Showing posts with label ALAM GHAIB. Show all posts
Showing posts with label ALAM GHAIB. Show all posts

Thursday, December 1, 2022

Dalam Permainan Alam Zahir Pun Engkau Selalu Terpedaya

 

Dalam permainan alam zahir ini pun

engkau selalu gagal

dan terkena berulang-ulang kali.

Tiba2 engkau mendakwa

engkau mahir dengan

alam ghaib, alam kewalian,

alam jin dan permainannya?


Sebenarnya lebih banyak kali lagilah

engkau sudah terkena dan dipermainkan

tanpa engkau sedari.


Allah sudah tolong saringkan untukmu,

maka hendaklah engkau berbijaksana.


28/11/22

Saturday, March 17, 2018

Rombongan Rerama Sayap Bercahaya


Pada malam Jumaat lalu, saya masuk tidur lebih kurang pada pukul 3 pagi. Dalam tidur itu saya bermimpi berada dalam satu majlis di pondok Ustaz Sidek Nor.

Majlis itu berlangsung pada waktu malam. Ratusan orang duduk berhimpun di kawasan lapang sambil mengalunkan zikir beramai-ramai.

Ustaz Sidek Nor sendiri berada dalam kalangan hadirin yang duduk dan menghadap ke hadapan. Dia seolah-olah peserta sahaja dalam majlis tersebut. Maksudnya di bahagian hadapan sekali terdapat beberapa orang penting yang saya tidak tahu siapakah mereka.

Saya sendiri sebagaimana selalunya di alam nyata, lebih suka berada di hujung-hujung, pada bahagian belakang keramaian, pada posisi melukut di tepi gantang sahaja. Sambil turut sama berzikir, saya memerhati para hadirin dan alam sekitar.

Tiba-tiba datang banyak rama-rama terbang berkejar-kejaran di sekitar hadirin dan kawasan itu. Semua rama-rama itu ada lakaran garisan cantik pada sayap mereka dan sama coraknya pada semua rerama. Garisan tebal itu mengikut bentuk sayap si rama-rama.  Bahagian yang berlakar itu mengeluarkan cahaya sendiri seolah-olah berlampu. Sangat cantik pemandangan pada waktu itu.

Pada bahagian yang saya lukis garisan putih itulah yang mengeluarkan cahaya, cuma lebih tebal sedikit.

Terus tercetus di hati saya (dalam mimpi itulah) bahawa rombongan rama-rama itu ialah para malaikat. Ketika itu juga terdengar orang-orang yang berada berhampiran saya berkata sesama sendiri bahawa rama-rama itu memang rombongan malaikat.

Rupa-rupanya kejadian itu merupakan kejadian kedua. Menurut mereka, sebelum ini sudah pernah diadakan majlis yang sama di situ dan berlaku hal yang sama juga, iaitu majlis itu diserikan dengan rombongan rama-rama bercahaya yang berterbangan.

Saya seakan-akan tidak percaya melihat keanehan itu lalu cuba memastikan benarkah saya berada di pondok Ustaz Sidek Nor. Saya melihat sekeliling dan nampak bangunan masjid/surau pondok itu dan memang tertulis besar pada dindingnya dalam tulisan jawi – Maahad Tahfiz Qiam. Sahih.

Orang ramai pun meneruskan zikir sambil sesekali melihat rama-rama sayap bercahaya itu berterbangan….. sehinggalah berakhir mimpi saya itu. Wallahua’lam.

Abu Zulfiqar
17 Mac 2018

Friday, July 15, 2016

Antara Tanda-tanda Didampingi Jin

BIASANYA (bukan semestinya), antara tanda-tandanya :

1. SELALU terjumpa di dalam mimpi sama ada yang mengaku atau yang tidak mengaku (tetapi dia buatkan kita cenderung untuk mengakui dia/mereka sebagai) raja, puteri, malaikat, nabi-nabi, wali-wali, ulama-ulama, tok nenek kita yang sudah mati, pendekar-pendekar silam, atau sebagainya). Yang tu jenis yang ada kebolehan menyamar atau berubah rupa. Ada juga yang datang dalam rupa lembaga putih sahaja, rupa hantu bungkus, macam bigfoot, rupa budak-budak, rupa perempuan buruk, dan sebagainya.

2. SELALU terdengar suara atau bisikan-bisikan yang meminta kita buat begitu begini, amal itu ini, berpantang itu ini, dan sebagainya.

3. Kadang-kadang ada sesuatu yang menggerakkan perbuatan kita TANPA KEHENDAK KITA. Macam dalam kes yang disentuh hari tu, tiba-tiba kita terduduk macam puteri dan hal itu DI LUAR DARIPADA KAWALAN KITA. Maksudnya dia dah ada highway lebar untuk keluar masuk mudah-mudah. Orang lain nak masuk kena berhempas pulas menurun dulu, yang dia senang-senang je masuk. Apabila masuk, port paling popular untuk dia lepak ialah di kawasan sekitar otak dan saraf-saraf mata. Hal ini kerana saraf-saraf di otak ni yang control segala kaki tangan dan seluruh tubuh badan kita. Sebab tu kadang-kadang yang tak pandai tulis jawi boleh tulis jawi, yang tak pandai berkuntau boleh berkuntau, yang tak pandai mengubat boleh mengubat, tak pandai cakap Jowo boleh cakap Jowo, dan sebagainya.

Wallahua'lam. (Sekadar jawapan ringkas kepada satu pertanyaan dalam WhatsApp).

Abu Zulfiqar
15 Julai 2016







Thursday, March 5, 2015

Mimpi Bertemu TG Nik Aziz


Dalam 2-3 hari ni memang tak terfikir pun tentang TG Nik Aziz, entah macam mana tiba-tiba masuk ke dalam mimpi. Mungkin mainan tidur je kot.

Malam semalam (pagi 4 Mac 2015) saya bermimpi menghadiri satu majlis makan malam di luar bangunan. Ketika itulah entah dari mana tiba-tiba muncul TG Nik Aziz berjubah dan berserban putih. Terus semua orang yang berada di meja itu dan sekitarnya bangun menyambutnya. Nampaknya semua orang di situ sangat menghormatinya termasuklah yang bukan beragama Islam dan yang bukan Melayu (semuanya saya tak kenal, tak pernah tengok). Saya pun sempat juga berbual bersama-sama beliau buat beberapa ketika, tapi tak ingat dah apa yang dibualkan.

Kemudian TG Nik Aziz dibawa ke sebuah dewan yang tak berapa besar. Di dalam dewan itu ramai orang pelbagai bangsa. Saya masuk kemudian, ramai orang, dan saya jangkakan hanya dapat melihat Datuk Nik Aziz dari jauh sajalah. Saya pun memang tak tahu apa isi kandungan majlis tu, apa programnya, di mana… jadi saya pakai main masuk je lah untuk melihat-lihat.

Saya masuk-masuk sahaja, tengok-tengok saya sedang berada di sebelah kanan beliau, sama-sama berdiri di bahagian depan dewan, menghadap orang ramai. Ada 7-8 orang lagi di sebelah kiri kami dan 1-2 orang di sebelah kanan kami. Saya pun minta kebenaran hendak bergambar dengannya, beliau setuju. Kami pun berdiri rapat bersebelahan. Sedang dok bergambar-gambar di depan beberapa kamera tu…… mimpi pun tamat. Habis cerita :)

Abu Zulfiqar
5 Mac 2015

Monday, September 17, 2012

Tidur dan Hubungannya dengan Kematian


PERSOALAN 2 :
Apabila roh diambil, maka matilah jasad. Namun bukankah tidur itu mati sementara?

PENJELASAN :
Memang benar, tidur itu mati sementara. Mati sementara tentunya tidak sama dengan mati sebenar.

Mati sementara = tubuh masih bernyawa, tidak keras kaku, tidak pucat dan tidak sejuk. Ketika ini jiwa (an-nafs) kita dipegang/diambil oleh Allah dan akan dikembalikan.
Mati sebenar = tubuh sudah tidak bernyawa, keras kaku, pucat dan sejuk. Ketika ini jiwa (an-nafs) kita dipegang/diambil oleh Allah dan tidak dikembalikan.

Abu Zulfiqar

Perbezaan Antara Roh dan Jiwa


SEORANG HAMBA ALLAH BERTANYA :
Salam Ustaz..setelah saya membaca tulisan ustaz saya ada beberapa soalan:
Apakah perbezaan antara roh dan jiwa? ‘Mutawaffiika’ itu adalah mengambil jiwa atau mengambil roh/nyawa?


PENJELASAN :
Wlksm. Terima kasih kerana sudi membaca (soalan ini datang selepas sahabat kita ini membaca tulisan saya yang bertajuk : “Nasser, Jasad Nabi Isa Bukan di Yaman” di http://myalexanderwathern.blogspot.com/2012/09/nasser-jasad-nabi-isa-bukan-di-yaman.html) Insya-Allah saya akan cuba berikan penjelasan sekadar yang saya termampu.

Kita sedia maklum, pengetahuan kita tentang roh sangatlah sedikit. Firman Tuhan :
“Mereka bertanyakan engkau tentang ROH, maka katakanlah ROH itu dari perintah/urusan Tuhanku.” (Al-Isra’ : 85)

APAKAH ‘ROH’?

Dalam Al-Quran, sebutan ‘roh’ mempunyai beberapa maksud. Berdasarkan susunan dan isi kandungan sesuatu ayat itu, kita boleh mengagak maksud ‘ROH’ dalam ayat itu. Antaranya petikan Al-Quran :
“Dan begitulah Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad) ROH dari perintah Kami.” (Asy-Syura : 52)
Allah mewahyukan ROH kepada Nabi Muhammad saw. Maka ROH pada ayat ini ialah ‘sesuatu yang diwahyukan’. Ada ulama mengatakan ROH pada ayat ini ialah Al-Quran itu sendiri. WaAllahua’lam.

“Yang Maha Tinggi DarjatNya, yang memiliki ‘arasy, yang menurunkan ROH dari perintahNYa kepada sesiapa yang disukaiNya dalam kalangan hamba-hamba-Nya, agar memperingatkan tentang hari pertemuan (hari kebangkitan).” (Al-Mu’min : 15)
Antara yang sesuai untuk ROH pada ayat ini ialah wahyu atau malaikat…….

“Engkau (Muhammad) tidak akan mendapatkan suatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, saling berkasih sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang itu bapanya, anaknya, saudaranya atau keluarganya. Mereka itulah orang-orang yang di dalam hatinya telah ditanamkan Allah keimanan, dan Allah telah memperkuatkan mereka dengan ROH  daripadanya.” (Al-Mujaadilah : 22)
ROH dalam ayat ini ialah ‘sesuatu yang menguatkan, meneguhkan, membantu…’. Sekadar itu sahaja maklumat yang saya ada.

“Pada hari ROH dan para malaikat berdiri berbaris-baris, mereka sekalian tidak berkata-kata …” (An-Naba’ : 38)
Saya tidak tahu apa maksud ‘ROH’ pada ayat ini. Jika hendak dikatakan Malaikat Jibril, tentunya dia sudah berada dalam spesis malaikat. Ada kemungkinan juga roh itu ialah roh-roh manusia dan jin. Ada juga ulama yang mentafsirkannya sebagai sebahagian tentera Allah.

“Pada malam itu turun para malaikat dan ROH  dengan izin Tuhan mereka.” (Al-Qadr : 4)
ROH yang ini juga tidak saya ketahui. Ia bukan Malaikat Jibril kerana Jibril berada dalam kalangan malaikat. Boleh jadi juga roh itu ialah roh-roh para manusia dan jin yang sudah meninggal, ataupun tentera Allah selain para malaikat.

“Hanya sanya Al-Masih Isa anak Maryam itu ialah utusan Allah dan kalimatNya yang disampaikan kepada Maryam, dan ROH daripadaNya.” (An-Nisa : 171)

“Dan (Maryam) yang menjaga kesuciannya, lalu Kami meniupkan kepadanya ROH Kami.” (Al-Anbiya’ : 91)
ROH pada kedua-dua ayat ini ialah sesuatu yang menjadi penyebab kepada terbentuk dan hidupnya Nabi Isa di dalam kandungan ibunya.

“Dan sesungguhnya (Al-Quran) ini benar-benar diturunkan oleh Rabb sekalian alam.” (Asy-Syu’araa : 192)
“Yang dibawa turun oleh ROH AL-AMIN.” (Asy-Syu’araa : 193)
“Ke dalam hatimu (wahai Muhammad) agar engkau termasuk orang yang memberi peringatan.” (Asy-Syu’araa : 194)
“Dengan bahasa Arab yang jelas.” (Asy-Syu’araa : 195)
ROH AL-AMIN di sini ialah Malaikat Jibril.

Bukti sokongannya yang mengatakan ia ialah Jibril ada dijelaskan dalam ayat yang lain :
“Katakanlah : Sesiapa yang menjadi musuh kepada Jibril, sesungguhnya dialah yang menurunkan wahyu itu kepada hatimu dengan izin Allah.” (Al-Baqarah : 97)
Ada persamaan kerana hal Jibril menurunkan wahyu ke dalan hati Nabi Muhammad ada disebutkan dalam kedua-dua surah.

Juga bukti ROH itu ialah Jibril :
“Katakanlah : ROHUL QUDUS yang menurunkan (Al-Quran) itu daripada Tuhanmu dengan kebenaran…….” (An-Nahl : 102)
ROHUL QUDUS pada ayat ini ialah Malaikat Jibril.

Satu perkara yang kita nampak di sini, apabila ROH mahu dikaitkan dengan Malaikat Jibril, pada gelaran itu ada penambahan seperti ROH AL-AMIN dan ROHUL QUDUS. Ia tidak disebutkan ‘ROH’ sahaja.

Begitulah serba-sedikit panduan daripada Al-Quran tentang ROH. Jelasnya, ROH tidak dikaitkan dengan nyawa atau diri halus manusia kerana Al-Quran menyebut nyawa manusia sebagai JIWA (AN-NAFS). Seterusnya mari kita lihat apa kata Al-Quran tentang JIWA (AN-NAFS) pula.

APAKAH ‘JIWA’?

“Wahai JIWA (AN-NAFS) yang tenang. Kembalilah Kepada Tuhanmu dengan redha dan diredhainya.” (Al-Fajr : 27)
‘JIWA’ dalam ayat ini lebih sesuai dengan hati, kalbu, perasaan, akal, pemikiran dan seumpamanya.

“Aku bersumpah dengan JIWA (AN-NAFS) yang selalu menyesali.” (Al-Qiyamah : 2)
‘JIWA’ dalam ayat ini ialah hati, akal, pemikiran,  perasaan dan yang seumpama dengannya

“Dan aku (Nabi Yusuf) tidak (mengatakan) diriku bebas (dari kesilapan), kerana sesungguhnya JIWA (AN-NAFS) itu selalu mendorong kepada kejahatan, kecuali yang diberi rahmat oleh Rabbku. Sesungguhnya Rabbku Maha Pengampun, Maha Penyayang.” (Yusuf : 53)
‘JIWA’ dalam ayat ini sesuai dengan nafsu, kehendak.

“Dan JIWA (NAFS) dan apa yang menyempurnakannya. Maka diilhamkan kepadanya (kepada jiwa itu) kejahatan dan ketaqwaan. Sungguh beruntung orang yang menyucikannya (jiwa itu). Dan sungguh rugi orang yang mengotorinya (jiwa itu).” ( Asy-Syams : 7-8)
JIWA’ di sini ialah akal, pemikiran, hati dan seumpamanya.

“Setiap JIWA (NAFS) akan merasai maut .” (Ali Imran : 185)
‘JIWA’ dalam ayat ini ialah makhluk yang hidup atau bernyawa. Maut bermaksud kehilangan nyawa. Oleh itu ertinya setiap makhluk yang hidup dan bernyawa pasti akan merasai mati, pasti akan hilang nyawa. ‘JIWA’ dalam ayat ini melibatkan jasad dan nyawa sekaligus.

“Dan ketika kamu membunuh satu jiwa/seseorang (NAFSAN), lalu kamu menuduh-nuduh tentang pembunuhan itu.” (Al-Baqarah : 72)
‘JIWA’ yang ini pula ialah manusia yang bernyawa. Maka ayat ini sesuai dikatakan : “Dan ketika kamu membunuh seorang manusia hidup…” Ia melibatkan jasad dan nyawa sekaligus.
“Dan kerana engkau melihat ketika orang –orang yang bersalah itu di dalam sengsara kematian, dan para malaikat pun mengembangkan tangan-tangannya seraya mengatakan : “Lepaskan jiwa-jiwa kamu (ANFUSAKUM).” (Al-An’am : 93)
‘JIWA’ di sini ialah nyawa.

“Berilah salam sesama kamu (ANFUSIKUM).” (An-Nur : 61)
‘JIWA’ dalam ayat ini ialah manusia dan jin, iaitu jasad dan jiwa sekaligus.

“Ketahuilah, bahawasanya Allah mengetahui apa yang ada di dalam JIWA (ANFUSIKUM) kamu itu, sebab itu berhati-hatilah.” (Al-Baqarah : 235)
‘JIWA’ di sini ialah hati, pemikiran.

Jelaslah kepada kita di sini bahawa di dalam Al-Quran,  ROH dan JIWA masing-masing mempunyai maksud tersendiri bergantung pada penggunaannya. Sekadar itu sahaja pengetahuan saya. WaAllahua’lam.

Perbahasan para ulama tentang roh dan jiwa sangatlah panjang dan mempunyai beberapa pandangan yang berbeza. Hal itu tidaklah saya muatkan di sini kerana akan memakan terlalu banyak masa, ruang dan kerja. Secara ringkasnya, saya cenderung kepada pandangan ulama yang mengatakan roh dan jiwa itu sebenarnya dua perkara yang berbeza. Namun begitu, jiwa ‘berdiri’ atau ‘melekat’ pada roh, hinggakan sesekali ia dinisbahkan kepada roh itu sendiri.

Sekadar itu sahaja pengetahuan saya yang faqir. WaAllahu’alam.

Alangkah kerdilnya ilmu manusia tentang roh…….

APAKAH MAKSUD ‘MUTAWAFFIIKA’ DALAM KES NABI ISA?

“Mutawaffiika” ada dua keadaan iaitu :
1. Tuhan mengambil/memegang jiwa seseorang tanpa dipulangkan, iaitu dimatikan. Ia juga bermaksud Tuhan mengambil nyawa dan mengambil kehidupan dunia seseorang.
2. Tuhan mengambil/memegang jiwa seseorang untuk sementara, yang kemudiannya akan dipulangkan, iaitu tidur. Orang ini masih ada nyawa.

Buktinya :
“Allah mengambil jiwa (YATAWAFFA) seseorang ketika matinya dan (juga YATAWAFFA kepada  seseorang) yang belum mati (iaitu) ketika tidurnya, maka Dia tahan jiwa (orang) yang telah Dia tetapkan kematiannya dan Dia lepaskan jiwa yang lain (yang belum sampai waktu kematiannya) sehinggalah waktu yang ditentukan. Sesungguhnya pada yang demikian terdapat tanda-tanda Allah bagi kaum yang berfikir.” (Az-Zumar : 42)

Apakah persamaan antara orang yang mati dengan orang yang tidur? Untuk mendapatkan pemahaman tentangnya, saya petik kata-kata Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ ‘Ulumiddin :
“Dunia menjadi tempat tinggal, badan menjadi kenderaan, dan amal perbuatan menjadi jalan kepada matlamat.”

Apabila dikatakan ‘badan menjadi kenderaan’, sudah tentu ada pemandunya. Pemandunya ialah diri halus kita. Jadi persamaan antara tidur dan mati ialah ‘pemandu’ tubuh itu diambil/dipegang oleh Allah SWT. Jika dia melepaskan ‘pemandu’ itu, hidup lagilah jasad yang sedang tidur. Jika Dia tidak melepaskan ‘pemandu’ itu, matilah jasadnya. Tidur atau mati, ‘pemandu’ tidak berkuasa untuk mengawal jasad lagi. ‘Pemandu’ itu tidak lain ialah JIWA. JIWAlah yang diambil/dipegang oleh Allah apabila berlakunya “MUTAWAFFIIKA”.

“(Ingatlah) ketika Allah berfirman, “Wahai Isa! Aku mengambil/memegang jiwamu (MUTAWAFFIIKA) dan mengangkatmu kepada-Ku, serta menyucikanmu daripada orang-orang yang kafir, dan menjadikan orang-orang yang mengikutimu di atas orang-orang yang kafir HINGGA HARI KIAMAT. KEMUDIAN kepada-Ku engkau kembali, lalu Aku beri keputusan tentang apa yang kamu perselisihkan.” (Aali ‘Imraan : 55)

Kita ikuti urutan peristiwa dalam ayat ini :
Allah ambil/pegang jiwa Nabi Isa.
Allah angkat jasadnya kepadaNya.
KEMUDIAN barulah Nabi Isa dimatikan, iaitu dengan kata : “KEMUDIAN kepada-Ku engkau kembali.”

Kalau pada urutan nombor 1 itu Nabi Isa sudah dimatikan (sudah diambil nyawa/ sudah kembali kepada Tuhan/ sudha meninggal dunia),  ia sudah bertentangan dengan urutan pada nombor 3. Kalau sudah mati, untuk apa mati lagi sekali? Hal ini membuktikan pada urutan nombor 1 itu Nabi Isa belum mati, cuma direhatkan. Jadi “MUTAWAFFIIKA” pada ayat ini bermaksud “memegang/mengambil jiwa” bukannya mengambil roh atau nyawa.

WaAllahua’lam.

Abu Zulfiqar
11 SEPTEMBER 2012

Sunday, August 21, 2011

Rahsia Lailatul Qadar Menurut Ihya' 'Ulumiddin

Dan Malam Al-Qadar adalah malam yang terbuka padanya sesuatu dari alam malakut. Dan itulah yang dimaksudkan dengan firman Allah Ta’ala:

“Sesungguhnya Kami turunkan pada Malam Al-Qadar.” (Al-Qadr : 1)

Barangsiapa menjadikan di antara hati dan dadanya tempat penampung makanan, maka dia terhijab daripada-Nya. Dan barangsiapa mengosongkan perutnya, maka yang demikian itu belum mencukupi untuk mengangkatkan hijab, sebelum kosong cita-citanya daripada selain Allah ‘Azza wa Jalla. Dan itulah urusan seluruhnya. Dan pangkal semuanya itu adalah dengan menyedikitkan makanan.

Begitulah kata-kata Hujjatul Islam Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya’nya.

HURAIAN

Alam malakut secara ringkasnya ialah alam ghaib yang antara penghuninya ialah para malaikat. Alam ini terhijab daripada pandangan bangsa jin dan manusia, sebagaimana alam jin terhijab kepada pandangan manusia. Menurut Imam Al-Ghazali, sebahagian daripada alam malakut ini terbuka pada Malam Al-Qadar.

Sabda baginda Rasulullah saw :

“Jikalau tidaklah kerana syaitan-syaitan itu berkeliling atas hati anak Adam, nescaya anak-anak Adam melihat ke alam malakut yang tinggi.” (Ahmad)

Sebelum melanjutkan huraian ini, hendaklah kita fahami bahawa “mendapat” Lailatul Qadar itu sekurang-kurangnya ada 4 jenis :

1. Dapat tahu bila Malam Al-Qadar berlaku

2. Dapat kelebihan Malam Al-Qadar

3. Dapat tahu bila Malam Al-Qadar dan dapat kelebihannya.

4. Dapat tahu, dapat kelebihannya dan dapat ‘menyaksikan’ Malam Al-Qadar itu.

Dapat tahu Malam Al-Qadar adalah dengan terjumpa perkara yang pelik-pelik. Antara kejadian yang biasa dikisahkan orang adalah seperti terlihat begitu banyak tahi bintang berguguran, air tasik tidak berkocak, pokok-pokok merendahkan diri, kecerahan di mana-mana, orang yang kacak berserban dan berjubah putih lagi bercahaya tubuhnya, alam terlalu sunyi, tercium bau yang sangat wangi dan pelbagai lagi.

Ada kemungkinan dengan menemui hal-hal sebegini bermaksud malam itulah Malam Al-Qadar, dan ada kemungkinan juga bukan Malam Al-Qadar. Namun ‘dapat Lailatul Qadar’ pada pandangan kebanyakan orang adalah dengan dapat melihat atau mengalami perkara yang ajaib-ajaib seperti yang disebutkan tadi. Perkara-perkara sebegitulah yang dicari-cari dan dikejar-kejar oleh mereka. Jika berjaya melihat atau mengalami sesuatu yang luar biasa pada malam itu, bukan main puas hati dan kadang-kadang sampai ke tahap berbangga dengan orang lain yang gagal memperolehinya. Padahal “dapat Lailatul Qadar’ seperti itu bukanlah ‘dapat lailatul Qadar’ sebagaimana yang dimaksudkan oleh Rasulullah saw.

Jenis kedua – dapat kelebihan Malam Al-Qadar. Jenis inilah yang dikehendaki oleh Rasulullah saw, iaitu dengan meningkatkan keimanan dan membanyakkan amal pada malam-malam Ramadhan, dan kebetulan perlakuan itu bertepatan dengan malam yang berlakunya Malam Al-Qadar. Dapat kelebihan Malam Al-Qadar tanpa mengetahui yang malam itu adalah Malam Al-Qadar, adalah jauh lebih baik daripada dapat tahu malam itu Malam Al-Qadar tetapi tidak menghabiskan masa untuk meningkatkan keimanan dan membanyakkan amal padanya.

“Adalah Rasulullah saw apabila masuk sepuluh (hari) yang akhir, maka (baginda) melipatkan tikar (menyimpan tempat tidurnya), mengikatkan pinggang dan telah membiasakan diri dan keluarganya sebegitu.” (Bukhari, Muslim)

Jenis ketiga – inilah yang lebih baik, iaitu dengan mengerjakan amal pada malam itu dan mengetahui yang malam itulah Malam Al-Qadar.

Jenis keempat? Ikuti huraian di bawah.

Imam al-Ghazali dan orang-orang soleh lain pada zamannya punya banyak pengalaman tentang Lailatul Qadar. Oleh itu Imam Al-Ghazali memberikan tips kepada kita untuk bertemu dengan Malam Al-Qadar. Tips yang diutarakan olehnya di sini adalah dengan menyedikitkan makanan melalui istilah yang digunakannya iaitu “mengosongkan perutnya”. Sesiapa yang banyak makan pada malam itu sebagaimana istilah yang digunakannya iaitu “menjadikan di antara hati dan dadanya tempat penampung makanan”, nescaya orang itu terhijab/ terdinding daripada mendapat Lailatul Qadar.

Kata Al-Ghazali : “Bahawa tidak membanyakkan makanan yang halal ketika berbuka, di mana rongganya penuh melimpah. Maka tidak adalah karung yang lebih dimarahi Allah ‘Azza wa Jalla daripada perut yang penuh dengan (makanan) yang halal.”

Berdasarkan petua ini, maka para pencari Lailatul Qadar hendaklah makan sekadarnya sahaja pada waktu malam bulan Ramadhan, dari waktu berbuka hinggalah ke sahur. Antara amalan yang tidak sesuai pada pandangan Imam Al-Ghazali adalah sengaja berbuka puasa dengan pelbagai jenis makanan pada setiap hari. Perlakuan ini tidak ubah seperti mengumpulkan sarapan, minum pagi, makan tengah hari, minum petang dan makan malam untuk di makan sekaligus pada waktu Maghrib. Cuba lihat juadah berbuka kita, bukankah semua makanan yang disebutkan itu ada? Apalah ertinya puasa sebegini? Berbukalah dengan makan malam yang biasa kita makan pada malam-malam bukan Ramadhan.

Al-Ghazali juga memperingatkan kita agar tidak memuaskan nafsu makan dengan memakan makanan yang tidak kita makan pada bulan-bulan lain. Maksudnya pada setiap hari ada saja makanan dan kuih-muih yang sukar kita temui pada hari-hari biasa, tetapi kita mencarinya pada bulan Ramadhan.

Tidak mengapa jika sesekali kita melebihkan juadah untuk menggembirakan sedikit hati kita terutamanya kanak-kanak, para muallaf, orang yang sedang kita dakwahkan dan orang yang baru belajar-belajar hendak memperbaiki keagamaannya.

Hal-hal yang disebutkan inilah yang dimaksudkan oleh Al-Ghazali dengan kata-katanya : “Bagaimanakah dapat memperolehi faedah daripada puasa, memaksakan (menyusahkan) musuh Allah (syaitan) dan menghancurkan hawa nafsu, apabila diperoleh oleh orang yang berpuasa ketika berbuka apa yang tidak diperolehnya pada siang hari? Kadang-kadang bertambah lagi dengan pelbagai macam warna makanan, sehingga berjalanlah kebiasaan dengan menyimpan segala macam makanan itu untuk bulan Ramadhan. Maka dimakanlah segala makanan itu dalam bulan Ramadhan, apa yang tidak dimakan dalam bulan-bulan (lain) ini.”

Katanya lagi : “Maka jiwa dan rahsia puasa ialah melemahkan kekuatan yang menjadi jalan syaitan dalam mengembalikan kepada kejahatan. Dan yang demikian itu tidak akan berhasil selain dengan menyedikitkan makanan, iaitu dengan memakan makanan yang dimakan setiap malam kalau tidak berpuasa. Apabila dikumpulkan apa yang dimakan pada pagi hari kepada apa yang dimakan pada malam, maka tidaklah bermanfaat dengan puasanya itu.”

Bayangkan, dari pagi hingga ke petang kita kosongkan perut. Semakin lama semakin lapar. Pada waktu berbuka, tahap kelaparan dan keinginan kita mencapai kemuncaknya, lebih hebat daripada kelaparan dan keinginan pada hari-hari biasa. Tiba-tiba dalam keadaan sebegitu, kita lambakkan dengan pelbagai makanan dan minuman yang lazat-lazat di depan mata. Akibatnya, lebih kuatlah rasa lapar dan melonjaklah nafsu makan. Akhirnya, kita makan dengan lebih bernafsu lagi berbanding makan pada hari-hari yang tidak berpuasa. Ke mana perginya puasa dan Ramadhan yang berperanan sebagai penunduk hawa nafsu?

Inilah maksud kata-kata Imam Al-Ghazali : “Apabila perut ditolak (dikosongkan) daripada makanan sejak pagi sampai ke petang, sehingga perut itu bergolak keinginannya dan bertambah kuat kegemarannya (keinginannya untuk makan), kemudian disuguhkan (dihidangkan) dengan makanan yang lazat-lazat dan kenyang, nescaya bertambahlah kelazatan dan berlipatgandalah kekuatannya, serta membangkitkan nafsu syahwat itu, apa yang diharapkannya tadi tenang, jikalau dibiarkan atas kebiasaannya.”

Berbalik kepada Malam Al-Qadar. Dikatakan tadi malam yang sangat istimewa itu terhijab daripada kita hasil banyaknya makan pada waktu malam. Terhijab yang dimaksudkan di sini ada dua jenis :

1. Terhijab daripada ‘menyaksikan’ malam itu kerana penuhnya makanan membenakkan mata hati. Umumnya mata hati yang benak tidak akan mampu melihat alam malakut ataupun kesan-kesannya.

2. Terhijab daripada membanyakkan amal pada malam itu kerana perut yang kenyang mewariskan lemah badan, mengantuk dan malas. Malam istimewa itu pun berlalu begitu sahaja kerana pengisian kita dipenuhi dengan banyak berehat dan tidur.

Alangkah ruginya jika kita sendiri yang menghijab Lailatul Qadar itu, padahal kita sering mendakwa kita rindu, ternanti-nanti dan tercari-cari malam berlangsungnya.

Oleh itu, tindakan yang mesti kita ambil untuk 10 malam terakhir Ramadhan, dan sepatutnya pada seluruh Ramadhan, adalah dengan menyedikitkan makan. Bagaimana itu? Mestikah kita berlapar siang dan berlapar pula pada malamnya? Tidak! Pada waktu malam, makan dan minumlah sekadar untuk menghilangkan rasa lapar dan dahaga, bukannya sampai kenyang dan puas. InsyaAllah dengan kaedah ini, semakin cerah peluang kita untuk bertemu dengan Malam Al-Qadar, menghidupkannya, malah ‘menyaksikannya’.

Al-Ghazali mengatakan : “Maka semoga syaitan tidak mengelilingi hatinya (hati manusia dan jin), lalu dapat ia memandang ke alam tinggi.”

Namun begitu, dengan menyedikitkan makanan sahaja belum memadai. Kata Al-Ghazali : “Barangsiapa menjadikan di antara hati dan dadanya tempat penampung makanan, maka dia terhijab daripada-Nya. Dan barangsiapa mengosongkan perutnya, maka yang demikian itu belum mencukupi untuk mengangkatkan hijab, SEBELUM KOSONG CITA-CITANYA DARIPADA SELAIN ALLAH ‘AZZA WA JALLA. Dan itulah urusan seluruhnya. Dan PANGKAL SEMUANYA ITU adalah dengan menyedikitkan makanan.”

Dengan tasawuf, Ramadhan anda akan lebih bererti lagi bermanfaat untuk dunia dan akhirat.

WaAllahua’lam.

Abu Zulfiqar

21 Ogos 2011 / 21 Ramadhan 1432