Monday, November 2, 2020

Datang dan Pergi dalam Jemaah Tarekat

Ada seorang sahabat sahaya yang juga orang kanan dalam sebuah tarekat. Tarekatnya ada di dalam dan di luar negara. Di negara ini, dialah orang kanan tarekat tersebut.


Dia ada menzahirkan kegusaran kerana memanglah tarekatnya sentiasa ada pertambahan ikhwan baharu tetapi dari semasa ke semasa ada sahaja ikhwan yang meninggalkan tarekat mereka, sama ada secara terang2an mahupun secara diam2. Dia pun bertanya sama ada Tarekat Ghazaliyah juga ada menghadapi masalah sebegini. Jika ada, apa kaedah yang digunakan untuk menanganinya?


Jawab sahaya, dalam Tarekat Ghazaliyah tidak ada masalah sebegitu. Bukan kerana hal itu tidak berlaku, tetapi kerana sudah menjadi tradisi dalam Tarekat Ghazaliyah ini bahawa :


1. Tarekat Ghazaliyah ini adalah untuk semua dan lebih bersifat umum. Orang lain termasuklah pengamal tarekat lain boleh sahaja jika mahu mengamalkan Tarekat Ghazaliyah ini, dan ikhwan Tarekat Ghazaliyah juga boleh sahaja jika mahu mempelajari dan mengamalkan tarekat2 lain. Ringkasnya, masyarakat bebas untuk datang dan pergi.


2. Tarekat Ghazaliyah tidak bermatlamat untuk meramaikan pengikut atau ahli. (Untuk mengikat pengikut, jauh sekali). Isi pelajarannya diturunkan kepada masyarakat secara begitu sahaja. Ringkasnya hampir2 tidak ada mana2 ikhwan Tarekat Ghazaliyah yang mengajak orang lain untuk mengambil tarekat ini. Bagi yang datang, itu adalah atas keterbukaan hati mereka sendiri. Diri mereka sendiri yang mengajak mereka untuk bertarekat Ghazaliyah.


3. Pengijazahan dan bai’ah secara rasmi tidak jadi kemestian dalam tarekat ini, walaupun hal itu sangatlah bagus jika dapat dilakukan. Semua ilmu yang disampaikan memang sudah diniatkan awal2 sebagai diijazahkan.


4. Tarekat Ghazaliyah (dan Tarekat Junaidiyah juga) ini umumnya masih kekal dalam bentuk asalnya sejak zaman Imam Al-Ghazali iaitu sebagai “jalan”, dan KURANG bersifat organisasi. Jadi dari SATU SUDUT, sebenarnya bolehlah dikatakan bahawa kurang sesuai istilah ahli atau anggota. Yang lebih sesuai adalah istilah pengamal.


Ringkasnya, Tarekat Ghazaliyah ini tidak berasa bertambah jika ramai yang datang dan tidak pula berasa kurang jika ramai yang pergi. Ramai pun tidak bertambah suka, berkurang pun tidak bertambah duka. Umumnya begitulah. Sebab itulah dikatakan bahawa masalah yang diutarakan itu tidak ada dalam Tarekat Ghazaliyah. Jadi, dari segi pengalaman, tak adalah kaedah yang dapat dikongsi dan disyorkan.


Cuma dari segi sekadar pandangan peribadi, kita boleh usahakan :

1. Dari segi syariatnya - pohonlah kepada Allah tentang hajat kita dalam hal ini.

2. Dari segi syariatnya - Tekankan adab terutamanya adab keluar masuk sesuatu tarekat itu sedari awal.

3. Dari segi syariatnya, kita jangan ada sebarang kepentingan peribadi terhadap mana-mana ikhwan tarekat kita. Dengan itu, hati kita akan berasa banyak lapang.

4. Dan dari segi hakikatnya, pandanglah bahawa segala yang berlaku itu adalah atas kerja-Nya Allah SWT. Dengan itu, hati akan lebih tenteram.


Wallahu’alam.


Abu Zulfiqar Al-Amsyari

1 November 2020

No comments: