Wednesday, October 28, 2009

Orang Lain Lebih Memahami...?

KADANG-KADANG insan-insan yang jauh (dari segi tempat dan hubungan) dengan kita lebih memahami, menghargai, mengambil berat bahkan lebih mengenali kita berbanding insan-insan yang dekat dengan kita. Hal ini memang kenyataan yang pernah dirasakan oleh banyak orang.

Kita buat majlis pengajian, orang dekat lagi kita raikan tidak berminat untuk hadir. Orang jauh pula yang bersusah-payah datang. Yang lebih jauh lagi pula ternanti-nanti kuliah terbaru kita dimuatnaik ke internet.

Kita buat usrah, orang jauh terindu-rindu dan ternanti-nanti untuk duduk dalam usrah kita. Orang dekat? Kalau tak ada dibuat lagi bagus. Jika kita tak pecah peluh mengambil inisiatif untuk buat program-program agama, mereka menyebutnya pun kalau boleh tak mahu. Apatah lagi untuk merancang dan mengikutinya.

Kita buat risalah dakwah, orang jauh boleh berbangga dan sedia untuk membeli walaupun kita beri percuma. Berulang kali khatam risalah kita dan boleh pula ajak kita membincangkan sisi kandungannya. Orang dekat? Tidak pula terasa ringan tangan untuk membelek-belek risalah kita, padahal percuma juga. Kalau dibuka pun, sekali itulah. Jangan harap nak diulang, jauh sekali untuk membincangkan isi kandungannya. Orang jauh memanjangkan pula risalah kita kepada orang lain, mengambil peluang pula untuk berdakwah. Orang dekat, kadang-kadang kita sebut tentang perkara yang disentuh dalam risalah itu, rupa-rupanya mereka tidak terperasan pun ia disentuh. “Ye ke? Ada masuk dalam risalah ke? Tak perasan le.”

Kita buat blog peribadi bernada dan beraroma keagamaan. Laman-laman agama umum pun kita wujudkan. Tentulah orang dekat lebih tahu akan usaha-usaha kita di internet. Tapi kadang-kadang yang dekat itu tak pernah langsung membuka laman-laman kita, bahkan memang tak ada niat pun nak klik walau sekali. Cukuplah sekadar tahu yang teman mereka ada buat laman agama di internet.

Dalam blog kita biasanya ada pemikiran kita, luahan hati kita, harapan kita, rancangan kita, pegangan kita, masalah kita, tawa tangis kita dan sebagainya. Orang yang selalu melayarinya, lama-kelamaan dia akan kenal isi hati kita. Sebab itu mereka boleh memahami, bersimpati, memotivasi dan menghargai kita. Malangnya insan-insan di sekeliling kita pula buat endah tak endah akan blog kita. Tak ada apa yang hendak mereka teliti. Lebih-lebih lagi kerana blog kita tidak kena dengan hawa nafsu mereka. Akhirnya mereka gagal memahami, mengenali, bersimpati, menghargai orang yang dekat dengan mereka ini.

Orang jauh tahu kita sedang sakit, orang dekat mahu kita bekerja sebagai orang sihat, dan melayan mereka sebagai orang sihat. Orang jauh tahu kita sedang berada dalam kekusutan yang besar, orang dekat anggap kita tak reti bergaul. Orang jauh tahu perjuangan dan rancangan kita begini dan begini, orang dekat terkejut beruk apabila sesekali kita lontarkan.

Peluang untuk lebih memahami sudah kita sediakan, tapi mereka yang tidak menganggap ia penting. Apabila timbul satu-satu masalah, sering saja mereka merasakan diri mereka lebih benar. Kita pula terpaksa ambil begitu banyak masa untuk menjelaskan semula dari awal kedudukan sesuatu perkara. Tersenyum syaitan melihat masa kita yang sepatutnya boleh dimanfaatkan untuk hal-hal keagamaan dihabiskan begitu saja. Tuhan beri nikmat memandang, membaca dan berfikir, gunakanlah wahai teman.

Itulah... apabila namanya AGAMA, banyak orang berat hati. Banyak bahagian AGAMA bertentangan dengan hawa nafsu mereka. Ini yang dinamakan Islam pilih-pilih. Bahagian Islam yang mana menguntungkan mereka, menyedapkan hawa mereka, memuaskan kehendak mereka dan menyeronokkan mereka akan mereka ambil, bahkan pertahankannya bersungguh-sungguh. Jika kita teralpa sedikit pun bukan main tarik muka dan melentingnya.

Tapi kalau kena bahagian agama yang mereka terpaksa berkorban, kena bersusah-susah sedikit, yang tidak memberi keseronokan, mereka tolak mentah-mentah. Kalau tidak mentah-mentah pun, ditolak separuh masak. Mereka memang tidak ada hati untuk mengambil Islam SECARA KESELURUHANNYA. Pelbagai alasan dikarang untuk menolak dan menidakkan mana-mana bahagian agama yang tidak kena dengan kehendak hawa nafsu mereka.

“Alex, susah betoi la nak tengok muka hang. Hang ni tak ingat kat kami ka? Seminggu sekali pun belum tentu boleh dengaq sogha hang.”

Jika mereka orang yang mahu kepada agama, mahu bekerja untuk Tuhan, seminggu 5 kali pun boleh duduk bersama-sama dalam tempoh yang lama. Datang berjemaah ke surau, sudah tentu jumpa. Paling kurang pun sekali sehari sudah tentu berbalas sapa. Datang pengajian, pergi ke majlis guru-guru lain pula berasama-sama, ikuti usrah mingguan, ikuti pula program jemaah, buat aktiviti ibadah mingguan bersama-sama, menziarahi orang lain kerana dakwah, buat halaqah zikir bersama-sama.... mungkin hampir setiap hari boleh jumpa kalau mereka sanggup korbankan kerehatan dan hiburan mereka untuk sama-sama menggerakkan agama Allah.

Tapi... nama saja pertemuan atas ‘agama’, tinggal harapan sajalah. Berkumpul atas nama perjuangan, menyebutnya pun tak mahu. Hendak lari lagi ada. Berkumpul atas ‘sembang-sembang kosong’, menonton hiburan tak selaras dengan Islam bersama-sama, berjalan makan-makan angin, atas majlis-majlis makan, atas nama harta (tanah, rumah, kebun, duit), atas nama ‘berkumpul ramai-ramai’..... agenda yang paling mereka suka. Kita dipandang salah pula jika gagal menghadirkan diri, malah dikatakan salah di sisi agama- sombong, tak mahu bergaul, menolak kawan, kera sumbang, masalah mental, ikut ajaran agama yang salah... macam-macam label dilambakkan kepada kita.

Padahal, hakikatnya ruang untuk berehat pun kita tak ada. Tanggungjawab lebih banyak daripada masa yang ada. Fikiran sentiasa berjalan khususnya untuk hal-hal keagamaan. Diam kerana berfikir ataupun berzikir. Mereka sepatutnya sedar, kurangnya masa kita bersama-sama mereka kerana mereka tidak sanggup menghabiskan masa senang mereka dengan kerja-kerja pada jalan Allah. Sebab itu nampak kita pun seminggu sekali. Cuba mereka korbankan sedikti kesenangan dan melibatkan diri dalam usaha-usaha menggerakkan agama Allah, setiap hari boleh tengok muka kita. Untuk kita mengorbankan jalan kita dengan selalu menyertai perhimpunan-perhimpuan mereka, mustahil untuk kita lakukan.

Sebab itulah selalu kita ambil fahaman- berdakwah kepada yang mahu saja. Bukan kita sengaja hendak meninggalkan mereka yang tidak/ kurang mahu. Tapi darab campurnya sudah kita kaji. Berusaha ke atas 10 orang yang mahu, mungkin kita oleh dapat 7 orang pejuang yang kekal sebagai penggerak agama Allah. Tapi jika kita habiskan masa kepada 10 orang yang tak/ kurang mahu, mungkin kita akan dapat 3 orang saja. Kita terpaksa buat pilihan sebegini kerana masa dan tenaga kita sangat terbatas.

... tak tahulah macam mana hendak dihurai lagi...

...selalu... kadang-kadang.....

............................

Sunday, October 25, 2009

Serban Menurut Ustaz Nasruddin Tantawi

Dalam akhbar Harakah bilangan 1342 keluaran 1-15 September 2007, terdapat satu wawancara dengan Ustaz Nasruddin Tantawi (Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat). Antara perkara yang diperkatakan ialah tentang pemakaian serban. Kita ikuti petikan daripada temuramah tersebut.

SOALAN:

Ustaz selalu dilihat memakai serban, bila bermulanya memakai serban dan bagaimana serban itu sinonim dengan ustaz?

USTAZ NASRUDDIN:

Saya mula memakai serban sejak saya menuntut di Pondok Pasir Tumboh Kelantan. Saya melihat IANYA ADALAH SEBAHAGIAN DARI PAKAIAN RASULULLAH SAW.

Maka saya cuba praktiskan pemakaian serban ini dalam kehidupan saya kerana IA MENGINGATKAN SAYA dan MENIMBULKAN RASA KASIH YANG MENDALAM KEPADA RASULULLAH SAW selain dari MENGAMALKAN SUNAH BAGINDA yang lain.

Warna serban kegemaran saya ialah PUTIH dan HITAM. Di kala saya memakai SERBAN BERWARNA PUTIH, saya rasa diri saya sebagai seorang ustaz atau guru yang perlu menjaga kehormatan diri dan sahsiah. Ini cukup bermakna bagi saya agar konsisten dalam pembentukan peribadi yang mulia.

Apabila saya memakai SERBAN HITAM pula, saya rasa gagah dan perkasa untuk meneruskan kelangsungan perjuangan tanpa gentar lagi berhadapan musuh biar siapa pun mereka.
Laksana memakai pakaian perang dan ini penting untuk saya tabah dan sabar mengenderai perjuangan yang getir ini.
TAMAT.



ULASAN ABU ZULFIQAR

Petikan ini bagaikan magnet menarik perhatian saya kerana apa yang diperkatakan oleh Ustaz Nasruddin umumnya sama dengan pandangan saya. Saya membiasakan memakai serban (bukan sentiasa berserban) jika ada kesempatan dan sesuai dengan keadaan. Ada ketika saya berkopiah sahaja, ada ketika saya bertopi dan ada ketika tidak menutup kepala dengan apa-apa.


Saya mula berserban pada usia dua puluh empat tahun. Sebelum itu saya memang sudah terdedah dengan jemaah Darul Arqam, jemaah Tabligh dan pelajar-pelajar pondok tetapi hati tidak terbuka untuk berserban lagi. Ketika itu baru bekerja dan tinggal di tempat orang. Di kampung itu memang tidak ada orang yang berserban kecuali seorang pakcik tua. Orangnya warak dan mulutnya boleh dikatakan tidak berhenti-henti berzikir jika tidak makan minum, tidur ataupun bercakap. Kenderaannya sebuah basikal tua. Kurus tinggi orangnya dan berkulit putih. Setahu saya dia tidaklah bergiat dengan apa-apa jemaah, wallahualam. Saya pula seorang yang berat mulut, lebih suka berfikir daripada bersembang. Sebab itulah saya tidak berkesempatan kenal lebih rapat dengan si pakcik hinggalah ke akhir hayatnya.

Secara tiba-tiba saya terasa teringin sangat hendak berserban dan berjubah. Sehelai demi sehelai jubah dan kemudiannya serban dibeli. Saya tidak kisah apa kata masyarakat sekeliling. Yang pasti pemakaian begitu mempercepatkan proses mentarbiah hati nurani saya. Biarlah ia menjadi bahan cakapan orang ramai.

Serban pertama berwarna putih, kain licin dan panjangnya tujuh hasta. Khabarnya serban Rasulullah yang terpanjang ialah tujuh hasta dan yang terpendek dua hasta (wallahualam)- hendak ikut sunnahlah kononnya. Serban kedua berwarna hitam, kain licin sepanjang lima hasta. Seterusnya serban biasa bercorak warna merah tua, serban al-Maunah (merah putih), serban coklat, serban corak berwarna coklat putih, serban biru dan serban hitam kain kasar (sebenarnya selendang perempuan)- entah yang mana dulu saya pun sudah lupa.

Saya sangat meminati serban Darul Arqam ketika itu tetapi gagal mendapatkannya di mana-mana berikutan pengharaman Darul Arqam sedang di kemuncaknya. Khabarnya hanya jemaah Darul Arqam yang menjual serban jenis itu yang dibawa dari luar negara, kalau tidak salah dari Syria ataupun Jordan. Ketika itu saya melihat corak yang ada pada serban Darul Arqam seolah-olah melambangkan nilai-nilai kemelayuan.

Mengapa saya mula berserban?

Pertamanya kerana gerak daripada Allah hasil istikharah yang saya lakukan.

Keduanya kerana saya rasa yakin ‘membiasakan’ memakai serban itu satu sunnah. Mempertahankan satu sunnah di kala orang lain tidak berminat mempertahankannya akan mendapat ganjaran seratus pahala syahid. Ewahhh!


Ketiganya (sepatutnya yang ini kedua) apabila berserban saya terasa sangat rapatnya kasih sayang saya dengan Rasulullah, entahlah mengapa. Seandainyalah memakai serban ini tidak mendapat apa-apa ganjaran daripada Allah pun, pasti akan saya selalu memakainya juga kerana ia membuatkan saya berasa sentimental dengan kekasih saya- Rasulullah SAW. Saya juga akan terasa betapa besarnya kerja-kerja Rasulullah dulu yang diwariskan kepada kita dan kini menghempap di atas kepala saya. Pahala bukanlah matlamat utama kerana rasa sedap berserban mencontohi Rasulullah adalah lebih sedap daripada berserban kerana mendapat seratus pahala syahid. Itu yang saya rasa.

Yang keempatnya tentulah untuk lebih memelihara diri dan melonjakkan proses mentajdid roh saya yang memang banyak rosak.

Sungguhpun jemaah terakhir yang saya anggotai (hingga kini) tidak menjadikan serban sebagai salah satu perjuangan mereka, itu tidak menjadi masalah. Ketika melibatkan diri dengan program jemaah, saya berkopiah sahaja. Jika ada urusan sendiri, saya berserban kalau mahu. Amal jemai’e mesti dijaga dan pimpinan mesti diakur- itu prinsip saya. Lagipun, akan nampak peliklah sekiranya saya seorang saja yang berserban. Apatah lagi majoriti mereka merupakan lulusan dari Timur Tengah sedangkan saya orang biasa saja. Nampak lebih-lebih pulak orang biasa berbanding lulusan Timur Tengah. : )

Anda takut berserban? Takut berserban kerana khuatir tidak akan mendapat jodoh? Khuatir orang perempuan tak mahu? Khuatir kerana wanita-wanita cantik yang ada hari ini majoritinya tidak minat lelaki muda berserban? Takut bakal pak mertua ibu mertua tak terima pinangan?

Jika itu pandangan anda, terpulanglah. Boleh jadi anda betul. Tapi berdasarkan pengalaman saya, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Ye lah… lain orang lain rezekinya, kan? : )

Ketika mula berserban, saya pun beranggapan begitu. Oleh kerana saya bukan jenis ‘berpasangan’ seperti muda-mudi lain, maka tidaklah saya kisahkan hal tersebut. ‘No women no cry’ kononnya saya zaman itu… hi hi. Kebetulan semangat untuk pergi berjihad (ke Kashmir) mula naik sedikit demi sedikit, ketika itu saya kuranglah fikir sangat ‘takut tak dapat jodoh dan tak sempat kahwin’. Tak ada jodoh pun tak kisah. Jadi kepercayaan yang diperkatakan tadi tidaklah menjadi penghalang kepada saya untuk selalu berserban.

Namun kuasa Allah siapa yang dapat menduga. Wanita-wanita yang pernah tertarik dengan saya menjadi lebih terpaut hati mereka apabila mereka terjumpa saya berserban. Yang belum terpikat pun ada yang jadi terpikat. Pakcik makcik di sekeliling pun ada yang membuat tawaran untuk anak-anak buah mereka walaupun mereka bukan jenis yang minat dengan serban dan tidak ke arah keagamaan pun. “Pelik betul! Aku ingat apabila aku mula pakai serban orang akan cabut lari, rupa-rupanya makin dok rapat pulak! Besarnya kuasa Tuhan…!”

Dan yang paling penting… ini yang saya nak kongsi sangat dengan sahabat-sahabat yang belum berumahtangga...


Wanita-wanita yang jauh dari agama boleh dikatakan hampir kesemuanya (99%) tidak terfikir untuk mengambil lelaki berserban sebagai suami mereka. Betul tak? Betul! Ini kenyataan! Mereka mengimpikan lelaki yang secorak dengan mereka juga.

Jadi, siapa yang sanggup mengambil lelaki berserban sebagai pasangan hidup? Siapa menurut pandangan anda? …


Tidak lain hanyalah mereka yang sanggup mengikut telunjuk agama! Jenis ini mudah untuk akur dengan agama sekalipun dunia sekelilingnya menolak. Dia sanggup mengambil risiko rugi keduniaan dalam mencari agama.


Bukankah jenis ini yang kita cari? Bukankah jenis ini yang kita impikan sebagai penghulu-penghulu bidadari kita di syurga nanti?


Apabila kita mula berserban, automatik wujud satu TENAGA PENAPIS YANG HEBAT, yang menapis dan menolak keluar wanita-wanita yang tidak ada hati untuk hidup dalam suasana keagamaan daripada mendekati kita. Dengan rela hati mereka meenjauhkan diri.

HASILNYA, yang masih menunjukkan minat terhadap kita semuanya jenis yang sanggup akur dengan agama ataupun yang mahu berubah ke arah hidup keagamaan sahaja. Apa macam? Untung tak? : )

Kita kiaskan dengan wanita pula. Sebahagian wanita menyangkakan dengan menyimpan aurat seperti bertudung, bertudung labuh, berjubah, berpurdah, berbicara sopan-santun ataupun memakai pakaian yang kurang warna dan corak akan menipiskan peluang mereka mendapat pasangan. Sebab itu ada pelajar aliran agama sendiri yang pakaiannya terikut-ikut pakaian wanita-wanita di jalanan. Berpakaian menyimpan aurat (dengan sempurna) dianggap menutup terus perhatian para lelaki.

Keluar dari isu utama sebentar… ahli-ahli ilmu hakikat memang kecewa benar dengan perlakuan di atas. Hal ini menunjukkan betapa lemahnya pemahaman kebanyakan manusia hari ini kerana menyangkakan kuasa untuk menarik dan mendapat pilihan pasangan terbaik ada pada diri mereka. Padahal kuasa untuk menarik dan mendapat pasangan terbaik ada pada Allah sahaja.
‘Siapa yang berkuasa untuk menarik perhatian lelaki ataupun keluarga lelaki kepada anda? Anda ataupun Tuhan?”

Sambung semula…

Semua wanita mahukan pasangan terbaik. Wanita-wanita yang berfahaman agama ataupun yang mahu mengubah diri ke arah berfahaman agama tentulah lebih lagi mahukan pasangan yang terbaik buat mereka dari sudut agamanya. Sekiranya anda menyimpan aurat sebagaimana yang disebutkan tadi, secara automatik anda telahpun menapis keluar lelaki-lelaki yang tidak anda harapkan untuk menjadi suami anda. Yang melepasi tapisan tentu saja mereka yang memang berfahaman agama ataupun sekurang-kurangnya yang mahu ke arah agama. Akhirnya walau siapapun yang anda pilih daripada mereka yang masih tertinggal ini, risiko anda untuk mendapat suami yang tidak diharapkan menjadi lebih rendah. Peluang anda untuk mendapat suami yang menghampiri ciri-ciri ‘suami impian’ semakin cerah.

Ketika memakai serban putih, saya rasa terdorong untuk mengekal bahkan menambahkan kesucian jasmani, rohani dan roh. Ketika mengenakan serban hitam pula saya rasa terdorong untuk berasa berani dan gagah seolah-olah seorang pahlawan. Serban biru saya pula mendorong saya untuk berkelakuan lebih lemah-lembut, bertolak-ansur, sabar dan tenang. Serban-serban lain kurang saya rasa apa-apa seperti serban putih, hitam dan biru. Memakai serban ketika berhadapan dengan jin-jin yang mengganggu memang memberikan kekuatan dan keyakinan bonus kepada saya. Berdasarkan pengalaman saya juga, jin-jin yang mengganggu cukup benci dengan orang berserban. Kebencian dan penghinaannya dinyatakan secara terang-terangan melalui mulut orang yang sedang mereka rasuki. Jadi, janganlah kita ikut perangai jin ye. Kalau tak teringin hendak memakai pun, janganlah dikata kepada yang yang memakai, raikan saja. : )

Wallahualam.

Abu Zulfiqar Amsyari @ Alexanderwathern
30-31 OGOS 2007

‘PANDANG GLOBAL, BERGERAK SEBAGAI SATU UMAT’
‘BERTUHANKAN ALLAH, BERSYARIATKAN SYARIAT MUHAMMAD’
Bersama Dakwah Tajdid Segar…

*Tips 'MENAPIS CALON' dalam tulisan ini hanya relevan dalam suasana Malaysia sahaja. Jika anda berserban di tempat lain seperti di beberapa bahagian negara Afghanistan, tapisan tersebut tidak akan berfungsi kerana semua orang di sana berserban termasuklah penyamun dan para penjenayah lain. Jadi sementara masih relevan ni, bolehlah dipraktikkan. : )

Saturday, October 24, 2009

Serban Abang

WATAK & PERWATAKAN

HAFIZ - Anak muda berusia 27 tahun. Lulusan agama dari sebuah universiti Timur Tengah. Kini bertugas sebagai seorang guru agama di sebuah sekolah menengah.

ISKANDAR- Abang kepada Hafiz. Berusia 33 tahun.Lulusan agama dari sebuah universiti di Indonesia. Setelah habis pengajiannya, memilih untuk menjadi seorang petani moden. Namun ada juga memberikan kuliah di beberapa masjid dan surau berhampiran.


LATAR TEMPAT

Kampung Sungai Lilin. Suasana desa masih terasa di kampung ini walaupun perubahan agak pesat berlaku.


LATAR MASA

Cuti sempena Tahun Baru Cina pada tahun 2007


LATAR MASYARAKAT

Masyarakat Melayu pinggir bandar, berpendidikan dan bermaklumat.


Hafiz dan abangnya baru selesai mandi di sungai. Mereka berjalan pulang beriringan. Begitulah mereka apabila sesekali berjumpa. Ketika itu lebih kurang pukul 6.00 petang.


HAFIZ
Kenapa abang pakai serban, bang? (Hafiz menduga abangnya yang selalu memakai serban. Bagi Hafiz, serban bukanlah satu sunnah dan tidak sunat memakainya. Sebelum ini Hafiz tidak berani mengutarakan isu ini kerana takut kalau-kalau abangnya tersinggung)


ISKANDAR
(Menoleh sebentar ke arah adiknya, memberikan sedikit senyuman… lalu menoleh semula ke arah depan)

Sajalah, abang nak ikut Nabi.


HAFIZ
Tapi kan… Nabi bukan sentiasa berserban. (Hafiz mula membuka hujah sambil merenung wajah Iskandar dari sisi sebelah kiri)


ISKANDAR
(Tersenyum lagi, lebar sedikit daripada tadi)

Itulah yang abang ikut. (Ringkas saja jawabnya)


HAFIZ
(Berasa pelik dengan jawapan tersebut. Keningnya berkerut sedikit)

Macam mana tu? Tak faham saya.


ISKANDAR

Nabi Muhammad ni… kadang-kadang dia pakai serban dan kopiah. Kadang-kadang dia pakai kopiah saja. Adakalanya pulak dia pakai kain serban sahaja. Ada waktu dia tak tutup kepala dengan apa-apa. Ada yang dia dia tutup dengan kain…


Jadi… betullah baginda tidak sentiasa berserban. Dan yang tidak sentiasa berserban itulah yang kita ikut. (Satu-satu dan lambat-lambat penjelasan Iskandar)


(Memang betulpun. Ketika berkebun, Iskandar memakai topi yang biasa dipakai oleh kaki pancing. Ketika “jogging” di s ebelah petang, kepalanya tidak bertutup. Ke surau atau ke majlis-majlis, biasanya berserban ataupun berkopiah sahaja. Di gelanggang silat, kepalanya diikat kain hitam. Di dalam tandas, kepalanya bertutup kain tuala)


HAFIZ
(Tergamam mendengar jawapan Iskandar. Belum pernah dia terjumpa alasan seperti itu walaupun sudah beberapa orang rakan sepengajiannya yang berserban di”pancung”nya sebelum ini. Beberapa orang tua kampung itu seperti Ustaz Uthman imam, Tok Aki Raof yang berusia 75 tahun dan Cikgu Zakaria Tabligh pun pernah di”pancung”nya tempoh hari. Teraba-raba mereka mencari jawapan)


(Dalam keadaan begitu, Hafiz cuba untuk berlagak biasa. Dicarinya ruang yang lain)


Bagi abanglah, adakah serban tu satu sunnah?


ISKANDAR
(Sebenarnya faham permainan hati adiknya ketika itu)

Ada ulama yang kata sunnah, dan ada ulama yang kata bukan sunnah. Ulama yang kata sunnah pun banyak, yang kata bukan sunnah pun banyak. Apabila sebelah sana berkumpul banyak ulama yang soleh dan di sebelah satu lagi pun banyak ulama yang soleh, maka ia jadi perkara khilaf. Adab dalam berkhilaf… kedua-dua pihak kena saling hormat-menghormati keputusan lawan masing-masing, kena saling meraikan. Kan begitu?


HAFIZ
(Terdiam… kemudian baru mengangguk-angguk kecil. Tapi anggukan itu bukanlah tanda dia bersetuju penuh, cuma dirasakannya ketika itu, bahasa badan anggukan itulah yang sesuai sambil mindanya ligat berfikir)

Tapi kan… macam dalam kes wanita menjadi imam kepada lelaki- ada ulama besar zaman dahulu yang kata boleh. Kalau ini kita anggap khilaf, maka bolehlah orang perempuan jadi imam! Betulkah boleh?


Mereka berpandangan, lalu kedua-duanya tertawa kecil


ISKANDAR

Adakah bilangan ulama yang kata boleh itu setanding dengan bilangan ulama yang kata tak boleh? ………

Jawapannya- tidak. 2-3 orang saja yang kata boleh berbanding ratusan atau ribuan ulama muktabar yang kata tak boleh. Jadi situsi ini tidaklah boleh dikatakan khilaf, tetapi apa yang difatwakan oleh 2-3 orang ulama tadi disebut “pendapat yang ganjil” saja. Ini berbeza dengan khilaf.


Iskandar membiarkan masa sepi tanpa bicara sebentar, untuk memberi ruang kepada kata-katanya difahami secara maksimum oleh Hafiz.


ISKANDAR

Kemudian… adakah para ulama yang 2-3 orang itu pernah berimamkan wanita? Ada tak apa-apa bukti yang menunjukkan mereka memang pernah berimamkan wanita? Maksudnya, pernahkah ada contoh daripada mereka pada zaman itu? Isteri mereka ke.. anak murid mereka ke..?


HAFIZ

Taklah pula saya mengkaji sampai ke situ.


ISKANDAR
Ye lah. Kita bincang-bincang ni pun atas ilmu dalam dada je, bukan ada kitab kat depan pun. Kita cakap setakat apa yang tahu je lah. (Mereka sama-sama tersenyum)


Sunyi seketika. Nun di hujung jalan kelihatan beberapa orang kanak-kanak bermain. Sesekali suara mereka kedengaran walaupun agak jauh juga kedudukan mereka. Mungkin dibawa angin lembut yang menampar-nampar di wajah. Begitulah suasana kampung Sungai Lilin pada lewat petang.


Baru sebentar tadi Dani anak kecil Pak Lah berbasikal melewati mereka. Cukup laju kayuhannya. Diikuti oleh kakaknya Mazlina yang berusia sebelas tahun.


HAFIZ
(Masih mahu menyambung bicara)

Ada pendapat mengatakan… serban ni bukanlah sunnah Nabi, tapi ia satu budaya Arab saja- yang tidak dituntut menirunya di tempat-tempat lain.

Macamlah naik unta. Takkanlah kerana Nabi pernah naik unta maka semua umat Islam disuruh naik unta juga walaupun di negara itu tidak ada unta. Tambahan pula pada zaman teknologi canggih ni.


ISKANDAR

Hmm… macama mana nak jawab ye…

Beginilah.

Apakah definisi serban?


HAFIZ

Nak kena buka Kamus Dewan le jawabnya!


Mereka tertawa lagi.


ISKANDAR

Baiklah. Apabila disebut serban saja, apa yang Hafiz bayangkan?


HAFIZ

Mmm… kain… dilipat ataupun dirapat-rapatkan… kemudian dililit di kepala.. dengan… “style’ yang macam-macamlah. Ada yang ada ekor, ada yang tak da… mmm… gitulah lebih kurang.


ISKANDAR

Okeyyyyyy… adakah kain yang dililit di kepala Syeikh Nazeem… kenal Syeikh Nazeem?


HAFIZ

Tahu. Dia orang besar tariqat, tariqat apa entah. Tapi tahu le.


ISKANDAR

OK. Adakah adakah kain putih yang dililit di kepala Syeikh Nazeem itu dipanggil serban?


HAFIZ

(Berasa pelik sedikit dengan soalan abangnya)

Iye.


ISKANDAR

Adakah kain cantik bercorak pelekat yang dipakai oleh orang-orang Darul Arqam dulu dipanggil serban?


HAFIZ

Ya.


ISKANDAR

Adakah kain hitam di kepala pejuang-pejuang Taliban itu serban?


HAFIZ

Ya. Serban.


ISKANDAR

Yang maulana-maulana Tabligh di India pakai tu?


HAFIZ

Saya tak pernah tengok maulana-maulana tu.


ISKANDAR

(Tertawa kecil)

He he he… ye lah… tapi kan banyak orang Islam India pakai serban…


HAFIZ

Ye ye… saya faham. Memang serbanlah tu. (Tersenyum)


ISKANDAR

Dalam bulan Ramadhan hari tu, dalam rancangan Jejak Rasul ke apa ke rancangan yang seumpama tu lah… ada dirakamkan imam-imam masjid di Negara China yang berserban putih dan panjang sampai ke pinggang ekornya. Adakah itu serban atau bukan?


HAFIZ
…iye… (Nada jawapannya mula nampak berhati-hati. Ini kerana dia dapat merasakan ada sesuatu yang sedang dikumpul oleh pertanyaan-pertanyaan abangnya)


ISKANDAR

Orang-orang Sikh yang jelas bukan Islam, ada memakai kain di kepala mereka. Adakah itu serban?


HAFIZ

Memang orang sebut serban juga.


ISKANDAR

Jadi, apa saja kain yang seumpama itu dan dipakai seumpama itu, sama ada dipakai oleh Syeikh Nazeem yang berketurunan Cyprus, dipakai oleh Uztaz Ashaari Arqam Rufaqa’ keturunan Melayu Malaysia, dipakai oleh Taliban berketurunan Afghanistan, dipakai oleh… sapa tadi… maulana-maulana Tabligh keturunan India, dan dipakai oleh imam-imam Negara China yang berketurunan China, termasuklah yang dipakai oleh kaum Sikh yang bukan beragama Islam… semua itu disebut serban.

Betul?


HAFIZ

(Merenung wajah abangnya, tanpa jawapan bersuara tetapi mengangguk-angguk)


ISKANDAR

Kesimpulannya, yang dinamakan serban itu bergantung kepada kain dan cara pakainya, bukan siapa pemakainya. Bukan bangsa pemakainya dan bukan juga agama pemakainya. Setuju?


HAFIZ

Hmm… bolehlah dikatakan begitu… (masih tidak begitu mengiyakan kesimpulan abangnya)

ISKANDAR

Pada zaman Nabi dan para sahabat, ada orang Yaman di selatan Semenanjung Tanah Arab memakai kain sebegitu di kepala mereka. Adakah itu serban?


HAFIZ

He em. (Mengiyakan)


ISKANDAR

Zaman itu, ada orang di Sudan dan Mesir dan di beberapa bahagian benua Afrika… memakai kain yang seumpama itu di kepala mereka. Adakah itu serban?


HAFIZ

(Mengangguk)


ISKANDAR

Zaman itu juga, ada orang di pedalaman Negara China dan di Mongolia memakai kain seumpama itu di kepala mereka…betul-betul serupa cara pakainya. Adakah itu serban?


HAFIZ

(Terdiam)


ISKANDAR

(Setelah beberapa lama…)

Macam mana Hafiz?


HAFIZ

Tapi… tak pernah orang kata itu serban…


ISKANDAR

Kenapa?

Adakah sebab kain itu dipakai oleh orang bukan Arab maka ia tak boleh dipanggil serban? Padahal bentuk kain dan cara pakainya sama saja!

Orang Sudan bukan bangsa Arab, mereka bangsa Afrika tapi kenapa kita iktiraf mereka pakai serban?

Lagipun, cuba ingat balik. Kan ke tadi kita dah ada satu keputusan kecil.. mengatakan… yang dinamakan serban itu bergantung kepada kain dan cara pakainya, bukan siapa pemakainya, bangsa mana yang memakainya, agama apa yang memakainya…? Bahkan orang-orang nomad di China, Mongolia dan Uzbekistan telah berserban sebelum kelahiran Nabi Muhammad lagi!


HAFIZ

(Masih tidak menjawab apa-apa tapi tersenyum lebar, agak lama juga senyumnya)


ISKANDAR

(Merasakan yang adiknya tidak akan memberikan apa-apa jawapan, Iskandar meneruskan aliran maklumatnya)

Seorang pengembara terkenal zaman dulu… abang dah lupa siapa, tapi catatannya memang jadi sumber sejarah. Sewaktu dia singgah di Kepulauan Melayu, dia menulis… bahawa orang-orang Melayu yang ditemuinya kebanyakannya berkulit gelap dan “membungkus kepala mereka”.


Orang-orang India pun sama. Sebelum kedatangan Islam lagi… telah ada masyarakat yang berserban.

Jadi… serban bukanlah budaya Arab sebagaimana yang dilaung-laungkan oleh musuh-musuh Islam dari Barat. Mereka inilah yang mula-mula cuba mewujudkan satu hukum universal yang mengatakan… apa saja yang dibawa oleh Muhammad adalah khusus untuk bangsa Arab... agamanya, budayanya, peraturannya… Mereka mempopularkan sebutan “Budaya Arab” dan menenggelamkan sebutan “Budaya Islam”. Mereka mahu dunia terima hakikat bahawa tidak ada sebarang budaya Islam, yang ada hanyalah budaya Arab. Panjanglah kalau nak dibincangkan bab ni.


HAFIZ

Ye lah, saya faham.


Mereka tiba di halaman rumah. Oleh kerana senja masih jauh, mereka menuju ke pokok ceri di penjuru kanan halaman. Ada pangkin tempat untuk mereka melabuhkan punggung.

Setelah duduk, Hafiz mendongak ke atas. Dilihatnya seekor burung kecil berwarna kuning sedang melompat-lompat dari dahan ke dahan. Ketika itu juga dia terpandang sesuatu meluncur ke bawah- ke arah Iskandar. Kena saja tubuh Iskandar, terus tubuh Iskandar terlatah. Sempat sikunya menyinggah ke bahu Hafiz. Terjatuh Hafiz ke tanah.

Mereka tiba di halaman rumah. Oleh kerana senja masih jauh, mereka menuju ke pokok ceri di penjuru kanan halaman. Ada pangkin tempat untuk mereka melabuhkan punggung.


Setelah duduk, Hafiz mendongak ke atas. Dilihatnya seekor burung kecil berwarna kuning sedang melompat-lompat dari dahan ke dahan. Ketika itu juga dia terpandang sesuatu meluncur ke bawah- ke arah Iskandar. Kena saja tubuh Iskandar, terus tubuh Iskandar terlatah. Sempat sikunya menyinggah ke bahu Hafiz. Terjatuh Hafiz ke tanah.


Rupa-rupanya tahi burung, kena betul-betul atas bahu Iskandar. Apabila pendekar Terlak disentuh, bukan main sensitif lagi- terus pukulannya mencari sasaran. Nasib engkaulah Hafiz.


HAFIZ
Allahhh… sengal giler woi! (Mengaduh tapi masih mampu tersenyum)


ISKANDAR

Ha ha ha! Sorry sorry! Allahhh… tak kan Hafiz tak tau abang ni, bukan boleh tercuit sikit! (Diusapnya bahu Hafiz)


HAFIZ

Orang pun belajar silat jugak, tapi tak le teruk macam abang ni. Lipas main kat kaki “time” tengah tidur pun habis dinding papan tercabut kena tendang.


ISKANDAR

Ha ha ha. Biasalah tu.


PAK SAID
(Melaung dari tepi rumah)

Kenapa tu?


HAFIZ

Tak ada apa ayah, “accident” sikit!


Mereka membetulkan duduk di pangkin. Iskandar mengelap sisa-sisa tahi burung di bahunya.


ISKANDAR

Huh, tak puas hati ni! Masuk rumah nanti mandi lain! (Dilapnya sambil lewa saja)


HAFIZ

Abang, pasal serban tadi… setahu saya, semua hadis-hadis tentang serban adalah palsu ataupun dhaif…tak boleh nak dibuat hujah.


ISKANDAR

Hadis-hadis yang jelas palsu, memang kita tolak. Tapi… nak ada kajian jugak. Adakah majoriti ulama hadis menghukumnya palsu, ataupun… hanya seorang dua saja yang kata palsu sedangkan tujuh lapan orang lagi kata tak palsu?


Sekarang ni… banyak orang yang baca satu dua buku tentang hadis, contohnya hadis-hadis yang dinilai oleh al Albani. Lepas tu, kalau Albani mendapati sesuatu hadis itu palsu, maka si pembaca tadi pun seumur hidupnya menghukum hadith itu palsu. Padahal dia tidak mencaripun kalau-kalau ada ulama lain yang mengatakan hadis itu bukan palsu.


Kalau orang tanya kepada pembaca tadi, “Apa nilai hadis ini?”. Maka terus dijawabnya “palsu”, seolah-olah para ulama hadis bersepakat mengatakan hadis itu palsu. Padahal yang menghukumnya palsu adalah al Albani. Maka kalau kita nak jaga kesarjanaan dalam hal ehwal agama ini, sepatutnya… si pembaca tadi kalau berpeluang mestilah mengatakan , “Hadis ini palsu menurut al Albani dan siapa-siapa lagi. Menurut ulama lain-wallahualam.” Dengan cara ini, ilmu agama akan lebih terjaga.


Merenung mata Hafiz, lalu menyambung kata-katanya lagi


ISKANDAR

Pasal hadis dhaif pula… ia boleh dijadikan hujah dalam perkara-perkara yang bukan persoalan pokok dalam agama, asalkan tidak terlalu dhaif. Dan serban bukan persoalan pokok dalam agama Islam.


HAFIZ

Tapi, ada ulama hadis yang menolak penggunaan hadis-hadis dhaif sebagai hujah, walau dalam bab apa pun!


ISKANDAR

Dalam kes ini, kita berbalik kepada persoalan “khilaf” yang kita bincang mula-mula tadi. Kalau dah khilaf, maka pihak-pihak yang bertentangan pendapat kena saling meraikan pendapat lawannya. Kalau dia mengatakan hanya pendapat dia yang betul, maka orang ini tidaklah layak menjadi ulama kerana dia tidak faham adab-adab berkhilaf. Ini kerana…barisan ulama yang mengharuskan penggunaan hadis dhaif bukan kecil-kecil anak, dan bukan sedikit bilangan mereka.


(Menarik nafas sebentar)


Berbalik kepada persoalan hadith-hadith tentang serban yang dhaif tadi. Kita tidak boleh menghukumnya dhaif terus-menerus kalau hanya berdasarkan kajian ulama tertentu. Boleh jadi ada ulama lain yang juga buat kajian dan mengangkat hadis-hadis tertentu ke tahap hasan ataupun sahih.


HAFIZ

Ya, saya faham. Samalah dengan penerangan abang sebelum ni.


ISKANDAR

Baik. Katakanlah semua hadis tentang serban ni dhaif belaka, tak ada yang hasan mahupun yang sahih. Tapi kita kena ingat, hadis-hadis dhaif tentang kelebihan serban ni banyak, bukan satu dua. Kalau kita kumpul semua hadis-hadis ni, kita akan dapati yang hadis-hadis ini mutawatir dari segi maknanya- iaitu memakai serban itu ada kebaikannya. Semua hadis ini seolah-olah bersepakat menganjurkan pemakaian serban!


Apabila ia mutawatir maknawi, maka kesepakatan maknanya itu boleh diangkat ke tahap hasan. Hadis hasan kan boleh dibuat hujah?...

Itupun kalau kesemua hadis serban dhaif. Bagaimana kalau ada yang hasan?


HAFIZ
(Masih mendengar dan berfikir)

OK lah. Katakanlah betul memakai serban ini satu sunnah…


ISKANDAR

Maaf abang memotong! Bagi abang, yang pasti sunnah ialah membiasakan berserban, bukannya sentiasa berserban. Sebab Nabi Muhammad pun bukan sentiasa berserban. Okey… sambung.


HAFIZ

Jadi yang sentiasa nampak berserban tu bukan sunnah la ye?


ISKANDAR

Bukan begitu. Di sini abang membezakan antara yang pasti dengan yang kurang pasti. Membiasakan memakai serban itu pasti sunnah, manakala yang sentiasa berserban itu… abang tidak berani untuk mengatakan ia pasti sunnah. Harap Hafiz jelas perbezaannya. OK sambung.


HAFIZ

Ya. Kalaulah betul serban ni sunnah, kenapa agaknya ulama-ulama besar hari ini tidak berserban?


ISKANDAR

Bergantung kepada siapa yang kita iktiraf sebagai ulama. Bukankah banyak ulama sufi hari ini yang memakai serban? Bagaimana boleh kita kata ulama-ulama besar hari ini tidak berserban?


HAFIZ

Maksud saya… sebahagian ulama yang biasa kita lihat di media seperti Ramadhan al-Buti, Yusuf Qardhawi, al Albani… Hasan al Banna…


ISKANDAR

Adakah hanya kerana mereka tidak berserban, maka itu sudah cukup menjadi hujah mengatakan serban bukan sunnah?


HAFIZ

Oh, tentulah tidak. Bukan macam tu maksud saya.


ISKANDAR

Baiklah. Katakanlah pada hari akhirat nanti… Allah umumkan bahawa membiasakan memakai serban bukan sunnah.

Bagi orang yang tidak berserban- dia tidak akan rugi apa-apa.

Bagi orang yang berserban, dia akan rugi seumur hayatnya di dunia, iaitu lebih kurang 70 ke 80 tahun. Kerugiannya hanyalah masa selama 70 atau 80 tahun.

Betul?


HAFIZ

Tapi orang yang mengatakan serban sunnah, mereka akan didakwa juga kerana berdusta atas nama Rasulullah- yang bukan sunnah dikata sunnah.


ISKANDAR

Pendakwaan itu mustahil berlaku.


HAFIZ

Kenapa pulak?


ISKANDAR

Kerana kesunnahan serban merupakan perkara khilaf! Bagi para ulama yang berijtihad mengatakan serban sunnah, sekalaipun ijtihad mereka salah, mereka tetap mendapat satu kali ganjaran pahala. Ada tak hadis Nabi yang mengatakan begitu?


HAFIZ

Err… ya.


ISKANDAR

Jadi, bagaimana pulak mereka boleh didakwa?


HAFIZ

(Berdiam diri)


ISKANDAR

Seterusnya… katakanlah pada hari akhirat nanti, Allah umumkan bahawa membiasakan memakai serban ternyata satu sunnah!

Bagi orang-orang yang berserban, mereka akan untung selama-lamanya di akhirat. Ini kerana kalau kita pertahankan satu sunnah saja pun, pada masa orang lain tidak mahu mempertahankannya… kita akan mendapat ganjaran 100 pahala syahid.

Bagi orang yang tidak berserban, yang tidak menganggap ia satu sunnah… maka mereka akan kerugian selama-lamanya di akhirat, walaupun perkara ini tidaklah sampai membawa dosa.

Betul?


HAFIZ
Hmmm… (Berfikir)


ISKANDAR

Sekarang.. bandingkan kerugian yang bakal dialami oleh kedua-dua belah pihak.

Pihak yang berserban, iaitu yang menganggapnya sunnah, kalau tersalah… akan rugi masa mereka 80 tahun di dunia. Di akhirat tetap tidak rugi apa-apa.

Pihak yang tidak berserban, maksudnya yang tidak menganggap ia satu sunah, jika tersalah… akan kerugian selama-lamanya di akhirat.

Antara dua jenis kerugian ini, kerugian manakah yang lebih besar?


Mereka sama-sama tertawa.


HAFIZ

Aduhhh.. pening pulak memikirkannya. Nak kena panggil pakar ekonomi nih!


Mereka tertawa lagi.


ISKANDAR

Tambah lagi! Bagi seorang pelabor yang bijak, pelaboran manakah yang akan disertainya? Yang kalau tersalah… akan kerugian RM 80 jutakah, ataupun yang kalau tersalah… akan kerugian trillion-trillion RM?


Lagi-lagi tertawa.


HAFIZ

He he he! Ahh.. sudahlah! Jom masuk, dah dekat Maghrib! (Bangun sambil menepuk bahu abangnya).


HAFIZ
Allahhh….! (Tangannya terkena sisa tahi burung di bahu abangnya)


Mereka tertawa lagi.


PAK SAID

Oii… dah senja ni!


ISKANDAR

Ha ah, jap! Dah habis dah ni!