Setelah kehilangan 4 laman FB, beberapa email dan blog, sahaya pun memohon gerak daripada Allah untuk langkah seterusnya. Kami tidak bercadang untuk buat semula 4 laman FB kerana tidak mampu untuk luangkan banyak masa, tenaga, idea dan untuk bermula dari awal. Masuk hari ketiga tanpa sampai2 gerak yang dimaqsudkan, kami pun terfikir untuk buat satu sahaja laman FB sekadar mini pengganti kepada 4 laman FB tadi dan sebagai tapak untuk kegunaan pada masa2 akan datang sekiranya ada keperluan iaitu laman FB Pak Long Abu. Dapat sehari satu posting pun jadilah.
Tapi beberapa hari kemudian, laman FB ini jadi aktif. Banyak pula bahan diposkan. Maka seorang sahabat pun bertanya kerana dilihatnya ada banyak posting setiap hari. Hendak diaktifkankah laman tersebut sebagaimana laman2 sebelum ini? Bagaimana boleh berlaku perubahan rancangan? Ada sesuatu yang terjadikah?
Sebenarnya gerak yang diharap2kan daripada Allah itu tiba pada hari keempat. Diutus-Nya seekor burung tempua yang kecil molek sahaja.
Suatu ketika, tiba2 sahaja ada daun2 kering bergumpal panjang tersangkut pada wayar lampu kelip2 (lip-lap). Isteri sahaya ingatkan sampah lalu ditariknya separuh. Selepas itu barulah kami terperasan bahawa ada seekor burung yang mungkin sejenis burung tempua (sahaya tak banyak ilmu tentang spesis2 burung) yang berulang-alik membawa helaian2 rumput kering dan menganyam sarangnya. Kasihannya...
Walaupun asas sarangnya sudah hilang separuh, tapi ia tidak berputus asa untuk menyiapkannya. Kami anak-beranak selalu melihat telatah si burung dari sebalik cermin tingkap (ia tidak nampak kami di dalam). Punyalah rajin pergi mari berseorang diri membuat rumah. Sekali ia datang dibawanya sehelai dua rumput atau dedaun kering yang kecil sahaja. Apalah sangat dan bilalah nak siapnya? Tapi ia tidak letih dan tidak jemu2. Mungkinlah dalam sehari itu ratusan kali ia pergi balik. Sudahlah badannya kecil dan ringan. Bahan2 yang boleh dibawanya pun kecil dan ringan sahaja. Boleh ke siap? Allah izinkan siap dalam masa lebih kurang 3 hari.
Memanglah selalu juga tempua bersarang rendah sampaikan peribahasa pun ada merakamkannya, tetapi sarang yang ini betul2 rendah. Wayar lampu lip-lap itu melendur dan lebih kurang setinggi kepala sahaya sahaja. Maka sarangnya yang memanjang ke bawah itu memang boleh dicapai walau oleh kanak2. Lubang sarangnya betul2 separas mata sahaya. Boleh nampak ruang dalamnya. Kedudukannya pula betul2 di sebelah tempat kami meletak kereta. Jika sahaya keluar dari kereta dan terus berdiri lurus, sarang itu betul2 di depan mata. Sekiranya ada kucing yang duduk atas bumung kereta, dengan sekali lompat akan dapatlah sarang tersebut.
Pada waktu siang, sesekali ia akan berehat dalam sarangnya. Seronok melihat ia (dan sarangnya) terbuai2 ke kiri ke kanan ditiup angin kuat. Melayang-layang. Tapi memang tempua suka berbuai sebegitu.
Pada waktu malam pul, burung itu akan tidur di dalam sarangnya dan hanya mukanya sahaja yang terkeluar melalui lubang pada sarangnya itu. Lubang itu besar lebih sedikit sahaja daripada mukanya. Comel sahaja rupanya. Seolah2 dia meletakkan dagunya di pinggir lubang.
Jadi, semangat si burung tempua inilah yang mendatangkan ilham kepada kami untuk mengaktifkan laman FB yang baharu ini. Ia bermula dari kosong, walau runtuh separuh tapi tetap diteruskannya, gigih, istiqamah, tak jemu2, ia enjoy kerja2nya, yakin dan berani walaupun risiko semua dekat2 sahaja, kuat tawakalnya dan tidak kisah walau sarangnya kecil sahaja berbanding sarang2 tempua yang lain. Sebab itulah mula ada banyak posting di FB baharu pada setiap hari. Wallahua'lam.
*Gambar - proses pertengahan, waktu ini lubangnya baru nak siap.
20/5/23
No comments:
Post a Comment