Wednesday, June 24, 2009

Berjumpa Orang yang Mengaku Khidhir (1/2)

CUCU : Tok, ada seorang pakcik tu kata dia pernah berjumpa Nabi Khidhir. Betul ke tu tok?

ATUK : Wallahualam. Boleh jadi betul dia ada berjumpa dengan Nabi Khidhir. Boleh jadi juga yang dia jumpa itu bukan Nabi Khidhir. (Bibir atuk melakar senyuman)

CUCU : Tapi tok, kata pakcik tu, orang itu sendiri memperkenalkan dirinya sebagai Khidhir. Jadi siapa yang dijumpainya tu tok?

ATUK : Mungkin itu benar-benar Nabi Khidhir, tapi tak mustahil yang ditemuinya itu ialah manusia lain yang memang namanya Khidhir. Maka memang betullah jika orang itu berkata, “Akulah Khidhir.” Dah memang namanya Khidhir. Bukannya dia mengaku dirinya Nabi Khidhir. Kan banyak orang soleh yang bernama Khidhir? Tapi ada kemungkinan juga orang itu manusia biasa yang menyamar sebagai Nabi Khidhir, ataupun mahu orang menyangkakan dirinya Nabi Khidhir untuk tujuan-tujuan tertentu.

CUCU : Kalau tidak pun, jin.

ATUK : Ya, betul tu! Mungkin nama jin itu Khidhir, jadi dia perkenalkan dirinya sebagai Khidhirlah. Dia tak maksudkan pun dirinya Nabi Khidhir. Serupa manusialah. Kan dalam kampung kita ni ada orang nama Sulaiman, Musa, Adam... api mereka bukannya nabi. Satu lagi, dia mungkin juga satu jin yang bukan bernama Khidhir pun, tetapi dia menyamar sebagai hamba Allah yang soleh agar manusia menyangkakan dirinya Nabi Khidhir.

CUCU : Pakcik tu kata Nabi Khidhir ni ada petanda-petanda dia. Jadi melalui tanda-tanda itulah kita boleh kenal sama ada yang kita jumpa itu Nabi Khidhir ataupun tidak.

ATUK : Ohh tanda-tanda tu....! Macam-macam petanda yang disebarkan orang. Sekadar contohlah, mungkin kita diberitahu bahawa tanda orang itu wali ataupun nabi sekian sekian ialah jubahnya berwarna hijau, serbannya berwarna putih, ekor serbannya jatuh di sebelah kiri, di jari tangan kirinya ada dua bentuk cincin, dia tidak berkasut... macam-macamlah. Sebenarnya, jika kita tahu tanda-tanda ini, kan kita manusia pun boleh menyamar sebagai Nabi Khidhir?

CUCU : Emmm... ye tak ye jugak!

ATUK : Kalau kita manusia pun boleh menyamar, apatah lagi jin yang sebahagiannya memang mahir menyamar. Sewaktu kita bercerita tentang ciri-ciri Nabi Khidhir ni, entah berapa jin mendengar perbualan kita. Jadi, di mana masalahnya untuk mereka menyamar? Berapa banyak orang-orang yang asalnya soleh bahkan ulama yang berjaya diperdayakan jin dan syaitan? Kita pun selalu baca kisah-kisah mereka.

CUCU : Kalau macam tu tok, seandainyalah kita terjumpa hamba-hamba Allah yang mengaku Nabi Khidhirlah , Syeikh Abdul Qadir Jilanilah, Imam Mahdilah, apalah... bagaimana tindakan kita?

ATUK : Terpulanglah kepada kebijaksanaan masing-masing.

CUCU : Susah juga ye...

ATUK : Maam nilah. Tok nak cerita pengalaman tok sebagai panduan.

CUCU : Eh, tok pernah jumpa ke?

ATUK : Ya, masa tok muda-muda dulu, tua sikit daripada kamu sekarang. Suatu malam tu, tok balik lewat dari surau. Sampai di jalan nak masuk ke laman rumah, ada orang bagi salam. Tok tak perasan macam mana dia boleh ada di tepi jalan tu tanpa tok perasan. Tahu-tahu dah ada berdiri kat situ. Kami pun bersembanglah tapi tak lama.

Sewaktu hendak berpisah, dia kata, “Ingatlah, akulah Nabi Khidhir.” Tapi tok jawab lebih kurang beginilah, “Ya. Pertamanya, saya mohon maaf banyak-banyak kerana saya tidak tahu betulkah tuan ni Nabi Khidhir ataupun tidak. Dan memang Islam pun menyuruh kita membiasakan berhati-hati. Betul tak?”

Orang tu mengangguk. Tok sambung, “Jadi, apa yang tuan pesan tadi tu akan saya pertimbangkan insyaallah. Tapi tentang mempercayai tuan sebagai Nabi Khidhir, saya minta tangguh. Selepas ini saya akan memohon gerak daripada Allah dengan melakukan solat istikharah. Di samping itu, saya akan minta pandangan beberapa orang alim ulama. Dari situ, barulah saya akan ambil keputusan. Saya harap tuan tidaklah berkecil hati.”

Orang tu diaaamm je. Lepas tu tok terdengar bunyi ranting patah macam dipijak orang di belakang tok. Tok pun toleh le. Tak ada apa pun. Elok tok toleh depan balik, orang tu dah hilang.

bersambung...

Berinteraksi dengan Bulan Kelahiran

Ada orang percaya bahawa bulan kelahiran kita membayangkan diri kita. Saya terjumpa satu tulisan di internet yang menceritakan hal ini. Katanya hasil kajian ini dinisbahkan kepada Dr. Fadzilah Kamsah. Pemerhatiannya berdasarkan pengalaman selama 25 tahun. Wallahualam. Tidak kiralah siapa yang membuat kajian, cuma di sini saya hendak membandingkan hasil kajian itu dengan diri saya.

Saya lahir pada bulan Jun. Berikut ialah ciri-ciri manusia yang lahir pada bulan Jun dan persamaanya dengan saya.

berfikiran jauh & berwawasan = BETUL


berperangai lemah lembut = SEDERHANA


mudah berubah sikap, perangai, idea, mood = TIDAK


terlalu banyak idea di kepala = BETUL, tapi jika diminta memberi idea untuk sesuatu hal, biasanya tak ada idea. : )


bersikap sensitif = SEDERHANA


otaknya aktif (sentiasa berfikir) = BETUL


sukar melakukan sesuatu dengan segera = BETUL


bersikap suka menangguh-nangguh = BETUL, ini kelemahan saya yang agak ketara.


bersikap terlalu memilih & mahukan yang terbaik = SEDERHANA


cepat marah & cepat sejuk = SEDERHANA


suka bercakap & berdebat = Suka bercakap, SALAH. Suka berdebat, SEDERHANA. Tapi debat dalam hal ehwal agama saja, bidang lain tidak berminat untuk berdebat.


suka buat lawak & bergurau = TIDAK, selalu diam dan kelihatan serius.


otaknya cerdas berangan-angan = BETUL


mudah berkawan & pandai berkawan = TIDAK, suka menyendiri dengan ilmu seperti membaca dan berfikir.


orangnya sangat tertib = SEDERHANA


pandai mempamerkan sikap = SEDERHANA


mudah kecil hati = SEDERHANA


mudah kena selsema = BETUL, yang ini selalu.


suka berkemas = TIDAK, suka menyepah. : )


cepat rasa bosan = BETUL, kecuali dalm hal yang diminati.


sikap terlalu memilih & cerewet = TIDAK


kurang mempamerkan perasaan = BETUL


lambat hendak sembuh apabila terluka hati = BETUL, tapi saya susah hendak terluka hati. Jika terluka hati tu, maksudnya apa yang berlaku memang melampau.


suka kepada barang yang berjenama = TIDAK, suka yang biasa-biasa dan murah.


kedegilan yang tidak terkawal = SEDERHANA. Dalam perkara-perkara yang jelas benar, memang sangat degil untuk berganjak.


sesiapa yg memuji saya adalah musuh saya tetapi siapa menegur saya adalah kawan saya = TAK BERKAITAN LANGSUNG DENGAN SAYA.

Kesimpulannya, kajian ini menunjukkan ‘kebiasaan’, bukannya ‘kemestian’. Sesiapa yang lahir pada bulan Jun biasanya bersikap begini dan begini. Jangan kita jadikan ia sebagai kayu ukur utama dalam menilai seseorang.

Wallahualam. : )

Lensa Abu Zulfiqar 6





Sunday, June 21, 2009

Huraian Kuliah "Yakjuj Makjuj" (bahagian akhir)

Seterusnya kita tengok nama-nama Yakjuj dan Makjuj. Ada pihak yang sebut nama dia Yajuj dan Majuj. Ada orang sebuat Gog and Magog- ini orang putih sebut. Dan ada juga satu kumpulan yang sebut iaitu (penganut) agama Hindu- Koku Kokuna (sebenarnya Koka Vikoka, penceramah tersasul dan selepas ini masih menyebut Koku Kokuna beberapa kali, macam watak cerita kartun pulak). Baik Yakjuj dan Makjuj, Yajuj Majuj, Gog Magog, Koka Vikoka, semua itu cerita pasal Yakjuj dan Makjuj.

Menurut Imam Tabari, para ulama berselisih dalam menentukan sebutan Yakjuj dan Makjuj, sama ada Yakjuj Makjuj ataupun Yajuj Majuj. Jadi yang popular dalam umat Islam Nusantara ni- Yakjuj Makjuj (sebenarnya kebanyakan kita sebut Yakjud Makjud).

Kemudian kita lihat Yakjuj dan Makjuj dalam al-Quran. Inilah sumber yang tersahih, sumber yang tidak rosak. Satu-satunya sumber yang tidak ada (langsung) kesalahan, yang tidak ada (langsung) kelemahan, iaitu al-Quran. Apa cerita Yakju dan Makjuj dalam al-Quran?

Matannya dalam bahasa Arab kita tak baca kerana kita kesuntukan masa. Tengok terjemahan terus.

“Sehingga apabila terbuka penghalang Yakjuj dan Makjuj, dan mereka meluru turun dari tiap-tiap tempat yang tinggi.”

Apabila dinding ataupun tembok tadi, ataupun plaster tadi sudah terpecah, sudah terbuka, Yakjuj dan Makjuj ini akan turun daripada tempat yang tinggi. Apa maksud “tempat yang tinggi”? Macam-macam tafsiran. Ada kata turun dari gunung. Ada kata turun daripada kapal terbang... paracut. Ada kata turun dari langit. Macam-macamlah.

Sambung lagi.

“Dan hampirlah datangnya janji (hari kiamat) yang benar, maka dengan serta-merta pandangan mata orang-orang yang kufur (orang-orang yang engkar) terbeliak, sambil berkata dengan cemas, “Aduhai, celakanya kami! Sesungguhnya kami telah tinggal dalam keadaan yang melalaikan kami daripada memikirkan perkara ini. Bahkan kami telah mejadi orang-orang yang menganiaya diri sendiri.”

(Surah al-Anbia’: 96-97)

Jadi kesimpulan daripada ayat ini, cerita tentang Yakjuj dan Makjuj (dan hari kiamat) ini kita kena ambil tahu. Itu ayat itu kata, siapa yang tidak ambil tahu ini, (apa)bila datang Yakjuj Makjuj dia (orang itu akan ber)kata, “Aduhai, celakanya kami!”

Jadi Alhamdulillah lah malam ini kita ambil tahu sikit. Bukan hendak ambil tahu banyak, hendak ambil tahu sikit. Supaya sekiranya timbul Yakjuj dan Makjuj (memang pernah, sedang dan akan timbul pun), maka kita ada persediaan-persediaan yang boleh kita buat. Jangan sampai tidak ambil tahu langsung. Ayat ini kata, siapa yang tidak ambil tahu langsung, satu, “Celakanya kami!” Yang kedua “lalai”. Yang ke-3, “Menganiaya diri sendiri”. Alhamdulillah malam ini kita belajar tentang Yakjuj Makjuj sikit.

Samalah juga macam kisah Dajjal. Kena ambil tahu juga serba-sedikit. Kisah Imam Mahdi, kena ambil tahu juga. Nanti (apa)bila Imam Mahdi betul-betul muncul, kita tak tahu hendak buat apa sebab tidak ada persediaan. Kalau tahu sikit pun, kita tahulah juga gerak langkah Imam Mahdi macam mana, (dan) boleh kita sertai bersama-sama. Dan juga kedatangan Nabi Isa kali yang kedua.

Seterusnya satu lagi surah iaitu surah al-Kahfi dalam al-Quran yang menceritakan tentang Zulqarnain.

“Sehingga apabila dia (Zulqarnain) sampai di antara dua gunung, dia dapati di tepinya satu kaum yang hampir-hampir mereka tidak dapat memahami perkataan.”

Jadi Zulqarnain dengan tenteranya yang ramai yang besar ini, mereka mengembara, berperang- menyebarkan agama tauhid ketika itu. Sampai satu tempat di utara, antara dua gunung. Sampai di antara dua gunung. Sampai dekat situ, penduduk di kawasan itu, tentera Zulqarnain tak boleh faham bahasa mereka. Maksudnya jauhlah mereka (Zulqarnain dan tenteranya) ini sampai.

“Mereka berkata: “Wahai Zulqarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di muka bumi. Oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepada kamu, dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?”

Orang yang duduk di kawasan itu tak boleh lawan dah Yakjuj Makjuj, mereka suruh Zulqarnain tolong buat satu dinding untuk mereka.

“Zulqarnain menjawab: “Kekuasaan dan kekayaan yang Tuhanku jadikan aku menguasainya, lebih baik daripada bayaran kamu.”

Maksudnya tak payah bayarlah sebab Allah dah bagi aku macam-macam- duit, segala harta kemewahan semua aku dah dapat. Empayar besar pun aku dah dapat. Jadi kamu tak payahlah bayar apa-apa, aku boleh tolong buat.

“Oleh itu, bantulah aku dengan tenaga kamu beramai-ramai.”

Cuma satu saja nak minta- tolong kerja sama-sama hendak buat tembok.

“Aku akan bina antara kamu dan mereka, sebuah tembok penutup yang kukuh.”

Baik, Iskandar Zulqarnain ini dia orang yang handal. Tenteranya pun tentera yang sangat handal. Mereka menguasai hampir seluruh dunia. Tapi kenapa Zulqarnain tidak pergi serang Yakjuj dan Makjuj? Dia kuat, tenteranya pun besar. Tapi kenapa dia tidak pergi serang terus?

Bahkan dalam al-Quran kata, Zulqarnain ini “dimudahkan segala perkara”. Dia hendak apa pun (insyaallah) boleh dapat. Kenapa dia tidak pergi lawan terus dengan Yakjuj Makjuj? Senang saja (jika) dia hendak bunuh semua.

Jadi adalah beberapa sebab yang digariskan oleh para ulama. Yang pertama, kemungkinan Zulqarnain kalau dia lawan pun mungkin dia tidak boleh menang sebab Yakjuj dan Makjuj ini ramai sangat. Sebab yang kedua- ini sebab yang kukuhlah, belum sampai masanya lagi nak bunuh Yakjuj dan Makjuj. Belum datang perintah Allah (pada zaman itu) supaya bunuh Yakjuj Makjuj.

Sebab zaman Zulqarnain ini, dia hidup sezaman dengan Nabi Ibrahim. Bahkan dalam tentera dia pun (dikatakan) ada Nabi Khidhir. Jadi Zulqarnain ini biasa dengan para nabi. Para nabi ini pula, mereka terima wahyu. Boleh jadi dalam wahyu-wahyu yang mereka terima mengatakan Yakjuj dan Makjuj ini akan hidup sampai akhir zaman. Jadi belum masanya hendak pergi bunuh. Belum sampai perintah Allah supaya berperang dengan Yakjuj Makjuj. Kalau hendak pergi lawan pun, tak boleh (menang), (mungkin) kalah mereka (tentera Zulqarnain) ini. Jadi belum sampai perintah Allah, Zulqarnain pun tidak pergi lawan. Sungguhpun dia ada kekuasan hendak lawan, tapi dia tidak pergi lawan. Dia cuma buat benteng saja.

Samalah juga kisah zaman Nabi (Muhammad) dulu, ada satu orang budak kecil. Budak kecil ini luar biasa. Kalau para sahabat tanya dekat dia, siapa dia Rasulullah? Dia kata akulah rasulullah. Budak kecil ini tadi. Dia tak kata Muhammad Rasulullah tetapi kata akulah rasulullah.

Jadi para sahabat kata budak ini mungkin Dajjal. Jadi sahabat ambil pedang hendak bunuh budak ini. Nabi Muhammad kata nanti dulu. Sebab apa Nabi Muhammad kata macam tu? Sekiranya budak ini bukan Dajjal, kamu bunuh dah salah orang. Kalau betul dia Dajjal, kamu nak bunuh budak itu, tak boleh bunuh! Sebab sudah disebut dalam hadith-hadith, Dajjal ini sampai akhir zaman. Sampai dekat hari kiamat baru dia mati dibunuh oleh Nabi Isa.

Jadi sahabat hebat setara mana pun, Nabi Muhammad hebat setara mana pun, tak boleh bunuh Dajjal (ketika itu). (Kerana) Belum sampai perintah hendak bunuh Dajjal. Sebab itu Ibnu Sayyad, budak kecil ini tadi, para sahabat tak boleh bunuh, Nabi Muhammad kata jangan bunuh. Dia hendak mengaku dia nabi pun suka hati dialah. Tidak boleh kacau dia.

Samalah cerita Zulqarnain dengan Yakjuj Makjuj. Boleh jadi belum sampai masa Yakjuj Makjuj ini hendak dihapuskan. Jadi Zulqarnain tidak pergi perang, dia cuma buat tembok.

Sambung pasal Zulqarnain.

“Bawalah kepada aku ketul-ketul besi sehingga apabila ia terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu, ia pun memerintahkan mereka membakarnya dengan berkata, “Tiuplah dengan alat-alat kamu”, sehingga apabila ia menjadikannya merah menyala seperti api, berkatalah ia, “Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan ke atasnya.”

Kata Zulqarnain (dia) hendak pekerja, hendak bahan mentah. Di kawasan bukit itu rupanya senang dapat besi. Jadi kumpul besi setempat, bakar sampai menyala merah, dituangkan tembaga, disalut dengan tembaga supaya kukuh. Itu cara teknologi zaman dulu.

Dan kalau mengikut kajian, sekarang dinding ini ada dekat dengan Chechnya. Atas dari Palestin, dekat dengan Chechnya. Ada dulu dinding besi tapi dinding besi itu sudah pecah. Orang dari utara hendak mai ke selatan ini mesti lalu jalan itu saja, sebab kiri kanan ini bukit tinggi. Jadi kononnya Zulqarnain buat tembok besi di kawasan itulah, tapi tembok besi itu sudah pecah, tinggal sisa-sisanya saja. Maksudnya, Yakjuj dan Makjuj ini sudah keluar dah sebenarnya, cuma dia tidak datang menyerang (sebagai Yakjuj DAN Makjuj) saja lagi. Keluar dah keluar dah.

“Maka mereka (yakni Yakjuj dan Makjuj) tidak dapat memanjat tembok itu, dan mereka juga tidak dapat meneboknya.”

(Dinding itu di) Buat daripada tembaga. Daripada besi bersalut tembaga, tinggi macam gunung. Na panjat tak lepas. Nak buat lubang pun tak lepas.

“Setelah itu berkatalah Zulqarnain, “Inilah suatu rahmat daripada Tuhan aku. Dalam pada itu, apabila sampai janji Tuhanku, Dia akan menjadikan tembok itu hancur-lebur. Dan adalah janji Tuhanku itu benar.”

Kata Zulqarnain, aku buat benda ini sementara saja. Suatu hari nanti tembok ini akan musnah juga. Dan terbuktilah sekarang tembok itu sudah musnah.

Seterusnya kita melihat Yakjuj dan Makjuj dalam agama Hindu. Dalam mana-mana agama (yang asalnya benar) pun sebenarnya ada cerita pasal Yakjuj dan Makjuj. Cuma agama-agama ini mungkin telah terseleweng, jadi ceritanya pun tidak berapa tepat. Tapi kita dengar, tengok tepat tak ceritanya.

Mengikut sumber-sumber Hindu, ada dua orang saudara kembar bernama Koka dan Vikoka. Dua orang saudara kembar ini berkhidmat sebagai pemimpin, sebagai jeneral di bawah kekuasaan Iblis. Dua orang saudara Koka dan Vikoka ini pemimpin, tapi mereka punya ketua nombor satu ialah Iblis. Mereka ini daripada bangsa manusia, Iblis itu daripada bangsa jin.

Mereka mahir dalam peperangan. Mereka sangat kuat hinggakan para dewa pun berasa gentar dengan mereka. Tuhan-tuhan Hindu pun takut dengan Koka Vikoka, sebab kuat sangat. Tidak ada cara dan senjata yang dapat menumpaskan mereka sekiranya mereka bergabung. Kalau Koka dengan Vikoka tadi bercantum dua datang menyerang, senjata jenis apa pun tidak boleh bagi kalah. Di akhir nanti kalau sempat, kalau tak sempat kita sambung minggu depan... akan cerita macam mana cara Yakjuj dan Makjuj dihapuskan. Senjata buatan manusia tak boleh makan. Kena tentera Allah juga datang. Tentera Allah datang berupa ulat-ulat, baru mereka ini kalah. Manusia lawan tak boleh. Imam Mahadi lawan tak lepas, Nabi Isa lawan pun tak lepas.

Sambung lagi (sumber Hindu).

Untuk menewaskan mereka, mestilah dengan cara memisahkan mereka terlebih dahulu.......



(Setakat itu saja rakaman yang ada. Wallahualam)

Lensa Abu Zulfiqar 5





Friday, June 19, 2009

Huraian Kuliah "Yakjuj Makjuj" (bahagian 1)

Oleh kerana banyak teman tidak dapat "streaming" Youtube http://www.youtube.com/watch?v=aiwjiChTIeA, saya pindahkan kuliah saya ke dalam bentuk tulisan.


YAKJUJ DAN MAKJUJ

Oleh Abu Zulfiqar “Alexanderwathern”


Dalam pelajaran yang lalu kita telah sama-sama melihat dua perkara yang utama iaitu jawapan kepada tuduhan kaum orientalis ke atas Nabi Muhammad saw kononnya Nabi Muhammad ini cenderung (kuat nafsunya) kepada wanita. Kita pun telah bagi jawapan-jawapan kita. Banyak jawapan-jawapan yang telah kita sediakan.

Dan perkara yang kedua kita lihat (ialah) cerita tentang bangsa-bangsa yang telah dimusnahkan oleh Allah SWT, ataupun secara tepatnya dimusnahkan oleh tentera Allah. Di antaranya kaum Nabi Lut, kaum Nabi Nuh, kaum Aad, kaum Tsamud yakni kaum Nabi Soleh, kaum Nabi Syuaib, Nabi Yunus dan lain-lain.

Kemudian perkara sampingan yang telah kita perolehi pada minggu yang lalu antaranya ialah satu amalan yang mudah, yang ringan di mulut tetapi amalan ini berat di timbangan Allah SWT iaitu satu doa/ satu tasbih yang diamalkan oleh Nabi Yunus ketika baginda berada di dalam perut ikan. Apa doa dia?

“Laailahailla anta. Subhanaka innikuntu minazzolimin”.

Dan kalau tuan-tuan perasan, pada minggu yang lalu Ustaz Hafiz kita ada mengimamkan solat Isyak. Selepas solat Isyak itu Ustaz Hafiz kita baca di dalam doa dia. Ia sebut tiga kali doa Nab Yunus ini. Kemudian Ustaz Hafiz jugak membaca satu lagi doa:

“Ilahi, Antamaqsudi wa ridhaka matlubi”.

Ini doa biasanya diamalkan oleh kaum sufi, ahli-ahli tasauf, juga dibaca oleh Ustaz Hafiz yang mengimamkan solat kita pada minggu yang lalu.

Begitulah lebih kurang pelajaran minggu yang lalu. Jadi minggu ini kita akan melihat (kisah) Yakjuj dan Makjuj.


Sebelum itu tuan-tuan, bak kata tuan pengerusi kita... belajar agama ni macam belajar ABC. Kuliah A kita datang, kuliah B kita datang, tiba-tiba kuliah C kita tak datang. Kuliah D kita datang balik (pula)! (Kebiasaan begini) Menyebabkan kita ketinggalan.

Belajar agama ni kalau boleh dia kena datang setiap kali kuliah. Baru dia rasa seronok. Kalau kita dah tinggal dua kali, seronok tu dah hilang dah sebab kita tak tahu cerita. Dia cerita dia bersambung-sambung ABC sampai Z. Kalau kita ada tinggal mana-mana satu boleh lagi. Kalau tertinggal dua, dua kali tertinggal, kita tak tahu cerita.

Jadi kalau boleh setiap minggu datanglah. Tak kiralah saya yang mengajar ataupun Ustaz Tuan Azman mengajar. Datang... dan kalau tertinggal pun jangan sampai tertinggal dua kali, nanti kita tak tahu hujung pangkal cerita.


Hadith kita masih hadith kedua yang bertajuk “Mengapa Dunia Islam Menjadi Sasaran Pemusnahan”. Matan dia............

Perkara yang kita nak sentuh (ialah) Yakjuj Makjuj di mana dalam hadith ini diceritakan tentang Yakjuj Makjuj. Sebenarnya Yakjuj Makjuj ini di keliling kita pun ada (*berseloroh), tapi dia punya saudara-saudaralah, bukan Yakjuj Makjuj yang sebenar. Ni yang ambil kita punya amplifier ni saudara kepada Yakjuj Makjujlah ni (*amp surau ini dicuri orang beberapa hari sebelum itu) .

Saudara sepusat sepusing,

Sesimpul sekusut sepening,

Mak lain-lain, bapak asing-asing,

Sepupu sepapat spare-part dengan... Yakjuj Makjuj.


Banyak di sekeliling kita ni! Yang buah sawit orang, (macam) buah sawit dia (*pencuri terutamanya penagih). Yang... macam-macamlah. Semua hak orang (kira) hak dialah. Kemudian kalau (bab) mengata orang ni, dia jugak. Kita dok cari di mana kesalahan orang (yang tak sepatutnya dihebahkan tetapi dihebahkan. Yang sepatutnya, tidak mengapa).

Macam satu cerita yang masyhurlah- dua orang anak-beranak. Anak dengan bapa, dan seekor kaldai. Anak kasihan kat bapa, bagi bapa naik kaldai (*cerita ini tidak mengikut kronologi asal). Orang yang tengok kata, “Laa... bodohnya anak tu! Kaldai tu awat (kenapa) laa tak naik berdua?”

Yang orang lain pula kata, “Laa... apa laa bapa dia tu teruk sangat? Bagiilah anak dia naik!” Dah depa (mereka) suruh tukar (pula). Anak pula naik, bapa pula bawa (tuntun) kaldai.

(Itu pun) Orang kata juga, “Apaaalah anak tu tak kesian kat bapa?” Macam-macam orang kata. Lepas tu dua-dua tak naik kaldai, dua-dua jalan kaki. Orang kata juga, “Apalaaah depa ni? Ada kaldai pun tak mahu naik.” Lepas tu dua-dua naik kaldai.

“Laa kejamnya! Kaldai tu seorang saja boleh (di)angkut! Dua-dua naik atas kaldai?”

Jadi kalau kita (keterlaluan) nak ikut cakap orang, apa kerja pun tak jadi. Bepada-pada(lah) nak ikut cakap orang ni. Orang (manusia jenis) ni kalau dah bercakap, semua cari yang tak elok.

Kalau ada nak kahwin ke apa ke, dok cari bahagian mana yang tak kena, bahagian mana yang tak elok, apa yang tak kena dengan pasangan orang tu, dia dok cari. Yang baik dia tak cari, dok cari (apa) yang tak kena.

Begitulah juga (jika) nak beli rumah. Rumah lawa (se)tara mana pun, ada saja orang dok cari kesalahan. Pagar tak kena, harga mahal sangat, cat tak berapa elok... Belilah lawa tara mana pun. Macam tu lah.

Nak beli motor kereta pun sama. Ada saja yang tak kena dengan motor yang kita beli ni. Sebab... dok rajin cari benda-benda yang salah (sahaja), (yang) baik dia tak cari.


Hadirin yang dirahmati Allah sekalian,

Pada minggu yang lalu itu kita tengok bala yang Allah turunkan kepada bangsa-bangsa yang engkar kepada Allah. Jadi nak elak bala ni, sekurang-kurangnya ada dua perkara kita kena buat. Yang pertama kena usaha sungguh-sungguh. Usaha apa? Usaha menghapuskan maksiat! Sebab bala ini turun apabila banyaknya maksiat. Kita pun dah dengar dah hari tu.

Yang kedua, selain daripada usaha kita kena ada doa. Dan doa tak boleh jemu. Doa minta supaya kita ini terlepas daripada bala, sekalipun maksiat di sekeliling kita banyak. Doa tak boleh jemu. Bak kata sebuah lagu (*dinyanyikan):

Telah lama kuberdoa

kepada Kamu ya Tuhanku.

Kuharapkan Engkau kabulkan

permohonanku, tanpa kujemu.

Hanya kepada-Mu.

Itu kata sebuah lagulah. Lagu-lagu ni bukan apa tuan-tuan, sebab golongan muda ni dia suka lagu. Kalau sekali kita bubuh satu lagu pun jadilah (sekalipun tak sedap). Lagu berunsur nasihat, yang mengingatkan kita kepada agama. Kalau tak ada lagu ni, golongan muda ni dia berat sikit nak mai.

Macamlah (sebuah cerita ada anak-anak) orang asli nak mai belajar di sekolah. Hari yang ada PJ (Pendidikan Jasmani) saja dia mai, sebab nak main bola. Hari lain tu dia tak mau mai, yang anak-anak orang asli ni. Jadi macam mana cara cikgu nak panggil mereka supaya datang? Tiap-tiap hari bagi main bola. Sampai pukul lapan setengah (pagi), setiap hari main bola. Lepas tu belajar. Barulah depa ni datang tiap-tiap hari.

Kalau tidak, hari Isnin PJ, hari Isnin saja dia datang. Hari lain dia tak mahu datang. Kenapa datang? Hendak main bola. Jadi cikgu ni dia bijak sikit, dia buat (main) bola tiap-tiap hari tapi sekejap saja. Jadi budak ni datang, dia duduk juga dalam kelas, dapat juga pelajaran. Begitulah cara dia.

Itu yang buat lagu sikit tu, bukannya hendak berhibur (sangat) sebenarnya.


Sambungan keterangan hadith kedua oleh Syeikh Fahmi Zamzam. Kita tengok nota kita. Dalam hadith di atas, walaupun khusus disebutkan bangsa Arab, tetapi yang dimaksudkan adalah seluruh bangsa yang ada di dunia ini. Kan dalam hadith tu dia kata “Celakalah bangsa Arab”, kata Nabi Muhammad? Sungguhpun dia sebut “bangsa Arab” tetapi sebenarnya seluruh dunia kena, terutamanya (khususnya) orang Islam.

Tujuan disebutkan “bangsa Arab” secara khusus kerana Nabi kita SAW sendiri dari kalangan bangsa Arab, dan yang menerima Islam pada masa mula penyebarannya adalah kebanyakannya dari kalangan bangsa Arab, dan sedikit sekali dari bangsa yang lain. Nabi Muhammad sendiri pun orang Arab, Islam turun pun dalam kalangan bangsa Arab.

Begitu pulalah halnya dalam masalah maju mundurnya umat Islam adalah banyak bergantung kepada maju mundurnya bangsa Arab itu sendiri. Selain daripada itu, bahasa rasmi Islam ialah bahasa Arab. Bahasa syurga, bahasa al-Quran, iaitu bahasa Arab.

Sebab itu kita tengok sekarang ini umat Islam tertindas. Kita tengok (majoriti) bangsa Arab. Elokkah tak elok? Terukkah tak teruk? Bangsa Arab sekarang ini teruk! Kalau pergi ke Mesir tu, (ada antara) mereka kencing di tepi-tepi tembok saja. Dia tak kisah. Itu budaya bangsa Arab (yang rosak hari ini). Nak kata sembahyang ni, ramai yang tidak sembahyang.

(Apa) Bila bangsa Arab teruk, maksudnya umat Islam keseluruhannya teruk. Esok satu hari nanti bila bangsa Arab pun sudah elok balik, Islam pun makin hendak naiklah maksudnya.


(Kalam Tuan Syeikh Fahmi Zamzam): “Dan Yakjuj dan Makjuj pula adalah dua bangsa dari keturunan Nabi Adam as yang dahulunya banyak membuat kerosakan di muka bumi ini, lalu batas daerah dan kediaman mereka ditutup oleh Zulqarnain dan pengikut-pengikutnya dengan campuran besi dan tembaga. Maka dengan itu mereka tidak dapat keluar sehinggalah tiba hampir hari kiamat.”

Yakjuj dan Makjuj ini dua bangsa manusia yang perosak, sangat jahat. Sampaikan satu orang raja besar ketika itu....... namanya Zulqarnain. Kita (biasa) sebut Iskandar Zulkarnain. Insyaallah pelajaran akan datang kita sentuh (tentang) Zulqarnain ini. Siapa dia sebenarnya Zulqarnain?

Jadi orang-orang yang duduk di utara dari Tanah Arab ini, mereka minta Zulqarnain dengan tenteranya tolong buat satu dinding, satu tembok daripada besi supaya menghalang Yakjuj Makjuj ini daripada keluar ke sebelah selatan ini. Jadi Zulqarnain pun buatlah.

“Maka pada masa itu dinding yang kuat tadi akan hancur. Maka dengan itu mereka tidak dapat keluar sehinggalah hampir tiba hari kiamat.”

Disebabkan dinding yang kukuh daripada besi dan tembaga yang dibuat oleh Zulqarnain tadi, maka Yakjuj dan Makjuj tidak dapat keluar sampailah dekat-dekat hari kiamat.

“Maka pada masa itu dinding yang kuat tadi akan hancur dan keluarlah kedua-dua bangsa itu dari kediaman mereka lalu kembali membuat kerosakan di muka bumi ini.”

Apabila dinding itu sudah pecah, Yakjuj dan Makjuj ini keluar. Dia buat huru-hara lagi.

“Apabila ini telah terjadi, ia menandakan bahawa hari kiamat sudah dekat sekali tibanya.”

Apabila Yakjuj dan Makjuj ini dia bersatu, keluar buat kerosakan menyerang orang Islam, maka ketika itu maksudnya kiamat sudah hendak berlaku sungguh-sungguh dah. Ini keterangan daripada tuan kitab.


bersambung...