Mengapa ilmu-ilmu agama ini sangat penting?
Allah swt berfirman : “Katakanlah : Adakah sama antara orang-orang
yang berilmu dan orang-orang yang tidak berilmu?” (Fathir : 28)
Tentulah tidak sama, baik di dunia mahupun di akhirat.
Pada ayat yang lain ada dinyatakan : “Contoh-contoh itu kami buat
untuk manusia dan tidak ada yang mengerti (tahu, faham, menghayati) melainkan
orang-orang yang berilmu.” (Al-’Ankabut : 43)
Rasulullah saw bersabda : “Sesiapa yang dikehendaki oleh Allah untuk
memperoleh kebaikan nescaya dianugerahi-Nya pemahaman dalam agama dan
diilhami-Nya petunjuk.” (Bukhari, Muslim)
Nabi saw bersabda : “Orang berilmu (ulama) itu pewaris para nabi.”
(Abu Daud, Turmizi)
Sudah kita maklumi bahawa tidak ada pangkat yang lebih atas daripada
pangkat kenabian dan tidak ada kemuliaan yang lebih atas daripada kemuliaan
mewarisi pangkat tersebut.
Nabi saw bersabda : “Kelebihan orang ‘alim (berilmu) berbanding orang
‘abid (banyak beribadah) adalah seperti kelebihan aku berbanding orang yang
paling rendah dalam kalangan para sahabatku.” (Turmizi)
Nabi saw bersabda : “Kelebihan orang ‘alim berbanding orang ‘abid
adalah seperti kelebihan bulan pada malam purnama berbanding bintang-bintang
lain.” (Abu Daud, Turmizi)
Saiyidina Ali bin Abi Talib ra berkata kepada Kumail : “Wahai Kumail!
Ilmu adalah lebih baik daripada harta. (Hal ini kerana) Ilmu menjaga engkau
sedangkan harta dijaga oleh engkau. Ilmu itu penghukum sedangkan harta itu
terhukum. Harta berkurang apabila dibelanjakan sedangkan ilmu itu bertambah
apabila dibelanjakan.”
Kata Ibnu Abbas ra : “(Nabi) Sulaiman bin Daud disuruh memilih antara
ilmu, harta dan kerajaan. Dia memilih ilmu lalu dianugerahkan kepadanya harta
dan kerajaan bersama-sama ilmu itu.”
Fathul Mausuli bertanya : Bukankah orang yang sakit itu apabila tidak
mahu makan dan minum akan mati?”
Orang di sekelilingnya menjawab : “Benar.”
Lalu sambung Fathul Mausuli : “Begitu jugalah dengan hati. Apabila (hati
itu) tidak mahu mahu kepada hikmah dan ilmu dalam masa tiga hari, maka matilah
hati itu.”
Memang benar kata-kata ini kerana sesungguhnya makanan hati itu ialah
ilmu dan hikmah. Dengan dua hal inilah hati dapat hidup sebagaimana tubuh badan
itu hidup dengan makanan.
Orang yang tidak berilmu, hatinya akan sakit dan kematian hatinya itu
adalah suatu kemestian. Namun dia tidak menyedari hal itu kerana kecintaan dan
kesibukannya dengan dunia menghilangkan perasaan itu, sebagaimana ketakutan
yang kuat kadang-kadang menghilangkan kepedihan luka (yang sedang dialami) buat
seketika walaupun luka itu masih ada.
Apabila mati itu telah menghilangkan kesibukan duniawi, barulah dia
berasa rugi besar sedangkan ketika itu sudah tidak bermanafaat lagi baginya.
Keadaan tersebut samalah seperti yang dirasakan oleh orang yang telah aman
daripada ketakutan atau telah sembuh mabuknya dengan luka-luka yang
diperolehinya sewaktu sedang mabuk atau ketakutan.
Berkata Al-Hasan : “Ditimbang tinta para ulama dan darah parah syuhada’,
maka beratlah timbangan tinta para ulama berbading darah para syuhada’.”
Kata Ibnu Mas’ud ra : “Engkau mestilah berilmu sebelum ilmu itu
diangkat. Diangkatnya ilmu adalah dengan kematian para perawinya. Demi Tuhan
yang jiwaku dalam kekuasaan-Nya, sesungguhnya orang-orang yang syahi dalam
perang sabil lebih suka dibangkitkan oleh Allah nanti sebagai ulama kerana
melihat kemuliaan ulama itu.”
Kata Ibnu Abbas ra : “Bertukar-tukar fikiran tentang ilmu pada
sebahagian malam adalah lebih aku sukai daripada melakukan ibadah pada malam
itu.” Begitu juga menurut Abu Hurairah ra dan Ahmad bin Hanbal.
Al-Hasan mentafsirkan firman Allah Taala : “Rabb kami, berikanlah
kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat.” (Al-Baqarah : 201)
bahawa kebaikan di dunia itu ialah ilmu dan ibadah, sedangkan kebaikan di
akhirat ialah jannah.
Kata Az-Zuhri : “Ilmu itu jantan dan tidak mencintainya selain lelaki
yang jantan.”
No comments:
Post a Comment