Tuesday, August 29, 2023

Rakaman Pengajian Utama Ihya Ulumuddin kali ke-276

 

 

https://youtu.be/kIgCME7MGdk?si=MlHSmKwsHXe6GqJT

 

Ihya' 'Ulumuddin : Kitab Latihan Qalbu 9 : IMEJ AKHLAK & QALBU UMAT Pengajian kitab induk Ihya' 'Ulumuddin kali ke-276 (tahun ke-13) bagi Surau An-Nur, Trong, Perak. 28 Ogos 2023 Karya Imam Abu Hamid al-Ghazali Syarahan Pak Long Abu Zulfiqar al-Amsyari

Mimpi Diselamatkan oleh Guru

 

Dipetik daripada penulisan oleh Hasan al-Banna (dan diberikan tajuk2 oleh penyalin) :


PENGALAMAN AWAL DENGAN IKHWAH TAREKAT HASAFIYAH


Hasan al-Banna menulis : “(Ketika dia belum berusia lebih kurang 12 tahun...) Di sebuah masjid kecil aku melihat ikhwan Al-Hashafiyah (para pengikut Tarekat Hasafiyah) melakukan zikrullah setiap malam selepas solat isya. (Ketika itu) aku sendiri secara tekun menghadiri kajian Syeikh Zahran rahimahullah (seorang ilmuwan agama) antara maghrib dan isya’ (di masjid itu).


Aku sungguh terpesona dengan halaqah zikir dengan suaranya yang teratur, nasyidnya yang bagus, dan semangat ruhiyah yang menggelora. Aku juga terpikat oleh toleransi dan sikap rendah hati orang-orang yang berzikir, yang terdiri daripada orang-orang tua yang mulia dan para pemuda yang soleh. Mereka begitu toleran dan rendah hati melayani anak-anak kecil yang ikut meramaikan majlis mereka untuk berzikir. Akhirnya aku pun ikut menyertai (majlis) mereka. Hubunganku dengan para pemuda Al-Ikhwan Al-Hasafiyah pun terjalin dengan eratnya.


Tiga orang lama mereka ialah Syeikh Syalbi Ar-Rijal, SYEIKH MUHAMMAD ABU SYAUSYAH (ada ceritanya di bawah nanti), dan Syeikh Sayyid Utsman. Sedangkan dalam kalangan para pemuda, yang lebih kurang seusia denganku ialah Shawi Afandi Ash-Shawi, Abdul Muta’al Afandi Sankal, Muhammad Afandi Ad-Dimyati, dan lain-lain.


Di arena yang penuh berkat inilah untuk pertama kali aku bertemu dengan Ustaz Ahmad As-Sukri, yang pada kemudian harinya menjadi wakil ketua Ikhwanul Muslimin (organisasi/gerakan yang ditubuhkan oleh Hasan al-Banna). Pertemuan ini menggoreskan kenangan yang sangat dalam pada kehidupan kami berdua.


Sejak saat itu nama Syeikh Al-Hasafi (pemimpin utama Tarekat Al-Hasafiyah) terus terngiang-ngiang di telingaku. Beliau meninggalkan kesan yang begitu mendalam pada jiwaku. Kerinduan untuk dapat melihat syeikh, duduk mendampinginya, dan mengambil manfaat daripadanya terus mewarnai fikiranku dari waktu ke waktu.


MULA BERAMAL DENGAN AMALAN-AMALAN TAREKAT HASAFIAH


Aku mulai tekun mengamalkan wirid Al-Wazifah Az-Zuruqiyah (salah satu amalan Tarekat Hasafiyah) pada waktu pagi dan petang. Yang lebih menambah ketakjubanku, ternyata bapaku telah menulis komentar singkat dengan memaparkan argumentasi yang berdasarkan hadis-hadis sahih. Risalah ini dinamakan Tanwirul Af’idah Az-Zakiyah bi Adillati Adzkar Az-Zuruqiyah. Wazifah (wirid) ini tidak lebih daripada ayat-ayat Al Qur’an Al-Karim dan hadis-hadis Nabi tentang doa-doa pagi dan petang yang ditulis dalam kitab-kitab sunnah (buku-buku hadis). Tidak ada tambahan ucapan-ucapan asing sama sekali, tidak ada juga ungkapan-ungkapan falsafah, atau kata-kata yang mirip mentera. Semuanya berupa doa.


