Showing posts with label BAHAN BACAANKU. Show all posts
Showing posts with label BAHAN BACAANKU. Show all posts

Thursday, May 8, 2014

Dihadiahkan Kitab Ta'lim al-Muta'allim



Alhamdulillah, syukur…! Menerima hadiah daripada seorang sahabat iaitu Ustaz Muhammad Rauf Minhat dari Melaka berupa sebuah kitab lama, kitab Ta’lim al-Muta’allim. Ribuan terima kasih diucapkan. Sebelum ini pun perkhidmatan Pos Laju sudah pernah menyampaikan hadiah Ustaz Muhammad Rauf iaitu kitab Kifaayatul Muhtaaj dan kitab Badr at-Tamam.

Kitab Ta’lim al-Muta’allim ini dikarang oleh Syeikh Zarnuji. Kemudian diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu tulisan jawi oleh Tuan Guru Haji Ahmad Haji Qaasim (dari Paya Rumput, Melaka). Dan kini dirumikan pula oleh Ustaz Muhammad Rauf Minhat. Maka semakin mudahlah untuk orang ramai mengambil manfaat daripada kitab ini.

Kebetulan baru-baru ini saya ada pergi ke pondok Tuan Guru Sidek Noor An-Naqsyabandi. Kalau tak salah saya, ada iklan yang tertulis mengatakan kitab Ta’lim al-Muta’allim ini disyarahkan secara harian oleh Tuan Guru Sidek Noor sendiri kepada anak-anak muridnya dan orang ramai (orang ramai diberi peluang untuk mengikuti kuliah harian di Pondok Al-Qiam, Batu Hampar, Beruas, Perak ini).

Antara keistimewaan kitab Ta’lim al-Muta’allim ini ialah :

1.       Sudah dirumikan (oleh Ustaz Muhammad Rauf sendiri). Begitu juga dengan dua buah kitab kirimannya sebelum ini.
2.       Teks penuh asal dalam tulisan jawi turut disertakan, tak perlu beli lagi.
3.       Cetakannya kemas, cantik dan berkualiti.
4.       Disertakan nota kaki oleh Ustaz Muhammad Rauf sendiri, untuk lebih menjelaskan.
5.       Disertakan ilmu tabib dan petua ringkas yang dipetik daripada pelbagai kitab.
6.       Ada biografi Syeikh Az-Zarnuji (pengarang asal kitab ini).
7.       Juga biografi Tuan Guru Haji Ahmad  Qasim (orang menterjemahkan kitab ini dari Bahasa Arab ke Bahasa Melayu bertulisan jawi).
8.       Ada biografi Mufti Melaka yang pertama iaitu Tuan Guru Khalil Husin.
9.       Disertakan Nazam tauhid Haji Ahmad Melaka dan biografinya.
10.   Biografi Syeikh Abdul latif Tambi Al-Malakawi.

Tuan-tuan yang berminat dengan kitab ini dan kitab-kitab lain yang sudah dirumikan oleh Ustaz Muhammad Rauf Minhat bolehlah menghubungi tuannya sendiri :

Muhamad Rauf bin Minhat (012-693 8444)
Kampung Paya Ikan,
Bukit Baru,
75150 Melaka.


Terbitan MENUJU PUNCAK Supply & Services.
No. 30B, Jalan Hang Tuah,
75350 Melaka.
O12-664 9850

Cetakan : April 2014.

Berikut ialah kitab-kita jawi yang sudah dirumikan oleh Ustaz Muhamad Rauf Minhat :

1.       Kifayatul Muhtaj (Syeikh Daud al-Fatoni).
2.       Pegangan Yang Terutama (Tengku Mahmud Zuhdi al-Fatoni).
3.       Badrut Tamam wan Nujumuts Tsawaqib (Syeikh Ahmad al-Fatoni).
4.       Pati Munyatul Musolli (Nik Abdullah Ahmad al-Jambuwi).
5.       Usuluddin (Syeikh Mukhtar ibn ‘Atorid).
6.       Faridatul Faraid (Syeikh Ahmad al-Fatoni).
7.       Pati Faridatul Faraid (Nik Abdullah Ahmad al-Jambuwi).
8.       Tuhfat ar-Raghibin (Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari).
9.       Miftahul Jannah ( Syeikh Muhammad Toyyib).
10.   Risalah Aqidah Usuluddin yang Pendek (Syeikh Ahmad al-Fatoni).
11.   An-Nurul Mubin fi ‘Aqaid Usuluddin (Syeikh Ahmad al-Fatoni).
12.   Matan Jauharatul Tauhid (Al-Imam Ibrahim al-Laqqoni).
13.   Tsimarul Jannah (Idris Al-Khaiyath bin Haji Wan Ali Bakum Tok Jum al-Fatani).
14.   Wasail Ilmu al-Kalam wa Rakfatu wa Rahmah lil ‘Alamin (Tuan Guru Abdul Qadir Wangah Wakaf Budi Sekam).

Semoga usaha murni ini berterusan.

Abu Zulfiqar
8 Mei 2014

Tuesday, October 25, 2011

Kebodohan yang Bermanfaat

Menurut Hujjatul Islam Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya’ ‘Ulumiddin pada Kitab Ilmu, adakalanya kebodohan itu bermanfaat kepada seseorang dalam hal-hal tertentu. Dia memetik sebuah cerita sebagai contoh.

Ada seorang lelaki datang mengadu kepada seorang tabib tentang isterinya yang tidak dapat hamil. Si tabib pun memeriksa denyut nadi si isteri. Kemudian si tabib berkata : “Tidak ada gunanya engkau diberikan ubat untuk beranak, kerana engkau akan mati dalam empat puluh hari. Denyut urat nadi engkau menunjukkan begitu.”

Wanita itu pun susah hati. Dia pun banyaklah mengeluarkan hartanya pada jalan Allah. Di samping itu dia juga tidak menghiraukan lagi makan minumnya.

Selepas empat puluh hari, ternyata si isteri tidak juga meninggal dunia. Si suami berasa hairan lalu pergi bertanya kepada tabib.

Kata tabib : “Aku memang tahu begitu. Sekarang bersetubuhlah, dia akan hamil.”

“Mengapa begitu?” tanya si suami.

“Aku tengok dia sangat gemuk. Lemak sudah menutup mulut rahimnya. Aku tahu, dia tidak akan kurus melainkan dengan takut kepada mati. Maka aku takutkan dia dengan hal itu sehinggalah dia kurus dan hilanglah halangan dari beranak.”

Tamat cerita.

Thursday, June 2, 2011

Mengapa Jawapannya Dihadkan Sebegitu Rupa?

Seorang hamba Allah menulis sebuah buku bertajuk “Aina Allah?” ataupun maksudnya “Di Mana Allah?” Tajuk buku boleh tahan untuk menarik perhatian pembeli. Saya lihat isinya sepintas lalu. Belek pula kulit belakangnya. Di sana dinyatakan bahawa penulis mahu membawa pembaca meneliti dan mencari keputusan daripada 3 perkara di bawah:

1. Mereka yang mengatakan bahawa Allah Subahanahu wa Taala berada di mana-mana sahaja atau di setiap tempat.

2. Mereka yang berpegang kepada keyakinan bahawa Allah Subhanahu wa Taala itu berada di dalam hati mahupun diri setiap insan.

3. Mereka yang beriktikad bahawa Allah Subhanahu wa Taala berada di langit beristawa di atas ‘Arasy-Nya.

Yang manakah yang benar?

Saya berasa pelik... mengapa hanya 3 sahaja pilihannya? Mengapa pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah yang penting iaitu Allah tidak terpengaruh dengan tempat, ruang, masa, gelap, cerah, lokasi, posisi, berat, ringan, warna, rasa, bau, sempadan dan sebagainya (Bahkan Dialah yang menciptakan itu semua. Itu semua ialah makhluk. Sebelum ada itu semua, Allah sudah sedia ada tanpa perlu kepada itu semua) tidak dimasukkan?

Saya teringat ketika berdialog dengan penganut agam Kristian. Mereka selalu bertanyakan : “Adakah Jesus itu Tuhan, ataupun dia seorang penipu?”

Saya bertanya balik : “Mengapa hanya ada dua pilihan sahaja? Mengapa anda hadkan kepada dua pilihan sahaja? Mengapa tidak diletakkan lebih seperti a) Tuhan b) wakil Tuhan (rasul/nabi) c) malaikat d) penipu .... ?

Pelik kan?

Sungguhpun begitu, saya belum membaca keseluruhan buku itu kerana memang tidak membelinya pun. Tak tahulah saya kalau-kalau di dalamnya nanti ada dinyatakan jawapan selain daripada yang tiga itu. WaAllahua’lam.

Monday, April 11, 2011

Isi-isi Penting 'Pengantar Ilmu Hakikat & Ma'rifat'

Pengantar Ilmu Hakikat & Ma’rifat

Pro. Dr. H. Abdebakar Acheh

Terbitan CV. Ramadhani

Cetakan Kedua 1992

Penerbit Malaysia = Pustaka Muda

Sesungguhnya, tasawwuf itu adalah inti dari ajaran Islam dan tidak menuntut kita untuk meninggalkan ataupun mengesampingkan kehidupan duniawi ini. Ms 7 Kata Pengantar oleh Ahmad Musta’in Salim MZ.

Nabi Isa pernah berkata : “Alangkah banyaknya pohon kayu tetapi tidak semuanya berbuah. Alangkah banyak buah kayu tetapi tidak semua baik. Alangkah banyaknya ilmu, tetapi tidak semuanya berfaedah.” Ms 15

Dengan demikian, perkataan tariq atau tariqah itu menurut l. Massignon, mempunyai dua pengertian dalam dunia sufi. Pertama dalam abad ke IX dan ke X Masehi bererti CARA PENDIDIKAN akhlak dan jiwa bagi mereka yang berminat menempuh hidup sufi. Kedua sesudah abad ke XI Masehi, tariqah itu mempunyai pengertian SUATU GERAKAN yang lengkap untuk memberikan latihan-latihan rohani dan jasmani dalam segolongan orang-orang Islam menurut ajaran-ajaran dan keyakinan-keyakinan tertentu. Ms 20

Al Bayumi dalam kitabnya ‘Ar-Ruh wa Mahiyatuha’ (Kaherah, 1947 M) menerangkan bahwa roh yang kasar tidak akan sampai apa yang dapat dicapai oleh roh yang sudah suci. Oleh kerana itu orang sufi membuka jalan ke arah kesucian itu, iaitu dengan mengadakan latihan-latihan yang sudah kita kenal dalam tarikat sufi, seperti khalwat dan riyadhah, sehingga roh manusia yang kasar itu meningkat naik ke alamnya yang asli, sehingga terbukalah baginya hijab dan melihatlah dengan kedua belah matanya dengan tubuhnya, mendengar dengan kedua belah telinganya, dan mengetahui dengan perpaduan hati dan akalnya akan ilmu dan ma’rifat itu, maka jelaslah kepadanya, musyahadah, dengan perasaan dan akal sesuatu yang tidak dapat dicapai oleh perasaan dan akal manusia biasa, tetapi dengan perasaan lain, perpaduan anatar rasa, karsa, cipta dan cinta, yang tidak dapat digambarkan dan tidak dapat diuraikan dengan sesuatu cara duniawi, tetapi semua itu merupakan pembukaan rohani dengan alam malakut.” Ms 29-30

Maka manusia yang sudah sampai ke tempat itu melihat, mendengar, merasa dan mempersaksikan apa yang tidak dapat dikerjakan oleh manusia yang masih tertutup dengan kemanusiaan bikinan tanah, manusia yang masih diselubungi oleh kebendaan, syahwat, dan segala kesibukan dunia yang fana ini. Ms 30

Imam Al-Ghazali mengambil keputusan, bahawa ma’rifat yang yakin bukanlah ma’rifat orang awam, bukanlah ma’rifat yang diperoleh ulama ilmu kalam dan filsafat, tetapi adalah yang ditujunya ma’rifat menurut arti tasawuf, yang berdasarkan azas perasaan, kerohanian dan mukasyafah keTuhanan. Inilah ma’rifat yang pernah dianugerahkan Tuhan dalam hati, jiwa dan kerohanian wali-wali yang khusus, dengan tidak melalui kebenaran ilmu pengetahuan, seperti juga tidak melalui penyelidikan yang lain, tetapi laksana ilmu nubuwwah (ilmu kenabian), yang disindirkan Allah dengan firmanNya : “Kami berikan kepadanya ilmu yang langsung dari Kami.” Ms 38-39;

Adapun yang dinamakan ma’rifat dalam tasawwuf menurut Zun Nun, adalah terbahagi atas tiga macam : Pertama, ma’rifat orang mukmin yang umum. Kedua, ma’rifat ulama ilmu kalam dan ahli filsafat. Ketiga, ma’rifat wali-wali yang khawas dari golongan muqarrabin, yang mengenal Allah itu dengan hati mereka, hal mana lebih tinggi dan lebih istimewa dianggap daripada yakin sahaja. Ms 105

Naksyabandi berkata : “ Tiap-tiap tharikat yang menyalahi syariat adalah kufur, dan tiap-tiap yang tidak berdasarkan Quran dan Sunnah termasuk ilhad dan zindiq.” Ms 134

...bahwa menurut Najmuddin Al-Kubra adalah : “Syariat itu seperti sampan. Tharikat itu seperti lautan, dan hakikat itu seperti mutiara. Maka barangsiapa yang menghendaki memperoleh mutiara, ia lebih dahulu menaiki sampan, kemudian ia masuk ke dalam laut dan kemudian berhasillah ia mencapai mutiara.” Barangsiapa mengurangi susunan tertib ini, pasti ia tidak berhasil mencapai mutiara. Ms 134.

Tadi sudah dikatakan, bahawa orang sufi itu dalam mengenal Allah membahagi empat tingkat. Pertama: athar. Kedua : asma : Ketiga : sifat. Keempat : zat. Ms 146

Cerita ini saya ambil dari kitab Futuhatul Makkiyyah, Jl. II gubahan Ibn Arabi. Syibli berkata : “Saya dan Hallaj minum dari sebuah gelas yang sama, tetapi saya kembali suhu, maka selamatlah saya. Sedang Hallaj tetap dalam keadaan sakar, maka ia mengacau, dipenjarakan dan dibunuh.” Tetapi Hallaj yang dalam ikatan, mendengar ucapan Syibli ini menjawab : “ Demikianlah Syibli mengaku dirinya. Sayang ia tidak tahu. Kalau ia minum apa yang aku minum, pasti ia akan menduduki maqam aku sekarang ini.” Demikian perselisihan paham tentang mahu, suhu dan sakar.” Ms 148

Kesimpulan semua uraian Al-Ghazali itu menunjukkan bahwa ma’rifat yang berdasarkan keyakinan itu bukanlah ma’rifat orang awam, dan bukanlah ma’rifat ulama mutakallimin dan tokoh-tokoh filsafat, tetapi adalah ma’rifat sufi, yang didasarkan atas perasaan roh dan mukasyafah keTuhanan. Ms 154

Dr. Tudjimah menerangkan dalam kitab Percobaannya :Asrar Al-Insan fi Ma’rifa al-Ruh wal Rahman” (Jakarata, 1960), bahwa mungkin Nuruddin dengan kesal meninggalkan Aceh pada masa Sultan Iskandar Muda, karena Iskandar Muda sangat menolong Syamsuddin Al-Sumatrani. Ms 161

Ar-Raniri selanjutnya mentafsirkan “man ‘arafa nafsahu, faqad ‘arafa rabbahu”, dengan maksud sebagai berikut : “Siapa yang mengenal dirinya sebagai makhluk, maka ia akan mengenal Tuhannya sebagai yang mencipta; siapa yang mengenal dirinya sebagai fana, ia akan mengenal Tuhannya sebagai baqa’”. Selanjutnya ia memperbandingkan roh dengan Allah. Roh tak dapat diketahui tempat tinggalnya, tetapi terang ia ada. Demikian juga Allah, ia terang ada tetapi tak dapat diketahui di mana Ia bersemayam. Ms 162

Dalam kitabnya “Araraul Insa...” yang menjadi judul juga daripada Kitab Percoabaan Akademi Dr. Tudjimah, Ar-Raniri mengatakan bahwa roh itu dicipta dan orang tak dapat mengetahui bagaimana keadaannya, karena hal ini hanya Allah saja yang mengetahui. Ms 162

Abu Zulfiqar

11 April 2011

Friday, April 1, 2011

Nukilan Dr. Hamka pada Pendahuluan Tafsir Al-Azhar

Saya suka membaca Tafsir Al-Azhar karya Dr. Hamka sekalipun ada bahagian-bahagian tertentu yang saya tidak sependapat dengannya. Pada saya, hasil usahanya itu memang hebat. Siapa pernah menyangka, seorang berbangsa Melayu dapat menyiapkan 30 juzuk tafsir Al-Quran dengan baik?

Dengan rendah hati Dr. Hamka menulis pada pendahuluan kitab tafsirnya iaitu Tafsir Al-Azhar:

“Ilmu-ilmu yang dijadikan syarat oleh ulama-ulama itu Alhamdulillah telah penulis ketahui ala kadarnya, tetapi penulis tidaklah mengakui bahawa penulis sudah sangat alim dalam segala ilmu itu.” Ms 3

“Jangankan bahasa Arab dengan segala nahwu dan sharafnya, sedangkan bahasa Indonesia sendiri (bahasa asal dan harian Dr. Hamka sendiri), tempat Al-Quran ini akan diterjemah dan ditafsirkan (menjadi Tafsir Al-Azhar), tidaklah penulis “tafsir” ini termasuk ahli bahasa yang sangat terkemuka, meskipun telah menulis lebih daripada 100 buku besar dan kecil di dalam bahasa Indonesia.” Ms 3-4

“Ayat-ayat yang seperti ini (tentang alam) jauh lebih banyak (dalam Al-Quran) daripada ayat-ayat mengenai hukum dan Fiqh. Sedang(kan) penulis “Tafsir” ini tidaklah seorang keluaran Sekolah Tinggi Pertanian, tidak ada keahlian dalam Ilmu Alam.” Ms 4

“Di dalam Al-Quran berkali-kali disebut juga soal atom, sedang penulis “tafsir” ini bukanlah seorang ahli atom. Maka kalau syarat ini hendak dipenuhi juga, pastilah “Tafsir” ini tidak jadi dikerjakan.” Ms 4

“Lantaran itu tidaklah salah kalau penulis Tafsir Al-Azhar ini tidak ahli mendalam dalam segala macam segi ilmu Islam yang masyhur. Sebab dalam sejarah Islam sendiri demikian juga halnya. Ulama yang takhassus (spesialisasi) dalam Hadis, lemahlah dia dalam Ijtihad dan Fiqh. Ulama-ulama yang dapat mengistimbathkan hukum dari Al-Quran dan Hadis, kerapkali tidak kuat menghafal, yang kuat menghafal kerapkali tidak kuat memikir. Al Ghazali indah uraian dan kupasannya, tetapi sangat lemah beliau dalam soal menyaring Hadis. “ Ms 5

Menurut Dr. Hamka, penulis-penulis tafsir zaman silam tidak terlepas daripada kecenderungan masing-masing yang mempengaruhi tafsir mereka. Antaranya:

1. Tafsir Razi – cenderung membela Mazhab Syafie.

2. Tafsir al-Kasyaf oleh Zamakhsyari – cenderung membela fahaman Mu’tazilah.

3. Tafsir Ruhul Ma’ani oleh Imam Al-Alusi – cenderung membela Mazhab Hanafi dan mengkritik Mazhab Syafie yang ditinggalkannya. Ms 6

“Tafsir (Fi Zilalil Quran oleh Sayyid Qutb) ini, yang tammat ditafsirkan ketigapuluh juzu’nya, saya pandang adalah satu “Tafsir” yang sangat munasabah buat zaman ini. Meskipun dalam hal riwayat dia belum dapat mengatasi (Tafsir) Al-Manar (oleh Rashid Ridha), namun dalam dirayat dia telah mencocoki (menyesuaikan dengan) fikiran setelah Perang Dunia ke-11, yang kita namai zaman atom. Maka “Tafsir” karangan Saiyid Quthub) ini sangat banyak mempengaruhi saya.”

Dr. Hamka mengarang Tafsir Al-Azhar ini setiap Subuh dari akhir tahun 1958 sehinggalah awal tahun 1964, tapi masih belum siap juga. Dengan kuasa Tuhan, dia ditangkap dan dipenjarakan. Peluang beruzlah dan berkhalwat itulah yang digunakannya untuk menyiapkan tafsir ini.