta untuk dikenal, maka aku jadikan makhluq untuk dikenal.”

Minta ustaz ulas mengikut kacamata Imam Al-Ghazali. Kerana ada pihak yang mendakwa hadis ini mauduk.

Terima kasih.

(dan sambungnya lagi…)

Ini berkait ulasan Allah itu sunyi (kanzun maghfian). Minta ustaz ulas tafsir yang benar kerana akhir-akhir ini isu tafsiran hadis ini mengelirukan saya walaupun sebelum (ini) saya biasa dengar dan baca dalam kitab-kitab tasawuf.

Walaupun status hadis ini tidak dijumpai asalnya oleh ulama terkemudian dalam kitab-kitab tasawuf terkini oleh ulama yang mentahkik hadis ini, tetapi mereka menerimanya dengan meletakkan nota kecil :tidak dijumpai asalnya oleh pentahkik”. Jadi bermakna ulama tasawuf menerima hadis ini. Jadi saya minta ustaz terangkan maksud sebenar tafsir hadis ini. Jazakallah.


JAWAPANNYA :

Waalaikumussalam.

Karya-karya Imam Al-Ghazali ini banyak. Ada yang nipis, yang sederhana dan ada yang sangat tebal. Buat masa ini, saya tidak dapat mengenalpasti pada kitab yang mana dan pada bahagian mana ada Imam Al-Ghazali menghuraikan KALIMAH/HADITH QUDSI yang dimaksudkan itu. Jadi, tidak dapatlah saya menulis ulasan tentang kalimah tersebut daripada kaca mata Imam Al-Ghazali SECARA RASMINYA.

Dari sudut pandangan Tarekat Ghazaliyyah yang disampaikan turun-temurun, sefaham saya, kalimah tersebut tidaklah dijadikan sukatan pelajaran, tetapi sesiapa yang mahu mengambil manfaat daripadanya, dipersilakan. Hal ini kerana tanpa kalimah/ hadith qudsi itu pun, kita boleh saja mencapai MATLAMAT-MATLAMAT TERTINGGI dan TERJAUH dalam perjalanan keruhanian ini.

Sebagaimana yang kita sedia maklum, Imam Al-Ghazali SANGAT BERJIMAT lagi berzuhud dalam segala hal. Seboleh-bolehnya beliau akan mengambil “perkara-perkara yang MESTI ADA” sahaja dalam tarbiyyah perjalanan keruhanian. Bagi hal-hal yang “jika tidak ada pun, tidak akan membuatkan perjalanan keruhanian terganggu”, biasanya beliau tinggalkan. Mungkin atas dasar itulah kalimah tersebut tidak menjadi sukatan pelajaran penting dalam tarbiyyah keruhanian Tariqah Ghazaliyyah. WALLAHUA’LAM.

Tidak kita nafikan, banyak juga kitab tasawuf yang memuatkan kalimah/hadith qudsi tersebut.

Tentang karya-karya yang dinisbahkan kepada Syeikh Abdul Qadir Jilani, isi kandungannya bagus-bagus, cuma sefaham saya, para ulama dan para pengkaji sejak sekian lama sukar untuk MENCAPAI KESEPAKATAN sama ada sesuatu karya itu :
i)                    adalah 100% tulisan, kalam atau karya Syeikh Abdul Qadir Jilani sendiri, atau
ii)                   tulisan beliau yang bercampur dengan tulisan tulisan anak muridnya atau anak-anak muridnya (mungkin ada karyanya yang di sambung atau disiapkan sezaman atau  kemudian oleh anak murid  atau anak-anak muridnya), atau
iii)                 sebenarnya karya itu tulisan orang lain (anak murid/ anak-anak murid/ orang lain) tetapi dinisbahkan kepada nama beliau, atau
iv)                 memang kata-kata/kalam beliau tetapi disalin dan dibukukan oleh muridnya/ murid-muridnya dengan disemak terlebih dahulu oleh beliau, atau
v)                   memang kata-kata/kalam beliau tetapi disalin dan dibukukan oleh muridnya/ murid-muridnya tanpa disemak terlebih dahulu oleh beliau.
Namun oleh kerana isi kandungan kitab-kitab itu bagus-bagus, maka boleh sahaja kita ambil dan manfaatkan.

Tentang teks kalimah/hadith qudsi tersebut :
“Allah berfirman : “Aku ialah perbendaharaan yang tersembunyi. Aku suka untuk dikenal, lalu Aku ciptakan makhluk untuk mengenal-Ku.”

Setakat maklumat yang sampai kepada kami (berdasarkan kajian para ulama), kalimah ini bukanlah hadith atau hadith qudsi yang diterima oleh baginda Rasulullah saw.

HAMPIR SAMALAH halnya dengan kalimah “Awwal ad- diin ma’rifatulah (awal agama mengenal Allah)” dan kalimah “Sesiapa yang mengenal dirinya nescaya mengenal Tuhannya” yang dulu-dulu dipandang ramai sebagai hadith Nabi saw. Tetapi kemudiannya semakin ramai yang menyedari bahawa kedua-duanya bukan hadith Nabi saw. Boleh jadi ia kata-kata ulama atau ilham yang sampai kepada mereka. Tetapi oleh kerana isi kandungannya benar, maka kita ambillah manfaat daripadanya asalkan jangan diselewengkan maknanya. WALLAHUA’ALAM.

Sebagai langkah berjaga-jaga, tidak perlu kita sebut ia sebagai hadith, cukup jika kita katakan (sebagai contoh) :
“Dalam kitab-kitab ada disebutkan : “Awwaluddin ma’rifatullah” yang ertinya sekian-sekian...”
“Dalam kitab-kitab ada dinyatakan : “Sesiapa yang mengenal dirinya nescaya mengenal Tuhannya” yang maksudnya/huraiannya begini begini…”
… tanpa perlu kita kaitkan dengan hadith Rasulullah saw.
Isi pelajarannya tetap sampai juga ke matlamat.

Dalam isu kalimah/hadith Qudis tersebut, boleh sahaja kita katakan (sekadar satu contoh) : “Dalam kitab-kitab tasawuf ada dikatakan bahawa Allah itu perbendaharaan yang tersembunyi. Dia suka untuk dikenal. Dia menjadikan makhluk untuk mengenal Dia.”
Cara begini pun sudah memdai, dan kita terselamat daripada menisbahkannya kepada Allah dan Nabi Muhammad. Isi kandungan dan maqsud daripada kalimah itu tetap sampai juga.

Dalam Tariqah Ghazaliyyah, pemahaman tentang hadith-hadith qudsi (termasuklah yang seumpama dengan kalimah “Aku perbendaharaan tersembunyi……….” itu), disampaikan melalui pengajaran gabungan sekurang-kurangnya isi 4 buah kitab karya Imam Al-Ghazali iaitu Ar-Risalah al-Laduniyyah, Al-Munqiz min adh-Dhalal, Ayyuhal Walad dan Kitab Keajaiban Qalbu (dalam Kitab Ihya’ ‘Ulumuddin). Melalui tarbiyyah ini, insya-Allah fahamlah kita apakah hadith-hadith qudsi dan apakah sebenarnya kalimah “Aku ialah perbendaharaan tersemunyi…….” itu. Hal ini sangat panjang untuk ditulis atau diperkatakan, dan RUMIT pula untuk dihuraikan. Maka tidaklah kami huraikan di sini. Dalam tariqah-tariqah lain, mungkin ada kaedah-kaedah yang tersendiri untuk menyampaikan para pengamalnya kepada hal tersebut. Wallahua’lam.

Tentang “kanzun mahfiyyan”, maksudnya ialah perbendahraan yang tersembunyi. Perbendaharaan ialah khazanah atau yang sangat bernilai. Jadi, jika mahu dikatakan bahawa Allah sebagai “perbendaharaan yang tersembunyi”, ada kebenarannya, asalkan betul huraiannya dan jangan kita kaitkan dengan sesuatu yang tidak layak bagi Allah.

Sebagai “perbendaharaan tersembunyi”, hal itu sama sekali tidak menunjukkan :
-          Allah kesunyian, atau
-          Zat Allah itu sunyi, atau
-          Allah itu sunyi, atau
-          pada azali itu sunyi. atau
-          untuk hilangkan sunyi, maka Allah ciptakan makhluk
-          atau yang seumpama dan yang sehampir dengannya.

Hal ini kerana :
-          pada azali tidak ada sunyi atau tidak sunyi. Sunyi dan tidak sunyi itu adalah makhluk yang diciptakan kemudian daripada azali oleh Allah.
-          Zat Allah tidak terkena sunyi.
-          sifat sunyi adalah kelemahan, mustahil Allah atau Zat Allah punya kelemahan.
-          Allah atau Zat Allah sudah sedia sempurna pada azali. Sesuatu yang sudah sedia sempurna, mana mungkin punya sebarang kelemahan atau kekurangan. Maka mustahil Allah sunyi.

Berbalik kepada cara Imam Al-Ghazali yang menekankan jimat dan zuhud pada perkataan dan penyampaian tarbiyyah keruhanian, rasanya tidak ada keperluan pun untuk kita bercerita tentang sunyi dalam hal ehwal berkaitan dengan Allah ini.
Perlukah sebut Allah sunyi atau kaitkan Allah dengan sunyi? Tak perlu pun.
Apakah jika tidak dikaitkan sunyi itu maka kita tak boleh mencapai maqam-maqam tertinggi, tidak mencapai maqsidul aqsa atau maqsadul asna? Boleh sahaja sampai.

Jadi, tak perlu kita wujudkan perkara-perkara yang tidak perlu. Sebut hal-hal yang perlu sahaja kerana ada zuhud di situ. Tidak perlu untuk mewujudkan satu kelainan yang tidak perlu. Guna sahaja istilah-istilah yang sudah sedia diguna oleh para ulama muktabar.

Tentang “Aku (Allah) suka untuk dikenal”. Ya, ada benarnya juga tetapi jangan kita anggap hal itu satu kelemahan. Allah mewujudkan makhluk atas kemurahan-Nya, bukan kerana Dia ada sesuatu kekurangan termasuklah kerana Dia belum dikenal atau Dia tidak dikenal sehingga memerlukan sesuatu untuk mengenal Dia.

Allah sudah sedia sempurna. Pada azali dulu, sebelum adanya makhluk, Dia sudah sedia mengenal diriNya. Tidak perlu kepada selain Dia untuk mengenal Dia. Ketiak itu, yang menegnal hanya Dia.

Selepas Dia ciptakan makhluk, pada HAKIKATNYA(dan bukan pada syariatnya) , hanya Dia juga yang mengenal DiriNya. Tidak ada selain Dia yang ada kuasa upaya untuk mengenal. Pada HAKIKATNYA, makhluk langsung tidak ada sebarang daya upaya untuk mengenal. Hanya Allah sahaja yang mampu mengenal.

Jadi, pada azali dulu, Allah yang mengenal DiriNya.
Selepas azali pun, hanya Allah juga yang mengenal DiriNya.
Sama sahaja, tidak ada sebarang perbezaan, pada HAKIKATNYA.

Oleh itu, “Aku suka untuk dikenal” itu tidak terlibat dengan sunyi, sama ada pada azali, mahupun selepas azali. Hal ini kerana pada azali dan selepas azali, tidak berlaku sebarang perubahan pun. Allah tidak perlukan makhluk untuk tidak sunyi, atau untuk dikenal.

Tentang “Maka aku jadikan makhluk untuk Aku dikenal.” Ketika menghuraikan kalimah ini, kita kenalah sangat berhati-hati agar jangan sampai diri dan orang lain teranggap Allah perlukan sesuatu untuk Dia dikenal, yang menatijahkan seolah-olah Dia punya kekurangan. Sebagaimana yang sudah dijelaskan tadi, Allah tidak perlukan apa-apa untuk Dia dikenal kerana sejak azali Dia sudah sedia mengenal DiriNya dan selepas azali pun hanya Dia juga yang mengenal Diri-Nya. Sama sahaja, tiada beza, pada hakikatnya.

Cadangan saya, dalam perjalanan keruhanian ini, tidak perlu pun untuk menggunakan “Dalam sebuah hadith qudsi, Allah berfirman : “Aku ialah perbendaharaan yang tersembunyi. Aku suka untuk dikenal, lalu Aku ciptakan makhluk untuk mengenal-Ku.”

Hal inia adalah begitu kerana :
1.       Kita khuatir tersilap menisbahkan kata-kata ini. Boleh jadi ia bukan hadis kepada Nabi saw tetapi kita kata ia hadis Nabi saw. Boleh jadi ia memang hadis kepada Nabi saw tetapi kita kata bukan. Untuk LEBIH SELAMAT, tak perlu gunakanlah rangkaian kata-kata di aats tadi.
2.       Tanpa menggunakan kalimah itu pun, tak mengganggu sebarang pelajaran dan pencapaian kita ke peringkat-peringkat yang tertinggi. Lainlah kalau tidak menggunakannya maka kita akan tersangkut di mana-mana.
3.       Dalam tarbiyyah tasawuf dan keruhanian pun kena ada zuhud, sebagaimana cara Imam Al-Ghazali. Hal-hal yang tidak perlu, mengapa kita jadikan ia keperluan? Lainlah kalau ia memang perlu, mesti ada, atau tak boleh tidak kena ditarbiyyahkan juga. Pelik pula jadinya jika kita menambah-nambah yang bukan keperluan asas dalam perjalanan keruhanian ini. Kita jadikan ia sebagai penambahan atau pengkayaan sahaja bagi mereka yang mahu, tetapi bukan sebagai barang perlu/mesti untuk semua. Kita khuatir jika pada masa-masa akan datang, mungkin ada pula orang yang kan menyebut Allah sepi, Allah kekosongan, Allah bosan, dan sebagainya.
4.       Cara begini juga dapat MENGELUARKAN kita daripada pertelingkahan terhadap kalimah tersebut.

Pada pandangan saya, apabila para ulama terus menulis hadis ini dengan meletakkan nota kaki : “Tidak ditemui asalnya oleh pentahkik”, bukan bermaksud mereka MENERIMA ATAU MENGESAHKAN ia sebagai HADITH KEPADA NABI MUHAMMAD SAW, tetapi mereka menerima erti kata-katanya (ISI KANDUNGANNYA) sama ada benar ia hadis Nabi saw ataupun bukan. Hal ini kerana isi kandungan kalimah itu jika dihuraikan dnegan cara yang benar, tetap ada manfatnya juga sebagai penambahan atau pengkayaan kepada kita. Yang kita khuatir adalah jika ia dihuraikan bukan dengan jalan yang sepatutnya.

Tentang kalimah itu dikatakan sebagai hadith mauduk/palsu, sebagai langkah berhati-hati, kita ikut sahaja kaedah para ulama iaitu dengan mengatakan : “Tidak ditemui/diketahui asalnya.”

Wallahu’alam.

Begitulah pandangan saya yang faqir.

9 April 2019

No comments: