Kali ini kisah musim raya jugak. Dah berapa penulisan pasal raya je. Dari 1 Syawal hingga 10 Syawal tempoh hari, memang banyak sungguh Allah bagi pengalaman dan dapatan. Macam2 kisah ada. Sangat bagus untuk kita (terutamanya diri sendiri) ambil iktibar dan pengajaran, lalu menterjemahkannya ke dalam bentuk tindakan.
@@@@@@
Berkata seorang hamba Allah : "Saya kalau boleh nak cepatkan perkahwinan saya, tapi pak long... saya pakai motor je. Saya rasa segan juga dengan orang sekeliling. Nak pakai kereta, belum mampu lagi."
Saya lihat motosikalnya masih agak baharu dan cantik. Harganya mungkin sekitar 8-10 ribu. Khabarnya tunangnya juga baru beli motosikal baharu. Kedua-duanya bekerja.
Lalu saya pun kongsikan sedikit pengalaman saya yang mungkin boleh jadi penetap dan penaik semangat mereka untuk segera mendirikan rumahtangga. Bertunangnya sudah lama dan asyik keluar bersama-sama ke sini sana walaupun tidak menunggang motosikal yang sama. Lebih baiklah dahulukan dengan mendirikan rumahtangga.
@@@@@@
Ringkasnya saya bercerita lebih kurang begini...
Saya berkahwin dalam keadaan kami punya sebuah motosikal EX5 terpakai sahaja, buruk je pun. Itulah kenderaan kami ke mana-mana. Tapi dengan izin Allah, kami sangat bahagia. Setelah dua tahun berkahwin, barulah pakai kereta Kancil 660 terpakai. Kecil je dan rupanya walaupun tak nampak baharu tapi oklah. Itu pun setelah dicadangkan oleh arwah bapa saya. Ikutkan hati, masih belum mahu berkereta dan masih berasa kurang mampu pun.
Seingat sayalah, semua adik-beradik sebelah saya berkahwin dalam keadaan mereka sudah ada sekurang-kurangnya sebuah kereta untuk bergerak ke sini sana pada bila-bila masa (sama ada kereta beli sendiri, kereta yang dihadiahkan, kereta warisan, kereta kompeni atau sebagainya - ringkas kata ada kereta di sisilah). Adik-beradik sebelah isteri saya juga berkahwin dalam keadaan mereka sudah ada kereta untuk bergerak ke sini sana kecuali abang yang sulung. Banyak lagi orang2 yang hampir dengan kami pakat ada keretalah apabila berkahwin, sekurang2nya sebuah dan ada yang lebih (kerana si lelaki dan si wanita masing-masing ada kereta). Itu belum masuk motosikal.
Tetapi kami tidak pernah terasa kurang atau terhina walaupun kami sedar juga bagaimana kata2 orang di belakang, kerutan muka, kerlingan mata dan muncungan mulut sebahagian daripada mereka. Jiwa kena kental sedikitlah. Berhujan, berpanas, siang, malam, hampir2 kemalangan dan sebagainya dilalui bersama-sama. Ke mana-mana pun badan rapat aje. Semua itu jadi kenangan manis lagi indah. Alhamdulillah.
Rumah sewa - sangat kecil (satu bilik) dan buruk aje rupanya. Rumah tiada perabot. Tiada peti sejuk. Tiada mesin basuh. Tiada televisyen. Tiada telefon rumah (zaman itu belum meriah telefon bimbit). Tiada komputer. Tiada laptop. Umumnya rumah kosongggg je dari depan sampailah ke belakang. Yang ada hanyalah kitab2, buku2 agama, dan lukisan2 pemandangan karya sendiri (ketika itu saya melukis dan menjual lukisan pemandangan sebagai pendapatan sampingan) yang menghiasi sebahagian dinding. Rumah nampak tak selesa tapi Allah meriahkan sebagai lokasi halaqah2 usrah, pengajian2 khusus, program dakwah, pengamalan ilmu2 tariqah dan sebagainya. Itulah rezeki hiburan kami. Semuanya jadi kenangan yang sangat manis lagi indah.
Kami mulakan hidup bersama-sama dengan serba kekurangan. Ringkas kata, orang tak pandang. Kalau pandang pun, sebahagiannya dengan nada yang kurang enak. Kita senyum2 sahajalah. Di sinilah dapatan daripada tarbiah TST (tasawuf - sufi - tarekat) jadi bekalan jiwa. Tapi apabila hidup kita semakin membaik (dari segi keselesaan duniawi) dari tahun ke tahun, biasalah - yang jauh mula mendekati, yang mengeji mula memuji, yang meninggalkan mula kembali, yang menolak mula memberi, yang meminggir mula menyalami, yang mempertikai mula menyanjungi, yang membantah mula mengakui, yang mencebik mula senyum sampai kembung pipi, yang susah mula minta diberi, yang dalam kesulitan mula minta bantu dilepasi, dan macam-macam lagi. Semua itu kita perhati dan buat tafakur diri.
@@@@@@@
Yang pernah tercetus kerisauan adalah tentang anak2. Mereka lahir dan hidup dalam keadaan yang boleh dikatakan serba cukup walaupun tidak mewah. Khuatir juga apabila mereka tidak pernah berinteraksi dan bermesra-mesraan dengan susah, nanti di kemudian hari mereka akan susah untuk melalui susah. Bahagian itu, kita serah sahaja kepada Allah sambil terus berusaha dan berikhtiar untuk mereka sekadar kemampuan kita.
Beberapa tahun lepas, mesin basuh kami rosak kedua-dua buah. Waktu itu hendak perbaik tak cukup duit. Nak beli baharu apatah lagi. Hendak ke kedai dobi, ke selatan 20 km dan ke utara 30 km baru ada (wkatu itu). Tapi dengan izin Allah, selama 3 bulan kami basuh pakaian semua dan masih terasa baik2 sahaja. Mungkin kerana masih ada Allah sisakan pengalaman hidup zaman susah dulu2.
@@@@@@
Setelah diceritakan begini kepada kedua-dua orang hamba Allah, nampak cerah muka masing2. Mungkin dah pulih semangat agaknya tu. Wallahua'lam.
Tambah ilmu2 agama, amalkan ilmu2 itu, dan hayatinya. Terutamanya tungku al-ihsan. Jadikan semua itu ad-diin. Insya-Allah Yang Maha Kaya jadikan kita lapang dan kaya jiwa sekalipun miskin harta. Semoga Allah mudahkan segala urusan umat Islam.
4/5/23
No comments:
Post a Comment