TENTANG GURU PERTAMA TAREKAT HASAFIAH – SYEIKH HASANAIN AL-HASAFI


Ketika itu aku mendapatkan kitab Al-Manhaj Ash-Shafi fi Manaqib Hasanain Al-Hasafi. Syeikh Hasanain Al- Hasafi ialah syeikh pertama tarekat ini dan bapa kepada syeikh tarekat yang sekarang, iaitu yang mulia Syeikh Abdul Wahhab Al Hasafi – semoga Allah berkenan memanjangkan umurnya dan menjadikannya bermanfaat. Syeikh Hasanain Al-Hasafi (guru pertama itu) sudah meninggal dunia dan aku tidak sempat melihatnya. Beliau meninggal pada hari Khamis, 17 Jamadil Akhir 1382 H. Ketika itu aku baru berusia empat tahun. Aku tidak sempat berkumpul dengan beliau karena beliau sering pergi pergi ke pelbagai daerah. Akhirnya aku hanya dapat mengenal beliau melalui buku tentang riwayat hidup beliau.


Aku pun dapat tahu bahawa beliau ialah salah seorang ulama Azhari (alumni Al Azhar) yang telah mendalami fiqh menurut Mazhab Al-Imam Syafi’i serta mendalami ilmu-ilmu agama secara luas. Beliau menimba tarekat daripada para syeikh masa itu. Beliau ialah seorang yang sangat taat, selalu bersungguh-sungguh, serta tekun dalam ibadah dan zikir. Hinggakan beliau menunaikan haji tidak hanya sekali, dan beliau menunaikan umrah setiap kali berhaji. Ini lebih sering beliau lakukan daripada sekedar melakukan umrah sahaja.


Orang-orang yang dekat dengan beliau berkomentar, “Kami tidak pernah melihat orang yang lebih kuat dalam mentaati Allah, menunaikan kewajiban-kewajiban dan memelihara sunnah-sunnah melebihi beliau rahimahullah. Hal-hal itu diistiqomahi oleh beliau hingga hari-hari akhir kehidupannya yang sudah cukup tua (lebih daripada enam puluh lima tahun). Beliau menyeru kepada Allah dengan menggunakan cara ahli tarekat, tetapi tetap berada dalam ‘cahaya’ serta berdasarkan kaedah-kaedah yang benar dan lurus. Dakwah beliau dibangunkan atas dasar ilmu, ibadah, ketaatan, dan zikir. Beliau memerangi pelbagai bid’ah dan khurafat yang bermaharajalela dalam kalangan pengikut tarekat; membela Kitab dan Sunnah dalam keadaan apapun; memelihara ilmu dan menolak pelbagai ta’wil yang merosak; beramar ma’ruf dan nahi mungkar; serta menyampaikan nasihat bila dan di mana sahaja berada, sehingga beliau berhasil mengubah banyak hal yang diyakini bertentangan dengan Kitab dan Sunnah yang banyak dijadikan pegangan oleh syeikh tarekat.


Hal yang sangat melekat dalam jiwaku daripada riwayat hidup beliau adalah ketegasan beliau dalam beramar ma’ruf nahi mungkar. Dalam melaksanakan hal ini, beliau tidak pernah merasa takut terhadap celaan orang. Beliau tidak pernah meninggalkan amar ma’ruf nahi mungkar, sekalipun terhadap pembesar atau penguasa.


PENGALAMAN SYEIKH HASANAIN AL-HASAFI


Sebagai salah satu contoh, beliau pernah mengunjungi Rayyadh Pasha yang saat itu memegang jawatan sebagai perdana menteri. Dalam waktu yang bersamaan ada salah seorang ulama juga mengunjungi Rayyadh Pasha. Ulama ini mengucapkan salam kepada Rayyadh Pasha dengan membongkokkan badan hingga hampir seperti rukuk. Melihat hal itu, syeikh langsung berdiri dengan marah dan menampar pipinya serta membentak dengan keras, “Hai lelaki, berdiri kau! Rukuk itu tidak boleh dilakukan kecuali hanya kepada Allah. Jangan hinakan agama dan ilmu sehingga Allah nanti akan menghinakan kalian!” Ulama tersebut mahupun Pasha tidak dapat berbuat apa-apa dan tidak menghukumnya.


