Wednesday, June 21, 2023

Memohon Gerak Pengubatan

Sejak bulan Mei 2021 yang lalu, sahaya memohon gerak daripada Allah 'Azza wa Jalla agar dikurniakan-Nya panduan untuk merawat sejenis masalah kesihatan yang sahaya belum pernah berhadapan dengannya sebelum2 itu dan belum pernah diajarkan oleh guru2 sahaya. Tetapi walau bulan berganti bulan dan tahun berganti tahun, masih belum ada rezeki nampaknya.


Namun pada bulan Mei 2023 lalu yakni setelah genap dua tahun, barulah sahaya mendapat sedikit petunjuk yang kukuh yakni 1 per 3 daripada apa yang sahaya perlukan. Pada suatu malam, sahaya mendapat suatu mimpi sebagaimana berikut :


Sahaya menyaksikan satu bumi (kawasan luas) yang bercampur2 tanahnya dan kehitam-hitaman warnanya. Warna langitnya berubah-ubah. Angin kuat bertiup datang dan pergi, hangat anginnya dan menderu2 bunyinya. Di bumi itu terdapat batu2 berwarna putih yang seolah2 tersusun dalam formasi yang tertentu. Di situ juga ada aliran dan kolam air yang kemerah-merahan warnanya. Kemudian semua itu hancur menjadi debu tetapi selepas itu ia bercantum2 kembali.


Sahaya pun mengucapkan : "Angin menderu, alam berubah. Tulang, tanah, darah dan zarah." TAMAT MIMPI.


Cuma perlulah diingat bahawa , mimpi ini hanya menceritakan tentang, "Apa yang perlu dirawat?", bukannya, "Bagaimana cara merawat?" dan belum juga, "Apa yang diguna untuk merawat?" Ringkas kata, baru 1 per 3 sahaja daripada keseluruhan ilmu yang sahaya pohonkan. Setelah lengkap ketiga2 keperluan tersebut, barulah nanti sesuai dan boleh untuk merawat masalah kesihatan berkaitan (sekiranya umur masih ada).


Begitulah kisahnya. Setelah dua tahun, hanya dapat 1/3. Hendak menanti 2/3 lagi itu hanya Allah sahajalah yang Maha Tahu tentang berjaya atau tidaknya. Tetapi jangan putus harapan dan memang kena banyak bersabar. Wallahua'lam.


Abu Zulfiqar al-Amsyari

21/6/23

Blog Debunga Teratai Syurgawi

No comments: