Saturday, February 24, 2018

Bual2 Asal Tasawuf

Pada suatu hari saya (AZA) menulis di laman Facebook :
Tasawuf perkahwinan ini... bukan suami sahaja yang kena ada ilmu, ada faham dan ada amal. Isteri pun kena ada juga. Barulah cantik PENGURUSAN QALBU PERKAHWINAN. Oleh itu, menonton / mendengar syarahan Kitab Perkahwinan (daripada kitab Ihya' 'Ulumuddin) ini, “promote”2lah sama kepada pasangan. Dapat ajak dengar / tonton sekali, lagi bagus. Insya-Allah banyak manfaatnya.”

Kemudian seorang hamba Allah yang menggunakan nama MBA menulis komen sebagaimana berikut :


MBA : Pernahkah nabi belajar tasawuf?
AZA : Jawapannya sama dengan jawapan kepada soalan : "Pernahkah Nabi belajar fiqh?" (*Hal ini kerana fiqh, aqidah dan tasawuf itu datangnya serentak)

MBA : Apa maksud fiqh dan tasawuf?
AZA : Jawapan lengkapnya ada dalam syarahan Kitab Ilmu daripada kitab Ihya' 'Ulumuddin yang saya syarahkan. Juga dalam kitab selepas itu iaitu Kitab Aqidah daripada kitab Ihya' juga. Boleh ikuti bermula dari sini https://www.youtube.com/watch?v=KLz2_dJuppo... . Tak perlu sampai syarahan Kitab Cinta Allah dan seterusnya.

MBA : Pada abad berapakah tasawuf bermula?

MBA : Apakah tasawuf ajaran Nabi? Kerana tauhid itu dan fiqh bermulanya dari nabi.
AZA : Ya, ketiga-tiganya daripada ajaran Nabi saw. Datangnya serentak.

MBA : Apakah kesemua penganut Islam perlu belajar tasawuf?
AZA : Sama jawapannya dengan persoalan : "Apakah kesemua penganut Islam perlu belajar tauhid dan fiqh?" Jadi saya pula tanyakan kepada tuan : "Apakah kesemua penganut Islam perlu belajar tauhid dan fiqh?"

MBA : Tuan memahami dan mengamalkan tasawuf berbanding saya, sebab itu harus saya bertanya sebarang kemusykilan, kerana tasawuf sahaja pengertian dari bahasa sudah lain. Islam, tauhid, dan fiqh itu wajib pada Islam.
AZA : Kalau begitu, jawapannya sama juga. Tauhid, fiqh, dan tasawuf itu wajib pada Islam.

MBA : Ada dalam firman kah tasawuf? Apakah tujuan utama tasawuf? Kerana tujuan tauhid itu mengEsakan yang satu dan fiqh tu hukun syara’ dan luas dalam ibadah mahupun muamalat
AZA : Boleh rujuk hadis di mana Malaikat Jibril datang mengajar Rasulullah saw tentang Islam, iman dan ihsan. Ketiga-tiganya datang serentak pada masa yang sama, tidak boleh dipisahkan. Ibarat 3 kaki tungku dapur, mesti ada ketiga-tiganya tanpa boleh ditolak walau satu kerana periuk keagamaan kita akan terbalik jatuh. Islam dalam hadis itu kemudiannya dibangsakan oleh para ulama sebagai fiqh atau fekah, iman dalam hadis itu dibangsakan sebagai tauhid atau aqidah, manakala ihsan pada hadis yang sama juga dibangsakan sebagai tasawuf.

Tujuan tauhid ialah untuk mengenal dengan betul dan tepat siapakah yang kita sembah, tujuan fiqh pula ialah untuk tahu dan faham cara-cara berabdi/beribadah kepada Yang Disembah, manakala tujuan tasawuf pula ialah untuk mencantikkan atau mengkualitikan tauhid dan fiqh kita itu.

Contohnya dalam ibadah solat, tauhid itu kita solat menyembah Allah sahaja, (dan) bukan yang lain, Fiqh itu ialah amalan gerak tubuh badan dan bacaan, manakala tasawuf dalam solat ialah amalan qalbu atau amalan hati seperti sekuat mana khusyuknya, tawadhuknya, rasa kehambaannya, cinta akan Allahnya dan sebagainya.

Ketiga2nya mustahil terpisah.

AZA : Ihsan tu terpisah dari tasawuf kerana tasawuf itu ada beberapa bahagian, manakala ihsan hanya satu. Contoh, syariat,tariqat,hakikat dan makrifat. (*Ini posting pertamanya)

Dan dari syariat, tariqat, hakikat, makrifat ada pula bahagiannya sehingga ia kadang kala tidak boleh diterima akal. Contoh : Al hulul dan wihdatul wujud iaitu menitisnya Allah ke dalam mahkluknya dan bersatunya wujud Allah dengan wujud mahkluk. Ini mustahil kerana Allah Maha Suci. (*Ini pula posting keduanya)

AZA : Kata tuan tadi mahu bertanya kemusykilan. Tetapi sesekali nampaknya seperti hendak mengajar ilmu pula kerana tuan tulis pernyataan-pernyataan. Tak mengapalah. Bahagian ini pun sebenarnya mudah juga penjelasan ringkasnya.

(*Saya menjawab posting pertama) Tauhid itu nama besarnya tetapi di dalamnya (yakni isi kandungannya) ada beriman kepada Allah, ada pula beriman kepada malaikat, ada pula beriman kepada Al Quran dan sebagainya. Maksudnya semua itu adalah isi kandungan tauhid, bukannya terpisah. Ihsan/tasawuf pun begitu juga. Di dalamnya ada syariat, ada tariqat, hakikat, makrifat, ada mahabbah, dan sebagainya lagi. Itu semua adalah isi kandungannya, bukannya terpisah. (*Sebelum sempat saya menjawab posting kedua Tuan MBA sudah mengakhiri perbualan dengan kata-kata berikut).

MBA : JazakAllahu khair ustaz, minta maaf. Hanya kemusykilan. Imam Al Ghazali lumayan tasawufnya.


AZA : (*Jadi, saya pun tidaklah berpanjang-panjang untuk menjawab posting keduanya) Baik tuan. Sama-sama kita.


Abu Zulfiqar Al-Amsyari
Februari 2018