Saat itu pula, salah seorang bangsawan Pasha lainnya yang juga seorang teman Rayyadh Pasha datang berkunjung. Dia memakai cincin emas dan memegang tongkat yang pegangannya terbuat daripada emas juga. Syeikh kemudian menoleh kepadanya seraya berkata, “Apa ini? Menggunakan emas untuk perhiasan seperti ini adalah haram bagi laki-laki, sekalipun ia halal bagi wanita. Berikan saja kedua-duanya kepada isteri-isterimu. Janganlah menyelisihi perintah Rasulullah saw.!” Orang itu hendak membantah, namun akhirnya Rayyadh Pasha meleraikan kedua-duanya. Meskipun demikian syeikh tetap berpendirian bahawa orang itu mesti melepaskan pegangan tongkat dan cincin emas itu sehingga tidak ada lagi kemungkaran.


Suatu ketika beliau menghadiri pertemuan yang diadakan oleh Gabenor Taufiq Pasha bersama-sama para ulama. Beliau mengucapkan salam kepada gabenor dengan suara yang cukup dapat didengar, namun gabenor hanya membalas dengan isyarat tangan saja. Maka beliau akhirnya dengan tegas mengatakan kepadanya, “Membalas salam itu paling kurang mestilah sama atau lebih baik lagi. Maka katakanlah, “Wa’alaikumussalaam wa rahmatullahi wa barakatuh’. Menjawab salam hanya dengan isyarat tidaklah dibenarkan.” Sang Gabenor pun tidak punya pilihan lain kecuali terpaksa menjawab salam syeikh dengan lafaz yang disuruh oleh syeikh tersebut, bahkan dia memuji pendirian syeikh dan sikap istiqamahnya pada agama.


Suatu ketika beliau mengunjungi salah seorang murid beliau yang menjadi pekerja bangunan. Beliau melihat sebuah patung yang terbuat daripada gypsum (batu kapur) di atas meja pekerja itu. Beliau kemudian bertanya, “Apakah ini wahai fulan?”. “Ini adalah patung yang kami perlukan dalam pekerjaan kami.” jawabnya. Beliau lalu mengatakan, “Itu haram hukumnnya.” Beliau kemudian mengambil patung itu dan mematahkan lehernya.


Pada waktu yang sama, seorang Inspektor Inggeris masuk ke ruangan itu dan melihat kejadian tersebut. Sang inspektor meminta penjelasan syeikh mengenai tindakan tersebut. Syeikh lalu memberikan jawapan dan penjelasan yang bijak dan memahamkan sang inspektur bahawa Islam datang untuk menegakkan tauhid yang murni dan mematikan fahaman paganisme dalam segala bentuknya. Oleh kerana itulah Islam mengharamkan patung, kerana keberadaannya dapat membuka jalan kepada amalan penyembahan. Penjelasan yang bijak ini membuat sang inspektor berasa senang, padahal sebelumnya dia menyangka bahwa Islam berisi kebodohan yang berasal daripada paganisme. Dia akhirnya mengucapkan selamat kepada syikh serta memberi pujian kepadanya.


Suatu ketika beliau mengunjungi Masjid Al-Husain dengan diikuti oleh sebahagian murid-muridnya. Beliau berhenti sejenak di kuburan untuk memanjatkan doa yang mat’sur (doa yang ada riwayatnya daripada Rasulullah saw.) “Assalaamu’ala ahlid diyar minal mu’minin…” Salah seorang pengikut berkata kepada beliau, “Wahai syeikh, mohonkanlah kepada Husain agar berkenan meredhaiku.” Mendengar permintaan ini beliau memandangnya dengan marah seraya berkata, “Yang dapat meredhai kami, meredhaimu, dan meredhainya hanya Allah.” Selepas melakukan ziarah itu, beliau menjelaskan kepada para muridnya tentang hukum dan etika berziarah, menerangkan kepada mereka tentang perbezaaan antara ziarah kubur yang bid’ah dan ziarah kubur yang syar’i.


Bapaku pernah bercerita kepadaku bahawa dia pernah berada bersama-sama dengan dengan Syeikh Al-Hasafi rahimahullah di rumah salah seorang pembesar kota Mahmudiah, iaitu Hasan Bek Abu Sayyid Hasan rahimahullah bersama para muridnya. Seorang pelayan wanita yang sudah cukup dewasa keluar untuk menghidangkan kopi kepada syeikh dalam keadaan kedua-dua belah tangan si wanita mulai dari siku hingga hujung jari, malah kepalanya terbuka (tidak menutup aurat). Syeikh melihatnya dengan marah dan langsung menyuruhnya dengan tegas agar segera pergi dari ruangan itu untuk memakai penutup atau hijab. Syeikh enggan meminum kopi itu. Setelah itu syeikh pun menyampaikan ajaran tentang wajibnya menutup anak-anak perempuan, sekalipun dia ialah pembantu dan agar jangan sampai ada lelaki asing yang melihat-lihat mereka.


KEKAGUMAN HASAN AL-BANNA


Mengenai hal semacam itu beliau mempunyai banyak pengalaman dan memang demikianlah yang selalu beliau lakukan. Aspek inilah yang melahirkan perasaan kagum luar biasa dalam jiwaku. Para murid beliau sering membicarakan tentang karamah syeikh yang terlihat nyata, namun aku sendiri tidak pernah melihat karamah yang mereka maksudkan itu. Yang kami dapati pada diri beliau adalah sudut-sudut amaliah seperti di atas. Aku sendiri meyakini bahawa karamah paling agung yang diberikan oleh Allah SWT kepada beliau adalah taufiq dan hidayah-Nya untuk menyebarkan dakwah Islam berdasarkan dasar-dasar yang lurus dan benar, rasa benci kepada hal-hal yang diharamkan oleh Allah SWT, dan senantiasa beramar ma’ruf nahi mungkar. Semua itu aku rasakan ketika usiaku belum lebih daripada dua belas tahun.


Yang semakin membuatkan ikatanku bertambah kuat dengan syeikh yang mulia ini adalah setelah berulang-ulang aku membaca buku Al-Manhal (salah satu karanagan Syeikh Hasanain al-Hasafi). (Suatu hari) aku bermimpi pergi ke kuburan kota. Aku melihat sebuah kuburan besar yang bergerak-gerak dan semakin menjadi-jadi hingga akhirnya terbuka. Dari kubur itu keluar api yang menjulang sampai menyentuh awan di langit, lalu perlahan-lahan membentuk rupa seorang lelaki yang tinggi dan wajahnya mengerikan. Orang-orang pun berdatangan dari berbagai penjuru lalu mengelilinginya. Lelaki itu kemudian berteriak dan mengatakan kepada mereka, ”Wahai manusia, sesungguhnya Allah telah menghalalkan segala yang pernah diharamkan-Nya atas kalian, maka berbuatlah sesuka kalian.”


Aku pun lalu berteriak lantang di hadapannya, “Engkau dusta!” Setelah itu aku menatap wajah orang-orang yang berkumpul lalu berkata, ”Wahai manusia, ini adalah iblis terlaknat yang datang untuk menguji kalian berkaitan urusan agama kalian, dan untuk membisik-bisikkan kejahatan kepada kalian. Oleh itu, janganlah kalian mendengar kata-katanya.”


Ia sangat marah seraya berkata kepadaku, ”Mari kita berlumba lari di hadapan orang-orang ini. Jika engkau dapat mengalahkan aku dan dapat kembali kepada mereka sedangkan aku tidak dapat menangkapmu, bererti engkau benar.”


Aku pun menerima cabaran itu. Hasilnya, aku berjaya mengatasinya dengan kecepatan yang luar biasa jauh di depannya. Padahal langkahku sangat kecil jika dibandingkan dengan langkahnya. Sebelum ia dapat menangkap aku, syeikh (Syekh Hasanain) rahimahullah muncul secara tiba-tiba lalu menarik tanganku ke sebelah kirinya. Dengan mengangkat tangan kanan, dia terus berjalan ke hadapan siluman itu dan dengan berteriak beliau berkata kepadanya,”Nyahlah engkau, wahai terlaknat!”


Akhirnya ia pun meninggalkan tempat itu dan menghilang. Setelah itu syeikh pun pergi. Aku kembali ke kerumunan orang ramai dan berkata kepada mereka, “Tahukah kalian bagaimana si terlaknat itu menyesatkan kalian daripada perintah-perintah Allah?”


Ketiaka itulah aku terbangun. Tiba-tiba aku benar-benar berasa rindu kepadanya. Lalu aku ternanti-nanti kehadiran As-Sayyid Abdul Wahhab Al Hasafi (ke daerah itu), iaitu anak kepada Syeikh Al- Hashafi rahimahullah kerana aku ingin sekali dapat melihatnya dan segera mengambil amalan tarekat daripadanya. Akan tetapi sekitar waktu itu beliau tidak hadir (ke tempat sekitar Hasan al-Banna berada).


KENANGAN BERSAMA SYEIKH MUHAMMAD ABU SYAUSYAH AL-HASAFI


Aku diingatkan kembali oleh kisah di suatu kuburan dengan saudara kami, Syeikh Muhammad Abu Syausyah (orang lama dalam Tarekat Hasafiyah), seorang peniaga di kota Mahmudiah. Dia banyak memberikan tarbiyah ruhiyah kepada kami. Dia pernah mengumpulkan kami yang berjumlah sekitar sepuluh orang untuk dibawa ke kuburan. Kami berziarah kubur dan duduk di masjid Syeikh An-Najili. Di sana kami membaca wirid (wazifah).


Selanjutnya Syeikh Muhammad Abu Syausyah menceritakan kisah orang-orang soleh dan perilaku hidup mereka kepada kami, kisah yang dapat melunakkan hati dan memberi berbagai hikmah dan pelajaran. Setelah itu beliau memperlihatkan kuburan yang terbuka kepada kami, serta mengingatkan kami bahwa suatu saat nanti kita akan masuk ke dalamnya. Beliau bahkan sempat menyuruh salah seorang di antara kami agar masuk ke liang kubur dan berbaring sebentar untuk mengingatkan diri bahawa itulah tempat kembali, juga agar kami menyedari kegelapan di alam kubur. Akhirnya dia pun menangis dan kami menangis pula menyertainya. Setelah itu kami memperbarui taubat dengan penuh kekhusyu’an, semangat, penyesalan, dan tekad.


Banyak di antara kami ketika itu yang saling mengikatkan gelang di pergelangan masing-masing yang terbuat dari benang tebal yang dinamakan dubarah dengan tujuan agar gelang ini menjadi kenang-kenangan bertaubat (sebagai mengingatkan peristiwa, bukan sebagai tangkal). Kami mendapatkan pesan bahwa jika salah seorang antara kami berhasrat melakukan maksiat atau terkalahkan oleh godaan syaitan, hendaklah dia segera memegang gelang ini dan mengingat kembali bahawa dia dahulunya telah bertaubat kepada Allah, serta telah berjanji akan mentaati-Nya dan meninggalkan maksiat kepada-Nya. Daripada nasihat ini, kami mendapat faedah yang cukup banyak. Semoga Allah memberikan balasan kebaikan kepada beliau.


Hatiku benar-benar telah terpaut dengan syeikh rahimahullah ini, hingga aku sekolah di Madrasah Mu’alimin Al-Awwaliyah di Damanhur. Di sanalah terletak makam beliau dan bangunan masjidnya yang belum lagi selesai dibina ketika itu. Namun tidak lama kemudian berhasil juga diselesaikan. Aku cukup tekun mengunjunginya, bahkan hampir setiap hari.


KENANGAN BERSAMA SYEIKH BASYUNI AL-HASAFI


Aku bersahabat dengan ikhwan-ikhwan Hasafiyah di Damanhur. Aku juga tekun datang ke masjid At-Taubah pada setiap malam. Aku menanyakan siapakah yang menjadi ketua ikhwan (wakil kepada mursyid Tarekat Hasafiyah) di situ. Ternyata dia ialah seorang lelaki soleh yang bertaqwa, Syeikh Basyuni, yang juga seorang peniaga. Aku memohon kepadanya agar dia mengizinkanku untuk berbai’ah. Dia pun menyatakan komitmennya. Dia berjanji kepadaku bahawa dia akan membawa diriku ke hadapan As-Sayyid Abdul Wahhab (pemimpin utama Terekat Hasafiyah ketika itu menggantikan bapanya Syeikh Hasanain al-Hasafi) apabila nanti beliau datang.


Hingga saat itu aku belum pernah berbaiah secara rasmi dengan sesiapa dalam jemaah tarekat. Aku hanyalah salah seorang daripada muhibbun (orang-orang yang menyukai tarekat tetapi belum berbaiah), menurut istilah mereka.


KENANGAN BERSAMA SYEIKH ABDUL WAHHAB AL-HASAFI


Akhirnya As-Sayyid Abdul Wahhab tiba di Damanhur dan para ikhwan pun memberitahuku tentang kedatangan beliau. Aku sangat gembira dengan berita ini. Aku menghadap Syeikh Basyuni dan memohon agar dapat berguru kepada Syeikh Abdul Wahhab. Dia pun mengabulkan permintaanku. Peristiwa ini terjadi pada tanggal 4 Ramadhan 1341 H, selepas solat asar. Jika tidak salah, peristiwa itu bertepatan dengan hari Ahad yang pada hari itulah aku mengambil Tarekat Hasafiyah Syaziliyah daripada beliau dan beliau mengizinkanku untuk melaksanakan wazifah (wirid) tarekat tersebut (ketika ini usia Hasan al-Banna masih belasan tahun).


Semoga Allah berkenan memberikan balasan sebaik-baiknya kepada beliau atas kebaikan yang telah diberikan kepada kami. Aku beruntung sekali kerana dapat berdampingan dengan beliau. Tidak ada yang kuketahui soal agama dan tarekat beliau selain kebaikan adanya. Sifat-sifat kebaikan yang melekat pada peribadi beliau merupakan keistimewaan beliau. Sifat-sifat yang kami maksudkan adalah hatinya bersih daripada memiliki harta yang ada pada tangan orang lain, serius dalam segala hal, dan tidak pernah menggunakan waktu kecuali dalam rangka menuntut ilmu, berzikir, atau melakukan ibadah yang lain, ketika sedang sendirian mahupun ketika sedang bersama para pengikutnya. Beliau juga selalu memberikan pengarahan yang baik kepada para pengikutnya serta mengajak mereka untuk senantiasa berukhwah, menuntut ilmu dan meningkatkan ketaatan kepada Allah.


Kiranya aku perlu menyebutkan salah satu antara cara beliau yang bijaksana dalam mentarbiyah. Beliau sama sekali tidak pernah memperkenankan para pengikutnya untuk memperbanyakkan debat (bukannya tidak berdebat langsung) dalam masalah-masalah khilafiyah dan mutasyabihat, atau menanggapi pendapat kaum atheis, zindiq, mahupun misionaris. Beliau menyarankan kepada mereka, ”Adakan hal semacam ini di majlis-majlis khas kalian, di mana kalian sendiri dapat saling mempelajari dan mendiskusikannya. Adapun kepada masyarakat, hendaklah kalian berbicara dengan pengertian-pengertian yang secara nyata dapat memberikan pengaruh kepada mereka untuk melaksanakan ketaatan kepada Allah. Kerana kadang-kadang ada syubhat yang menimpa sebahagian daripada mereka, dalam keadaan mereka tidak tahu bagaimana cara mengatasinya, sehingga akidahnya menjadi kacau tanpa tahu sebabnya; dan bererti kalianlah yang menjadi penyebabnya.”


Antara kata-kata beliau yang masih terus aku ingat ialah apa yang disampaikan kepadaku dan Ustaz Ahmad As-Sukri dalam suatu majlis. Ungkapannya kurang lebih sebagai berikut: ”Sesungguhnya aku melihat suatu tanda bahawa Allah SWT akan menggabungkan hati manusia melalui kalian, dan menghimpunkan banyak orang melalui kalian. Ketahuilah bahwa Allah akan meminta pertanggungjawaban terhadap kalian tentang waktu-waktu yang digunakan oleh orang-orang itu. Sudahkan kalian memberi sesuatu yang bermanfaat kepada mereka pada waktu-waktu itu, sehingga mereka memperoleh pahala, demikian juga kalian? Ataukah kalian justeru membiarkan waktu itu sia-sia sehingga mereka hanya akan memperoleh seksa, demikian juga kalian?”


Demikianlah kata-kata beliau yang semuanya selalu diarahkan kepada kebaikan; dan yang aku tahu dalam diri beliau yang ada hanyalah kebaikan. Kami tidak menyatakan sesuatu kecuali yang kami ketahui dan kami tidak mengetahui hal yang ghaib.


