Tuesday, June 6, 2023

Mahu Jadi Yang Terbilang atau Kurang atau Bagaimana?

 

Untuk berjaya (apatah lagi jika untuk cemerlang, lalu untuk mencapai gemilang, lalu mahu jadi yang terbilang) dalam bidang apa pun, kena ada pengorbanan. Biasanya sebanyak mana yang kita berani dan sanggup berkorban, sebanyak itulah pulangan dan dapatan.


Biasanya juga jika sedikit pengorbanan, sedikitlah dapatan. Jika banyak pengorbanan, banyaklah dapatan. Dalam hal belajar ilmu2 agama pun begitu juga.


Terpulang kepada diri masing2 mahu sampai ke setara mana? Nak setakat berjaya? Nak sampai cemerlang? Nak capai gemilang? Nak jadi antara yang terbilang?


SANGAT SEDIKIT HINGGA DAPAT DIBILANG DENGAN JARI


Orang2 yang terbilang itu SANGAT SEDIKIT jumlahnya hingga boleh dibilang dengan jari sahaja. Maka disebut sebagai dapat dibilang, boleh dibilang, mampu dibilang atau terbilang. Yang gemilang AGAK BANYAK tetapi sudah tidak dapat dihitung dengan jari. Yang cemerlang itu SANGAT BANYAK. Yang setakat berjaya, lagilah BERLAMBAK-LAMBAK.


Jadi, matlamat dan cita-cita kita mahu sampai ke level yang mana?


IBARAT PERJALANAN KE PUNCAK GUNUNG


Ibarat mengembara ke gunung. Untuk sampai ke sana, tentunya kena berkorban dari segi masa, tenaga, kerehatan, perbelanjaan, dan sebagainya. Jika sekadar sanggup berkorban sediakan masa, tenaga dan perbekalan untuk sampai ke kaki gunung, setakat kaki gununglah sampainya. Pemandu jalan tak dapat nak tolong dukung kita naik ke atas.


Jika sekadar sanggup berkorban sediakan masa, tenaga dan perbekalan untuk sampai ke pertengahan gunung, setakat pertengahan gununglah mungkin sampainya. Pemandu jalan tak dapat nak tolong dukung kita naik ke kemuncak.


Jika sanggup berkorban sediakan masa, tenaga dan perbekalan untuk sampai ke kemuncak gunung, maka ke kumuncak gununglah mungkin sampainya.


"Bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji." (Al-Baqarah : 261)


ANGAN-ANGAN VS USAHA DAN PENGORBANAN


Kadang2 angan2 kita adalah untuk menawan puncak gunung tapi pengorbanan untuk buat latihan kecergasan dan stamina, lapangkan masa, dan keluarkan belanja untuk sediakan perbekalan hanya cukup untuk tiba ke kaki gunung sahaja. Tiba di kaki gunung yang perjalanan ke sana merentas hutan sahaja sudah 3 hari, tenaga dan stamina serta perbekalan kita pun habis. Nak kena berehat sekurang2nya sehari semalam sedangkan pemandu jalan dan orang2 lain kena teruskan dengan pendakian.


Kemudian kita macam hendak salahkan pemandu jalan dan ahli rombongan yang lain. Malah ada yang menyalahkan takdir. Padahal mereka berkorban berlatih stamina sebulan setengah, sanggup tinggalkan semua urusan lain lalu lapangkan masa untuk pengurusan rombongan ini berpuluh2 hari, dan keluarkan belanja ratusan ringit untuk persediaan dan bekalan. Kita pula hanya berkorban buat latihan kecergasan seminggu, lapangkan masa untuk urusan ini sekadar seminggu, dan keluarkan belanja hanya puluh2 ringgit.


KESIMPULAN


Jika ada keperluan, mungkin kita kena reset semula matlamat, tujuan dan sasaran kita sejauh mana agar bersesuaian dengan realiti iaitu sepadan dengan usaha dan pengorbanan kita. Jika kita masih mahu mengekalkan matlamat dan tujuan asal yang lebih tinggi, maka tidak ada cara lain melainkan kita kena sanggup upgrade kesediaan untuk berkorban.


6/6/23

No comments: