Showing posts with label KIFAAYATUL MUHTAAJ. Show all posts
Showing posts with label KIFAAYATUL MUHTAAJ. Show all posts

Monday, January 6, 2014

Kitab Kifaayatul Muhtaaj dalam Tulisan Rumi

Alhamdulillah, syukur… sahabat kita Ustaz Muhamad Rauf bin Minhat dari Melaka sudah berjaya menghasilkan pemindahan tulisan kitab Kifaayatul Muhtaaj karya Syeikh Daud Al-Fatoni dari tulisan jawi ke tulisan rumi. Dia menghadiahkan sebuah kitab itu kepada saya bersama-sama sebuah lagi kitab iaitu Badrut Tamaam karya Syeikh Wan Ahmad Al-Fatoni, yang turut dirumikan. Baru tadi siang sampai. Ribuan terima kasih diucapkan. Semoga mendapat keberkatan daripada Allah SWT.



Antara keistimewaan naskah yang dihasilkan oleh Ustaz Muhammad Rauf ini ialah :
1.       Cantik, kemas, tersusun, mudah dibaca.
2.       Disertakan sanad kitab ini sampai kepada Ustaz Muhammad Rauf.
3.       Disertakan riwayat ringkas Syeikh Daud Al-Fatoni.
4.       Disertakan scan keseluruhan kitab Kifaayatul Muhtaaj bertulisan jawi di bahagian belakangnya.

Buku ini diterbitkan oleh Menuju Puncak Supply & Services, Melaka. Sesiapa yang berminat bolehlah berhubung dengan Ustaz Muhammad Rauf di blognya Dalail Khairat http://alraufi.blogspot.com/ . Kitab-kitab lain yang turut tersedia ialah Dalail Khairat, Faridatul Faraid, Qasidah Burdah, dan pelbagai lagi.

Kitab Kifaayatul Muhtaaj ini pernah saya syarahkan suatu ketika dahulu, tamat dalam 23 kali kuliah. Kesemua rakaman audionya masih boleh didengar di Kembara ke Sidratul Muntaha http://syarahisrakmikraj.blogspot.com/ . Dengan adanya naskah bertulisan rumi ini, akan lebih mudahlah kita mengulangkaji.

Semoga bermanfaat buat semua.

Abu Zulfiqar

6 Januari 2014

Monday, November 4, 2013

Kitab Kifayatul Muhtaj - Berita Baik Buat Semua

Kitab Kifayatul Muhtaj karangan Syeikh Daud Fatani sangat bermakna buat saya. Boleh dikatakan melalui kitab inilah saya mula mendapat perhatian pendengar di internet. Walaupun hanya setebal 28 muka surat, tetapi berjaya disyarahkan dengan terperinci dalam 23 kali kuliah. Rakaman audionya dipecahkan kepada 123 fail dan masih boleh didengar di laman “Kembara ke Sidratul Muntaha” http://syarahisrakmikraj.blogspot.com/ .

Ketika mula-mula menempatkan audio kuliah kitab Kifayatul Muhtaj ini di internet, boleh kata masyarakat kita tidak tahu pun kitab ini kecuali sebilangan guru dan pelajar pondok. Dengan kuasa Tuhan, selepas itu saya mendapat maklumbalas yang sangat positif apabila beberapa orang pendengar memaklumkan yang mereka sudah mula meminta ustaz-ustaz di tempat mereka mengajarkan kitab ini. Kitab Kifayatul Muhtaj kembali ke tengah sebahagian masyarakat walaupun tidaklah semeriah pada zaman Syeikh Daud Fatani. Sekarang sudah sering terdengar orang berkata atau terbaca di internet tentang kuliah kitab ini di sana-sini terutamanya sepanjang bulan sambutan peristiwa Isra’ Mi’raj.

Seingat saya ada 3 orang/ 3 pihak berlainan yang pernah meminta keizinan untuk mendownload kesemua fail lalu diCDkan untuk diedarkan kepada orang lain. Saya sangat berbesar hati tetapi dengan syarat “jangan buat duit”, edar percuma. Jika perlu untuk menampung kos, ambil sekadar modal  dan duit minum sahaja. Mereka bersetuju. Saya pun sudah tidak ingat siapa mereka. Semoga segala usaha juang mereka mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah.

Sebenarnya saya menulis kali ini kerana saya baru terjumpa kitab Kifayatul Muhtaj ini di internet dalam tulisan rumi bahasa Melayu, bukannya jawi lama sebagaimana asalnya. Maksudnya pendengar akan lebih mudah membaca kitab ini. Tahniah kepada pihak yang mengusahakan terjemahan ini iaitu Ikatan Penuntut Ilmu Islam Pulau Pinang (Rejab 1434/2013), diupload oleh Mohd Nazri Mamat. Pada bahagian awalnya ditambah pula dengan sejarah hidup tuan kitab iaitu Syeikh Daud Al-Fatani yang agak lengkap, suntingan daripada tulisan Tuan Guru Wan Muhammad Saghir.

Dulu orang pesan kitab ini melalui internet (saya tak jual, cuma tolong belikan sahaja di kedai kitab di Taiping dan tolong kirim melalui pos), tapi memang berasa kasihan kepada mereka yang beli tapi tak lancar membaca tulisan ajwi, apatha lagi bahasa jawi lama dialek Patani. Sekarang, Allah beri kemudahan kepada tuan-tuan. Sudahlah dalam tulisan rumi, download percuma pulak tu. Siap dengan nota kaki lagi.

Jadi, tunggu apa lagi? Download segera dan boleh terus ulangkaji kuliah kitab Kifayatul Muhtaj sambil membaca teks kitabnya dengan selesa.


Abu Zulfiqar
4 November 2013



Monday, August 5, 2013

Syarahkan Kifayatul Muhtaj Guna Kitab Mana?

SOALAN : Ustaz, ceramah yang dirakam tu (*iaitu syarahan saya akan kitab Kifayatul Muhtaj fil Isra’ wal Mi’raaj karya Syeikh Daud al-Fatani) berpandukan kitab tu saja atau ada tambahan dengan kitab lain?


JAWAPAN : Berpandukan kitab itu sebagai medium utama, tetapi syarahnya saya guna :
a)      4 karya lain tentang Isra' Mi'raj iaitu karangan Sayyid Muhammad Alawi, Imam As-Sayuti, Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani dan Hasan bin Ahmad.
b)      Rujukan buku dan internet.

Hal ini kerana dalam karya Syeikh Daud al-Fatani itu ada beberapa kelemahan dan satu dua kesalahan maklumat. Jadi saya kena saring setiap maklumat yang ada dan dibandingkan dengan hadis-hadis yang dibawa oleh 4 orang tokoh tadi.


Abu Zulfiqar

Friday, May 24, 2013

Cara Kifayatul Muhtaj Dihidangkan


Walaupun ana menggunakan kitab Kifayatul Muhtaj karya Syeikh Daud Al-Fatani sebagai 'modul' utama dalam mensyarahkan peristiwa luarbiasa Isra' wal Mi'raj, tapi maklumat-maklumat di dalamnya disaring dan dibandingkan dengan 4 buah kitab lagi iaitu :
1. Kisah Israk dan Mikraj Nabi Muhammad saw (oleh Sayyid Muhammad bin Sayyid Alawi yang telah meneliti 41 buah kitab tentang peristiwa Isra' Mi'raj karangan ulama-ulama terdahulu).
2. Al-Isra' wa Al-Mi'raj (oleh Imam Jalaluddin As-Sayuti).
3. Isra' Mi'raj (oleh Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani).
4. Isra' dan Mi'raj (oleh Hasan bin Ahmad, dikatakan karya ini siap pada 1946 dalam tulisan jawi).
Kitab 1, 2 dan 3 adalah terjemahan dari bahasa Arab.

Saringan dan perbandingan terpaksa dibuat kerana di dalam karya Syeikh Daud Fatani itu terdapat beberapa kelemahan dan satu dua kesalahan maklumat, namun ia tidaklah sampai membuatkan kitab itu tertolak. Kitab Kifayatul Muhtaj itu tetap masih relevan untuk dihidangkan.

Syarahan kitab Kifayatul Muhtaj itu dibuat pada tahun 2010-2011. Insya-Allah suatu hari nanti, ana bercadang untuk menghuraikan semula peristiwa Isra' wal Mi'raj ini dengan lebih terperinci dan dengan tambahan maklumat-maklumat terkini. Cuma tak tahu bila. Mungkin lagi 15 tahun sekiranya dipanjangkan umur oleh Allah SWT, iaitu selepas tamat ana mengkuliahkan kitab Ihya' 'Ulumiddin :) Paling awal pun lagi 3 tahun, waktu tu mungkin dah lapang sikit.

Selamat mengambil manfaat.

Al-Faqir Abu Zulfiqar Amsyari (AFAZA)
24 Mei 2013

Thursday, June 30, 2011

Monolog Israk Mikraj

Dalam kesepian malam...dalam kepekatan gelap malam dan kedinginannya... kekasihku menaiki kenderaannya membelah angin dengan begitu pantas, menuju destinasi yang tidak diketahuinya... dibawa oleh seorang teman...

Dengan kenderaan terbaik, yang sangat canggih sepanjang zaman... membuatkan kekasihku sangat selesa dan berasa bahagia. Lopak, batu-batan, rerumput... bahkan lurah, cerun dan gegunung dilewatinya dengan licin lagi lancar.

Sepanjang perjalanan, dilihatnya pelbagai gambaran dan peristiwa yang luar biasa... sedangkan ketika itu belum adanya panggung wayang, televisyen, satelit...

Kekasihku tiba di suatu kompleks lama yang diberkati Tuhan sekitarnya. Halaman suci itu dikenali sebagai Masjidil Aqsa. Kekasihku sangat teruja dan sangat bersyukur...

Lenyap terus kesedihannya kehilangan bapa saudara dan isteri tercinta. Asyiknya dia menyaksikan kebesaran Tuhan. Kemudian...

,,, dia dikunjungi pula oleh sahabat-sahabatnya yang mulia dan suci, lagi jernih wajah dan peribadi mereka...iaitu para nabi... Aduh... meriahnya majlis pada malam itu... Ada lagikah majlis lain seumpamanya di dunia ini...?

Seandainyalah boleh dilihat Rasulullah pada malam yang gemilang itu, tentu kita akan nampak bercahaya bersinar dari kejauhan baginda membelah malam gelap dan sunyi... indah dari kejauhan...

Belum habis keasyikannya, kekasihku diperlihatkan pula mikraaj yang sangat indah. Pengembaraannya kini menuju ke atas... apa pulalah rahsia dan keindahan di atas sana... yang jauh lebih gelap hitam daripada malam di muka bumi ini...

Kekasihku bertemu dengan seorang yang mulia lagi hebat peribadinya. Ismail namanya...PENJAGA LANGIT DUNIA! Ribuan malaikat bawahannya... MasyaAllah...

Lepas imigresen langit dunia, masuklah kekasihku ke dunia Langit Pertama... Alam langit penuh keajaiban wahai tuan... manusia pertama, raja pertama, nabi pertama, suami pertama, bapa pertama...iaitu leluhur kita yang mewariskan urat darah tulangnya kepada kita semua...ada di sana... alam Langit Pertama.

Itulah bapa manusia... Nabi Adam. Bayangkan tuan... pertemuan makhluk teragung si kekasih kita dengan manusia pertama...

Kekasihku bermi'raj lagi... masuk ke alam lain yang lebih tinggi... semakin jauh kembaranya. Dua susuk pemuda yang cemerlang ditemuinya. Seorang pernah dipenggal kepalanya, seorang pernah cuba hendak disalib. N. Yahya dan N. Isa.

Itulah orang-orang langit. Masih ramai lagi tuan... Naik lagi... kekasihku berhadapan pula dengan manusia paling tampan... yang matahari, bulan dan bintang merendah kepadanya…

………………… tamat di situ sahaja nukilan saya pada malam itu.

Sebenarnya pada malam itu, aura dan aroma peristiwa bersejarah Isra’ dan Mi’raaj betul-betul menusuk kalbu, entah mengapa. Secara spontan tangan ini menulis di Facebook (Abu Zulfiqar) apa saja yang dirasakan ketika itu, meluahkan perasaan sendiri, bermonolog melalui tulisan.

Di luar dugaan, nukilan ‘simple’ menerawang begini mendapat maklum balas yang cukup baik dari teman-teman FB. Ramai orang suka membacanya kerana sejarah Isra’ Mi’raaj dihidangkan dalam bentuk yang berbeza daripada sebelumnya.

Bahagian yang tidak menariknya… nukilan saya terhenti setakat itu sahaja, kerana ‘feel’ dan kesayuan ke atas peristiwa besar itu sudah menghilang. Teman-teman minta disambung lagi, tapi saya khuatir tidak akan menjadi. Nanti rosak pula nukilan pendek ini kalau di sambung : )

Jadi, sekadar itu sahajalah. Mungkin bersambung tahun depan pulak kot : )

SELAMAT MENGHAYATI ISRA’ WAL MI’RAAJ.

Abu Zulfiqar

29 JUN 2011

Tuesday, May 3, 2011

Pendakwah ke-3 Kuliah Kembara ke Sidratul Muntaha

MG MENULIS:
Assalam......Ustaz, Kembara ke Sidratul Muntaha saya dah download dah baru 20 bahagian..Insyallah dah download semua nanti saya akan burn ke vcd..nanti siap boleh la bagi kepada siapa yang berminat, boleh la dengar kat rumah guna vcd player bagi yang tak ada internet...

BALASAN:
Wlksm Mxxxx Gxxxxxxxxx.

Usaha yang sangat baik. Semoga dimudahkan Allah segala urusan berkaitan.

“Bahawasanya DENGAN SEBAB KAMU, diberi petunjuk oleh Allah akan seseorang, lebih baik bagi kamu daripada dunia dan isinya.” (Ahmad)

“Sesiapa yang MENGAJAK KE ARAH KEBAIKAN, dia akan mendapat balasan pahala sebagaimana pahala orang yang mengikutinya, tidak kurang walaupun sedikit. Sesiapa yang mengajak ke arah kesesatan, dia akan mendapat dosa sebagaimana dosa orang yang melakukannya, tidak berkurang walaupun sedikit.” (Muslim)


ps : Sebelum ini sudah ada dua orang yang menCDkan kuliah Kembara ke Sidratul Muntaha (syarah kitab Kifayatul Muhtaj). Tuan MG merupakan pendakwah yang ketiga berbuat demikian.

Friday, March 18, 2011

Teks Kuliah Kembara ke Sidratul Muntaha 1/123



Alhamdulillah, segala puji-pujian bagi Allah Subhanahu wa Ta’ala kerana dengan limpah kurnia dan pilihannya maka pada hari ini, walaupun hujan, kita dapat bersama-sama di dalam rumah Allah sebagai tetamu Allah. InsyaAllah pada malam ini kita akan masuk kepada kitab yang baharu sebagaimana yang dijanjikan, iaitu kitab Kifaayatul Muhtaaj. Jadi buat sementara ini kita berhenti dahulu kitab Munyatul Musolli dan 40 Hadith Peristiwa Akhir Zaman.

Kitab Kifaayatul Muhtaaj ini membicarakan tentang Isra’ dan Mi’raaj. Kebetulan kita pun sudah hampir kepada bulan di mana peristiwa Isra’ dan Mi’raaj dipercayai berlaku, iaitu bulan Rejab. Biasanya guru-guru mengajar kitab ini lebih kurang satu setengah jam. Paling lama pun dua jam. Apabila sampai saja bulan Isra’ Mi’raaj, kita pun panggillah mana-mana ustaz, mana-mana penceramah, mereka datang, kita buat makan-makan sikit, tok guru pun ceritalah pasal Isra’ dan Mi’raaj.

Tapi sekadar itu sahajalah kisah Isra’ Mi’raaj yang kita dapat, lebih kurang satu setengah jam, ataupun dua jam paling lama. Dalam tempoh satu setengah jam ke dua jam itu, hendak cerita sepenuhnya kisah Isra’ dan Mi’raaj (memanglah) tak dapat. InsyaAllah kita di surau ini akan baca satu kitab yang mungkin akan mengambil masa beberapa minggu baru habis. Seluruh cerita Isra’ Mi’raaj akan kita bongkar, tidak sekejap-sekejap sahaja. Semuanya kita ambil dari segi pengajarannya, dari segi kaitannya dengan akhir zaman ini, dan apa sahaja yang bermanfaat daripada kisah Isra’ Mi’raaj ini.

Sebab apa tuan-tuan? Isra’ dan Mi’raaj ini sebenarnya rapat dengan kita kerana pada setiap kali kita sembahyang, dalam tahiyat, ia bercerita tentang Isra’ Mi’raaj. “At-tahiyya..” itu, cerita tentang Isra’ Mi’raaj. Setiap kali sembahyang (berkait dengan) Isra’ Mi’raaj.

Jadi kita berhenti sementara kitab-kitab yang kita pelajari sebelum ini. Biasanya kita baca kitab Hadith 40 Peristiwa Akhir Zaman. Kitab Hadith 40 ini ada banyak jenis. Kenapa kita pilih Hadith 40 Akhir Zaman? Kerana ia memang sesuai dengan apa yang berlaku di sekeliling kita hari ini. Apa yang kita belajar (daripada kitab ini), memang kena dengan sekeliling kita, (yang) kita boleh lihat realitinya ketika ini. Sebab itu kita pilih kitab Hadith 40 Peristiwa Akhir Zaman. Di samping itu, apabila kita sudah mengetahui apa yang berlaku di sekeliling kita, kita bolehlah ambil persediaan, kita ambil langkah berjaga-jaga. Hadith 40 Akhir Zaman itu memang sesuai dengan dunia hari ini.

Kemudian kita juga ada belajar kitab Munyatul Musolli, yang mana isi kandungan utamanya ialah tentang ibadah sembahyang dari mula sampailah habis (sembahyang). Alhamdulillah setakat ini kita sudah belajar dari mula kitab sampailah kepada sunat hai’ah. Kalau kita ikut (setakat pelajaran) yang itu sahaja pun sudah cukup lengkap dah sembahyang kita. Cuma selepas ini kita akan sambung tentang tasawuf (dalam solat), tentang isi batin sembahyang itu, hendak bagi percantik lagi (ibadah solat kita) macam mana (caranya).

Seterusnya kita ada juga menyentuh dalam pengajian-pengajian kita kitab Kimia’ as-Sa’adah karangan Imam al-Ghazali. Ini satu kitab tasawuf yang jarang-jarang orang mengajar. Jadi kita ambil kesempatan, kita sentuh sikit-sikit (isi kitab itu). (Syarah) Kitab Kimia’ as-Sa’adah (yang kita buat selama) ini (boleh dimanfaatkan) sebagai ‘release tension’. Sesiapa berasa rimas, malas hendak beramal ibadah... kalau dia dengar (syarahan) kitab ini, (insyaAllah) dia akan berasa bersemangat balik (semula).

Sebab itu ada satu orang muda, dia kata dia ‘tension’, dan dia nak belajar agama (kerana selama ini dia berasa jauh dari agama). Saya kata... dengar (terlebih) dahulu kuliah kitab Kimia’ as-Sa’adah yang di’upload’ di internet. Setakat hari ini sudah sebelah (fail) kuliah kitab Kimia’ as-Sa’adah yang telah di’upload’ ke internet (Youtube). Dengar yang itu, insyaAllah hati akan jadi tenang serba-sedikit.

Hadirin yang dirahmati Allah sekelian,

Sekaran kita masuk kepada kitab yang baru (iaitu kitab) Kifaaytaul Muhtaaj. Siapa dia pengarang kitab ini? Tidak lain ialah Syeikh Daud Fatani, iaitu orang yang sama yang mengarang kitab Munyatul MUsolli yang kita belajar. Jadi tak perlulah kita huraikan panjang lebar tentang biodata syeikh ini. Kita pun kenal sangat dah (yang) dia ini seorang ulama besar yang dipercayai bertaraf wali Allah, yang hidup pada zaman dahulu, berasal dari Patani, Siam.

Jadi kita ini tuan-tuan, ia (men)cerita(kan) tentang Isra’ dan Mi’raaj dari mula sampailah habis. Isra’ ini apa dia? Ringkas cakap, Isra’ ialah perjalnaan Nabi Muhammad pada waktu malam dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Palestin. Dia ‘berjalan’ melintang.

Mi’raaj pula ialah perjalanan Nabi Muhammad dari Masjidil Aqsa sampai ke Langit Ketujuh sampai ‘di atas’ daripada Sidratul Muntaha, sampailah berjumpa (secara) ‘berdepan’ dengan Allah SWT. Jadi Isra’ (ialah) perjalanan melintang. Kalau Mi’raaj ini (pula), dalam bahasa umumnya (ialah) perjalanan menegaklah, naik ke atas.

Kenapa kita pilih kitab Kifaaytaul Muhtaaj ini, yang membicarakan tentang Isra’ Mi’raaj? Kalau sebab yang pertama, sebagaimana yang disebutkan tadi, (pada) setiap kali sembahyang, dalam tahiyat kita, ia berkisar tentang Isra’ Mi’raaj. Jadi kita berasa rugi sangatlah (apabila) kit abaca “At-Tahiyya..” banyak kali dalam masa sehari, tapi kita tidka tahu apa kisah di sebaliknya. Jadi insyaAllah kita akan bongkar (dan) selongkar apa-apa isi daripada peristiwa tersebut.

Yang kedua, sebagaimana yang disebutkan tadi juga, jarang ada guru yang mengajar kitab ini (sehingga) habis (kepada masyarakat umum). Biasanya kita panggil penceramah, dalam masa satus etengah jam dia pun (ber)cerita. Dalam amsa satu setengah jam itu tidka banyak yang boleh (sempat) dia cerita(kan). Saya pernah dengar satu ustaz mengajar, (dalam) satu setengah jam itu dia sempat cerita pasal Isra’ sahaja, perjalanan melintang sahaja. Nabi Muhammad naik Buraq dari Makkah ke Palestin, yang itu sahaja, masa sudah hendak habis. Tidak sempat naik ke langit pun. Sudah naik, hendak turun pula dari langit (Selepas) Turun dari langit, dari Palestin hendak balik ke Makkah pula. Semua itu ada cerita, macam-macam cerita yang sangat menarik. Selepas daripada malam Isra’ itu pula, ada juga cerita menarik lagi. Jadi kita hendak bongkar semua sekali. Banyaklah cerita-cerita menarik dalam (peristiwa) ini.

Peristiwa Isra’ Mi’raaj ini juga sebenarnya ia membuka cerita tentang alam semesta ini. Macam mana kedudukan alam ini? Bagaimana susunan langit-langit yang tujuh dan tujuh petala bumi? Semua itu akan kita sentuh, kalau tidak banyak (pun), sedikit. Dan yang pentingnya Peristiwa Isra’ Mi’raaj ini ada petunjuk, pedoman dan panduan untuk kita umat akhir zaman. Sebab itu Allah SWT kekalkan ia dalam tahiyat kita. Setiap kali sembahyang kita baca. Baik dari segi tasawufnya, politiknya, perjuangan jemaah-jemaah Islam, kekeluargaan, kajian sains dan lain-lain, semuanya ada dalam peristiwa Isra’ Mi’raaj. Jadi kita berpindahlah kepada kita kita (iaitu) Kifaaytaul Muhtaaj. (Ia) Sebuah kitab lama, mungkin 100 tahun lebih, mungkin 200 tahun, dia punya umur.

Bersambung ke fail Kembara ke Sidratul Muntaha ke 2/123...

Friday, November 26, 2010

Nota Kuliah Kitab Kifaayatul Muhtaaj 68-73

Sejurus Sebelum ke Sidratul Muntaha

“Kemudian aku melihat umatku dalam dua bahagian. Satu bahagian memakai pakaian putih seolah-olah kertas, dan satu bahagian lagi memakai pakaian yang kotor. Lalu aku masuk ke Baitul Makmur dan diikuti oleh umatku yang berpakaian putih. Sementara umatku yang berpakaian kotor disingkirkan tidak boleh masuk. Kemudian aku bersolat bersama-sama orang-orang yang ikut ke Baitul Makmur. Setelah itu kami semua keluar.” (Baihaqi 1)

“Baginda pun masuk (ke Langit Ketujuh) dan tiba-tiba baginda bertemu dengan seorang lelaki yang sudah beruban sedang duduk di atas kerusi dekat pintu syurga. Di sampingnya satu kaum sedang duduk dengan muka yang putih seperti kertas, lalu ada satu kaum dengan warna hitam di kulit mereka. Kemudian mereka masuk ke dalam satu sungai lalu mandi. Ketika mereka keluar dari sungai itu, warna hitam yang terdapat pada diri mereka telah hilang. Kemudian mereka memasuki sungai yang lain dan mandi. Ketika mereka keluar dari sungai itu, tiba-tiba mereka sudah sama seperti warna sahabat mereka yang lain.” (Jawab Jibrail lepada Nabi...)

“Lelaki tua itu ialah bapamu Nabi Ibrahim – orang yang mula-mula beruban di bumi. Adapun mereka yang mukanya putih ialah orang-orang yang keimanan mereka tidak dihiasi dengan kezaliman. Manakala orang yang hitam mukanya ialah orang yang mencampuradukkan amal soleh dengan amal yang buruk, lalu mereka bertaubat, dan Allah pun menerima taubat mereka.”

“Adapun sungai-sungai itu – sungai pertama ialah rahmat Allah, sungai kedua ialah nikmat Allah dan sungai ketiga ialah Allah memberi mereka minuman kepada mereka dengan minuman yang suci.” (Baihaqi 2)

Pengalaman Rasulullah di Sidratul Muntaha

“Setelah itu Buraq itu membawa kami naik ke Sidratul Muntaha yang daun-daunnya seperti telinga gajah dan buah-buahnya seperti bejana (tempayan) besar. Tatkala perintah Allah memenuhi Sidratul Muntaha, maka Sidratul Muntaha berubah dan tidak ada seorang makhluk pun yang dapat menjelaskan sifat-sifat Sidratul Muntaha kerana sangat indahnya.” (Muslim)

“Kemudian kami melanjutkan perjalanan sehingga sampai ke Sidratul Muntaha, lalu ditutupi oleh pelbagai macam warna, dan aku tidak tahu apakah itu. Kemudian aku dimasukkan ke dalam syurga, dan di dalamnya terdapat kubah permata dan tanahnya adalah misk (kasturi).” (Bukhari)

“Kemudian aku diangkat ke Sidratul Muntaha. Setiap daun di sana hampir menutupi umat ini. Di dalamnya terdapat mata air yang mengalir, namanya Salsabil. Dari Salsabil itu dibahagi menjadi dua sungai. Pertama al-Kautsar dan yang kedua dinamakan sungai ar-Rahmah. Lalu aku mandi di sungai itu, maka Allah mengampuni dosaku yang akan datang dan yang telah lalu.”

“Kemudian aku diangkat ke syurga dan aku pun disambut oleh seorang bidadari. Lalu aku tanyakan: “Milik siapakah engaku wahai bidadari cantik?” Bidadari itu menjawab: “Aku milik Zaid bin Harithah.”

“Kemudian aku berada di sungai-sungai dari air yang tidak berubah rasa dan baunya, sungai-sungai dari air susu yang tidak berubah rasanya, sungai-sungai dari khamar yang lazat rasanya bagi peminumnya, dan sungai-sungai dari madu yang ditapis.”

“Kemudian diperlihatkan kepadaku neraka. Di dalamnya terdapat kemarahan, murka dan seksa Allah. Seandainya dijatuhkan batu dan besi di dalamnya, nescaya ia akan lebur.” (Baihaqi 1)

“Kemudian sampai ke Sidratul Muntaha, lalu dikataakan kepada baginda : “Inilah Sidrah, tempat terakhir setiap umatmu yang mengamalkan sunnahmu. Di Sidrah itu terdapat sepohon kayu, dari akarnya keluar sungai-sungai dari air yang tiada berubah rasa dan baunya, sungai-sungai dari khamar yang lazat rasanya bagi peminumnya dan sungai-sungai dari madu yang ditapis. Iaitu pohon kayu yang naungannya sahaja tidak dapat ditempuhi oleh seorang penunggang kuda selama tujuh puluh tahun. Sehelai daunnya dapat menaungi seluruh umat.” (Baihaqi 2)

Wednesday, November 24, 2010

Kuliah-kuliah Di"CD'kan

PGP MENULIS (mengulas tentang kuliah-kuliah Kembara ke Sidratul Muntaha di Youtube):
tima kasih byk2 ustaz...
mmg sangat2 bermanfaat...
ambe nk mintak kebenaran ustaz sebab ambe dh cd kan kuliah2 ustaz pastu bagi2 pada kwn2..
haarap ustaz bg kebenaran...


Posted: Tue Nov 23, 2010 12:03 pm

ABU ZULFIQAR MENULIS:
Terima kasih Pemuda Gong Pauh atas usaha dakwah yang begitu gigih. Semoga Allah gandakan ganjarannya untuk anda dan kita semua.

Silalah sebarkan apa-apa yang bermanfaat dari kuliah yang tak seberapanya ini. Cuma jangan 'buat duit' je. Very Happy Dapat edar percuma lagi bagus. Tapi kalau dah banyak sangat, tak salah kalau tuan ambil duit kos usaha tuan seperti modal beli cd, elektrik, kos perjalanan (kereta/ motor/ lain2), sampul surat, setem, minum air dan lain-lain kos modal yang munasabah. Dengan adanya sedikit wang, gerak kerja tuan akan lebih lancar.

Sekali lagi terima kasih. Semoga berjaya dalam semua lapangan yang diceburi.

Very Happy
Posted: Wed Nov 24, 2010 12:09 pm

Sunday, November 21, 2010

Nota Kuliah Kitab Kifaayatul Muhtaaj 62-67

Pengalaman Nabi di Langit Ketiga

“Maka kami dibukakan pintu, lalu aku bertemu Nabi Yusuf yang telah diberi separuh dari ketampanan orang sedunia. Maka Yusuf menyambutku dan mendoakan kebaikan untukku. (Muslim)

“Baginda pun masuk dan tiba-tiba bertemu baginda bertemu dengan Nabi Yusuf.” (Baihaqi 2)

Pengalaman Nabi di Langit Keempat

“Maka kami dibukakan pintu, lalu aku bertemu dengan Nabi Idris. Dia menyambutku dan mendoakan kebaikan untukku. Allah SWT berfirman : “Dan kami mengangkatnya ke tempat yang tinggi (Maryam : 57).” (Muslim)

Anas berkata : “Ketika Jibrail dan Nabi saw melewati Nabi Idris, Nabi Idris berkata : “Selamat datang nabi yang soleh dan anak yang soleh.” Aku bertanya kepada Jibrail: “Siapa orang ini?” Jibrail menjawab : “Dia ialah Nabi Idris.” (Bukhari)

“Kemudian kami naik ke langit keempat. Maka aku bertemu dengan Idris as, lalu aku member salam kepadanya, dan dia pun memberi salam kepadaku.” (Baihaqi 1)

Pengalaman Nabi di Langit Kelima

“Maka kami dibukakan pintu, lalu aku bertemu dengan Nabi Harun as. Dia menyambutku dan mendoakan kebaikan untukku.” (Muslim)

“Kemudian kami naik ke langit kelima. Maka aku bertemu dengan seorang yang separuh janggutnya berwarna putih dan separuh lagi berwarna hitam, panjang janggutnya sampai ke pusat. Aku tanyakan: “Siapakah dia wahai Jibrail?” Jibrail menjawab : “ Dia ialah orang yang dicintai oleh kaumnya, dia ialah Nabi Harun bin Imran, dan bersamanya ada beberapa orang kaumnya.” Lalu aku memberi salam kepadanya, dan dia pun memberi salam kepadaku.” (Baihaqi 1)

“Baginda pun masuk dan tiba-tiba baginda bertemu dengan Nabi Harun as.” (Baihaqi 2)

Pengalaman Nabi di Langit Keenam

“Maka kami dibukakan pintu, lalu aku bertemu dengan Nabi Musa as, dia menyambutku dan mendoakan kebaikan untukku.” (Muslim)

“Kemudian kami naik ke langit keenam. Maka aku bertemu dengan Nabi Musa bin Imran, dan bersamanya beberapa orang kaumnya.” (Baihaqi 1)

“Baginda pun masuk dan tiba-tiba baginda bertemu dengan Nabi Musa as.” (Baihaqi 2)

Pengalam Nabi di Langit Ketujuh

“Maka kami dibukakan pintu, lalu aku bertemu dengan Nabi Ibrahim yang sedang menyandarkan belakangnya ke Baitul Makmur, yang setiap harinya dimaski oleh 70,000 malaikat. Malaikat itu tidak masuk kembali sesusahnya.” (Muslim)

“Kemudian kami naik ke langit ketujuh. Maka aku bertemu dengan seorang lelaki yang menyandarkan belakangnya ke Baitul Makmur. Aku tanyakan : “Siapakah lelaki ini wahai Jibrail? Jibrail menjawab: “Dia ialah bapamu Ibrahim dan bersamanya beberapa orang umatnya.” (Baihaqi 1)

Baginda pun masuk dan tiba-tiba baginda bertemu dengan seorang lelaki yang sudah beruban sedang duduk di atas kerusi dekat pintu syurga....... Jibrail menjawab : “ Lelaki tua itu ialah bapamu Nabi Ibrahim as, orang yang mula-mula beruban di bumi.” (Baihaqi 2)

Langit 1 – Nabi Adam

Langit 2 – Nabi Isa dan Nabi Yahya

Langit 3 – Nabi Yusuf

Langit 4 – Nabi Idris

Langit 5 – Nabi Harun

Langit 6 – Nabi Musa

Langit 7 – Nabi Ibrahim