Thursday, September 24, 2020

Rasululah Kami Rindu 2

 

ADAB DAN AKHLAK NABI SAW TERHADAP MAKAN MINUM

 

Ka’ab bin Malik berkata : “Rasulullah SAW makan menggunakan tiga jari baginda. Selepas makan, baginda menjilat ketiga-tiganya.” (Muslim, Turmizi, Abu Dawud, Ahmad)

 

Ibnu Abbas ra berkata : “Rasulullah SAW dan keluarganya pernah menahan lapar selama beberapa malam berturut-turut kerana tidak ada makanan. Sebahagian besar roti yang mereka makan ialah roti gandum.” (Turmizi, Ibnu Majah, Ahmad)

 

Anas bin Malik ra berkata : “Rasulullah SAW seorang yang menyukai buah labu. Maka setiap kali dihidangkan makanan atau diundang ke jamuan makan, aku selalu mengikuti dan menghidangkan buah labu di hadapan baginda kerana aku tahu yang baginda menyukainya.” (Ahmad, Ad-Darimi, An-Nasa’i, Abu Dawud)

 

Anas bin Malik meriwayatkan : “Seorang penjahit mengundang Rasulullah SAW dalam jamuan makan yang hidangannya dibuatnya sendiri. Aku pergi menemani Rasulullah SAW ke undangan itu. Kepada Rasulullah saw, tuan rumah menghidangkan roti yang dibuat daripada gandum serta kuah yang berisi labu dan daging. Aku melihat baginda mencari-cari labu di dalam mangkuk. Maka sejak itu aku menyukai labu.” (Bukhari, Muslim, Turmizi, Abu Dawud, Ad-Darami)

 

Abu Hurairah ra meriwayatkan : “Rasulullah SAW pernah dihidangkan daging. Bahagian kaki diberikan kepada baginda. Rasulullah saw menyukainya, maka baginda menggigit daging itu.” (Bukhari, Muslim, Ahmad, Turmizi)

 

Jabir bin Abdullah meriwayatkan : “ Rasulullah SAW pernah datang ke rumah kami. Kami pun menyembelih seekor domba untuk baginda. Ketika itu Rasulullah saw berkata : “Seakan-akan mereka tahu bahawa kami suka (makan) daging.” (Turmizi, Ahmad, Ad-Darami)

 

Ibnu Abbas ra meriwayatkan : “Rasulullah SAW pernah minum air zamzam dengan berdiri.” (Bukhari, Muslim dll)

 

Abdullah bin Amr bin Ash ra menceritakan : “Kadang-kadang aku melihat Rasululah minum sambil berdiri dan kadang-kadang sambil duduk.” (Turmizi, Ahmad)

 

Aisyah meriwayatkan : “Kami sekeluarga pernah tidak menyalakan api (tidak memasak) selama sebulan penuh. Kami hanya makan kurma dan air.” (Ahmad, Turmizi, Ibnu Hibban)

 

ADAB DAN AKHLAK NABI SAW TERHADAP PAKAIAN DAN PERHIASAN

 

Qatadah meriwayatkan : “Aku bertanya kepada Anas bin Malik : “Bagaimanakah bentuk sandal Rasulullah saw?” Anas bin Malik menjawab : “Sepasang sandalnya menggunakan dua buah qibal (dua tempat untuk disepit dengan anak-anak jari).” (Bukhari, Turmizi, Abu Dawud, Ibnu Majah, Ahmad)

 

Aisyah ra meriwayatkan : “Sedapat mungkin Rasulullah SAW mendahulukan anggota badan yang kanan ketika menyikat rambut, memakai sandal dan ketika bersuci.” (Bukhari, Muslim, Turmizi, Abu Dawud, An-Nasa’i, Ahmad)

 

Anas bin Malik meriwayatkan : “Ketika Rasulullah SAW hendak mengirim surat ke negara asing, baginda mendapat maklumat bahawa negara asing tidak akan menerima surat yang tidak bercap. Baginda pun menitahkan untuk dibuatkan cincin. Maka aku seakan-akan melihat warna putih cincin itu pada telapak tangan baginda.” (Bukhari, Muslim, Turmizi, Abu Dawud)

 

Ibnu Umar meriwayatkan : “Rasulullah SAW membuat cincin daripada perak. Ketika baginda memakainya, baginda selalu menghadapkan mata cincin itu ke telapak tangannya. Cincin itu bertuliskan “Muhammad Rasulullah”. Baginda tidak membenarkan seorang pun menambah tulisan pada cincin itu. Cincin itulah yang jatuh ke sumur Aris.” (Bukhari, Muslim, Turmizi, Abu Dawud, An-Nasa’i, Ibnu Majah)

 

Daripada Anas dan Ibnu Umar kedua-duanya menceritakan: “Adalah Nabi saw memakai cincin di tangan kirinya.” (Imam Muslim, Abu Daud)

 

Anas bin Malik menceritakan; “Adalah Nabi saw memakai cincinnya di jari ini (lalu ditunjukkan pada jari kelingking di tangan kirinya).” (Muslim)

 

Said bin Yazid ra meriwayatkan : “Pada Perang Uhud, Rasulullah saw memakai dua rangkap baju besi.” (Turmizi, Abu Dawud, Ibnu Majah, Ahmad)

 

Jabir ra meriwayatkan : “Pada peristiwa Fathul Makkah, Rasulullah saw masuk ke kota Makkah dengan mengenakan serban hitam di kepala baginda.” (Muslim, Turmizi, Abu Dawud, An-Nasa’i, Ad-Darimi, Ahmad)

 

Amr bin Harits ra menceritakan : “Aku melihat Rasulullah saw memakai serban hitam di kepalanya.” (Turmizi, Ibnu Majah)

 

Amr bin Harits ra berkata : “Sungguh, Rasulullah SAW pernah berkhutbah di hadapan orang ramai dengan memakai serban hitam di kepalanya.” (Muslim, Turmizi, Abu Dawud, An-Nasa’I, Ibnu Majah, Ahmad)

 

Ibnu Abbas ra mengatakan : “Sungguh, Rasulullah SAW pernah berkhutbah di hadapan orang ramai dengan memakai serban hitam di kepalanya.” (Turmizi, Ahmad)

 

Huzaifah al-Yaman meriwayatkan : “Sabda Rasulullah SAW : “Inilah batas engkau memakai kain sarungmu. Jika engkau enggan, janganlah sampai sarung itu menutup kedua-dua mata kakimu.” (Turmizi, Ibnu Majah, An-Nasa’i, Ahmad)

 

 

- Dihuraikan daripada kitab induk Ihya' 'Ulumuddin karya Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali oleh Abu Zulfiqar Al-Amsyari dalam Hidangan Berwangian Cinta untuk Orang2 di Taman Cahaya

 

Rasulullah Kami Rindu 1

RUPA DAN KEJADIAN NABI SAW

 

Anas bin Malik ra berkata: “Rasulullah seorang yang mempunyai tubuh yang sedang (sederhana), tidak tinggi dan tidak rendah, bentuk tubuhnya bagus. Rambutnya tidak keriting dan tidak lurus. Warna kulitnya putih kemerah-merahanan.” (Bukhari, Turmizi)

 

Anas bin Malik meriwayatkan : “Keadaan tubuh Nabi saw tidak terlalu tinggi dan tidak rendah. Kulitnya tidak terlalu putih dan tidak gelap. Rambutnya tidak terlalu keriting dan tidak lurus betul.” (Bukhari, Muslim, Turmizi, Ahmad, Malik)

 

Al-Bara’ ibn Azib ra meriwayatkan : “Rambut baginda lebat, hujungnya menyentuh daun telinga bahagian bawah. Baginda ada baju berwarna merah. Aku belum pernah melihat seorang yang lebih tampan daripada baginda (dengan berbaju merah itu).” (Turmizi, Bukhari, Muslim, Abu Dawud, Ibn Majah, Ahmad)

 

Al-Bara’ ibn Azib ra meriwayatkan : “Aku belum pernah melihat seseorang yang hujung rambutnya menyentuh bahagian bawah telinganya serta memakai baju berwarna merah yang lebih gagah daripada Rasulullah SAW.” (Muslim, Turmizi, Abu Dawud).

Bara’ bin Azib berkata : “Aku tidak pernah melihat seorang pun yang lebih baik rupanya ketika memakai pakaian berwarna merah selain Rasulullah saw. Hujung rambut baginda terhurai menyentuh bahunya.” (Bukhari, Muslim, An-Nasa’i, Abu Dawud, Ahmad)

 

Jabir bin Samurah ra meriwayatkan : “Aku melihat tanda kenabian di antara kedua-dua pundak (bahu) Rasulullah SAW iaitu daging berwarna merah sebesar telur burung merpati.” (Muslim, Turmizi, Ahmad)

 

Anas bin Malik meriwayatkan : “Panjang rambut Rasulullah SAW sampai pada setengah telinga baginda.” (Muslim, Abu Dawud, Turmizi, An-Nasa’i, Ahmad)

Aisyah ra berkata : “Aku pernah mandi bersama-sama Rasulullah saw daripada satu wadah (bekas air). Baginda mempunyai rambut yang panjangnya tidak sampai ke bahu dan tidak sampai ke bahagian bawah daun telinga.” (Turmizi, Ibn Majah, Abu Dawud, Ahmad)

 

Rasulullah saw mementingkan pemeliharaan janggut.

“Cukurlah misai dan peliharalah janggut.” (Bukhari, Muslim)

“Berbezalah kamu daripada orang-orang musyrik, peliharalah janggut dan potonglah misai.” (Bukhari, Muslim)

 “Kami diperintahkan supaya memotong misai dan memanjangkan janggut.” (Muslim)

“Sepuluh perkara termasuk fitrah – memotong misai, memelihara janggut….” (Muslim)

 

Anas bin Malik meriwayatkan : “Aku hanya dapat menemukan 14 helai uban pada rambut dan janggut Rasulullah SAW.” (Turmizi, Ahmad)

Ibnu Umar berkata : “Uban Rasulullah SAW sekitar 20 helai.” (Turmizi, Ahmad, Ibnu Majah)

 

KATA-KATA DAN KETAWA NABI SAW

 

Baginda ialah manusia yang paling fasih tutur katanya, tidak banyak bercakap kecuali yang penting, mudah kata-katanya, banyak tersenyum, sesekali tertawa sehingga kelihatan gigi gerahamnya (ketika sangat suka), bersungguh-sungguh menyampaikan pengajaran, dan sebagainya.

 

Abdullah bin Harits ra mengatakan : “Aku tidak pernah melihat seorang yang lebih banyak tersenyum daripada Rasulullah SAW.” (Turmizi, Ahmad)

 

Abu Zarr berkata : “Aku melihat Rasulullah SAW tertawa sehingga kelihatan gigi gerahamnya.” (Muslim, Ahmad, Turmizi)


Jarir bin Abdullah ra berkata : “Sejak saya masuk Islam, Rasulullah saw tidak pernah melarang saya untuk mengunjunginya. Setiap kali baginda melihat saya, baginda pasti tertawa.” (Bukhari, Muslim, Turmizi)

 

 

- Dihuraikan daripada kitab induk Ihya' 'Ulumuddin karya Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali oleh Abu Zulfiqar Al-Amsyari dalam Hidangan Berwangian Cinta untuk Orang2 di Taman Cahaya