Monday, April 27, 2009

Kuliah Tauhid Sifat 20 (sambungan)

Sejarah ringkas ilmu tauhid Sifat 13/ 20.
Benarkah ilmu tauhid Sifat 20 bidaah dhalalah?
Apakah dengan mempelajari Sifat 13/ 20 bermakna kita menghadkan sifat-sifat Allah?
Apakah dalil naqli dan dalil aqli?
Apakah bukti-bukti kewujudan Tuhan?










Kakak & Adik Spiderman



Inilah dua orang cahaya mata kami. Semoga kedua-duanya terus menjadi cahaya mata dan bukannya serabut mata apabila sudah dewasa nanti. : )

Friday, April 17, 2009

Jenis-jenis Tafsir

TAFSIR BIR-RIWAYAH

Dikenali juga sebagai Tafsir Bil Ma’thur.

Mentafsirkan al-Quran dengan al-Quran, hadith dan atsar.

Perlu diteliti kerana ada hadith dan atsar yang disandarkan kepada ahli kitab ataupun perawi Syiah.


Contoh: Tafsir Ibnu Kathir, Tafsir Ibnu Jarir at-Tabari dan Tafsir Imam as-Sayuti.


TAFSIR BID-DIRAYAH

Dikenali juga sebagai Tafsir Bir Ra’yi dan Bil Ma’qul.

Mentafsirkan al-Quran berdasarkan ijtihad.


Contoh: Tafsir ar-Razi, Tafsir Baidhawi, Tafsir Ibnu Khazin, Tafsir an-Nasafi, Tafsir al-Alusi (Ruhul Ma’ani) dan Tafsir aj-Jalalain.


TAFSIR AL-ISYARI

Menta’wil al-Quran dengan maksud yang berbeza dengan maksud tersurat sesuatu lafaz ataupun ayat.

Ada isyarat-isyarat yang hanya dapat difahami oleh ahlinya.


Contoh: Tafsir at-Tusturi, Tafsir Ibnu Arabi dan Tafsir al-Alusi.




Abu Zulfiqar “Alexanderwathern”

17 April 2009

21 Rabiul Akhir 1430

Tuesday, April 14, 2009

Cara Allah Menghilangkan Ilmu Pengetahuan (Kuliah Maghrib)











ILMU AGAMA BERANSUR-ANSUR HILANG

Daripada ‘Abdullah bin ‘Amru bin al-‘Ass radiallahu anhuma berkata, “Aku mendengar Rasulullah saw bersabda: “Bahawasanya Allah SWT tidak mencabut (menghilangkan) akan ‘ilmu itu sekaligus dari (dada) manusia, tetapi Allah SWT menghilangkan ‘ilmu itu dengan mematikan ‘alim ‘ulama’, maka apabila sudah ditiadakan ‘alim ‘ulama’, orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ‘ilmu pengetahuan. Maka mereka sesat dan menyesatkan orang lain.”
(Hadith riwayat Imam Muslim)

KETERANGAN HADITH
Sekarang ini alim ulama sudah berkurangan. Satu demi satu pergi meninggalkan kita. Kalau peribahasa Melayu mengatakan, “patah tumbuh, hilang berganti”, peribahasa ini tidak tepat berlaku kepada alim ulama. Mereka patah payah tumbuh dan hilang payah berganti. Sampailah suatu saat nanti permukaan bumi ini akan kosong dari ulama. Maka pada masa itu sudah tidak bererti lagi kehidupan di dunia ini. Alam penuh dengan kesesatan. Manusia telah kehilangan nilai dan pegangan hidup. Sebenarnya alim ulamalah yang memberikan makna dan erti kepada kehidupan manusia di permukaan bumi ini. Maka apabila telah pupus alim ulama, hilanglah segala sesuatu yang bernilai.

Di akhir-akhir ini, kita telah melihat gejala-gejala yang menunjukkan hampirnya zaman yang dinyatakan oleh Rasulullah saw tadi. Di mana bilangan alim ulama hanya tinggal sedikit dan usaha untuk menghasilkannya pula tidak mendapat perhatian yang sewajarnya. Pondok-pondok dan sekolah-sekolah agama kurang mendapat perhatian daripada cerdik pandai. Mereka banyak mengutamakan pengajian-pengajian di bidang urusan keduniaan yang dapat meraih keuntungan harta benda dunia. Inilah keadaan masyarakat kita di hari ini. Oleh itu, perlulah kita memikirkan hal ini dan mencari jalan untuk menyelesaikannya.

Saturday, April 11, 2009

Suami Menipu

SOALAN:

Apakah hukumnya jika suami banyak kali menipu isteri? Contohnya- pada mulanya si suami mengizinkan si isteri pulang ke kampung jika si isteri membayarkan duit ansuran kereta si suami dan sewa rumah. Tetapi apabila tiba masanya untuk pulang ke kampung. Tiba-tiba si suami tidak benarkan pula. Padahal duit gaji si isteri sudah digunakan untuk membayar bayaran ansuran kereta si suami dan bayaran sewa rumah yang sepatutnya jadi tanggungjawab si suami.


PENJELASAN:

Sudah tentulah berdosa jika seseorang suami dengan sengaja menipu isterinya walaupun sekali.


Dalam kes yang dicontohkan, jelas si suami mengambil peluang ke atas isterinya. Oleh kerana kebenaran pulang ke kampung terletak di tangan suami, si suami ini menggunakan kelebihan tersebut untuk menggunakan harta isteri bagi menyelesaikan masalah peribadinya. Padahal tanggungjawab membayar kereta sendiri dan sewa rumah adalah tanggungjawab suami. Tindakan sebegini tentulah tidak patut.


Sebenarnya harta isteri tidak boleh diganggu oleh suami, cuma si isteri sewajarnyalah membantu pengurusan kewangan keluarga kerana si isteri punya kerja dan pendapatan atas keizinan si suami. Diizinkan bekerja, dapatlah gaji RM 3,000.00. Jika tidak diizinkan, dapatlah RM 0.00 (sekadar contoh). Jadi pandai-pandailah menghargai keizinan si suami.


Dalam Islam, kita diajar mendahulukan sangka baik. Dalam kes seperti di atas, sangat baik jika si isteri cuba berbincang dengan suami tentang sebab-musabab dia secara tiba-tiba tidak membenarkan si isteri pulang walaupun sebelumnya dia sudah berjanji. Mungkin si suami ada sebab-sebab yang munasabah untuk berbuat demikian, siapa tahu kan?


Tapi seandainya tanpa sebab-sebab yang munasabah, si suami dikira sudah berbuat tidak baik kepada isterinya kerana sengaja tidak menepati janji. Namun begitu, jangan kita menghukum si suami sebagai tidak baik keseluruhannya kerana banyak lagi kebaikannya pada sisi yang lain. Cuma dalam soal-soal kewangan, selepas ini si isteri mestilah lebih berhati-hati.


Jadi tindakan awal yang dicadangkan ialah si isteri cubalah berbincang dengan si suami.

Wallahualam.



Abu Zulfiqar “Alexanderwathern”

11 April 2009

15 Rabiul Akhir 1430

Friday, April 10, 2009

Pertanyaan: Sifat 20 di Internet

TULIS SAHABAT BERNAMA NAJIB:

najib: saya harap ust buat vcd masukkan ke utube kuliah bab aqidah
Wed Jan 07, 2009 10:03 am


JAWAPAN:

Insyaallah akan saya usahakan, cuma tidak dapat dipastikan bila lagi akan diadakan kuliah tauhid itu. Kuliah tauhid terakhir untuk kumpulan sebelum ini ialah pada pertengahan tahun lepas (2008). Ketika itu tiada sebarang rakaman video mahupun audio dibuat. Baru-baru ini (awal April 2009) ada permintaan untuk mengadakan kuliah tauhid lagi, tapi masih belum ‘confirm’.


Tidak pun beginilah. Saya akan cuba masukkan slot tauhid dalam kuliah-kuliah Maghrib secara ringkas. Insyaallah dalam dua kali kuliah akan habislah ringkasan kuliah tauhid no. 1 dan no. 2 ( dalam kuliah penuh semua ada 7 sesi, satu setengah jam setiap sesi).


Jadilah... sebagai pengubat rindu para peminat ilmu tauhid Sifat 13/ 20 dan ilmu hakikat. Daripada tak ada langsung, baiklah ada walaupun sedikit, ye tak?



TULIS SAHABAT BERNAMA OPIYA:

Opiya: Ust apasal tak banyak kuliah sifat 20 kat utube.
Fri Feb 06, 2009 10:45 pm


JAWAPAN:

Ada beberapa faktor. Antaranya:


· Kuliah-kuliah pengajian Sifat 20 sangat jarang ada. Yang mengikut pengajian ini pula tidak banyak jumlahnya. Tukang hendak merakam dan hendak meng“upload”nya tentulah lebih susah diperolehi. Hasilnya, video kuliah tentang Sifat 20 ini sangat kurang di internet.


· Internet dikuasai oleh golongan muda (30 tahun ke bawah) sedangkan golongan ini sangat kurang terdedah dengan ilmu Sifat 20.


· Ilmu Sifat 20 ini paling baik dan berkesan ajarannya ialah apabila diadunkan dengan ilmu hakikat. Banyak guru tua-tua mengajar dengan cara ini. Apabila menyentuh ilmu hakikat, banyak “bahasa-bahasa dalam” akan digunakan. “Bahasa dalam” ini mengandungi perkataan-perkataan yang maksudnya tidak sama dengan maksud yang difahami dalam kehidupan seharian kita. Jika didengar ataupun dibaca oleh mereka yang tidak mengikuti pengajian ini, mereka akan tersalah faham dan salah faham itu melencong begitu jauh daripada apa yang hendak disampaikan melalui ilmu ini. Jadi, untuk mengelakkan salah faham, fitnah dan perdebatan panjang, para pengajar dan pelajar ilmu ini lebih suka jika ia tidak menjadi tatapan umum. Sesiapa yang benar-benar berminat, hendaklah dia berusaha sendiri untuk menghadiri kuliah-kuliah yang diadakan.


· Guru-guru yang mengajar ilmu ini pula sebagaimana di kebanyakan masjid dan surau-suaru, sebahagian besarnya tidak berkebolehan dalam ilmu hakikat. Jika berkebolehan pun dia tidak dapat menyampaikannya dengan baik. Maka mereka menyampaikan ilmu ini sebagaimana yang disampaikan oleh guru mereka. Contoh: “Wujud ertinya ada lawannya tiada wajib ada mustahil tiada dalilnya sekalian alam ini bal blab la..” seolah-olah gurindam. Cara begini boleh melambatkan pemahaman, membantutkan pengkayaan pemahaman dan membosankan pendengar. Belajar dua tiga tahun pun tak habis-habis lagi dan pemahaman pun tidak sampai ke mana. Kadang-kadang terpaksa diulang-ulang pula. Jika kita “upload” kuliah sebegini, berapa ramai yang hendak menontonnya?


· Guru-guru yang berkebolehan pula, banyak yang menggunakan istilah-istilah bahasa Arab. Untuk memahami betul-betul maksud istilah-istilah ini saja pun sudah makan masa berbulan-bulan. Akhirnya pembelajaran ilmu ini akan jadi meleret-leret.


· Ilmu ini dimusuhi oleh puak-puak tertentu dari dalam dan luar agama Islam menyebabkan ia menjadi kurang popular, padahal ilmu ini membincangkan sama ada akidah kita benar ataupun tidak, kita menyembah Allah yang Esa ataupun selama hari ini kita tersembah Alah yang bercampur dengan makhluk (menyekutu dan mensyirikkannya)? Mereka memfitnah ilmu ini dengan pelbagai dakwaan salah menyebabkan orang berasa takut untuk mengambil tahu tentangnya.


· Ilmu ini diremehkan kepentingannya sehinggakan orang tidak memandangnya sebagai suatu ilmu yang mustahak untuk diambil tahu.


Begitulah antara faktor-faktornya.

Wallahualam.






“BERTUHANKAN ALLAH, BERSYARIATKAN SYARIAT MUHAMMAD SAW”


Abu Zulfiqar “Alexanderwathern”

10 April 2009

14 Rabiul Akhir 1430