Wednesday, May 31, 2023

Mereka Takut Kita Dapat Lebih

 

Kita berniaga, kadang2 ada orang2 yang takut kita jadi kaya.

Kita belajar agama, kadang2 ada orang2 yang takut kita jadi berilmu.

Kita menternak, kadang2 ada orang2 yang takut kita jadi jutawan.

Kita mengajar agama, kadang2 ada orang2 yang takut kita jadi ulama.

Kita mendalami agama, kadang2 ada orang2 yang takut kita jadi wali Allah.

Kita buat perubatan Islam, kadang2 ada orang2 yang takut kita jadi terkenal.

Kita buat dakwah, kadang2 ada orang2 yang takut kita dipandang mulia.

Kita membantu orang lain, kadang2 ada orang2 yang takut kita dihormati.

Kebaikan2 yang kita buat, kadang2 ada orang2 yang takut.


Apa sebenarnya yang mereka takut?

Mereka takut kita berjaya,

takut kita jadi lebih daripada mereka,

apatah lagi jika kita banyak lebih daripada mereka.

Mereka tidak mahu dan tidak boleh hendak menerima

jika kita ada lebih daripada mereka.

Itulah antara sifat mazmumah yang berbahaya.


Sifat2 mazmumah ini penunduknya ialah

ilmu tasawuf, amal2 dan penghayatannya.


Ikhlaskan hati, gagallah syaitan.

Pelajaran ikhlas, dalam tasawuflah lanjutannya.


28/5/23

Baru Bermakrifat Sudah Menunjuk Hebat

 

Hujjatul Islam Imam al-Ghazali sangat memuliakan ahli2 fekah sekalipun beliau bertaraf mujtahid mutlak dalam keruhanian (tungku agama al-ihsan). Antara buktinya, pada awal2 kitab induknya iaitu Ihya' 'Ulumuddin, Imam al-Ghazali menyatakan sanjungan bahkan kekagumannya terhadap tokoh2 fekah. Kita cari dan bacalah. Jika tidak tahu, bertanyalah kepada orang2 yang tahu. Jika tidak faham, yang itu kenalah berguru.


Malangnya sebahagian orang hari ini, baru sahaja belajar maklumat2 yang disebutnya sebagai hakikat, makrifat, mengenal Allah atau seumpamanya - mereka terus merendah2kan, menghentam, dan ada yang menyatakan cabaran kepada ahli2 fekah. Kebanyakan daripada golongan itu pula ialah mereka yang lemah atau yang sangat lemah asas2 ilmu agama mereka.


Imam al-Ghazali ketiak menulis adab2 seseorang penyampai ilmu mengingatkan kepada orang2 yang menyampaikan ilmu bahawa mereka tidak boleh merendah2kan mata pelajaran atau juzuk2 agama yang lain. Contohnya yang pada ilmu usuluddin tidak boleh meremehkan ilmu hadith. Yang pada ilmu keTuhanan tidak boleh merendah2kan ilmu tentang darah2 wanita. Yang pada ilmu tasawuf tidak boleh merendah2kan ilmu fiqh. Yang pada ilmu ma'rifah tidak boleh memperlekehkan ilmu tariqah. Yang pada akhiruddin tidak boleh meremehkan ilmu2 ma'rifah (awwaluddin). Begitulah seterusnya.


Imam al-Ghazali pada adab2 penerima ilmu mengingatkan bahawa ilmu agama itu banyak dan semuanya penting bahkan saling menguatkan antara satu sama lain. Cuma kita memilih ilmu2 yang lebih penting mengikut keadaan dan keperluan.


Pada zamannya, Imam al-Ghazali banyak sekali berhadapan dengan ajaran2 ma'rifah yang bermasalah dan ajaran2 batiniyah. Pengikut ajaran2 ini pula sering merendah2kan ulama2 fiqh. Mereka mungkin dapat mengumpul banyak maklumat tetapi lemah dari segi adab. Jiwa2 yang lemah adab manakan dapat mencapai sofa2 tertinggi.


31/5/23

Hari2 yang Tiada Masuk Ilmu Agama Itu Bagaikan Malapetaka

 

Pada hari2 yang tidak bertambah ilmu2 agama kita itu eloklah jika dapat kita anggap ia seolah2 "bencana". Dengan cara begini, barulah kita ada lebih motivasi. Tetapi jika kita anggap biasa2 sahaja, atau kita anggap tak rugi apa2 pun, atau kita anggap memang ada rugi tapi sedikit sahaja (tak de apa sangatlah)... memang susahlah untuk kita dapat pergi jauh. Pastikan tidak ada hari yang tidak masuk ilmu2 agama yang baharu ke dalam diri kita.


Ibarat mengumpul batu2 permata di tengah panas membakar di sepanjang perjalanan. Pada hari2 yang kita tidak mahu berjalan, tak dapatlah kita mengutip batu2 permatanya. Jika kita istiqamah berjalan juga sekadar walaupun selangkah dua setiap hari, dapatlah kita kutip juga batu2 pertama walau seketul dua.


Perjalanan kita itu ada tempoh tamatnya (kematian kita). Bagi setiap orang, berlainan tempoh tamatnya. Sementara masih belum sampai tempoh tamatnya yang entah bila tiba itu, kita masih sentiasa ada peluang untuk terus melangkah mengutip batu2 permata (ilmu2 agama). Setelah tiba tarikh luputnya, langkah kita akan terhenti selama-lamanya dan dapatan kita hanya sebanyak yang diusaha itulah sahaja.


Kita mungkin baru dapat segenggam dua. Tapi ada orang2 yang dapat penuh timba, ada yang penuh sarat bakulnya, ada yang sebanyak bebanan unta, ada yang sebanyak bebanan 40 ekor unta dan sebagainya.


31/5/23

Usaha dan Ikhtiar Memilih dengan Gigih

Hendak masuk marathon, kita berusaha dan berikhtiarlah dengan gigih untuk memilih kasut yang paling sesuai mengikut kehendak laluan, tidak sekadar mengikut memilih mengikut kesukaan. Kerana ia belum tentu sesuai untuk kelajuan larian dan tidak dapat pula hendak ditukar2 setelah larian kita bermula. Jika ia membantu kelajuan, beruntunglah kita. Tetapi jika ia membuatkan kita kurang kelajuan, payahlah kita. Baik buruknya kita nak kena tanggung sampai ke akhir larian, atau sampai kita berhentikan larian, atau sampai kita terhenti larian.


Hendak menyertai upacara atau majlis di raja, ada yang tempohnya 3 jam. Umumnya bukan boleh keluar2 dah majlis tu. Nak bangun dari kerusi pun tak dibenarkan. Jadi, kita berusaha dan berikhtiarlah dengan gigih untuk mendapatkan pakaian yang paling sesuai, bukannya asal pakaian yang paling kita suka. Jika kita terpilih yang kurang sesuai atau yang tidak sesuai, contohnya yang hangat hingga peluh bersimbah-simbah, kita bukan dapat menukarnya lagi melainkan terpaksa bertahanlah sehingga ke akhir majlis atau sehingga kita jatuh pengsan.


Hendak terbang ke destinasi (contohnya ke kadrat Ilahi), kita usaha dan ikhtiarlah dengan gigih pilih sayap yang paling sesuai yang boleh kita dapat, bukan pilih yang paling kita suka yang kita boleh dapat. Sayap yang betul akan melancarkan penerbangan kita ke destinasi. Sayap yang kurang betul akan membuatkan kita tidak selesa sepanjang penerbangan dan terlewat tiba. Boleh jadi ketika kita tiba, keramaian sambutan sudah pun berakhir. Sayap yang tidak betul pula akan merosakkan penerbangan lalu jatuh sebelum sampai ke tujuan dan terkandas di hutan atau lautan.


31/5/23

Hebat pada Maklumat, Miskin pada Sifat

 

Jika maklumat2 agama bertambah (termasuklah maklumat yang tinggi2) tapi sifat2 mazmumah kita masih tidak berubah dan sifat2 mahmudah kita tidak pula bertambah, itulah namanya musibah. Lebih2 lagi jika kita berbangga pula dengan sifat2 mazmumah kita, kita berasa ok, kita berasa hebat, kita berasa cool, atau kita berasa kita punya kelainan yang hebat.


Kata Imam al-Ghazali (sebagaimana dalam Ihya'), kita mestilah faham bahawa MATLAMAT TERAWAL kita mempelajari ilmu2 agama adalah untuk mendapatkan sifat2 mahmudah. Tetapi jika matlamat terawal ini pun kita masih huru-hara, bagaimana kita mahu lurus dan pantas dalam matlamat2 seterusnya?


Menurut Imam lagi, selepas bagus sifat2 mahmudah dan terbenam sifat2 mazmumah ini, barulah kita dapat "mendaki" ke "alam tinggi" iaitu alamnya para malaikat. Dan untuk "masuk" ke "alam" itu, hanya yang lebih kurang seumpama malaikat sahajalah yang layak menjadi penghuninya. Jadi, kita nilaikan diri sendiri sebelum orang lain menilai kita. Adakah kita ini berperwatakan sebagaimana para malaikat atau sebenarnya kita lebih berperwatakan sebagaimana syaitan? Kita berperwatakan sebagaimana R4'S atau kaki2 gaduh di Chicago?


Jangan kita mudah terpedaya dengan orang2 yang melazimi sifat2 mazmumah tetapi berbicara tentang maklumat yang tinggi2. Iblis pun boleh bicara hal yang tinggi2. Jangan kita mudah terpedaya dengan orang2 yang mengekalkan sifat2 mazmumah tetapi melakukan hal2 luar biasa yang mencarik adat. Iblis dan pasukannya pun boleh juga melakukan hal2 yang mencarik adat. Ini semua sebenarnya hanya tipu daya yang mudah lagi lemah, tetapi banyak orang terkena dengan mudah.


31/5/23

Tuesday, May 30, 2023

Mesti Ada Sebab-Musabab Yang Berat Tu

 

Sekumpulan budak2 Tahun 5 datang ke rumah Faizulmi.


Puat : Faizulmi. Jom kita pi rumah Apun. Tepi rumah dia ada sungai. Kawan2 kita semua nak mandi sungai.


Faizulmi : Aku tak boleh pegi la Puat. Bapak aku tak bagi la.


Puat : Alaaah, bapak aku pun tak bagi jugak! Steady la. Jom!


Faizulmi : Tak pa lah. Hampa pi lah. Aku tak berani la.


Puat : Dah la geng. Payah nak ajak Apun ni. Penakut sangat. Tak boleh geng la dengan kita. Jom, blah!


Faizulmi : (Dalam hati.... Hampa boleh la. Hampa balik rumah satgi kena marah ja. Paling kuat pun kena libaih dengan rotan sekali dua. Yang aku ni hampa tak tau... aku kalau kena, kalau rotan tu, seluruh badan kena sebat. Kalau kena talipinggang, kurang2 20 kali libaih. Sampai pecah kedarah, sampai lembik aku kena. Malam kena tidoq kat luaq. Sehari semalam tak dibagi makan. Kalau mak aku masuk campoq, dengan mak2 aku pun kena seliang dua. Aku nak cerita semua, tak dapat. Kalau aku cerita pun, hampa susah nak percaya. Cuma aku mintak Allah bagi la hampa paham yang aku punya kesusahan ni lagi berat berkali2 ganda daripada hampa, dan hampa boleh terima pasai apa aku selalu tak boleh join hampa walaupun hampa tak tau cerita hat yang dalam2).


30/5/23

Punca Masalahnya Ada di Dalam Bukan di Luar

 

Syaitannya ada dalam diri, mengapa kau lebih "nampak" syaitan2 yang di luar?

Api dan panasnya ada dalam diri, mengapa kau lebih "nampak" api2 dan panas2 yang di luar?

Anginnya ada dalam diri, mengapa kau lebih "nampak" angin2 yang di luar?

Racunnya ada dalam diri, mengapa kau lebih "nampak" racun2 yang di luar?

Kudisnya ada dalam diri, mengapa kau lebih "nampak" kudis2 yang di luar?

Puncanya ada dalam diri, mengapa kau lebih "nampak" punca2 yang di luar?


Yang di dalam diri itu hendaklah engkau teropong.

Jika yang di dalam tiada pengundang masuk,

maka yang di luar2 pun sukar untuk terundang masuk.


30/5/23

Tarbiah Ilmu2 Mengenal Allah dalam Perkumpulan?

 

Tok Dahlan : Dah lebih 30 tahun engkau berada dan berjuang dalam perkumpulan tersebut. Ada ke guru utama atau tokoh2 utama perkumpulan itu mentarbiahkan engkau dan anggota perkumpulan itu sekurang2nya ilmu mengenal Allah (ma'rifatullah)?


Haji Berahim : Hmmm... macam tak ada...


Tok Dahlan : Ada ke dalam agenda atau sukatan tarbiah perkumpulan itu untuk menjadikan anggota2 mereka agar sampai kepada ma'rifatullah?


Haji Berahim : ...mmm... tak ada. Tapi memang ada beberapa orang ilmuwan dalam perkumpulan itu yang mahir tentang ilmu ma'rifatullah. Dan ada segelintir anggota jemaah yang berguru dengan mereka.


Tok Dahlan : Itu memang benar. Tapi hal itu bukan berada dalam dasar, agenda dan sukatan tarbiah perkumpulan. Mereka mengajar atas sendiri2 dan yang belajar pun atas sendiri2. Perkumpulan tidak berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran ilmu ma'rifatullah tersebut. Jelasnya perkumpulan itu sebagai jemaah (bukan sebagai perindividuan) memang tidak bermatlamat secara khusus untuk menyampaikan anggota2nya kepada mengenal Allah. Dalam kata lain, jika anggota2 perkumpulan itu sendiri tidak punya kesedaran untuk belajar sendiri, maka sampai ke sudahlah mereka tak ada ilmu tentang ma'rifatullah dan tidak dapat mengenal Allah. Sebab itulah sangat ramai anggotanya sekadar tahu Allah tetapi tidak mencapai mengenal Allah. Apatah lagi untuk mencapai yang selepas2 daripada itu.


Haji Berahim : Bagaimana dengan perkumpulan yang engkau sertai pula?


Tok Dahlan : Memang menjadi dasar, matlamat dan keutamaan kami untuk berusaha dan berikhtiar dengan gigih bagi menyampaikan diri, anggota perkumpulan dan orang2 lain kepada sekurang-kurangnya ma'rifatullah (mengenal Allah).


Haji Berahim : Jadi, perlukah saya berhenti daripada perkumpulan itu?


Tok Dahlan : Tidak perlu. Boleh diteruskan sahaja. Ilmu ma;rifatullah ini tidka mengganggu pun keaktifan engkau dalam mana2 perkumpulan yang benar.


Haji Berahim : Bagaimana dengan pelajaran ilmu mengenal Allah?


Tok Dahlan : Sebarang usaha dan kerja ni kalau dibuat secara berjemaah, lagilah baik. Engkau sertailah mana2 perkumpulan yang mentarbiahkan anggota2nya dengan ilmu mengenal Allah dan seterusnya. Tetapi jika engkau hendak cuba secara individu pun boleh juga. Sertailah mana2 majlis pengajian yang mentarbiahkan ilmu mengenal Allah.


Haji Berahim : Jika begitu al-kisahnya, maka insya-Allah aku akan mencuba.


30/5/23