(*Hal ini kemudiannya benar-benar terjadi iaitu apabila Hasan al-Banna dan sahabatnya Ahmad as-Sukri berjuang melalui gerakan Ikhwanul Muslimin. Ramai orang mengikuti mereka. Cuma mereka telah diperingatkan oleh guru tarekat mereka tentang ke mana mereka akan membawa manusia melalui kegiatan mereka itu, dan mereka akan diminta pertanggungajwabannya oleh Allah)


PENUBUHAN JAMI’ATUL HASAFIYAH AL-KHAIRIYAH


Disela-sela kesibukan, saat di Mahmudiah, kami mendirikan sebuah persatuan yang bervisi islah yakni Jam’iatul Hasafiyah Al-Khairiyah. Ahmad Afandi As-Sukri, seorang peniaga di kota Mahmudiah terpilih sebagai ketuanya, sedangkan aku terpilih sebagai setiausahanya. Persatuan ini menitikberatkan kerjanya pada dua bidang penting.


Pertama, menyebarkan seruan untuk berakhlak mulia, serta memberantas pelbagai kemungkaran dan hal-hal haram yang telah berleluasa seperti arak, judi, dan pelbagai tradisi bid’ah yang berkaitan dengan upacara pemakaman.


Kedua, membendung gerakan misionaris yang dilakukan oleh penjajah Inggeris yang telah menetap di banyak wilayah. Watak-watak pentingnya ialah tiga orang wanita yang diketuai oleh Mrs. Weit. Dia melakukan misi pengkristianan di bawah nama kegiatan sosial dan kesihatan, pengajaran dan keterampilan seperti jahit-menjahit, dan melalui pusat-pusat asuhan untuk menampung anak-anak, baik laki-laki mahupun perempuan. Persatuan ini menjalankan perjuangan misinya yang patut disyukuri dan di kemudian hari perjuangan ini terus dilanjutkan oleh Jemaah Ikhwanul Muslimin (yang pada kemudian hari diasaskan oleh Hasan al-Banna).


GURU DAN MURID YANG BAIK, CUMA BERBEZA JALAN PERJUANGAN


Hubungan kami dengan Syeikh As-Sayyid Abdul Wahhab terus berlanjut dengan baik, sampailah aku mendirikan Jamaah Ikhwanul Muslimin. Jemaah ini berkembang pesat. Dalam hal ini, beliau mempunyai pandangan yang berbeza dengan pandangan kami (dari segi pandangan dan jalan perjuangan). Masing-masing cenderung pada pendapatnya sendiri (maka sejak itu jalan perjuangan mereka adalah mengikut cara masing-masing antara Tarekat Hasafiyah dan Ikhwanul Muslimin).


Kami masih mengenang As-Sayyid Abdul Wahhab (mursyid Tarekat Hasafiyah ketika itu) – semoga Allah memberikan kebaikan kepadanya atas jasa baiknya kepada kami- dengan kenangan terindah yang pernah dialami oleh seorang murid, yang cinta dan tulus kepada gurunya, lantaran dia banyak beramal dan bertaqwa. Beliau selalu memberikan nasihat dengan tulus, serta menyampaikan petunjuk dan pengarahan dengan sebaik-baiknya.


TAMAT


Ditulis semula oleh Abu Zulfiqar al-Amsyari pada 29/8/23 (daripada tulisan Hasan al-Banna yang diterjemahkan ke bahasa Melayu Indonesia, dan diberikan tajuk2 kecil) sebagai pendahuluan jawapan kepada pertanyaan takwil mimpi oleh salah seorang murid sebagaimana berikut :


Salam tuan ustaz. Semoga tuan dirahmati dan sihat hendaknya. Saya ada bermimpi. Mimpi saya begini ustaz... Saya diserang oleh seorang lelaki bertalu2 tapi saya mengelak - macam menepis, macam tu lah. Alhamdulillah, satu serangan dia pun tak kena. Sampai satu tahap, waktu dia hendak memukul saya lagi, tiba2 ada tangan yang memberhentikan perbuatannya. Apabila saya tengok orang itu, orang itu ialah ustaz. Waktu saya bermimpi itu waktu tengah malam. Dalam mimpi saya tu, kiranya tuan ustaz datang selamatkan saya dan memberhentikan terus orang itu daripada menyerang saya.” 26/8/3


Abu Zulfiqar al-Amsyari

29/8/23

Debnga Teratai Syurgawi